Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Thursday, April 28, 2011

Ada dua buku kaver serupa?

Saya menerima komen dari salah seorang bloger yang mengunjungi blog "Hidup itu indah..kenangan cerita diri."
Pandangan itu sangat saya hargai dan menerimanya dengan hati yang terbuka.

Katanya:

Salam Pn. Roza,

Masa saya baca entry pada 21 April lepas (click entry), melihat cover buku TIAIYT, saya cuba mengingat cover latar belakang buku yang sama yang pernah saya nampak dan baca sebelum ini. maaf jika Pn Roza pernah nampak atau juga baca buku yang sama..

bukunya ialah
http://kembarabuku.blogspot.com/2011/02/ya-allah-aku-tak-ingin-sendiri-karya.html

Saya menjangkakan Pn Roza akan menerimanya sebagai "itu yang tertulis.."

Emmm... Benar. Kalau itulah kavernya, barangkali editor terlepas pandang. Mereka banyak kerja agaknya. Ya Allah, itu termasuk dalam kes plagiarism jugakah? Saya mohon keampunan Allah kerana kekilafan diri.

P/s Mohon maaf banyak-banyak ya tuan Borhan Sodiq..


Petikan Bab 42 : Segalanya benar

Suasana semakin berserabut.

Pagi itu, seorang rakan memberitahu bahawa ada sepucuk surat dari luar negara milik saya. Ia perlu di ambil di peti surat di Bahagian Hal Ehwal Pelajar. Ia adalah peti surat terbuka. Kami bergegas ke sana sebaik sahaja tamat kelas. Sepanjang perjalanan, hati saya berdebar-debar dan berkata-kata,

Mungkinkah surat dari United Kingdom? Mungkinkah..?”

Ternyata benar lintasan hati saya. Di dalamnya terdapat beberapa keping gambar pengirim di tebingan London Tower dan sekeping coretan yang menyatakan kerinduan hatinya terhadap kampung halaman. Sayunya hati membaca rintihan. Segera saya menjawabnya di dalam hati,

“Sayangnya…. tahukah Amrie betapa kampung halaman kita telah jauh sekali berubah. Jambatan yang indah itu sudah tiada lagi. Sawah bendang sudah kering gersang."


"Sungai yang mengalir di kaki gunung Ledang itu tinggal hanyalah separas buku lali. Pokok jambu bol di dalam kebun abah awak hampir-hampir tidak berbuah lagi..”

Dan saya akan katakan lagi;

Amrie, zaman kanak-kanak kita sebenarnya telah lama berlalu. Simpanlah sahaja kenangan itu. Ia telah lama berubah kerana masa telah berubah. Jangan sesekali membayangkan ia masih seperti dahulu

Ada lelehan air mata yang mengalir perlahan walaupun catatannya masih terbuku di dalam perasaan. Han dan Yatie melihat saya dengan perasaan simpati. Mereka memahami isi hati saya walaupun tidak dilahirkan dengan kata-kata.

Wednesday, April 27, 2011

Sedutan Travelog Impian Abadi: Itu yang tertulis

BAB 32 KEROPOK LEKOR SERINGGIT

Saya ditinggalkan berdua.

Resah. Gelisah. Saya rasa seperti kucing kehilangan anak.

Sekejap-sekejap saya bangun bertanya kepada mak cik keropok lekor, kemudian duduk kembali. Sebentar kemudian, berpura-pura pula mengacau-ngacau teh-o panas dengan sudu kecil. Letak, kacau dan letak kembali. Letak sudu dan kacau kembali. Sesekali meniup-niupnya…. entah!

Tidak keruan.

"Duduk elok-elok. Sekejap lagi masaklah keropok tu"

Saya tidak berani memandang muka abang Lu'E. Wajah dan suaranya bersahaja. Saya buntu. Saya kelu, malah tidak tahu apakah topik perbualan yang harus saya bualkan. Saya memerhatikan kiri dan kanan, takut-takut ada kakak senior yang memberikan amaran tempohari. Saya tidak sanggup untuk menerima amaran demi amaran berkali-kali. Seolah-olah saya tiada maruah diri.

"Tunggu sekejap, biar abang pergi tenguk"

Saya seperti budak perempuan kecil yang masih hingusan terpaksa akur kepada arahan. Saya melihat barisan masih panjang dan mereka berkerumun mengelilingi makcik keropok lekor. Namun, dari celah-celah orang ramai saya melihat abang Lu'E berjaya membawa sepiring keropok lekor.

"Ini sahaja yang dapat.."

Saya memerihati rupa makanan yang dinamakan keropok lekor itu. Abang Lu'E mungkin tahu dan dapat membaca dari raut wajah bahawa makanan seperti itu agak asing bagi saya. Barangkali keropok itu asalnya panjang dan berlengkar-lengkar. Lalu ia disebut dengan sebutan dialek tempatan - kepok leko.

Saya melihat beliau mengambil keropok tersebut dan mencecahnya dengan sos cair yang rasanya manis dan pedas. Lalu segera dimakannya. Hati saya berbisik,

"Hah, makan tidak baca bismillah...?

Diambilnya sebatang lagi keropok. Kali ini dengan tangan kiri. Lalu, saya menunjukkan isyarat agar makan menggunakan tangan kanan. Secara bersahaja beliau menukar keropoknya ke tangan kanan pula. Tidak marah malah mendengar kata.

Saya diam tidak terkata. Saya cuba makan dengan tertib. Namun sebenarnya keropok lekor itu tersekat di celah kerongkong. Tidak tertelan oleh tekak saya disebabkan debaran hati seolah-olah di tumbuk bertubi-tubi. Debaran yang berombak-ombak kencang. Kencang sekali!

"Mana Han dan Yatie ni...?"

"Tidak perlu tunggu mereka. Mari kita pergi"

Saya cepat-cepat menyudahkan minuman, sementara abang Lu'E mengeluarkan dompetnya untuk membuat bayaran. Dari jauh saya menjeling berapa banyak nota Ringgit yang ada di dalam dompetnya. Jika semasa di minggu orentasi beliau boleh menawarkan biasiswa kepada para pelajar, pasti banyak duit poketnya.

Saya melihat beliau menyelak-nyelak dompetnya. Tiada berapa nampak nota Ringgit yang kelihatan. Hati saya berbisik,

"Alamak! Tidak ada duit? Habislah kali ini.. aku cuma ada seringgit sahaja"

Dan akhirnya beliau meraba-raba lantas menyeluk poket seluar lalu mengeluarkan sekeping nota ringgit yang berlipat-lipat;

"Hah? Seringgit sahaja yang ada pada dia? Serupa macam aku juga rupanya. Ya Allah. Miskinnya dia... Nasib baik abang Imran sudah menyelesaikan bayaran air minuman tadi."

Kami beredar pergi. Saya tidak fikir Abang Lu’E seorang yang berwang! Patutkah saya menerimanya jika dia mahu menjadikan saya "Teman tetapi mesra...?"



Monday, April 25, 2011

Travelog Impian Abadi : Itu yang tertulis

Berikut adalah petikan dari Travelog Impian Abadi: Itu yang tertulis. Ia kisah budak kampung yang baru keluar dari kampung halaman. Budak perempuan yang tidak pernah berenggang dengan mak dan abah. Segalanya pertama kali.

BAB 31 : Keropok Lekor


Saya mula menikmati hidup sebagai mahasiswi universiti.

Kehidupan harian yang berkisar kepada kuliah, pensyarah, tugasan, membaca, menulis dan menguruskan kehidupan seharian. Saya juga perlu mengurus sumber kewangan yang sangat terhad.

Hampir setiap petang selepas kuliah, kami bertiga akan singgah di kafe. Han sangat suka membeli kuih muih untuk minum petang. Kadang-kadang Han akan membungkus dan membawa balik untuk dikongsikan bersama rakan-rakan sebilik.

Beliau berwang tetapi sedikit pun tidak lokek dengan kawan-kawan.

Saya pula amat berkira dengan perkara-pekara tambahan seperti itu. Wang saku kiriman abah hanya cukup-cukup untuk keperluan dan perbelanjaan pelajaran. Belanja pembelian buku, fotostat, kertas A4, belanja tugasan dan pelbagai keperluan lain memaksa saya betul-betul mengambilkira setiap sen yang ingin saya belanja.

Mak selalu berpesan agar tidak bermewah-mewah.

“Makan sahaja makanan yang ada walaupun nasi kawah

Saya amat bersyukur kerana mempunyai rakan yang baik hati dan suka berkongsi. Namun saya berusaha sedaya upaya untuk tidak mengambil kesempatan ke atas mereka. Perasaan malu yang amat sangat sentiasa ada.

"Han, saya kena balik bilik segera.. ada hal. Pergi dulu ya"

Saya mencipta alasan.

"Ok. Nanti saya hantar kuih ke bilik.."

"Tidak payah. Jangan susah-susah"



Saya bergegas pulang ke asrama. Saya tidak mahu terlampau bergantung kepada Han. Saya tahu beliau ikhlas tetapi saya tidak mahu termakan budi dengan menerima pelawaan minum petang secara percuma hampir setiap hari.

Di bilik, saya akan menjerang air dan membuat secangkir kopi-O panas di cicah dengan biskut kering. Selalunya saya minum sendirian tetapi kadang-kadang ada juga teman serumah yang turut serta. Itu pun bila ada kelapangan. Minum petang sambil bersembang-sembang.

"Semalam akak beli keropok lekor. Buruk benar rupanya"

"Rasanya macamana kak Wati? Sedap ke tidak?"

"Sedap…. engkau kena rasa semua benda. Lain negeri lain makanannya"

Keropok lekor?

Hari itu kami bertiga singgah di kafe. Petang itu saya nekad untuk merasa keropok lekor yang dikatakan sebagai salah satu makanan popular di Terengganu.

Saya hanya membawa sekeping wang seringgit dan bercadang membeli bungkus untuk makan di asrama. Sedang kami beratur, tiba-tiba sekumpulan pelajar lelaki datang menyerbu. Mereka memotong giliran dan semua keropok lekor yang ada habis diborong oleh mereka.

"Anak boleh tunggu? Sekejap sahaja. Nanti makcik goreng lagi…."

Lalu kami mengambil tempat duduk di meja berhampiran. Masing-masing melayan perasaan. Barangkali kesal dan kecewa dengan perbuatan mereka yang memotong barisan. Tiada apa yang kami bualkan. Sedang kami menunggu, abang Imran muncul bersama abang Lu'E. Abang Lu’E adalah bekas pembantu fasilitator sewaktu minggu mahasiswa. Dia menyapa,

"Apa yang awak semua tunggu?"

"Keropok lekor.."

"Makan di sini?"

"Bungkus.."

"Makan di sinilah… abang Imran belanja"

Tiba-tiba abang Lu'E memberikan cadangan dan abang Imran terpaksa mengiyakannya. Han, Yatie dan abang Imran meminta minuman sejuk, manakala saya dan abang Lu'E meminta minuman panas. Sementara menanti keropok lekor sedang di goreng, abang Imran membawa sepiring pisang goreng.

"Makan goreng pisang dulu. Keropok tu lambat lagi heee.. heee.. he"

Abang Imran sungguh-sungguh mempelawa kami serta diakhiri dengan ketawa hilaian kudanya. Trademark asli yang sangat-sangat dikenali.

"Han, Yatie... minum cepat sikit. Abang Imran hendak tunjukkan sesuatu"

"Saya?"

"Awak tunggu keropok lekor tu.. nanti kami datang semula ke sini.... heeee.. heee.. he"

Lalu mereka bertiga pergi meninggalkan kami berdua. Saya dan abang Lu'E.



Thursday, April 21, 2011

Travelog Impian Abadi : Itu yang tertulis..

Alhamdulillah. Suami saya ramai kenalan yang baik hati. Namun, ada yang benar-benar tulusnya sampai ke hati. Mahu tahu siapa orangnya? Klik kenalan di sini.

Tidak terfikir pula buku ke 2 Travelog Impian Abadi : Itu yang tertulis, sudi dilancarkan oleh kenalan itu di Pesta Buku Antarabangsa 2011 PWTC.

Tarikh : 30 April 2011 (Sabtu)
Masa : 2.00 - 3.00 petang.
Tempat : Bilik Seminar Johor, PWTC

Sebagaimana saya tidak menduga saudara Sohaimi Meor Hassan sudi melancarkan buku pertama Travelog Cinta Abadi : Masa yang berlalu.

Nota :

Beberapa bulan yang lalu, kami diminta oleh publisher untuk mencadangkan cover buku.. Lalu, kaver di bawah kami paparkan. Terima kasih kepada pembaca blog dan FB kerana sudi menurunkan undi ke atas cadangan cover buku berikut. Namun, ITU YANG TERTULIS. Kavernya jadi seperti di atas.



Wednesday, April 20, 2011

Itu yang tertulis..

Dua hari lepas semasa sedang menjadi panel pembentangan projek akhir pelajar, seorang pegawai dari pejabat pendaftar UiTM Shah Alam menelefon. Katanya ia berkaitan dengan permohonan bersara awal. Saya berjanji menelefonnya kembali setelah usai pembentangan pelajar.

Selepas zohor, saya memnghubungi pegawai berkenan. Beliau bertanya berbagai soalan dengan bersopan. Antara perbualan telefon kami;

"Benarkah puan mahu bersara awal? Bukankah puan baru sahaja disahkan jawatan sebagai pensyarah?"

"Mahasuci Allah! Itulah yang tertulis...dalam kitab yang Allah sediakan bagi saya di loh mahfuz. Bukankah Allah lebih tahu apa yang tidak kita ketahui..?

"Benar. Dapat berhijrah ke Madinah itupun suatu anugerah puan."

"Alhamdulillah! Kami diberikan peluang menjadi jiran kekasih Allah di dunia dan mudah-mudahan begitu juga di akhirat. Doakan kami dapat bermastautin di sana dan disemadikan di sana.."

Beliau terdiam. Namun beberapa soalan diteruskan.

"Bagaimana dengan harta-benda puan di sini.."

"Ikhlas saya katakan..segala barang kesayangan yang dipinjamkan oleh Allah telah diambil-Nya kembali. Ia tenggelam bersama banjir besar Segamat baru-baru ini puan..."

"Abah puan bagaimana? Saya dengar dia tidak sihat.."

"Abah? Semalam cukup sebulan arwah abah kembali ke rahmatullah.."

"Innalillah...maafkan saya kerana tidak tahu. Adik puan..Ayu?"

"Ayu? Jumaat lepas, 15 April 2011 dia selamat dikebumikan..."

"Puan..maafkan saya. Maafkan saya.."

Begitulah ketentuan Allah dan itulah yang tertulis. Ia telah tersedia sejak azali. Tiada suatupun harta dunia yang kekal. Hanya cinta Allah yang abadi... Barangkali ada sesuatu yang lebih baik di sana nanti. Hanya Allah yang maha mengetahui.

"Ya Allah..sesungguhnya hijrah ini kami lakukan semata-mata kerana-Mu. Muga kami semakin tunduk, semakin sujud dan semakin dekat dengan-Mu. Muga kami menjadi hamba yang tahu bersyukur dengan nikmat kurniaan-Mu..."

"Bersaksikanlah oleh-Mu wahai Tuhan..Sesungguhnya kami mengaku tidak manusia dan jin diciptakan melainkan untuk menyembah dan beribadat kepada-Mu. Dan kami mengaku Rasulullah itu pesuruh-Mu"

"Sesungguhnya dari Allah kami datang, kepada-Nya jua kami akan dikembalikan..

Tuesday, April 19, 2011

Berlalunya Ben 10..

Setahun yang lalu saya pernah menulis entri tentang anak lelaki sulung arwah Ayu, Latif Hakimi yang mengelar dirinya sebagai Ben 10.

Entrinya berbunyi begini:

Kelmarin, Ben 10 kelihatan semakin tinggi, semakin matang dan semakin cekap mengendalikan komputer uminya. Petah kata-katanya semakin ketara. Bersama Ben 10, duduk di atas ribanya adalah adik lelaki yang baru berusia 2 tahun, Rafiqi.

"Adik Rafiqi, duduk elok-elok sikit, abang tengah hendak menang main game ni.."

Lalu, si adik mendengar kata. Duduk, asyik memerhatikan si abang mengendalikan punat-punat permainan komputer. Hadiah dari umi, umpan penawar duka untuk seketika di siang hari.

"Adik..tolong ambilkan abang air sejuk di dapur. Haus pulak tekak abang main game ini"

Hairannya, si adik cepat bingkas bangun dari ribaaan seolah-olah faham dengan arahan abang. Sebentar kemudian, si adik menghulurkan botol susu yang separuh sejuk kepada si abang.

Apabila malam hari, Ben 10 tidak banyak kerenah apabila diarah atok dan nenek supaya tidur. Sambil menyarap di atas tilam uminya, mulut Ben 10 bertanya neneknya;

"Nenek, betulkah kata kawan-kawan disekolah, bila besar nanti abang tidak ada umi?"

"Sudah, pergi tidur. Abang baca banyak-banyak fatihah untuk umi."

Si adik pula kelihatan resah gelisah. Berguling-guling di atas tilam, menahan mata. Botol susu yang dihulurkan oleh nenek, dicampaknya. Tiada banyak perkataan yang keluar, namun mata bundar itu sayu memandang nenek seolah-olah berkata:

"Nenek, adik mahukan umi..."

Kadang-kadang adik menarik tangan nenek, mengajak keluar menunggu umi di muka pintu. Duduklah nenek bersama cucu, menunggu uminya sehingga malam semakin larut. Tanpa sedar, mata bundar itu semakin mengecil, tersenggut-senggut lalu tertutup.

Esok, pasti tangan nenek di tarik lagi. Menanti dan terus menanti umi di malam hari di muka pintu. Menanti dengan rasa rindu. Sesekala mata bundar itu merenung nenek, seolah-olah berkata;

"Nenek, tidak pulangkah umi malam ini..?

Tahun 2011.

Dua hari selepas umi Ben 10 dikebumikan, saya membelikan mereka dua beradik sepasang baju. Si adik saya belikan baju jenama "Ben 10" dan si abang baju bola pasukan Chelsea.

" Hakimi, baju Ben 10 tiada saiz awak...jadi mama belikan baju itu."

"Mama, saya suka pasukan "Man U". Lain kali belilah yang warna merah.."

Terkedu. Betapa anak itu sudah membesar.

Semalam, selepas sembahyang berjemaah, kami menasihatkan Ben 10 agar mendoakan uminya. Kata Ben 10;

"Kalau saya berdoa untuk umi...bolehkah umi hidup lagi?"

"Tidak. Doakan umi dirahmati Allah. Boleh jumpa umi di akhirat."

"Kalau begitu.. minta-minta ceptlah hari kiamat. Supaya cepat saya bertemu umi di akhirat."

Sementara itu, si adik Ben 10 sibuk mendail telefon sambil meletakkan gangangnya ke telinga. Lalu, mak memunjuk si adik sambil bertanya;

"Adik Fiqi mahu telefon siapa?"

"Telefon umi...."

Kami terkedu lagi.

Sunday, April 17, 2011

Bantal buat Ayu..

Saya pernah menulis entri ini semasa mendapat khabar yang adik perempuan bungsu kami disahkan oleh doktor menghidapi kanser payu dara. Berita itu diketahuinya 3 hari sebelum perayaan hari natal tahun 2008. Ketika itu dia masih menyusukan anak bungsunya yang berusia 10 bulan. Entri itu berbunyi begini:

Ayu adalah adik perempuan bungsu kami. Anak ke enam daripada tujuh beradik. Di dalam keluarga, semasa kecil dia paling petah bercakap, paling comel dan paling keras hati. Kalau dia kata hitam, ia tidak mungkin menjadi putih.

Semasa di sekolah tadika, dia sering menyanyi sebuah lagu yang berbunyi:
Tepi gunung, air terjun
tempat orang bermain..
Tempat tinggal tukang kebun dan anaknya Rohani,

Sungguh cantik rupa Ani, hidung mancung seludang..
Betis bagai GUNTING PADI tidak jemu di pandang
Tidur malam, mimpi-mimpi Ani datang ke rumah
Siang hari bila pergi, hati Ani berubah"

Walaupun kami cuba membetulkan kepada "Bunting padi", Ayu tetap bekeras mempertahankannya.

Bila malam hari, Ayu akan tidur dengan dikelilingi bantal. Satu di kepala, dua biji di kiri-kanan dan sebiji buat alas kakinya. Dia kelihatan seperti seorang puteri yang comel tapi kedekut. Kami kakak-kakak akan menunggu dan hanya mengambil bantal itu apabila Ayu telah tidur dengan nyenyak. Selalunya dia tidak sedar akan kehilangan bantalnya.

Suatu malam, saya dan Tuti seperti biasa akan mengangkat kakinya perlahan-lahan untuk mengambil bantal alas kakinya.

Tiba-tiba,
"Uuwaaaaaa! Uwaaaaaa! Bantal Ayu! Bantal Ayu!"
Dia menjerit sekuat hati!

Saya melihat, abah datang meluru ke arah kami adik-beradik lalu beri kami habuan seorang satu das tali pinggang. Tanpa soalan, tiada soal jawab. Kami adik beradik cuma ketap bibir menahan kesakitan, tidak pernah mengalirkan air mata. Kami juga tidak pernah marah Ayu dengan sikapnya itu.

Hari ini, jika Ayu masih lagi memerlukan bantal yang banyak di sekelilingnya, kami adik-beradik akan akur. Malah Ayu boleh minta apa sahaja jenama bantal yang paling empuk.. Kakak-kakak akan cuba tunaikan..

Tahun 2011.

Benar, Ayu memerlukan bantal agar dia dapat tidur secara menyandar 45 darjah. Kalau tidur terlentang seluruh air akan memenuhi muka dan membuatnya sembab. Dua hari selepas pemergiaan abah, kami suami isteri bergegas menemui Ayu di Kedah. Dia terlantar di atas katil dikelilingi bantalnya. Dihidungnya ada wayar yang disambung dengan mesin. Tidak banyak yang boleh dilakukan.

Namun, wajahnya ceria penuh redha. Banyak sekali yang ingin diceritakannya kepada kami. Lalu, saya tadahkan telinga..senyum, mengangguk-angguk dan sesekali tertawa. Sedangkan sebenarnya saya tidak memahami apakah butir bicaranya. Termenggah-menggah dia bercerita dengan kumitan bibir tanpa suara sambil menunjuk-nunjuk ke kepalanya yang hampir botak. Barangkali katanya;

"Kak Ngah, kata doktor kanser Ayu sudah sampai ke otak.."

Kali terakhir, mak menelefon menyatakan serangan kanser menyerang otak dan membuatkan Ayu kejang seluruh badan. Sesekali apabila dia separuh sedar, mak mengajar agar dia menyebut dan mengingati Allah. Kata Ayu;

"Baik abah...Ya abah."

Sesekali memandang mak dan menyebut,"Jom kita balik abah."

Ketika sedang di lap dan ditukarkan diapers oleh suami dengan penuh kasih sayang, dalam sedar Ayu meminta izin untuk disemadikan disebelah pusara abah. Suami Ayu mengangguk penuh sedar yang isterinya pasti akan pergi dan tidak akan kembali.

15 April 2011, suami Ayu, anak-anak dan mak membawa Ayu pulang ke rumah kami di Jementah. Kali ini..dia tidak memerlukan bantal lagi. Yang memerlukan bantal adalah anak-anak kecilnya yang bermata bundar. Sambil bergolek-golek memeluk bantal dan sebotol susu suam, anak kecil yang berusia 3 tahun itu bertanya abahnya;

"Abah..Fiki sudah tiada umi? Fiki anak yatim ya abah..?"

Pesan kami, Ayu janganlah bimbang. Berehatlah dengan tenang. Anak-anak, suami, mak, abah dan adik-beradik bukanlah suatu perhubungan yang mutlak. Mereka tidak dapat menolong lagi. Pasti kita semua bakal menemui Allah yang menciptakan langit dan bumi serta di antara keduanya. Pasti kita menemui-Nya sendirian.

Tiada hidup yang kekal abadi. Segalanya kepada Allah tempat kita kembali.

Al- Fatihah buat adik perempuan bungsu kami... Rahayu binti Roslan.


Saturday, April 2, 2011

Tom Yam

Han dan Yatie.

Saya berkawan baik dengan mereka. Rakan sekelas. Kami sering bertiga walaupun tidak tinggal di dalam hostel yang sama. Tiga sekawan.


Han dan Yatie berasal dari Kuala Lumpur. Remaja bandar yang segalanya lebih terkini berbanding dengan saya. Dalam diam-diam, saya sebenarnya banyak bergantung kepada mereka.

Walaupun Yatie adalah anak kelahiran kota raya tetapi saya kira beliau datangnya dari keluarga yang sederhana. Tidak sombong dan saya amat senang sekali dengannya. Han pula anak sulung berasal dari sebuah keluarga berada. Gaya cakapnya, pemakaian malahan peralatan alatulis, fail dan semua benda yang digunakannya dapat mengambarkan kedudukannya. Ah… bergaya. Memang beliau ada gaya namun Han tidak pula menunjuk-nunjuk dengan kekayaan yang dimiliki oleh keluarganya.

Pernah suatu ketika, keluarga Han datang melawatnya. Mereka datang dengan kereta yang besar, gagah dan bergaya. Tanpa merasainya, saya dapat membayangkan betapa empuk kerusi kusyen di dalamnya.


"Kenapa nama kereta itu singkat sahaja, BMW?" Han dan Yatie tersenyum.

Tiba-tiba ibu Han mempelawa,

"Marilah ikut untie keluar makan"

"Terima kasih untie. Kami sudah makan di kafe tadi"

Saya cuba menolak perlawaan dengan bersopan walaupun di dalam hati teringin sekali menduduki kusyen empuk kereta yang ada di hadapan mata. Ingin sekali. Yatie mencubit peha, sakitnya tidak terperi.

Bapa Han pula berkata, "Alah.. tidak mengapa. Kita keluar jalan-jalan sahaja"

Akhirnya kami bersetuju. Pertama kali duduk di dalam kereta sedemikian rupa, menghidu harum wangian dan menghirup udara sejuk dari penyaman udara, hati terkenang kepada kereta Morris Marina abah.


Kereta kami tiada penyaman udara. Setiap kali kereta bergerak, tingkapnya sengaja dibuka seluas-luasnya. Apabila kereta dipandu laju pasti angin akan masuk ke dalamnya menderu-deru. Jika hujan, cermin tingkap terpaksa dinaikkan. Jadi, pasti kami akan berpeluh-peluh dan cermin tingkap kelihatan meruap-ruap kerana udara panas yang terperangkap. Namun itulah kebanggaan kami semua. Banyak jasa kereta itu kepada kami sekeluarga.

"Wah cantiknya tempat ni…." "Ya.. inilah Tanjong Jara Resort. Awak mahu makan apa?"

Saya terfikir-fikir apakah makanan yang dijual di dalam resort yang serba mewah seperti itu. Negeri Terengganu adalah tempat ikan barangkali itulah menjadi sumber bahan makanan utama.


"Keropok ikan"

"He….he….. he…. nanti kita tenguk apa yang ada"

Mereka membawa kami ke restoran di dalam resort tersebut. Terbeliak mata saya melihat makanannya berbaris-baris, bertingkat-tingkat malah berjenis-jenis.

Subhanallah! Manusia jenis apakah yang dapat makan kesemuanya!

"Makanlah mana-mana yang awak semua suka. Buffet"

Buffet? Apakah jenis makanan yang dinamakan buffet? Saya terasa janggal sekali. Terasa seperti seekor ayam kampung yang terlepas masuk ke dalam kelas di Sekolah kebangsaan Paya Jakas. Terpinga-pinga.


"Macamana hendak mulakan?"

"Cubalah dengan starter. Prawn cocktail, cream of mushrom atau Tomyam" Han memberikan cadangan.

"Tomyam sahajalah.."

Saya membuat keputusan tanpa dapat mengambarkan bagaimana rupanya makanan yang dicadangkan. Saya capai mangkuk kecil tomyam yang diberikan oleh Han. Saya merenung dalam. Mencapai sudu, menyenduk dan melihat ramuan yang ada. Subhanallah! Ikan, ayam, sotong, udang, daging, serai, hirisan bawang serta sayur-sayuran yang beranika rupa terdapat di dalamnya. Semuanya di dalam bekas yang sama. Bekas yang satu. Tidak terfikir bahawa saya diberikan peluang oleh Allah untuk menikmatinya.

"Bismillahirahma-nnirrahim.."

Saya hirup perlahan-lahan tomyam yang suam ke dalam mulut. Hati tidak henti-henti memuji-muji Allah penuh kesyukuran. Tiba-tiba teringat mak, abah, adik-adik dan Mak Wa. Apakah juadah yang sedang di hadapan mereka.

"Ya Allah. Selama ini diri ini diajar makanlah apa yang terhidang di depan mata dengan ala kadar sahaja. Terima kasih Allah. Mudah-mudahan makanan ini memberikan berkat dan menambahkan keimanan dan ketakwaanku kepadamu. Ya Tuhan, berikan kesempatan suatu waktu nanti akan ku kongsikan makanan seperti ini"

Di dalam diam air mata jatuh perlahan-lahan. Saya capai sehelai tisu dan mengesatnya tanpa pengetahuan mereka. Hati berbisik sambil merenung ombak pantai Tanjung Jara yang indah permai.

'Jemput makan abah, emak, mak wa dan adik-adik..."


Petikan dari Travelog Impian Abadi : Itu yang tertulis.


Gambar ihsan : aurapink.blogspot