Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Wednesday, March 31, 2010

Rindu

Di dalam diam saya merindui gumpalan awan di puncak gunung Ledang. Sayup-sayup dan berbalam-balam melitupi banjaran nya yang panjang. Rindukan pemandangan indah ketika berbaring di atas dangau di tengah sawah. Kehijauan sawahnya memukau.

Ia bagaikan cinta pandangan pertama. Meragut hati dan perasaan. Kenangan cinta itu abadi dalam fikiran. Lansung tidak dapat dilupakan.

Patutlah beberapa tahun yang silam, sekeping poskad dari luar negara menyatakan kerinduannya yang sama. Ya, cantik sekali negara orang tetapi manakan sama kampung sendiri.

Dalam diam, saya teringatkan abah yang pernah meminta saya mendeklimasikan sebuah sajak pada “Hari Guru “ di sekolah. Ketika itu saya tidak langsung mengambilkira siapakah penulis sajaknya. Namun, bait-bait perkataannya amat saya faham. Walau masih kecil, ketika itu saya mampu melafazkannya sepenuh hati. Saya luahkan sepenuh perasaan.

Alangkah indah kampung halaman,
Tanah tempat tumpahnya darahku,
Masih jelas terbayang aman,
Teratak buruk tempat tinggalku.

Masih jelas di depan mata,

Walau jauh telah tiada
Ramah mesra teman sebaya
Menghibur hati dalam derita

Walau kampungku yang semak sunyi
Pohon kelapa tegak merindang
Hanya yang ada murai menyayi
Namun hatiku terpaut sayang

Nukilan : Usman Awang

Tiba-tiba saya merindui bayangan kasih Mak Wa.

Kali terakhir saya melihatnya, Mak Wa kelihatan layu dan lesu. Beliau berubah menjadi gersang serta kering kontang sebagaimana sawah bendang yang pernah diusahakannya. Mak Wa yang ketika zaman kecil saya, kata-katanya kaya dengan kiasan dan falsafah. Mak Wa yang apabila melafazkan perkataan, penuh hikmah.

Zaman dan musim telah jauh berubah. Pasti ia tidak akan kembali. Namun kenangan itu abadi.

Tuesday, March 30, 2010

Prakata : Apa kata Nisah Haron?


Nota : Judul asal adalah Travelog Cinta Abadi : Masa yang berlalu.


PRAKATA

Mari kita tanam halia,
Ambil sedikit buat juadah;
Usia muda jangan disia,
Nanti tua sesal tak sudah.

MERAKAM pemikiran dan perasaan ialah kerja yang memerlukan ketabahan serta kesungguhan. Puan Raudzah Roslan yang pertama kali saya temui di Muar sewaktu Bengkel Penulis Muda Johor kerana menemani puterinya yang mengambil bahagian dan juga untuk berada sebagai penyokong suaminya, Profesor Muhd Kamil, pengarang terkenal buku Travelog Haji, tidak pernah menunjukkan kepada saya hasil tulisan beliau. Lantas membaca Travelog Cinta Abadi : Masa Yang Berlalu ini membuat saya kagum dengan bakat kepengarangannya – lalu menguatkan andaian saya bahawa semua orang boleh menulis, asalkan kesungguhan dan minat disatukan.

Cara penulisan buku ini mengingatkan saya tentang entri-entri di dalam sebuah blog – pendek dan padat. Apatah lagi, setiap bab mempunyai tema khusus dan diberikan judul yang memancing. Tidak sukar menghabiskan buku ini yang boleh dianggap sebuah autobiografi tentang kisah-kisah terpilih di dalam kehidupan seorang gadis biasa yang mempunyai cita-cita luar biasa!

Keistimewaan Travelog Cinta Abadi : Masa Yang Berlalu ini terletak pada cara setiap kisah digarap sehingga menimbulkan tanda tanya yang mengujakan. Pembaca akan jadi setia mengikuti perjalanan kisah pengarang dan juga beberapa insan tersayang di sisinya.

Tidak kurang menarik, pengarang merakamkan pengalaman sewaktu usia remaja sebagai satu bentuk dokumentasi yang barangkali tidakakan ada lagi pada zaman ini. Generasi muda hari ini dapat membaca tentang bagaimana orang dulu-dulu membuat bantal kekabu, kulit buah rambai yang dijadikan gulai, bisnes ‘ais krim Malaysia’, nikmat sebuah epal hijau, pertama kali menonton televisyen, konflik persahabatan dan banyak lagi.


Setiap satu daripada 93 bab buku ini merupakan refleksi pengarang terhadap peristiwa yang berlaku kepada diri dan juga insan-insan di sisinya. Banyak iktibar yang dapat dikutip maknanya untuk dijadikan panduan kepada sesiapa sahaja yang membaca.


Saya amat mengesyorkan agar buku ini dijadikan bacaan kepada remaja supaya mereka dapat membandingkan betapa bertuahnya kehidupan remaja pada hari ini berbanding sukar-getir kehidupan yang digambarkan oleh pengarang. Namun, perhatikan juga betapa pengarang tidak mengeluh malah amat mensyukuri segala-galanya dan berbahagia hidup di dalam kesederhanaan itu. Sentiasa ada hikmah di sebalik bencana.

Ada banyak doa yang terkandung di dalam buku Travelog Cinta Abadi : Masa Yang Berlalu ini. Doa-doa itu boleh digunakan oleh sesiapa sahaja yang membacanya. Berdoa bukan semestinya di dalam bahasa Arab, malah bukankah doa itu menjadi lebih bermakna apabila kita berdoa di dalam bahasa yang kita fahami.

Akhir sekali, apalah ertinya dunia remaja tanpa persahabatan. Memilih sahabat boleh mengubah diri seseorang. Kata hukamak, bersahabat dengan penjual minyak wangi, kita juga dapat menumpang wanginya; bersahabat dengan si pembawa api, walau tidak terbakar, tubuh kita turut berbau asap. Di dalam buku ini, digambarkan tentang persahabatan, kesetiaan, pengkhianatan dan kesedaran bahawa kawan ketawa mudah dicari, sahabat setia yang menangis sukar sekali!

Seperti kata Khalil Gibran di dalam puisinya tentang persahabatan:

Dan persembahkanlah yang terindah bagi sahabatmu
jika dia harus tahu musim surutmu,
biarlah dia mengenali pula musim pasangmu.
Gerangan apa sahabat itu jika kau sentiasa mencarinya,
untuk sekadar bersama dalam membunuh waktu?
carilah ia untuk bersama menghidupkan sang waktu!
Kerana dialah yang bisa mengisi kekuranganmu,
bukan mengisi kekosonganmu.
Dan dalam manisnya persahabatan,
biarkanlah ada tawa ria dan berkongsi kegembiraan.
Kerana dalam titisan kecil embun pagi,
hati manusia menemui fajar dan ghairah segar kehidupan.

Bacalah dengan hati yang terbuka. Bacalah dengan akal yang berfikir. Selamat menikmati Travelog Cinta Abadi : Masa Yang Berlalu!

Click sini : Nisah Haji Haron
Ampangan, Seremban
14 Februari 2010


Monday, March 29, 2010

Travelog Cinta Abadi: Hari yang berlalu

Malu untuk menyatakan bahawa penulisan saya telah dibukukan. Ia cerita lama yang terbuku dalam dada, namun, perasaan kecil dan kerdil sentiasa menguasai serta menyelubungi diri.

"Tiada pangkat, tiada darjat, berilmu cetek, amalan yang kurang..inikah dia orangnya yang mahu memaparkan kisah kehidupan kepada orang ramai diluar sana?"
Namun, saya percaya..ramai lagi rakan-rakan yang seangkatan dengan saya. Orang biasa-biasa. Yang setiap hari berusaha untuk mengubah kehidupan kepada yang lebih baik, meningkatkan prestasi diri, bermaruah dan bercita-cita.

Mahukan hari ini lebih baik dari semalam. Menjadikan semalam sebagai ilmu pelajaran atas didikan kasih sayang Allah.

Keadaan lampau telah banyak mengajar, membentuk diri agar menjadi apa yang kita miliki pada hari ini. Jika dahulu kita tidak memulakan setapak langkah, lalu, kita tidak akan ke mana-mana.

Jika dahulu kita selesa dengan keadaan kita ketika itu, kini, barangkali kita masih ditakuk lama. Bangkitlah kawan-kawan! Orang lain telah lama berlari. Mari kita bangun dan belajar berdiri!

Saya mengambil masa yang agak lama untuk mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang memberikan semangat untuk saya terus menulis. Terima kasih yang tidak terhingga kepada Nisah Haron, Ain Maisara, Zaid Akhtar serta rakan bloger yang telah membaca manuskrip TCA: HYB

Ulasan mereka ada tercatat dibuku.

Cover muka hadapan : Travelog Cinta Abadi-Hari yang berlalu

Saturday, March 27, 2010

Loch Ness


Musim panas.


Waktu siang yang panjang dalam bulan Julai yang indah permai. Tidak pernah saya bersyukur sebegitu rupa kepada Allah taala apabila memberikan haba panas di musim ini.


Di sana-sini kelihatan anak muda berbaring atas padang dan angkatan generasi lama berehat-rehat bersama teman serta pasangan ditaman-taman.


Di tanah air, cahaya matahari seakan sesuatu yang mencabar kesabaran dan keimanan sesaorang. Apatahlagi jika ianya terpaksa diharungi ketika berpuasa dibulan Ramadhan.


Rata-rata kaum wanita menyidai pakaian diruang hijau belakang rumah. Kain-baju kelihatan cantik mengering dalam barisan ampai ditiup angin. Pemandangan yang tidak asing dirumah emak sewaktu dikampung halaman.


Waktu sembahyang Subuh masuk seawal pukul 3 pagi dan waktu sembahyang maghrib hampir pukul 11.30 malam tetapi masih lagi terang benderang. Kami tidur hanya beberapa jam sahaja.


Sepanjang musim panas saya mengantikan tempat rakan-rakan yang bercuti panjang. Saya bekerja dari pukul 8.00 pagi hingga 12 tengahari dan tambahan masa 2 jam lagi untuk mengantikan rakan. Pukul rata saya bekerja selama 6 jam sehari. Sebanyak 30 jam seminggu.


Pihak pengurusan benar-benar mengambil berat masa staf yang bekerja. Berkali-kali bertanyakan samada tempoh jam seperti itu memberatkan saya. Beliau bimbang tentang penjagaan anak-anak saya di rumah.

“Ya Allah, puan. Di Malaysia, kami biasa bekerja dari pukul 8.00 pagi hingga ke pukul 5.00 petang setiap hari. Jangan bimbang. Di sini saya cuma bekerja dari pukul 8 pagi hingga pukul 2 petang sahaja”

Saya menyakinkan pengurus sambil ketawa. Mereka barangkali takut sekali kehilangan pekerja jika di paksa bekerja lebih masa.


Sebagai bonus, pengurus membenarkan saya agar tidak perlu bekerja pada hujung minggu. Hanya masa-masa yang tertentu beliau akan memanggil saya jika diperlukan sahaja. Saya menerima dengan hati yang terbuka dan gembira.


Oleh itu, di hujung minggu kami sekeluarga mengambil kesempatan melawat setiap ceruk pelusuk di bumi Scotland. Musim panas yang panjang membolehkan kami berjalan hingga ke pukul 12 tengah malam dengan cahaya masih lagi terang benderang!


Kami menjelajah hingga ke Loch Ness. Mengelilingi tasik yang dikatakan mempunyai sejenis raksasa yang tersembunyi jauh di lubuknya. Mitosnya seakan lagenda tasik Cini. Ada masa terluang kami menuju hingga ke PeterHead di utara Aberdeen. Kami juga mengelilingi bukit yang memukau di sekitar Highlander – Inverness, Fort William, Ben Navis dan Oban.


Subhanallah! Kami melihat kebesaran dan mengkagumi kehebatan ciptaan Allah.



Dan Ia mengadakan di bumi gunung-ganang yang menetapnya supaya ia tidak menghayun-hayunkan kamu dan Ia menjadikan sungai-sungai serta jalan-jalan lalu lalang supaya kamu dapat sampai ke matlamat yang kamu tuju. Dan Ia mengadakan
tanda-tanda panduan jalan dan dengan bintang-bintang (pada waktu malam) mereka
dapat mengetahui arah yang hendak di tuju. kalau sudah demikian, adakah Allah yang menciptakan semuanya itu sama seperti makhluk-makhluk yang tidak mencipta sesuatu? Maka patutkah kamu lalai sehingga kamu tidak mahu beringat
serta memikirkannya?


[Surah Al-Nahl : Ayat 16 - 18]


Wednesday, March 24, 2010

Tersedu di London

Sepanjang percutian, saya terkedu. Mulut terus membisu. Namun, jauh disudut hati saya berbisik:
"Ya Allah. Tuhan yang maha berkuasa, yang memberikan ilham kepada manusia untuk membina bangunan yang indah tersergam.


"Wahai tuhan, yang menjadikan fikiran dan tamadun manusia itu berbeza antara satu benua dengan satu benua. Sesungguhnya daku bersyukur kepada-Mu kerana meminjamkan waktu pada ku pada hari ini untuk daku berada di sini."

Sedangkan lebah diberikan ilham oleh Allah, inikan pula manusia yang dikurniakan akal fikiran.
"Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: "Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia.

Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu". (Dengan itu akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir. [Surah Al-Nahl: ayat 68-69]
Kami asyik menyaksikan askar di raja Istana Buckingham yang bertopi tinggi menutup mata, jinak-jinak merpati yang mengerumuni dataran Trafalgar Squre, Westminster Abbey dan beberapa tempat menarik yang lain.

Kami menaiki bas persiaran. Bas merah dua tingkat. Di sana sini pondok-pondok telefon berwarna merah amat memikat. Ia bagaikan gambar yang pernah dilihat di dalam poskad.

Sampai di Tower of London [castle yang agak besar] mata saya terpaku melihat jambatan gantung yang mashyur tersergam indah di sisi. Saya fikir ia adalah London Bridge sehinggalah pemandu pelancung menyatakan bahawa jambatan itu dinamakan Tower Bridge.

Tiba-tiba, saya mengimbau kenangan beberapa tahun yang lampau. Teringat kepada sekeping poskad yang di kirim oleh sesaorang yang tertulis di atasnya ,”Greetings From London”.

"Ya Allah! Subhanallah..sampai juga daku ke sini dengan izin-Mu"
Poskad yang sekian lama disimpan dalam diari. Poskad yang mendekatkan diri kepada illahi. Ajaibnya, ia berjaya membuatkan saya percaya Allah mendengar bisikan hati. Kuasanya membuatkan saya kuat berdoa dalam hati supaya suatu hari nanti Allah mengizinkan saya pergi.

Suatu ketika dahulu, poskad itu telah membuatkan saya memasang angan-angan. Memohon kepada Allah supaya suatu hari nanti dapat melihat sendiri semua tempat yang ada dalam poskad itu. Menjejakkan kaki, menghirup udara dan menyentuh bangunan yang ada didalamnya. Jika tidak dengan kudrat sendiri, saya meminta-minta agar dapat pergi bersama suami.

Tanpa disedari air mata mengalir perlahan mengenangkan kuasa tuhan yang menentukan segalanya. Tidak pernah sedikitpun terfikir bahawa detik hati budak perempuan kampung yang pernah suatu masa dahulu mengkagumi jambatan itu hanya melalui kiriman sekeping poskad. Akhirnya Allah mengizinkannya untuk menjejakkan kaki ke situ!

Mahasuci Allah yang mendengar isi hati.

Monday, March 22, 2010

Musim bunga

Musim berganti, tiba-tiba suasana bertukar ceria. Burung-burung berkicau-kicauan. Pokok-pokok mulai mengeluarkan pucuk-pucuk muda. Tumbuhan bunga bebawang tiba-tiba muncul di mana-mana. Cantik menawan. Musim bunga menjelma!

Pada masa yang dijanjikan, kami sekeluarga bercuti ke bandar metropolitan London dengan menaiki keretapi. Dari Dundee ke London kami terpaksa menukar keretapi di Crew, England. Kemudian meneruskan lagi perjalanan. Untuk memudahkan urusan turun naik keretapi, kami suami isteri masing-masing membawa beg sandang.

Subhanallah! Sepanjang perjalanan saya memuji-muji melihat kecantikan hamparan bumi ciptaan Allah SWT. Ladang-ladang menghijau dipagari batu-batu teguh berdiri diselang-seli dengan pokok-pokok besar sebagai pembahagi sempadan. Kambing biri-biri dari kejauhan kelihatan seperti ketulan putih diatas padang yang luas saujana mata memandang. Ada longgokan rumput-rumput yang digulung cantik terkumpul ditengah.



Little House on the Prierie…” Saya berbisik dalam hati.


Rata-rata setiap ladang dipenuhi dengan tumbuhan yang sedang cantik berbunga. Pokok-pokok Cherry Blossom berwarna merah samar kemerahan sedang cantik berkembang. Dari jauh ia seperti kehilangan daunnya sama sekali. Sesekala kelopaknya berterbangan apabila di tiup angin sepoi bahasa.

Rumah Cottage peladang di pinggir sempadan kelihatan teguh berdiri, berasap di cemni dan dikelilingi oleh pohon bunga-bungaan yang sedang berkembang - Defoddil, Levernda, Blue Bells, Azalea dan pelbagai bungaan tempatan. Di pagar batu pohon ivy segar menghijau dan dinding serta bumbung rumah mereka dilingkari oleh pepohon bunga ros yang memikat hati.

Mahasuci Allah! Hijaunya padang di negara orang.

Perjalanan ke London mengambil masa hampir satu hari. Kami terus mencari rumah tumpangan Bed and Breakfast [B&B] dikaunter perlancungan terminal stesyen keretapi. B&B kami letaknya berhampiran sekali dengan Hyde Park. Dari Hyde Park kami melintasi Kensington Gardens untuk melihat Royal Albert Hall yang terkenal.

"Arwah Sudirman Hj Arshad pernah menyanyi disini.."

Setiap malam kami merancang destinasi perjalanan kami untuk keesokan paginya. Dengan peta kota London yang besar, kami bentangkan di atas katil, lalu kami catatkan laluan. Ada masa kami menaiki laluan metro di bawah tanah, ada masanya kami menaiki bas dan ada masanya kami berjalan kaki.

Kami sengaja singgah di Knightbridge dengan berpakaian sut yang kemas untuk melawat ke gedung membeli belah mewah di Harrods. Untuk memasuki gedung itu terdapat etika pakaian yang ditentukan oleh pihak pengurusan. Mana-mana pakaian yang tidak memenuhi kriteria tidak akan dibenarkan memasukinya.

Dengan sut itu kami pergi ke tempat pameran wax yang terkenal di Madame Tussaud’s. Patong-patong orang kenamaan dipamerkan seolah-olah begitu hidup di pandang mata. Namun, pernahkan ada manusia yang berjaya menghidupkannya?

Teringat terjemahan surah Al-Kahfi, bagaimana Allah memberikan peringatan kepada manusia dengan cara menidurkan beberapa pemuda yang beriman bersama anjing mereka di dalam gua. Hampir 300 tahun mereka ditidurkan bahkan mereka merasakan seolah-olah baru setengah hari sahaja. Bukankah untuk membangkitkan manusia semula untuk di hisab di padang Mahsyar itu sesuatu yang mudah bagi yang Maha berkuasa?

Sunday, March 21, 2010

Merancang cuti

Cerita Kathy atau nama sebenarnya Katie MacKenzie menyentuh hati saya. Ia mengubah seluruh perspektif saya mengenai kehidupan manusia.

Benar. Perjalanan setiap insan yang diatur oleh Allah, ada iktibar untuk kita fikirkan. Biar siapapun mereka itu - pemimpin besar, artis popular, pensyarah, suri rumah malah si pencuci tandas dan si penyapu jalan.

Itu yang tertulis dalam kitab di Lauh Mahfuz. Yang baik dan buruk itu, ada terselit pengajaran. Sebab itu, Allah meminta kita melihat sesuatu bukan dengan pandangan mata. Lihatlah dengan mata hati.

"Dan di antara kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untuk kamu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir" [Ar-Rum: ayat 17- 26]

Lalu, saya menjadi semakin kasih kepada suami. Menghargai setiap pengorbanan dari titik peluh yang dilakukan.

“Ya Allah, janganlah dihilangkan perasaan kasihku ini. Sesungguhnya daku manusia lemah lagi tidak berdaya, untuk mengasihi suamiku sendiripun daku perlu memohon dari-Mu.”


Namun, jauh disudut hati saya ingin sekali melihat kampung Kathy. Saya yakin dengan kuasa Allah, yang membaca gerak hati manusia walaupun tidak dimohon diatas sajadah, walaupun ketika memohon tidak menadahkan tangan, namun Allah pasti perkenankan. Bilakah masanya? Hanya Allah yang maha mengetahui.

Alhamdulillah! Allah memberikan kami rezeki yang cukup ketika di luar negara. Makanan dan pakaian semuanya memadai dengan keperluan kami. Tempat tinggal kami juga lengkap sempurna malah lebih baik berbanding tempat tinggal kami ketika di awal-awal perkahwinan di Malaysia.

Di sini kami diberikan rezeki dan kesempatan untuk memiliki sejenis kereta jenama idaman – BMW! Kereta itu bukanlah keluaran terbaru tetapi ia amat istemewa buat pertama kali memilikinya. Biarpun ia milik dan duit kiriman abah, namun kami berpeluang untuk menikmatinya sementara di luar negara.

Suatu hari, pengurus meminta semua staf membuat perancangan untuk percutian tahunan. Ia penting untuk memastikan kehadiran serta staf mencukupi setiap masa terutama ketika di musim panas nanti. Musim panas adalah musim di mana hampir keseluruhan staf akan bercuti panjang samada di dalam atau ke luar negara.

Saya tidak mempunyai banyak pilihan kerana suami sedang mengikuti kuliah sehingga akhir musim bunga. Musim panas dikatakan masanya agak panjang. Waktu Subuh pada pukul 3 pagi dan diakhiri oleh waktu Isyak ketika hampir pukul 12 tengahmalam. Banyak masa jika kami ingin berjalan-jalan di sekitar Scotland.

Oleh itu, saya mengambil keputusan untuk bercuti selama seminggu pada hujung musim bunga dan bekerja ketika musim panas. Saya juga bersedia untuk mengantikan beberapa jam masa kerja tambahan setiap hari untuk mengantikan tempat kerja beberapa orang rakan serta memberikan laluan kepada mereka untuk bercuti.

Ya Allah. Bukankah itu dikatakan rezeki dari punca yang tidak di sangka-sangka? Lalu, nikmat Allah yang mana satukah lagi hendak saya dustakan kepada-Nya? Apakah tidak terbuka lagi hati saya untuk sujud syukur kepada yang Maha berkuasa?

Tuesday, March 16, 2010

Kisah pencuci tandas 3



Dengan duit simpanan yang ada, dia berusaha mengebumikan suaminya dengan cara yang cukup daif. Walaubagaimanapun hidup perlu diteruskan. Lantas, anak-anak yang masih kecil dihantar ke rumah ibubapanya yang telah tua. Cerita Kathy lagi;

Apa yang saya ada?

Saya hanya ada tenaga muda untuk bekerja. Kerja apakah yang sesuai untuk perempuan kampung seperti saya? Banyak kilang menolak, hingga saya hampir berputus asa. Alasan mereka, saya tidak berpengalaman. Berminggu-minggu saya mencuba, sehingga wang simpanan yang ada hanya tinggal beberapa pound sterling sahaja.

Saya hilang punca sehingga suatu hari, saya nekad mencari pekerjaan dari pagi hingga ke petang. Kerana kesejukan, saya memanaskan badan serta mencari perlindungan ditepi tandas. Untuk masuk ke dalam tandas itupun saya tidak mampu kerana ia mengenakan sedikit bayaran masuk.

Ketentuan tuhan, tiba-tiba datang seorang pekerja yang kelihatan marah-marah sebaik sahaja keluar dari tandas itu. Puncanya kerana salah seorang pekerja tandas yang masih muda melakukan pekerjaannya sambil lewa. Dengan pantas saya menawarkan diri, lalu diterima serta merta.

Ujian pertama, saya harus membuktikan kemampuan serta ketahanan diri untuk melakukannya. Menghilangkan perasaan malu malah bersyukur serta berbangga dengan pekerjaan itu. Ia penyelamat saya. Cukup untuk membayar bilik sewa, mengirim duit susu buat anak-anak dan ibubapa yang tua di kampung.

Dalam diam, air mata saya mengalir perlahan. Bersyukur serta menghargai jasa baik suami yang telah memberikan saya tempat tinggal yang selesa lagi selamat, pakaian, makanan yang mencukupi serta kasih sayang yang tiada berbelah bahagi. Apa lagi yang saya inginkan lagi?



“Ya Allah, sesungguhnya daku menyerahkan diri kepada-Mu, mendengar perintahMu dan sebaik mungkin meninggalkan larangan-Mu. Jadikanlah hatiku ini ikhlas melakukan permintaan suami sebagaimana yang diperintahkan oleh-Mu.

“Wahai tuhan, sesungguhnya aku diperintahkan oleh-Mu agar menjaga kebajikan, harta benda serta kehormatanku untuk suamiku. Banyak sekali nikmat rezeki yang dibawa oleh suamiku ke rumah ini. Lalu, nikmat mana satukah lagi yang daku hendak dustakan?”

Di akhir cerita, saya bertanyakan tentang anak-anak Kathy yang ditinggalkan bersama ibubapanya. Terdiam. Lama sekali diperlukan bagi Kathy untuk menjawabnya;

“Barangkali mereka tidak tahu bahawa gaji pencuci tandas tua ini yang membiayai pelajaran mereka di universiti. Barangkali marah dan malu mereka sudah reda setelah berkeluarga. Barangkali mereka fikir, mereka tidak mempunyai ibubapa..”

Kathy, mohon maaf, kerana bertanya soalan itu. Sesungguhnya saya tidak tahu ada peristiwa hitam yang disimpan sekian lama. Ada tangisan dalam diam. Ada hati yang terguris, ada luka yang tercalar. Darah dan nanahnya telah hilang, namun lukanya masih bertanda. Parutnya masih jelas. Jelas sekali.

Teruskanlah bekerja selagi terdaya, Kathy. Lupakan mereka.

Ya. Hubungan kita dengan anak-anak tidak mutlak. Suami, ibubapa dan anak-anak pasti akan pergi meninggalkan kita suatu masa nanti. Yang ada hanya Dia, cinta Allah yang hakiki. Cinta abadi.

Monday, March 15, 2010

Kisah pencuci tandas 2


Kehidupan di tanah tinggi mundur, tiada elektrik serta tiada saluran air paip. Tasik itu menjadi sumber air dan tempat penduduk kampung menangkap ikan. Namun, mereka gembira dengan kehidupan yang sederhana. Mereka memelihara kambing biri-biri dicelah gunung, membela ayam dan menanam sayuran untuk keperluan harian. Tiada masalah.

Masalahnya mulai timbul apabila dia bertemu kekasih hati. Lalu, berkahwin dalam usia yang muda. Ketika berusia 13 tahun. Dia mengikut suami berhijrah ditengah kota – Glassgow. Suaminya bekerja sebagai seorang pekerja kilang. Dia mengakui tentang kesukarannya menempuh kehidupan baharu yang jauh berbeza.

Di kota, setiap hari segalanya memerlukan wang.

Tempat tinggal mereka terletak dikawasan kos rendah, namun, masih tinggi bagi mereka yang bergaji rendah. Sewa rumah, alat pemanas, bekalan elektrik dan air menjadi keperluan utama. Mereka hanya mampu menyewa rumah pangsa kecil satu bilik sahaja.

Barulah dia sedar, keseronokan semasa bercinta tidak sama seperti realiti kehidupan sebenarnya. Segalanya berubah setelah berumahtangga. Ia hadir dengan tanggungjawab sebagai suami dan isteri.

Dua tahun bersama sebagai suami isteri, mereka dikurniakan dua orang anak. Suaminya menjadi semakin kuat bekerja. Dia bekerja setiap hari, siang dan malam malahan dihujung minggu. Akhirnya, ketentuan tuhan, suaminya meninggal dunia pada suatu malam di musim sejuk. Meninggal semasa tidur. Dia kaku tidak bernafas. Entah apakah penyakit yang dihidapai oleh suami, Kathy sendiri tidak tahu.

Katanya, suami pergi langsung tidak sempat meninggalkan sebarang pesan. Yang paling dikesali, suaminya tidak pernah mendengar walaupun sepatah ucapan terima kasih darinya. Seringkali, yang keluar hanyalah perasaan tidak puas hati seorang isteri.

Setiap kali suami pulang ke rumah, yang keluar hanyalah leteran serta keluh kesah isteri muda. Marah, kerana suami tidak pernah berusaha untuk meluangkan masa bersama keluarga. Walhal, suami bekerja membanting tulang empat kerat untuk menyara anak dan isterinya.

Dengan duit simpanan yang ada, dia berusaha mengebumikan suaminya dengan cara yang cukup daif. Walau bagaimanapun hidup perlu diteruskan. Lantas, anak-anak yang masih kecil dihantar ke rumah ibubapanya yang telah tua.
"Berkahwin lagi? Oh, tiada siapa yang sudi dengan perempuan pencuci tandas ini.."

Friday, March 12, 2010

Kisah pencuci tandas.

Kathy adalah pencuci rumah di apartment universiti. Setiap hari rabu, dia datang ke kediaman kami mengikut jadual. Tepat jam 8.00 pagi dia sudah berada dimuka pintu.
Tanpa bercakap-cakap, dia memulakan kerjanya. Penuh dedikasi. Dicucinya ruang satu-persatu. Peralatan dan pakaiannya lengkap, menepati ciri-ciri kerjaya sebagai pencuci rumah.

Biasanya, jika saya dikehendaki bekerja pada hujung minggu, saya diberikan cuti pada pertengahan minggu. Saya memilih pada hari rabu.

Kenapa saya memilih pada hari itu? Kerana saya menghormati Kathy. Memandang dan melihat perawakannya, mengingatkan saya kepada mak wa.

Mak wa, cinta hati pertama saya yang kuat bekerja di sawah bendang sewaktu saya kecil. Dia juga membuat bantal dan tilam sendiri untuk anak-cucunya. Pembentung sungai disebelah rumah kami tidak pernah tersumbat serta tersekat dengan timbunan daun-daun kering kerana mak wa rajin membersihkannya.

Anak cucu tidak pernah kelaparan kerana dibawah tudung saji rumahnya pasti ada terhidang makanan. Datanglah walau waktu mana sekalipun, pasti dia akan menyajikan sesuatu. Paling tidak, ubi rebus atau telur dari sangkak dibawah rumah direbusnya untuk menjamu tetamu.

Mak wa adalah seorang yang berjiwa kental, pembakar semangat dan pencetus motivasi. Dalam nada suara yang perlahan, penuh gaya kekampungan, namum sindirannya sinis sekali. Patah perkataan yang dilafazkan berkias-kias susah difahami oleh otak kecil kami.

Saya rindukan kata-kata hikmah yang penuh dengan motivasi diri dari bibirnya. Di Scotland, saya temui bayangan mak wa dalam diri Kathy.

Kathy membiarkan sahaja saya memerhatikan dia bekerja. Penuh penumpuan serta penuh dedikasi. Saya pernah bertanya tentang diri dan kerjayanya. Kathy becerita:

Dia telah mula bekerja sebagai seorang pencuci tandas ketika berusia 16 tahun. Tidak berpelajaran tinggi. Sekolah kampungnya jauh dipendalaman berhampiran dengan tempat tinggalnya di banjaran tanah tinggi [Highlander].

“Awak pernah mendengar cerita mengenai raksaksa di tengah tasik Loch Ness?

“Ya. Dalam gambar, cantik sekali tasik itu”

“Itulah tempat tinggal sanak saudara serta keluarga saya.”

Thursday, March 11, 2010

Kerana beg Bally 2

Hari itu saya pulang dengan tekad yang satu. Saya akan datang semula untuk mendapatkan beg itu. Berapa bulankah saya perlu mengumpulkan wang tambahan untuk memenuhi impian saya agaknya. Di dalam perjalanan pulang, saya berbisik-bisik di dalam hati.
“Ya Allah, saya malu. Sangat malu. Namun, saya teringin sekali memiliki beg itu”
Kuasa Allah tiada siapa menduga. Benar, Dia maha mendengar bisikan hati, walaupun apa yang di minta oleh hamba-Nya bukanlah sesuatu keperluan yang menjadi ketentuan antara hidup atau mati. Namun, ia mengmakbulkan juga permintaan hamba-Nya.

Suatu hari di hujung minggu, Claire [penolong pengurus] bertanya;

“Kami memerlukan pekerja tambahan pada hari-hari biasa. Mahukah awak bekerja 4 jam sehari, selain dihujung minggu?”

“Okey. Tetapi, bolehkah saya fikirkan tawaran itu terlebih dahulu?”

“Sudah tentu. Awak juga boleh membuat pilihan untuk tidak perlu datang bekerja pada hujung minggu”


Lalu, saya mencongak-congak pendapatan mingguan yang bakal saya terima. Jika 4 jam sehari dari Isnin hingga Jumaat, bermakna saya harus bekerja 20 jam seminggu berbanding dengan 12 jam sahaja di hujung minggu. Ya Allah! Bukankan itu adalah rezeki yang didatangkan oleh Allah dari punca yang tidak di sangka-sangka?

Ini bermakna saya harus mengatur urusan penjagaan anak-anak dan juga menguruskan urusan rumahtangga. Ilham! Ya Allah, datangkan ilham.

Lalu, saya teringatkan seorang rakan yang tinggal beberapa blok dari apartment kami. Mereka baharu sahaja mendirikan berumah tangga. Isterinya kerap kali menyatakan kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan sementara suaminya ke kuliah menimba pelajaran. Beliau sering sahaja mengeluh kebosanan.

Petang itu, saya terus ke rumahnya dan menyarankan suatu peluang.
“Apa kata kalau awak menjaga Azrai sementara saya pergi bekerja. Jika satu
jam saya mendapat 4 pound, 1 pound saya berikan kepada awak”
Beliau segera bersetuju dengan cadangan itu.

Hari-hari berikutnya saya memulakan shif dari 9 pagi dan berakhir pada 1 tengahari. Pagi-pagi lagi saya siapkan makanan. Menghantar Azrai ke rumah rakan dan seterusnya menghantar Sara ke Play Group. Pulang dari kuliah, suami akan menjemput Sara dan Azrai. Seterusnya menjemput saya pada 1 tengahari.

Ada masa-masa tertentu Claire meminta saya datang membantunya di kedai pada hujung minggu untuk beberapa jam tertentu. Saya tidak membantah. Alhamdulillah! Rezeki itu di tangan Allah. Ya Allah ! Betapa malunya saya dengan kasih sayang Allah.

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya akan dijadikan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya).

Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukupkan baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang di kehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.

(Ayat 2 & 3 Surah At-Talaq)

Lalu, siapa sangka budak perempuan yang berasal dari Kampung Paya Jakas itu dengan semangat waja menaiki keretapi pada suatu pagi semasa musim salji, bersama anak perempuannya dari Dundee menuju ke Edinburg. Dalam ribut salji yang tebal, beliau pergi bersama nekad yang satu – kerana beg jenama BALLY itu!

Wednesday, March 10, 2010

Kerana beg Bally


Semakin kuat perasaan untuk mendapatkan kebendaan, semakin kuat otak saya bekerja.

Bekerja keras bagaimana untuk mendapatkan lebihan pendapatan. Kerana apa? Kerana beg jenama BALLY.

Saya lupa pesanan Allah;


Dan janganlah engkau menujukan pandangan kedua matamu dengan keinginan pada apa yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan dari mereka yang kafir itu menikmatinya, yang merupakan keindahan kehidupan dunia ini, untuk Kami menguji mereka padanya; sedang limpah kurnia Tuhanmu di akhirat lebih baik dan lebih kekal. (131) Surah Ta-Ha


Suatu ketika suami membawa kami sekeluarga ke Edinburg. Ibu negeri dan juga bandar terbesar di Scotland. Kami melihat taman Botanical yang terdapat pelbagai jenis tanaman, kami berehat di taman batu-batuan [ Rock Garden], kami melawat Edinburg Castle yang tersergam megah serta indah di tengah-tengah bandar dan akhirnya kami bersantai di High Street [kawasan membeli belah].

Sambil duduk menikmati Fish and Chips sebagai hidangan makan tengahari, mata saya terpandangkan sebuah kedai beg tangan. Ia terletak bertentangan kedai di seberang jalan. Di papan tandanama kedainya tertera tulisan yang tidak asing dan sering menjadi igauan saya – BALLY!

“Yang, selepas makan bolehkah kita ke kedai beg tangan itu?”

“Awak hendak beli beg tangan?”

“Tidak. Tengok-tengok sahaja. Boleh?”

Suami mengangguk.

Sejurus sahaja suami bersetuju, terasa seperti masa begitu lambat berlalu. Mahu rasanya meminta mereka cepat-cepat menyudahkan atau meninggalkan sahaja hidangan mereka! Ayuh, kita segera ke kedai beg tangan itu.

Sejak terpandangkan jenama itu yang di sandang oleh seorang pelanggan ketika mengunjungi kedai tempat saya bekerja, hati saya telah menjadi gundah gulana. Ya Allah! Betapa saya tidak malu kepada-Mu dengan perlakuan seperti itu. Pasti syaitan terbahak-bahak ketawakan saya.
Sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam kedai beg tangan itu, mata saya terpaku kepada salah satu beg tangan yang dipapar. Namun, ia terbantut kerana saya terkejut melihat tanda harganya.

“Ya Allah, 200 pound sterling harga sebuah beg sandang seperti itu?”

“Adakah awak bawa duit?”

“Hari ini tidak ada. Tetapi, nanti saya datang semula”

Monday, March 8, 2010

BONNYPACK

Katalog ARGOS telah hancur saya belek. Setiap helaian yang diselak pasti akan terhenti di situ untuk beberapa waktu. Ia disertai dengan angan-angan yang panjang. Apatah lagi semasa melihat set hidangan di rumah kawan ketika jemputan hari natal.

Impian keduniaan merawang-rawang di benak fikiran saya!

Melampaunya angan-angan itu kerana ia menganggu kekhusyukan sehingga dalam sembahyang. Menjadi igauan ketika tidur malam. Bermain-main dalam mimpi. Benarlah, harta perhiasaan dunia itu adalah khayalan dan mainan yang digemari oleh syaitan.

Namun, saya tidak dapat mengungkaikan diri darinya! Ia mencengkam malah terbenam di dalam hati. Tertusuk malah terperesuk di dalam jiwa.

“Yang, saya mesti dapatkan set hidangan jenama Queen Anne. Saya mahukan bekas yang boleh dipanaskan, bersumbu di bawahnya”

“Di Malaysia tidak ada?”

“Kak Ida kata ada, tetapi harganya mahal melampau! Berganda-ganda! Boleh?”

Akhirnya suami akur dengan kemahuan saya. Setiap bulan wang gaji dikumpulkan semata-mata ingin mendapatkan barangan idaman. Setiap paun sterling yang disimpan akan dikira berkali-kali sehingga ia benar-benar mencukupi. Apabila sampai masanya saya menyuarakan kepada suami;

“Yang, duit saya sudah mencukupi”

“Okey, awak tahu dimanakah orang-orang Malaysia berbelanja untuk barang-barang seperti yang awak mahukan?”

“ARGOS!”
Saya menjawab dengan pantas.

“Tidak. Kasut jenama Clarks terdapat di Blackburn. Pinggan mangkuk di Stock–On-Trend. Silverware seperti yang awak mahukan itu terdapat di BonnyPack, Glassgow”
Terlopong mulut mendengarnya. Tidak diduga rupa-rupanya suami lebih berpengetahuan daripada saya.

“Hari Isnin minggu hadapan adalah Bank Holiday [cuti]. Jom kita ke BonnyPack”
Malam itu saya tidur sambil tersenyum lebar sehingga terbawa-bawa ke dalam mimpi. Sukar mengambarkan bagaimana riang rianya diri apabila tercapai hajat di hati.

Di tempat saya bekerja, terdapat banyak perkataan bahasa tempatan yang saya pelajari antaranya adalah “wee sacks”. “Wee” bermakna kecil. “Broli” mengantikan “umbrella” untuk payung. “Bonnie” bermaksud cantik. Jadi “Bonnie packs” bermaksud peg barangan yang cantik.

Dari Dundee ke Glassgow memakan masa hampir satu setengah jam. Kerana terlalu seronok, perjalanan yang panjang tidak begitu terasa.

Petang itu di BonnyPack saya menyorong troli yang penuh berisi. Hajat utama untuk membeli silverware jenama Queen Anne, namun apabila ternampak bekas kaserol jenama PYREX tidak disedari saya memasukkannya ke dalam troli. Dan lagi..dan lagi..dan lagi.

Masallah! Lima ratus pound sterling yang di bawa hanya berbaki beberapa keping nota sahaja. Namun, hati belum lagi puas dan puas. Bisikan iblis terus sahaja berbisik dan berbisik.


“Masih banyak lagi barangan keperluan yang perlu di beli. Corning Ware, periuk kuali tidak melekat, itu dan ini dan sana dan sini…Tidak belikan satu untuk kaum keluarga di Malaysia?”
Bisikan syaitan secara halus dan berkesan.

“Ah! Daku berlinding diri kepada Allah dari gangguan syaitan yang di rejam!”
Lalu, syaitan bagaikan lari lintang pukang. Namun, hanya untuk seketika.

Suatu hari bisikan syaitan kembali menghantui ketika saya sedang bekerja di hujung minggu. Syaitan menarik tumpuan saya melirik ke arah beg tangan, kasut dan pakaian yang dipakai oleh pelanggan. Sehingga hati menjadi berkenan:

“Wah, cantiknya beg yang disandang. Saya mesti dapatkan beg jenama BALLY seperti itu. Pasti orang tahu yang itu jenama mahal dan terkenal. Di Malaysia, tidak ramai yang mampu memakainya”
Begitulah, saban hari saya dirasuk oleh nafsu ciptaan sendiri. Membiarkan syaitan dan iblis berbisik-bisik menampakkan cantik perhiasaan dunia. Membenarkan hati membina riyak dalam dada.

Ya Allah! Saya menjadi hamba yang hina kerana mahu memenuhi runtunan nafsu kebendaan dan perhiasan dunia! Yang pasti, budak kampung ini, suatu masa dahulu cukup sekadar berpuas hati dengan apa yang abah dan emak belikan, kini menjadi perempuan kebendaan!

Sunday, March 7, 2010

Noel

Sedang kami rancak berbual, terdengar deringan loceng di pintu. Muncul seorang rakan yang saya kenali berasal dari Barcelona, Sepanyol bersama suaminya. Di Barcelona, dia adalah seorang doktor gigi. Dia mengikut suami melanjutkan pelajaran di peringkat PhD.

Rakan itu walau tidak fasih berbahasa Inggeris namun faham dengan percakapan yang kami tuturkan. Sesekali si suami menerangkan tentang butir perbualan kami pada isterinya di dalam bahasa ibunda mereka.

Ruth menjemput kami semua ke ruang makan. Di atas meja segala jenis makanan telah terhidang sebagaimana yang saya lihat di dalam kaca televisyen. Ada seketul ayam turkey yang besar, ada sebiji kek krismas yang sederhana besar siap dengan daun diatasnya.

Pinggan mangkuk, gelas, sudu, pisau serta garfu dialas kemas bersama napkin tergulung rapi. Ia kelihatan cantik tersusun seperti hiasan restoran di hotel. Beberapa batang lilin terpasang diletak cantik diatas meja menambah keharmonian suasana.

Ruth mulakan dengan pembuka selera yang dimasukan ke dalam gelas berkaki. Ia sejenis udang rebus bersama salad direnjis sos Thousand Island dikenali sebagai Prawn cocktail. Diikuti dengan pilihan sup cendawan atau sup labu berkrim.

Setelah hidangan pembuka selera selesai, hidangan utama disajikan. Suami Ruth memasukkan set ayam turkey bersama kentang panggang ke dalam pinggan. Dihulurkannya pada tetamu satu persatu. Manakala untuk kami disediakan sejenis ikan panggang [bake fish] bersos keju bersama sayuran leeks ditaburkan keju mozarella diatasnya.

Masing-masing menunggu sehingga setiap orang menerima hidangan yang disajikan. Apabila semua telah menerima set hidangan masing-masing, bapa Ruth tunduk membaca doa sebelum makan. Yang lain mengaminkan.

"Ya Allah, kalaulah mereka itu diberikan taufik dan hidayah.. Alangkah baiknya jika mereka tahu bahawa kepercayaan yang dipegang itu tidak memberikan menafaat apa-apa. Kalaulah mereka tahu yang mereka telah disesatkan, pasti mereka datang secara berlari mencari jalan hakiki"

Hati berdetik. Menyesali tindakan kaum yang boleh berfikir tetapi tersesat kerana ikutan adat serta keturunan nenek moyang. Lalu, saya bersyukur kerana dilahirkan sebagai Islam. Walau jarang sekali saya bersama suami membaca doa sebelum makan apabila menghadap makanan. Apatah lagi membaca doa mensyukuri nikmat yang terhidang diatas meja selepas selesai menikmatinya. Bagaimana mungkin ia berlaku jika itu bukannya amalan kita!

Setiap kali mereka memperkenalkan sejenis makanan, pasti mereka menyatakan apakah bahan yang digunakan. Mereka juga menceritakan bagaimana penyediaan makanan itu dilakukan. Barangkali ia bagi memastikan agar kami yakin dengan apa yang dimakan.

Akhirnya hidangan itu disudahkan dengan pencuci mulut. Untuk mereka, kek puding buah atau kek krismas dihidangkan. Menurut Ruth, di dalam kek krismas itu terdapat campuran lelemak haiwan dan ia perlu dicurahkan brandy untuk melembabkannya. Sebelum kek itu dipotong, mereka menghalakan pemetik api di atasnya. Serta merta api menyambar membakar permukaan kek krismas.

Untuk kami sekelurga, Ruth menyediakan kek lobak merah. Sekali lagi beliau memberitahu tentang penyediaan bahannya. Semasa saya menyuap suapan ke dua, terasa gigi tergigit sesuatu.

"Wang siling? Kenapa ia ada di dalam kek ini?"

"Oh, itu adalah satu simbol yang menunjukkan awak bertuah!"

"Ha..ha..Ruth, saya akan lebih bertuah jika awak masukan 100 pound!"

Rupa-rupanya mereka juga mempercayai perkara karut-marut seperti "Lucky Star". Ia disudahi dengan menarik mercun [cracker] bersama-sama dengan cara menyilangkan tangan.
"Pop!," terdengar letupan serta tersembul keluar racikan kertas terbang berteraburan.

Saya kira itulah pertama kali kami menghadiri dan menikmati hidangan makan malam yang panjang sehingga hampir empat jam! Sepanjang kami menikmati hidangan itu, hanya segelas air jus buahan sahaja disediakan oleh mereka.

Beberapa hari kemudian apabila berkongsi cerita dengan rakan-rakan barulah kami tahu rupa-rupanya budaya mereka tetamu harus datang bertandang serta membawa sebotol minuman!

Wednesday, March 3, 2010

Kilt

Semasa pertemuan dengan isteri-isteri pelajar antarabangsa, ada seseorang yang sering memerhatikan saya dari jauh. Dia seorang yang pendiam dan berhemah tinggi . Saya kenali sebagai Ruth, berasal dari Sussex, England. Orangnya sentiasa berpakaian kemas, bercakap teratur dan perlahan-lahan.

Suatu hari Ruth datang menghampiri saya.

“Saya mahu menjemput awak sekeluarga ke rumah meraikan jamuan hari natal bersama kami. Adakah awak sudi?”

“Oh, terima kasih Ruth. Tentu sekali. Tetapi saya perlu bertanya pada suami terlebih dahulu”

“Jika begitu, bolehkah awak berikan alamat rumah?”

Petang itu, semasa kami sekeluarga sedang menikmati minum petang, tiba-tiba, terdengar ketukan dari pintu hadapan. Sara dan Azrai berkejar-kejar meluru berlari bagi membuka pintu. Bimbang mereka membuka pintu tanpa usul periksa. Saya terjerit-jerit menahan mereka. Sebaik sahaja pintu dibuka;
“Hello..”

“Ruth. Silakan masuk.”

Ruth datang sendirian. Dengan sopan beliau menegur suami dan anak-anak. Saya mempelawa beliau duduk di ruang tamu. Kemudian bergegas ke dapur mengambil cawan kosong.

“Awak mahukan Teh atau kopi?”

“Terima kasih. Boleh saya dapatkan secawan teh dengan setengah sudu teh gula tanpa susu?”

Lalu, beliau menyatakan sebab kedatangannya adalah untuk menjemput kami sekeluarga bersama-sama ke jamuan makan pada petang hari natal. Beliau bertanyakan pantang larang, jika kami alergi pada makanan. Beliau juga menjamin menyediakan makanan “Halal” bagi orang-orang Islam.

“Kami akan sediakan ikan. Sup sayuran dan bahan yang tidak menggunakan lelemak
haiwan”

Saya dan suami merasa amat teruja. Beliau juga ingin memastikkan bahawa kami tahu dimanakah tempat kediaman mereka. Bertanyakan samada kami memerlukan kenderaan dan berbagai pertanyaan untuk memudahkan urusan kami ke sana. Ya Allah. Begitulah kesungguhannya untuk meraikan kami sebagai tetamu mereka.


Pada petang hari natal, kami membawa sebungkus cokelat sebagai hadiah untuk anak-anak mereka. Sebaik sahaja pintu di buka, Ruth sekeluarga dengan riang ria menyambut dan mempersilakan kami masuk ke ruang tamu.

“Silakan masuk. Sejuk diluar sana. Barangkali malam ini salji akan turun”

Di ruang tamu itu, beliau memperkenalkan kami kepada suaminya. Berbangsa Scotland yang tinggal di sekitar Glassgow. Beliau adalah salah seorang staf dari Universiti of Dundee. Ibubapa Ruth datang dari Sussex juga ada bersama.

Sara dan Azrai dibawa oleh adik perempuan Ruth ke bilik yang berasingan. Di situ, anak-anak Ruth sedang bermain puzzle. Terdapat berkotak-kotak pelbagai mainan disediakan berhampiran mereka.

Kami berbual-bual bertukar cerita berhampiran ganggang bara api sambil memanaskan badan. Dari satu topik ke satu topik yang lain. Perkara yang menarik perhatian kami adalah mengenai “Kilt” [sejenis skirt berkotak-kotak yang dipakai oleh orang lelaki Scotland] sebagai pakaian tradisi. Menurut suami Ruth, ia masih lagi dipakai oleh penduduk kampung di utara Scotland, walaupun ia kini bukan lagi sebagai pakaian harian.

"Pakaian tradisional, hanya dipakai orang semasa majlis keraian tertentu sahaja"