Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Friday, June 26, 2009

Warkah Pertama dan terakhir


Pagi itu saya solat subuh setengah hati. Cadangan untuk menyambung tidur tiba-tiba tidak menjadi. Terhenti. Mati!

Hari-hari sebelum itu, perasaan saya sentiasa berkobar-kobar dan hati berdebar-debar. Kini, semangat diri hilang melayang, terbang di awang- awangan.

Masa berlalu terasa berjalan begitu perlahan. Dunia bagaikan senyap sunyi tanpa penghuni. Hanya saya dan bayangan penulis surat itu sahaja. Kalau tidak percaya, menjeritlah! Walau bagaimana bising dan riuh rendah sekalipun, saya tidak perasan.

Tetapi pagi itu suasananya sangat berlainan. Debaran hati berombak kencang. Nyilu terasa di hujung hati, perasaan bagai di hiris-hiris. Mata berpinar-pinar. Terasa mahu tumbang ke lantai!

Resah. Gelisah!

Bagaimana tidak saya berperasaan begitu, surat kiriman yang disalin dari majalah URTV hilang di dalam simpanan. Apa yang ditulis sepenuh perasaan entah terselit di mana. Seingat saya, saya telah menyelitnya di celah-celah buku rampaian. Barangkali buku rampaian Sains, mungkin juga Sejarah atau Geografi. Hati berbelah-bahagi. Kusut masai hati dan perasaan.
Mungkinkah ia di tangan Mak dan abah? Memang itu kesilapan saya. Saya nekad untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Redha.

Saya ternanti-nanti apakah hukuman yang bakal saya terima dari mak dan abah nanti. Saya akur bahawa saya masih lagi di bawah jagaan mereka. Menumpang belas ihsan mereka. Saya bersedia menerima balasannya. Mula bertekad di dalam hati dan berjanji untuk tidak akan mengulanginya lagi.

Hari-hari berlalu begitu sahaja, bagaikan tiada berlaku apa-apa.

Saya mulai selesa dan berfikir bahawa kemungkinan surat kiriman itu memang telah terselit di mana-mana. Tidak mengapa. Ketakutan hilang, saya kembali ceria.
Di suatu pagi minggu, saya melihat abah dan mak duduk di beranda. Di hadapan mereka terdapat seikat surat-surat bersampul berbunga-bunga. Mereka sedang membacanya. Saya mula buat-buat sibuk di dapur.

Beberapa detik kemudian, saat-saat kebenaran pun tiba. Salah seorang adik memberitahu bahawa saya di panggil oleh mereka.

"Mak nak tanya ni.. awak sudah tidak berminat untuk belajar? Kalau tidak berminat, mak dan abah sepakat hendak berhentikan sahaja"
Diam.
"Dah berminggu-minggu mak perhatikan perlakuan awak. Apabila mak menyemak.. baharu mak tahu. Kini, sudah mulai berani meminta teman lelaki menghantar surat ke alamat rumah"
Diam. Sambil otak terfikir-fikir, hati berbisik-bisik dan tertanya-tanya. Bersimpang siur!
"Siapa pula yang memberikan alamat rumah?"
Mak meneruskan khutbahnya. Abah diam dan terus membaca.
"Nampaknya awak sudah ada pilihan hati. Kalau begitu, mari kita cari Tok Kadi. Mak dan abah bersetuju dan bersedia untuk menerima menantu"

Ya Allah. Hancur luluh hati saya. Siapa pula yang mengirim surat-surat itu ke rumah tanpa pengetahuan tuan punya diri? Bagaimana mereka mendapat alamat tersebut? Barangkali ada di antara rakan-rakan rapat yang memandai-mandai menjadi "cerdik pandai". Cerdik pandai yang tidak diundang!

Mungkin ada di antara mereka yang simpati dan ingin cepat-cepat menyudahkan episod ini. Di antara mereka ada yang sudah tidak sabar-sabar melihat saya berkedaan begitu berminggu-minggu lamanya. Pernah terkeluar dari mulut salah seorang daripada mereka menyatakan bahawa saya mengambil masa terlalu panjang untuk membuat keputusan.
"Jika hati sudah berkenaan, mengapa tidak diteruskan..?"
Bunyinya macam bisikan anak syaitan berkepalakan manusia. Ada pula yang berkata,
"Tepuk dada, tanya selera.."
Ya Allah, di mana mereka? Bodohnya diri ini diperbodohkan seperti ini. Terguris hati di sabotaj rakan sendiri. Remuknya perasaan seperti di tikam sembilu. Tajamnya menusuk hati.

Di saat-saat saya berada di dalam kesusahan dan kesedihan, tiada siapa yang datang bertandang untuk menyatakan pembelaan. Saya terkapar-kapar. Menghadapi dan mengharungi situasi begitu sendirian.

Wednesday, June 24, 2009

Warkah Pertama 3


Sudah berminggu surat itu saya simpan di dalam buku itu. Berulang kali saya membacanya. Hampir setiap malam tidak dapat melelapkan mata kerana memikirkannya.


"Siapakah gerangan saudara yang sudi untuk berkenalan?"

Saya sudah berkira-kira untuk menyatakan demikian. Inilah kali pertama rasanya ada orang yang menghulurkan salam pengenalan yang menyentuh perasaan. Nadanya tersusun indah penuh harapan:

Pecah kaca pecah gelas
Sudah baca harap balas


Hati saya sudah nekad. Ya. Salam di hulur haruslah di balas.

"Bodoh kalau dibiarkan."

Saya melayan bisikan syaitan.

Nanti apabila sampai masanya, minta-minta tuhan menemukan saya dengan dia. Entah siapa orangnya. Entah mana kelasnya. Entah tingkatan berapa.

Jadi, hari itu di dalam perjalanan ke sekolah, saya singgah di sebuah kedai buku di pekan Jementah. Saya pilih kertas surat kiriman sepasang dengan sampulnya yang semerbak harum baunya, rona berbunga.

Seorang rakan juga telah berjanji untuk memimjamkan majalah URTV kepunyaan kakaknya. Katanya banyak kata-kata dan ungkapan yang indah-indah terdapat di dalamnya yang boleh dinukil bait-bait ayat itu sebagai balasan surat perkenalan.

Malam itu, saya cuma menjamah sedikit sahaja makanan kerana ingin cepat-cepat menulis surat kiriman. Hati gementar, gelisah dan rasa tidak sabar. Mak kelihatan bertambah kehairanan.

Puas saya menyelak-yelak majalah itu. Mencari kata-kata indah, namun ternyata ayatnya membuatkan saya "geli geleman". Saya conteng-conteng dahulu di dalam buku latihan lama, beberapa ayat di cantum-cantum menjadi patah-patah perkataan.

Semakin banyak ayat yang di salin, semakin "loya" tekak saya membacanya.

Untuk saringan pertama, saya salinkan pula ke dalam kertas surat kiriman yang harum semerbak rona berbunga. Ah! Buruk pula tulisan saya. Lalu, saya mengoyakkannya.

Saya salin sekali lagi. Tertinggal sepatah perkataan pula! Koyak lagi. Saya melakukannya berkali-kali sehinggalah ia menepati cetusan hati.

Tiba-tiba ;

"Awak tidak tidur lagi? Dah lewat malam ni.. "

Masyallah! Mak menjenguk ke bilik saya dengan tiba-tiba.

Monday, June 22, 2009

Warkah Pertama 2


Surat perkenalan itu mengusik hati, menyentap perasaan. Saya mencari-cari tuan empunya diri di dalam diam. Saya fikir ingin menghadapinya sendirian, namun ia tidak dapat bertahan.

Akhirnya, saya berkongsi cerita sesama teman-teman.

"Dia ni pun satu..kalau ia pun hendak menyuruh orang agar surat di balas, beritahulah mana dia punya kelas. Tingkatan berapa? Hendak bagi surat ini pakai tangan ke..?"

"Ya lah..ataupun beritaulah alamat di rumah."

Teman-teman rapat memberikan tindak balas. Betul juga tu. Kenapalah saya tidak terfikir begitu. Saya memberitahu mereka bahawa surat itu diletakkan di bawah meja tingkatan 2A/2 yang digunakan oleh pelajar persekolahan disebelah pagi.

"Jika kita letakkan di tempat yang sama, ada kemungkinankah surat balasan itu nanti akan sampai ke dalam tangannya?"

"Apa kata kita bertanya kepada "Si pembersih" yang duduk di meja itu?"

"Ya Allah, awak dah gila! Macam tak munasabah bunyinya, tetapi.. jika terpaksa kita boleh mencuba."

Lalu, kami sepakat untuk menulis nota dan bertanya kepada "Si Pembersih", pelajar tingkatan 2A yang duduk di meja 2A/2. Seorang rakan beria-ia ingin menulis bagi pihak saya.Di kalangan kami, hasil tulisannya dikatakan paling hebat sekali. Kami sepakat akur. Setelah membaca berkali-kali, akhirnya beginilah bunyi surat yang dipersetujui :

Saudara Jxxxxx,

Tujuan saya menulis surat ini bukanlah untuk berkenalan dengan saudara. Jauh panggang dari api. Tetapi saya ingin bertanya sekiranya saudara tahu tentang sampul surat wangi yang diletakkan di meja ini tempohari. Kenalkah saudara tuan punya diri? Bagaimanakah cara saya boleh menghubunginya?

Dari meja tingkatan 1A/2
RR

Keesokannya kami menerima jawapan :

Saudari,

Sekiranya saudari ingin berkenalan dengan sesaorang, janganlah sampai di lihat sebagai seorang perempuan murahan. Apahalnya hendak mendekati lelaki berkenaan? Tiada pengenalan diri, tiada alamat peribadi. Jika saya menjadi saudari, saya tidak akan berkawan dengan seorang lelaki yang sebodoh itu!

Dari meja tingkatan 2A/2
Jxxxxx

Kami semua panas hati!

Warkah Pertama


Petang itu saya terima sepucuk surat yang diletakkan di bawah meja. Sudah pasti daripada pelajar di persekolahan sebelah pagi [ Tingkatan 2 - 5]. Entah bagaimana ia berada di situ, saya tidak tahu.

Sebelum itu, saya pernah terima beberapa nota yang ditinggalkan dibawah meja yang sama. Entah siapa yang menulisnya, tidak saya peduli. Saya biarkan ia terkumpul disitu sehingga menerima amaran, rakan yang duduk semeja di sebelah pagi :

Saudari,

Saya tidak peduli sekiranya saudari diutusi nota oleh ramai pelajar lelaki. Tetapi, saya tidak tahan sikap pengotor saudari yang keterlaluan. Tolong buang kertas surat kiriman berkenaan!

Yang Benar,
Jxxxxx
Tingkatan 2A

Saya panas hati dan mula mencari-cari "Jejaka Pembersih" lagi berterus terang itu. Tidak pandai menjaga hati orang. Lancang!
"Handsome sangatkah muka dia?"

"Nanti kita pakat cari sama-sama."

Rakan disebelah meja sepakat dengan hasrat hati saya.

Tetapi, surat yang saya terima petang itu agak berlainan sekali. Bersampul wangi dan tulisannya begitu kemas sekali. Hati terpaut, mulut tersebut. Lalu, saya mengambil keputusan untuk membacanya selepas waktu persekolahan. Surat tersebut saya selitkan ke dalam salah sebuah buku teks sekolah.

Sampai dirumah hati berdebar-debar. Perasaan mahu membaca membuak-buak tetapi takut untuk mengetahui apakah kandungan di dalamnya. Saya tunggu sehingga selesai makan malam dan menghabiskan kerja-kerja sekolah yang cikgu berikan.

Selalunya saya sibuk bercerita kepada mak tentang apa yang berlaku disepanjang waktu persekolahan. Tetapi, hari itu saya senyap sahaja. Diam seribu bahasa. Saya kira mak perasaan, tetapi didiamkan.

Sebelum tidur, perlahan-lahan surat misteri itu di buka. Ya Allah, bedak wangi di dalam sampul surat terbang bertaburan! Saya membaca dengan debaran penuh di dada. Dapat menangkap apa maksud yang tersurat dan tersirat di dalamnya. Tersenyum sendirian. Maksudnya mendalam. Bergetar jiwa raga anak gadis remaja di sapa anak teruna.

Hampir seminggu saya menjadi pendiam. Terkedu dalam khayalan. Mencari-cari dan tertanya-tanya siapakah gerangan yang ingin berkenalan. Apa yang pasti, ia bukan datangnya dari rakan semeja "Si pembersih" di sebelah pagi itu. Nadanya berbeza. Pasti ianya datang dari pelajar tingkatan yang lain.

Hati berbelah bahagi. Samada patutkah saya membalasnya atau mendiamkan sahaja. Hati tercuit dengan dua baris perkataan yang mengesankan. Ia amat menganggu perasaan :

"Pecah kaca, pecah gelas
Sudah baca, harap balas..."

Saturday, June 20, 2009

Impian


Sepanjang kami di Baitullah Ayu tidak henti-henti bercerita tentang impian. Di Masjidil Haram, dia begitu terpesona kepada ibu-ibu yang melakukan amal ibadat dengan membawa anak-anak mereka bersama. Seolah-olah anak-anak bukannya batu penghalang kepada mereka.

Saya melihat keriangan di wajah Ayu apabila terpandang anak kecil yang berpakaian ikhram, Sa'ei bersama ibubapa mereka. Kadang-kadang Ayu tertawa sendirian, ia bukan dibuat-buat. Saya kira hatinya terubat melihat kerenah dan gelagat anak-anak "melakukan" ibadat.

"Minta-mintalah suami Ayu terbuka pintu hati untuk datang ke sini. Kalau boleh Ayu ingin membawa anak-anak sekali."

Ayu menyuarakan impian hati.

"Kalau boleh Ayu nak terus melakukan ibadah haji. Kalau dapat di dalam waktu yang terdekat."
Ayu ulang berkali-kali.

"Harapan mak agar Razif temui seorang isteri yang solehah sebelum mak dijemput illahi."

Mak pula menyatakan impian diri.

Saya? Untuk esok, mendoakan kejayaan suami, anak cucu di dunia dan di akhirat. Agar mereka mendapat petunjuk dan hidayah serta kasih sayang berserta rahmat Allah. Biar mereka tidak berpaling hati, agar memegang simpulan tali tauhid Allah yang paling kukuh, lalu menjadikan Islam sebagai cara hidup untuk mati juga di dalam Islam. Ya Allah, temukan kami di kampung akhirat.

Lalu, saya melihat diri sendiri. Menoleh ke belakang apa yang telah saya lalui. Teringat impian di waktu kecil, semasa remaja, ketika bercinta, alam pekerjaan dan melayari tempoh perkahwinan.

Alhamdulillah. Terlalu banyak impian hati yang telah tertunai. Telah tercapai. Jika di kira satu persatu, kebanyakan impian tidak terkubur. Kebanyakannya makbul. Hanya satu dua yang tidak dipenuhi-Nya. Tetapi, bukankah Allah maha berkuasa, malah Dia mengetahui apa yang tidak kita ketahui? Semua pengetahuan di dalam genggaman-Nya.

Maknanya, doa sesaorang itu amat mustajab dan dibayar-Nya tunai walaupun jawapannya bukan esok, bukan lusa, bukan sebulan atau setahun. Kadang-kadang impian terlaksana setelah bertahun-tahun lamanya, sehingga kita telah terlupa. Apabila berlaku, baru teringat rupa-rupanya suatu ketika dahulu impian itu telah dipanjatkan kepada-Nya.

Tiba-tiba terlintas di dalam hati saya;

"Ya Allah, apa lagi yang kuinginkan di dalam dunia? Yang ditemui hari ini, esoknya pasti punah. Apa yang ada, tidak akan kekal lama.

"Wahai tuhan, salahkah saya menghina dunia kerana menunaikan impian pesona yang tidak kekal? Yang menjadikan saya seorang pemburu yang terus memburu. Kini, saya nyatakan pada hati bahawa impian dunia itu harus berhenti. Di sini!

"Ya Allah, saya hanya ingin menjadi seorang hamba-Mu yang bersyukur, menerima dan redha dengan segala ketetapan yang telah ditentukan.

"Ya Allah, izinkanlah saya ulang-ulangi cerita-cerita lama bagaimana impian yang tersembunyi dahulu, tetapi kini telahpun ditemui. Hebatnya kejadian-Mu, hebatnya kasih sayang-Mu. Setiap yang baik itu datangnya dari-Mu, yang buruk itu adalah kelemahanku."

Hari ini, saya hanya ingin mensyukuri apa yang telah saya lalui. Menghargai kenangan semalam yang menginsafkan. Maka, nikmat Allah yang mana satukah hendak didustakan?

Friday, June 19, 2009

Tahalul

Saya kira, kami mengambil masa hampir dua jam untuk menyudahkan perjalanan tujuh kali berulang-alik dari Safa ke Marwah. Tanpa berlari-lari tanpa berjalan pantas.

Beberapa meter sebelum sampai sampai di bukit Marwah, kami berhenti buat sekian kali. Segelas air zam-zam lagi untuk mak. Saya melihat suami dan anak-anak melambai-lambai dan menanti kami di bukit Marwah dengan penuh kesabaran.

Akhirnya kami sampai ke garisan penamat. Suami dan anak-anak menyambut tangan saya dengan penuh kegembiraan. Abah dan Ayu juga telah berada di sana.

Di bukit Marwah, kami mula bertahalul (bergunting). Masing-masing mencapai buku, membaca bait-bait bacaan doa yang tertulis di dalamnya.

Saya meraba-raba dan mencapai beberapa helai hujung rambut di celah anak tudung kepala, lalu menguntingnya. Mak pula meminta saya mengunting hujung rambutnya sambil beliau membaca bacaan doa.

Kemudian tiba giliran Ayu.

“Kak Ngah, tolong guntingkan rambut Ayu.”

Saya meraba-raba di celah-celah anak tudungnya. Mengulangi sekali lagi. Menyingkap kain telekung, mata tertumpu ke arah anak tudungnya. Lalu, saya meletakkan gunting betul-betul rapat di kulit kepala. Serapat mungkin. Dengan berhati-hati sekali.

“Dapatkah Kak Ngah mengunting rambut Ayu? Ayu sudah tiada rambut ni..”

Sayu.

“Dapat guntingkah rambut Ayu?”

Tanya Ayu berkali-kali.

“Ya..Dapat Ayu.. dapat. Banyak sekali.”

Saya menyuakan secubit rambut-rambut halus ke arahnya. Tidak terkata. Tanpa disedari ada air berkaca di mata. Mengalir perlahan tidak dapat di tahan..

Thursday, June 18, 2009

Sa'ie


Kami sampai ke Mekkah pada pukul 10.30 malam. Berkumpul di lobi hotel pada pukul 11.00 malam menuju ke Baitullah untuk melakukan tawaf umrah, Sa'ie dan tahalul.

Semasa bertawaf, mak bersama saya. Ayu dipimpin oleh abah. Anak-anak lelaki bersama suami. Kami membawa haluan sendiri. Berjanji selepas selesai tawaf untuk berkumpul di bukit Safa.


Saya kira, mereka terpaksa menunggu kami agak lama. Saya memimpin tangan mak dan berjalan perlahan-lahan. Jika diikutkan hati mahu sahaja saya berjalan sepantas mungkin, secara berlari-lari.


Dari Safa ke Marwah kami banyak kali berhenti. Menghela nafas, mengelap keringat dan membasahi tekak dengan air zam-zam yang banyak terdapat di sepanjang perjalanan. Sesekali bertanya;

"Mak penat? Kalau penat, kita berhenti dahulu. Nanti, kita sambung lagi."

"Teruskan..mak masih mampu lagi berjalan."

Bersemangat. Namun, jelas kelihatan tercungap-cungap dan pendek-pendek mak bernafas. Saya memerhati dengan simpati. Saya tahu perangai mak. Tidak sekali-kali akan menyerah kalah. Tidak simpati pada diri. Beliau akan berusaha sepenuh tenaga.

"Mak, saya rasa kita harus berhenti di sini."

Semasa kami berhenti, berulang kali terserempak anak-anak lelaki yang telah melalui laluan ini. Itu bermakna kami telah ketinggalan beberapa pusingan.

"Tidak mengapa. Mereka akan tunggu kita."

Saya menenangkan perasaan, apabila mak cepat-cepat ingin meneruskan perjalanan. Saya dan mak jalan berpimpinan tangan perlahan-lahan. Beriringan. Pernah mempelawa untuk menyewa kerusi roda. Mak ketawa sambil menolaknya.

Hampir pukul 2.00 pagi baru selesai Sa'ei kami. Semasa sampai ke penghujung bukit Marwah, suami dan anak-anak lelaki menunggu kami berhampiran tong air zam-zam. Azrai dan Amirul menghulurkan segelas air zam-zam sambil senyum berleretan. Becuk mulut mereka bercerita kepada nenek mereka.


Suami menghulurkan tangan, lalu saya menyambutnya. Kami jalan berpaut tangan. Sementara mak bersama cucu-cucunya. Sampai ke garis penamat di atas bukit Marwah, lalu kami semua bertahalul.

"Eh! Mak di mana?"
Saya cemas, bertanya setelah menunggu mak sekian lama. Kami mencari-cari kerana baru sahaja sebentar tadi dia bersama cucu-cucunya, Amirul dan Azrai. Orang semakin ramai menyebabkan keadaan agak sukar. Saya berdebar-debar kerana sekelip mata sahaja mak terlepas dari pandangan mata saya.

Akhirnya...

"Mak..mak ke mana?"

"Mak dengar suara Kamil, lalu terus ke sana.."

Ternyata. Mak perlu dipimpin sepanjang masa. Kini, saya mulai tahu bahawa mak bukan lagi mak yang dahulu [pengecamannya dahulu kuat sekali.]

"Mak, maafkan saya. Saya tidak akan tinggalkan mak lagi..Tidak sekali-kali."

Tuesday, June 16, 2009

Tawaf



Beberapa tahun yang lalu, ketika usia masa muda dan bertenaga, mak selalu bercerita tentang nikmatnya bertawaf sewaktu di Baitullah. Beliau melakukannya. Selalu.

Kini, mak hampir mengeluh apabila melihat diri serta mengukur usia. Antara kemahuan dan kekangan tenaga. Kata mak,

"Dulu, hampir setiap masa mak akan melakukan tawaf sunat. Masuk sahaja ke Baitullah, mak tawaf. Sebelum pulang, mak tawaf. Waktu yang paling afdal adalah selepas subuh dan selepas waktu Asar."

Mak berkata sambil berkaca-kaca air mata, tertahan-tahan di pelipis matanya.

"Mak bangun seawal 1.30 pagi dan seboleh mungkin akan mendapatkan tempat yang mustajab di dalam Masjidil Haram. Mak mencari Multazam atau paling tidak menghadap kaabah."

Lalu, pada umrah kali ini saya bertanyakan samada mak masih berupaya untuk melakukan perkara yang sama. Ternyata mak masih kuat semangat. Begitu juga adik Ayu. Mereka mahu melakukannya, yang terbaik mungkin dengan kadar kekuatan yang ada.

Pengera di telefon bimbit saya berbunyi pada jam 1.30 pagi. Bersiap-siap untuk pergi. Sambil menunggu mereka menyiapkan diri, saya sempat solat wuduk' dan solat tahajud. Sebelum pergi, saya berdoa di dalam hati :

"Ya Allah, kami ingin ke rumah-Mu. Berikan lah tempat yang mustajab dan aman untuk kami beramal ibadat semata-mata kerana-Mu. Bersamaku adalah seorang ibu yang uzur dan adik perempuan yang mempunyai kanser, kami hamba-Mu yang lemah dan tidak berdaya. Berikanlah tempat kepada kami. Bantulah kami."

Pukul 2.00 pagi kami perlahan-lahan berjalan pergi dan sampai di Baitullah sekitar pukul 2.30 pagi. Kalau mengikut kudrat tenaga biasa, [jarak hotel ke Baitullah kira-kira 300 meter] rasanya ia cuma memakan masa sepuluh minit sahaja. Tetapi, saya perlu mengambilkira tenaga mereka. Itupun kadang-kadang secara tidak sengaja saya berjalan terkehadapan.

"Hari ini kita tawaf sunat selepas subuh. Boleh mak? Ayu bagaimana?"

"Ya, InsyaAllah."

Dari jam 2.00 pagi sehingga pukul 5.00 pagi mengambil masa selama 3 jam. Di tambah dengan tawaf sunat, ia mengambil masa selewat-lewatnya 45 minit. Saya berkira-kira. Di dalam hati memohon dan meminta-minta agar Allah memberikan mereka kekuatan serta tenaga tambahan. Saya akur, kadang-kadang saya terpaksa melakukannya sendirian.


Mak memegang tangan kiri manakala Ayu memegang tangan kanan saya. Hiba. Mak yang dulunya memimpin tangan semasa kecil kini mengengam erat tangan saya. Sesekali pengangannya kuat sekali.

"Saya ada. Mak..saya ada. InsyaAllah Allah bersama kita."

Sambil menepuk perlahan tangan mak. Menarik perlahan kehadapan apabila beliau tersepit di celah ribuan jemaah.

Sebelum memulakan tawaf, jemaah yang mengelilingi kaabah kelihatan ramai sekali. Namun, sebaik sahaja kami memulakan pusingan pertama, mereka kelihatan berkuak. Ternyata di hadapan kami kelihatan kosong sahaja. Beberapa ketika..

"Subhanallah! Orang tua bongkok sabut ini lagi?"

Terdetik di dalam hati.

Sepanjang kami mengelilingi kaabah. Terdapat seorang tua bongkok lelaki mengiringi pusingan kami. Memberikan laluan. Irasnya kelihatan seperti ketika saya bertawaf pertama kali semasa menunaikan haji bersama suami dua setengah tahun yang lalu.

Dahulu, kelihatan seperti berkemeja biru dan berseluar panjang berwarna hitam. Kali ini, kami temui di dalam keadaan berkain pelikat biru kotak-kotak kecil dan berbaju lengan panjang berwarna krim.

"Ada juga orang tua lelaki yang berkain pelikat mengelilingi kaabah ini.."

Gementar di dalam hati. Menyedari Allah Maha kuasa. Air mata terkeluar tanpa di paksa-paksa. Kami berjalan tunduk memandang lantai, seboleh mungkin tidak mahu mencari atau terikut-ikut mengiringi orang tua bongkok sabut itu. Kami biarkan beliau hilang di celah orang ramai. Apabila orang ramai usai, berkuak..terserlah lagi orang tua itu di hadapan kami.


Sehingga selesai bertawaf, saya cuba untuk tidak memfokus kepadanya. Kami solat sunat tawaf. Meminum air zamzam. Lantas berjalan pulang. Tiada kata-kata.

Di dalam perjalanan, saya bertanya..

" Mak nampak tak siapa yang ada berhampiran dengan kita?"

"Ya, seorang yang bongkok tua..."

Subhanallah!

Monday, June 15, 2009

Terima kasih, Allah.

Bimbang, gentar dan berdebar-debar.

Itulah perasaan semasa memulakan perjalanan ke tanah suci Mekkah. Apatah lagi bersama saya adalah suami, anak-anak lelaki, mak yang semakin uzur, abah yang menghidapi kanser pundi kencing dan adik Ayu yang menghidapi kanser payudara.
Ada alasan, banyak perkara yang saya perlu bimbangkan. Hati! Saya boleh mengunci mulut agar tidak berkata-kata tetapi, tidak untuk hati! Ia sentiasa berbicara. Tanpa henti. Walaupun mata ini telah tertutup namun, 'Hati' masih berjaga.

Terima kasih, Allah.

Kerana sepanjang kami menunaikan umrah,
Dia mengawal kadar kekerapan buang air kecil mak dan abah.
Kerana di dalam kesakitan,
Ayu mampu senyum dan menarik nafas lega,
Kerana di dalam persimpangan,
suami dan anak-anak bahagia menbawa haluan sendiri

Terima kasih, Allah.

Kerana membawa pulang kami kembali ke tanah air ini.
Muga pulang kami membawa erti.
Muga kami menjadi lebih beriman dan bertakwa di sisi-Mu,
Lebih merasa kehinaan diri
Sesungguhnya kami datang dari-Mu, kepada-Mu jua kami akan kembali.

Friday, June 12, 2009

Kosong

Kosong!

Itulah gambaran perasaan yang saya alami sejak pulang dari menunaikan fardu haji dua tahun yang lepas. Segala perasaan takut dan bimbang, keluh kesah, gundah gulana, pahit derita , suka duka dan segala-galanya telah saya lepaskan...

Di bawah lembayung Kaabah..
Di depan Multazam
Di Hijir Ismail
Di Safa dan Marwah
Di Raudhah...

Ia terluah dengan iringan air mata bersama kumitan bibir yang berbisik, hati yang berkata-kata. Dilepaskan sambil berjalan, ketika sujud, ketika tangan menadah ke awan, baring mengiring dan tidur terlentang..

Saya kira ia tidak berlaku lagi ketika melakukan ibadah umrah pada kali ini. Tidak rupanya! Himpitan perasaan lebih hebat. Kalaulah saya dapat kongsikan perasaan dan pengalaman dengan menjemput rakan taulan, sanak saudara untuk datang ke sana. Alami sendiri. Rasa seperti apa yang dirasa..

"Ya Allah, berikan daku sedikit ilham untukku catitkan sekelumit perasaan tentang kasih sayang dan kehebatan-Mu yang telah diberikan kepadaku. Dalam takut dan gentar..Ya Allah, Kau banyak memberikan tunjuk ajar!"


"Ya Allah, Berikanlah rezeki kesihatan, rezeki kewangan dan rezeki kelapangan masa kepada adik-beradikku, sanak saudaraku dan rakan taulanku. Dibukakan pintu hati.. Jemputlah mereka, agar mereka dapat mengalami dan merasa seperti apa yang diriku rasakan.. Melihat kebesaran-Mu dan kehebatan-Mu. Ya Allah, Tunaikanlah segala doa dan makbulkanlah segala permintaan!"

Amin..

Wednesday, June 10, 2009

Abah, pakailah diapers..


Dari Jementah ke Melaka hanya mengambil masa lebih kurang dua jam sahaja, tetapi hampir setiap hentian kami terpaksa berhenti kerana abah tidak dapat menahan untuk membuang air kecil di sepanjang perjalanan. Ada ketika saya melihat beliau berkerut-kerut menahan kesakitan kerana tiada berjumpa tempat hentian.

“Abah, pakailah diapers. Tidak mengapa, biar ia beralas. Takut-takut kalau abah terlepas.”

Saya mengusik tetapi berwajah tegas. Namun, abah menolaknya. Ia bukan kali pertama abah mengalami keadaan seperti itu. Beberpa bulan sebelumnya, kami telah membawa abah ke Hospital Pakar di Damansara bagi membuat rawatan “chemotheraphy” bagi rawatan kanser pundi kencingnya. Kata doktor yang merawat, abah berada di tahap ke dua. Terdapat juga sedikit bengkak prostat. Namun, itu adalah perkara biasa bagi lelaki yang seusia abah. Sebanyak empat kali rawatan yang telah dijalani kesemuanya. Kini, sakit itu kembali.

Apabila abah ingin mengikut kami pergi menunaikan umrah, hampir setiap malam kami suami isteri bersolat hajat dan bersembahyang istiharah. Kami tidak mahu keadaan penyakit abah merebak dan menjadi penyebab terhalang perjalanan serta menambah kesakitannya.

“Jadi abah hendak pergi umrah?”

“Ya. Umur abah sudah hampir 70 tahun. Kalau ditakdirkan abah mati pun tidak mengapa. Allah telah memberikan kesihatan yang baik selama ini. Cuma beberapa bulan kebelakang ini sahaja yang diuji oleh-Nya. Apa lagi yang abah takuti, kerana rakan-rakan sebaya abah juga ramai yang telah tiada. Mati itu pasti terjadi walau dimana-mana kita pergi.”

Tuesday, June 9, 2009

Ziarah Terakhir

Dari tingkat 21 di sebuah Hotel mewah berhampiran Baitullah.

Subhanallah! Alhamdulillah! Allah Hu Akhbar!

Sebaik sahaja pintu bilik di buka, ingin rasanya saya sujud rebah menyembah Allah yang Esa di atas karpet merah yang lunak lagi empuk itu . Bagaimana mungkin saya dapat melihat kaabah dari tingkap dan posisi itu jika tidak kerana seorang insan yang berhati mulia menjemput kami ke sana.

Saya rasa dimuliakan. Berdiri kerdil di bangunan pencakar langit itu sambil melambai kaabah di celah kepulan awan. Sebelum pergi, kami sempat menumpang mengecap nikmat perasaan orang-orang terhormat dengan mengambil wuduk di bilik air mewah itu. Ah! Tidak termimpi di dalam hidup ini akan dapat ke tingkat 21 di hotel mewah seperti itu!

"Ya Allah, saya amat berbesar hati dengan jemputan dari Encik Azli. Jika tidak kerana jemputan tuan, tidak mungkin kami mampu untuk sampai ke tingkat ini."
Tiada ucapan yang lebih indah dapat diungkapkan. Tiada lukisan yang dapat mengambarkan kemuliaan yang diberikan. Sesungguhnya tiada!

Sambil berjalan pulang, ada air mata berlinangan. Teringat abah, mak dan adik Ayu yang ditinggalkan di hotel dua bintang kami buat seketika. Alangkah seronoknya jika pengalaman itu dapat dikongsikan bersama.

Di dalam diam saya merasakan inilah saat-saat paling manis kami bersama. Jika ditakdirkan saya akan pergi dahulu daripada mereka, pasti ziarah terakhir ini akan di simpan sebagai kenangan paling indah di dalam hidup saya.

"Ya Allah, berikanlah diri ini kesabaran, kekuatan hati dan perasaan. Kekuatan fizikal dan mental."

"Permudahkanlah segala urusan kami untuk menjalani ibadah umrah ini. Ya Allah, bersama-samaku adalah suami, anak-anak lelaki, seorang ibu tua, abah dan adik perempuan yang menghidapi kanser. Tiada daya upayaku menjaga mereka. Aku serahkah semula mereka kepada-Mu, Ya Allah."

"Ku hadapkan wajahku kepada-Mu. Sesungguhnya ibadatku, setiap amalanku dan diriku..Ku serahkan sepenuh hati kepada-Mu."