Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Thursday, April 29, 2010

Kenangan : bantal untuk ayu


Saya pernah menulis cerita tentang Ayu dengan bantalnya .

Ayu adalah adik perempuan kami yang bungsu. Yang paling comel dan paling manja. Dia paling diingat oleh kakak-kakak kerana cerita gelagatnya bersama bantal.

Hari ini, Ayu tidak memerlukan bantal lagi. Ia reda dengan apa yang ada..seada-adanya. Yang diharapkannya hanya doa agar Allah memberikan kasih sayang-Nya, kerahmatan-Nya dan keampunan-Nya.

Berbaringlah Ayu..bantal-bantal itu kesemuanya milik Ayu. Kakak-kakak tidak lagi cuba-cuba mengambil bantal alas di kaki lantas menganggu lena tidurmu.

Bertenanglah. Bantal itu, masih lagi di situ..

Tuesday, April 27, 2010

Itukah mak wa?

Entri untuk topik ini tidak dapat saya siarkan.

Ia terlalu menyentuh hati dan perasaan. Jika dapat diputarkan masa, ingin rasanya agar ia tidak berlaku. Namun, itulah ketentuan Allah yang maha kuasa.

Berikut adalah secebis petikan dalam Travelog Cinta Abadi : Suatu perjalanan.

Di hospital, kami mencari wad yang dimaksudkan. Mencari mak wa. Dari jauh kelihatan seorang perempuan tua, terlantar lemah lesu tidak bermaya. Tidak mungkin itu mak wa.

“Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu Ia menjadikan kamu kuat. Setelah itu Ia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Ia menciptakan apa yang dikehendakiNya, dan Dia lah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa. [55] Surah Ar-Rum

Thursday, April 22, 2010

Susur laluan kenangan


Dari Jementah ke Muar, kami melintas Kampung Paya Jakas. Dari dalam kereta saya menoleh ke kiri jalan, memerhatikan sekolah lama.

Sekolah papan satu setengah tingkat sudah tiada! Bangunan itu sudah rebah menyembah bumi. Disitulah saya pernah menendang ala-ala teakwando seorang budak lelaki ketua samseng yang akhirnya menjadi pengikut saya.

Pokok bunga tanjung juga sudah tiada lagi. Namun, harumannya yang menusuk kalbu masih tetap berbekas di hati.

Yang masih ada hanyalah banjaran gunung ledang, masih gagah berdiri megah dicelah kepulan awan. Saya menghela nafas panjang-panjang. Rindu terubat.

Jalan besar sepanjang laluan dari Jementah ke Tangkak, masih lagi seperti dahulu. Jalan yang pernah kami lalui ketika masih kecil-kecil dahulu, apabila mak wa dan atok abah membawa kami ke kampung Liang Batu semasa cuti sekolah. Nama kampung kami dan kampung itu tidak tercatat di dalam peta.

Ada dua jalan ke Kampung Liang Batu. Pertamanya, melalui Jalan Kundang Ulu. Dari pekan kecil Kundang kami menyeberangi sungai Muar dengan menaiki sampan dipanggil "kotak" terus ke kampung Liang Batu.

Jika musim tengkujuh, apabila air sungai Muar melimpah ruah, kami lalui jalan ke dua iaitu melalui Bukit Kepong dan Lenga. Dari Bukit Kepong bas akan mencicirkan kami disimpang Kampung Liang Batu dan ia meneruskan perjalanan ke Pagoh terus ke Bandar Muar.

Untuk ke Hospital Muar, kami masih juga terpaksa melalaui jalan Tangkak. Jalannya yang sempit, tidak rata dan bengkang-bengkok masih lagi jalan yang dahulu. Selekohnya yang tajam berhampiran air terjun gunung ledang masih lagi disitu. Ada sudut-sudut selekoh tajam yang penghadang tepi jalannya kelihatan telah dirempuh kenderaan beratus-ratus kali, juga tetap di situ. Masa yang berlalu rupanya tidak mengubah sedikitpun keadaan sekitarnya.

Barangkali masyarakat disitu telah biasa dengan jalan seperti itu. Mereka tiada banyak kerenah. Atau, mereka tidak pandai mengadu apatah lagi meminta-minta jalan yang lebih baik kepada wakil-wakil rakyat mereka. Atau, mereka tidak diberikan borang maklumbalas pelanggan sebab itulah wakil-wakil rakyat berpendapat bahawa tiada apa yang tidak kena.

Saya pernah mendengar cerita dari Pak Uda, yang jalan itu akan dibina dengan laluan yang baru. Namun, seingat saya, janji jalan baru itu hanya kedengaran semasa kempen pilihan raya. Ia cerita lama, bertahun-tahun dahulu.

Tahun-tahun berikutnya, jalan itu masih lagi seperti itu.

Tuesday, April 20, 2010

Rindu

Kami bermalam di Subang Jaya selama dua hari sahaja. Cuti tanpa rekod selama seminggu yang diberikan oleh universiti kepada suami seolah-olah tidak mencukupi.

Suami menempah tiket kapalterbang ke Kota Bahru. Kami sekeluarga hanya boleh berada tiga malam sahaja di situ. Benar-benar mengejar masa yang ada.


Tiga hari di Besut, ketara kesihatan ayah yang jelas tidak sihat. Begitu juga dengan wan. Ya Allah! Ubat-ubatan yang doktor bekalkan kepada mereka hampir sebakul banyaknya. Namun, demi untuk melihat anak-anak membesar serta menyara persekolahan mereka, ubat-ubatan itulah menjadi iktiar penyambung nyawa! Dengan izin Allah jua, mereka masih dipinjamkan usia.


Azrai kelihatan begitu manja sekali dengan tok ki [ayah]. Setiap kali apabila dimarahi kerana berkelakuan nakal, Azrai tahu di mana dia mendapat perlindungan. Azrai terus memeluk tok kinya. Lalu, ayah menegur saya :

“Jangan marah-marah anak. Ayah kasihan melihat Azrai”

Jadi? Bagaimana mungkin saya percaya kepada cerita suami bahawa pernah suatu masa dahulu ayah seorang yang amat garang sekali! Berhadapan dengan cucu, Allah menterbalik serta telah melembutkan hatinya.

Kami menghabiskan masa di Besut dengan menjamu selera. Wan tidak putus-putus memasak masakan dan kuih muih kegemaran anak lelakinya. Ah! Jangkamasa dua belas bulan sahaja telah membuatkan kami mengidam makanan tempatan setengah gila!

Sebelum pulang, ayah membeli seekor ikan bawal putih yang besar. Saya tahu, pasti ayah mahu dimasakkan ikan masak masam manis yang menjadi kegemarannya. Atau barangkali ayah tahu, hanya itu sahaja masakan ikan terbaik yang saya tahu! Saya memasaknya dengan penuh kasih dan sayang.

Dari Besut kami menaiki bas express ke Segamat Johor.

Orang pertama yang ingin saya temui adalah cinta hati pertama saya : mak wa!
Hampir dua hari di rumah emak dan abah. Namun, saya masih belum dapat berjumpa dengan mak wa kerana dia pergi berziarah ke rumah Pak Uda Haris [abang kepada abah] di Liang Batu, Muar.
Suami tinggalkan saya serta anak-anak di Segamat sementara menguruskan urusan pekerjaan di kampus Shah Alam.

Suatu petang saya menerima panggilan telefon dengan dua berita yang berbeza. Pertama, menerima makluman bahawa suami bersedia menerima arahan untuk ditukarkan di ITM kampus Samarahan, Kuching, Sarawak.

“Yang, barang dari Scotland tidak perlu dibuka. Kita hantar terus ke Kuching,
Sarawak”

“Tetapi, bagaimana dengan Silver plate Queen Anne saya?”

“Nanti kita cerita”

Kedua, mak wa tidak dapat pulang ke Jementah kerana sakit perut memulas-mulas selepas menikmati makanan tengahari. Dia ditahan wad di hospital Muar. Kata doktor yang merawat, salah satu kemungkinan puncanya adalah kerana ulam-ulaman kegemaran mak wa iaitu jering tanam. Barangkali itu hanya penyebab. Hanya yang maha kuasa Allah sahaja mengetahui sebab akibatnya.

Mahu rasanya saya terbang pergi menemui mak wa, namun saya harus segera pergi semula meninggalkan keluarga. Masih lagi di dalam negara, tetapi kami harus terbang pergi ke bumi kenyalang!

Saya meminta tangguh sehari kepada suami untuk pergi melawat mak wa yang terlantar di hospital. Memang, abah dan emak tahu akrabnya hubungan saya dengan mak wa. Mereka menghantar saya dan anak-anak. Jika saya tidak pergi, barangkali tiada langsung peluang saya menemuinya. Barangkali itulah saat-saat terakhir saya dapat menatap wajah mak wa.

Rindu. Rindu yang memuncak dalam hati.

Friday, April 16, 2010

Selamat pagi Malaysia

Juruterbang mengumumkan jangka masa ketibaan sejam sebelum mendarat di lapangan terbang. Kami bersiap-siap, mengemas barang yang dibimbit tangan. Jam di tangan masih menunjukan waktu di United Kingdom. Cepat-cepat kami tukar kepada waktu Malaysia supaya minda kami cepat bertindak, berubah pantas mengikut waktu tempatan!

Selamat pagi Malaysia!

Sementara menunggu bagasi sampai, kami mengemas diri dalam bilik air berhampiran. Menyarung semula sut agar kelihatan seperti orang baru pulang dari luar negara. Saya ikat semula skaf dileher dan sematkan kerosang diatasnya. Ah, menawan! Anak-anak masih meronta-ronta, namun akur apabila melihat saya mula menyinga!

“Pakai setokin dan jaket itu!
Selepas memunggah beg ke atas troli, kami cepat-cepat menuju ke balai ketibaan. Dari jauh kelihatan abah dan emak sedang menunggu. Kami bersalaman dan berpelukan.

Suasana sibuk dan padat dengan manusia, membuatkan kami mengelepar kepanasan. Peluh menitik, merecik ke seluruh badan. Terasa bahang yang membara. Suami sibuk sekali berulangalik menguruskan begasi dan kelihatan dia mula menanggalkan sut dibadannya.

Saya? Masih dengan sut sedondon untuk mempertahankan gaya, walau peluh menyimbah mengalir terasa dari hujung rambut hingga hujung kaki. Anak-anak? Saya biarkan sahaja emak menanggalkan pakaian mereka. Hanya tinggal seluar sekeping tanpa pakaian jenama luar negeri! Pipi mereka merah menyala.

Alhamdulillah! Allah masih meminjamkan sedikit masa lagi kepada saya untuk bertemu mereka. Azrai bagaikan tahu yang abah itu adalah datuknya. Tanpa kekok, dia terus memeluk tengkuk abah. Abah ketawa gembira.

“Azrai! Ini atok”

“Atok-atok.”

Azrai memanggil atoknya dengan perkataan berulang.

Dalam kereta, suami memberitahu kepada saya;

“Yang, pasport saya hilang. Di terminal tadi, masih ada dalam poket sut itu.
Terjatuh agaknya semasa saya menanggalkannya.”

Barangkali dalam kalut-kalau, suami tidak perasaan passportnya keciciran. Kereta kebangaan Malaysia jenama Proton Saga Abah terus meluncur laju tanpa peduli dilema yang sedang kami hadapi.

Kami dibawa oleh abah ke rumah sewa lama di Subang Jaya. Kata abah, menurut adik ipar, rumah itu akan dijual oleh pemilik rumah. Sesak. Wan, Kak Yah sekeluarga, adik-adik kandung dan adik-adik ipar memenuhi rumah teres kecil itu. Ayah tidak dapat datang kerana masalah kesihatan. Perjalanan jauh dari Besut ke Subang Jaya tidak sesuai malah tidak selesa untuknya.

Melihat anak-anak tanpa pakaian, sedangkan saya masih bertahan dengan sut sedondon dibadan, memang benar membuatkan terlopong mulut mereka sebagaimana dijangka. Dari raut wajah mereka bagaikan dapat dibaca. Pasti dalam hati mereka bukannya kagum malah berkata yang maksudnya begini;

“Ya Allah, panas-panas buta masih pakai sut hitam tebal sedondon dengan skaf
tercekik dileher! Sudah buang tabiatkah agaknya?”

Dari Besut, wan membawa bekalan makanan kegemaran untuk anak lelaki sulungnya yang baru pulang dari luar negara. Kerutup daging, nasi dagang serta ikan aye [tongkol]. Enak dan berselera!

Azrai mengemari tapai pulut yang dibungkus dengan daun getah tiga serangkai. Air tangan wan memang menjadi. Tapai itu masak tepat pada masanya. Sesekali saya melarang Azrai yang tidak henti-henti membuka bungkusan tapai satu persatu. Lalu, saya bersuara:

“Azrai, cukup! Nanti sakit gigi”
“Atok-atok, I want some more please [saya hendak lagi] ”

Azrai bagaikan tahu ke mana tempat dia boleh mengadu serta menagih simpati apabila ibubapa tidak dapat diharapkan. Azrai berlari mendapatkan datuknya.

Tapai pulut yang dibungkus dengan daun getah tiga serangkai masih kemas dalam tangan. Masih tidak mahu dilepaskan. Wan dan emak ketawa kecil melihat gelagat Azrai yang cuba berlindung dibelakang atuknya.

“Atok-atok, help me. Help me… please [tolong saya]”

Betapa Azrai kelihatan mengada-ngada sekali. Lebih selesa dengan bahasa pertuturan harian diluar negara hingga tidak menggunakan bahasa ibunda. Bahasa ibunda yang difahami tetapi tidak dapat dituturkan dengan lancar.

Tiba-tiba, saya terkenangkan mak wa.

Wednesday, April 14, 2010

Travelog Cinta Abadi: Masa yang berlalu


Alhamdulillah, dikatakan ianya telah berada dalam stor.

Secara sukarela, suami menghulur bantuan dengan melantik dirinya sebagai pengurus tempahan. Ruang tempahan ada disini.

Nantikan naskah Travelog Cinta Abadi : Suatu perjalanan dan Travelog Cinta Abadi : Bersiap untuk pulang. Adakah ia suatu angan yang menjadi realiti?

Hanya Allah yang dapat mengungkai setiap misteri.

Tuesday, April 13, 2010

Inflight Catering

Perjalanan dari Edinburg ke Heatrow London mengambil masa satu jam. Campur tolak dengan menanti pesawat lewat, akhirnya jumlah keseluruhan perjalanan kami ke Kuala Lumpur hampir 20 jam.

Pesawat MAS bertolak pada pukul dua belas tengah malam. Kami kepenatan. Sebaik sahaja mendapat tempat duduk, masing-masing terus terlena. Dengkuran suami jelas bergema-gema. Kelihatan penumpang yang duduk berhampiran suami, beria-ia menekup telinga dengan bantal mereka.

Beberapa jam kemudian, lampu dipasangkan. Terang benderang, sebagai isyarat makan malam dihidangkan.
“Tuan, hidangan makan malam disediakan pilihan daging panggang bersos lada hitam dengan kentang atau pasta ayam dengan sos tomato. ”
Namun, ia langsung tidak menarik hati kami. Puas di pujuk, akhirnya kami bersetuju menjamah makanan. Di barisan sebelah kiri kami, pasangan dari negara barat sedang menikmati minuman keras yang disediakan oleh krew pesawat. Melalui ekor mata, saya menjeling ke arah mereka.


“Tidak mabukkah mereka?”
Beberapa ketika, mereka meminta segelas lagi minuman keras. Jelas, ia tidak digemari oleh pramugari. Namun, barangkali kerana polisi syarikat mereka "Pelanggan adalah diutamakan”, jadi mereka melayan sahaja.


“Maaf, mengikut polisi hanya segelas arak sahaja dibenarkan dalam pesawat ini.”
Saya gementar untuk menegur, namun teguran yang paling lemah adalah berbisik dalam hati. Barangkali polisi syarikat boleh berubah jika mereka takut kepada Allah serta mengikut Al-Quraan dan sunnah. Nabi bersabda:


"Barangsiapa yang minum arak maka sebatlah dia "(Hadis Riwayat Ahmad)
Kadang-kadang saya menjadi keliru dengan polisi. Dalam negara yang memartabatkan rukun negara dengan Islam sebagai agama rasmi, perkara yang jelas hukumnya seperti itupun masih dapat dihalalkan kerana polisi. Tidak takutkah kita kepada Allah yang telah membuat ketetapan larangan dalam Al-Quran? Sabda rasulullah lagi:



" Allah s.w.t telah melaknat arak, peminum, pemberi minum, penjual, pembeli, pemerah, orang yang diperah untuknya, pembawa dan orang yang dibawa arak kepadanya " (Hadis Riwayat Abu Daud )

Astagfirullah! Saya lelapkan mata. Dalam hati berdoa supaya Allah menyelamatkan pesawat kami dari sebarang mala petaka. Jangan sampai Allah murka sehingga melibatkan semua yang ada dalam pesawat ini.

Na’uzubillah! Muga Allah memberikan taufik dan hidayah kepada si pengubal polisi syarikat penerbangan ini.

Apapun yang terjadi, biar kami sampai ditanah air dahulu. Biar kami dapat bertemu keluarga. Dapat memeluk emak, abah, ayah, wan serta adik-adik dan seluruh keluarga tercinta!

Rindu. Rindu dendam pada mereka. Biar terubat dahulu.

Monday, April 12, 2010

Pulang 2

Akhirnya, sejam kemudian suami membuka mulut memohon pergi walaupun tuan rumah bagaikan tidak puas dengan kedatangan kami.

“Mohon maaf, kami perlu sampai sebelum pukul 7 malam. Pukul 6 kami kena pergi”
Seperti dijangka, jadual metro mengalami kelewatan. Oleh itu, rakan tadi bersedia menghantar kami dengan menaiki kereta mereka. Namun, dalam perjalanan keadaan trafik bergerak amat perlahan. Kereta yang dinaiki seolah-olah langsung tidak bergerak. Kami cemas!
Namun, masih dengan perasaan sukacita penuh didada, rakan tadi menyambung bicara;

“Di Malaysia nanti, InsyaAllah saya pasti cari tuan. Saya tinggal di daerah berhampiran dengan kampung tuan”

Walau bagaimanapun, kami sudah tidak peduli dan tidak berminat lagi untuk bercerita panjang. Berdiam. Tumpuan hanya diberikan kepada keadaan trafik yang melemaskan! Memandu di tengah kota London dalam waktu-waktu cemas, bukan pilihan terbaik jika difikirkan. Terlintas perasaan menyesal kerana menerima jemputan rakan tersebut ke rumah mereka, jika kami menjangka musibah yang berlaku di depan mata.

“Ya Allah, jangan lah trafik. Cepatlah. Cepatlah sampai!”
Rakan tadi masih lagi meneruskan cakap-cakap yang kami sudah tidak peduli biji butirnya. Kereta betul-betul sampai di Heatrow lewat 5 minit sebelum pukul 7 malam.

Kami bersalaman, mengucapkan terima kasih dan bergegas turun. Pasti kami terlambat sampai ke tempat pendaftaran jika tidak segera pergi. Lalu, kami sekeluarga berlari-lari tanpa mempedulikan sesiapa. Suami mengheret beg-beg ditangan. Saya mengheret Sara dan Azrai. Mencapai troli, menaikkan mereka diatasnya dan menolak dengan segera . Lintang pukang!

Apabila sampai, pegawai kaunter tiket tersenyum melihat kami berpeluh-peluh seluruh badan. Wangian serta bau peluh dari badan berbaur-baur menghasilkan aroma yang tidak tertanggung oleh hidung sendiri.

Kasut jenama Clarks yang baru disarung buat pertama kali, bagaikan menyiat-yiat kulit kaki. Kasut tumit tinggi yang dipakai, tidak sempat hendak digayakan dengan berjalan cara melaram. Entah berapa kali kaki terpelecuk, sudah tidak terkira.

Kasut tumit tinggi boleh jadi patah, jika saya masih terus berlari. Silap-silap saya terpaksa berjalan "kaki ayam" atau dipapah jika kaki tergeliat. Ah, angan-angan untuk menunjuk-nunjuk kepada keluarga yang menunggu dilapangan terbang Subang, pasti tidak kesampaian.

Kami tanggalkan sut di badan. Bau peluh serta tengik ketiak menyengat! Sara dan Azrai meronta-ronta meminta menanggalkan kasut mereka. Belumpun sampai ke Malaysia, kami semua telah hilang gaya! Kusut masai.

Sambil memulangkan passport, pegawai itu berkata;

“Jangan bimbang. Bertenang. Pesawat akan bertolak lewat 3 jam. Di beberapa bahagian pekerja-pekerja lapangan terbang ini sedang mogok. Mereka meminta gaji dinaikan”

“Ah, bagus!”

Spontan terkeluar perkataan itu, berserta teriakan gembira. Tingkahlaku yang menyebabkan pegawai itu boleh keliru. Keliru, samada kami gembira kerana kelewatan pesawat atau kerana menyokong sikap berani pekerja untuk mogok demi tuntutan gaji.

Mahasuci Allah! Kelewatan itu sering dilihat sebagai menyusahkan namun, sebaliknya ia melegakan perasaan disuatu pihak yang lain. Kami melihat bagaimana Allah memberi bantuan.

Thursday, April 8, 2010

Pulang

Saya menyediakan sepasang Sut hitam untuk suami. Sara memakai gaun kembang berjahit “Smoking” di dada jenama Laura Ashley. Azrai kelihatan comel sekali dengan dungarees denim jenama Osh Kosh.

Saya memakai pakaian sut berseluar panjang berwarna hitam sedondon warna beg jenama Bally. Saya rapikan lagi dengan mengikat sehelai skarf sutera buatan Italy ditengkuk sebagaimana saya mencadangkannya kepada pelanggan. Brooch mewah berkilau bertatah kristal menambah gaya.

Kami semua menyarung kasut jenama Clarks. Saya menyarung kasut tumit tinggi jenama sama yang dibeli semasa jualan penghabisan stok diakhir musim, potongan 70% . Tingginya satu setengah inci. Terasa ranggi!

Puas! Perasaan saya berbunga-bunga melihat suami dan anak-anak kelihatan segak bergaya. Berbaloi sekali duit gaji, penat jerih bekerja setahun di rantau orang. Melihat gaya, penampilan kami memang selayaknya sebagai keluarga yang pernah menetap di luar negara.

Pasti kaum keluarga berbangga melihat kami sebaik sahaja keluar dari balai ketibaan antarabangsa di lapangan terbang Subang, Malaysia nanti. Pasti mereka memuji dalam hati, jika tidak pun akan terlopong mulut mereka. Oh! Tidak sabar rasanya melihat itu bakal terjadi.

Kami menaiki pesawat pada pukul 2 petang dari Edinburg, Scotland berlepas ke Lapangan Terbang Heatrow di London. Dari London kami akan menaiki pesawat MAS ke Kuala Lumpur pada pukul 9.00 malam. Bermakna kami mempunyai masa 4 jam transit sebelum mendaftar masuk pada pukul 7 malam.

Sebaik sahaja sampai di Heatrow pada pukul 3 petang, seorang rakan yang sedang belajar di London menunggu kami sekeluarga untuk dibawa ke rumah mereka di zon 4. Walaupun kami menolak secara baik, beliau tetap bertegas dengan keputusannya. Lalu, kami menaiki metro [keretapi bawah tanah] ke sana.

“Kami sekeluarga terhutang budi kepada tuan. Kami tidak lupa bagaimana tuan boleh mempelawa kami sekeluarga yang tidak dikenali menumpang bermalam dan menyediakan makanan nasi panas di rumah”

“Ah, perkara kecil sahaja”

“Ya Allah.. Kami sekeluarga tersadai ditengah ribut salji tanpa mengenali sesiapa di Scotland. Memang kerja bodoh! Nasib baik kami berjumpa tuan…”

“Alhamdulillah. Itu bantuan dari Allah, bukan kerana bernasib baik”

Manusia sering mengatakan mereka bernasib baik apabila terlepas dari sebarang bencana. Tetapi bukankah mereka meratap-ratap, merintih-rintih malah merayu-rayu dalam hati kepada Allah yang maha pengasih apabila berada dalam kesusahan serta duka nestapa? Benar, manusia sering terlupa.

“Dan rahsiakanlah perkataanmu atau lahirkanlah; sesungguhnya Dia maha mengetahui segala isi hati. Apakah Allah yang menciptakan itu tidak mengetahui [yang kamu lahirkan dan rahsiakan] dan dia maha halus lagi maha mengetahui?” [Surah Al- Mulk: ayat 13-14]

Beliau suami isteri tidak putus-putus bercerita dengan penuh kesyukuran tentang pertemuan yang tidak di sangka-sangka semasa mereka tersadai di Scotland. Itu peristiwa beberapa bulan yang lalu, kami sudah melupakannya.

Semasa mereka bercerita, kami tidak henti-henti memerhatikan jam di tangan. Dari Heathrow ke rumah mereka mengambil masa satu jam. Bermakna kami harus pergi sebelum pukul 6 petang.

Oleh itu, berbual-bual seperti itu tidak mententeramkan perasaan. Kami berkejar dengan masa. Erti kata lain, kami mesti menepati masa agar tidak terlepas pesawat seperti yang ditetapkan. Kami tidak mahu mengambil resiko. Namun, rakan itu lansung tidak dapat membaca signal bahasa badan yang dilakukan.

"Ya Allah, Tidak sempat ni.." Kami berbisik dalam hati.

Wednesday, April 7, 2010

Pulang Bangau

Seminggu sebelum pulang, ramai rakan-rakan datang bertandang ke rumah untuk mengucapkan selamat jalan. Hari-hari terakhir, rakan-rakan menyediakan makan bermula pada waktu sarapan, tengahari dan makan malam.

Saat-saat kebenaran tiba apabila kontena datang untuk memuatkan barangan yang hendak dibawa balik ke tanah air. Sampai waktunya, rakan-rakan membantu memunggah barang-barang serta kotak-kotak.

Apartment kami kembali kosong seperti mula-mula kami menjejakkan kaki ke situ. Sekosong itu hati saya. Ada antara rakan-rakan yang bertanya tentang perancangan saya apabila balik ke Malaysia.

Kosong! Tiba-tiba saya menjadi buntu apabila ditanya soalan begitu. Paling terkesan di hati apabila seorang kakak bertanya kepada saya apakah yang telah saya lakukan sepanjang saya di sini.

“Sepanjang setahun awak disini apa yang awak perolehi?”

“Er..er..”

“Awak masih muda, malah boleh bertutur dalam bahasa Inggeris. Mengapa tidak mengambil peluang untuk mengikuti kursus-kursus jangka pendek yang disediakan di sini? Sekurang-kurangnya awak memperolehi sijil dari luar negara. Ia mempunyai nilai tambah jika bekerja di Malaysia”

Terjelepuk! Saya langsung tidak terfikir untuk mengikuti kursus seperti itu. Kakak itu meneruskan lagi;

"Tahukah awak, seorang rakan kita, sebaya awak menggunakan masa yang ada dengan mengikuti pengajian perundangan secara sambilan sepanjang suaminya mengikuti pengajian Phd. Dia terus belajar hingga memperolehi Sarjana. Kini, dia menjadi majistret di Malaysia.”
Perlukah saya menjawab dan berkata bahawa saya memerlukan pinggan mangkuk, beg berjenama, pakaian, kasut lebih dari kursus yang ditawarkan? Perlukah saya terangkan bahawa wang gaji yang diterima sama banyaknya dengan wang keluar ketika saya berbelanja.

Perlukah saya katakan bahawa saya kini hanya ingin menjadi surirumah sepenuh masa? Wajarkah saya katakan bahawa saya mengambil iktibar dari cerita Katie MacKenzie? Keterlaluankah saya?

Apakah pulang saya nanti adalah seperti pulang bangau yang kembali bertenggek diatas kerbau. Sesekali terbang apabila terkena kibasan ekor kerbau yang manghalau gigitan agas.
Apakah nanti pandangan orang terhadap saya? Ah! Kenapa saya perlu takut pada pandangan orang? Kita tidak perlu menjadi orang lain kerana kepentingan pandangan semata-mata. Jadilah diri kita, walau dimana berada?

Benarkah? Apakah saya harus menunding jari mencari sebab akibat untuk menghalalkan cara atau memberikan alasan sebagaimana lagu bangau oh bangau?

Bangau Oh bangau
kenapa engkau kurus
Bagaimana aku tidak kurus
ikan tidak mahu timbul…

Jika lain kali jika ada yang bertanya, saya sudah bersedia dengan jawapan. Ya Allah. Sepanjang setahun di sini, saya telah menggunakan masa yang bermanafaat. Hampir sepanjang masa saya dapat mendakap anak. Melihat kerenah mereka, menyuapkan makan, memandikan serta menyalinkan pakaian.

Saya juga dapat menyediakan makanan pagi, tengahari dan malam untuk suami. Hampir setiap hari kami kami dapat duduk makan bersama semeja.

Saya tidak dapat melakukan perkara yang sama ketika di Malaysia. Jika saya bekerja, pagi-pagi lagi saya sudah mendukung anak yang masih tidur untuk dihantar ke rumah pengasuh. Pulang kerja nanti, saya mendukung anak lagi kerana mereka telah tertidur sementara menanti saya pulang.

Saya jarang dapat memandikan mereka pada hari-hari bekerja. Tidak dapat bermain dan bergurau senda sepanjang masa. Lebih menyedihkan lagi apabila sebutan pertama yang keluar dari bibir anak pertama, Sara Fateha adalah perkataan “Umi”. Panggilan untuk pengasuhnya.
Berbulan-bulan saya mengajar Sara agar menyebut dan memanggil panggilan untuk ibu yang melahirkannya. Sara sering mengeleng-gelengkan kepala.
“Mama, ini mama sayang…”.
Namun, panggilan umi lebih lancar dan selesa buatnya. Akhirnya saya akur dan mengalah.
Di Scotland, setiap kali saya menjemput Sara dari Play Group, pasti Sara akan memperkenalkan saya kepada guru dan rakan-rakanya. Saya puas malah berbangga.
Miss Sophie, that is my mum..[Cik Sophie, itu emak saya]”
Al-Bukhari menyebut sebuah hadis daripada Ibnu Abas bahawa baginda nabi Muhammad bersabda :
“Ada dua nikmat yang sering dilupakan oleh orang ramai. Dua nikmat tersebut adalah : nikmat kesihatan dan nikmat waktu luang”.

Saya bersyukur kerana Allah memberikan nikmat waktu lapang, nikmat kesihatan dan nikmat kelapangan dada ketika di luar negara. Lalu, nikmat Allah yang mana satukah hendak saya dustakan?

Monday, April 5, 2010

Selamat Tinggal Dundee

Lalu, dua minggu sebelum berangkat pulang ke Malaysia, saya menghantar surat perletakan jawatan kepada pengurus superstore What Everywant Wants. Beliau bertanya samada saya memerlukan sebarang keperluan.

“Boleh tuliskan saya sekeping surat rujukan majikan?

“Tentu sekali, kami berikan awak surat penghargaan”

Tiba-tiba saya terasa sebak dalam dada apabila seorang demi seorang rakan menyambut tangan dan mendakap serta mengucapkan selamat jalan kepada saya. Tiada jamuan selamat jalan. Tiada jamuan selamat tinggal.

Pengurus besar menghantar saya hingga ke pintu hadapan kedai. Dia mengucapkan sebaris perkataan yang mengesankan. Kesannya sama seperti saya meninggalkan syarikat The Boots Company Pte Ltd di Subang Jaya.
“Semuga berjaya. Kami pasti kehilangan awak”
Hari-hari berikutnya saya menghabiskan masa dengan mengemas barang. Memasukkannya ke dalam kotak berperingkat-peringkat, melebel dan mengikat. Menyusunnya sehingga penuh sebuah bilik tidur. Apartmen kami kelihatan bersepah sekali. Sementara kami sibuk mengemas barang, Sara dan Azrai juga tidak kurang sibuknya. Mereka mengumpul barangan mainan mereka.

Mana-mana jaket dan baju pakaian musim sejuk kami kumpulkan seberkas. Adatnya pelajar di Dundee akan menyimpan dan menghadiahkan kepada pelajar berkeluarga lain yang baru menjejakkan kaki ke situ. Sementara mereka membeli pakaian baru.

Cukup setahun di bumi Scotland, kami sekeluarga sudah tidak sabar untuk pulang menemui keluarga tersayang. Sudah semakin uzurkah Mak Wa. Sihatkah wan dan ayah? Masih sibuk berkebunkah mak dan abah? Sudah membesarkan adik-adik yang ditinggalkan?
“Ya Allah ya tuhanku, janganlah diambil lagi nyawaku. Berikanlah daku kesempatan untuk kembali menemui – bertentang mata serta mendakap mereka!
Masa berlalu pantas. Terasa pantas apabila telah sampai ke hujungnya!

Friday, April 2, 2010

Selamat Tinggal Scotland

Musim luruh yang dingin.

Dedaun mulai berubah dari warna hijau kepada warna kuning kemerahan. Ia gugur sehelai demi sehelai hingga akhirnya hanya ranting pepohon yang kelihatan. Persekitaran bertukar wajah apabila musim berubah.

Dari musim panas yang cerah, tiba-tiba suasana menjadi mendung yang suram. Sesekali apabila angin bertiup, dinginnya sampai ke tulang. Serombong cemni rumah kelihatan berasap dari kejauhan.

Ah! Musim ini datang lagi. Musim yang sama ketika kami mula-mula menjejakkan kaki ke bumi ini. Bumi Scotland yang indah permai! Terasa cepat sekali masa berlalu.

Apabila sampai musim ini, bermakna pengajian suami sudah hampir ke hujungnya. Hampir pada titik penamat. Samada pengajiannya sudah selesai atau belum, kami harus pulang ke tanah air yang tercinta. Apakah kami ingin mengulangnya sekali lagi?

Tidak. Kami ingin pulang ke kampung halaman.

Benar. Biar hujan emas dinegeri orang, hasilnya pasti ingin dibawa kembali untuk dinikmati bersama keluarga serta sanak saudara yang sekian lama ditinggalkan di negara sendiri.

Saya sudah mengira-gira cenderahati untuk dihadiahkan kepada adik-beradik, sanak-saudara serta kaum keluarga. Hampir setiap hari saya berulang-alik ke kedai untuk mencari buah tangan untuk mereka. Hingga timbul perasaan yang tidak ikhlas.

“Ya Allah, bagaimana sekiranya mereka tidak suka? Apakah mereka akan membuangnya atau menyimpannya sahaja?
Saya membayangkan kotak-kotak hadiah perkahwinan yang diterima beberapa tahun yang lalu, namun tidak pernah dibuka. Kebanyakannya adalah gelas-gelas dan bekas makanan yang jarang digunakan. Kerana rumah sewa kami di Subang Jaya kecil, lalu, kami simpan sahaja dibawah katil. Kami cuma pakai mengikut keperluan.

Apakah mereka juga melakukan perkara yang serupa. Jika benar, ia merupakan suatu pembaziran. Membazir itu adalah amalan syaitan! Lalu, saya menarik nafas panjang lantas pulang ke rumah.

Saya memerlukan masa untuk mengemas barang untuk dibawa pulang. Jika diawal kedatangan, saya pernah mengata serta mengumpat dalam hati yang kebanyakan pelajar bagaikan seorang saudagar apabila pulang ke Malaysia.
Kini, ia mengena tepat ke batang hidung saya! Serupa sahaja perangai saya dengan mereka. Saling tidak tumpah dan tiada berbeza!