Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Thursday, May 28, 2009

Lambaian Kaabah







Hambamu datang menyahut panggilanmu, Ya Allah, Hambamu datang menyahut panggilanmu


Hambamu datang menyahut panggilanmu, Tidak ada sekutu bagimu, Hambamu datang menyahut panggilanmu


Sesungguhnya segala pujian


Dan nikmat


Dan pemerintahan adalah kepunyaanmu


Tidak ada sekutu bagimu


Rindu..

Beberapa tahun yang lalu saya amat tersentuh dengan panggilan itu. Mengharapkan Kad jemputan untuk ke situ. Dari Dia yang Esa. Yang Maha Kaya. Yang mencipta alam semesta.

Setiap kali ia berkumandang, hati tertanya-tanya,"Adakah aku juga bakal menjadi tetamu-Nya? Apakah sempat untuk aku bertaubat? Apakah dapat tangisanku tumpah di bawah lembayung kaabah?"

"Ya Allah, jemputlah daku ke rumah-Mu. Jemputlah aku datang bertandang untuk menjadi tetamu-Mu yang paling istemewa. Gajiku kecil, amalanku kurang, ilmuku cetek...namun, aku ingin jua ke sana. Datangku dari ceruk pelusuk bumi-Mu. Kerdil. Membawa dosa beribu, tidak tertanggung oleh bahuku.."

"Wahai Tuhan, jemputlah daku..jemputlah daku."


Nota:

Entri ini akan terhenti mulai 29 Mei hingga 9 Jun 2009 kerana saya mendapat jemputan umrah. Mohon ampun, maaf dipinta andainya ada yang terguris, terhiris hati dek kasarnya bahasa.

Dari Allah kita datang, kepada-Nya jua kita akan dikembalikan.

Wednesday, May 27, 2009

Oh Kuala Lumpur


Pagi-pagi lagi rombongan sekolah kami telah pergi.

Puas menunggu di bawah pokok tanjung itu, akhirnya bas sekolah yang di nanti pun tiba. Bersama-sama saya adalah dua orang rakan yang tinggal agak jauh di pendalaman.

Seorang pelajar dari Kampung Tebing Tinggi. Seorang rakan lagi adalah seorang anak Benggali yang di pelihara oleh pasangan berketurunan cina, Pegawai Polis dari Kebun Baru. Mereka bermalam di rumah saya. Kami amat teruja!

Kuasa Allah juga yang memberikan jalan kepada saya. Tergerak hati mempelawa mereka ke rumah agar dapat mempengaruhi mak dan abah. Tidak dapat dibayangkan bagaimana gembiranya hati apabila mak dan abah membenarkan saya pergi.

Kuala Lumpur Oh Kuala Lumpur.

Sepanjang perjalanan hati kami berbunga-bunga dan ceria. Walau sedikit sahaja terkeluar kata-kata yang mencolek hati, pasti kami ketawa gembira. Namun, keriangan menjadi sedikit muram apabila hampir sampai di Seremban. Kebanyakan muka rakan-rakan saya kelihatan kekuningan. Lalu, cikgu mencadangkan agar kami berdiam.

"Tutup mata kamu semua. Tidur. Jika tidak tahan, di hadapan ini ada pelastik muntah disediakan."

Tiba-tiba
"Eeiii..cantiknya Masjid Negara!" Seorang rakan serombongan bersuara.

"Bukan. Itu bangunan stesyen Keretapi Tanah Melayu." Kata cikgu.
Dia tersipu-sipu malu.

Tempat pertama lawatan adalah University Malaya. Kami di sambut dengan mesra dan diberikan layanan istemewa. Selepas taklimat dan ucapan, mereka menyediakan sarapan.

Batu Caves. Termasuk juga di dalam acara lawatan . Setelah berpenat-penat mendaki tangga yang tinggi, tersentak terkejut beruk kami.


"Ya Allah, rupanya tempat berhala hindu! Janganlah kami tersyirik dengan benda-benda seperti itu. Minta-mintalah jangan Allah timpakan bala ketika kami berada di sini"

Kami berdoa di dalam hati.

Tengahari kami berhenti makan nasi bekalan dan bersolat di Masjid Negara. Kemudian acara ke beberapa tempat lawatan diteruskan. Rupa-rupanya ada diantara kami yang ternanti-nanti "Burger" yang saya ceritakan.
"Cikgu, lambat lagikan kita nak ke tempat "Berrr..berrr tah apa ke benda tu?"

"Kalau berjumpa, nanti kita berhenti."

"Boleh berhenti-henti?" Ternyata tahap kehairanan tidak terbendung.

"Ok, saya nak tanya betul-betul ni...Ikhlas. Ada berapa duit poket kamu semua?"
Rata-rata mereka hanya membawa wang kecil berwarna biru sahaja. Tiada siapa yang hairan kerana itulah sahaja yang mampu di bawa sebagai bekalan.
"Tidak cukup rasanya...tapi, mati saya kalau nak belanja kamu semua!"

Terkedu. Nampak ada kesayuan di wajah cikgu tetapi sengaja dijawabnya dengan nada jenaka.

Tempat lawatan terakhir adalah di Muzium Negara. Dengan kuasa Allah, semasa bas kami berhenti di tempat parking kereta, tiba-tiba seorang cikgu bersuara:

"Gerai burger!"

"Mana!!? Mana? "
Hampir serentak pelajar bersuara.

Hari itu, gerai kecil Abang Burger menjadi begitu sibuk sekali. Beliau tersengih-sengih tidak kering gusi. Cikgu meminta kami berbaris panjang di dalam satu barisan. Di dalam hati kami berdebar-debar, takut kalau-kalau tersalah sebutan. Kami diam tidak berkata-kata kerana di dalam hati sedang menghafal sebut "Burger".

"Eh! Alamak terlupa. Macamana sebutannya tadi?"

"Darat betullah! Ber..ger. Jangan pulak awak sebut "Burr..Gurr. "
Ketawa.

Diam lagi. Sambil berbaris dan menghafal di dalam hati.


Monday, May 25, 2009

Burger


Tingkatan Satu.

Transformasi diri. Melihat dunia dari skop remaja di luar bandar. Pengalaman dan pelajaran baru bermula.

Saya sering membuat perbandingan dengan pengalaman Kak Long Pidah yang bersekolah berasrama penuh. Ternyata ia jauh berbeza. Amat ketara. Namun, saya merasa gembira kerana dapat mengadaptasi secebis daripadanya di sekolah itu sehingga ia dikatakan inovasi baru.

Sekolah Menengah Jementah di mukim kecil. Terpencil. Kami belajar di dalam seribu kepayahan terutamanya apabila cikgu cuba mengambarkan sesuatu yang tidak dapat dibayangkan.

Bayangkan, apabila cikgu bercerita tentang Muzium Negara, Universiti, Perbankan, Perindustrian dan banyak perkara yang terdapat di Ibu Negara, kami semua terkebil-kebil mata. Apabila cikgu bercerita tentang ekologi tumbuh-tumbuhan dan binatang-binatang sambil menyentuh tentang Zoo Negara, kami terngangga!

Bagaimana mungkin dapat mengambarkan, kerana kebanyakan kami tiada pernah ke Ibu kota. Ke bandar Segamat pun boleh di bilang dengan jari. Itupun hanya ketika di bulan Ramadhan untuk membeli keperluan menyambut Aidil Fitri.

Malah rata-rata penduduk sekitar kampung itu tiada mempunyai apa-apa. Mereka bukannya orang berada. Kebanyakan ibubapa mereka adalah bekerja sendiri, penoreh getah dan pekebun kecil. Kami jarang melihat berita bergambar. Jarang membaca surat khabar. Radio dan Televisyen jauh sekali. [Nota: Talian Eletrik pun belum masuk ke kampung lagi].

Itulah lumrah. Kami menyerah diri kepada Allah. Kami pasrah.

Suatu hari, beberapa orang cikgu yang mengajar matapelajaran Perdagangan mencadangkan untuk mengadakan rombongan ke Kuala Lumpur. Beberapa kelas dikumpulkan untuk merancang dan berbincang.
"Saya rasa ianya suatu keperluan kerana kamu semua tidak dapat mengambarkan apa yang saya sampaikan. Di sana nanti banyak tempat yang boleh kita lawati. Tolong cadangkan dan beritahu saya supaya kita dapat masukkan di dalam acara lawatan kita"

Cikgu sekadar menguji setakad mana pengetahuan kami. Tiba-tiba salah seorang rakan mengangkat tangan.
"Cikgu bolehkah kita ke Tugu Negara?"

"Emm..tentu sekali. Lagi?

Cikgu berkerut-kerut muka, namun diteruskan juga. Rakan-rakan yang lain berlumba-lumba memberitahu tempat yang menarik perhatian untuk lawatan.

Kita ke Batu Caves, cikgu!"

"Batu Caves? Emmm, ok kita akan cuba ke sana. Ada lagi?"

"Universiti Malaya"

"Ok.. Bagus! Itu tempat saya belajar."

Saya buntu. Terpesona kerana banyak betul pengetahuan rakan-rakan berbanding dengan saya. Lalu, saya teringat kata-kata Kak Long Pidah jika kita ke Kuala Lumpur jangan lupa ke sana. Saya mengangkat tangan dan berkata dengan penuh berkeyakinan serta bernada bangga.
"Cikgu, apa kata kita ke A&W..?

"A&W? Awak nak buat apa di sana?"

"Nak makan "Burr..gerr" Terkial-kial menyebutnya. Dengan penuh susah payah.
Cikgu-cikgu yang ada semuanya ketawa. Pelajar lain tertanya-tanya.

Ternyata rakan-rakan yang tidak berpengetahuan, kagum dengan saya. Apa yang pasti, entah apakah juadahnya "Makanan Burger" itu yang paling mereka nantikan. Sebabnya, mereka juga seperti saya!

Cikgu meminta saya ke papan tulis di hadapan kelas untuk melakar. Ingat-ingat lupa. Gambar "Burger" yang saya lakar menjadi sangat kelakar.

Mereka teruja!

Saturday, May 23, 2009

Tempua


Sarang tempua itu sentiasa bergayut di situ. Di atas pokok itu. Ia bergoyang-goyang apabila di buai angin yang bertiupan.

Pemandangan biasa yang indah di tepian sawah.

Pagi-pagi lagi ibu burung telah terbang. Pergi mencari rezeki, meninggalkan anak-anak menanti dengan sabar di sarang. Pemergian yang tidak pasti.
"Apakah ada rezeki untuk anak-anakku untuk hari ini? Aku berserah dan bertawakal kepada Allah."

Pasti terlintas di hati Tempua jika ia boleh berkata-kata.

Rasulullah SAW bersabda:

"Kalau engkau bertawakal kepada Allah dengan sesungguhnya, tentulah Dia memberikan rezeki sebagaimana Dia memberi rezeki kepada burung yang waktu pagi berlapar dan waktu petang dalam keadaan kenyang."

Suatu hari, sarang-sarang tempua telah tiada. Di ambil orang untuk jualan buat perhiasan. Di bawa pergi bersama anak-anak kecil yang masih mengangga, yang sedang menanti sesuatu dari ibu .

Bila pulang, baru tempua sedar bahawa ia benar-benar perlu bertawakal. Bertawakal kepada yang Esa. Apa yang ada di depan mata, pasti tidak akan kekal selamanya.

Dari Allah kita datang, kepadanya jua kita akan dikembalikan.



Friday, May 22, 2009

Pipit Sawah

Rajuk yang berpanjangan.

Saya nekad dan kuatkan hati untuk tidak mahu bertemu dengan Mak Wa. Terserempak pun saya tidak mahu.

Begitu juga dengan mak. Saya tidak boleh terima kenyataan bahawa beliau ada perkara penting yang perlu dibereskan. Saya mengharapkan agar mereka menangguhkan sahaja kerana itu. Tetapi ia tidak pula jadi begitu.

Marah. Kesal. Hilang kepercayaan.

Saya tidak peduli jika mak terasa kerana mulai jarang berbual-bual lagi dengannya. Hati melayan bisikan dan hasutan syaitan. Melawan mereka secara diam.
"Mak dan Mak Wa. Saya tidak mahu lagi berkongsi cerita dengan mereka."

Masa terus berlalu. Saya tidak lagi bersikap seperti dahulu. Kehilangan kawan dan keseorangan. Saya lebih banyak berkurung di dalam bilik sendirian. Melayani perasaan. Kompleks jiwa anak remaja. Monolog diri sering berperang sambil membisikan;
"Sampai bilakah ia akan terus begini?
"Ah..biarkan ! Selagi tidak hilang sakit di hati."
Sikap bodoh sombong berterusan. Saya seperti semakin tidak mengenali diri sendiri. Membuat keputusan secara melulu. Melepaskan kata mengikut perasaan. Biar mereka terguris! Biar hati tercalar..Siapa yang peduli!

Tetapi, lama kelamaan saya sakit sendirian kerana tiada siapa pun yang melayan. Malahan saya tahu bahawa mereka buat-buat tidak ambil tahu. Saya hampir mengalah, namun masih melayan hasutan syaitan.
"Abah tidak sayangkan saya. Kini Mak dan Mak Wa pula."

Itulah yang sering bermain-main di kepala.

Namun, dari kejauhan apabila ada kesempatan saya mengintai memerhatikan Mak Wa yang terbakar kulitnya sendirian menghalau pipit sawah di bendang. Pipit sawah yang tidak tahu erti jemu. Walau di halau berkali-kali, ia tetap kembali.
"Tidak! Tidak mungkin saya menjadi seperti pipit sawah itu. Tidak sekali-kali!"
Kerinduan untuk kembali seperti dahulu sesekali hadir tetapi hati masih berdegil!
"Ya Allah, sakitnya perasaan apabila tiada seorang pun yang melayan. Bodohnya diri berkelakuan seperti ini. Merajuk tiada seorangpun yang memujuk."

"Wahai tuhan, jadikan lah hari ini lebih baik dari semalam. Jadikan lah hari esok lebih baik dari hari ini."

"Ya Allah, hanya pada-Mu tempat mengadu. Jadikan lah diri ini seorang hamba yang baik disisi-Mu"

Wednesday, May 20, 2009

Jambu Biji



Hari demi hari. Minggu demi minggu berlalu pergi. Tanpa di sedari.

Musim cuti persekolahan yang panjang rasanya amat menyeksakan. Bagaimana tidak, kerana orang yang paling disayangi telah melukai hati. Sukar untuk mengambarkan bagaimana hendak melalui hari-hari yang mendatang.

Lukanya dalam. Hirisannya tajam. Menusuk kalbu.

"Sudahlah abah tidak sayangkan saya.. Kini Mak dan Mak Wa pula."

Hati menangis, merintih sendirian.

Masih teringat lagi pada hari yang panas terik itu, saya berlari pulang meninggalkan Mak Wa mengetam padi di tengah bendang. Hati terluka.

Entah kenapa, tiba-tiba hati terasa hiba. Tidak semena-mena air mata mencurah deras tidak tertahan. Terisak-isak di tepi semak, sendirian. Lalu, saya melayani perasaan.

Menangis sepuas hati. Sekejap kuat, sekejap berhenti.

Bimbang di lihat orang, saya memanjat sebatang pokok jambu biji di tepi denai. Sempadan tanah Mak Ngah Hajar dan Pak Long Dollah. Dari kejauhan saya dapat perhatikan sawah bendang yang terbentang, Gunung Ledang di celah kepulan awan dan sungai yang jernih mengalir lesu menenangkan perasaan.

Sambil menangis, tangan mencapai biji-biji jambu. Entah berapa biji yang di makan, tidak pula saya perasan. Tiba-tiba, ada sesaorang menyapa :
"Tidak elok makan jambu biji terlalu banyak. Kalau bijinya tidak hadam, nanti ia tumbuh di dalam."

Budak lelaki itu berkata, sambil menunjuk perutnya.
"Aaa..Budak MRSM Kuantan itu..anak Pak Long Dollah." Bisik hati saya, namun..

"Apa awak peduli..Perut saya, suka hati saya.."

"Makan sambil menangis pun tidak elok juga. Jangan menangis lama-lama, nanti bengkak mata."

Saya kehairanan. Bagaimana saya tidak perasaan budak lelaki MRSM itu boleh berada di situ. Entah berapa lama agaknya dia memerhatikan gelagat saya menangis dan meraung-raung sendirian. Kebodohan yang ketara!
"Boleh kah awak tidak masuk campur hal orang lain..?"

"Saya cuma memberitahu sahaja."

"Ok. Pokok jambu biji ini abah awak yang punya ke?

Tidak berjawab.

Dia terus berlalu. Pergi tanpa menoleh ke belakang. Meninggalkan saya sendirian di atas pokok jambu biji dengan diselubungi perasaan kesal dan malu yang mendalam.

Malunya bukan kepalang! Teramat malu!

Tuesday, May 19, 2009

Selamat Ulang Tahun

Harap maaf..
Siaran klasik terganggu sebentar untuk memberi laluan kepada peristiwa terkini.. Hiburan sensasi.

Sebarang komplen sila salurkan kepada vy untuk menjawabnya.

Nyanyian lagu SELAMAT ULANGTAHUN dari Imran Ajmain



Yang tulus ikhlas
Ingin sekali sekala dirinya dibalas
Walau hanya dengan dakapan di angin lalu

Yang selalu memberi
Ingin sekali sekala jadi penerima
Cukup dengan salam dan manis doa

Aku ingin kau merasakan hebatnya cinta
Dan leburkan saja serpihan calar derita

Chorus

Selamat ulang tahun sayang
Kini kau bersayap, pergilah terbang
Rentaslah langit cita cita mu
Harap nanti kita ‘kan bertemu

Selamat ulang tahun sayang
Janganlah engkau tak terbang pulang
Ku nanti penuh kerinduan
Selamat tinggal, selamat jalan

Aku hanya inginkan engkau setia
Kerana setia yang mencipta bahagiamu

Bunga Melur


Di hujung sana tempatmu, bunga melur
Bukan di taman yang indah, bunga melur
Hanya di sudut halaman
Tiada di hiasi
jambangan indah permai.

Tapi warnamu yang putih,
bunga melur
Tandanya suci dan murni,
bunga melur
Walaupun di tiup debu
harum mu dan bau mu tetap memikat kalbu

Ibarat gadis desa
Bunga melur sederhana
Walau kering tak bercahaya, bunga melur
Harum mu memikat jiwa..

Semuga sabar dahulu, bunga melur
Pada di suatu ketika, bunga melur
Masanya akan menjelma
Di sanjung dan di puja
oleh gadis remaja.

Dedikasi untuk : Suami yang dihormati & disayangi
[Abang Prof] Blog : Kehidupan Ringkas Tapi Signifikan


Lirik : Terima kasih kepada penulis lirik.

Saturday, May 16, 2009

Mengetam Padi


Hari terakhir di sekolah rendah.

Cikgu mengadakan hari penyampaian Hadiah dan Anugerah Kecemerlangan Pelajaran. Ibu bapa murid daripada darjah 1 hingga ke darjah 6 semua di jemput datang.

Saya menunggu kehadiran Mak dan Mak Wa untuk menyaksikan anugerah yang cikgu berikan kepada saya. Puas menunggu, namun bayangan tidak juga kunjung tiba. Hampa.

Hadiah pelajaran yang saya rangkul pada hari itu akan menjadi lebih bermakna dengan kehadiran mereka. Ia hadiah untuk mereka.

Saya bergegas pulang selepas bersalaman dengan cikgu-cikgu sekolah. Memohon ampun dan maaf di pinta daripada mereka. Sayangnya..tanpa air mata. Entah kenapa kerasnya hati seperti mati. Kematu seperti batu. Kental seperti besi.

Hati lebih sayu apabila Mak dan Mak Wa tiada di situ. Mereka guru saya nombor satu!

Mak Wa tiada di rumah. Saya terus mencarinya ke baruh. Pasti beliau ke sawah. Pasti beliau berada di jerangau di tengah bendang menampi padi. Atau menghalau pipit-pipit sawah yang tidak tahu mengalah. Mencari dan terus mencari.

Dari jauh, kelihatan Mak Wa berada nun sayup di tengah sawah. Di bawah bahang terik mentari.

"Kenapa Mak Wa tidak datang? Saya menunggu."

Mak Wa diam dan terus mengetam.

"Hari ini adalah hari terakhir saya di sekolah. Cikgu bagi hadiah."

Diam. Beberapa ketika Mak Wa berkata;

"Kadang-kadang di dalam hidup ini kita terpaksa membuat pilihan. Pilih satu di antara dua.. Jadi, apa tindakan kita?"

"Tetapi, Mak Wa dah janji.."

"Ya, jika di izin Allah. Tetapi ada perkara yang lebih penting lagi. Menghalau Pipit sawah. Musim mengetam padi. Jika kita tidak lakukan hari ini, esok-esok belum tahu lagi padi bunting ini masih berada di sini. Entah-entah di serang belalang.. "

Saya tidak menunggu lagi. Berlari dan terus belari. Berkecil hati.

"Tetapi, Mak Wa dan janjiiii !!!

Saya menjerit sekuat hati. Mengejutkan pipit-pipit sawah, lantas bertempiaran berterbangan pergi.

Hati terluka.

"Oh begitu rupanya .. Pilihan ke dua!"


Friday, May 15, 2009

Parang


Suatu hari saya melihat Tukang Kebun mengasah sabit dan parang di belakang sekolah. Pakcik tersebut mengunakan sejenis batu asah. Sekali-sekala air dicurahkan perlahan-lahan. Ia proses yang berulang-ulang.

Dari jauh saya berdiri. Memerhati.

Beliau tekun melakukannya. Tanpa jemu. Setiap bilah parang yang di asah, saya kira mengambil masa yang agak lama.

Bosan menanti, lalu saya menuju ke arahnya. Menyapa.
"Pakcik tengah buat apa?"

"Menuntut ilmu. Mengasah otak."

Beliau memandang wajah saya seketika, kemudian meneruskan kerjanya. Bersahaja.
"Ilmu apa yang pakcik tuntut?"

"Ilmu pandangan mata hati.."

Kehairanan. Menunggu jawapan seterusnya.
"Awak pernah belajar tentang perumpamaan?"

Mengangguk.
"Belakang parang di asah lagikan tajam. Inikan pula otak manusia."

"Oooo..ya."

Saya pulang semula ke dalam kelas dengan seribu tanda tanya. Bagaimana sesuatu perkara yang di lihat oleh mata biasa boleh di baca secara berbeza oleh pandangan mata hati.

Saya belajar sesuatu pada hari itu.

Thursday, May 14, 2009

Hasrat Hati



Dahulu, semasa hari-hari terakhir persekolahan , cikgu pernah meminta agar semua murid mengisi borang tamat persekolahan darjah 6. Perkara yang menjadi keutamaan adalah tentang cita-cita.

Saya buntu. Tidak mengerti mengapa perlu kita menyatakan perkara yang hanya akan berlaku di masa hadapan. Bukankah tuhan yang telah menentukan. Setiap hembusan nafas, setiap kerdipan mata. Semuanya adalah di dalam kawalan-Nya.

"Betul. Kita hanya merancang tetapi Allah yang menentukan. Tetapi dengan bercita-cita, kita akan terus berusaha untuk mencapainya. Bukankah Allah meminta kita agar tidak duduk diam dan berharap sahaja?"

"Cikgu, saya bercita-cita untuk ke luar negara."

"Cita-cita itu bermakna apa hasrat hati kita. Dalam konteks kerjaya!"

"Kerjaya? Bolehkah saya bekerja di luar negara?"

"Sebagai apa? Doktor, Lawyer.."

"Hanya kerjaya itu sahajakah yang boleh membawa kita ke luar negara?"

Saya dapat membayangkan bagaimana bosannya melayani pertanyaan demi pertanyaan murid yang tidak mahu mengerti sehinggalah apa yang dimaksudkan oleh cikgu termasuk di hati. Namun, saya melihat sifat kesabaran seorang guru. Melayani kerenah pelajar buntu tanpa merasa jemu.


"Tidak juga..Kalau awak ingin ke luar negeri, awak mestilah bercita-cita untuk belajar tinggi-tinggi."

Melihat kekurangan diri, di dalam hati mulai mengalah. Bagaimana mungkin saya akan ke luar negeri jika masih terperesok di kampong ini. Menjalani kehidupan seharian yang mendatar dan perlahan. Saban hari bagai kan tiada hujungnya. Hari-hari yang di lalui seolah-olah seperti sama.


Namun, jauh di sudut hati ..


"Ya Allah! Berikanlah saya kemungkinan itu. Tunaikan lah hasrat hati. Atau, temukanlah jodoh yang boleh membawa saya ke luar negeri. Jika ke luar negeri itu adalah kerana tuntutan haji, jemputlah saya menjadi tetamu-Mu. Wahai tuhan, seandainya boleh saya membuat pilihan.. Jemputlah saya ketika usia sebelum mencecah angka 40 an."


Entah apa yang melanda. Bergelodak sedemikian rupa, bermain-main di benak fikiran. Namun, itulah apa yang ada di sudut hati, di dalam perasaan yang tersimpan. Ia wujud sejak sekian lama.

Bertahun-tahun di situ. Tidak pernah luntur, ia tidak pernah padam.

Hati tersentuh di Mudzalifah, tersedu di Mina. Berserah dan bertawakal di Jamratul Aqobah. Sayu pilu apabila bisikan doa semalam dimakbulkan tuhan. Pada detik usia yang penuh bererti [menyambut usia 40 ] Al-Quraan terhenti pada surah ini..


“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan.

Setelah dia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah dia dengan berkata: Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu). / (15) Surah Al-Ahkaaf


Begitulah kebesaran Allah, apabila tertunainya hasrat hati di Makkahtul Mukarramah. Apakah saya masih menafikan bahawa Allah menunaikan segala permintaan?

Wednesday, May 13, 2009

Bingkisan kasih

Selain Mak dan Mak Wa (nenek), Wan juga merupakan ibu kepada saya. Umpama ibu kandung. Betapa tidak, dengan restunya saya diijabkabulkan bersama anak lelaki pertama kesayangannya.

Perkahwinan di usia remaja.


Wanlah yang menunjuk ajar saya masakan kegemaran anak lelakinya itu. Namun, bagaimana mungkin saya dapat menyamai air tangan ibu yang murni? Tangan yang telah menyuapi sejak dari bayi.

Bagaimana mungkin masakan yang terjelma hasil dari kasih ibu dapat di tandingi. Alangkah jauhnya perbezaan jika masakan isteri hendak dibandingkan.

Kelazatannya abadi. Rasanya tidak terperi.
Nikmatnya menusuk hati.

Saya akui.. saya di panah kerinduan terhadap Wan ketika ini. Rindu dendam yang amat mendalam. Rindu yang menghiris perasaan. Rindu kasih sayangnya. Teramat sukar digambarkan.

Dua belas orang anak telah dikandungnya. Berkahwin ketika usia teramat muda. Seumur hidupnya hanyalah untuk mereka. Wan insan istimewa. Ketabahannya luar biasa. Lalu, di hari persandingan kami, beliau mengungkap pesanan :

"Tidak mengapa berkahwin muda kerana Wan pun begitu juga. Cuma Wan hendak berpesan agar Roza kena banyak bersabar. Menjadi seorang isteri dan ibu muda bukannya mudah seperti yang disangka."
Saya benar-benar mendengar.


"Hidup berumahtangga tidak seperti sewaktu zaman bercinta. Ia penuh dengan pancaroba. Ada suka, ada duka. Hadapilah bersama. Cinta yang abadi hanyalah cinta kepada-Nya. Mohonlah daripada-Nya agar sentiasa mencintai dia.. Jangan jemu mencintai dia. Jangan berputus asa. Wan memohon agar Roza banyak-banyak mendoakan dia sebagaimana Wan juga berdoa untuknya."

Terus mendengar.

"Walaupun dia telah berumahtangga, dia masih lagi anak Wan. Seperti baru semalam, Wan merasakan dia masih merengek meminta dimanjakan. Daripada dua belas anak-anak Wan semua, dia ternyata berbeza. Bantulah dia."

Saya diam tidak terkata. Suara tersekat. Tersumbat di dada. Tersimpul mati di dalam hati. Hanya Allah yang mengerti.

Kalau boleh saya luahkan..

"Wan, apakah yang boleh saya bantu dirinya? Apalah yang saya ada? Saya tidak memiliki apa-apa. Jika kecantikan yang dia lihat, sebenarnya saya ini banyak yang cacat. Jawatan tinggi, kepintaran malah harta benda jauh sekali. Saya hanya ingin melihat dia berjaya. Saya hanya ingin hidup bahagia disampingnya. "

"Wahai Tuhan. Mohon agar dia memandang saya. Dengan pandangan yang murni, setulus hati.

Saya akan katakan lagi.


"Biarlah dia berlari, biar dia terbang tinggi. Saya relakan. Saya pasti akan mencari jejaknya dari belakang. Walau terpaksa berhinsut, berpapah mencari arah.. meraba-raba mencarinya."

"Perbezaan kami.. Bagaikan langit dengan bumi. Itu saya tahu, itu juga saya sedari. Namun, Allah yang telah menemukan. Allah yang telah menjodohkan kami."

"Dialah pilihan dari tangisan Istiharah. Pasrah. Ternyata pilihan bukan kerana naluri tetapi menurut mata hati. Lalu, mengapa saya harus menyangkal kerana Dia yang Maha Mengetahui segalanya. Apa yang ada di langit, yang ada di bumi dan di antara keduanya."

Saya hampir menyesal kerana tidak berpeluang meluahkan perasaan kepada Wan. Hidup saya di ajar agar mendengar. Ternyata saya amat sayang sekali kepadanya. Bukan sekadar ibu mertua.

Lalu, jika jasad Wan masih ada.. itulah yang ingin saya nyatakan perasaan terhadap anak lelaki kesayangannya.

Namun, biarkan ia begitu. Biarkanlah..

Al-Fatihah untuk ibu mertua saya - Hajah Wan Fatimah.

Monday, May 11, 2009

Tribute untuk Abah




Hari ini adalah hari kelahiran abah.

Terharu malah bersyukur kerana di dalam usia begitu saya masih lagi dapat menatap wajah abah, mencium tangannya dan mendakap dengan pelukan sayang.

Tidak terlintas di hati , bahawa Allah mendengar bisikan hati.

Doa-doa yang pernah dilafazkan ketika hati menahan tangisan berpuluh-puluh tahun yang lampau. Ketika ucapan tidak terluahkan. Ketika diam itu lebih indah.


Hari ini lebih bermakna. Abah di samping saya. Allah makbulkan permohonan untuk berada di sisinya. Ia berlaku di depan mata, saya menyaksikan abah semakin meniti usia tuanya.

Dahulu, penuh giginya. Kini, ia jatuh satu persatu. Dahulu, kuat tenaganya. Kini, segalanya tidak lagi sama. Amat jauh berbeza. Setiap hari selepas solat subuh, tubuh lelaki itu terdampar layu dan lesu .. Dulu, tidak terbayangkan bahawa di dalam waktu seperti itu ia terbaring sendirian .. Merengkuk, berselubung, bergulung dengan selimut di dalam ruang usang.

Di dalam hidup, terdapat dua orang insan lelaki yang ingin sekali saya menangi hatinya. Ia bukan mainan, malah boleh dikatakan ia suatu perjuangan. Hati dan perasaan.

Abah merupakan salah seorang daripadanya. Bagaimana mungkin saya menolaknya. Beliau yang kelihatan garang namun sebenarnya menyembunyikan kasih sayang sejati di dalam diri. Beliau yang sering menunjukkan ketegasan di dalam membuat keputusan, ternyata ia merupakan permata wasiat bekalan untuk anak-anak simpan di hari muka.


Abah tidak pernah memberikan rasa simpati kepada diri nya sendiri. Beliau sangat kuat bekerja dan terus bekerja sehingga mendapat apa yang di cita. Malah abahlah pencetus semangat sepanjang hayat.

Katanya, cita-cita jangan terhenti. Jika tidak mampu berlari, merangkaklah
hingga membawa mati. Teruskan perjuangan apa yang dicitakan selagi hayat di
kandung badan.

Anak-anak tidak pernah dewasa pada pandangan matanya. Dari saat masih berhingus di muka sehinggalah telah berumah tangga, Abah sentiasa menganggap saya masih seperti anak kecil nya. Anak yang sering menyatakan "Abah tidak sayangkan saya.."

Masih terbayang di depan mata, bagaimana abah melambaikan tangan dan melihat saya pergi bagaikan dia tidak akan melihat saya lagi. Bumi Scotland dan Wales,UK bagaikan titik pemisah di antara kami..

Walhal, apabila berkata bahwa saya merindui suaranya, abah sanggup terbang mencari anaknya yang satu ini dari kampus ITM Dungun sehingga lah ke luar negeri.

Biar dekat mahupun jauh, kata nasihatnya tidak pernah putus. Pernah di dalam suatu kejadian, apabila perkataan tidak terlahirkan..surat menjadi penyambung untuk berhubung. Seluruh tubuh, longlai dan lemah, apabila abah menulisnya dengan begitu berhemah.


Apa lagi yang harus saya kata..apabila terbukti di depan mata, kasih sayang dan kerinduan abah kepada anak-anaknya. Tidak terjangkau dek fikiran, tidak terbayang dengan pandangan mata. Anak-anak yang dahulunya tersangat nakal tetapi abah memukul dengan cekal. Ternyata pukulan dan sebatan semalam memberi pesanan mendalam agar anak menjadi seorang insan yang berperasaan.


Abah Oh Abah.

Saya masih di sini. Menanti.
Merindui sebatan semalam yang amat mengesankan. .


Friday, May 8, 2009

Puteri Mandi

Bulan-bulan yang bahagia.

Terdapat pelbagai perubahan di dalam rumah yang ketara. Pada pandangan kami abah telah semakin kaya. Hari demi hari semakin bertambah rezeki.

Dahulu, jika tetamu datang bertandang hamparan tikar mengkuang kami bentangkan. Bila malam tiba, tilam kekabu bersama kelambu di pasang bagi menghilangkan keletihan. Kami tidak sesekali merasa sebarang kekurangan, walaupun sepupu -sepupu sering bertanya kenapa rumah kami kelihatan kosong sahaja.

"Kak Ngah, Abah kita beli kerusi set."

"Ada lagi?"

"Ada. Katil dua tingkat!"
Kami hampir pengsan kerana tidak percaya apa yang berlaku di depan mata. Kepada kawan-kawan di sekolah, saya rasa bagaikan nak pecah dada disebabkan perasaan membuak-buak ingin memberitahu mereka. Mahu rasanya saya membuat pengumuman,
sebagaimana kebanyakan rakan sekelas mengumumkan.

Kadang-kadang rasa cuak pun ada kerana perkara remeh temeh pun mereka hendak kongsikan bersama. [ TV, dapur gas, langsir, alas meja malah cermin mata. Haah..Cermin mata?]

Hati kuat menyuruh menahan agar berita sebegitu tidak perlulah disebarkan. Cukup! Pendamkan perasaan. Nikmatilah perasaan gembira. Biarkan ia bergelodak di dalam dada. Namun, sayangnya..perasaan begitu selalunya ia tidak kekal lama. Suatu hari, terpecah juga ceritanya.
"Haa..kita ada kerusi set dan katil macam tu dah lama.."
Menyesal kerana memberitahu mereka.

Lalu, saya sampaikan pula kepada Mak Wa. Sebagai balasan, Mak Wa ajarkan sejenis kuih kegemaran anak lelakinya.
"Abah awak suka kuih ini. Namanya kuih "Puteri Mandi." Nah, berikan kepadanya."

"Awak tahu kan, kadang-kadang perasaan serta rasa terima kasih tidak dapat diucapkan dengan kata-kata."

"Ada caranya. Lihatlah bagaimana abah awak tunjukkan tanda kasih kepada anak dan isterinya.."

Wednesday, May 6, 2009

Buku Cerita

Minggu itu Persatuan Belia Daerah Segamat mengadakan hari terbuka di Sekolah Kebangsaan Paya Jakas. Sekolah itu digunakan sepenuhnya sempena cuti sekolah.

Berbagai aktiviti berfaedah diadakan sepanjang minggu. Ada seminar, sukaneka, pameran buku, gerai jualan dan Wayang Pacak di padang sekolah pada malam harinya. Seluruh kampung terlibat sama. Malah setiap rumah diagih-agihkan beberapa orang anak angkat kepada keluarga yang berlayakan.

Sepanjang minggu itu, abah dan mak terlibat sama. Berseminar bersama dengan anak-anak angkat mereka. Lalu, kami mengambil kesempatan pergi ke gerai pameran. Kami terpaku di gerai pameran buku.

Saya dan Tuti mengheret adik-adik agar duduk di suatu sudut terbuka untuk membaca buku cerita. Kami belek helaian demi helaian. Membaca petikan dari sebuah ke sebuah buku yang dipamerkan. Ada kalanya buku di belek agak lama, kerana kami membaca isi kandungannya.

Kakak dan abang yang menjaga tidak langsung menghalang, malahan memberikan kami galakan.
"Duduk adik kalau hendak membaca. Di sudut sana ada kami menyediakan kerusi dan meja. Memang itu sudut bacaan. Silakan.."

Lalu, saya dan Tuti membaca seberapa banyak buku cerita yang ada sehingga kami tidak perasan bahawa perlakuan kami telah diperhatikan.
"Itu anak -anak cikgu ke?"

"Ya, mereka itu anak-anak saya."

"Nampak mereka amat suka membaca."

"Ya..terutama anak saya yang nombor tiga.. (Tuti).
Saya melihat abah kelihatan gembira mendengar ucpaan daripada mereka. Memang abah sentiasa memberi peringatan bahawa "Membaca Kunci Pengetahuan." Tetapi apa yang paling tidak kami menyangka...
"Awak semua hendak membeli buku apa? Cepat, pilihlah mana-mana buku yang awak suka.."

"Abah, bawa duit ke?"
Tidak dapat kami bayangkan betapa gembirannya perasaan apabila judul buku berikut berada di dalam genggaman. Bukan satu, bukan dua..

Tiung Bertuah, Ranjau Sepanjang Jalan, Lima Sekawan, Pak Hitam, Antologi cerpen Fatimah Busu, Rumah di tepi sawah dan Bumi Bertuah.

Di dalam diam kami menilai hati seorang abah. Parut kudis yang bernanah kembali bertaup. Hati yang terguris kembali pulih. Jauh di sudut hati sebenarnya kami amat menyayangi lelaki separuh umur ini.

"Ya Allah! Izinkan saya memenangi hatinya..sentiasa."


Tuesday, May 5, 2009

Anekdot

Saya pernah di tanya,"Puan, apakah aktiviti puan pada hari ini?"

Jawapannya.

"Saya tidak pasti. Malah untuk jangkamasa sejam daripada sekarang pun saya tidak tahu apakah yang bakal berlaku.

Apatah lagi esok hari. Apakah masih ada kesempatan untuk saya mengucapkan ucapan sayang dan berlari pulang ke pangkuan mereka apabila ditakdirkan Allah untuk mengambil nyawa.

Mungkin sebentar lagi adalah saat terakhir saya menghela nafas,menghirup udara dan melihat semua yang saya sayangi tersenyum tertawa.

Lalu, bisikan hati lebih kuat malah lebih baik andai diceritakan apa yang saya miliki pada hari semalam. Yang pasti telah berlaku.

Yang terindah.

Agar saya dapat merakamkannya. Agar mereka mengetahuinya bahawa di dalam kejadian itulah mereka merupakan sebahagian daripada warna-warni kehidupan saya.

Itulah aturan Allah yang telah tetapkan. Keizinan ilham yang di minta dari-Nya, agar saya jangan hanya melihat sesuatu kejadian dengan mata.

Lihatlah dengan hati. Lihatlah dengan perasaan. Lontarkan sesuatu cerita mengikut katahati agar ada yang tersentuh lantas tertusuk di hati sanubari..

Kenangan cerita diri.. Ia benar-benar telah termaklub di dalam buku setiap insan, tertulis sejak azali.

Perasaan yang terbuku ketika itu adalah perasaan semasa kejadian. Ia pasti berubah kerana masa berubah.

Blog ini meminta saya menoleh ke belakang, mensyukuri dan menikmati hari ini sambil meniti hari esok..

Saturday, May 2, 2009

Morris Marina


Abah kelihatan berubah.

Beliau semakin kerap berada di rumah terutamanaya pada hujung-hujung minggu. Namun, seperti biasa dia akan pergi juga ke kebunnya.

Tetapi, pasti dia akan pulang untuk bersama-sama kami sewaktu makan tengahari. Abah mulai banyak memperuntukkan masanya yang terluang untuk berada di rumah terutamanya di sebelah petang.

Selepas zohor abah akan berbaring sebentar. Tuti dan Ratna di minta memijak betis hingga ke peha, sementara saya di suruh memicit jerawat di sekitar hidungnya. Kami cepat-cepat akan beredar apabila mulai mendengar abah berdengkur. Tetapi kembali menjalankan tugasan semula dengan hampa apabila tiba-tiba abah bersuara,
"Haa..hendak pergi ke mana?
Kami tertanya-tanya sesama sendiri, apa sudah terjadi?

Kata mak, kebun koko telah mulai mengeluarkan hasilnya. Jadi, rezeki yang lebih dikongsikan bersama dengan jiran tetangga. Abah memberikan upah kepada mereka. Mereka memetik buah di sebelah pagi dan menjemurnya di sebelah tengahari. Sementara abah memantau kerja-kerja mereka.
"Oooo..begitu rupanya."
Pada suatu hari, setelah selesai makan tengahari abah memberitahu kami.
"Pak Utih Majid hendak menjual kereta. Apa kata kita beli kereta dia..setuju tak?"

"Setujuuuuu....!" Kami adik-beradik menjawab hampir serentak.

"Esok abah bawa katalog cat untuk menukar warna kereta. Kita pilih sama-sama."

Kami adik-beradik tersenyum-senyum sambil memandang sesama sendiri. Saya dan Tuti saling mengerti serta dapat membaca perasaan hati. Teruja. Melonjak-lonjak riang sekali!
"Abah kita dah jadi kaya. Yeeeeay..abah dah kaya!"
Apapun di dalam diam kami merasa sangat bersyukur. Merenung diri dan bertafakur.

Subhanallah!

Apakah abah telah menerima nasihat daripada Mak Wa atau bisikan hati kecil serta doa di dalam tangisan kami kah yang telah Allah terima?

Bisikkanlah..bisikkan lagi. Teruskan. Jangan berhenti.

Friday, May 1, 2009

Titisan Air


Suatu petang, apabila ada kesempatan saya pernah bertanya kepada Mak Wa,
" Kenapa abah suka memukul saya?"

"Itu tanda abah sayang kepada awak."

"Kenapa abah mesti memukul?"

"Pernah dengar peribahasa - Sayangkan isteri tinggal-tinggalkan, sayangkan anak pukul-pukulkan."

"Tetapi saya dah besar sekarang. Bolehkah Mak Wa beritau abah supaya jangan pukul saya lagi? Saya malu dengan kawan-kawan. Beritahu dia, janganlah marah-marah saya di depan orang."

Diam.
"Kenapa tidak awak sendiri yang memberitahu?"

"Saya takut...Saya tidak tahu bagaimana lagi hendak membuatkan abah suka kepada saya. Mesti dia tidak sayangkan saya."

"Jangan takut. Abah awak sebenarnya berhati lembut. Dia bersikap garang supaya anak-anak membesar nanti menjadi "orang."

"Saya bimbang akan menjadi seorang pendendam."

"Jangan begitu. Batu yang keras pun lama-kelamaan pasti akan lekuk apabila di titis air yang menitis. Titisan tanpa jemu. Berterusan."

"Tapi hati abah lebih keras daripada batu.."

"Allah ada membantu.. Bisikkan dan mohon Allah lembutkan hatinya."
Sambil melihat parut di betis, air mata menitis.
" Ya Allah. Lembutkan hati abah. Lembutkan lah.. Jika dia berada di dalam keadaan susah, permudahkanlah. Janganlah sampai saya jadi pendendam. Bukakanlah hatinya..sayangilah saya."