Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Friday, December 31, 2010

Pulut kuning lambang kesyukuran

Tahun baru masihi bakal menjelang.

Semasa zaman kanak-kanak, apabila saya melihat emak mengukus pulut kuning dan masak rendang ayam.. hati saya girang. Ianya bermakna ada dua kemungkinan - tahun baru menjelma dan bakal bertambah setahun lagi usia saya!

Bagaimana saya boleh tahu?

Ketika itu, pulut kuning dan masakan rendang ayam adalah lambang kemewahan. Bagi kami yang hidup sederhana dan beradik ramai, jarang-jarang sekali di hidang dengan masakan begitu kecuali ada suatu peristiwa istemewa berlaku pada hari tersebut.

"Mak..mak hari ini hari jadi An. Ayu dan saya ke? Hari ini tahun baru ke?"

"Ya..awak suka?"

"Suka."

Emak tersenyum bahagia melihat kami gembira. Tarikh hari kelahiran saya, An dan Ayu jatuhnya pada awal tahun baru. Awal Januari. Kami sekali lagi akan dapat menikmati hidangan istemewa itu pada bulan Februari - di hari kelahiran Tuti dan Ratna. Bulan Ogos - di hari kelahiran kak Long Pidah dan November - Razif.

Kami benar-benar teruja!

Pulut kuning yang telah di masak, emak bungkus di dalam daun pisang. Emak masukkan ke dalam piring dan letakkan bersebelah rendang. Emak hiaskan dengan taburan bawang goreng, telur dadar yang digulung lalu di hiris nipis serta campuran hirisan lada merah dan daun bawang.

Kami duduk sekeliling melihat emak menghias hidangan dengan penuh berselera dan perasaan tidak sabar. Kami tahu ianya untuk dihantar ke rumah jiran-jiran terdekat. Kami perlu hantarkan segera ke rumah mereka kerana hanya setelah selesai segala urusan barulah kami adik-beradik boleh menikmati hidangan.

"Mak..yang ini untuk di hantar ke rumah Mak Rom ya?"

"Ya.. Jalan elok-elok. Jangan sampai tumpah.."

Kami akan segera pergi mengagih-agihkan hidangan istemewa ke rumah jiran tetangga sambil berlari-lari. Mahu segera pulang.

Usai kerja agihan, kami adik beradik akan segera pulang. Duduk di atas tikar mengkuang mengambil piring pulut kuning bahagian masing-masing yang telah siap emak agih-agihkan. Emak hanya senyum memerhatikan kami adik-beradik menikmati pulut kuning dengan bahagianya.

"Yang ini mak taruh telur dadar lebih sedikt sebab hari jadi awak..."

Saya, An dan Ayu akan menyambutnya dengan hati berbunga-bunga.

Kami makan kepalan pulut kuning dan seketul rendang ayam hasil tangan emak dengan penuh rasa nikmat tidak terperi. Pulut kuning dimasukkan ke mulut dengan rendang ayam yang dicubit sedikit-sedikit. Kami makan berlama-lama untuk menikmati keenakannya. Kerana kami tahu saat perasaan seperti itu hanya akan berlaku setahun sekali sahaja.

Ketika zaman kecil saya, pulut kuning dan rendang ayam.. ia lambang kesyukuran.

Apabila dewasa, semakin jauh berjalan, saya melihat hidangan dan masakan bukan hanya sekadar resepi. Tidak semestinya terhasil dari bahan-bahan mewah, mahal dan perlu diimport dari luar negara. Ia hadir bersama kisah yang barangkali jarang menjadi bahan cerita.

Bagaimana memperolehi resepi masakan adalah suatu perjalanan. Suatu perlambangan. Ia hadir bersama hati yang bersyukur, bersama hati yang tulus ikhlas, bersama doa, bersama kasih sayang dan persahabatan.

Barangkali ada iktibar yang boleh diraih selain dari resepi. Resepi dari hati yang tulus ikhlas bukan milik peribadi.

Gambar ihsan:
wisataseru.com

Tuesday, December 21, 2010

Yang terindah..


Saya pernah di tanya,"Puan, apakah aktiviti puan pada hari ini?"

Jawapannya.

"Saya tidak pasti. Malah untuk jangkamasa sejam daripada sekarang pun saya tidak tahu apakah yang bakal berlaku.

Apatah lagi esok hari. Apakah masih ada kesempatan untuk saya mengucapkan ucapan sayang dan berlari pulang ke pangkuan mereka apabila ditakdirkan Allah untuk mengambil nyawa.

Mungkin sebentar lagi adalah saat terakhir saya menghela nafas,menghirup udara dan melihat semua yang saya sayangi tersenyum tertawa.

Lalu, bisikan hati lebih kuat malah lebih baik andai diceritakan apa yang saya miliki pada hari semalam. Yang pasti telah berlaku.

Yang terindah.

Agar saya dapat merakamkannya. Agar mereka mengetahuinya bahawa di dalam kejadian itulah mereka merupakan sebahagian daripada warna-warni kehidupan saya.

Itulah aturan Allah. Keizinan ilham yang di minta dari-Nya, agar saya tidak hanya melihat sesuatu kejadian dengan mata. Pandanglah alam ini. Pandanglah dengan mata hati.

Kenangan cerita diri.. Ia benar-benar telah termaktub di dalam buku setiap insan, tertulis sejak azali.

Blog ini meminta saya menoleh ke belakang, mensyukuri dan menikmati hari ini sambil meniti hari esok..

Friday, December 17, 2010

Tak kenal maka tak cinta..

Saya pernah membuat catatan berikut semasa semester baru bermula:

Suatu hari saya tercari-cari kelas. Hari pertama di bangunan baru. Belum biasa.

Apabila sampai di tingkat dua bangunan, saya kuak daun pintu..Wah! sudah ramai pelajar di dalamnya. Saya berbisik di dalam hati;

"Bagus! Sikap positif di awal semester.."

Belumpun sempat saya meletakkan beg di atas meja, seorang pelajar menyapa:

"Ustazah, ini kelas kursus Perniagaan Antarabangsa [ International Business]."

"Oh, saya tersalah kelas atau awak semua tersalah tafsir melihat penampilan saya?"

"Maaf puan, kami ingatkan puan seorang ustazah tadi.."

"Tidak mengapa..ustazah ini suatu masa dahulu tidak pernah faham makna sehelai tudung [click]. Dia pernah memakai sut korporat sedondon warna tas tangan dan kasut berjenama. Dia pernah bekerja di luar negara.."

Saya mulakan kelas dengan anekdot 2[click].... Lalu, terlopong mulut mereka. Begitulah manusia boleh keliru dengan penampilan sesaorang apabila melihatnya pertama kali. Membuat telahan yang samasekali berbeza. Orang boleh jatuh hati malah ada yang membenci. Kata orang, " Tak kenal maka tak cinta..."

Thursday, December 16, 2010

Inilah pakaianku..

Sebelum memulakan kuliah, saya sering mengingatkan kepada diri sendiri.

"Selawat dan salam kepada junjungan besar kita, Rasulullah SAW serta keluarga dan sahabat-sahabatnya.

"Marilah kita sedekahkan surah Al-Fatihah ini kepada kedua ibu bapa yang telah membesarkan kita dengan penuh kasih sayangnya dari kita bayi sehinggalah kita berada di usia ini [samaada mereka masih hidup ataupun yang telah tiada],

Sedekahkan juga kepada guru-guru yang telah mengajarkan ilmu dari kita tidak tahu membaca sehinggalah kita telahpun berada di universiti ini,

Kepada seluruh warga UiTM yang telah banyak membantu kita di sepanjang pengajian,

Kepada kaum muslimin dan muslimat

Al- Fatihah!

Dan saya memulakan pengajaran. Lalu, di masa yang lain seorang pelajar datang ke bilik saya dengan sayu pilu semata-mata untuk menyatakan :

"Maafkan saya kerana menyangkakan bahawa puan adalah seorang ustazah pada mulanya..hanya kerana melihat cara dan pakaian puan. Ia amat berbeza sekali apabila membaca buku Travelog cinta abadi: masa yang berlalu..."

Dengan kasih sayang, saya ceritakan kepadanya:

"Saya telah melalui banyak hentian. Di setiap hentian itu banyak sekali cabaran dan lencongan yang cuba membengkokkan diri dari melalui jalan yang lurus. Namun, apabila saya terleka..Allah kembali mengingatkan diri saya bahawa hentian itu cuma transit sementara. Perjalanan perlu diteruskan.

Di sepanjang hentian, banyak sekali nikmat dan kasih sayang Allah yang saya kecapi. Adakalanya saya menjadi ego, angkuh dan membangga diri. Saya fikir saya seorang yang hebat. Bila jatuh tersungkur saya kembali sedar diri.

Adakalanya saya berjalan, jarang sekali saya berlari. Namun, sebenarnya saya lebih banyak merangkak dan sesekali bertatih-tatih berjalan jatuh. Ketika itulah saya rasakan Allah memimpin di sepanjang perjalanan.

Bertahun-tahun saya merangkak mencari destinasi. Arah tujuan yang tidak keruan. Dalam pencarian itulah saya mengenal diri bahawa saya tidak memiliki diri ini. Nikmat yang dikecapi adalah pinjaman semata-mata. Akan kembali kepada yang menjadikan apabila sampai masanya.

Saya telah berjalan hampir di seluruh pelusuk dunia dengan bergaya. Melihat kebesaran dan keindahan bumi Allah yang Maha berkuasa. Lalu terasa kerdilnya diri ini di sisi-Nya.

Jadi, di suatu sepertiga pagi yang hening saya berbisik kepada-Nya,"Ya Allah! Janganlah ambil nyawaku selagi tidak terhapus dan diampunkan dosa-dosaku. Aku ingin kembali di dalam keadaan fitrahku yang bersih putih. Jemputlah daku ke rumah-Mu ketika ada rezeki kesihatan, rezeki kewangan dan rezeki kelapangan. Jemputlah daku! Jemputlah daku! Jemputlah daku!

Ketika muda sebelum tua,
ketika sihat sebelum sakit,
ketika lapang sebelum sibuk,
ketika senang sebelum susah
ketika hidup sebelum mati..

Lalu, Allah makbulkan permintaan saya.

Banyak perkara yang saya fikir Allah akan membayar secara tunai kepada saya ketika berada di rumah-Nya. namun, Allah tidak begitu. Malah, dia banyak memberi tunjuk ajar, melimpahkan kasih sayang dan menunjukkan kebesaran-Nya yang tidak terucapkan oleh kata-kata.

Ya Allah. Salahkah saya untuk memberikan satu tanda lambang kesyukuran kepada-Nya dengan sesuatu yang berat untuk dilakukan oleh diri ini selama ini.

Yang paling saya takuti..iaitu memakai pakaian seperti ini"

Pelajar itu berdiri meminta diri untuk pergi. Sebelum beredar dia memeluk saya. Di dalam pelukan itu terasa ada sedu, riak kecil yang berombak-ombak. Di kelopak mata, ada takungan air di dalamnya. Sambil senyum, saya nyatakan kepadanya:

"Saya sudah redha jika nanti satu persatu rakan-rakan saya akan beredar pergi menjauhkan diri. Saya sedar.. banyak implikasi hanya kerana pakaian ini..
Gambar ihsan : google

Wednesday, December 15, 2010

Duhai pakaianku..

Allah..Allah..Allah.

Hampir sepanjang malam daku berfikir bagaimanakah akan ku hadapi hari-hari yang mendatang. Bagaimana daku harus berhadapan dengan rakan sepejabat ku dan dengan rakan-rakan karib ku? Adakah daku perlu menjadi orang baru? Atau biar sahaja ku teruskan gaya hidup seperti apa yang telah dilalui pada masa-masa silamku.

"Tidak. Tidak mungkin..bukankah dikau kini seorang hajjah?" getus hati menentang perasaan.

Hati bimbang kalau-kalau seluruh rakan sepejabat tidak lagi mahu berkawan. Kalau-kalau daku di pandang songsang. Kalau-kalau daku tidak dapat lagi menerima apa yang pernah ku lakukan dahulu.

Benar. Sejak pulang, perasaanku berlainan. Seluruh hati dan perasaan masih terkenang janji yang dilafazkan di hadapan multadzam. Janji pada diri. Janji untuk menjadi yang lebih baik dari semalam.

Daku sudah bernekad untuk berjihad kerana Allah. Berjihad untuk tidak melakukan perkara yang di larang dalam al-Quraan, berjihad untuk hidup secara islam dan berjihad untuk menjadi seorang isteri, ibu, anak, kakak dan melakukan setiap urusan pekerjaan kerana Allah.

Dan yang paling berat untukku berjihad adalah melepaskan segala pakaian sutera halusku, pakaian berjenamaku, pakaian sifon ku dan kebaya ku..

Allah..Allah..Allah.

Pagi itu, hampir setengah jam daku berdiri di hadapan almari. Memerhati. Hanya memerhati. Sedang air mata jatuh perlahan mengenang janjiku kepada tuhan yang menjadikan.

"Ya Allah..Pakaian manakah yang harus ku pakai untuk ke pejabat hari ini?"

Gambar ihsan :

http://forum.lowyat.net/topic/1480122

Monday, December 13, 2010

Janji pada diri

Bagaikan mimpi!

Rasanya baru sahaja kami membuat keputusan untuk menunaikan fardu haji. Kami layangkan surat rayuan kepada menteri. Lalu, dengan kuasa Allah surat itu berbalas.

"Sukacita dimaklumkan bahawa tuan layak menunaikan fardu haji pada tahun ini..."

Sebaik sahaja jawapan diterima dan kad jemputan dari Allah dilayangkan. Kami terbayang-bayang lambaian kaabah. Ia bukan sekadar lambaian biasa..ia lambaian illahi. Lalu, bergetarlah jiwa raga insan yang jahil lagi fakir ini kerana merasakan diri serba kekurangan.

Jika dahulu kami tidak pandai berdoa didalam bahasa arab, pada saat kami menerima jemputan kami masih lagi belajar dan merangkak-rangkak. Jika dahulu kami masih lagi tereja-eja dan teraba-raba membaca kalam suci al-quraan, pada saat kami berangkat..kami masih juga insan yang sama. Namun, berusaha sedaya upaya mengatasi kekurangan yang ada.

Allah..Allah..Allah.

Jika tidak kerana kasih dan sayang-Mu.. pasti kami telah terkulai di sini. Pasti kami kuburkan sahaja hasrat untuk menunaikan haji. Lantaran ketakutan yang amat kerana kekurangan diri, kejahilan diri dan dosa-dosa yang tidak tertanggung oleh diri.

Wahai Tuhan, sepanjang waktu ketika berada di rumah-Mu terasa dikau begitu hampir. Sehampir di urat sarafku.

Wahai Tuhanku..bertahun-tahun daku terlantar..baru kini dapatku hirup kemanisan iman kurniaan atas dasar kasih sayang-Mu..

Wahai Tuhan, sepanjang daku di sini... ku salut seluruh auratku, ku tutup pandangan mataku, ku tapis pendengaranku, ku tahan lidahku dan ku sibukkan hatiku dengan memuji kebesaran-Mu..

Bila pulang nanti...Haruskah daku berpatah balik kebelakang? Haruskah daku teruskan zaman silam? Patutkah daku kembali menjadi daku yang dahulu?

Wahai tuhan, Sesungguhnya daku datang kerana menyahut panggilan-Mu, Daku mengakui segala urusan, segala nikmat dan kerajaan adalah di dalam genggaman-Mu.

"Lalu...wahai Tuhanku berikanlah daku kekuatan agar dapat daku teruskan apa yang sedang dakui lalui. Jadikanlah esok lebih baik dari hari ini, hari ini lebih baik dari semalam. Semalam adalah usiaku yang telah berlalu. Esok, ku tidak pasti masihkah daku dapat menghirup udara segar, mengerlipkan mata dan mengerakkan seluruh anggota tubuh badan yang dipinjamkan.

"Allah..Allah.Allah...."

Tuesday, December 7, 2010

Nikmat berpuasa di awal muharram

Setiap hari kami melihat bas demi bas mula berangkat pulang. Setiap pagi lobi hotel dipenuhi bertimbun-timbun beg-beg besar, karung kain arab berjalur-jalur berbunti-bumtil, cerek-cerek emas, kotak-kotak dan berbagai barangan yang tidak dapat ditelah oleh akal fikiran.

"Subhanallah! Banyak betul rezeki kurniaan limpahan Allah kepada rakyat Malaysia."

Timbunan barangan hampir sahaja menghalang laluan menuju ke lif. Namun, ia bukan suatu perkara besar untuk menjadi penyebab jemaah bertengkar. Beg-beg hanya perlu di anjak sedikit ke tepi dan senyuman dihulurkan agar tidak ada hati yang berang.

"Tumpang lalu.. Haji kami tumpang lalu.."

1 Muharram.

Kami menuju ke Ta' naim untuk melakukan niat umrah. Pergi seawal 2.00 pagi. Hari itu juga kami bertekad untuk berpuasa sunat. Kami membawa bekal beberapa biji kurma buat bersahur. Sepanjang jalan, kedai-kedai kecil masih bercahaya dan jual-beli masih berjalan seperti biasa. Dari Ta'naim ke masjidil haram hanya memakan masa beberapa minit sahaja dengan menaiki teksi.

"Yang..mari kita makan kebab dahulu buat sahur."

Kami berhenti seketika. Kemudian terus menuju ke masjidil haram yang semakin lengang. Kumpulan jemaah yang tidur di laman luar masjidil haram juga sudah semakin berkurang.

Seperti biasa, selepas bertawaf kami mencari tempat untuk beribadat di dataran. Bertentangan dengan mutadzam. Kami lakukan sebanyak mungkin sembahyang sunat, membaca al-quraan dan terjemahan-nya. Kami menunggu sehingga masuk waktu subuh, bertawaf dan pulang.

Waktu dhuha kami pergi kembali, mencari tempat di dataran kaabah. Kami dapati rombongan baru mula memenuhi ruang masjidil haram. Barangkali rombongan jemaah yang mengerjakan umrah. Mereka duduk secara berkumpulan - kanak-kanak, lelaki dan perempuan.

Sedang kami asyik melakukan aktiviti peribadi, tiba-tiba pegawai wanita berjubah serba hitam bersuara berbahasa melayu;

"Hajjah..hajjah..keluar. keluar."

Kami terpaksa beralih tempat di dataran berkali-kali. Barangkali ia berbeza dengan musim haji. Di musim umrah, jemaah wanita tidak lagi dibenarkan berada di dataran kaabah. Akhirnya, kami mengambil keputusan untuk naik ke dalam masjidil haram. Mencari tempat berhampiran dengan rak-rak al-quraan tetapi masih bertentangan dengan multazam.

Kami tidak pulang ke hotel hari itu. Selepas zohor kami memperbaharui wuduk di bilik air berhampiran masjidil haram. Suasana ternyata lenggang, berbanding musim haji yang lalu. Kami sambung aktiviti peribadi sehingga masuk waktu asar. Selepas asar, ketika orang berpusu-pusu keluar dari masjidil haram, kami di dekati oleh suami. Dia sebak. Air matanya berlinangan.

"Yang..hari ini sekali lagi saya dapat mengucup hajarul aswad walaupun tidak bersedia. Saya letih naum kaki saya terus bergerak ke arahnya. Benar, Allah itu maha berkuasa. Jika Dia katakan kita dapat mencium hajarul aswad itu..pasti kita dipermudahkannya. Awak sembahyang taubat dan hajat, bila sudah bersedia..nanti saya bawa awak ke sana.."

Selepas asar kami kembali turun ke dataran kaabah mencari ruang. Suami segera pergi mencari ruang sehampir mungkin dengan kaabah.Petang itu tiba-tiba gerimis merenjis di bumi Mekah yang kering kontang. Mega kuning bercampur merah melakarkan effek yang tidak tergambar oleh lukisan dan tidak terzahir oleh kata-kata.

Kami duduk berteleku di dataran sementara menanti azan maghrib berkumandang. Petang itu kami hanya berbuka dengan beberapa biji kurma dan air zam-zam. Nikmatnya meresap ke seluruh anggota badan. Itulah kali pertama kami berbuka tanpa memikirkan juadah yang enak berselera di depan mata.

Monday, December 6, 2010

Doa buat kekasih abadi..

Para shalihin mengajar untuk berdoa ketika menjelang perubahan tahun. Berikut adalah doa akhir tahun dan awal tahun yang lafaznya cukup terkenal serta banyak terdapat di dalam buku-buku doa.

Doa Akhir Tahun

Doa ini disarankan membacanya tiga kali saat menjelang akhir tahun baru Islam, dilakukan sesudah asar atau sebelum maghrib pada 29 atau 30 Dzulhijah. Doa ini mengajak kita memohon ampunan dari Allah Swt. atas perbuatan-perbuatan yang dilarang oleh-Nya sepanjang tahun yang lalu. Sekiranya sepanjang tahun itu ada perbuatan-perbuatan yang diredhai oleh Allah Swt yang dikerjakan, maka mohonlah agar amal soleh tersebut diterima oleh-Nya.

Bermaksud:

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Semoga Allah melimpahkan rahmat dan keselamatan kepada junjungan kami Nabi Muhammad SAW,beserta para keluarga dan sahabatnya. Ya Allah, segala yang telah ku kerjakan selama tahun ini dari apa yang menjadi larangan-Mu, sedang kami belum bertaubat, padahal Engkau tidak melupakannya dan Engkau bersabar (dengan kasih sayang-Mu), yang sesungguhnya Engkau berkuasa memberikan siksa untuk saya, dan Engkau telah mengajak saya untuk bertaubat sesudah melakukan maksiat. Karena itu ya Allah, saya mohon ampunan-Mu dan berilah ampunan kepada saya dengan kemurahan-Mu.

Segala apa yang telah saya kerjakan, selama tahun ini, berupa amal perbuatan yang Engkau ridhai dan Engkau janjikan akan membalasnya dengan pahala, saya mohon kepada-Mu, wahai Dzat Yang Maha Pemurah, wahai Dzat Yang Mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan, semoga berkenan menerima amal kami dan semoga Engkau tidak memutuskan harapan kami kepada-Mu, wahai Dzat Yang Maha Pemurah.
Dan semoga Allah memberikan rahmat dan kesejahteraan atas penghulu kami Muhammad, Nabi yang Ummi dan ke atas keluarga dan sahabatnya.

Doa Awal Tahun

Doa ini disarankan membacanya tiga kali ketika memasuki 1 Muharam. Dilakukan selepas maghrib atau pun sesudahnya. Doa ini mengajak Mu'min memohon kepada Allah Swt. dengan berikrar meningkatkan amal kebajikan dan ketaqwaan.

Bermaksud:

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Semoga Allah senantiasa melimpahkan rahmat dan keselamatan kepada junjungan kami Nabi Muhammad SAW, beserta keluarga dan sahabatnya.

Ya Allah Engkaulah Yang Abadi, Dahulu, lagi Awal. Dan hanya kepada anugerah-Mu yang Agung dan Kedermawanan-Mu tempat bergantung.
Dan ini tahun baru benar-benar telah datang. Kami memohon kepada-Mu perlindungan dalam tahun ini dari (godaan) setan, kekasih-kekasihnya dan bala tentaranya. Dan kami memohon pertolongan untuk mengalahkan hawa nafsu amarah yang mengajak pada kejahatan,agar kami sibuk melakukan amal yang dapat mendekatkan diri kami kepada-Mu wahai Dzat yang memiliki Keagungan dan Kemuliaan. Semoga Allah senantiasa melimpahkan rahmat dan keselamatan kepada junjungan kami Nabi Muhammad SAW, Nabi yang ummi dan ke atas para keluarga dan sahabatnya.


Wallah hu alam.

Mengalah kerana letih..

Bagaikan mimpi diri telah menunaikan fardu haji lantas hati riang bergelar hajjah. Rata-rata jemaah kelihatan berpuas hati dengan ibadat yang baru sahaja mereka lalui. Bagaikan diri telah selesai melunaskan hutang kepada pemiliknya.

Kalau dahulu, mereka seperti takut-takut dan berjaga-jaga, kini tingkah laku mereka ketara berbeza. Kelihatan ramai jemaah muslimin yang sudah pandai ketawa besar, bersembang kuat di meja makan, bergurau-senda dengan perkataan yang sia-sia sambil menghirup teh arab yang jarang susunya.

Jemaah haji sudah sibuk membeli-belah dan mula mengumpul barangan cenderahati yang bakal di bawa pulang. Beg-beg besar semakin bertambah. Semakin jarang pula kita bertembung dengan kelibat rakan sebilik.

"Kita pergi dengan penerbangan terakhir..Ah! Masih ada beberapa minggu lagi kami di sini.."

Jemaah yang datang di awal penerbangan, sudah mula berangkat pulang. Jelas kelihatan wajah ceria bagi melepaskan kerinduan terhadap orang-orang tersayang yang setia menanti. Hairannya kuasa Allah, jemaah yang dahulunya sentiasa uzur dan terlantar di atas katil hotel, kini mereka mampu bergerak pantas. Mereka mampu mencari dan menyarung jubah bagi kelihatan segak, menawan dan bergaya. Sesuatu yang senonim bagi mereka yang pulang dari menunaikan haji.

Sebaik sahaja suci dari uzur, suami membawa Kak Mie menyegerakan ibadat haji. Mereka melakukan tawaf haji dan Sa'ie. Azlina juga sudah sempurna menunaikannya beberapa hari lebih awal dari Kak Mie.

Hari itu, Kak Mie pulang ke bilik hotel dengan wajah cerah ceria namun berlinangan air mata. Biasanya Kak Mie berwajah tenang, bersahaja serta jarang menzahirkan perasaan dalaman-nya. Suami menarik saya dan Azlina ke tepi tangga:

"Alhamdulilllah! Saya memeluk kak Mie setelah usai hajinya. Dia menangis tersedu-sedu."

Suami teruskan lagi.

"Kita semua harus meneruskan segala apa yang telah kita lakukan. Jangan mengalah kerana perasaan letih dan malas."

Benar. Apabila salah seorang dari kami mulai meluntur semangat untuk ke baitullah atau memberi alasan sakit-sakit badan, yang lain berpesan-pesan;

"Kita datang dari jauh. Bertahun-tahun kita mengumpulkan wang dengan gaji yang kecil untuk datang ke sini. Bertahun-tahun kita merayu belas kasih Allah untuk menjemput kita ke sini.. Kini, kita telahpun berada di sini.. Allah menjemput kita supaya beribadat di rumah-Nya yang agung. Di depan kaabah, kiblat umat Islam yang dikatakan ganjaraanya 100,000 kali ganda berbanding dengan sembahyang di rumah."

Kami sambung lagi.

"Jika kita mahu berehat-rehat dan sembahyang di hotel sahaja, tidak perlukan kita mengumpul wang sebanyak itu untuk berada di sini. Kenapa kita harus mengalah dengan perasaan lemah dan malas! Kita harus berjihad melawan bisikan syaitan!"

Benar. Cabaran mendapatkan haji yang mabrur rupa-rupanya bukan berlaku sebelum atau semasa kita melakukan ibadat itu. Tetapi selepas kita menyempurnakannya.

"Ya Allah..setelah pulang nanti, adakah ibadah hajiku di terima oleh-Mu. Mampukan daku bertahan dengan melakukan sepenuh jiwa raga dan tenagaku sebagaimana kulakukan di tanah suci-Mu?

Wahai tuhanku..Bertahun-tahun berlalu, baru kini ku merasa kemanisan beribadah kerana-Mu. Baru terasa hampir sekali hatiku dengan-Mu. Wahai zat yang diriku dalam genggaman-Nya, Sesungguhnya daku manusia lemah, hina lagi tidak berdaya. Oleh itu berikan daku kekuatan untukku meneruskan seperti apa yang ku lakukan di sini. Biar apapun yang terjadi.."

Friday, December 3, 2010

Mana satu?

Salam sejahtera kepada pembaca blog Hidup itu Indah..kenangan cerita diri.

Travelog cinta abadi : itu yang tertulis ... di dalam proses design kulit buku hadapan. Sekiranya tuan/puan memilih di kedai buku, yang mana satukah menjadi pilihan?

Rujuk blog Ringkas tapi signifikan

Thursday, December 2, 2010

Saya seorang Hajjah?

Pada hari-hari Tasyrik, kami menunggu di Mina sehingga selesai melakukan lontaran di ketiga-tiga jamrah.

Tarikh 13 Zulhijjah pada tahun itu umur saya beredar ke angka 4. Pagi itu agak sukar untuk saya membaca tulisan ayat-ayat dari Al-quraan. Imejnya kelihatan semakin kabur. Tulisannya berlapis-lapis dan berbalam-balam. Subhanallah! Suatu petunjuk penting bahawa nikmat penglihatan yang dipinjamkan oleh Allah mula ditarik sedikit demi sedikit.

Dalam kabur dan merangkak-rangkak, saya usahakan juga membaca kalam suci Allah. Ia menjadi semakin kabur apabila terhenti pada ayat ini :

"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan.

"Setelah dia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah dia dengan berkata: Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu). " [ Surah Al-Ahkaf, ayat 015]

Sepanjang hari itu saya menunggu ucapan hari lahir dari bibir suami. Ucapan istemewa seperti tahun-tahun yang lalu. Namun, sehingga bas bergerak dari Mina menuju ke Mekah, tiada tanda-tanda suami mengingati tarikh bermakna itu.

"Ya Tuhanku..sudah lupakah dia tarikh itu?"

Azlina juga seperti menunggu-nunggu ucapan hari lahir yang bakal diucapkan oleh abang kandung kepada kakak iparnya. Namun, sehingga kami sampai di hotel selepas waktu isyak, ia tidak berlaku. Perasaan hati mula hambar sehingga terdengar bisikan ini;

"Ya Allah! Umur dah mencecah 40 tahun pun mahu mendengar ucapan itu. Tidak ubah lagaknya seperti budak-budak. Hei! Masa itu sudah lama berlalu. Mulakan hidup baru."

Tiba-tiba Azlina bersuara kepada abangnya:

"Abang.. sudah tidak ingatkah lagi.. hari ini hari jadi kak Roza?"

"Ya Allah, sorry lah yang...saya benar-benar terlupa. Ok. Awak berehat dahulu di hotel, saya pergi cari nasi Arab. Selepas makan nanti, kita terus melakukan tawaf dan Sa'ie. Kita selesaikan haji kita pada malam ini juga sebagai hadiah hari jadi."

Saya teruja!

Malam itu kami melakukan tawaf dan sa'ie sambil berjalan beriringan berpimpin tangan. Selesai tahalul di hujung bukit Marwa barulah kami bergerak pulang perlahan-lahan membelah malam. Baru terasa keletihan. Masing-masing berdiam diri, terasa bagaikan mimpi. Tanpa sedar, air mata mengalir perlahan tanpa dapat di tahan-tahan.

"Terima kasih Allah..saya kini seorang hajjah?"