Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Tuesday, March 31, 2009

Taekwando


Sebelum masuk ke dalam kelas, saya dan beberapa rakan suka berkumpul di bawah pokok tanjung sambil makan ais krim Malaysia. Ais krim tersebut saya beli dari rakan sekelas dengan menggunakan wang hasil jualan buah mempelam. Jika buah mempelam habis terjual, kadang-kadang saya akan belanja rakan-rakan dengan membeli jualan dari rakan-rakan yang lain. Kami saling bantu membantu.

Beberapa hari sejak peristiwa melawan ketua samseng kampung, saya menjadi sedikit popular di kalangan rakan sekolah. Semakin ramai yang ingin berdamping dengan saya. Semenjak hari itu juga, cerita saya hendakkan Bxxx menjadi satu bahan cerita jenaka. Saya mengambil sikap tidak kisah walaupun di ejek-ejek oleh geng kumpulan itu.

Suatu hari, dari bawah pokok tanjung, saya dan rakan-rakan terlihat Bxxx sedang bertegang urat dengan geng kumpulannya di tangga sekolah papan Sekolah Agama Paya Jakas. Dia kelihatan sungguh marah manakala geng kumpulan itu kelihatan terkekek-kekeh mentertawakan dia.

Tanpa syak wasangka, saya dan rakan-rakan terus menuju ke dalam kelas apabila terdengar loceng berbunyi yang menandakan persekolahan sekolah agama akan bermula. Tiba-tiba..

"Hei..Awak memang hendakkan Axx kan? Bukannya saya!" Bxxx mengherdik saya.
Geleng kepala.
"Awak hendakkan Axx kan?!! Bxxx mulai menunjukkan garang.
Geleng kepala.
"Cakap betul-betul!!"
Saya malas hendak melayan kemarahan Bxxx dan terus berjalan menuju ke arah meja. Bxxx tidak puas hati, malah terus mengata dan mengejek-ejek saya. Geng-geng kumpulannya masih lagi ketawa mengekel-ngekel. Rasanya hampir kesemua kelas boleh mendengarnya. Maklumlah, sekolah papan itu tiada berdinding. Murid di tingkat atas boleh menjenguk malah melihat apa yang berlaku kepada murid di tingkat bawah.

Bxxx tidak berhenti mengejek, walaupun Uztazah Sifa' telahpun berada di dalam kelas. Ejekannya semakin lama semakin kesat dan pedih. Dia seperti sudah tidak pedulikan sesiapa lagi. Sudah semacam tidak hormat kepada guru.

Lalu, saya meluru ke arah Bxxx, menyinsing kain uniform baju kurung sekolah dan satu "Flying kick" ala-ala Taekwando hinggap ke badan Bxxx. Saya asak dia ke dinding dan pulas tangan kirinya ke belakang.

"Sekarang cakap! Hendak kurang ajar lagi?!! Saya memberi amaran keras.
"Adoiiiii..adoi...adoiiii sakit.
""Nak buat perangai tak senonoh lagi?!! Saya pulas lagi tangan dia.
"Tidak..tak nak.."
"Tidak apa?!!!!
"Tidak hendak buat lagi.." suara Bxxx mengendur.
"Janji?!!
"Janji...
Saya rasa kebanyakan murid sekolah agama melihat peristiwa itu. Ustazah Sifa' mengiggil, panik dan tidak terkata.

"OK..semua orang jadi saksi. Kalau awak buat lagi, saya patahkan tangan awak ni! Saya jarang buat begini, tetapi kalau awak memaksa, saya akan lakukan."
"Faham..."
Tiba-tiba suara ketawa terkekek-kekek tadi hilang bersama tuan badannya..

Sunday, March 29, 2009

Buah Mempelam 2


Saya memanjat pokok mempelam di sebelah petang. Selepas pulang dari Sekolah Agama Paya Jakas dan mengaji di rumah Mak Uda Khemah.

Di dalam baju kurung yang di pakai sentiasa ada T-Shirt dan seluar panjang "Track Bottom". Ia amat selesa malah memudahkan segala urusan seperti kerja panjat memanjat tanpa mengotorkan baju sekolah.

Buah-buah mempelam tersebut saya kumpulkan untuk di jual keesokannya (sewaktu pulang di antara persekolahan sekolah pagi dan sebelum persekolahan sekolah agama bermula).

Saya amat berhati-hati agar tidak tertangkap lagi (oleh cikgu sekolah) dengan menjualnya di luar pagar sekolah. Selalunya saya berjualan di antara warung kedai makan Kak Yah dan kedai runcit Pak Usu Daud. Disitulah kami bertukar-tukar membeli barangan jualan. ( Mempelam, ais krim Malaysia, buah jambu air, jambu batu dan lain-lain.)

Suatu hari, semasa sedang sibuk berurusan jual-beli bersama rakan-rakan sekolah, saya terdengar perbualan sekumpulan beberapa budak lelaki. Mereka terkenal dengan lagak "Samseng kampung". Malah seluruh murid di sekolah itu amat mengenali kumpulan tersebut.

"Hah dah sah ! Budak baru tulah yang Axx nampak semalam di atas pokok mempelam di tepi jalan." kata ketua samseng kampung, Bxxx namanya.

"Budak baru anak cikgu Roslan yang menjual buah mempelam tu?" Geng yang lain olok-olok bertanya untuk pengesahan.

"Ha lah! Siapa lagi..Dia tu lah yang hendakkan si Axx."

Saya panas telinga mendengar perbualan mereka yang disertai dengan tertawa -tertawa kecil. Lalu, saya terus menjawab.
" Hei! Siapa kata saya hendakkan si Axx tu?"
"Axx yang kata."
"Macamana pulak dia tahu saya hendakkan dia?"
" Iya lah..dia kata awak menyorok di balik dahan semasa nampak dia lalu di tepi jalan tu! Itulah tandanya awak malu dan hendakkan dia!"
Suasana ketika itu menjadi tegang sekali. Semua rakan-rakan perempuan saya kelihatan ketakutan. Murid-murid yang lebih muda usianya lari bertempiaran masuk ke kawasan sekolah.

"Hei! Awak cakap pada si Axx..katakan saya tidak hendakkan dia!"
"Habis tu..awak hendakkan siapa?"
"Katakan pada dia.. saya hendakkan awak!
Saya lihat muka Bxxx dan geng samseng kampung semuanya pucat lesi. Terlopong mulut masing-masing. Mereka mungkin tidak menyangka bahawa perkataan itu boleh terkeluar dari mulut saya!

Puas. Sambil berjalan masuk ke dalam kelas sekolah agama, kami semua tersipu-sipu geli hati melihat muka-muka samseng kampung yang "terkejut beruk" mendapat tahu ada juga budak perempuan yang suka kan dia.

He..he..belajar bagaimana memanipulasi situasi.

Thursday, March 26, 2009

Buah Mempelam


Pokok itu terletak berhampiran dengan jalan utama : Segamat - Muar. Besarnya empat pemeluk budak-budak. Tinggi namun berdahan rendang. Buahnya yang lebat bergugus-gugus dan berjuntai-juntai pasti mengamit perhatian sesiapa sahaja yang melalui laluan itu. Cuma satu perkara, terdapat banyak semut hitam di pangkal pokoknya.

"Lebat betul mempelam di dalam kebun abah awak." Mak Uda Khemah, guru mengaji saya memberitahu.

"Iye ke Mak Uda..kebun abah yang mana pulak..?
Kadang-kadang saya hairan dengan abah. Dia tidak pernah memberitahu anak-anak tentang kebun-kebun yang dimilikinya. Kebun peninggalan nenek moyang. Semuanya saya dapat tahu daripada mak-mak saudara.

Mereka jugalah yang mengalakkan saya untuk mengambil hasil dusun untuk di bawa pulang ke rumah. Saya lihat juga, selalunya apabila sesiapa sahaja saudara mara yang pulang ke kampung halaman ( dari serata pelusuk negeri) untuk menikmati musim buah, mereka akan menuju ke kebun abah.

Mereka bawa pulang durian, manggis, duku, langsat, rambutan, buah cepu, buah tampoi dan rambai. Penuh satu bonet kereta.

Setahu saya, abah sering berkata bahawa kebun abah adalah kebun yang diusahakan dengan hasil usaha tangannya sendiri. Kata abah lagi, sebab itulah dia membawa isteri dan anak-anak sama-sama mengusahakan kebun kerana hasilnya bukan untuk dia. Untuk anak cucu!

Hati saya sering tertanya,"Abah tidak sukakah dengan kebun peninggalan datok nenek dia? Bukankah datok dan nenek dia telah mengusahakan kebun untuk di makan oleh anak-anak cucu mereka?"
Apabila musim buah-buahan berlalu. Musim mempelam pula tiba. Alhamdulillah! Allah mudahkan rezeki untuk saya. Tapi persoalannnya...

"Besarnya..empat pemeluk. Tinggi dan bersemut bukan halangan. Masalahnya..kepada siapa saya nak jual, di mana dan berapa harganya akan saya kenakan untuk setiap biji..?

"Kalau saya panjat, nanti ada budak lelaki nampak macamana? Tentu mereka tak jadi dan batalkan niat untuk "main hendak-hendak" dengan saya."


Tuesday, March 24, 2009

Batu Giling


Semasa kecil, saya merupakan seorang budak perempuan yang comot, hitam dan tidak cantik. Jika budak-budak perempuan di sekolah bermain “Hendak-hendak”, tidak hairanlah tiada seorang budak lelaki pun yang hendakkan saya. Pernah juga melihat cermin muka di rumah dan terlintas di hati :

“ Mmm..tak cantik rupanya aku ni ..patutlah budak lelaki tak suka pandang pada aku..”.

Saya juga bukanlah menjadi kesukaan kakak-kakak sepupu kerana perbuatan saya yang mengheret adik-adik ke hulu dan ke hilir. Apa tah lagi saya menumpangkan adik-adik yang masih kecil di rumah mereka, ketika saya memetik dan menjual manggis. Selesai urusan, barulah saya ambil semula adik-adik saya.

Ketika seusia itu, saya sudah mula mengetahui bagaimana perasaan kecil hati, berasa hati, tersindir dan terhina serta segala perasaan dalaman. Sebak, sedih dan tersinggung. Namun, itu semua bukanlah pilihan yang saya ingini.

Cuma saya merasa sedikit tenang setelah memiliki sedikit wang di tangan. Saya tidak perlu lagi memikirkan pucuk kayu mana hendak saya tuju ketika ketiadaan lauk. Dengan wang saku yang saya miliki, saya agihkan sedikit kepada Tuti dan Ratna yang banyak membantu. Selebihnya saya boleh beli setin ikan Sardin, sekilo tepung, sedikit ikan bilis dan gula. Saya tidak mahu meminta-minta dan menyusahkan mak dan abah.

Semasa di usia itu, perasaan marah dan tidak puas hati saya begitu membuak-buak terhadap mak dan abah. Fikiran saya bermain-main dengan hasutan halus iblis yang membisikan perasaan jahat:

“Kenapalah mak dan abah membiarkan anak-anak terbiar dan membawa diri macam ni? Abahkan cikgu sekolah..tak ada duit langsung ke dia? Asyik-asyik sibuk dengan kebun dia!”

Apabila berkesempatan saya menyatakan perasaan itu kepada mak. Selalunya mak akan mengalirkan air mata dan meminta saya bersabar. Perasaan bersalah saya akan berpanjangan sehingga sehari suntuk.

Di usia itu, saya menjadi seorang budak perempuan yang tidak menentu karekternya. Ada masa saya bergembira, ada masa saya menjadi pendiam, penyedih dan selalunya saya bersikap “defensive” terutamanya apabila ada orang yang menyentuh sensitiviti mengenai mak dan abah serta adik-adik. Pendek kata, saya mulai matang dengan perasaan halus dalaman.

Suatu hari di penghujung musim buah-buahan, manggis sudah mulai mengecil saiznya. Pagi-pagi lagi saya dapati sepupu-sepupu telah memetik kesemua buah maggis dari pokok yang kecil dan rendang di kebun abah. Mereka meninggalkan pokok-pokok yang tua, besar dan tinggi kepada saya.

Dari atas pokok manggis tua itu, saya terlihat tanah perkuburan tua yang telah diwakafkan oleh nenek moyang terletak bersebelahan dusun abah. Marah dan kecewa dengan perbuatan mereka, namun saya terus juga mengagahkan diri untuk memanjatnya. Di dalam hati saya tertanya-tanya :

"Kenapa mereka memetik buah manggis dari dusun di dalam tanah abah? Bukankah mereka juga mempunyai pokok-pokok manggis di dusun ibu bapa mereka sendiri? Peliknya, kenapa pula saya di halang memetik manggis di tanah dusun mereka?"

Berbagai-bagai pertanyaan bermain di kotak fikiran di sertai oleh bisikan iblis yang menghasut. Menaikkan kemarahan. Berberapa hari keadaan tersebut berulang.

Suatu ketika, saya pernah tergelincir dari pokok yang tua dan tinggi ketika berada di dalam keadaan begitu. Astagfirullah! Ini semua mainan syaitan.

Keesokan hari dan hari-hari seterusnya, saya tinggalkan sahaja acara memanjat dan menjual manggis. Saya ingin bebas dari hasutan iblis yang melampau. Perasaan menjadi lebih tenang dan lega.

Lalu, selepas menyidai kain saya terus bertandang ke rumah Mak Wa. Saya hanya mendiamkan diri sambil memerhatikan Mak Wa yang sedang mengiling lada. Mak Wa tahu bahawa saya sedang kecewa dan bersedih.

"Hidup ini ibarat batu giling. Perlu ada alu dan alas. Kedua-duanya perlu berganding untuk mengiling lada kering ini. Air pula peranannya untuk menjadikan gilingan lada ini lebih lembut, halus, lada pula akan mudah hancur. Tengok..Allah jadikan sesuatu itu ada gunanya.."

Mak Wa bercakap berkias-kias sambil mengiling, tanpa menghiraukan samada saya mahu mengambil perhatian atau tidak.

Benar! Segala yang ada di langit dan di bumi adalah kepunyaan Allah. Tidak ia jadikan sesuatu itu dengan sia-sia. Pengajaran ada disebalik setiap kejadian!


Saturday, March 21, 2009

Buah Rambai


Semasa kecil, saya tidak menghiraukan sangat rupa diri. Saya selesa memakai seluar panjang dan kemeja lama abah untuk memudahkan saya memanjat pokok. Seluar panjang abah saya lipat di bahagian pinggang dan ikat dengan kain perca lebihan kain dari jahitan baju mak.

Saya harus belajar untuk melakukan kerja-kerja rumah dengan cepat. Selepas solat subuh, buat sarapan, basuh baju, sidai kain, hantar adik-adik yang masih kecil ke rumah Mak Wa dan terus ke dusun buah-buahan di baruh.

Saya juga akan memanjat dan memetik buah manggis dari satu pokok ke satu pokok yang lain dengan cepat. Setelah beberapa lama, saya tidak lagi perlu turun dari satu pokok manggis untuk panggat ke pokok manggis yang lain.

Dari pengalaman, saya mempelajari satu kemahiran . Hanya ayun kan badan dan buat sedikit lompatan , lalu mencapai dahan di pokok bersebelahan dengan kadar cengkaman yang kuat. ( bayangkan bagaimana orang sarkas menukar ayunan dari satu buaian ke buaian yang lain).

Saya tak ubah seperti seekor anak kera yang melompat dari satu dahan ke satu dahan yang lain!

Setelah manggis penuh satu raga rotan, saya ikat setiap biji manggis supaya menjadi satu gugusan dengan cepat dan bawa ke tepi jalan. Jalan laluan utama Segamat- Muar. Setiap kali memulakan jualan, hati saya sentiasa berdebar-debar.

"Ya Allah..minta-minta adalah orang yang akan membeli buah manggis ini. Datangkan mereka kerana saya perlu segera pulang ke rumah. Saya perlu masak makan tengahari untuk adik-adik..wahai tuhan, perkenankanlah."
Benar! Allah menjawab bisikan hati saya. Manggis segera habis dengan tidak perlu saya menunggu lama. Selalunya ada sahaja orang yang singgah (selalunya orang dari Singapura) yang akan memborong kesemua manggis saya.

Suatu hari, semasa di dalam dusun saya terlihat buah itu. Ia berjuntai-juntai dan berbuah dengan lebat sekali. Lalu, saya ambil segugus. Mak Teh beritahu bahawa itu adalah buah rambai. Katanya lagi tiada ramai orang yang suka buah itu. Ia tidak berapa laku jika di jual.

Esoknya, saya bawa bersama buah rambai semasa menjual buah manggis. Benar! Kesemua manggis saya habis terjual kecuali buah rambai. Lalu, saya berikan sahaja buah itu kepada pembeli yang terakhir.

Saya bawa pulang sedikit buah rambai ke rumah Mak Wa. Saya lihat Mak Wa sedang mengulai ikan baung masak lemak cili padi. Saya perhatikan Mak Wa, mencapai beberapa biji buah rambai tadi dan di basuh kulitnya. Mak Wa keluarkan isi dalamnya. Kulit rambai tadi di hiris-hiris lalu dimasukkan ke dalam gulai.

Oooo begitu rupanya. Saya belajar sesuatu pada hari itu.

Friday, March 20, 2009

Manggis

Jika di waktu persekolahan, saya cuma memikirkan apa yang perlu di masak pada hujung minggu sahaja. Namun, jika di musim persekolahan..saya harus memikirnya hampir setiap hari.

Ya, apa yang perlu saya masak adalah satu perkara yang mencemaskan saya.

Saya mulai kenal mana-mana pucuk kayu yang boleh di buat lauk. Mulai tahu bagaimana mengait kelapa, mengupas, memarut, memerah dan menghasilkan masakan lemak dari santannya. Pendek kata, saban hari saya berikhtiar untuk mendapatkan lauk untuk santapan hari ini dan esok.

Kalau ada Mak saudara mengatakan ada pucuk itu dan ini di sana dan di sini, saya akan pergi mendapatkannya. An, Ayu dan Razif saya tumpangkan di rumah Mak Wa. Saya akan sentiasa membawa Tuti dan Ratna sebagai tenaga tambahan yang juga pembantu peribadi. Mereka orang kanan saya.

Suatu hari di musim buah-buahan, saya pergi memetik pucuk cemperai di baruh . Pokok cemperai itu tumbuh subur di tanah Mak Teh. Saya lihat Mak Teh sedang mengait buah manggis dengan sebatang buluh yang di racik enam hujungnya di panggil "Serangkak". Mak Teh menyarankan saya memetik buah manggis di dusun buahan abah. Baru saya tahu, rupa-rupanya abah mempunyai dusun buah-buahan peninggalan nenek monyang.

"Manggis di kebun abah awak, lebat. Hitam-hitam..kalau tak ambil nanti ia akan keras dan tidak boleh di makan. Kalau ambil banyak, awak boleh jual dengan peraih. Tetapi, kalau rajin awak boleh jual di tepi jalan"
Mulai hari itu, awal-awal pagi saya sudah angkut semua adik-adik ke dusun. An, Ayu dan Razif saya tumpangkan di rumah Mak Teh atau di rumah Mak Ngah. Selalunya mereka akan sediakan kami sarapan pagi, kemudian barulah kami memulakan tugasan.

Tugas saya memanjat pokok dan memetik buah manggis manakala Tuti dan Ratna menyambutnya di bawah. Kemudian, buah-buah manggis itu kami kumpulkan di rumah Mak Teh. Mak Teh mengajar saya mengikat buah manggis untuk dijadikan satu gugusan. Lalu, kami menjualnya di tepi jalan.

Bermulalah satu lagi kisah kehidupan.


Thursday, March 19, 2009

keledek


Di dalam perjalanan pulang dari paya pucuk paku kami melintasi sebuah ladang keledek. Tuan punya ladang sedang bertungkus lumus mencabut ubi keledek dari batas dan beria-ia mempelawa kami mengambil keledeknya kerana katanya berkemungkinan banjir akan melanda.

Hari itu, saya dapat sepelastik besar pucuk paku dan setengah guni keledek serta pucuknya. Sambil berjalan pulang, kakak-kakak mengajar saya resepi-resepi yang boleh di buat dari bahan tadi.

Hujan yang mencurah-curah turun membuatkan saya mengigil kesejukan rasa bagaikan hendak demam , jadi saya hanya menganguk-angguk mengiakan sahaja.

Sampai di rumah, saya dapati air telah mulai naik hingga ke paras buku lali di dapur. Rumah kami mudah dinaiki air kerana ia berhampiran dengan sungai. Tanpa berlengah lagi, saya kerahkan Tuti dan Ratna sama-sama mengangkat dapur minyak tanah, beras, bawang, periuk kuali dan mana-mana yang boleh kami angkat ke rumah bahagian di atas.

Hari itu, saya masak bubur nasi banyak-banyak di campur dengan racikan keledek, sedikit bawang hiris dan ikan bilis. Saya goreng pucuk keledek tanpa lada untuk adik-adik. Pucuk paku saya goreng pedas campur dengan sedikit belacan sebagaimana resepi saranan kakak-kakak tadi.

Petang itu, air naik hingga ke tiga mata anak tangga. Kilat, guruh, Petir berdentum di dalam hujan lebat. Kami adik-beradik semua berkumpul di satu sudut di dalam bilik mak dan abah. Dengan di kelilingi bantal, kami adik-beradik berpeluk di dalam satu selimut.

An, Ayu dan Razif masing-masing diberikan susu dan berbaring di atas ribaan saya. Wajah murni mereka tidak membayangkan apa-apa. Tuti dan Ratna tidak dapat membendung ketakutan mereka.

“Kak Ngah...kita nak mak...”

“Sabar..sekejap lagi mak abah akan balik..”

“Kak Ngah.. kita akan mati dalam banjir ini ke nanti?”

“Tidak. Ustaz kata Allah ada bersama kita..mari kita baca fatihah banyak-banyak..Doa, minta abah dan mak sempat selamatkan kita…”

Hari ini, saya terfikir apa yang terlintas di dalam hati. Memang Allah menjawabnya..

Tuesday, March 17, 2009

Pucuk Paku

Pagi itu agak sejuk dan langit kelihatan mendung. Ia seperti petanda hujan akan turun dengan lebatnya. Namun, abah dan mak tidak pernah menghiraukan apa yang berlaku. Mereka tetap akan pergi berkebun.

Selepas membuat sarapan untuk adik-adik, saya berkira-kira samada mahu membasuh kain atau tidak melihatkan keadaan seperti itu. Lalu, saya longgokkan sahaja kain-kain kotor di suatu sudut. Kemudian saya mula mengemas dan menyapu di dalam rumah. Diluar hujan mula turun mencurah-curah.

Hampir waktu untuk menyediakan makanan tengahari, namun hujan tidak juga berhenti. Saya dapati tiada apa-apa yang boleh dibuat lauk di dapur. Tiada telur, tiada sayur, tiada apa-apa yang mak tinggalkan. Di kampong ini, tiada penjual ikan yang datang berjualan dari rumah ke rumah dengan menunggang motosikal seperti di Labis.

Apa yang perlu saya masak? Saya paling takut apabila adik-adik bertanya:

“kak ngah , kita makan apa tengahari ni?

“Petang ni kita makan apa?

“Malam nanti kak Ngah masak tak?”

Pertanyaan yang menakutkan, malah merisaukan hati saya. Tak sanggup rasanya melihat renungan mata bundar adik-adik yang sentiasa mengeluh kelaparan.

“Tidak tahu kenyang ke budak-budak ni ? Ya Allah..berikah lah pertolonganMu”.

Semasa saya sedang kebingunan , tiba-tiba Kak Ros, Kak Ici dan Kak Gee (semuanya berumur lebih 19 tahun) datang ke rumah mempelawa saya memetik pucuk paku di sekitar paya. Saya terus bersetuju. Sebelum pergi saya sempat berpesan kepada Tuti dan Ratna agar jangan ke mana-mana dan tolong jaga adik-adik.

Kami meredah hujan lebat untuk ke situ.

Tidak begitu jauh, namun kami terpaksa merentas ladang getah, ladang keledek dan semak belukar. Di paya itu lah saya mengenali pokok Jakas. Ooo..patutlah kampong ini dinamakan begitu.

Saya melihat pucuk-pucuk paku yang subur, gemuk dan segar. Saya melihat mereka tidak menghiraukan bahaya meredah paya hanya untuk mendapatkan pucuk-pucuk itu untuk dijadikan lauk juadah sekeluarga.

"Ya Allah..Kau hantar kakak-kakak itu kepadaku disaat hati ku menjerit lagi tersepit. Wahai tuhan..sesungguhnya kau Maha pengasih lagi maha mendengar segala bisikan hati."

Lalu, nikmat Allah yang manakah hendak di dustakan?

Friday, March 13, 2009

Buah Koko

Sejak berpindah ke Kampung Paya Jakas, abah begitu jarang sekali kami temui. Dia begitu sibuk berkebun. Mengusahakan tanah yang sekian lama terbiar di kampung halamannya. Bertahun-tahun semasa kami tinggal di Labis, abah menanam pisang dengan menyewa di tanah orang.

Dia ingin mengejar masa yang telah berlalu. Katanya, Masa itu ibarat emas. Apabila kita berniat ingin melakukan sesuatu, lakukan lah segera. Lakukan hari ini kerana esok di tangan Allah. Esok belum tentu nyawa ini masih di jasad. Belum tahu adakah Allah masih pinjamkan lagi nikmat kehidupan kepada kita. Kita tidak akan mungkin bertemu dengan esok!

Jangan bertangguh. Mulakan sesuatu hari ini, seolah-olah hari ini adalah hari terakhir kita di dunia. Kerjakan ia bersungguh-sungguh seolah-olah ia untuk bekalan hidup seribu tahun lagi. Pesan abah :

"Jika kita berusaha pada tanah, hasilnya kita akan perolehi 10 tahun dari sekarang. Sama juga dengan belajar, hasilnya dapat kita lihat di masa akan datang. Apa sahaja yang kita usahakan hari ini, hasilnya ESOK."
Setiap petang selepas pulang dari sekolah, abah akan bergegas ke kebun. Begitu juga di hari minggu. Subuh-subuh lagi dia sudah pergi bersama mak. Saya ditinggalkan bersama adik-adik. Tanggung jawab saya lah memberi makan dan menjaga mereka.

Ketika musim cuti sekolah, mak akan siapkan bekalan nasi dan kami sekeluarga akan pergi berkebun. Kami ditugaskan untuk mengisi tanah ke dalam bag pelastik hitam. Di dalam pelastik hitam itu, abah akan masukkan anak benih. Apabila anak benih membesar, kami alihkan pula ke dalam kebun. Tanam satu persatu. Berbaris-baris. Ia tidak habis di situ sahaja kerana anak -anak pokok itu perlu di siram dan di baja.

Habis musim menanam koko, abah sambung menanam durian. Kemudian cempedak, lepas itu dokong, duku langsat, pisang...tidak ketinggalan kelapa sawit. Ianya berterusan, sehingga kebun kami membuahkan hasilnya. Bila koko berbuah, kami petik, kemudian kami mengeluarkan isi dari buahnya. Lalu di jemur sehingga kering. Pendek kata, zaman kanak-kanak kami banyak di habiskan di dalam kebun.

Selalunya kami pergi ke kebun awal pagi, hampir senja baru sampai di rumah. Penatnya tidak terkata. Selepas mandi, solat dan makan malam ala kadar, kami sekeluarga terus tidur dengan nyenyaknya.

Maafkan saya kawan-kawan, saya tidak berkesempatan untuk beramah mesra apatah lagi bermain bersama. Budak-budak di kampung itu, mungkin jarang sekali melihat saya kecuali di sekolah. Saya ingin sekali bermain batu seremban bersama mereka, bermain skipping, bermain pondok-pondok dan bermain kejar-mengejar.

Saya ingin sekali bermain di sawah bendang bersama sepupu-sepupu seperti dahulu. Main basikal, mandi sungai dan menangkap ikan puyu atau berudu.

Namun, apa kan daya..saya hanya mampu melihat dengan ekor mata. Lalu, dipendamkan segalanya di dalam dada.
"Ya Allah..berikan kami rezeki kekuatan fizikal dan mental..berikan kami kesihatan yang baik. Limpahkan kami kurnia dari rezekiMu. Jadikan kami hamba yang mensyukuri akan nikmat dariMu."

Thursday, March 12, 2009

Nyior Gading

Mak kelihatan tidak sihat sepanjang di dalam pantang melahirkan Razif.

An dan Ayu ( berumur setahun dan tiga tahun), masih belum mengerti. Tuti dan Ratna masing-masing di dalam darjah tiga dan dua, banyak bergantung kepada saya. Mereka begitu kuat sekali bermain. Langsung tidak menghiraukan apa yang berlaku di rumah. Alahai! Apa lah yang boleh dilakukan oleh budak berumur lapan dan sembilan tahun jika tidak bermain?

Setiap hari bila pulang dari sekolah, saya melihat mak terbaring lesu di atas katil sambil menyusukan adik bungsu kami. Ayu dan An baring berhampiran. Di tangan masing-masing mengonggong botol susu yang separuh sejuk.

Apabila memanggil beberapa kali namun mak tidak menyahut, saya tahu mak sedang sakit. Di dapur masih lagi terdapat saki baki nasi goreng pagi tadi di bawah tudung saji. Saya tahu, sengaja mak masak lebih untuk kami mengalas perut sebelum pergi pula ke sekolah Agama di sebelah petang. Itulah makanan tengahari kami hampir setiap hari.

Di suatu hari minggu, mak langsung tidak boleh bangun. Saya melihat An dan Ayu merenggek meminta susu, namun mak langsung tidak bergerak.

" Ya Allah..mak dah tak ada ke?" hati saya berdetik.

"Kak Ngah..kita nak makan apa pagi ni? Orang lapar la..." Tuti dan Ratna pula meminta.
Saya buntu seketika. Apa yang saya tahu? Apa yang perlu saya lakukan? Lalu, saya teringat bagaimana mak memasak bubur nasi (Mak masukkan secawan beras ke dalam periuk besar dan curahkan air banyak-banyak). Saya tenggekkan periuk ke atas dapur minyak tanah. Sementara di dapur sebelahnya, saya jerang kan air.

Sementara itu, saya kutip semua botol susu adik-adik. Saya cuci bersih-bersih dan buatkan susu menggunakan air tarmus. Kemudian saya angkat adik-adik seorang demi seorang dan mandikan mereka di dalam bilik air. Saya curahkan air dari baldi yang saya angkut dari rumah Mak wa dan campurkan sedikit air panas yang di jerang tadi ke dalam besin besar. Saya masukkan mereka ke dalam besin itu.

"Ratna..tengok adik mandi." Arahan 1
"Tuti..kutip baju-baju kotor." Arahan 2
Air panas tadi saya buatkan teh dan selebihnya saya masukkan ke dalam tarmus. Kemudian saya ambil beberapa biji telur, pukul-pukul sedikit dan goreng dengan sedikit minyak. Telur tadi saya hancur-hancur kan agar kelihatan banyak. Saya letakkan makanan di atas meja. Saya ambil sedikit dan hantar ke bilik mak. Mak masih terbaring tidak bergerak-gerak, namun dengkurannya kedengaran. Saya lega mendengar dengkuran itu.

Saya angkat adik-adik keluar dari besin besar. Siapkan pakaian mereka. Saya bubuh bedak putih-putih ke muka mereka. Bagi mereka botol susu masing-masing.

"Tuti dan Ratna..pergi mandi sekarang." Arahan 3
"Mandi guna air dari besin ni ke Kak Ngah?"
"Ya..jangan membazir."
Selepas adik-adik siap berpakaian, saya suruh mereka makan bubur nasi dengan telur hancur. Ayu dan An saya suapkan ke mulut mereka. Mereka makan dengan berselera sekali. Sekejap sahaja bubur secawan beras tadi habis - tak cukup rupanya.

"Kak Ngah tak makan ke?
"Tak..dah kenyang minum teh."
"Ratna, cuci cawan lepas ni." Arahan 4
"Tuti, pergi sapu sampah di luar rumah." Arahan 5
Saya masukkan kain-kain kotor ke dalam besin besar baki air adik-adik mandi dan masukkan sabun basuh. Kain-kain kotor saya berus-berus ala kadar. Rendam seketika dan angkut air untuk bilasan. Hampir tengahari, kain siap tersidai.

Tengahari itu, saya cuba masak nasi pula. Kali ini saya masukkan tiga cawan beras. Saya tidak ingat lauk apa yang di masak, tapi seingat saya nasi yang di masak separuh rentung. Namun, adik-adik saya tidak pernah bersunggut. Mereka makan seperti tiada apa-apa yang berlaku.

Saya benar-benar letih dan sayu. Sayu apabila melihat rakan sekelas melintas di rumah saya ketika pulang dari kelas tambahan (darjah 5) di sekolah. Lalu, saya menyorok di belakang sebatang nyior gading. Di situ air mata tumpah tidak terkawal. Jauh di sudut hati saya berjanji untuk belajar hingga ke menara gading.

"Ya Allah..tabahkan hati ku. Kuatkan semangatku. Berikanlah rezeki kesihatan kepada ku agar dapat aku berbakti kepada ibubapa ku. Wahai tuhan..berikan lah kasih sayangMu, rahmatMu dan berikan lah tunjuk ajar kepada ku.."
"Ya Allah..perkenankanlah."

Wednesday, March 11, 2009

Pondok Telefon


Murid darjah lima dan darjah enam di tempatkan di bangunan batu separuh papan. Di hujung sebelah kiri adalah bilik rehat guru, sementara di hujung sebelah kanan adalah merupakan pejabat Guru Besar.

Kami sentiasa terpaksa mengawal diri semasa di dalam kelas terutamanya ketika guru tiada kerana kedudukan kelas kami yang begitu keadaannya.

Berhampiran kelas kami terdapat satu-satunya pondok telefon untuk kegunaan penduduk kampung. Sesuatu yang menarik hati, apabila telefon berdering tidak berhenti-henti, cikgu akan menyuruh kami menjawabnya. Ia seperti suatu rutin harian.

"Kring..kring..Hello, nak cakap dengan siapa?"
"Kak Yah kantin? Oooo..tunggu sekejap ye.."
Kadang-kadang terdapat murid darjah lima dan darjah enam berlari keluar menyambut telefon secara serentak. Ia benar-benar menganggu pembelajaran. Suatu hari saya bertanya kepada cikgu yang menyuruh kami menyambutnya secara bergilir-gilir.

"Cikgu, kenapa perlu kita berbuat begitu? Apa kata kalau kita buat tidak tahu sahaja."

"Boleh..tapi sanggup kah awak mendengar telefon berdering-dering menganggu kelas kita? Tidak apalah..kita anggap ia sebagai salah satu pelajaran, menjawab panggilan telefon. Ia boleh di anggap sebagai satu ibadah jika kita niatkan kerana Allah Taala. Mana tahu entah-entah ada kecemasan, entah-entah orang di dalam kesusahan."

"Allah telah berjanji akan membalas setiap kebajikan walaupun ia sebesar zarah."

Terkesan di dalam hati saya. Pemurahnya Allah pencipta Alam..



Monday, March 9, 2009

Lampu Gasoline

Di sini, di kampung Paya Jakas ini lah cahaya kehidupan indah bermula.

Kami berpindah ke kampung kelahiran abah ini ketika mak masih lagi di dalam pantang kerana melahirkan adik bungsu kami, Razif. Kak Long Pidah telah mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke tingkatan satu di Sekolah Menengah Sains Johor, Keluang. Manakala, Kak Long Sidah (anak saudara sebelah mak - kematian ibu ketika berumur 12 tahun) yang sekian lama tinggal bersama kami telah mendirikan rumah tangga, lalu dia mengikut suaminya.

Maknanya, kini saya lah yang harus menjadi "orang harapan" mak. Segala-galanya bermula dan kelihatan amat sukar sekali..
Alhamdulillah, abah membina rumah kampung kami bersebelahan dengan rumah Mak Wa. Ia terletak di seberang jalan berhampiran anak sungai. Rumah separuh papan kami agak selesa. Dua bilik di bahagian atas dan dua bilik di bahagian bawah.

Kami amat gembira tinggal di sini. Cuma, di kampung ini masih belum mempunyai talian eletrik lagi. Tiada lampu kalimantang, tiada radio dan televisyen. Malah, masih belum mempunyai saluran air paip di bilik air kami.

Setiap senja, kami menunggu abah pulang ke rumah untuk memasang lampu gasoline. Jika abah terlewat pulang, kami adik-beradik akan duduk berhimpit-himpit di sekeliling mak (kerana takut kegelapan malam) dengan diterangi oleh sebuah lampu pelita minyak tanah. Waktu-waktu begitu, Mak Wa akan datang membawa lampu gasoline ke rumah kami.

Namun, sampai bila kami harus menunggu abah pulang dan Mak Wa datang membawa cahaya?

Lalu mulai saat itu, saya mohon di ajar memasang lampu gasoline. Dan..akhirnya ia merupakan permulaan suatu tugas yang berterusan. Rupanya.. jika kita inginkan cahaya, jangan menunggu ia datang. Cahaya itu tidak sentiasa datang sendiri di depan mata. Kita harus mencari cahaya itu. Kita perlu memohon..

"Ya Allah..sinarilah hidup kami dan terangilah hati nurani kami dengan cahayaMu, kasih sayangMu dan rahmatMu."

"Ya Allah..berikanlah nur (cahaya) diwajahku, penglihatanku, pendengaranku, pada lidahku dan hatiku. Berikanlah nur diatasku, dibawahku, didepanku, dibelakangku dan berikanlah nur pada seluruh kehidupanku..

"Sebagaimana nur yang kau berikan kepada hambaMu yang beriman dan beramal soleh. Wahai tuhan..perkenankan lah.."
Lampu Gasoline : Foto ihsan dari Radzmi.blogspot.com

Friday, March 6, 2009

Kasut Getah



Pernah kah anda melihat kasut getah seperti ini ?

Rata-rata saya melihat rakan sekelas di Sekolah Kebangsaan Paya Jakas memakainya. Ia terdapat di dalam dua versi - bersarung dan bertali. Bila di tanya kepada rakan sekelas, kata mereka :
"Yang bersarung harganya RM4.50 hingga RM6.00. Manakala kasut bertali harganya di dalam lingkungan RM3.50 sahaja. Awak boleh beli di kedai XXXX.."

"Kaki awak saiz berapa? Kalau ada di kedai Ladang Nagappa nanti saya belikan.."
Satu jawapan yang jujur lagi ikhlas.
"Saya cuma tanya sahaja..lagi pun abah dah beli kasut kain ni. Jenis BATA.

"Kasut jenis kain macam tu..kalau hujan, cepat kotor dan cepat basah. Jenis ni, kita basuh sahaja dia cepat kering dan cepat bersih."
Satu pandangan yang logik.

Saya pernah melihat rakan sekelas yang tinggal di Kampung Ulu Jementah ( jaraknya 2 Km ke sekolah) meredah hujan dengan berkaki ayam. Kakinya penuh berlumuran tanah merah. Sebelum masuk ke dalam kelas, beliau pergi ke paip yang berhampiran untuk membasuh kaki lalu mengeluarkan kasut getah dari dalam beg.

Di dalam diam, saya sayu melihat mereka. Lalu, sesekala saya tanggalkan kasut sewaktu berjalan pulang dari sekolah petang (Sekolah Agama) meredah hujan bersama-sama mereka. Ya..saya melihat diri saya di dalam diri mereka. Betapa saya perlu bersyukur kerana ditakdirkan mempunyai kehidupan yang lebih baik berbanding mereka.

Lalu, nikmat Allah yang manakah hendak didustakan?

Tuesday, March 3, 2009

Bunga Tanjung









Saya berpindah ke Sekolah Kebangsaan Paya Jakas, Jementah, Segamat semasa di dalam darjah lima. Alahai! Ia sebuah sekolah kecil di dalam kampung. Terletak di tepi jalan besar laluan Segamat - Muar.

Jika hendak di buat perbandingan, ia perbezaan yang amat ketara dengan Sekolah Rendah Inggeris Labis. Sekolah itu mempunyai kolam renang, zoo, Taman Sains & Ekologi dan mempunyai Gymnisium yang menempatkan pelbagai alatan sukan. Ramai anak-anak staf dan pengurus ladang yang bercakap "Orang putih" bersekolah di situ.

Sekolah baru, ia sebuah sekolah papan satu setengah tingkat. Menempatkan murid darjah satu hingga darjah empat. Sekolah itu tidak bertingkap dan tiada pernah berkunci. Alahai! Mengapa pula ia perlu di kunci, kerana tiada apa yang ingin di ambil oleh sesiapa. Yang ada cuma meja dan bangku panjang yang boleh diduduki untuk dua orang murid. Sebuah almari kayu dan papan hitam. Lagi pun, ia datangnya dari sumbangan orang kampung.

Kelas-kelas tersebut hanya dipisahkan oleh almari kayu dan papan hitam yang boleh berpusing-pusing. Suasana kelasnya agak hingar bingar - kerana murid-murid akan sedaya upaya membaca dengan kuat untuk mengalahkan kelas yang lain. Malah, sesekala apabila ada ayam kampung tersesat melintas ke dalam kelas, murid dari kelas yang bertentangan akan berebut-rebut menghalaunya keluar!

Kelas tersebut pada sebelah paginya digunakan untuk sekolah kebangsaan. Sebelah petangnya digunakan untuk sekolah agama. Sebelah malamnya untuk kegiatan Belia. Di hari minggu dijadikan tempat untuk kuliah Agama.

Berhampiran sekolah itu terdapat sebatang pokok Bunga Tanjung. Apabila angin bertiup sepoi bahasa, haruman nya menusuk perasaan. Ia membawa bersama kuntum bunga-bunga tanjung dan biji-bijian - bertebaran masuk ke dalam sekolah papan kami. Namun, itulah saat paling mengembirakan hati!

Di bawah pokok Bunga Tanjung itulah seluruh penduduk kampung Paya Jakas berkumpul mengikut giliran. Sebelah pagi untuk murid sekolah sewaktu rehat, sebelah petang untuk orang tua yang pulang dari masjid dan sebelah malam untuk orang-orang bujang berkumpul sambil bermain gitar.

Apabila terhidu haruman bunga tanjung yang menusuk perasaan, di dalam diam hati berbisik :
"Ya Allah, rahmatilah tempat ini. Bawalah aku keluar jauh dari sini. Namun, suatu hari nanti kembalikan daku semula ke sini untuk ku memberi khidmat bakti kepada sekolah daif ku ini..wahai tuhan, perkenankan lah."

Monday, March 2, 2009

Congkak dan biji getah












Dulu, permainan ini kami main di bawah rumah sahaja. Kami korek beberapa lubang. Dalamnya anggaran boleh memasukkan beberapa biji-biji getah.

Untuk mengetahui siapakah yang patut memulakan permainan, pemain perlu membuat undian dengan menggunakan kemahiran tangan. Mula-mula tangan kanan disorokkan ke belakang pinggang masing-masing dan kemudian pemain mengeluarkannya dengan pantas membentuk suatu simbol.

Setiap simbol yang keluar dari tangan kanan pemain mestilah mematahkan simbol yang dikeluarkan oleh pemain yang lain. Contoh, gunting dengan kertas - bermakna kertas akan kalah.

Begitulah seterusnya sebanyak tiga pusingan kiraan.
"1-2-3 OoooooSom! OooooSom! Haa, awak kalah. Saya mulakan dulu."
Lalu, kami bermain sehingga kesemua biji congkak terkumpul di rumah congkak masing-masaing samada di hujung sebelah kiri atau kanan. Siapa yang paling banyak mengumpulkan biji getah bermakna mereka menang!

Permainan yang menguji minda dan ilmu conggak!

Hari ini, congkak mulai dimainkan oleh hantu pula... jika bermain, Jangan pandang belakang!