Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Wednesday, September 30, 2009

Jering tanam

Jika ada yang bertanya tentang khasiat dan keenakan masakan "jering tanam", jawapan saya : tanyalah kepada Mak Wa.

Kenapa? Kerana pada hemat saya inilah ulam paling hancing kegemaran Mak Wa! Mak Wa akan ketawa apabila saya memberi komen terbuka terhadap ulam kegemarannya.

"Cukup lah makan jering tanam tu Mak Wa..hancing bilik air rumah kita"

"Cuci bilik air itu acap-acap..haaa hilanglah bau hancing tu!"

"Tidak hilang...lekat!"
Mak Wa akan diam dan tersenggut-senggut ketawa.

Jering tanam adalah sejenis ulam kegemaran orang tua di mukim Jementah. Ia merupakan jering tua yang keras. Dikatakan jika jering itu di tanam di dalam tanah ia bertambah lemak dan enak.

Kata mak Wa," Kurang sikit bau haringnya!"


Mereka tidak memakannya mentah-mentah seperti jering muda yang lembut serta ranggup. Jering tanam selalunya dimasukkan ke dalam gulai masakan - daging atau ikan. Atau di hiris halus dan dimasak sambal cili api ikan bilis.

Sejak kami berpindah ke pekan Jementah, Mak Wa sering datang bermalam. Berhari-hari. Mak Wa akan meminta sepupu di Paya Jakas untuk menghantarnya ke rumah kami.


"Mak Wa ini sudah tidak berguna lagi"

"Tidak apa..Mak Wa baring-baring sahaja"

Mak Wa akan membawa sebiji bantal kekabunya. Berbaring mengereng. Sebelah kakinya memanggung sebiji bantal kekabu yang kecil yang diletakkan di antara peha dan perutnya.

Sambil berbaring di ruang tengah rumah beliau memerhatikan kami memasak di dapur. Sesekali Mak Wa menyampuk dan memberikan arahan kerja atau petua-petua masakan. Selalunya Mak Wa datang bertandang apabila teringin memakan makanan idaman. Di minta kami memasaknya.

"Gulai ikan patin tu..santannya biar pekat sikit. Guna kelapa tua"

"Baikkk.."

"Belimbing buluh tu masukkan ke dalam gulai kemudian
sekali. Setelah awak tutup api"

"Habis tu buah cepu ni hendak masuk
waktu bila?"

"Heii..kalau dah masukkan buah cepu, tidak payahlah
masukkan belimbing buluh. Nanti berlawan pula rasanya"

Riuh rendah bunyinya.

"Jering tua tu jangan lupa di rebus empuk-empuk dahulu.
Kemudian baru di masukkan ke dalam masakan gulai tu"

"Mak Wa..hancing bau bilik air kita..."

Nota :

Saya begitu fobia dengan bau hancing akibat makan jering. Sebab itulah menu masakan jering tua tidak pernah ada di dalam kepala.

Tuesday, September 29, 2009

Satu hari di hari raya 3

Semasa beraya bersama mak dan abah , juadah seperti ketupat, rendang, satay goreng, sayur lemak lodeh serta kuah kacang adalah suatu kemestian di pagi raya. Ia begitu istemewa buat kami sekeluarga.

Di rumah mak mertua [wan], suami memperkenalkan kepada saya masakan istemewa keluarganya - nasi dagang ikan aye dan kerutup daging atau ayam. Malangnya saya tidak sempat mempelajari rahsia resepi sentuhan air tangan arwah wan. Bagaimana dapat saya mengetahuinya kerana sebaik sahaja kami semua membuka mata di pagi hari raya...masakan enak daripada wan telah pun terhidang di atas meja.



Entah sejak pukul berapa agaknya wan sendirian menyediakannya. Tidak kami sedari kerana tidur mati! Wan tidaklah nampak sibuk-sibuk di dapur pada petang atau malam sehari sebelum raya. Wajahnya tenang sahaja.

Di Scotland dan Wales, masakan seperti rendang adalah sesuatu yang sangat istemewa. Mahalnya berganda-ganda. Terus terang dinyatakan, kami tidak mampu untuk memasak masakan seperti itu. Rempah ratusnya pula hanya terdapat di Manchester [2 jam perjalanan dari Wales] atau di Glasgow [1 jam perjalanan dari Dundee, Scotland]. Rahsia


Ketika itu nilai 10 kg beras American grain harganya mencecah 20 pound berbanding dengan 10kg kentang cuma 2.99 pound.

Jadi, untuk masakan daging saya mencuba resepi penduduk tempatan di campur sedikit ramuan mengikut citarasa saya. Biasanya saya tidak menggunakan sukatan. Saya campur-campurkan bahannya sahaja. Sesuka hati saya!

Resepi yang saya rujuk adalah seperti berikut :


Roasted whole beef tenderloin

Seasoning Rub1 tbsp softened butter or olive oil (ops: sesame oil)
1 tbsp Dijon mustard (optional : plum source)
1 tbsp brown sugar ( optional : honey)
1 tbsp steak sauce (tomato sos + cili sos + oster sos )
1 tbsp minced fresh rosemary
1 tbsp minced fresh thyme
2 tsp minced garlic1½ tsp salt (sea salt)
1tsp freshly ground black pepper
1 tsp grated lemon zest ( optional : rice vinegar)
1 whole beef tenderloin (2 kg), trimmed of visible fat

Notes :
Optional - sesuka hati saya!

. Preheat oven to 450º F. Move oven rack to bottom third of oven.

· Mix together rub ingredients in a small bowl. Rub all over beef. Let stand at room temperature for 30 minutes. Place beef on a rack in a shallow roasting pan. Place pan in oven and reduce temperature to 400º F.

· Roast meat, uncovered, for 45 to 55 minutes, or until meat thermometer inserted in the center registers 140º F for medium-rare. Remove roast from oven and let stand, uncovered, for 10 minutes before slicing. (Note: Exact cooking time will depend on thickness of roast. Temperature will continue to rise as mean rests.)

Makes eight servings.

Nutritional Information (per serving): 225 calories; 11.3 grams total fat; 4.6 grams saturated fat; 26 grams protein; 3 grams carbohydrate; 0.2 grams fiber; 82 milligrams cholesterol; 533 milligrams sodium

Selamat mencuba!
Yang penting - resepi kita, citarasa kita.

Monday, September 28, 2009

Satu hari di hari raya 2

Petang itu kami didatangi oleh sebuah keluarga terdekat yang amat dihormati. Mereka amat mulia di mata kami. Berhemah tinggi.

Di antara saudara mara kami semua, anak-anak keluarga ini adalah yang paling jarang sekali dapat ditemui. Kebanyakan mereka bersekolah di luar daerah Segamat. Sekolah berasrama penuh. Selepas SPM pula mereka terus melanjutkan pelajaran ke universiti atau ke luar negeri.

Tahun itu, memang tidak di sangka-sangka mereka bertandang sempena hari raya ke rumah kami yang tidak seberapa. Mak dan abah seperti biasa menyambut tetamu dengan riang gembira. Namun, ia merupakan suatu kejutan buat diri saya!

Di usia remaja, saya kira perasaan paling mudah untuk bergelodak. Hati berkata-kata. Fikiran tertanya-tanya.
"Apa mimpi mereka beraya ke rumah kami agaknya?"
Saya hidangkan air sirap serta biskut raya yang ada. Pantas menuangkan air berwarna merah itu satu persatu dan menghulurkannya kepada tetamu.
"Mana satu biskut yang awak buat?"
Tiba-tiba mak saudara saya bertanya.
"Tiada. Semua mak yang buat. Saya cuma tolong terap dan bakarkan sahaja.."
Saya malu-malu menjawab soalan cepumas yang tidak di sangka-sangka. Tersirap darah panas menyimbah ke muka. Mereka semua tersenyum memandang saya. Tiba-tiba saya terasa cemas dengan senyuman serta pandangan mereka. Terutamanya pandangan mak saudara yang satu itu.

Cepat-cepat saya meminta izin untuk ke dapur. Hati berdebar-debar. Terasa ada sesuatu yang tidak kena.
"Helo, Mak Ngah.. Adib ada tak? Ya? Tidak ada? Dia ke mana? Oooo.. tak apa. Terima kasih, assalamualaikum"
Perbualan telefon dengan Mak Ngah menyatakan bahawa Adib tiada di rumah. Kalau boleh saya ingin sekali Adib [Adibah] sepupu yang paling rapat berada di sisi. Kalau boleh saya ingin meminta pertolongannya untuk menemani saya berbual-bual melayani tetamu kami yang "istemewa" ini.

Di antaranya ada "Abang itu" yang saya jumpa semasa menghadiri kenduri doa selamat kerana beliau melanjutkan pelajaran ke universiti beberapa tahun yang lalu. Dan "adik dia" yang agak rapat walaupun sesekali sahaja kami berjumpa.
"Awak di mana sekarang? Lama kita tidak berjumpa"
Saya menyapa "adik dia" yang tenang dan peramah serta ringan tangan menolong saya mengisi biskut raya ke dalam balang kaca di dapur.
"Saya sedang belajar di UK [United Kingdom]. Awak tidak tahu ke?"

"Ooo..ye? Tidak tahu pula. UK tu di mana?"
Saya pura-pura tidak mengetahuinya. Lalu, beliau mula bercerita dan bercerita. Saya asyik mendengar ceritanya. Adakalanya kami ketawa apabila ada cerita gembira dan menunjukkan simpati pada cerita-cerita pengalamannya yang menyayat hati ketika berada di luar negeri. Di akhir ceritanya terjawablah sebuah rahsia poskad "Greetings from London" yang menjadi tanda tanya kepada saya.

Kalau boleh ingin sekali saya bertanya kepadanya :
"Kenapa poskad itu awak tidak catatkan alamatnya? Atau sekurang-kurangnya menulis nama?"
Namun, suara saya tersekat. Ia hanya tersemat di dalam hati. Tersumbat di lubuk perasaan. Kaku. Bisu. Malah, di antara kami tiada seorang pun yang berani bertanyakan soal itu. Kami biarkan ia berlalu begitu.
"Ini pertama kali saya melihat awak berbaju kurung. Bukan di atas pokok jambu bol atau pokok jambu biji.."

Kami ketawa gelihati.

Sesekali mata saya bertentang pandang dengan "abang itu" yang asyik memerhatikan kami berbual mesra bercerita tentang kisah-kisah lama. Entah mengapa, terasa tiba-tiba syaitan [yang pernah berbisik-bisik ke telinga Zulaikah dengan bersungguh-sungguh mengoda Nabi Yusuf ] menghampiri untuk merasuk saya.

Termakan rasukan syaitan, sambil bercerita mata saya melerek membuat sedikit pandangan nakal kepadanya. Sepontan kami menundukkan kepala dan mengalihkan pandangan apabila bertentang mata.
"Astagfirullah Alazim..nafsu jahat tu!"

Memerhati serta membuat ujikaji terhadap gelagat individu dan perlakuannya adalah subjek kegemaran saya. Jiwa remaja! Penuh dengan adventure!

Hari itu, saya mula mengenali potensi diri!

Wednesday, September 23, 2009

Satu hari di hari raya

Saya fikir keseronokan berhari raya adalah milik kanak-kanak sahaja. Berbaju dan berkasut baharu. Bagi kami yang serba sederhana ini, baju dan kasut baru hanya diperolehi setahun sekali. Tentulah sambutan hari raya saat yang dinanti-nanti.

Rupa-rupanya tidak.


Semasa remaja perasaan itu masih ada. Ketika di universiti perasaan itu tetap di situ. Ketika di awal tahun berumah tangga dan berada di rumah mak mertua.. terasa rindu mengenangkan keseronokan berhari raya bersama keluarga.

Ketika kecil saya paling suka mengumpul kad raya. Lagi banyak kad yang di terima..lagi suka! Tetapi untuk mendapat kad yang di hajat, pelaburan mestilah di buat. Langkah pertama, kita sendiri yang harus banyak memberi kemudian langkah ke dua, baru kita menerima.


Semasa remaja, saya tidak perlukan langkah pertama kerana keadaan menjadi sebaliknya. Malah, saya amat berhati-hati dengan ucapan :

"Pecah kaca pecah gelas, sudah baca harap balas"

atau

"Psst...Boleh saya datang ke rumah?
Selalunya saya akan mengantung kad-kad yang di terima oleh seluruh keluarga. Namun, jika terdapat nota-nota yang "rahsia" daripada SA (secret admirer) lalu, saya akan menyimpannya sahaja. Salah satu kad yang saya simpan adalah sekeping poskad dari luar negara dengan ucapan:

"Selamat menyambut hari lebaran. Bolehkah saya sekeluarga datang bertandang?"

Yang jauh

XOXOX from UK



Kenapa saya simpan?

Bolehkah saya percaya dengan kata-kata sesaorang yang jauh diperantuan, berhajat untuk datang ke rumah? Bolehkan saya pegang? Kalaulah saya tahu alamat penulisnya, tentu saya akan membalasnya dengan kata-kata :

"Minta maaf kerana saya tiada di rumah"

Saya paling trauma kepada abah yang senonim dengan rotan. Mak pula dengan sindiran. Lagipun, jika mak dan abah tahu mengenainya..habislah! Tidak pasal-pasal saya akan di ugut untuk dikahwinkan !

Namun, selalunya di hari raya rakan taulan saya bebas untuk datang. Tidak mengira lelaki atau perempuan. Mak dan abah akan menerima serta melayan mereka walaupun dari berbagai bangsa. Kadang-kadang ada juga tetamu yang kami langsung tidak mengenali mereka!



Dengan tidak di sangka-sangka, sesaorang yang sudah lama tidak saya temui datang bertandang. Dia datang bersama-sama dengan seluruh keluarga. Ada kakak dan abangnya yang kejayaan akademik mereka sering menjadi sebutan mak dan abah. Kami sering diberitakan tentang kejayaan keluarga tersebut di dalam pelajaran.

Satu kejutan!

Monday, September 14, 2009

Salam Aidil Fitri


Semasa kecil, saya dapat merasakan bahawa hari raya sangat hampir dan akan menjelang tiba apabila kedengaran lagu-lagu nyanyian Selamat Hari Raya alunan suara Ahmad Jais, Allahyarhamah Saloma, Sharifah Aini ataupun Sanisah Huri.
"Horrey...sudah hendak raya. Dah hendak raya ni..."
Semasa di usia remaja, lagu-lagu raya yang berkumandang seperti ini amat merisaukan hati. Kerana terbayang di kepala kami segala macam jenis perkerjaan rumah yang bakal dilakukan - basuh dan kemudian pasangkan langsir tingkap, buang sawang labah-labah, basuh lantai keliling rumah, cuci lantai di dalam rumah dan mengupas bawang.

Kemudian, jerang air gula dengan daun pandan, goreng kerisik, goreng kacang tanah, kupas sabut kelapa dan anyam ketupat. Pendekata, semakin hampir dengan hari raya ..semakin bertambah senarai kerja.

Namun, segalanya pasti akan hilang di pagi hari lembaran!

Di awal perkahwinan [apabila tiba giliran menyambut hari raya di sebelah keluarga suami] segala urusan persiapan menyambut hari raya diterajui oleh mak mertua. Saya merasa sedikit kelongaran kerana mempunyai ramai ipar duai yang menghulurkan tangan.

Semasa di luar negara, kami menyambutnya dengan ala kadar sahaja. Berkongsi kegembiraan dengan ziarah-menziarahi rakan dan taulan. Di Scotland, saya menyediakan juadah yang mudah terdapat di sana - pasta, pastry, kek Dundee, Shortbread, muffin dan brownis.

Di Wales United Kingdom, beberapa kali saya terpaksa bekerja pada hari raya pertama..namun, juadah telah saya sediakan. Anak-anak dan suami menunggu saya pulang dengan sabar. Rakan taulan yang berkeluarga dan juga adik-adik undergrade yang masih bujang hanya akan datang bertandang setelah saya pulang..

Juadahnya? Pelbagai hidangan yang berlainan..

Di luar negara, masakan tradsional amat payah dan mahal sekali. Jadi, ia hanya merupakan juadah istemewa di pagi raya - sedikit rendang ayam, nasi impit, kuah kacang, pulut dan serunding daging. Semuanya terpaksa di beli di kedai Pakistan yang jaraknya adalah dua setengah jam perjalanan ke Manchester.

Biasanya hidangan raya kami di sana lebih banyak berasaskan bahan tempatan yang mudah dan murah didapati. Dari rakan-rakan, saya mempelajari masakan seperti Lagsane berintikan ikan, macaroni cheese, pasta carbonara, brocolli cheese casarol, apple crumble, bolognese, quice, pelbagai cream sup dan paling banyak makanan yang berasaskan kentang.

Pernah di satu hari raya saya hanya menyediakan kek sahaja. Kenapa? Ada cerita disebaliknya.

Setiap hari raya mengenangkan saya kepada kenangan lama. Suasananya pasti tidak sama. Dahulu dan sekarang.. perasaan saya telah jauh berbeza. Ia beredar dan berubah mengikut usia.
Kini, saya meneruskan tradisi menyambutnya kerana mereka.. Gembira melihat anak-anak ceria...zuriat yang diharapkan bakal mendoakan dan sedekah Al-Fatihah ketika saya tiada.

Tetapi yang pastinya..adakah tahun hadapan saya masih lagi dapat melihat dan mencium dahi mereka? Mengucup tangan dan memohon ampun dari suami tercinta serta mak dan abah?

"Ya Allah, terima kasih dengan segala nikmat yang telah dipinjamkan. Betapa banyaknya kurniaan yang telah di terima.. berapa pula yang telah diberikan? Malunya diri melihat kekurangan diri sendiri berbanding dengan-Mu yang maha pengasih lagi maha penyayang.

"Wahai tuhan, terimalah taubatku jika selama ini diri lalai dengan perintah-Mu, tidak menghargai dengan pemberian-Mu, dan tidak mengucapkan terima kasih kepada-Mu..

"Sesungguhnya ya Allah, akan ku sambut Aidil Fitri pada tahun ini dengan kesyukuran dan membasahkan lidah serta hatiku dengan bertasbih mengingati-Mu.."

SALAM AIDIL FITRI kepada semua blogger dari saya dan keluarga. Mohon maaf jika tersalah kata-kata dek ceteknya penghantaran bahasa.


Saturday, September 12, 2009

Mereka orang miskin..

Saya pernah menulis di dalam ruang komen tentang topik baju raya :

Di suatu Ramadhan ketika UiTM Johor mengadakan majlis bagi meraikan anak-anak yatim, kami lihat anak-anak itu memakai berbagai saiz pakaian. Bila di tanya pakai baju siapa?

Jawab mereka :

1. baju kakak [anak itu berbaju kebaya]
2. baju arwah ayah [baju melayu dan sampin]
3. baju dan tudung mak [yang berbadan besar]
4. baju tahun lepas [kecil dan singkat]

Lalu terlintas di dalam hati, alangkah baiknya jika baju raya dibelikan untuk anak-anak yatim seperti ini..

Semasa kecil, saya teringat bahawa abah dan mak jika berkesempatan [terutamanya ketika musim hari raya] akan membawa kami menziarahi rumah saudara mara sebelah mak yang kebanyakannya tinggal di kawasan pendalaman. Biasanya abah akan menyewa kereta untuk ke sana.

Kebanyakan mereka tinggal di kawasan yang mana kampungnya amat payah untuk di sebut. Kami adik-beradik akan menyebutnya di dalam keadaan tertahan-tahan menahan tawa dan melafazkan dengan cara berlebih-lebihan.
"Kampung Sepang Loi, kampung Mensodut Pindah, kampung Sermin, kampung Awat, kampung Kuala Paya.."
Kadang-kadang kami akan mengajuk-ajukkan gaya pertuturan mereka. Beralun-alun tonasinya berbagai gaya.

Namun, jika kami ke kampung mereka akan terasa sesuatu yang menyentuh perasaan. Untuk menuju ke kampung mereka sahaja, kami terpaksa melalui jalan tanah merah yang sempit. Di kiri kanan masih kelihatan seperti hutan. Berlopak seperti jalan laluan lori mengangkut kayu balak dari hutan.

Di celah-celah rimbunan pokok itulah terdapatnya rumah-rumah pondok kayu kepunyaan saudara mara sebelah mak. Mereka ceria menyambut kami sekeluarga. Segera menyediakan secerek teh-o panas tanpa gula. Menghidangkan makanan apa yang ada.

Ada yang menghidangkan nasi dengan lauk masak lemak cili padi ikan lais salai. Ada pula nasi dengan lauk pucuk-pucuk kayu sahaja. Namun, kebiasaannya adalah hidangan ubi rebus dengan kelapa parut atau sambal tumis ikan bilis. Pernah sekali kami dihidangkan dengan sejenis kekacang yang dikatakan biji teratai. Tuan rumah beria-ia mengajar kami cara memakannya.

Di dalam ramai-ramai sanak saudara sebelah mak, ada sebuah rumah yang tidak dapat dilupakan. Paling terkesan. Rumah kayu mereka sederhana besarnya berlantaikan buluh. Tingkapnya terbuka. Tiada selak. Penutup tingkap di buka luas bertongkatkan sebatang buluh.

Di dinding rumah mereka terdapat ampaian yang tersidai pakaian. Tiada perabot. Tiada apa-apa.

"Mak..kesiannya rumah mereka"

"Mereka orang miskin dan susah..malah tiada ayah"

"Ooo..patutlah"
Saya melihat anak-anak mereka yang kecil memakai gaun yang tidak sepadan usia. Rasanya gaun itu adalah baju untuk orang dewasa. Lalu, kami terbayang pakaian terpakai yang diberikan oleh saudara mara dari bandar. Kami jahitkan di bahagian lengan dan ikat dengan tali pinggang. Jadilah ia gaun yang bergaya.

Ketika kecil, saya fikir kami adalah tergolong daripada keluarga susah apabila saudara mara menghantar pakaian terpakai mereka. Mula-mula agak malu juga untuk menerimanya. Lama kelamaan, apabila mengenangkan ada orang lain yang lebih susah.. Lalu, kami terima dengan hati yang terbuka dan mula mengagihkannya kepada saudara mara sebelah mak.

Melihat keadaan anak-anak mereka, hati saya pernah berkata-kata:

"Ya Allah, jika dipanjangkan usia, dengan izin-Mu ingin sekali saya berbakti kepada mereka ini. Jika diberikan peluang ingin sekali suatu masa nanti saya melakukan sesuatu untuk membantu anak-anak yatim dari kampung-kampung yang terpinggir..

Wahai tuhan, datangkanlah sesaorang untuk membantu mereka. Bukankanlah pintu hati orang-orang yang berada agar menafkahkan sedikit daripada harta mereka. Harta yang disedekahkan dikatakan tidak akan kehabisan..

Ya Allah. Tunaikanlah segala hajat, makbulkanlah segala permintaan.."
Ketika itu otak kecil saya membuat kesimpulan bahawa ternyata bantuan yang diperlukan oleh mereka bukan tertentu di bulan Ramadhan. Jika saya kaya.. jika saya berada.. jika saya berkemampuan.. saya ingin membantu mereka secara berterusan.

Kata ustaz, sesungguhnya di dalam setiap harta kita ada hak untuk diri, untuk ibubapa, untuk saudara mara yang miskin, untuk anak-anak yatim dan musafir yang terlantar di dalam perjalanan..

Benar. Mengapa tidak kita menunaikan hak mereka dengan berkongsi sedikit nikmat kesenangan yang telah Allah pinjamkan..?

Thursday, September 10, 2009

Kacau dodol

Kalau ditanya apakah aktiviti yang paling indah semasa kecil selain daripada majlis kenduri kendara dan majlis perkahwinan..jawapan saya adalah upacara mengacau dodol.

Kenapa tidak? Kerana ia adalah merupakan aktiviti keluarga paling harmoni dan memerlukan tahap kerjasama tinggi yang pernah saya saksikan.

Dari atas pokok manggis saya memerhatikan seluruh saudara mara [Mak Ngah, Mak Teh, Ucu Edah, Mak dan bapa-bapa saudara] bekerja diketuai oleh Mak Wa. Ia bukanlah suatu urusan pekerjaan yang mudah. Sebab itu saya memanggilnya sebagai suatu upacara kekeluargaan. Biasanya ia dilakukan disekitar rumah Mak Ngah di baruh.

Saya perhatikan persediaan telah dibuat berhari-hari sebelum upacara mengacau dodol dilakukan. Ia proses kerja yang memakan masa agak panjang. Kelapa yang tidak terlalu muda dan tidak terlalu tua dikait, dikumpulkan dan dikupas sabutnya. Kemudian ia diparut dan diperah santannya. Semuanya dilakukan secara berkumpulan.

Beras pulut yang telah direndam semalaman dikisar menggunakan batu kisar. Lalu terhasillah tepung beras pulut yang halus mulus. Di ayak dan mana-mana yang masih kasar terus di kisar.

Saya perhatikan kerja mengacau santan, tepung dan gula melaka dilakukan oleh bapa-bapa saudara. Secara bergilir-gilir. Kesemua bahan di kacau di dalam kawah yang besar di laman rumah. Menggunakan tungku kayu. Di bawah khemah atau bangsal.

Lama betul menunggu baru adunan itu bertukar warna. Selalunya proses itu berlalu hingga ke petang. Kami selalunya akan bermain-main disekitar yang berhampiran. Hanya untuk satu sebab...menunggu saat di minta untuk merasa garam gula dan saat dodol mulai memekat.
"Haa..sudah mula mengeleggak. Cuba panggil budak-budak tu.. biar mereka merasa garam gulanya, lemak manisnya"
Kami akan buat-buat tidak mendengar dan pura-pura terus bermain walaupun sebenarnya mata kami tidak henti-henti menjeling. Kami buka corong telinga besar-besar dengan memasang telinga. Seolah-olah bukanlah tujuan kami bermain di sekitar orang mengacau dodol itu hanya semata-mata untuk merasa..

Lagipun, kenapa pula kanak-kanak yang dibiarkan merasa? Pelik juga. Dan pada hari tersebut..kami di beri lesen besar untuk tidak berpuasa.

Saya tidak pasti berapakan umur saya ketika itu sehingga bapa-bapa dan mak-mak saudara membenarkan kami merasa dodol yang baru memekat membuak-buak mendidih di dalam kawah. Rasanya mungkin belum bersekolah atau di awal persekolahan sekolah rendah.
"Pergi ambil daun pisang. Basuh dulu. Kemudian pergi panggil kawan-kawan.."

Bila tiba saat itu, semua aktiviti sepupu-sepupu akan terhenti. Saya akan melompat turun dari pokok manggis dan tersenggeh-senggeh menghulur daun pisang yang telah di basuh.

Tetapi apabila telah mula belajar berpuasa, bapa saudara memasukkan juga ke atas daun pisang dengan amaran :
"Hah..jangan pula awak makan sorok-sorok. Simpan. Berbuka nanti baru boleh rasa. Ingat ya? Allah nampak apa yang kita lakukan walaupun tidak diketahui oleh orang lain"

"Yaaaa....ingaaaaaaat"

Kami menjawab dengan keadaan lemah semangat.

Kini, mak-mak dan bapa-bapa saudara saya semuanya telah semakin tua dan tidak bertenaga. Malahan, dodol dengan mudah boleh didapati di Melaka atau di mana-mana pada bila-bila masa.

Semuanya telah menghilang. Ketika saya berada di usia mereka, upacara mengacau dodol seperti itu tidak pernah saya bayangkan untuk melakukannya. Ia tidak mungkin akan terjadi. Tidak akan menjadi realiti. Jika berkeras untuk meneruskannya pun... anak-anak tidak akan mengerti.

Biarlah ia terpahat di dalam hati. Tersimpan di dalam perasaan. Aktiviti seumpama itu kini hanya tinggal kenangan.

Kenangan indah yang tidak dapat dilupakan.


Tuesday, September 8, 2009

Baju Raya

Semasa kecil saat yang paling dinantikan oleh kami adik beradik adalah hari raya. Itulah saatnya kami berpeluang membeli kasut dan baju baru di bandar Segamat. Sekali setahun. Ketika kami masih tidak mempunyai kereta, abah akan menempah kereta sewa.

Abah akan memperuntukkan hari minggu untuk kami membeli kasut dan sepasang baju. Kata abah, pilihlah mana-mana kasut yang berkenan di hati, nanti abah beli. Lalu, kami akan membuat pilihan sampai naik pitam kerana keseronokan. Hati melonjak-lonjak dan berbunga-bunga. Saat paling gembira.

Mak pula akan membeli kain ela untuk dijadikan baju kurung teluk belanga [kurung Johor] Kainnya fesyen gombang ombak beralun. Cara memakai kainnya yang diperlukan hanyalah kain perca yang panjang untuk dililitkan sebagai tali pinggang. Pilihan kain adalah pelbagai. Selalunya mak akan memilih warna yang terang rona berbunga kecil.

Mak memilih kain ela yang akan dipadankan secara berpasangan. Saya akan berpasangan dengan Kak Long Pidah. Tuti berpasangan warna baju bersama Ratna manakala Raihan akan dipasangkan bersama Ayu. Razif tersendiri.

Pernah suatu ketika, kami benar-benar berdebar kerana baju raya kami betul-betul dapat disiapkan di pagi hari raya yang mulia..

Semasa remaja, mak mencadangkan kami menempah pakaian dari seorang teman yang tinggal di rumah kedai di pekan Jementah. Kami terasa sangat bergaya dengan fesyen pakaian baju kurung Malaysia. Tiada lagi kain gombang.

Semasa di awal perkahwinan, pakaian anak-anak mula diutamakan. Untuk kami suami isteri, saya hanya menyediakan sepasang sepersalinan pakaian kurung moden warna sedondon. Tampak seia sekata.

Namun, semasa di luar negara persediaan pakaian raya adalah ala kadar sahaja. Hati sangat tersentuh dan terharu apabila menerima kiriman dari kak Yah [kakak ipar] yang bersusah payah mengepos baju kurung untuk anak-anak memakainya di pagi raya.

Di Scotland yang sejuk beku, baju raya hanya di pakai di dalam rumah sahaja. Apabila keluar berziarah ke rumah rakan taulan, kami menyarung jumper yang tebal.

Hari ini, anak-anak seolah-olah langsung tidak kisah dengan baju raya. Mengapa tidak. Ia boleh diminta dari ayah mereka bukan hanya tertentu pada hari raya sahaja.

Suatu hari minggu di bulan Ramadhan, apabila anak-anak pulang sebentar untuk berbuka dan bersahur bersama, saya mengambil kesempatan mengajak mereka untuk membeli baju raya :
"Azrai, Amirul...jom kita ke Melaka untuk membeli baju raya"

"Mmm..belilah baju apa-apa ma.. kami tidak kisah. Kalau kami tidak pergi pun tak apa kan?"

Ya Allah. Rupa-rupanya anak-anak sekarang semakin tidak hairan.. Apa sangatlah nilai sehelai baju raya kepada mereka yang ibubapa mereka mampu membelinya pada bila-bila masa.

Monday, September 7, 2009

Berhijrah

Kami sekeluarga berpindah rumah secara rasmi dari kampung Paya Jakas ke kawasan perumahan di pekan Jementah pada pertengahan Ramadhan. Ruang bahagian dapur dan bahagian beranda telah dipecahkan untuk menambah sedikit keluasan.

Kami merasa sedikit nikmat kesenangan hidup. Kemudahan yang Allah telah tetapkan. Kedai, klinik, sekolah dan rumah yang berhampiran tepi jalan besar memudahkan untuk mendapatkan perkhidmatan kemudahan kenderaan awam.

Letih berkemas di tambah dengan keadaan berpuasa amat mencabar keimanan. Tetapi mak sering mengingatkan kami bahawa sabar itu adalah merupakan sebahagian daripada iman.


"Sambil berkemas tu..zikir di dalam hati. Sebutlah mana-mana nama Allah di dalam Asmahul Husna...Ya Alllah..Ya Latif..Ya Hayum..Ya Qayum.."

Tidak banyak barangan yang di bawa. Yang banyak hanyalah kain-kain baju sahaja. Lalu, kami buntilkan kesemuanya di dalam sehelai selimut besar. Ia seolah-olah seperti bekalan putera raja yang berkelana dari kampung ke kampung pada zaman dahulu kala!

Baju tersebut kebanyakannya adalah hasil pemberian orang. Kadang-kadang jika ada sepupu atau saudara mara dari bandar menghantar baju terpakai pun kami adik-beradik tidak pernah menolaknya. Mak akan mengecilkan bahagian lengan atau pinggang agar ia sesuai dengan keadaan fizikal kami.



"Terima sahaja. Janganlah malu. Berikan pahala kepada mereka yang menderma. Mereka ikhlas"
Untuk baju raya, Mak akan menjahit baju kurung Johor [Teluk belanga] dengan kain gombang ombak beralun. Kain itu seperti kain batik atau kain pelikat yang hanya dijahit di bahagian tepi sahaja. Apabila hendak memakainya kami akan menggunakan jari jemari untuk mengalunkanya seperti lipatan kipas di bahagian tepi.

Kemudian kain itu kami ikat dengan lebihan perca yang digunakan sebagai tali pinggang. Sebab itulah baju-baju kurung kami boleh di pakai oleh turun temurun.

Kainnya akan dipakai selagi hayat. Rasanya kain tersebut begitu banyak sekali mendapat pahala jika hendak diambil kira. Kerana selepas ia diturunkan kepada adik-adik yang lain, tarafnya pula akan menjadi pengalas untuk pinggan basah. Kemudian selepas beberapa lama..ia menjadi kain buruk pula. Kain-kain buruk itu akan digunakan sehinggalah ia mereput dan tidak berguna lagi.

Sebab itulah kami menjadi hairan apabila Allahyarham P.Ramlee menyanyikan lalu "Tudung periuk pandai menari" di mana senikatanya berbunyi :

"kain yang buruk berikan kami..

buat menyapu..buat menyapu si air mata..."

Kami geli geleman mendengarnya kerana membayangkan kain buruk di rumah kami.

Sepanjang kami berkemas, Mak Wa menemani kami. Tergambar ada kesayuaan diwajahnya. Kerana mulai saat itu akan hilanglah bunyi riuh rendah hiruk pikuk suara adik-beradik kami yang seramai tujuk beradik.

"Berhijrahlah. Mungkin itu lebih baik untuk kita kerana Allah lebih mengetahui apa yang tidak kita ketahui. Berhijrah kepada perkara yang lebih baik"
Diam. Kemudian Mak Wa sambung lagi.


"Jika kita hendak memulakan sesuatu yang baik..mulakanlah sekarang. Jadikan hari ini lebih baik dari semalam. Esok lebih baik dari hari ini"
Mak Wa benar-benar sayu.

Sedangkan hati kami meronta-ronta kegembiraan untuk menikmati sedikit perasaan 'kesenangan' dengan segala perkhidmatan dan kemudahan di pekan. Nikmat berkumpul semula bersama keluarga!

Thursday, September 3, 2009

Musim mengoreng

Semasa kecil, jarang sekali saya melihat mak membeli kuih raya. Semuanya hasil buatan tangan yang kadang-kadang mak tidak menang tangan.

Musim mengoreng.

Apa yang ada di dapur, semuanya dijadikan bahan untuk dijadikan hidangan tetamu semasa raya nanti : Pisang muda, ubi kayu, keledek dan keladi.

Malah jika ada tepung gandum ia akan dicampur gaul dengan udang kering atau ikan bilis bersama kisaran bawang besar berserta rempah akan terhasillah sejenis juadah.

Apa lagi?

Rempeyek, tumpi dan kuih karas. Keropok bayam, kuih siput dan buah rotan.

Selalunya kami akan mengeluh dan mendengus di dalam hati,


"Berapa banyak lagi mak hendak buat kuih raya ni?"



"Eh, awak semua juga yang hendak makan dan menjamu kawan-kawan nanti.."



Mak dapat membaca hati kami. Mak buat agak banyak dan akan agih-agihkan kepada Mak Wa serta saudara mara yang miskin dan tidak berupaya.


Semasa remaja kerja goreng-mengoreng itu menjadi tugasan saya. Lama- kelamaan apabila ia telah menjadi kebiasaan, kerja mengoreng seperti itu tidaklah membebankan.

Apabila usia meningkat dan berbagai kemudahan disediakan, saya mula mengambil mudah. Kerepek yang entah bila digoreng seperti itupun.. untuk menikmatinya saya pakai tunjuk-tunjuk di kedai..

"Ya Allah..bilalah agaknya anak-anak saya akan pandai? Musim mengoreng telah pergi.."

Wednesday, September 2, 2009

Makan Sahur

Semasa kecil waktu dikejutkan oleh mak untuk bangun makan sahur adalah saat paling tidak digemari. Liat rasanya hati ini. Ia terasa amat mengganggu sistem waktu tidur. Selalunya mak akan menyediakan nasi panas dan lauk yang agak rutin.

Ia berulang-ulang: Telur asin rebus atau ikan masin goreng atau telur dadar dengan sejenis sayur goreng. Ia hampir tidak dapat di telan. Tetapi apabila melihat jelingan mata abah, tangan ini dengan pantas menyumbat sebanyak mungkin makanan agar cepat selesai.

Semasa remaja, menyediakan makan sahur seperti itu telah menjadi tugasan saya pula. Cepat-cepat bangun menyediakan. Cepat-cepat mengejutkan adik-adik, mak dan abah untuk makan dan cepat-cepat boleh kembali menyambung tidur. Di universiti - bersahur - paling meriah kerana juadah makan disediakan.

Kami menunggu sehingga lewat tengah malam untuk mengambil bungkusan makanan di Cafe yang telah ditentukan. Terus bersahur beramai-ramai. Ia seperti kenduri jamuan makan di tengah malam.

Di awal perkahwinan, suami meminta menyediakan makan sahur yang tidak banyak perbezaan dengan apa yang keluarga kami sediakan. Dengan rasa kasih, saya ubah jenis masakan. Bertambah-tambah suami makan. Sambil melemparkan senyuman sayang, beliau menyatakan:
"Yang, awak ni hendak suruh saya naik berat badan?"

Di luar negara, untuk makan sahur saya menyediakan roti bakar dengan scramble egg bersama secangkir kopi panas sahaja. Terus bawa masuk ke dalam bilik. Udara Scotland yang sejuk beku tidak membenarkan saya lama di dapur. Di dalam selimut tebal itulah kami makan bersama.

Semasa anak-anak sedang membesar, permintaan makan sahur adalah pelbagai. Masing-masing ada selera yang tersendiri. Jika selera mereka dipenuhi...Emmm..melihat cara mereka makan kita akan berpuas hati.

Kelmarin dan hari ini ternyata berbeza.

Saya tidak lagi sibuk-sibuk di dapur menyediakan makanan apa tah lagi untuk makan sahur. Anak-anak telah remaja dan dari kejauhan hanya bertanyakan khabar juadah apakah yang disediakan.
"Ayah, Ma dan adik-adik semua berbuka di masjid As-Syakirin.."

Sahur semalam..saya bergegas ke dapur menyediakan makan sahur dan Amirul yang akan menghantarkan bekalan itu kepada ayahnya yang entah sejak pukul berapa Qiamulai di masjid As-Syakirin.

Sahur hari ini..suami seolah-olah berkata :
"Yang, cukup lah sahaja dengan segelas air suam..pergilah bersolat malam.
Mudah-mudah kita bertemu Lailatul Qadar. Malam rahmat seribu bulan"
"Ya Allah, Ya Rahman Ya Rahim Ya Hayyum Ya Qayyum, maka nikmat Allah yang mana satukah hendak saya dustakan?"