Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Monday, May 31, 2010

Di sebalik kisah Epilog Cinta dari Bromley..

Semasa usia remaja, kami [saya, Tuti dan Ratna] sangat mengilai lagu-lagu Sohaimi Mior Hasan. Terutamanaya Epilog Cinta dari Bromley. Kami sekat makan. Duit saku sekolah yang diberi abah , kami kumpulkan untuk membeli kaset lagu tersebut di pasar malam. Beli yang original!


Sebabnya lagu yang kami rakam dari FM stereo, kebanyakan mutu suaranya tidak menepati citarasa kami, walaupun di rakam berkali-kali. Jika terdapat permintaan dari peminat untuk memainkan lagu tersebut [yang tercatat di ruangan FM dalam surat khabar], kami masih lagi terus merakam dan mendengar.

Kami mendengar dengan penuh penghayatan, bagaikan Sabariah mengilai suara Kasim Selamat! Berguling-guling di atas katil.

Rupa-rupanya kuasa Allah, tiada siapa yang menduga. Di saat-saat hati tidak lagi faham dengan rentak terkini lagu remaja, di saat-saat telinga sudah tidak lagi tahan mendengar muzik yang berat-berat...

Kuasa Allah memang tidak terduga, Dia menemukan kami dengan penyanyinya.

Jika dahulu, barangkali kami akan jatuh pengsan apabila mendengar penyanyi itu akan datang ke kampung terpinggir kami di Jementah. Hari ini, kami terharu dengan kebesaran serta kasih sayang Allah.

Ya Allah, barangkali sudah tidak lama lagi usia yang dipinjamkan kepadaku..kerana Dikau telah menunaikan apa yang berbisik dalam hati satu persatu.. Sehingga sampai waktu itu... Maka, nikmat Allah yang mana satukah lagi hendak ku dustakan?

Thursday, May 27, 2010

Majlis Pelancaran TCA: Masa yang berlalu



Terharu!

"Allah menjadikan setiap kejadian dengan rahsia yang tersimpan untuk kita fikirkan. Dia lebih mengetahui apa yang tidak kita ketahui. Redha dan bersyukur dengan ketetapannya." ~Travelog Cinta Abadi:Masa yang berlalu~

Apa kata Nisah Haron? [disini]

Jika kelapangan, secara sengaja atau tidak sengaja untuk melihat keindahan bumi tempat kelahiran saya, sila lah ke pekan Jementah dan bandar Segamat. Lalu, terus ke UiTM Segamat, Johor.

Jemputlah datang beramai-ramai..turut sama melihat penyanyi yang pernah menjadi igauan gadis remaja seusia saya di era 80 an dahulu.

Cerita Epilog cinta dari Bromley.. [click]
Bawalah anak-anak, emak, ayah dan seluruh keluarga. Lebih meriah lagi jika warna merah atau putih pilihan baju kita semua.
Masuk adalah percuma.

Wednesday, May 26, 2010

Terpilih


Alhamdulillah!

Dalam seramai-ramai penduduk Malaysia, hanya ada segelintir sahaja yang di pilih oleh Allah untuk menjejakkan kaki malah menetap di luar negara. Bagi yang sedang belajar, peluang membawa keluarga ke sana sangat berharga. Merasainya walaupun sementara.

Saya merasa sangat bersyukur dengan sesungguh syukur, kerana Allah memberikan rezeki untuk melihat luar negara bersama suami. Sesuatu yang tidak pernah terlintas dalam hati. Tidak terjangkau oleh akal fikiran seorang budak perempuan yang tinggal terperesuk di kampung. Rezeki yang dikurniakan oleh Allah melalui suami.

Lalu, terlintas di hati..bahawa suami itu adalah suatu anugerah Allah. Anugerah yang datang bersama amanah. Amanah yang telah ditetapkan oleh Allah dan rasulnya.


Dan Tuhanmu menciptakan apa yang dirancangkan berlakunya dan Dialah juga yang memilih (satu-satu dari makhlukNya untuk sesuatu tugas atau keutamaan dan kemuliaan); tidaklah layak dan tidaklah berhak bagi sesiapapun memilih (selain dari pilihan Allah). Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah keadaanNya dari apa yang mereka sekutukan denganNya. [Surah Al- Qasas. Ayat 068. ]


Maka, nikmat mana satu lagikah hendak budak perempuan kampung itu dustakan?

Hari ini, bersaksikanlah oleh-Mu yang Allah, sesungguhnya segala urusan yang daku lakukan sebagai seorang isteri, seorang ibu, seorang anak, seorang kakak dan seorang tenaga pengajar adalah semata-mata kerana Allah. Kerana daku memegang amanah yang diamanahkan kepada ku. Yang telah ditetapkan kepada ku.

Wahai tuhan, daku memohon kepada-Mu moga dapat kulakukan ia sebagaimana yang sepatutnya. Berikanlah daku kekuatan itu. Agar ia menjadi suatu ibadah di sisi Mu, agar daku dapat mengingati-Mu, dapat mensyukuri nikmat-Mu dan dapat berada dekat dengan-Mu.


Friday, May 21, 2010

Solat sunat Dhuha di Doha


Dahulu, saya melihat solat sunat itu sering dilakukan oleh atok abah dan mak wa. Di antara pukul 9 hingga 11.00 pagi. Mereka lalukan dengan khusyuk sekali.


Semasa kecil, ketika itulah waktu paling sesuai untuk "meminjam" basikal besar atok abah untuk kami gunakan sepanjang hari. Bermain basikal dengan meluncur dari bukit yang tinggi berkali-kali. Pasti rutin harian atok abah, berbasikal ke pekan Jementah untuk mendapatkan sekeping surat khabar yang bertulisan jawi..terbengkalai.

Tidak kami peduli.


Ketika menjelang remaja, saya akan menunggu sehingga mereka selesai solat Dhuha. Kemudian, setelah mereka selesai, saya akan menanyakan apa-apa juga kemusyikalan di dada. Mereka menjawab dengan penuh kiasan, penuh falsafah namun terbuka.


Hari ini, saya berpeluang solat sunat Dhuha di Doha dengan penuh kesyukuran pada yang maha kuasa. Dialah yang melorongkan perjalanan ini, sehinggga pengembaraan saya sampai ke sini.

Esok, entah ke mana pula hentiannya.


Pengembaraan yang saya tempuhi sudah begitu panjang, namun saya sendiri tidak pernah tahu bilakah hentian terakhirnya.

Thursday, May 20, 2010

Suatu masa dahulu..



Gambar: Pagi di Doha, Qatar

Suatu masa dahulu, saya pernah bermain pondok-pondok dengan Ratna dan Tuti. Main puteri-puteri arab seperti dalam hikayat seribu satu malam. Habis kain selendang, kain batik dan kain pelekat menjadi habuan.

Ketika bermain, kami dapat membayangkan keadaan sekeliling betul-betul seperti dalam istana seribu satu malam.

Semasa kecil juga, saya sering berangan-angan untuk menjejakkan kaki ke luar negara. Di saat terasa diri tidak mampu untuk pergi sendiri,saya berbisik dalam hati ;

"Ya Allah, temukan daku dengan jodoh yang boleh membawa ku ke sana."

Subhanallah! Mahasuci Allah yang maha mendengar bisikan hati kecil seorang anak kampung yang tidak punya apa-apa. Allah yang maha kuasa mengizinkan budak perempuan itu pergi, bukan sekali. Malah berkali-kali ke merata dunia.

Lalu, nikmat yang mana satukan hendak dia dustakan?

Wednesday, May 19, 2010

Tak perlu diucapkan..

Biar saja tak perlu dinyatakan
Biar saja tak perlu diucapkan...

Rahsiamu, rahsia ku bersama.



Tak perlu ucapan itu.

Monday, May 17, 2010

Tidak terlontar kata-kata..

Bertahun-tahun semasa kecil dahulu, kami adik-beradik di ajar agar jangan menjawab apabila dimarahi oleh abah. Samada benar atau salah, kami terpaksa menerima sahaja "habuan' tanpa soal jawab. Apa yang tidak kena di mata abah, kami kena terima.


Apabila dikenangkan kembali, rupa-rupanya memang kebanyakannya adalah salah kami. Cara abah mengajar, membiarkan kami muasabah diri. Bertanya dalam hati,"Apakah betul tindakan diri..?"

Ia berterusan hingga menjelang remaja. Saya hanya berani menjawab sekali-sekala apabila perasaan dalaman sudah tidak dapat di tahan-tahan. Lalu, terburailah segalanya.

Seringkali jika marah, saya conteng-conteng tulisan besar-besar di atas kertas. Atau, paling tidak saya bersembunyi lantas menangis sendiri. Tidak pandai membalas berkata-kata. Jika membalas sekalipun, segala yang terlontar tidak sama dengan apa yang terbuku dalam dada. Dalam hati masih berbaki, dalam jiwa masih tersisa.
Saya lebih gemar diam membisu dan biarkan Allah sahaja yang memberikan jawapannya.

Apabila sesaorang yang memberikan kesan dalam jiwa bertanyakan tentang perasaan ketika remaja, saya hanya coretkan di atas helaian kertas;

Biar sahaja, tak perlu diucapkan..
Biar sahaja, tak perlu dinyatakan..

Hari ini, saya masih lagi seperti itu. Rupa-rupanya berbisik dan melontar kata-kata kepada Allah itu lebih mudah daripada sesama insan. Kerana Dia maha mendengar. Dia maha pengasih dan Dia maha penyayang.

Biarlah saya sujud, tunduk rebah dan melontarkan kata-kata hanya kepada Allah...

Thursday, May 13, 2010

Ketulusan hati

Sejak akhir-akhir ini saya jarang menonton televisen, apatah lagi untuk duduk bersimpuh menunggu siaran kegemaran. Dahulu, saya pasti akan pulang terburu-buru dari tempat kerja kerana mengejar siaran program bersiri hampir setiap petang.

Tergesa-gesa sembahyang Asar. Cepat-cepat memanaskan makanan untuk anak-anak mengalas perut, minum petang. Kadang-kadang saya membuat sedikit sergahan serta jelingan tajam jika anak-anak membuat kerenah ketika makan atau bergurau berlebihan.

Saya ingin tumpukan perhatian kepada jalan cerita yang sedang dipaparkan!

Masa berlalu pergi. Ia pergi tanpa disedari. Mengubah citarasa diri. Televisen di rumah kami, jarang bersiaran kecuali apabila anak-anak sesekala pulang. Cartoon Network, Disney Channel menjadi pilihan.

Suatu hari, sedang saya mengosok pakaian di bilik, sayup-sayup terdengar alunan lagu ini dari channel Astro Oasis. Tiba-tiba, tersentuh hati.



"Ya Allah, betapa kurniaan-Mu kepada setiap hamba dalam bentuk yang pelbagai. Irama dan lagu di ramu kemas, alunannya bergetar. Pernah suatu ketika remaja dahulu, saya tersedu kerana lirik lagu.

Subhanallah! Besarnya kekuasaan Allah.

"Wahai tuhan, kini, tafsiran saya tentang erti cinta nyata berbeza. Tiada cinta sesama insan yang hakiki. Hanya cinta Allah yang abadi"


Tuesday, May 11, 2010

Terima kasih cikgu

Bertahun-tahun saya merantau, keluar dari daerah kecil yang penuh nolstagia, hati sentiasa berbisik;

'Ya Allah, saya rindukan suasana kampung halaman, rindukan gelak tawa rakan
taulan, rindu sepupu, rindu kepada cikgu. Saya rindukan kenangan masa silam"

Masa terus berlalu. Langsung tidak membenarkan semua perkara itu berlaku. Ia berlalu pergi tanpa saya sedari.

Lalu, tiba-tiba sampai detik ketika Allah mendengar bisikkan hati, lantas membenarkan saya kembali. Untuk saya melihat semula kampung halaman, menjejak rakan taulan, menemui sepupu, mencari cikgu.

Rupa-rupanya...kampung halaman saya sudah hilang - tiada sawah bendang, tiada lagi rumah papan. Rakan taulan yang dulu ketawa bersama kini meminggir diri. Kata mereka:
"Malunya rasa.. kami masih lagi di takuk lama. Dahulu, kami takut sekali untuk melangkah walau selangkah kerana bimbang dan sayang meninggalkan kampung halaman"
Sepupu-sepupu pula semakin dewasa, sudah berumahtangga, mempunyai kehidupan sendiri dan tinggal di kota-kota. Kata mereka;
"InsyaAllah, jika tidak ke rumah emak mertua kita berjumpa nanti di hari raya"
Lalu, saya menyusur sekolah lama mencari cikgu. Rupa-rupanya ramai yang telah menemui-Nya dan yang tinggal tersisa hanya beberapa tahun lagi akan bersara. Bila terjumpa, bagaikan ingin melompat, menjerit sekuat hati dan berlari ke arah mereka. Sebagaimana dahulu di dalam kelas, yang menjadi penyebab saya didenda.

Dalam pelukan mereka saya berkata;
"Cikgu, masih lagi cantik seperti dahulu.."

"Ya Allah..saya sudah tua"

"Tidak cikgu..Cikgu masih lagi cantik seperti dahulu. Cikgu masih lagi bertahta di hati saya"

Cikgu saya diam tidak terkata. Namun, dadanya bergetar. Ada air mata mengalir di pipinya.

Sunday, May 9, 2010

Emak, guru nombor satu


Emak adalah guru nombor satu.

Bagaimana dapat saya lupakan pengalaman pertama emak mengajar saya menempuh usia remaja. Barangkali tidak ramai yang masih mengingatinya.

Dahulu,

semasa kecil jika jatuh tersembam tersandung kaki sendiri, siapa yang kita cari?

semasa kelaparan, dengan siapa kita meminta?

semasa berbalah dan kalah dengan saudara kandung, siapa tempat kita mengadu?

Emak..oh emak

Biar kini sudah mula beruban rambutku,

Namun, masih tetap ku mahu berbaring di ribaan mu.

Wednesday, May 5, 2010

Kisah adik Ben 10


Saya pernah menulis tentang anak lelaki sulung Ayu, Latif Hakimi yang mengelar dirinya sebagai Ben 10.

Kelmarin, Ben 10 kelihatan semakin tinggi, semakin matang dan semakin cekap mengendalikan komputer uminya. Petah kata-katanya semakin ketara. Bersama Ben 10, duduk di atas ribanya adalah adik lelaki yang baru berusia 2 tahun, Rafiki.

"Adik Rafiki, duduk elok-elok sikit, abang tengah hendak menang main game ni.."

Lalu, si adik mendengar kata. Duduk, asyik memerhatikan si abang mengendalikan punat-punat permainan komputer. Hadiah dari umi, umpan penawar duka untuk seketika di siang hari.

"Adik..tolong ambilkan abang air sejuk di dapur. Haus pulak tekak abang main game ini"

Hairannya, si adik cepat bingkas bangun dari ribaaan seolah-olah faham dengan arahan abang. Sebentar kemudian, si adik menghulurkan botol susu yang separuh sejuk kepada si abang.

Apabila malam hari, Ben 10 tidak banyak kerenah apabila diarah atok dan nenek supaya tidur. Sambil menyarap di atas tilam uminya, mulut Ben 10 bertanya neneknya;

"Nenek, betulkah kata kawan-kawan disekolah, bila besar nanti abang tidak ada umi?"

"Sudah, pergi tidur. Abang baca banyak-banyak fatihah untuk umi."

Si adik pula kelihatan resah gelisah. Berguling-guling di atas tilam, menahan mata. Botol susu yang dihulurkan oleh nenek, dicampaknya. Tiada banyak perkataan yang keluar, namun mata bundar itu sayu memandang nenek seolah-olah berkata:

"Nenek, adik mahukan umi..."

Kadang-kadang adik menarik tangan nenek, mengajak keluar menunggu umi di muka pintu. Duduklah nenek bersama cucu, menunggu uminya sehingga malam semakin larut. Tanpa sedar, mata bundar itu semakin mengecil, tersenggut-senggut lalu tertutup.

Esok, pasti tangan nenek di tarik lagi. Menanti dan terus menanti umi di malam hari di muka pintu. Menanti dengan rasa rindu. Sesekala mata bundar itu merenung nenek, seolah-olah berkata;

"Nenek, tidak pulangkah umi malam ini..?

Monday, May 3, 2010

Kenangan : Baju songket untuk Ayu


Saya pernah menulis cerita tentang Ayu dengan baju songket bunga taburnya.

Ia cerita lama yang masih segar dalam lipatan ingatan. Kenangan itu umpama cinta pertama. Dan ingatan kepada cinta pertama itu abadi.

Baju kurung songket bunga tabur itu memberi kesan yang mendalam. Personanya memikat. Lalu, apabila dihadiahkan sepasang kain songket tenun Terengganu berwarna biru tua sebagai iringan bersama cincin lamaran, hati terharu.

(Bagi menjawab mereka, Nabi Muhammad) berkata: Tuhanku mengetahui tiap-tiap perkataan (yang dilahirkan atau disembunyikan oleh makhluk-makhluk) di langit dan di bumi dan Dialah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (4)
[Surah Al Anbiya]


"Ya Allah, betapa kau mendengar bisikan hati yang sekian lama tersimpan secara tersembunyi. Ia tidak pernah sekali dinyatakan secara terang di atas tikar sembahyang.


"Wahai tuhan, begitu sekali kasih-Mu terhadap ku. Betapa banyak nikmat yang dilimpahkan, ia tidak terucapkan. Apakah daku akan terus alpa, apakah daku akan terus angkuh apabila dapat mengecap nikmat satu persatu yang diberikan kepadaku?


"Wahai tuhan, akan sampai waktunya barang yang dipinjamkan akan di ambil kembali oleh-Mu. Jadikanlah daku hamba-Mu yang sentiasa bersedia untuk memulangkan barang pinjaman dari-Mu itu. Jangan sampai aku tidak reda Ya Allah. Jangan sampai daku fikir ia milikku selamanya Ya Allah. Tabahkanlah.


"Wahai tuhan, perkenankanlah"