Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Saturday, January 29, 2011

Tosai

A.Ravi Shankar adalah ketua murid di Sekolah Kebangsaan Paya Jakas.

Benar. Di sekolah kami tiada diskriminasi gender dan bangsa. Bagi cikgu, sesiapa sahaja yang layak boleh menjawatnya. Dia mengetuai sebilangan besar anak-anak melayu di sekolah kampung itu. Bapanya seorang guru di sekolah rendah tamil Ladang Nagappa. Letaknya di pendalaman. Untuk ke sekolah tamil itu, ia perlu melintasi sekolah kami.

Ravi Shankar menguasai bahasa melayu dengan baik, malah boleh membaca tulisan jawi. Banyak nilai tambah yang ada dalam dirinya, seorang yang bersopan santun dan berbudi bahasa, menjadikan dia seorang yang popular. Tidak hairan jika dia disayangi cikgu-cikgu dan rakan-rakan.

Saya mengenalinya ketika di dalam darjah lima kerana dia adalah ketua murid. Jika ada murid-murid yang membuat kesalahan, dia pasti memaklumkan secara berdepan kepada mereka. Saya tidak terkecuali.

"Saya sudah lama perhatikan awak. Awak menjual buah mempelam di sekolah.."

"Ya, tetapi di luar kawasan sekolah. Di luar pagar.."

Saya melawan. Dia akur dan langsung tidak melaporkan kepada guru displin. Barangkali secara teknikal, saya tidak boleh disabitkan kesalahan kerana menjual makanan di luar kawasan sekolah. Ianya berterusan sehinggalah suatu hari yang ditentukan Allah, duit jualan buah mempelam yang saya simpan di dalam beg sekolah, di curi orang. Ia berlaku ketika waktu rehat.

Pandai pula saya mengadu kepada Ravi Shankar. Keesokannya, guru besar membuat pengumuman semasa perhimpunan di waktu pagi.

"Masyallah. Itulah lain kali awak mesti berhati-hati." pesan Ravi.

Sebagai membalas jasabaiknya, saya menghadiahkan sebiji mempelam yang besar kepadanya. Lalu, kami mula bertegur-sapa. Di masa-masa yang lain, dia pandai pula menggendeng buah mempelam jualan saya.

"Eh, saya tidak boleh beri awak secara percuma.. Semua ini sudah ada yang punya. Kalau awak mahu, esok saya bawa. .tetapi tolong ambil dan bayar di luar pagar ya."

Terdiam.

Begitulah perangai buruk saya. Lupa daratan dan tidak sedar diri . Entah mengapa, dia langsung tidak membeli mempelam saya. Tetapi, masih juga membuat permintaan yang sama. Dari jauh, dia hanya memerhatikan sahaja "aktiviti kurang ajar" saya di luar pagar.

"Buah mempelam ini saya jual..bukan percuma.."

Tetapi, akhirnya saya jatuh kasihan kepadanya. Terlintas di hati saya, barangkali bapanya tidak memberi wang saku. Malah, dia tiada pokok mempelam dirumahnya. Ya Allah, sombongnya saya. Lalu, jika ada sebiji dua buah mempelam yang sedikit buruk isinya, saya memberi kepadanya secara percuma. Dia menyambutnya dengan riang gembira.

"Terima kasih. Emak saya pandai buat tosai, nanti saya beri sekeping kepada awak."

Begitulah janjinya, namun tidak pernah tertunai. Sehinggalah sampai perayaan Deepavali. Ravi Shankar beriya-iya menjemput saya ke rumahnya. Siap sekali dengan peta ke rumahnya.

"Awak mesti rasa tosai emak saya. Ia sedap di makan panas-panas."

Barangkali itulah sebabnya dia tidak membawanya ke sekolah, kerana katanya tosai sedap di makan ketika masih panas. Wah, pandai dia menjaga reputasi masakan emaknya. Saya tidak dapat mengaggak bagaimanakah rupanya tosai itu. Barangkali ia serangkaian dengan roti mariam. Saya mengangguk, senyum dan menyambut peta darinya. Tetapi di dalam hati bernekad dan berkata;
"Eei.. siapalah yang mahu makan tosai emaknya. Entah bagaimanalah cara emaknya menguli tepung itu.."

Berziarah di perayaan deepavali dan makan tosai di rumah penganut hindu? Bolehkah? Halal kah? Balik-balik saya terbayangkan bagaimana emaknya menguli tepung, mencanai.. Hish..tidak sanggup rasanya.

Beberapa hari sebelum cuti deepavali, sekali lagi Ravi mengingatkan saya. Kali ini wajahnya penuh berharap.

"Awak tidak mahu rasa tosai emak saya? Hanya deepavali sahaja rumah saya terbuka.. "

Senyum. Tetapi di dalam hati berkeras menyatakan;

"Oh, tidak. Terima kasih sahajalah.."

Apabila sampai masanya, saya masih juga berbelah bahagi. Terniang-niang dengan kata-katanya. Terbayang wajah bangga seorang anak yang mahu rakan-rakan berkongsi masakan istemewa emaknya. Hasil tangan emak yang melimpah kasih sayang kepada anak-anaknya.

Subhanallah. Bayangkan bagaimana sekeping tosai begitu disebut-sebut oleh seorang anak. Apakah anak-anak teringat-ingat air tangan masakan kita?

Wednesday, January 26, 2011

Bubur nasi Keledek

Semasa di sekolah rendah, saya bukanlah jenis suka berkawan. Kawan-kawan saya adalah adik-beradik dan sepupu terdekat. Kami jarang sekali bermain dengan anak-anak jiran tetangga. Sebabnya kerana kami sibuk dengan urusan sendiri - main basikal, mandi sungai dan panjat pokok untuk jualan.

Tan Chew Peng dan Ravi Shankar adalah dua nama rakan sekolah yang membuatkan saya memberi ruang dan perhatian kepada mereka. Kenapa?

Tan Chew Peng adalah satu-satunya pelajar berbangsa cina yang bersekolah di sekolah kebangsaan Paya Jakas. Dia tinggal di sebuah ladang estate di Kebun Baru. Fasih sekali berbahasa melayu.

Saya tidak begitu menghiraukan Chew Peng kerana sibuk berkawan dengan Adib [sepupu]. Lagipun dia mempunyai rakan-rakan sendiri yang terdiri daripada kumpulan pengakap. Dia aktif dan disayangi guru-guru sekolah. Dia juga tidak begitu menghiraukan saya. Kami hanya memandang melalui ekor mata.

Saya pernah mendengar rakan-rakan yang cuba rapat dengan saya menyampaikan berita;

"Chew Peng kata awak sombong. Mentang-mentang anak cikgu..."

Saya tidak menjawab, malah tidak melatah. Selagi ia tidak datang dari mulutnya, saya tidak mahu percaya dengan cerita yang disampaikan oleh sesiapa. Ia berlalu begitu sahaja.

Suatu petang di musim tengkujuh, semasa pulang dari sekolah agama untuk ke tempat mengaji quraan, saya melihat Tan Chew Peng berteduh di bawah pokok tanjung. Dia memakai uniform pengakapnya. Bajunya basah. Saya lalu di depannya tetapi tidak pula mahu bertanya atau menegurnya. Sedikit sebanyak saya termakan kata-kata yang disampaikan oleh rakan. Saya tidak mahu mencari fasal. Lalu, ego menguasai diri.

"Jika orang tidak mahu berkawan dengan kita, jauhkan sahaja diri dari mereka."

Selesai mengaji quraan, saya mahu terus sahaja pulang ke rumah. Tetapi, ada sesuatu yang menghalang. Hati saya teringat-ingat kepada Tan Chew Peng. Tertanya-tanya masihkah dia berdiri di situ dengan uniformnya pada lewat petang itu. Lalu, saya berpatah balik ke belakang, menuju ke arah sekolah agama.

Benar, dia masih berdiri di bawah pokok tanjung itu. Uniformnya basah dan tubuhnya sedikit menggeletar. Kenapa dia masih belum pulang sedangkan hari sudah lewat petang? Subhanallah! Dengan kekuatan yang ada Allah memberikan ilham kepada saya, agar membuang perasaan ego itu jauh-jauh. Saya memberanikan diri mendekatinya dan bertanya;

"Awak tunggu siapa? Hujan. Sudah hampir maghrib.. kenapa tidak pulang?"

Tiba-tiba Chew Peng menangis lalu memeluk saya. Terasa getaran tubuh badannya. Nyata dia kesejukan. Tanpa berfikir panjang, saya mempelawa dia datang ke rumah. Dia tidak menolak. Di rumah, saya memberitahu emak tentang Tan Chew Peng. Emak menyuruh dia mandi dengan menyediakan air suam. Saya pinjamkan baju kurung kepadanya. Dia menyambutnya dengan takut-takut dengan wajah penuh bersalah.

"Mahukah awak memakai baju kurung? Ini sahaja baju yang saya ada."

Tanpa banyak bicara dia memakainya. Dengan wajah takut-takut dia membuka bicara;

"Saya fikir hari ini ada kegiatan pengakap. Perkhemahan. Rupanya cikgu batalkan saat-saat terakhir. Sebelum itu saya memberitahu bapa agar mengambil saya keesokan harinya. Saya juga tidak membawa duit tambang bas."

"Kenapa awak tidak berteduh di tepi sekolah?"

"Bolehkah budak cina berteduh di sekolah agama Islam?"

Saya diam. Barangkali itulah ketakutan yang ada di dalam dirinya. Lalu, dia sanggup berhujan. Semasa kami menyediakan makan malam, Chew peng membuat suatu permintaan;

"Bolehkah masak bubur nasi untuk saya? Biar saya tunjukkan caranya.."

Tan Chew Peng memasukkan secawan beras dan air yang banyak ke dalam periuk. Apabila dia terpandang keledek, dia minta masukkan sebuku keledek. Secubit garam secukup rasa. Kemudian ia mengoreng beberapa ulas bawang putih yang dicincang halus. Apabila bubur nasi mengeleggak dan keledek sudah empuk, dia mencurahkan gorengan bawang putih bersama minyaknya ke dalam bubur.

Bubur nasi campur keledek. Bubur yang biasa menjadi hidangan kami sekeluarga. Namun, emak biarkan sahaja Chew Peng menunjukajar caranya. Sebenarnya saya malu untuk menceritakan kepada orang lain tentang bubur nasi keledek. Saya fikir ia makanan orang miskin seperti kami. Rupa-rupanya ia juga di makan oleh bangsa lain.

Malam itu, barangkali prasangka yang bersarang di hati kami terungkai. Chew Peng petah bercerita. Barulah saya sedar yang anggapan luaran atau pandangan orang lain tidak selalunya benar.

Keesokannya rumah kami dikunjungi oleh bapa Chew Peng. Bapanya datang diiringi oleh tukang kebun sekolah. Wajahnya cemas. Ia menunggang motor kapcai yang penuh dengan palitan getah kering. Ternyata lega, bapanya berkali-kali mengucapkan terima kasih kepada kami. Chew Peng meluru ke arah bapanya. Ia ceria, tidak rasa bersalah dan tidak langsung takut-takut lagi memakai baju kurung saya.

"Papa, baju saya semua basah. Tidak mengapa saya pinjam baju ini kan?"

Monday, January 24, 2011

Kek paun

Minat memasak bagi anak-anak barangkali bermula dari dapur di rumah sendiri. Jika persekitarannya positif, maka ia juga memberikan rangsangan yang positif. Saya fikir begitu. Tidak semestinya benar anggapan itu.

Apabila emak melihat kami minat memasak, dia mengalakkanya. Emak juga seboleh mungkin menyediakan bahan keperluannya. Jika tidak berjumpa dengan bahan, emak menggantikan dengan bahan yang paling hampir sebagai alternatif. Begitulah cara emak mengajar kami.

Emak akan memberi tunjukajar buat pertama kali. Dan seterusnya dia akan membiarkan kami mencuba. Mencuba berkali-kali sehingga menjadi. Sebab itu tidak hairanlah jika ada masa tertentu dapur kami berbau bahan terbakar dan kadangkala harum semerbak baunya.

Dapur? Emak biarkan sahaja dia bersepah tetapi bersyarat.

"Tolong kemas dapur setelah menggunakannya. Mop lantai dengan pencuci lantai di campur dalam air panas."

Selalunya kami adaik-beradik akan berbahagi kerja. Seorang menjadi pembantu saya sehingga masakan selesai. Yang lain akan membasuh pinggan dan mengemas dapur yang bersepah. Akhirnya, barulah kami menyedari.. ia akan melahirkan generasi yang suka memasak dan generasi yang suka mengemas sahaja. Jarang sekali ada yang mengemari untuk melakukan kedua-dua pekerjaan tersebut serentak! Tidak hairanlah jika ada terdengar rintihan..

"Ya Allah..kalaulah ada pembantu untuk mengemas dan membasuh pinggan..."

Kek pertama saya adalah kek paun atau "Butter cake". Emak mengajar ketika saya berumur 12 tahun. Bahan asanya adalah tepung naik sendiri, telur, gula dan mentega. Sukatannya semua sepaun [ 1.00 lb] bagi semua bahan.

"Masukkan sedikit vanila untuk menghilangkan hanyir telur. Jika kita mahu membuat kek oren, tambahkan sahaja perahan oren dan parutan kulitnya. Jika mahu membuat kek marbel, ambil sedikit adunan dan campurkannya dengan pewarna yang kita suka. Curahkan bahan secara berselang seli."


"Wah! Mudahnya membuat kek..."

Kami teruja. Emak bercerita, semasa cuti sekolah dia pernah menjual kek coklat kepada orang kampung. Mereka memanggilnya sebagai "Bahulu koko". Emak menggunakan takung untuk membakar. Hasil jualan kek itu dikumpul bagi membeli oven cap "Butterfly". Oven yang ditenggekkan ke atas dapur arang.

"Itulah duit belanja bagi menampung emak ke sekolah. Ah! Barangkali orang kampung Sepinang membeli bukan kerana rasanya tetapi kerana kasihan. Budak tiada emak"

Emak telah ketiadaan ibunya ketika usia belasan remaja. Alhamdulillah! Salah seorang guru sekolah mengesan bakatnya dan berusaha menghantar emak menuntut ilmu di sekolah rumahtangga Ibu Azizah Johor Bahru [kini sekolah vokasional Azizah] dalam jurusan sains rumahtangga. Jelas dia melahirkan rasa bersyukur kerana Allah memberikan ia peluang belajar di situ.

Emak memang seorang yang hebat. Dia sentiasa memberikan motivasi untuk kami memasak sendiri. Dia menunjukkan cara dan memberi kepercayaan. Malah dia membenarkan untuk kami melakukan kesalahan. Katanya,

"Selagi kita tidak melakukkanya, selagi itu kita tidak tahu apa yang tidak kita ketahui."

Subhanallah! Rasulullah S.A.W juga mengajar umatnya dengan memberi tunjuk ajar serta tauladan. Beliau mengajar cara yang betul, jalan yang benar dan bermanfaat. Namun, kenapa kita masih berdegil dan tanpa sedar perlakuan kita tidak mengambarkan diri sebagai umatnya.

Belajar memasak adalah terapi untuk muhasabah diri. Jika kita tahu bahan-bahan dan cara sebenar membuatnya tetapi dengan sengaja tidak peduli mengambil langkah sebagaimana yang diajar oleh guru kita.. Jangan salahkan dia jika nanti kek menjadi roti.

Sunday, January 23, 2011

Cornish pasties

Semasa remaja saya suka mencuba resepi masakan. Resepi yang mudah-mudah. Dan bahannya murah serta mudah didapati.

Semasa berumur 12 tahun, ketika mengemas buku-buku di atas rak, saya terjumpa buku resepi emak! Buku sekolah emak. Di dalamnya tercatat berbagai jenis resepi masakan, kuih muih dan sebagainya.

"Wah! Emak bersekolah di Sekolah Ibu Azizah Johor Bahru. Jurusan Sains rumahtangga rupanya!"

Kami teruja. Emak senyum namun mengalihkan wajahnya. Dia tidak mahu kami bertentang mata. Di suatu masa yang lain, saya meminta emak mengajar saya membuat karipap. Emak mengajar saya bermula dari membuat intinya. Apabila musim keledek, kami menggunakan bahan itu. Jika tidak, emak mengajar kami menggunakan kentang dan sedikit lobak merah. Kadang-kadang kami menggunakan sayur-sayur serta tauhu bagi karipap sayur.

"Semasa di sekolah dahulu, Ibu Azizah memberitahu karipap sebenarnya bermula dari perkataan "curry puff". Nama asalnya adalah "Cornish pasties". Ia berintikan kentang, kacang pea dan daging yang dimasukkan sedikit rempah kari. Kulitnya adalah asas puff pastry. Ia dibakar di dalam ketuhar."

Emak memulakan bicara.

"Barangkali ia diubahsuai lalu dipanggil karipap. Jika karipap itu berintikan kelapa manis, kita panggil ia sebagai "epok-epok."

Saya benar-benar gembira dengan penemuan yang mengujakan. Benar, ilmu itu perlu dicari dan dikaji. Benar kata pepatah "Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya". Dan ilmu itu akan lebih bermakna jika kita mengamalkannya. Jika tidak ia akan terkubur dan berlalu begitu sahaja. Yang ada hanya dalam ingatan..dalam lipatan sejarah kita.

Subhanallah! Biarlah ilmu di dada hanya sedikit..tetapi kita dapat istiqamah mengamalkannya.

Cornish pasties? Barangkali anak-anak saya hanya tahu namanya sahaja.

Thursday, January 20, 2011

Roti Mariam

"Roti mariam?"

"Ya..atau roti puri."

"Kenapa emak tidak namakan ia roti Rukiah? Sempena nama emak?"

Emak senyum sahaja. Begitulah..kadang-kadang sesuatu yang kita ubahsuai rupa atau rasanya kepada rupabentuk baru tidak pula kita namakan sebagai ciptaan kita. Sebabnya..malu. Takut kalau-kalau orang tidak dapat menerimanya.

Bagi saya, tiada satupun makanan yang ada di dunia ini tersalah adunan atau resepi. Barangkali bahan-bahan yang digunakan adalah sama seperti yang tercatat di dalam buku resepi. Tetapi apabila metod bancuhan atau cara aplikasi berbeza..lalu, ia menjadi sesuatu yang lain.

Saya mula memberanikan diri masuk ke dapur, menggunakan atau mencatat resepi seawal umur sebelas tahun. Semuanya kerana terpaksa. Terpaksa kerana tidak tertahan melihat adik-adik yang masih kecil begitu "kuat makan."

Akhirnya kerana terpaksa itu bertukar menjadi minat. Minat untuk mencuba sesuatu kerana adik-adik sentiasa menunjukkan tanda-tanda positif. Maknanya masakan saya dihargai. Setiap masakan yang menjadi akan dipuji. Mana-mana yang rupanya tidak seperti dalam buku resepi ..tidak pula mereka mencaci.

"Alah kak Ngah..mesti resepi ini sukatannya tidak betul."

Apabila ada yang menyatakan seperti itu , saya lega. Lalu, emak atau mak wa berpesan;

"Asas resepi memasak semuanya sama. Namun, perhatikanlah bagaimana cara bancuhannya, kepekatan adunannya [texture], rasanya, baunya, rupanya dan warnanya. Bila orang memasak, kita perlu perhatikan semua itu."

Mereka berpesan lagi.

"Sebab itu jangan lokek jika ada orang lain meminta resepi. Jika boleh tunjukkan cara. Sesetengah orang masakannya boleh menjadi hanya dengan arahan lisan atau cakap-cakap sahaja. Ikhlas apabila memberi. Mudah-mudahan ia menjadi ilmu yang memberi menafaat"

Benar. Kali pertama apabila emak mengoreng roti mariam, saya buat-buat sibuk dengan kerja lain. Saya fikir..saya boleh melakukannya. Saya buat cara saya. Apabila rasa dan rupanya tidak seperti "Roti mariam" lalu, saya katakan itu roti cara saya.

Asas roti mariam sangat mudah. Ia hanya memerlukan tepung gandum, telur, majerin dan air garam. Diuli sehingga lembut. Adunan dikepal bulat-bulat dan diperap setengah jam. Kepalan kecil tadi dileperkan didalam piring dan digoreng dalam minyak yang banyak. Rupanya seperti roti nan. Ia sedap dimakan bersama kari kesukaan.

Mudah bukan? Jika tidak menjadi..namakan sahaja roti itu dengan nama sendiri.

Gambar ihsan : flickr

Wednesday, January 19, 2011

Labu oh labu

Semasa berumur sepuluh tahun, kami sekeluarga berpindah ke kampung halaman abah. Letaknya di Kampung Paya Jakas. Mukim Jementah. Daerah Segamat. Ia bersempadan dengan jajahan Melaka dan Negeri Sembilan.

Jadi tidak hairanlah jika kita mendengar orang-orang tua berbicara loghatnya kadang-kadang kedengaran seperti loghat orang Melaka dan kadang-kadang seperti orang negeri. Mercu tanda kampung kami adalah banjaran gunung ledang.

Ketika zaman kanak-kanak, saya melihat tanah-tanah orang kampung diusahakan secara berkelompok. Mereka menanam secara bergotong-royong. Ada menanam keledek, kacang panjang, labu, jagung dan segala tanaman bermusim. Malah, pegawai-pegawai pertaniah begitu proaktif dalam memberikan bantuan samada dalam bentuk biji benih, baja dan juga idea. Malahan setiap rumah digalakan menanam sayuran seperti cili dan kunyit di dalam pasu bunga.

Namun, apabila sampai musim menuai.. mahu tidak mahu, kami terpaksa makan sayur yang sama dari pagi hingga ke malam. Misalnya waktu sarapan pagi kami makan bubur dengan sayur kacang panjang, tengahari lauk masak lemak kacang panjang dan makan malam adalah sayur kacang panjang lagi!

Saya paling suka apabila sampai musim buah labu.

Bunganya jika dicelup dalam adunan tepung beras lalu digoreng terasa bagaikan makan sayur tempura. Pucuknya yang lembut amat enak jika di masak lemak dengan santan pekat. Buah mudanya boleh dimasak sayur tumis air dengan daun kunyit. Buah tuanya sedap dibuat sayur lemak dicampur dengan pucuk bayam atau daun selasih. Buah yang sedang-sedang enak sekali jika dibuat serikaya labu.

Apabila Mak wa membuat serikaya labu, saya suka membantu. Saya melihat bagaimana mak wa menebuk bahagian tangkai labu lalu dikeluarkan biji-bijinya. Labu dicuci sehingga bersih. Kemudian saya melihat mak wa memasukkan santan pekat yang telah dimasukkan gula, telur dan perahan air daun pandan. Secubit garam penambah rasa. Buah labu tadi dikukus.

Di hari yang lain, labu tadi menjadi jemput-jemput, bingka, keria ataupun lepat.

Kini, apabila terpandang timbunan labu yang dijual ditepi jalan..pasti kenangan silam datang bertandang. Labu..ia kenangan indah seorang cucu.

Monday, January 17, 2011

Tempe oh tempe..

Semasa zaman kanak-kanak, saya sering mengendeng masakan tempe di rumah jiran yang berketurunan jawa. Saya akan bermain-main di sekitar dapaur rumah mereka, apabila terhidu bau masakan tempe. Sambil bermain dan seolah-olah hanya sekadar menyapa, saya bertanya:

"Wah..sedapnya bau. Embah Jannah masak apa tu?"

"Embah [atok] goreng tempe.. Marilah makan sama."

"Tak apalah embah..emak saya dah masak di rumah.."

Saya olok-olok memberi alasan. Jika embah Jannah membuat sekali lagi perlawaan, sekelip mata saya sudah duduk bertimpuh di lantai dapur, malah sudahpun membasuh tangan.
Tempe adalah makanan harian masyarakat keturunan jawa di kawasan rumah kami. Mereka memasukkan tempe goreng nipis ke dalam ramuan ikan bilis goreng, hirisan lada, bawa, suhun, kacang panjang dan menamakan sebagai sambal goreng. Saya paling suka apabila tempe digoreng nipis dan dicampurkan dengan ikan bilis dan kacang tanah. Ia di goreng kering dan rasanya manis-manis pedas.

Mereka juga memasak tempe secara berkuah yang dipanggil ungkep. Rupanya seperti tempe masak kurma.

Paling enak jika tempe digoreng celup tepung yang dinamakan Tempe mendoan. Selalunya mereka mengoreng dengan celupan tepung beras. Bancuhan tepung itu dimasukkan hirisan bawang merah, sedikit jintan manis dan jintan putih. Ia di bancung dengan air garam. Kadang-kadang dimasukkan sedikit hirisan daun sup atau daun bawang serta lada sulah. Ia digoreng dalam minyak panas.

Petanda gorengan tempe sudah boleh diangkat apabila warna tepungnya bertukar coklat kekuningan Gorengan tempe sedap dicicah bersama sambal kicap manis pedas. Dimakan waktu minum petang.

Begitulah. Bertahun-tahun, itulah makanan yang dipersembahkan kepada saya.

Apabila berada di luar negara, saya mengidam masakan tempe semasa mengandung anak ke tiga. Setiap kali sebelum tidur, perlahan-lahan air mata keluar bercucuran tanpa ditahan-tahan. Segera saya palingkan badan membelakangkan suami, bimbang kalau-kalau dia terperasaan. Puas dipujuk-pujuk selera dengan cara mengoreng brokoli, cauliflower, carrot atau epal yang dicelup tepung. Namun, manakan sama dengan tempe goreng.

Di North Wales, tidak terdapat "China town" atau " Kedai pakistan" atau kedai runcit Thailand. Jadi, untuk mendapatkan barangan halal dan bahan mentah dari negara-negara asean memang agak sukar.

Untuk mendapat bahan-bahan tersebut, kami terpaksa membelinya di Manchester. Jaraknya adalah dua jam perjalanan dari North Wales. Kami pergi secara bergilir-gilir. Suatu hari, giliran kami ke Manchester. Antara barangan yang wajib dibeli adalah seekor kambing bebiri muda, ayam, santan kelapa dalam tin, kicap, taugeh, sawi, serai dan rempah kari.

Semasa kami mencari-cari bahan, tiba-tiba mata saya terpandang sesuatu. Spontan jeritan kecil kedengaran yang membuat semua mata memberikan tumpuan kepada barangan berkenaan.

"Yang! Tempe! Tempe..!"

Subhanallah! Bayangkanlah..bagaimana tempe itu boleh memberikan kegembiraan?

Gambar ihsan: Photoblog.com

Thursday, January 13, 2011

Lempuk Durian Segamat

Barangkali menyebut nama buah itu ramai yang dapat membayangkan bagaimana rupa dan baunya. Raja buah itu boleh didapati di mana-mana apabila sampai musimnya. Malah lambakan buah itu boleh di dapati terjual di tepi-tepi jalan.

Kampung kecil saya tidak terkecuali. Buah durian Segamat. Kerabat Sultan Johor juga pasti menitahkan rakyat jelata menghantar durian Segamat ke Istana baginda. Ironinya.. durian Segamat adalah trademark daerah saya.

Kampung kecil kami letaknya di kaki gunung ledang. Air sungainya mengalir terus ke dalam kebun-kebun durian penduduk kampung. Ada pohon-pohon durian yang sengaja di tanam berbaris-baris di lereng bukit. Barangkali faktor tanahnya menjadi salah satu sebab memberikan ia nikmat rasa yang berbeza.

Buah-buah durian itu dinamakan mengikut rupa fizikal, warna dan rasanya. Ada yang dinamakan durian tembaga, durian kunyit, durian belimbing dan sebagainya. Ia berbeza dengan durian pada masa kini, yang mana ia dinamakan mengikut kod seperti IOI, D24 dan sebagainya.

Semasa harga durian melambung tinggi, hampir setiap penduduk kampung akan berkampung dan bermalam di kebun masing-masing. Mereka sanggup bangun di tengah malam semata-mata untuk menyuluh dan memunggut buah-buah durian. Kalaulah mereka bangun di satu pertiga malam itu dengan niat beribadat kepada Allah.. Bersolat malam kemudian berzikir, bertasbih sambil memunggut durian. Subhanallah! Beruntungnya mereka di dunia dan di akhirat.

Di pagi hari, mereka memasukan isi durian ke dalam adunan tepung untuk di buat jemput-jemput durian. Tengahari, mereka makan nasi berlaukkan masak lemak durian muda dengan daun kunyit.
Minum petang, mereka buat pulut durian yang dimasak dengan santan. Atau mereka mencampurkan sahaja isi durian ke dalam santan pekat mentah yang dicampurkan dengan sedikit gula merah. Sedikit garam penambah rasa. Ia dicecah dengan roti bantal. Ada yang menghirup kuahnya dengan sudu. Ada yang menggunakan tangan sahaja!

Wah! Walaupun hampir setiap rumah mempunyai pokok durian peninggalan nenek moyang, mereka masih juga menjamahkan apa-apa jua juadah hasil dari bahan durian kepada jiran tetangga.

Durian-durian yang baru gugur dijual kepada peraih yang datang dari kebun ke kebun. Mana-mana yang ditolak akan menjadi habuan keluarga. Durian itulah nanti bakal dijadikan kuih-muih, tempoyak atau lempuk.

Saya melihat emak-emak saudara, mengumpulkan isi durian lalu dimasukkan ke dalam kuali tembaga. Mereka memasukan gula pasir dan mengacaunya sehingga durian berubah warna. Kami menamakan ia sebagai lempuk durian. Rupanya seakan-akan dodol. Ia dibungkus rapi di dalam upeh pinang. Jika di jual, harganya lebih tinggi berbanding dengan buahnya.

Sejak kebelakangan ini, pokok-pokok durian ditanam secara kormesial berpuluh-puluh ekar luarnya. Lalu, buah-buah durian penduduk kampung kecil kami sudah tiada harga. Durian terbaik yang pernah suatu masa dahulu mencecah sehingga RM10- RM15 sekilo kini rata-rata hanya tinggal beberpa sen sahaja harganya.

Saya melihat durian emak-emak saudara semakin menurun harganya. Namun, mereka juga sudah tiada kudrat untuk mengacau isi duriannya.

Begitulah..lumrah putaran kehidupan yang dijadikan Allah S.W.T. Tiada yang kekal selamanya. Dahan yang patah, akan tumbuh pucuk yang baru. Yang hilang.. yang lain pula akan menggantikannya.

Tuesday, January 11, 2011

Ayam goreng istemewa

Emak jarang mengoreng ayam sebagai hidangan tengahari sewaktu kecil kami. Alasannya ia tidak berkuah dan tidak boleh dijadikan lauk. Barangkali dengan selera makan kami, emak bimbang kalau-kalau ia tidak mencukupi.

Suatu hari abah membawa pulang beberapa ekor anak-anak ayam yang comel berwarna kekuningan dari pasar. Abah memberi peluang untuk kami memilih mana-mana yang berkenan.

"Setiap seorang pilih sekor anak ayam. Awak kena bagi makan dan bela ayam masing-masing"

Kami teruja. Setiap ekor anak-anak ayam kami berikan nama. Masing-masing mengambil berat anak-anak ayam peliharaan mereka. Abah mengupah orang membina reban dibelakang rumah. Abah masukkan pelita kaca serta bekas makanan dan minumannya.

Lalu, kami melihat anak-anak ayam itu membesar. Ada yang menjadi ayam jantan dan ayam betina. Subhanallah! Sedangkan sewaktu kecil kami tidak mengenalpasti jantinanya.

Lauk ayam lebih kerap menjadi hidangan. Kami hampir tidak dapat menelannya kerana masih menebal perasaan kasih terhadap ayam peliharaan. Namun, kami tidak sanggup menolak apabila emak mengorengnya dengan resepi istemewa. Resepi keluarga.

"Peha ayam goreng itu simpan sebelah untuk abah."

Semasa menyediakkan hidangan, sengaja emak mengangkat ayam yang baru digoreng panas-panas. Kami adik-beradik mengambil bahagian masing-masing kecuali Ayu dan Razif. Mereka berdua akan saling pandang-memandang. Kemudian sepantas mungkin tangan masing-masing menyambar peha ayam. Pergerakan mereka serentak.

Di masa yang lain apabila emak menghidangkan ayam goreng istemewa, mereka melakukan perlakuan yang sama. Dalam banyak-banyak bahagian, pasti mereka menyambar bahagian yang sama. Pasti ada adegan renungan tajam, tertusuk terus ke anak mata. Setajam itu juga renungan ditumpukan ke bahagian ayam goreng yang bakal menjadi sasaran mereka.

Hairannya..mereka pantas menyambar bahagian yang sama!

Hari ini, ayam goreng istemewa itu semakin berkurangan rasa lazatnya. Baru kami sedari, rupanya keistemewa itu terletak pada renungan tajam itu dan kepantasan tangan merebut bahagian yang sama.

Hari ini, barangkali ayam goreng istemewa itu tidak lagi penting pada Ayu. Jangankan bergerak pantas, duduk dan bangun pun tidak mampu dilakukannya dengan kadar segera.

"Wahai Tuhanku..berikanlah kekuatan kepada adik bungsuku..Rahayu. Agar dia redha dengan ketetapan-Mu."

Gambar ihsan: myreceipe.com

Sunday, January 9, 2011

Nasi berminyak

Saya mengenali nasi minyak sewaktu zaman kanak-kanak kerana ia senonim dengan majlis perkahwinan. Kemeriahannya terasa satu kampung terutamanya pada musim cuti sekolah. Termasuk kanak-kanak.

Kenapa? Ini bermakna ibubapa kami dan jiran tetangga terdekat tertumpu kepada rumah keluarga pengantin. Mereka sibuk membantu membuat persiapan untuk jamuan bagi tetamu pada hari berlangsungnya perkahwinan.
Kaum perempuan membantu mengupas bawang, merebus telur dan apa jua pekerjaan yang boleh mereka lakukan. Mereka memanggilnya sebagai "rewang".

Kaum lelaki pula sibuk mendirikan balai beratapkan zing dengan memacak tiang-tiang. Meja dan bangku dibuat seperti pangkin papan-papan lebar. Barangkali khemah masih belum diperkenalkan.

Lalu, kami boleh bermain sebebas-bebasnya sekitar rumah pengantin. Malah, jika penat bermain, makanan dan minuman yang disediakan untuk pekeja rewang terhidang di atas pangkin di balai belakang rumah pengantin.

Namun, jika rumah keluarga pengantin letaknya di hujung kampung, mereka hanya menjemput suami dan isteri sahaja.


Biasanya emak akan berusaha menyediakan nasi minyak dengan daging masak kurma atau ayam masak merah untuk kami adik-beradik di rumah. Siap dengan kuah dalca dan acar daratnya. Emak rebus telur seorang sebiji dan memberi kami makan nasi minyak sebelum mereka menghadiri jemputan majlis perkahwinan.

"Ingat.. jangan sesekali pergi ke rumah pengantin."

"Sebab?"

"Sebab mereka hanya menjemput emak dan abah."

"Kalau kami pergi tenguk pengantin masa berkompang?"

"Tenguk dari jauh. Jangan pergi ke balai tempat orang makan."

Kami akur.

Semasa di universiti, saya sering tersedu apabila setiap kali menghadap nasi berminyak yang disediakan untuk pelajar setiap minggu. Nasi berminyak itu di panggil "Nasi hujan panas" yang di renjis dengan pelbagai warna. Ia dimakan dengan gulai kawah, sedikit sambal dan acar timun.

Semasa di Scotland, saya bertemu dengan nasi berminyak yang berbeza. Seorang rakan memberitahu ia dipanggil "nasi beriani". Rasanya enak, sedap tidak terperi. Dengan doa dan harapan saya menebalkan muka untuk bertanya.

"Kak Jam, boleh ajar saya memasak nasi itu?"

Dengan belas ihsan serta tulus ikhlas, rakan tersebut mengajar memasak nasi berserta lauk pauknya. Dia bukan sekadar memberi resepi, malam membawa bahan-bahan serta menunjukajar di dapur apartment kecil kami secara percuma!

Subhanallah! Ia suatu hadiah yang tidak akan dilupakan sehingga akhir hayat saya! Mudah-mudahan ilmu yang bermanafaat diterima Allah sebagai ibadat. Semuga Allah memberikan pahala yang berterusan kepada rakan itu selagi saya menjamu tetamu menggunakan resepi itu.

Wahai tuhan..perkenankanlah!

Wednesday, January 5, 2011

Nasi goreng

Semasa di zaman sekolah rendah, tidak banyak jenis makanan yang saya ketahui. Apa yang dimasak oleh emak, itulah sahaja yang kami terima. Kami pula tidak banyak kerenah, langsung tidak pandai memilih makanan.

Nasi goreng.

Ia antara menu yang berselang seli dengan jemput-jemput bagi sarapan pagi. Emak memang sengaja masak nasi berlebihan pada sebelah malam. Esoknya saya melihat emak menumbuk bawang merah, seulas bawang putih, beberapa biji lada dan ikan bilis. Kadang-kadang ikan bilis digantikan dengan udang kering.


Sayur-sayur juga dicampur penambah warna. Kadang-kadang dimasukkan kangkung, kobis, lobak merah, daun sup, kacang panjang, daun bawang dan apa sahaja sayur yang ada. Kadang-kadang emak campurkan nasi goreng dengan sedikit serai, taugeh dan daun kesum. Namun, emak jarang membuatnya kerana abah tidak suka.


Kadang-kadang saya terasa jemu memakannya. Pernah suatu hari ketika di dalam darjah tiga, emak membekalkan saya nasi goreng untuk di bawa ke sekolah. Saya mahu menolak, namun tidak sampai hati untuk menyatakan. Lalu, sambil memakai setokin dan kasut sekolah, saya sorokkan nasi goreng itu dibelakang pintu. Perlahan-lahan, saya berlalu.


Tengahari itu, saya ternampak emak mencari-cari saya di kawasan sekolah. Malu! Saya mencari tempat sembunyi, namun seorang rakan terserempak. Dia memberitahu emak saya sedang menunggu. Dengan perasaan berbaur-baur, saya menemui emak di kantin sekolah. Di tangannya membawa bekalan makanan yang saya tinggalkan.

"Emak datang hantar nasi goreng. Awak tertinggal di rumah tadi..."

Saya menyambutnya dengan berat hati.


Apabila sudah berumah tangga, jarang-jarang sekali saya menyediakan nasi goreng sebagai sarapan pagi kepada anak-anak. Alasanya kerana tidak sempat. Masing-masing mahu segera ke destinasi di awal pagi.
Saya mengoreng nasi di sebelah malam dengan menambah ramuan seperti daging, ayam ataupun udang segar. Saya tambah telur goreng, keropok dan salad sebagai hiasan.


Semasa di Scotland, nasi goreng adalah penyelamat saya ketika demo bersama isteri pelajar-pelajar di luar negara. Ketika rakan-rakan dari negara lain sibuk dengan masakan tradisional masing-masing, saya hanya mampu menunjukcara memasak nasi goreng.

Subhanallah!


Semakin remaja

Tuesday, January 4, 2011

Nasi Ambeng


Nasi Ambeng!

Hari khamis malam Jumaat adalah masa yang ditunggu sepanjang minggu. Kenapa? Kerana abah dijemput oleh jiran tetangga menghadiri kenduri kesyukuran di rumah mereka. Biasanya emak tidak menanak nasi pada malam tersebut.

Kami sekeluarga tinggal di kawasan perkampungan berketurunan jawa. Apabila ada kenduri kesyukuran mereka akan menjemput jiran tetangga. Selepas membaca doa selamat, kaum bapa dihidangkan dengan makanan di dalam dulang. Empat orang berkongsi satu hidangan.

Mereka menjamah semulut dua. Kemudian setiap hidang di bahagi kepada empat bahagian. Setiap seorang diberikan selembar daun pisang atau daun ketapang yang lebar. Makanan tadi dimasukkan ke dalamnya, dibungkus untuk dibawa pulang kepada keluarga.

Kami adik beradik sanggup menunggu sehingga abah pulang walaupun agak lewat malam. Menanti juadah yang menyelerakan. Kepulangan abah adalah saat girang yang dinanti-nantikan oleh kami.

"Mak..abah balik! abah balik!"

Sorak-sorai riang gembira. Emak menyambut rezeki yang dibawa pulang oleh abah dan memasukkannya di dalam talam. Ada lauk ayam dimasak semur [kicap] bersama suhun, sambal goreng kacang panjang, serunding daging, mee goreng, ikan kering, tempe masak ungkep dan kacang tanah goreng.

Menyelerakan!

Membekalkan nasi ambeng atau nasi berkat untuk di bawa pulang ke rumah adalah amalan jiran tetangga berketurunan jawa. Ia suatu amalan yang meresap di dalam jiwa. Keenakan nasi ambeng di zaman kanak-kanak terasa lazat tidak terperi. Apatah lagi jika ianya dimakan secara berebut-rebut sesama adik-beradik sendiri.

Apabila dewasa, perasaan rindu mengimbau kenangan silam apabila terpandang nasi ambeng yang di jual di bazar Ramadhan atau di pasar malam. Panggilannya masih sama namun lauknya sudah jauh berbeza.

Nasi ambeng lambang keharmonian jiran tetangga. Ia suatu nikmat kurniaan Allah yang maha kuasa.

Monday, January 3, 2011

Masak lemak daun mengkudu

Kanak-kanak melahirkan perasaan melalui makanan. Mereka jujur lagi telus dalam melahirkan perasaan samada suka atau tidak makanan yang ada dihadapan mata.

Terkadang spontan mereka memprotes jika makanan kegemaran di catu. Melawan apabila di paksa makan makanan yang bukan kesukaan mereka. Malah sanggup menangis berguling-guling melahirkan perasaan marah hanya sekadar makanan yang tidak seberapa.

Apabila dewasa, makanan yang serupa tidak lagi seenak seperti zaman kanak-kanak. Rupa-rupanya keenakannya terasa kerana ia adalah nikmat limpah kurnia dari Allah yang maha kuasa.

Saya penah menulis catatan ini.

Zaman kanak-kanak, keluarga saya tinggal di sebuah kampung yang cukup harmoni. Abah menyewa rumah di Jalan Hang Tuah, Kampung Sungai Gatom, Labis. Keadaan susun atur rumah-rumahnya berlapis-lapis. Belakang rumah sewa kami menghadap depan pintu rumah jiran. Bahagian depan tingkap dan pintu rumah kami, adalah bahagian tepi rumah jiran.

Rumah sewa kami terdapat tiga pintu. Rumah pintu satu dan pintu tiga hanya di pisahkan oleh dinding “plywoods” sahaja. Rumah kami diapit antara keduanya, duduk di tengah-tengah. Selalu juga saya dengar mak memasak di dapur sambil berbincang-bincang denagan Mak Yam dan Kak Baayah dari rumah jiran sebelah-menyebelah.

Suatu hari, seorang Mek berasal dari Kelantan menghantar semanggkuk sayur lemak yang masih panas untuk makan tengahari. Mak menyimpannya di bawah tudung saji. Aromanya menusuk, membangkitkan selera. Saya terliur yang amat sangat. Bagaimanapun, mak menahan saya makan sehingga abah balik.

Bila abah pulang, saya masih leka bermain di luar. Mak panggil masuk berkali-kali untuk makan, namun tidak saya hiraukan. Akhirnya saya terdengar suara garau abah, ”Masuk, pergi makan!”. Tidak banyak patah perkataan yang keluar tetapi cukup membuatkan saya meluru pergi dengan perasaan kecut perut.

Sampai di dapur, seluruh keluarga hampir selesai makan. Saya dapati sayur lemak tadi hanya tinggal sepiring kecil. Mak bubuh nasi panas-panas di dalam pinggan, seekor ikan kembung yang di goreng garing, mak tambahkan kicap dan sedikit “Planta magerin”. Ada sayur lain, tetapi saya menolak. Akhir sekali, mak curahkan lauk kuah lemak tadi di atas nasi. Saya makan dengan begitu berselera sekali.

“Mak, nak lagi sayur hijau tadi..”

“Itu sahaja yang ada ..”

“Nak lagi..sayur apa tu”.

“Daun mengkudu”

"Nak lagi...

Mak memberitahu berulang-ulang kali, tetapi saya tetap berdegil tidak mahu menerima alasan itu. Dengan penuh rasa tidak puas hati yang amat sangat, saya terus lepaskan suara setinggi boleh. Menangis sekuat hati dan meronta sekuat tenaga.

“Nak lagi daun mengkudu! Nak daun mengkudu!!!”

Saya berguling-guling di atas lantai dapur.

Serta merta, saya lihat seluruh jiran tetangga muncul di dapur rumah kami. Mereka kelihatan panik dan tertanya-tanya. Kemudian, saya lihat mereka tertawa kecil. Ia menjengkelkan hati saya. Ternampak abah berdiri mencekak pinggang sambil merenung tajam ke arah saya. Ada sesuatu yang disorokkan di belakangnya.

Pasti tali pinggang!

Keesokannya, rumah kami menerima berbagai-bagai jenis resepi sayur daun mengkudu!

Sunday, January 2, 2011

Lempeng berlubang


Selain dari jemput-jemput, sarapan pagi kami adalah lempeng. Emak membuat lempeng kerana sebab yang tertentu.
"Alaa..mak mana jemput-jemput?"

"Hari ini kita makan lempeng sebab tidak cukup minyak masak"

"Lempeng apa? Lempeng pisang ke lempeng kelapa parut?"

"Lempeng kelapa."

"Wahh..!"

Aroma lempeng kelapa memenuhi setiap ruang rumah kecil kami. Harumannya menusuk-nusuk , menaikan selera. Ia sedap di makan panas-panas.

Suatu hari emak memperkenalkan kami dengan sejenis lempeng. Ia berlubang-lubang dan di makan bersama kari daging yang di campur dengan kentang. Dagingnya sedikit tetapi kuahnya berlinang-linang.

Kami melihat emak memasukkan sejenis acuan sebesar tin susu yang berlubang-lubang ke dalam adunan. Kemudian mengirai adunan tepung cair yang berwarna kekuningan di atas kuali leper. Akhirnya terbentuk kepingan nipis berurai-urai seperti jala. Pantas emak mengirai, melipat dan membentuk lalu menyusunnya di dalam pingan hidangan.

"Wahh..lempeng berlubang!"

Lempeng berlubang adalah lambang ketekunan. Ia perlu diurai satu persatu, senipis mungkin. Jika acuan tersumbat, ia perlu segera dibetulkan. Jika tidak, aliran adunan tersekat. Ia akan menjejaskan rupa bentuk kiraian. Ia lambang kesabaran.

Namun, ada masa-masa tertentu permintaan untuk makan lempeng berlubang tidak akan di layan walaupun pada pagi itu terdapat kari daging tersisa di dalam periuk belanga.

"Mak..saya mahu makan lempeng berlubang.."

"Eh! Mahu kena rotan? Inikan bulan ramadhan!"

Apabila dewasa, jarang-jarang saya berjumpa dengan lempeng berlubang. Sesekali membuat tempahan jika mendapat tahu ada sesaorang yang pandai membuatnya. Tidak meminta resepi apatah lagi untuk membuatnya. Alasan saya adalah kerana tiada acuan.

Setiap kali ke pasar malam dan berjumpa dengan roti jala, saya membelinya. Namun, ia berakhir dengan saya membanding-bandingkan rasa kuah kari daging yang dibeli dengan keenakan kuah kari daging masakan emak.

Apabila memberitahu anak-anak yang roti jala itu saya pernah memanggilnya sebagai lempeng berlubang. Tiba-tiba anak-anak secara acuh tak acuh bertanya:

"Kenapa mama panggil ia roti jala. Tak ada rupa roti pun..."

Saya hilang kata-kata.

Gambar ihsan:
myresepi.com







Saturday, January 1, 2011

Jemput-jemput tulus ikhlas


Jemput-jemput.

Hampir setiap pagi, itulah sarapan pagi kami. Baru haruman gorengan dari jauh lagi kami sudah kenalpasti. Meskipun masih terbaring di dalam kelambu, di hening subuh yang dingin dan syahdu.

“Ah! Mesti mak goreng jemput-jemput pagi ini..”

Kadang-kadang ia juga dihidangkan sewaktu minum petang. Walaupun ia dihidangkan hampir setiap hari, kami masih tidak jemu-jemu menikmatinya.

Mengapa?

Kerana resepi jemut-jemput itu berubah jika diubah ramuannya. Emak mencampurkan ikan bilis dan bawang besar yang dihiris nipis serta sedikit daun bawang atau daun sup untuk jemput-jemput ikan bilis. Emak gantikan ikan bilis kepada udang kering untuk resepi jemput-jemput udang kering. Ramuan tetapnya hanyalah tepung gandum dan air garam.

Paling tidak, emak mencampurkan beberapa sudu gula merah di dalam adunan tepung. Apabila ada lebihan kelapa parut, kadang-kadang ia menjadi jemput-jemput kelapa. Jika dimasukkan pisang, ia menjadi jemput-jemput pisang. Jika ada labu lecek atau labu parut, ia dipanggil jemput-jemput labu.

Ah! Betapa mudahnya mencipta resepi hidangan jemput-jemput itu!

Ada kalanya jemput-jemput yang kelihatan ringkas dan sederhana itu menjadi hidangan yang bergaya. Ianya berlaku, jika emak membeli udang basah. Saya melihat emak mencampurkan sedikit serbuk penaik, sedikit serbuk kunyit dan telur di dalam adunan tepung dan air garam. Emak biarkan adunan itu seketika. Adunan itu ditambah lagi dengan daun kucai, hirisan bawang besar, racikan daun sup dan hirisan lada merah.

Kemudian emak panaskan minyak untuk gorengan. Emak ambil sesenduk adunan dan dan bubuh seekor udang basah diatasnya. Wah! Ia mengelembung dan menyelerakan. Malah sedap di makan bersama cicahan cili sos manis atau kuah kacang.

Ketika berumah tangga, saya melihat wan [emak mertua] menghasilkan sejenis jemput-jemput istemewa berintikan isi ikan. Ikan kembung atau ikan beluru direbus bersama asam keping, halia dan lengkuas serta garam terlebih dahulu. Ikan rebus itu kemudiannya dileraikan dari tulang serta dihancur-hancurkan. Isi ikan dicampurkan dengan hirisan bawang. Istemewanya jemput-jemput ikan itu kerana cara isi ikan disumbatkan ke dalam adunan tepung sebelum mengorengnya. Prosesnya kelihatan renyah.

“Wan, saya nampak macam susah buat jemput-jemput ikan ni..”

“Tidak, jika kita lakukan dengan penuh kasih sayang.”

Semasa zaman kanak-kanak, saya melihat jemput-jemput sebagai sejenis hidangan segera yang mudah dan ringkas. Emak tidak berkeluh kesah jika tetamu tiba-tiba muncul datang bertandang. Ini kerana kedatangan tetamu ke rumah adalah membawa rahmat.

Jemput-jemput hasil tangan emak dan wan, nyata berbeza. Keenakannya bukan sahaja dari segi rasa tetapi bagaimana ia dihasilkan. Ia hidangan ringkas serta penuh kasih sayang dan terhasil dari perasaan yang tulus ikhlas.
Gambar ihsan:
myresepi.com