Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Sunday, February 28, 2010

Ladies Day Out

Tepat jam 3 petang pintu dibuka. Suami isteri mempersilakan saya duduk di ruang tamu. Si isteri melayan saya sementara si suami ke dapur.

Sebentar kemudian si suami membawa sebiji teko kecil dan dua biji gelas kecil yang dimasukkan daun pudina dan sebiji lagi gelas kosong.

“Awak boleh buat pilihan. Teh dengan daun pudina atau Cardamon?”

“Boleh saya cuba kedua-duanya?”

“Ha..ha..tentu sekali”

Si suami berkomunikasi dengan patah-patah perkataan bahasa Inggeris yang masih jelas menunjukan keturunan bangsa arabnya. Beliau menjadi jurubahasa kepada si isteri. Selepas mempersilakan saya minum, si suami meminta diri untuk pergi ke universiti. Beliau menyandang sebuah beg yang dipenuhi buku.

Si isteri, dengan bahasa isyarat memberitahu bahawa beliau ingin menyiapkan diri dan meminta saya membuka pintu kerana katanya sebentar lagi rakan-rakan yang lain akan datang. Lalu, saya menunggu dan menunggu rakan-rakan “Mak Arab” itu sendirian. Hampir satu jam!

Segelas kecil teh pudina yang di minum secara sedikit-sedikit tidak mampu menghilangkan kebosanan.

Saya bercadang meminta izin untuk pulang ke rumah, tiba-tiba terdengar ketukan. Tuan rumah segera membuka pintu dan mempersilakan tetamu masuk. Sekumpulan demi sekumpulan wanita Arab muncul dengan berpurdah atau jilbab. Wanita-wanita Arab tersebut segera pergi ke ruang dalam.

Beberapa minit kemudian tuan rumah memasang muzik lagu-lagu penyanyi timur tengah di ruang tengah rumah. Tiba-tiba, salah seorang wanita yang berbadan besar serta berkulit agak gelap mengeluarkan suatu bunyi dari lidahnya yang biasa dilakukan oleh wanita arab apabila bergembira mahupun bersedih. Nyaring. Tangan kanannya diletakkan diatas mulutnya sambil membuat sedikit gerakan jejari bagi mengalunkan tonasi.

Lalu, tiba-tiba bagaikan tidak percaya keluarlah wanita-wanita arab yang berpurdah tadi, kini mereka bagaikan puteri raja atau bagaikan artis popular. Mereka menari bergelek-gelek perlahan dengan gembira.

Terkesima. Saya mengajuk serta mengeluarkan bunyian yang sama. Rupa-rupanya bunyian itu menarik mereka ke arah saya! Mereka melintuk-lintukan tubuh mereka betul-betul di hadapan mata.

Subhanallah! Haruman yang disembur ke badan mereka menusuk kalbu! Asyiknya melihat kecantikan mereka membuatkan saya berlagak seperti syeikh yang dirasuk di dalam cerita Hikayat Seribu Satu Malam.

“MasyaAllah! Ya Habibi..Ya syarifah…Ana sangat takut lah!”

Thursday, February 25, 2010

Makluman

Blog Kehidupan Ringkas tapi Signifikan kini boleh dilayari di alamat www.muhdkamil.org/blog

Wednesday, February 24, 2010

Uniknya budaya

Semasa menanti anak-anak bermain dan belajar berkawan di paly Group, kebanyakan ibu-ibu atau isteri-isteri pelajar antarabangsa akan berkumpul sambil melakukan pelbagai aktiviti.

Selain belajar memasak, ada aktiviti lain seperti jualan jumble, kerja kraftangan dan sebagainya yang dilakukan oleh mereka. Dari situ saya dapat melihat pelbagai perlakuan mengikut bangsa dan budaya. Semasa sesi perkenalan juga kita telah dapat mengenalpasti sedikit sebanyak tingkahlaku serta gelagat sesuatu kumpulan bangsa.

“ Nama saya Gwen Mclellan dari Sterling Scotland”

“Ooo..ada Mc di depannya, nama tempatan orang Scotland dan Ireland. Nama saya Melody Carpenter”

“Nama yang ganjil dan agak berbeza..”

“Ya..kami orang Amerika memang suka sesuatu yang ganjil dan berbeza”

“Kami orang-orang Canada juga mempunyai nama yang unik. Bagaimanapun nama saya Celline”

Begitulah. Tetapi benarkah nama itu melambangkan bangsa? Barangkali benar kerana darinya kita mengenali dari mana kelompok asal mereka. Namun, jelas sekali kedua-dua rakyat dari Amerika dan Canada itu secara terang berani menyatakan apa yang ada di dalam fikiran mereka tanpa mempedulikan perasaan bangsa yang lain.
“Awak kelihatan dari China?”

“Tidak. Saya Erica Wong dari Hong Kong”

“Erica? Maksudnya awak penganut kristian?”

“Oo..tidak. Nama itu untuk memudahkan panggilan sahaja”

“Ramai sekali keturunan bangsa Cina suka menggunakan nama panggilan seperti orang-orang barat. Tidak seperti orang bangsa Pakistan dan perempuan Arab yang jelas ketara jatidiri mereka. ”
Espresi wajah mereka bersahaja. Rakan-rakan lain dari Sri Langka, Portugal, Mexico, Greece, Sepanyol, Italy, Brunei dan dari beberapa negara lagi kelihatan senyum-senyum dan senyap sahaja. Barangkali kerana kekurangan patah-patah perkataan di dalam bahasa Inggeris membataskan komunikasi mereka. Lagipun ucapan yang bermaksud provokasi dan kontroversi barangkali bukannya budaya mereka.

“Dan di aantara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi dan berlainan bahasa dan warna kulitmu. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang yang mengetahui” [Ar-Rum: ayat 22]
Selain daripada kumpulan tersebut, saya juga bergaul dengan rakan-rakan daripada kumpulan negara-negara Timur Tengah. Kebanyakannya datang dari negara Jordan, Mesir, Morocco, Saudi, Qatar, Dubai dan beberapa negara lagi. Kami mengelarnya sebagai "mak-mak Arab". Perkumpulan mereka termasuk negara Utara Afrika.

Pergaulan mereka agak terbatas. Mereka hanya akan bertemu pada hari-hari tertentu yang ditetapkan sahaja. Jika tidak bertemu di dewan, mereka akan berkumpul di rumah salah seorang daripada mereka.

Pernah suatu ketika mereka mempelawa saya ke majlis pertemuan yang dinamakan : “Ladies Only atau Ladies Day Out” atau biasa juga dipanggil Usrah. Suami tiada kuliah lantas membenarkan dan sedia menjaga anak-anak di rumah.

Majlis minum teh tersebut sepatutnya bermula pada pukul 3 petang. Kebiasaannya saya akan sampai 5 – 10 minit lebih awal. Namun, semasa saya mengetuk pintu, si isteri tidak membenarkan saya masuk.

“Maaf, suami saya hanya membenarkan tetamu masuk pada jam 3.00 petang”


Tuesday, February 23, 2010

Jujurkah kita?

Ramai juga rakan-rakan pelajar bujang yang nakal menceritakan bagaimana mereka membeli kamera atau video untuk merakamkan sesuatu percutian singkat di musim panas.
Seminggu kemudian mereka memulangkannya seperti keadaan asal. Siap di dalam kotak bersama resit sebagai bukti pembelian. Kaedah itu mereka namakan sebagai “Pinjam sebentar”.

Katalog ARGOS itu pasti ada di setiap rumah rakan-rakan sesama negara. Setiap kali berkesempatan untuk berjumpa atau datang berziarah, katalog dan barangan yang ada di dalamnya akan menjadi bahan cerita.

Kami bukan sahaja bercerita tentang barang yang kami ingin dapatkan di dalam katalog itu, tetapi kadang-kadang lebih kepada merenung tentang sikap diri, perlakuan serta perbezaan budaya. Kepercayaan keagamaan yang di pegang tidak melambangkan perilaku sesaorang. Sejauh manakah kejujuran kita?

kadang-kadang kami dapati bangsa mereka jauh lebih telus dan jujur berbanding dengan kami yang sejak dari kecil di asuh dengan didikan Islam. Perbuatan yang dilakukan oleh setengah di antara kami langsung tidak menggambarkan nilai agama yang telah turun-temurun menjadi anutan ibubapa.

“Sengaja memulangkan kembali barang yang telah di pakai, tidakkah kita telah melakukan suatu dosa? Mudah-mudahan mereka telah meminta ampun kepada Allah kerana kenakalan mereka ketika remaja…”
Bukan itu sahaja, kami juga kagum dengan kejujuran pekedai menjual sayuran dan buah-buahan segar. Bayangkan cauliflower masih disaluti dedaun hijaunya. Lobak merah masih bertangkai dengan dedaunnya yang berumbai.

Pernah suatu ketika, saya membeli beberapa biji apel masam [dikenali sebagai Granny apple] untuk dijadikan inti pie. Di dalam keadaan tergesa-gesa serta kewangan yang terhad, saya mencapai sebungkus anggur hitam yang telah diasingkan daripada anggur segar yang tangkainya masih kelihatan hijau. Pada fikiran saya barangkali harganya akan lebih murah berbanding anggur yang masih bertangkai dan berdaun segar.


Dua perkara yang menyentuh hati saya. Pertamanya, sambil melemparkan senyuman manis, penjaga kaunter bayaran membelek satu persatu apel yang di beli. Kemudian berkata:


“Apel ini terdapat sedikit lebam di sudut ini. Mahu saya
dapatkan yang lebih segar untuk awak?


“Bagaimana awak dapat tahu?”


“Ia terasa lembut di bahagian itu”


“Oooo..”

Saya langsung tidak perasaan terdapat sedikit tanda lebam. Biasanya tanda seperti itu rata-rata tidak asing keadaannya di mana-mana kedai buah di Malaysia.


Keduanya, apabila pekedai itu menawarkan buah anggur yang saya capai tadi untuk diberikan secara percuma. Kenapa?

“Ooo..tangkai anggur itu telah kering”
Barangkali di daerah saya anggur seperti itu masih lagi dijual dengan harga yang sama. Malah, walau terdapat sebiji dua yang telah benyek dan busukpun harganya tetap utuh dan tidak akan jatuh!

Monday, February 22, 2010

Argos

Dorongan kebendaan begitu kuat di dalam diri saya. Apatah lagi, kami baru sahaja memulakan sebuah kehidupan berumahtangga. Keperluan seperti pinggan mangkuk, barangan eletrik, utensil, cadar, alas meja dan sebagainya menjadi tumpuan hati saya.

Rupanya hati tidak tenteram apabila setiap kali menyorong anak menyusuri kaki jalan di sepanjang kedai di High Street. Setiap kali terpandangkan susunan barangan yang dipamerkan di dinding kaca luar kedai, angan-angan menjadi panjang.

“Ya Allah, cantiknya jika pinggan mangkuk itu di susun begitu rupa di atas meja di rumah saya. Oh..set sudu dan garfu serta senduk akan ku dapatkan jenis seperti itu. Ah..alas pinggannya akan diletakkan seperti yang dipemerkan”


Kadang-kadang ia terbawa-bawa sehingga ke dalam mimpi. Malah, gelodak hati semakin melampau kerana angan-angan dan impian itu juga mampu menganggu kekhusyukan solat ketika menghadap ilahi. Melampau!

Berhadapan superstore tempat saya bekerja terdapat sebuah kedai katalog bernama ARGOS. Susunan dalamannya amat ringkas sekali. Barangan tertentu sahaja yang dipamerkan di dinding. Namun, jika pembeli inginkan sesuatu barang, ia boleh di rujuk di dalam katalog.

Terdapat segala jenis barangan dari sekecil-kecil barang seperti pemutar skerew, mainan anak patung sehinggalah jongkang-jongkit, gelungsur, set sofa, set bilik tidur dan khemah besar untuk perkelahan.

Apa yang perlu dilakukan hanyalah dengan merujuk sebuah katalog yang tebal, menuliskan keperluan di dalam borang dan membuat pembayaran. Barang akan diberikan dengan polisi jaminan boleh dipulangkan di dalam masa 14 hari sekiranya pulang ke rumah nanti kita berpaling hati.

Sekiranya di dapati terdapat sebarang kecacatan atau hati tidak berkenan, pembeli boleh sahaja terus memulangkannya di dalam tempoh yang di beri tanpa risau mencari alasan agar duit dapat dikembalikan. Mudah sahaja mendapat jaminan balik wang tanpa bersoal jawab dengan pekerja kedai. Katakan sahaja;
“Oh..saya tidak menyukainya..”

Thursday, February 18, 2010

What Everyone wants


Saya mula berani berjalan sendirian.

Selepas menghantar Sara ke Play Group, saya akan menyusuri jalan hingga sampai ke pusat bandar [high street] sambil menolak kereta sorong Azrai. Saya hanya mempunyai masa selama dua jam sebelum menjemput Sara pulang.

Saya suka menjamu mata dari sebuah kedai ke sebuah kedai – window shopping. Puas merenung sambil memasang angan-angan yang panjang. Terasa ingin sekali membeli pakaian anak-anak yang comel dan terasa ingin sekali memiliki pinggan mangkuk yang tertera di belakangnya “Made In England”.

Beberapa minggu sebelum hari natal, pekerja play-group meminta ibubapa menyediakan sebarang hadiah untuk anak-anak. Kata mereka Santa Claus akan datang pada masa dan tarikh yang akan ditetapkan untuk diserahkan kepada anak-anak. Bertambahlah semangat untuk saya mencari pekerjaan.

Suatu hari seperti biasa saya menghabiskan masa di High Street sementara menunggu Sara. Di dalam perjalanan pulang, saya memberanikan diri masuk ke dalam sebuah kedai WHATS EVERYONE WANTS lantas bertanya kepada salah seorang pekerja.


“Boleh saya tahu,adakah peluang pekerjaan di sini ?”

“Oh ya.. Berjumpalah dengan pengurus. Ramai pekerja diperlukan menjelang hari natal”

Seorang pengurus wanita barangkali berbangsa Sinkh muncul. Pekerjanya memanggilnya Mrs Pramjit Kaur namun wajahnya sudah bercampur-campur. Belaiu kelihatan peramah dan tersenyum memandang saya yang sedang berdiri berhampiran kereta sorong Azrai. Beliau menyatakan memang memerlukan pekerja terutamanya di hujung minggu.

Namun, saya perlu bekerja selama 8 jam bermula dari 8.30 pagi hingga ke 4.30 petang. Ia termasuk 15 minit rehat pada jam 10.00 pagi, setengah jam rehat pada pukul 12.30 tengahari dan 15 minit pada pukul 2.30 petang. Saya bersetuju. Waktu rehat yang membolehkan saya untuk bersolat.

Uniformnya adalah blouse berwarna putih dan berseluar panjang hitam. Itu dapat saya adakan. Masalahnya adalah Blazer. Ketika itu saya cuma ada £10 di dalam tangan. Wang dapur untuk seminggu yang suami bekalkan. Pakaian apa yang boleh di beli dengan jumlah wang sebanyak itu? Sedangkan sehelai blazer di kedai harganya melebihi £30 ! Saya tidak berkemampuan.



“Ya Allah. Suatu masa dahulu saya pernah mengangankan untuk menyarung sehelai
blazer sebagai pakaian harian. Kini, apabila sampai masanya, saya tidak mampu untuk membelinya”

Lalu, saya menyusuri kedai-kedai kecil di celah-celah High Street. Otak ligat berfikir. Sedang saya mencari-cari, kuasa Allah, saya terpandang sehelai blazer hitam tergantung di tingkap cermin sebuah kedai. Terdapat tanda harga yang tergantung dengan besarnya : £5 sahaja!
Kaki saya pantas sekali masuk ke dalam kedai tersebut. Ia rupanya sebuah kedai barangan terpakai : Oxform Charity shop.



Saya bertanyakan kepada penjaga kedai tentang blazer yang tergantung di cermin utama. Beliau dengan senyum ramah mengambil dan menghulurkan kepada saya. Beliau mencadangkan agar saya mencubanya. Alhamdulillah! Ia sepandan dengan tubuh badan saya.


Di rumah saya menyatakan hasrat hati kepada suami. Beliau membenarkan saya bekerja setelah menyakinkannya bahawa ia hanya pada hujung minggu sahaja. Beliau bersedia untuk menjaga anak-anak.


“Ok. Jika hujung minggu saya tidak ada kuliah tidak mengapa”

Saya menyediakan makanan yang berat untuk suami dan anak-anak sementara di tinggalkan sepanjang hari. Membawa sedikit bekalan makanan. Kemudian dengan pantas berjalan kaki menuju ke kedai.


Hari pertama, saya melepasi tahap ketahanan bekerja bersama penduduk tempatan di bumi Scotland. Belajar memahami sebutan pertuturan bahasa Inggeris mengikut lenggok dan tonasi orang Scotish. Semuanya terasa bagaikan mimpi bahawa saya sudahpun bekerja di sebuah negara yang sangat asing bagi saya.


Saya melihat cara mereka bekerja. Cara berinteraksi. Cuba memahami budaya penduduk tempatan berbelanja, bahasa badan mereka dan gelagat manusia.


“Dan di aantara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi dan
berlainan bahasa dan warna kulitmu. Sesungguhnya pada yang demikian itu
benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang yang mengetahui” [Ar-Rum: ayat 22]

Namun, hari pertama saya sudah gagal mencari tempat untuk bersolat di waktu zohor. Saya hanya dibenarkan berehat selama setengah jam. Puas berpusing-pusing dan berlegar-legar di sekitar stor untuk mencari tempat yang sesuai. Terpaksa beredar apabila di tegur oleh penjaga stor.


Ya Allah. Ampunkanlah segala dosa-dosaku kerana dengan sengaja meninggalkan
solat-Mu. Terimalah qada’ ku..terimalah qada’ solatku”

Hari itu, perasaan saya terbahagi kepada dua. Gembira kerana dapat bekerja dan sebelah lagi gelisah kerana perasaan bersalah meninggalkan solat kerana terpaksa.

Monday, February 8, 2010

Car Boot Sales

Ia merupakan topik istemewa para isteri pelajar Malaysia yang berada di luar negeri.

Semasa kami di jemput menghadiri makan malam di rumah rakan-rakan, antara topik yang paling digemari oleh para isteri adalah barangan hiasan. Setiap hiasan rumah dari sebesar-besar hinggalah sekecil bunga batu akan menjadi topik perbualan.

Sebagai seorang isteri yang paling muda, saya hanya memasang telinga. Mereka akan bertukar-tukar maklumat dengan penuh minat. Memberi tips-tips yang hebat. Memberitahu tempat-tempat di mana mereka boleh mendapatkan barangan hiasan yang baru, prestige tetapi murah. Jawapannya adalah di Car Boots Sales [dikenali sebagai CBS atau Jualan bonet kereta]

Walaupun kakak-kakak yang berpengalaman itu menerangkannya, namun sukar bagi saya memahaminya. Mereka akan menyebut tentang jenama, koleksi design serta jenis barangan tertentu yang dikatakan amat bermutu.

“Tenguk ni Kristal akak dapat di CBS St.Andrews, jenama XXX. Kalau beli di Malaysia harganya RMxxx. Mahal
Kakak A berkata dengan wajah yang ceria serta penuh bangga. Saya memerhatikan perubahan di muka kakak-kakak yang lain. Terkelip-kelip malah ternnganga mulut mereka. Seolah-olah kakak yang memberitahu tadi telah menemui sesuatu yang amat bertuah sekali. Saya dapat merasakan terdapat sedikit getaran perasaan iri di dalam hati.

Malah ia seolah-olah satu pertandingan di antara mereka. Jika si A mendapat sebuah barangan yang masih cantik dan baru di CBS di daerah X, minggu hadapan si B dan si C akan berlumba-lumba mencari barangan yang sama serta pergi lebih awal pagi lagi. Sebentar sahaja berita itu akan tersebar di kalangan melayu Malaysia!

Teruja dengan cerita rakan-rakan, saya dan suami mengambil keputusan untuk mencari pengalaman.

“Car Boots Sales” selalunya diadakan di hari minggu. Ia terletak di lapangan padang yang luas terbentang berhampiran ladang ternakan biri-biri pada musim panas. Ia seumpama suatu perkelahan yang besar lagi meriah. Ketika musim luruh dan musim sejuk, selalunya ia akan diadakan di dalam kabin, di dewan atau di tempat-tempat yang tertutup.

Penjual yang datang terbahagi kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama adalah peniaga yang sememangnya berniaga barangan terpakai. Kumpulan kedua adalah individu yang benar-benar ingin menjual barangan mereka yang tidak lagi digunakan atau yang tidak dikehendaki oleh mereka dengan tidak menetapkan harga. Barangkali hadiah yang di terima telah mereka miliki. Sebab itulah mereka menjualnya.

“Ya Allah. Kad ucapan selamat hari jadi pun masih ada lagi di dalam kotak ini!”
Kali pertama saya melihat “Car Boots Sales” ia umpama seperti sebuah karnival jualan barangan terpakai. Rata-rata mempamerkan barangan yang [pada pandangan mata saya] telah lusuh, design lama, teknologi terdahulu dan barangan koleksi. Namun, bagi mereka yang menghargai barangan lama, ia mempunyai nilai estitika yang tidak ternilai harganya.

Para peladang menjual cangkul, parang, mata bajak dan berbagai alatan terpakai mereka. Para ibu yang mempunyai anak-anak yang mulai membesar akan menjual pakaian atau alatan mainan anak-anak yang sudah tidak sesuai dengan usia semasa mereka. Ada juga yang menjual novel, majalah, karpet, set pinggan mangkuk, periuk dan segala jenis barangan yang sudah tidak mengikut trend semasa.

Subhanallah! Kadang-kadang saya menjadi hairan bagaimana barangan atau peralatan yang masih bagus dan baru itu telah di jual oleh mereka. Lalu saya mendengar jawapan mereka;

“Oh! Warna dan bunga pada set pinggan mangkuk itu adalah design lama [setahun atau dua tahun lepas]. Itu sahaja sebab kenapa kami menjualnya”
Begitu juga dengan fesyen-fesyen pakaian yang di jual oleh mereka. Ia juga dikatakan kerana tidak mengikut trend semasa. Pakaian musim sejuk tahun ini tema warnanya berbeza dengan tema pakaian musim sejuk pada tahun lepas. Saya melihat mereka seperti menghambakan diri kepada perhiasan dunia dengan alasan mengikut trend semasa.

Saya melihat mereka beria-ia dan begitu mengemari perhiasan dunia. Ia dipaparkan di majalah, di media malah di serata pelusuk tempat. Lalu, saya membayangkan bagaimana perasaannya jika ia dilihat oleh orang yang duduk merempat. Maka, barangan terpakai seperti itulah yang di beli oleh mereka;



“Ada yang berseru [Malaikat]: “Biarkanlah dunia itu untuk pengemarnya, biarkanlah dunia itu untuk pengemarnya, biarkanlah dunia itu untuk pengemarnya! Barang siapa yang mengambil dunia melebihi keperluannya, nescaya ia akan menemui ajalnya dalam keadaan yang tidak ia sedari.” (Hadis riwayat Bazzar)
Namun, lama kelamaan saya juga menjadi sebahagian daripada kakak-kakak itu. Ketagih “Car Boots Sales”. Ia seperti candu yang penagih telah tahu buruknya. Apakan daya, jika tidak dapat disedut, di hidu pun sudah cukup menghilangkan ketagihannya.

Suatu ketika, kami menziarahi sebuah keluarga yang akan pulang ke Malaysia setelah tamat 3 tahun pengajian. Mereka di jangka akan berangkat dalam masa seminggu lagi. Subhanallah! kotak-kotak, barangan eletrik serta kelengkapan dapur hampir sahaja tidak membenarkan kami masuk ke rumah mereka. Salah satu barangan adalah troli untuk dibawa pulang. Apabila di tanya, ini jawapannya; “Alah! 50 buah sahaja. Murah. Akak beli di CBS”

Thursday, February 4, 2010

Di rasuk kebendaan



Di Dundee, Scotland saya menghantar Sara ke playgroup bagi anak-anak warga universiti.

Sementara menunggu anak-anak pulang, kebanyakan ibu-ibu dari negara luar akan di pelawa ke kelas belajar memasak. Masakan dari rakan-rakan berlainan negara. Setiap peserta di minta mengajar sejenis masakan popular dari negara mereka.

Saya belajar membuat pizza dan pasta daripada rakan dari Italy. Mendapat resepi Steak dari US dan Australia. Pelbagai kek dari England. Mee dan Popia dari Hong Kong. Sejenis roti pita masakan dari Spain. Saya? Saya mengajar mereka masak nasi goreng kampung dan goreng keropok ikan.

Saya bawa bahan-bahan mentah dan rencah yang sudah siap-siap ditumbuk dari rumah serta sudip dan kuali sendiri. Saya mulakan dengan mengoreng keropok ikan yang di bawa khas dari Malaysia. Mereka kagum melihat kepingan keropok mengembang serta merta!

Nasi goreng kampung saya campurkan rencah ikan bilis dan sebiji lada untuk perasa. Apabila sudah masak, sebagai penyeri saya teburkan telur dadar yang di gulung nipis dan dihiris-hiris, sedikit bawang goreng, hirisan lada merah dan daun saderi. Kemudian kami makan beramai-ramai.

Terdapat juga kelas renang, kelas kelab catur dan berbagai lagi aktiviti yang di atur untuk isteri-isteri pelajar pasca Ijazah dari negara luar. Saya hanya berminat untuk mengikuti kelas kek dan sugar craft. Namun, hanya berkesempatan menghadirinya hanya untuk beberapa kali sahaja.

Di sana, saya bertemu dengan seorang Malaysia berketurunan cina yang telah berumah tangga dengan rakyat tempatan. Suaminya adalah seorang professor di University Of Dundee. Dengan kereta mini coopernya, beliaulah yang membawa saya melihat-lihat keadaan di sekitar Dundee. Beliau juga memberitahu di mana tempat-tempat barangan boleh di dapati dengan harga yang murah tetapi berkualiti.

Apabila beliau ingin membeli barangan keperluan rumah, pasti saya akan dipelawanya. Kami minum teh terlebih dahulu sebelum beliau pergi berbelanja. Beliaulah membuka mata saya untuk melihat kebendaan dunia! Diam-diam saya mengkaguminya.



“Ya Allah, seronoknya menjadi isteri seorang professor..boleh memandu sendiri sebuah kereta mini. Bila-bila masa sahaja boleh bebas pergi berbelanja di mana sahaja. Ada wang semua boleh pegang, ada duit semua boleh cuit”
Beberapa bulan pertama di Scotland, rasanya bukan sahaja seperti pergi berbulan madu tetapi lebih kepada suatu percutian keluarga yang panjang. Banyak sekali tempat yang menarik yang tidak pernah terlintas di hati seorang anak kampung untuk menjejakkan kaki serta melihatnya.

Namun, sepanjang percutian itu saya sering di rasuk dan berperang dengan hawa nafsu bisikan syaitan. Ia mengambarkan seolah-olah setiap barang yang di lihat terlalu cantik di pandang mata. Mempersona. Lantas, nafsu membuak-buak untuk memilikinya. Terpengaruh dengan persekitaran, rakan-rakan serta cara hidup penduduk di sana. Syaitan mula mengalakkan saya memasang angan-angan untuk memiliki harta kebendaan dunia.


“Ya Allah.Cantiknya.. Pinggan mangkuk jenis seperti itu masih belum ada diMalaysia. Terlanjur berada di UK, tidak patut jika tidak membelinya”
Saya ingin dapatkan bekas hidangan makanan silverware seperti jenama Queen Anne, pinggan mangkuk yang cantik lagi menarik seperti Royal Doulton, kasut jenama Clarks, tekstile menarik dari Laura Ashley, kain langsir lace, bunga batu, bekas kristal dan berbagai lagi.

Lalu saya terfikir, alangkah baiknya jika ada sedikit wang di tangan kerana barangan yang ada di depan mata amat-amat mencengkam perasaan!

Setiap hari saya semakin tidak sabar menanti suami pulang untuk bercerita dan bercerita. Selalunya belumpun sempat sampai kesudahan cerita sedar-sedar sahaja ada dengkuran kuat memecah suasana!

Monday, February 1, 2010

Kepala Ikan


Suatu hari saya singgah untuk membeli ikan.


Semasa membayar, mata saya terpandang seketul kepala ikan salomon yang agak besar. Terfikir di dalam hati alangkah sedapnya jika di buat kari. Pernah juga rakan-rakan menyatakan bahawa orang putih selalunya akan membuang kepala ikan. Mereka hanya memakan isinya sahaja. Jadi apa yang mereka buat dengan kepala ikan itu?


Sedang berbagai perkara bermain di fikiran, tuan kedai memerhati ekor mata saya. Tidak semena-mena beliau bertanya:

“Awak berminat dengan Cat fish?”

“Ya. Berapa harganya?”

“Percuma”

Petang itu, saya tidak sabar menunggu suami pulang untuk berkongsi cerita. Suami turut hairan mendengarnya namun tumpang gembira. Esok malamnya beliau meminta saya memasak lebih untuk menjamu rakan-rakannya yang belum bekeluarga.


Lalu, Cat fish itu dijadikan kari kepala ikan. Di Malaysia, seketul kari kepala ikan mahu rasanya mencecah 50 ringgit Malaysia. Di Scotland, ia percuma!


Di dalam kepala saya tertanya-tanya kenapa kepala ikan jenis solomon itu dinamakan Cat fish? Padahal ia langung tidak menyerupi kepala kucing.

Kami juga menjemput sebuah keluarga jiran di blok apartment berhampiran. Mereka adalah pelajar dari Malaysia yang sedang meneruskan pengajian di peringkat kedoktoran.


“Awak tahu tak, orang putih kata cat fish tu makanan untuk kucing..he.he”

“Ya ke kak Ida? Alah, kita semua ni pun kucing juga. Kucing kepala hitam!”

Kisah kepala ikan percuma cepat tersebar di kalangan isteri rakyat Malaysia yang belajar di sana. Beberapa minggu kemudian, saya sekali lagi pergi membeli ikan makerel serta bertanyakan tentang kepala ikan sekiranya ada.

“Oh kepala ikan. Hendak buat masak kari ya? Hari ini ia telah di tempah oleh beberapa orang dari Malaysia. Jika awak mahu, esok saya simpankan. Harganya cuma 50 pence sahaja”