Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Saturday, October 31, 2009

Tawaran Biasiswa 2

Serta merta sebahagian besar daripada pelajar siswi meninggalkan barisan kami yang panjang. Masing-masing berlumba-lumba untuk mendapatkan tempat di barisan paling hadapan. Kami terpinga-pinga dan merasa amat keliru kerana semasa taklimat bersama ketua-ketua kumpulan yang dilakukan setiap hari di sebelah pagi, tiada pula maklumat mengenai tawaran biasiswa dinyatakan sama sekali.

Kumpulan kami mengambil keputusan untuk mendapatkan tandatangan daripada wakil bahagian seperti yang diminta terlebih dahulu. Namun, masih memberikan pilihan jika sekiranya ada di antara ahli kumpulan kami ingin mendapatkan tawaran biasiswa terlebih dahulu.

"Kalau boleh, saya tidak mahu mendapatkan biasiswa sekiranya ia perlu di bayar
selepas kita tamat belajar. Saya tidak mahu berhutang. Awal lagi kita telah di
ajar supaya berhutang. Saya takut nanti saya tidak mampu membayarnya kembali. Saya takut tiba-tiba saya mati.."

"Tetapi kata kakak fasilitator, jika keputusan periksa kita cemerlang..biasiswa itu boleh ditukarkan menjadi dermasiswa"

"Oooo begitu rupanya.."

Setelah mendapat hampir kesemua tandatangan, lalu kami kembali ke barisan tawaran biasiswa. Hanya beberapa orang pelajar siswi sahaja yang tinggal di dalam barisan. Dari jauh kelihatan abang fasilitator 1 dan 2 yang sedang meminta pelajar siswi mencatat sesuatu di atas kertas. Mereka kelihatan serius dan bersahaja.
"Ah! Tidak mahulah..ada abang fasilitator tu..Nanti sahaja lah!"
Saya membatalkan niat apabila terpandang abang fasilitator yang meminta saya memegang kotak rokok tempohari. Masih ada perasaan meluat di dalam hati.

Sebenarnya saya berada di dalam persimpangan samada untuk membuat permohonan atau memberikan laluan kepada sesiapa yang benar-benar memerlukan. Seorang siswi senyum-senyum gembira selepas mencatatkan data kepada abang fasilitator tersebut. Lalu, saya bertanya :

"Minta maaf, tumpang tanya. Data apa yang diminta?"

"Alah..senang sahaja. Cuma nama penuh dan nama manja, program yang diikuti, alamat dan nombor telefon rumah kita.. Baik abang fasilitator itu rupanya..Best! "

"Hah! Mesti mereka mengenakan kita semua ni! Tak kan lah data itu sahaja? Keputusan SPM, surat beranak, jawatan, aktiviti-aktiviti yang diikuti di sekolah...tidak di minta salinan? Kata cikgu kaunseling..semua itu perlu"

"Tidak. Tidak perlu. Baiiiiikkk sangat abang tu!"

Saya hampir-hampir tidak percaya dengan apa yang saya dengar walaupun hampir terpedaya. Hanya beberapa orang sahaja pelajar siswi yang tinggal berada di barisan hadapan. Lalu, saya mengambil keputusan untuk keluar dari barisan.

Tiba-tiba, saya terdengar abang fasilitator 2 memanggil nama yang saya tidak begitu peka sangat dengannya.
"Raihan, sila masuk semula di dalam barisan"

Saya berlalu pergi di dalam keadaan yang tergesa-gesa tanpa menoleh ke belakang, walaupun tertanya-tanya di dalam hati. Sekali lagi saya terdengar panggilan nama itu diulangi. Kali ini dengan lebih keras lagi.

"Raihan Haryati!"

Tawaran Biasiswa

Hari itu acara dilakukan dengan agak santai. Setiap kumpulan diarahkan melakukan acara ala-ala "Treasure Hunt". Kami di minta mendapatkan tandatangan wakil staf di setiap jabatan [Hal Ehwal pelajar, Hal Ehwal Akademik, Perpustakaan, Pusat Islam, Bahagian kokurikulum, Palapes, Kesatria, Komando, Unit sukan, Unit keselamatan dan sebagainya]

Kami berjalan secara kumpulan dan bertukar-tukar maklumat dengan kumpulan-kumpulan yang lain.
"Pejabat pentadbiran di bangunan itu. Unit sukan di sebelah sana"

"Ooo Ok. Terima kasih. Bahagian Hal Ehwal Pelajar letaknya bertentangan dengan pejabat kokurikulum, di dalam bangunan yang sama"

Di antara banyak-banyak kumpulan, kami banyak bergantung dengan sekumpulan siswa diketui oleh Maxxx. Pada pandangan saya beliau adalah seorang yang berkarisma. Kumpulan beliau paling disukai oleh fasilitator kerana penglibatan mereka yang bersahaja dan menimbulkan keceriaan di sepanjang minggu silaturahim. Berilah mereka apa sahaja tugasan, persembahan kumpulan mereka amat dinanti-nantikan. Ia selalunya berakhir dengan riang gembira dan gelak ketawa.
"Awak tahu, di dalam pejabat hal ehwal pelajar tadi saya dapati terdapat piala besar aktiviti persembahan. Ada aktiviti kebudayaan, theater, nyanyian, muzik dan lain-lain"

"Ooo ya?"

"Suatu hari nanti saya akan menjadi pemegang piala itu!"

"Awak berminat dengan aktiviti mana?"

"Nyanyian..kata orang suara saya mirip suara Dato' Shake"

"Oooo..saya suka lagu dia yang berjudul 'Umi' dan 'Pulanglah'...Tetapi saya paling suka dengan lagu-lagu Sohaimi Meor Hassan"

"Epilog Cinta dari Bromley?"

"Dan lagu berjudul 'Ros'..."

Sedang kami berbual-bual bertukar cerita sambil berbaris di dalam suatu barisan yang panjang untuk mendapatkan tandatangan, tiba-tiba kami terdengar suara abang fasilitator bersuara :
"Barisan untuk mendapatkan tawaran biasiswa di sebelah sana..sebelah sana!"

Lalu, salah seorang daripada siswa di dalam barisan kami bertanyakan tawaran tersebut datangnya daripada jabatan mana.
"Semua. JPA, Yayasan Terengganu, Yayasan Selangor... emm termasuk Yayasan Johor"

Abang fasilitator 2 menjawab pertanyaan tersebut tetapi matanya tertumpu kepada saya dan rakan-rakan sekumpulan.
"Buat barisan. Buat barisan.."

Friday, October 30, 2009

Terpesona

Hampir setiap hari kami di minta menyanyikan lagu wajib bagi kampus ITM Dungun. Itulah satu-satunya acara yang paling kami sukai dan di nanti-nanti. Apatah lagi ianya dinyanyikan oleh abang fasilitator 3 yang menyampaikan nanyian dengan sepenuh perasaan.

Ah! Mendengar suaranya sahaja kami sudah tergila-gila. Di tambah dengan gaya dan perawakan kelakiannya yang menawan! Bertuahlah nanti sesiapa yang dapat menambat hatinya. Kami berbincang-bincang sesama sendiri.

Antara fasilitator lelaki, beliaulah yang paling ranggi dan popular. Tambahan pula apabila di satu-satu ketika beliau menyarungkan uniform komando. Bertambah-tambahlah melonjak naik sahamnya dan semakin 'glamour'.

"Siswa-siswi, mari kita mulakan.. 1, 2.."

Kami siswa berilmu
kami penuh beramal
kan kami buktikan segala cita jaya
harapan ayah bonda
ugama bangsa dan negara

Dari kampung halaman
ke Dungun kami tiba
luas pandangannya
bersih udaranya
oh sungguh indahnya
kami jatuh CINTA !!

la..la..la...

Kami akan membunyikan perkataan CINTA sepenuh hati kami. Seolah-olah kami menyuarakan suara hati. Abang fasilitator 3 akan melemparkan senyuman menawan ke arah para siswi.

Ahhh..hilang penat. Hilang segalanya. kami terpesona.

Gambar hiasan : Teluk Bidara, Dungun
Sources : amirulfadhli.blogspot.com

Thursday, October 29, 2009

Kerana sekotak rokok

Saya meminta rakan sekumpulan bergilir-gilir membawa kotak rokok tersebut. Namun, semuanya menolak dengan alasan takut nanti abang fasilitator itu perasaan lalu akan mengambil tindakan.
"Alah..dia manusia biasa. Kita ramai, mesti dia tidak perasan"
"Takutlah..nanti kena denda!"

Jadi, saya terus menyimpan kotak rokok tersebut dari pagi hingga ke petang. Saya tertanya-tanya di dalam hati bilakah agaknya abang fasilitator itu akan mengambil kotak rokok itu kembali. Kerana tiada tanda-tanda beliau akan meminta semula kotak rokok itu daripada saya. Akhirnya saya membuat kesimpulan bahawa beliau mungkin telah terlupa mengenainya.

Tiba-tiba, timbul suatu akal hasil daripada perasaan ingin tahu. Lalu, saya membuat suatu kenyataan kepada beberapa rakan sekumpulan yang paling rapat dan yang boleh dipercayai:
"Apalah sedapnya rasa rokok seperti ini. Siapa tahu?"

"Entah..kenapalah agaknya mereka merokok ya?"

"Haa..ada sesiapa nak rasa? Syyyyyh...senyap-senyap! Ini rahsia kita"

Timbul perasaan nakal yang tidak dapat di bendung-bendung lagi. Perasaan semulajadi!
"Nak tahu rasanya? Siapa berani? Nah, simpan satu. Jangan sampai tertangkap. Jika sekiranya rahsia kita terbongkar, tahulah kita sebenarnya angkara siapa"
Lalu, salah seorang daripada kami berlima menyimpan sebatang rokok itu. Di simpanya kemas dan rapi di dalam jilbab. Saya meminta setiap seorang daripadanya mengambil satu, tetapi mereka menolaknya.
"He..he..Jahat rupanya perempuan yang pakai jilbab tu.."
Saya bergurau kepada seorang rakan yang berwajah bersih tulus lagi lurus bendul. Serta merta warna kulit wajahnya yang putih bersih bertukar kemerah-merahan. Merah padam! Kami tergigil-gigil menahan ketawa geli hati. Tiba-tiba ;
"Saudari yang menyimpan kotak rokok tadi, sila pulangkan kembali kepada saya"
Saya menyorok di celah-celah rakan kumpulan, dengan harapan agar abang fasilitator itu tidak perasaan. Saya tundukkan kepala di belakang mereka. Manakala rakan-rakan rapat saya beria-ia melindungi saya. Mereka duduk serapat-rapatnya.
"Hah! Saudari yang menyorok tu..Mana kotak rokok tadi?"

Ya Allah. Dalam seramai-ramai siswi, macamana beliau tahu bahawa saya adalah orangnya? Saya bertanya soalan bodoh di dalam hati. Rakan-rakan sekumpulan berkuak memberikan laluan sambil senyum menyeringai keluar gigi. Masing-masing memandang saya sambil mengangkat bahu sebagai tanda mereka tiada dapat berbuat apa-apa.

Dada saya berdebar dan berombak tidak terperi. Mati! Mati saya kali ini!

Abang fasilitator itu menyambut kotak rokok tersebut daripada saya. Beliau mengucapkan terima kasih dan berlalu pergi. Saya menarik nafas panjang dan merasa kelegaan yang tidak terkata. Sementara itu, abang fasilitator ke 2 yang memerhatikan insiden tadi dan perlakuan kami datang menghampiri.
"Saudari yang cuba menyorokkan kotak rokok tadi.. sila berikan nama, nama program yang diikuti, alamat dan nombor telefon rumah. Perkara seperti ini kami tidak boleh kompromi!"

Dengan cepat saya mencatatkan butiran di atas kertas yang diberikan oleh abang fasilitator ke 2. Rakan-rakan sekumpulan memerhati dengan wajah simpati. Dengan lakonan berwajah sedih lalu saya catitkan seperti apa yang di minta.

Nama : Raihan Haryati bt Roslan
Program : Diploma in Business Studies
Alamat : No. 1001 Jalan Seribu Satu Malam, Bandar Baru Majidi, Johor Baharu
Telefon : O7 xxx xxx

"Ya Allah, ampunkan saya. Ya tuhan..tipu sunat macam tu tidak mengapa kan?"

Tuesday, October 27, 2009

Sekotak rokok


Hari ke 3 di dalam Minggu silaturahim, kami semua mulai keletihan. Kami mengikuti setiap program yang panjang dari subuh hari hingga ke lewat malam. Jumlah jam untuk tidur juga berkurangan.

Jadi, tidak hairanlah jika ada di antara kami yang terus sujud walaupun orang lain telah memberikan salam di Pusat Islam. Ada yang nakal di antara kami berpakat-pakat untuk membiarkan sahaja mereka di dalam keadaan bersujud begitu. Lalu, kami dimarahi oleh kakak fasilitator kerana dengan sengaja tidak mengejutkan golongan "ahli sujud" .

Bukan di Pusat Islam sahaja, malah kebanyakan daripada kami kelihatan mengantuk dan terus terlelap apabila penceramah membuka bicara! Untuk kelihatan tidak ketara dan tidak memalukan keadaan, kadang-kadang kami berpura-pura membaca pamplet yang diedarkan. Namun, hakikat sebenarnya masing-masing mencari posisi yang paling selesa untuk melelapkan mata! Malah pamplet yang pegang sering terlepas dari pegangan.

Tiada ruang langsung untuk kami berehat. Namun, jika ada masa terluang sedikit di waktu tengahari apabila fasilitator membenarkan kami pulang ke hostel, lalu kami mengambil kesempatan untuk melelapkan mata walaupun sekejap. Rakan-rakan sebilikpun tidak sempat untuk bertegur sapa - katil dan bantal melebihi segala-galanya!

Hari itu merupakan hari ke 4 di dalam minggu silaturahim. Entah mengapa dari pagi sehingga petang ada sahaja siswa-siswa dikatakan telah melakukan kesalahan.
"Malam tadi kami telah menangkap sekumpulan pelajar siswa yang membawa rokok ke dalam hostel. Jika anda juga membawa bahan yang sama, sila tampil ke hadapan"

Tidak semena-mena ada beberapa pelajar siswa yang terpinga-pinga tampil ke hadapan dan membuat pengakuan. Kerana isu rokok tersebut kami "dijemurkan" untuk tempoh waktu yang agak panjang sementara abang-abang dan kakak-kakak fasilitator memberikan suatu ceramah yang seakan leteran yang panjang!
"Saudari..minta tolong simpan kotak rokok ini"
Seorang abang fasilitator memberikan arahan ke arah kumpulan kami. Kami saling pandang memandang sesama sendiri. Lalu, saya bertanya :
"Siapa?"

"Saudari"
"Kenapa saya? Saya paling tidak suka bau rokok ni"

Tiba-tiba, abang fasilitator itu membuat muka paling serius dan merenung tajam ke arah mata saya! Lagak beliau tidak ubah seperti abah yang hanya membeliakkan mata sebagai isyarat apabila memberi amaran di hadapan orang.
"Ok..Ok"
Saya menyambut kotak rokok tersebut dengan perasaan geram dan mengata-ngata di dalam hati. Meluat dengan gayanya. Meluat sekali!

Hari itu, kotak rokok tersebut terpaksa saya bawa ke hulu dan ke hilir sepanjang hari!

Sunday, October 25, 2009

Dunia baru


Petang itu juga program minggu silaturahim bermula.

Kami diminta memakai baju batik khas minggu silaturahim dan bertudung bagi perempuan. Siswa di minta bersongkok. Baju batik itu harus di pakai untuk setiap acara dari pagi hingga ke malam sepanjang minggu. Tidak masuk akal! Sedangkan itulah satu-satunya baju batik rasmi yang kami perolehi.

Kami telah dikejutkan dengan laungan wisel dari fasilitator sejak awal pagi lagi - sebelum subuh. Di minta berbaris mengikut kumpulan terus ke Pusat Islam. Setelah solat subuh kami diminta berlari pulang ke hostel agar bersalin pakaian sukan untuk acara riadah. Selepas riadah di arah bersarapan di kafetaria.

Hidup kami sehari-hari adalah berlari, berlari dan terus berlari!

Dari pagi hingga ke petang. Dari petang hingga ke malam. Lewat tengah malam pun kami masih lagi di tegur, di kerah dan di arah sebelum dibenarkan berehat melelapkan mata barang sebentar. Esok, pagi-pagi lagi kami akan di kerah melakukan Qiamulai di Pusat Islam. Rasanya ia suatu perjalanan hidup yang panjang dan tidak berkesudahan!


"Kami akan mengagihkan kamu semua di dalam beberapa kumpulan. Setiap kumpulan di minta memilih ketua, nama kumpulan dan temanya"


Lalu, kami dipecah-pecahkan kepada kumpulan kecil sekitar 30-50 orang. Sesi kemasukan kami ketika itu dikatakan adalah kumpulan yang paling ramai. Kumpulan Diploma perbankan, Diploma pengajian Perniagaan, Diploma Perakaunan dan Diploma Pentadbiran Awam masing-masing terdapat 4 buah kelas di kampus Sura Hujung. Itu tidak termasuk lagi Diploma kesetiausahaan dan Persijilan Hotel Katering di Sura Gate, Dungun.

Namun, hairannya saya merasa sangat teruja! Seronok dengan pengalaman baru. Dunia baru!

Entah bagaimana di dalam kumpulan kami yang kecil itu, mereka memilih saya sebagai ketua


"Assalamualaikum. Terima kasih kerana memberikan kepercayaan dan memilih saya sebagai ketua. Sememangnya kita tidak pernah kenal antara satu sama lain. Namun, mulai saat ini kita ibarat sebuah keluarga. Saya percaya setiap seorang daripada kita dijadikan oleh Allah sangat istemewa. Unik dan berbeza. Jadi, mari kita jadikan keunikan dan perbezaan kita itu sebagai suatu rahmat dan kelebihan untuk kita kongsikan bersama"


"Okkkkk!"


"Sebagai permulaan..ada sesiapa di antara kita yang mahu mencadangkan nama kumpulan? Kemudian kita bina konsep kumpulan dan lagu temanya. Boleh?"

"Bolehhhhh..."


"Ok. Kita agihkan kepada kumpulan kecil. Mulakan dengan bilangan 1 hingga 5. Kumpulan 1 kena fikirkan nama kumpulan. Kumpulan 2 fikirkan konsepnya. Kumpulan 3 perlu sediakan lirik lagu tema serta tempo..."

Namun, telah menjadi lumrah manusia ada yang berperangai keras kepala. Untuk mereka saya melakukan pendekatan yan berbeza. Saya hampiri mereka dan bertanyakan apakah kelebihan yang mereka ada.

"I tidak mahu masuk kumpulan 1. I nak cipta lagu. Let me create the tempo. I can play music you know..."

"Ok, do the best whatever you want to do..I know you can do it!

Akhirnya, kumpulan kami dinamakan kumpulan "Jentayu". Liriknya saya tidak ingat lagi. Tetapi temponya dikatakan hasil ciptaan asli yang telah diserahkan oleh "pemuzik' kumpulan kami dengan perasaan besar hati. Setelah di dengar dan dialunkan oleh kumpulan 5 yang akan mengambil bahagian di dalam persembahan - Nada dan irama lagunya seperti pernah kami dengar...tidak ubah seperti lagu nanyian M.Daud Kilau - [click] Senyumlah, senyumlah wahai cik mek molek.

"Emmm..wow! modern. I likeeeee"


Friday, October 23, 2009

Ikan besar 2


"Mak Wa janganlah bersedih ya. Saya tengah buat persiapan untuk menangkap ikan besar ni! Bukan ikan puyu. Doakan agar saya berjaya!"
Mak Wa tergelak kecil dan mencubit peha saya. Selepas makan mak, abah dan adik-adik bersalam serta memeluk erat tubuh saya. Saya melihat wajah penuh harapan dari mak dan abah. Saya menatap wajah adik-adik yang masih kecil dan tidak mengerti.


Akhirnya saya memeluk erat, kemas dengan penuh kasih sayang terhadap Mak Wa. Hingga kini, ia masih hangat terasa. Di dalam pelukan itu ada getaran, ada debaran dan ada gelodak rasa yang tidak tergambarkan oleh kata-kata. Kalau boleh saya lafazkan, akan saya laungkan kepada dunia bahawa Mak Wa adalah cinta hati pertama saya! Kasih sayangnya tidak akan ditemui di mana-mana dan tiada ternilai harganya!

"Ya Allah. Panjangkanlah usia Mak Wa agar dapat kami bertemu kembali suatu masa nanti. Jangan jadikan perpisahan ini adalah perpisahan terakhir kami.."

Lama sekali pelukan itu. Sukar untuk dilepaskan. Terasa ada titisan air hangat tumpah perlahan membasahi bahu. Air mata kasih seorang nenek tua. Nenek yang memberi kekuatan kepada seluruh jiwa raga saya..

Di saat perpisahan saya tidak dapat menahan perasaan apabila melihat keluarga berangkat pergi meninggalkan saya. Air mata hampir jatuh membasahi pipi. Namun, saya kuatkan hati.

Dari jauh saya melihat kereta Morris Marina abah bergerak perlahan-lahan. Mak Wa menjengukkan kepala dan hampir separuh badannya keluar dari tingkap kereta. Lagaknya seperti seorang kanak-kanak di bawah usia. Abah dan mak kelihatan cemas dan mak menarik tangan Mak Wa dengan pantas.

Saya melambai-lambaikan tangan dengan isyarat kumitan dari bibir tanpa suara yang hanya Mak Wa sahaja memahaminya.

"Ikan besar....."

Ikan besar..

Hari itu pelajar-pelajar baru berkumpul di Dewan Desar kampus Sura Hujung, ITM Dungun. Saya menyarung pakaian baru. Batik cotton kain ela [yang dibelikan oleh mak saudara di pasar payang, Terengganu] berwarna kebiruan potongan kurung Malaysia. Saya rasa amat teruja. Itulah baju kurung baru yang di tempah khas selain daripada keraian hari raya.

Dewan besar penuh sesak dengan pelajar baru. Masing-masing kelihatan sibuk sekali dengan urusan sendiri. Sambil berbaris menunggu giliran untuk mendapatkan hostel kediaman, saya perhatikan terdapat ramai juga pembantu fasilitator yang terdiri daripada pelajar senior.

"Satu hari nanti..saya pasti menjadi sebahagian daripada mereka"
Saya berbisik-bisik di dalam hati. Ramai juga kelihatan pelajar lelaki yang datang dengan fesyen rambut yang terkini dan bergaya tetapi terpaksa di potong pendek rambut mereka!

"Assalamualaikum Siswa siswi sekelian..sila dapatkan baju batik minggu silaturahim di sudut sebelah sana kerana saudara saudari di minta untuk memakainya di sepanjang minggu silaturahim nanti. Pelajar perempuan di minta bertudung dan pelajar lelaki di minta bersongkok"

Suatu pengumumunan kedengaran dilakukan oleh staf yang bertugas. Tiba-tiba sebahagian daripada pelajar yang sedang berbaris di depan saya beredar. Mereka berkejar-kejar untuk mendapatkan tempat di barisan yang paling di hadapan. Saya kehairanan. Terasa mereka masih lagi kebudak-budakan di dalam membuat keputusan.

"Ah..saya hendak selesaikan satu persatu. Dapatkan bilik hostel dahulu.."
Saya masih berbaris namun di dalam barisan yang semakin pendek. Di hadapan saya terdapat seorang pelajar perempuan yang wajahnya pada pandangan mata saya iras-iras wajah pelakon cina yang saya kenal pada ketika itu [ Lai Joo Lian]. Kulitnya putih mulus dan orangnya peramah. Di belakang barisan saya adalah seorang pelajar perempuan yang tinggi lampai. Wajahnya kelihatan cemas dan matanya kelihatan awas. Namun, apabila saya membuka kata, wajah dan perlakuannya bertukar kepada ceria.

"Nama akak..Wati Md Dali dari Masai"
Kami berjabat tangan. Namun, di sudut hati saya tertanya-tanya kenapa agaknya beliau membahasakan dirinya akak? Adakah kerana tubuhnya yang lebih tinggi daripada saya? Atau saya kah yang lebih rendah daripadanya?
"Saya dari Segamat. Ini Nita, jiran sebelah rumah saya"

"Ya Allah..untungnya dapat datang ke tempat yang sama.."

Sebenarnya hati saya juga semakin lega apabila ada kawan baru bertegur sapa. Nita, walaupun jiran sebelah rumah saya, namun sebenarnya kami amat jarang berjumpa. Malah kami tidaklah begitu mesra kerana jarang bergaul sehari-harian. Jadi, dengan adanya Nita di tempat yang sama, maknanya perlakuan saya perlu di jaga! Mana tahu perangai buruk saya akan sampai ke telinga keluarga.

Dari dewan besar kami di minta menghantar barangan ke hostel. Hostel itu dikatakan penempatan sementara di sepanjang minggu silaturahim.

"Awak ditempatkan di hostel mana?

"Hostel A2. Tetapi itu cuma hostel sementara sahaja, abah"

Lalu, kami seluruh keluarga menaiki kereta ke hostel sementara. Mak, Mak Wa dan adik-adik yang turut serta menolong saya membawa barangan keperluan ke bilik.

"Mak Wa..jangan susah-susah, biar saya sahaja yang bawa beg tu.."
Di dalam kudratnya yang tersisa, Mak Wa masih lagi mempunyai keinginan untuk membantu saya. Abah hanya menunggu kami di pengkarangan laman hostel A2 sambil berbual-bual dengan beberapa keluarga yang lain.

Dari jauh, hostel di kampus Sura Hujung itu kelihatannya seperti sebuah kawasan resort yang diperbuat dari binaan papan yang amat menawan. Bangunannya berbentuk kotak segi empat dan ianya mempunyai kawasan lapang di tengah-tengah - tempat menyidai pakaian. Maknanya, setiap bilik berada di dalam keadaan berhadapan kawasan lapang.

Kami dibenarkan untuk makan tengahari bersama keluarga kerana selepas zohor program minggu silaturahim akan bermula. Dari Jementah hingga ke Dungun, saya sentiasa duduk di sebelah Mak Wa. Semasa makan tengahari saya melayan makan dan minumnya. Mak Wa kelihatan tidak berselera. Beliau membisu dan tidak berkata-kata. Saya tahu Mak Wa sedang di landa perasaan pilu.

"Mak Wa janganlah sedih ya. Saya tengah buat persiapan untuk menangkap ikan besar ni! Bukan ikan puyu. Doakan agar saya berjaya!"

Thursday, October 22, 2009

Di sini segalanya bermula..

Perjalanan yang panjang.

Petang Jumaat itu seharusnya adalah merupakan hari yang mengembirakan. Namun, saya tinggalkan pekan Jementah dan bandar Segamat dengan hati yang pilu sayu. Entah apa yang menyentuh hati, saya tidak pasti.

Saya hayati setiap objek yang ditinggalkan dengan sepenuh hati dan perasaan. Saya renungi setiap bangunan, rumah-rumah papan, pokok-pokok, ceruk jalan dan selekoh. Rasanya hari itu bagaikan hari-hari terakhir saya di dunia.

Saya tahu bahawa hari itu adalah detik permulaan suatu kehidupan yang baru. Entah apa yang ada di hadapan hanya Allah sahaja yang tahu. Tetapi apa yang pasti saya akan tinggalkan zaman anak-anak yang nakal lagi ceria serta zaman remaja kampung yang tidak pernah berenggang dengan keluarga.

Inilah dilema saya. Apakah personaliti yang harus saya bawa? Ia suatu titik permulaan yang seharusnya dimulakan dengan baik dan begitulah seharusnya ia disudahkan. Saya ingin tampil seperti apa yang ingin ditampilkan. Saya mahu orang membuat persepsi seperti persepsi yang saya inginkan. Saya mahu menjadi saya!

Kami sampai di Terengganu agak lewat malam lalu bermalam di rumah kakak jiran sebelah rumah di daerah Jabur. Kuasa Allah, anak jiran sebelah rumah [Nita] juga mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di kampus Dungun.

Sepanjang perjalanan saya mengintai-intai keluar tingkap. Di mana pantai? Kata orang, Terengganu terkenal dengan kecantikan pantainya. Dari Segamat melalui Muadzam terus ke kuantan. Lantas melalui jalan pintas laluan Jabur. Memang tiada kelibat pantai!

Keesokan harinya adalah hari pendaftaran pelajar baru sesi Julai 1985-1988. Dari Jabur menuju ke kampus ITM Dungun, kami melalui laluan pantai. Serta merta hilang segala perasaan sayu dan pilu. Tiba-tiba semangat baru datang menerpa bersama tiupan bayu pantai Dungun yang damai. Dari kejauhan ITM Dungun kelihatan..tersergam indah!

Di sini segala-galanya bermula....

photo ihsan: rgist

Monday, October 19, 2009

Bersama Mak Wa

Beberapa hari sebelum berangkat pergi ke UiTM Dungun (dulu ITM), Mak Wa telah bermalam berhari-hari lamanya di rumah saya. Setiap hari Mak Wa bertanya bilakah harinya saya akan berangkat pergi.

Saban hari saya melihat keuzuran pada diri Mak Wa. Mak Wa semakin tua. Beliaulah yang menemani saya mengemas barangan keperluan ke asrama. Dengan bantal kekabu dan lemet kegemarannya, Mak Wa berbaring-baring di dalam bilik saya.

"Mak Wa tidak dapat menolong awak mengemas baju. Mak Wa sudah tidak berguna lagi"

"Tidak apa. Mak Wa baring-baring sahaja"

Itulah kata-kata yang sering keluar dari mulutnya. Saya melihat kekesalan di wajahnya. Jelas sekali apabila Mak Wa berada di dalam posisi berbaring mengereng begitu, dia kelihatan lemah dan tidak berdaya lagi.

Barangkali itulah yang terbuku di dalam hatinya kerana selama ini Mak Wa adalah seorang yang kuat bekerja dan melakukannya dengan sepenuh hati. [cerita sawah padi di sini]
"Pukul berapa esok awak akan pergi?"

"Abah kata selepas solat Jumaat"

Diam.

"Awak belajarlah pandai-pandai. Kalau hendak tangkap ikan besar, umpan dan kapal pun kena besar"
Saya tergelak. Terasa geli hati. Lucu sekali.

"Apa Mak Wa cakap ni?"

"Ya lah, awak dah besar sekarang. Kalau hendak dapat pasangan yang bijak pandai, kita pun kena pandai"

"Saya belum fikir hendak kawinlah Mak Wa.."

"Eh, jodoh pertemuan di tangan tuhan"

"Muda lagi lah Mak Wa..saya hendak belajar tinggi hingga ke luar negeri"

"Jodoh tiba tidak tercepat dan tidak terlambat"

"Mak Wa...kalau mak tahu, mati saya nanti!

Diam.

Esoknya pagi-pagi lagi Mak Wa telah masuk ke dalam kereta. Beliau duduk di tempat duduk belakang dengan bekalan pakaian yang dimasukkannya ke dalam beg pelastik sahaja. Apabila matahari mulai meninggi, kami cemas. Puas di pujuk, namun Mak Wa berkeras hendak menunggu di dalam kereta.
"Mak Wa, masih awal pagi lagi. Abah kata kita pergi selepas solat
Jumaat. Pukul tiga petang nanti
"
Itulah perubahan di dalam diri Mak Wa. Perangai yang paling ketara adalah beliau sering sahaja hendak mengikut anak-anaknya pergi berjalan dengan bekereta. Namun, kadang kala Mak Wa terpaksa ditinggalkan jika sesuatu urusan itu [urusan rasmi] perlu dilakukan dengan cepat dan pantas.

Mak Wa masih berkeras. Beliau masih tidak berganjak. Lagaknya seperti budak-budak.

"Mak Wa..mari kita masuk dahulu. Kita mandi dan pakai baju baru"

"Mak Wa sejuk, rasa macam hendak demam"

"Oo..tidak apa. Mari kita mandi dengan air panas. Lepas mandi nanti kita
makan tengahari"

"Awak jangan tinggalkan Mak Wa ya"

"Tidak.."

"Betul? "

"Ya..Mak Wa tahukan, saya sayang kan Mak Wa...?

Diam. Di dalam kesukaran saya teruskan pujukan. Jika dahulu Mak Wa lah yang memujuk kini tiba pula giliran saya.

"Mak Wa mesti ikut saya. Kita pergi ke Dungun bersama-sama.."

Saya mengenggam erat tangan Mak Wa, memberikan keyakinan kepadanya. Saya merenung sayu ke wajahnya. Tanpa disedari ada air mata basah di pipi. Wajah Mak Wa yang redup dan pelipis matanya yang berkeriput kelihatan merenung jauh mengenangkan masa yang silam. Mak Wa berjaya saya bawa keluar dari kereta perlahan-lahan.

Rupa-rupanya usia telah mengubah segalanya.

Saturday, October 17, 2009

Kenangan 4 : Di pinggir kuburan

Hanya tinggal sehari lagi saya akan berangkat ke kampus UiTM Dungun (ketika itu ITM). Mak meminta saya menyemak barang keperluan. Berkali-kali check list di belek dan barangan di kumpulkan dari satu sudut ke satu sudut.

Sementara menunggu hari berangkat pergi, ramai rakan-rakan yang menelefon mengiringi permergian sambil mendoakan kejayaan. Ada di antara rakan-rakan yang sebak, sedih dan sayu apabila mengenangkan entah bilakah lagi kami akan bertemu.
"Janganlah bersedih. InsyaAllah, jika panjang umur kita akan bertemu kembali dengan izin Allah.."
Saya bercakap dengan penuh keyakinan dengan kuasa Allah. Tetapi jauh di sudut hati sebenarnya saya akui, entahkan selepas ini kami dapat bertemu lagi. Jika berjumpa sekalipun barangkali kami tidak lagi seperti dahulu. Masa, keadaan dan tempat pasti merubah segalanya.

"Tentu kami tidak akan berjumpa dengan kawan yang gila-gila sekepala!

"He..he..he gila macam mana?"

"Gila! Hantu kubur pun takut kepadanya!"

Lalu, kami ketawa sehingga keluar air mata.

Rakan-rakan [ Cik Ani, Jai, Roy dan Adib] mendapat berita bahawa saya dan Dilla berjaya bermalam di biara selepas majlis malam perpisahan. Mereka kesal yang amat sangat kerana tidak turut serta. Lalu, saya mencabar mereka agar menerima tawaran yang lebih lumayan. Iaitu bermalam di pinggir kuburan! Mereka teruja.
"Yessss! kami ikut! Kami ikut...!!"
Memang rakan-rakan saya jenis kepala gila-gila dan kaki adventure. Di depan orang, kami tahu untuk menjaga tingkah laku. Tetapi di belakang khalayak ramai, rasa-rasa lasaknya kami lebih daripada budak lelaki! Kami memanjat, kami berlari dan bergelak ketawa sesama sendiri.

Masih teringat lagi ketika itu musim durian. Saya perkenalkan mak dan abah kepada kawan-kawan. Saya tahu mak dan abah tidak suka saya bertandang ke rumah orang. Lebih mudah jika rakan-rakan saya datang ke rumah. Kami mendapat keizinan dari abah untuk membawa rakan-rakan berkhemah dan bermalam di pondok durian.

Petang itu, kami ke kebun durian dengan membonceng basikal dari Jementah melalui Kampung Permatang panjang menuju ke Baruh di Kampung Paya Jakas. Kami terus ke pondok durian melalui kebun Mak Uteh dan Mak Ngah.

Bermalam di pondok semasa musim durian bukanlah suatu perkara yang menghairankan. Ia adalah perkara biasa dilakukan oleh mak-mak dan bapa saudara saya. Malah kami akan menunggu di pondok durian berminggu-minggu lamanya. Seronok seperti main pondok-pondok.

Apabila Mak Uteh mendapat tahu kami akan bermalam di situ, dia menghantar makan malam dan lampu gasoline. Kami fikir ingin menghidupkan unggun api sahaja.

Kebun durian abah paling hampir dengan kuburan. Namun, apabila malam menjelang kami langsung tidak perasaan. Malam itu berbagai aktiviti yang kami lakukan. Di antaranya adalah siapa paling banyak memunggut durian dan siapa paling cepat mengupas durian.

Dilla, Jai dan Cik Ani sejak petang lagi berlumba-lumba mengutip durian luruh lalu terkial-kial berusaha mengopek, mengeluarkan isi durian segar dari pangsanya. Sedaya upaya! Suasana ceria dan diselangi dengan gelak ketawa.

Keesokan harinya kami dikhabarkan dengan berita bahawa orang-orang kampung dan pemilik kebun durian yang berdekatan merasa seram serta ketakutan kerana mereka terdengar hilai ketawa yang datangnya dari kuburan lama!

Wednesday, October 14, 2009

Kenangan 3 : Bermalam di Biara 3

Saya tidak pernah terfikir bahawa saya akan bermalam di biara [convent] dan melihat apa yang terdapat di dalamnya.
Sebenarnya sepanjang saya bersekolah di situ, memang hati saya sentiasa berkata-kata dan berbisik-bisik kepada Allah,"Apakah yang dilakukan oleh penghuni di dalamnya?"

Benarlah firman Allah SWT yang bermaksud :

"Sesungguhnya kami mencipta manusia dan kami mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya dan sesungguhnya kami lebih hampir kepadanya daripada urat lehernya sendiri." Qaf, ayat 16
Ia suatu perasaan yang membuak-buak. Pernah suatu masa ketika waktu rehat, saya merayau-rayau di segenap penjuru kawasan. Saya ingin sekali melihat apa yang dikatakan bekas "Holy water". Saya ingin sekali melihat bagaimana dikatakan sister-sister beribadat, meratap membaca kitab yang bunyinya mendayu-dayu seumpama mentera.

Sebenarnya semenjak dari sekolah rendah [Sekolah Rendah Inggeris Labis] lagi saya telah menerima dakyah dan propaganda dari rakan penganut kristian. Rakan saya [Sue Tzen] seringkali membawa buku-buku cerita yang dipinjamnya dari gereja. Saya membacanya tetapi seringkali hati saya bercelaru dan keliru dengan penerangan yang saya terima dari ustaz/ustazah di sekolah agama.

Pernah suatu masa saya bercerita kepada Tuti tentang apa yang saya tahu tentang fahaman itu. Tuti secara tidak sengaja bercerita kepada mak dan abah. Saya menerima padah!

Benar! Allah lah yang mengerakkan dan membawa kami bermalam di situ. Hampir setiap setengah jam kami dikejutkan oleh ketukan di pintu oleh sister-sister yang ramah mesra perawakannya. Mereka beria-ia benar untuk menyediakan keperluan terutamanya minuman.

Apabila keadaan malam semakin larut, senyap sunyi dan sepi, kami merancang untuk menyelinap keluar melihat keadaan sekitar. Barangkali kami banyak sekali terpengaruh dengan cerita-cerita penyiasatan seperti Nancy Drew atau Famous Five tulisan Enid Blyton.

Subhanallah! Kami melihat apa yang ingin kami lihat. Kami mendengar apa yang ingin kami dengar. Mungkin Allah sedang meminta kami mempelajari sesuatu tentang ketuhanan, tentang kepercayaan dan aqidah.

Kami melihat bagaimana mereka beribadat dengan khusyuk dan penuh pengabdian di sepanjang malam. Tetapi pada fikiran kami alangkah ruginya...kalaulah mereka tahu bahawa apa yang mereka lakukan itu adalah perkara yang sia-sia dan akan membawa mereka ke neraka..

Apabila pulang semula ke bilik, kami mula muasabah diri.


Syukur Alhamdulillah ya Allah kerana saya dilahirkan sebagai Islam! Dan jadikan akhir hayat saya juga sebagai Islam dengan ucapan yang terlafaz di hujung nyawa nanti dapat mengucapkan "Laillah ha illah Muhamad da rasulullah".

Dan ketika itu saya sudah redha dengan segala ketetapan-Mu. Saya hanya menerima dan tidak lagi meminta-minta. Ketika itu saya sedang tunduk sujud rebah kepada-Mu.

Ya Allah, hidupkan lah kami dengan iman dan matikan lah kami dengan iman.

Monday, October 12, 2009

Kenangan 3: Bermalam di Biara 2

Di sebelah pintu masuk bangunan tiga tingkat itu terdapat papan tanda tertera nama serta nombor bilik sister di sebelahnya. Mata kami mencari nama Sister Mary. Dia guru bahasa Inggeris kami. Apabila loceng dibunyikan, terpacul seorang sister yang kami kenali : Sister Mary!

Beliau nampak terkejut sekali dengan kemunculan kami. Ya lah. Siapa yang akan menyangka terdapat dua orang pelajar sesat pada waktu malam yang agak lewat berani menumpang tidur di biara.

"What both of you doing here at this time?

"Sister..we don't have a place to sleep"

"Oh dear.. Please come in"

Sister Mary membawa kami ke tingkat atas. Sambil berjalan, beliau menerangkan fungsi biara itu kepada kami apabila di tanya kepadanya. Beliau berkata terdapat beberapa orang sister yang menghuni di situ. Mereka itulah yang memberikan khidmat sosial kepada masyarakat setempat.

Kami dapati, di setiap penjuru tangga terdapat patung perempuan yang mengendung anaknya. Semakin tinggi tangga kami daki, semakin jelas kedengaran suara orang-orang seperti meratap membaca mentera.

"Baca Al- Fatihah"


Saya berbisik kepada Dilla. Dia angguk.

Sister Mary membawa kami ke ruang utama dan berbincang dengan beberapa orang sister-sister yang lain. Kemudian Sister Mary membawa kami kesebuah bilik yang terdapat dua buah katil bujang didalamnya. Sebelum pergi, sister Mary bertanyakan samada ada apa-apa keperluan yang kami inginkan. Kami mengelengkan kepala dan mengucapkan terima kasih kepadanya.

Ruang bilik itu kecil sahaja. Selain dua buah katil bujang, terdapat sebuah almari baju. Di dalam lacinya terdapat sebuah Bible. Perasaan ingin tahu menghantui diri. Kami membelek-belek serta membaca beberapa mukasurat di dalamnya. Kesal dengan setiap petikan, kami memasukkannya semula ke dalam laci itu. Kemudian kami berbincang.

Di dalam bible itu menyatakan bahawa orang-orang kristian percaya bahawa Isa anak Maryam adalah anak tuhan. Tetapi persoalanannya mengapa mereka tidak takut menyiksa lalu merancang untuk membunuh anak tuhan itu. Tidak takutkah mereka kepada tuhan? Bayangkan jika kita sebagai ibubapa mengetahui siapa yang menyeksa atau membunuh anak kita. Apakah tindakan kita?

Di dalam menjawab fitnah yang telah ditimbulkan oleh orang-orang yahudi dan kristian melalui kitab Taurat dan Bible mereka, maka Allah SWT juga telah menyatakan secara jelas di dalam al-Quraan:

Dan kerana ucapan mereka ,"Sesungguhnya kami telah membunuh Al Masih Isa anak Maryam pesuruh Allah. Dan sebenarnya, mereka tidak membunuhnya dan tidak pula menyalibnya, tetapi ( yang mereka bunuh itulah) orang yang diserupakan dengan Isa bagi mereka. Sesungguhnya orang-orang yang berselisih faham tentang (pembunuhan) Isa benar-benar di dalam keraguan tentang yang di bunuh itu.

Mereka tidak mempunyai keyakinan tentang siapakan yang sebenarnya di bunuh itu, kecuali mereka hanya menurut sangkaan mereka sahaja. Mereka tidak pula yakin bahawa yang mereka bunuh itu, adalah Isa. Tetapi (sebenarnya) Allah telah mengangkat Isa kepada-Nya. Dan adalah Allah itu, Maka Perkasa lagi Maha Bijaksana. Surah An-Nisa' : ayat 157-158

Kemudian mereka mengubah cerita dengan menyatakan bahawa kematian Isa adalah sebagai menebus dosa-dosa umatnya. Patutkah begitu? Nabi Isa berjuang untuk mengajak umatnya menyembah Allah tetapi di tentang habis-habisan. Kemudian umatnya merancang suatu pembunuhan kejam terhadap orang yang di dakwa akan menghapuskan dosa mereka? Bukankah setiap manusia itu bertanggungjawab dengan apa yang mereka lakukan? Kenapa mesti orang lain di seksa untuk menebus dosa mereka.

Masing-masing diam. Amat benarlah firman Allah di dalam Al-Quran:

"Maka kecelakaan yang besarlah bagi orang-orang yang menulis (merubah) al-kitab dengan tangan mereka sendiri kemudian mereka mengatakan," Inilah dari Allah"(dengan maksud) ingin memperolehi keuntungan yang sedikit dari perbuatan itu. Maka kecelakaan besarlah bagi mereka, di atas apa yang telah mereka kerjakan" Al- Baqarah, ayat 79.

"Tidak lain yang takut kepada Allah ialah melainkan hamba-hamba-Nya yang
mempunyai pengetahuan..." Fathir, ayat 28

Friday, October 9, 2009

Kenangan 3: Bermalam di Biara 1

Saya hampir tidak dapat melelapkan mata sepanjang malam. Hati berdebar-debar. Takut dan gementar.

Bagaimana mungkin saya dapat menyesuaikan diri dengan kampus dan asrama? Selama hampir 18 tahun saya tidak pernah berenggang dengan mak dan abah. Kini saya harus belajar hidup sendiri. Harus belajar berdikari. Harus berani berhadapan dengan rakan-rakan baru. Saya perlu berubah.

Ketakutan yang dirasa tidak pernah saya alami sebelum ini. Takut? Rasanya ia tidak pernah ada di dalam kamus hidup saya. Lalu, saya teringat peristiwa di malam perpisahan Sekolah Menengah Canossian Convent, Segamat.

Saya mengikut gerak hati. Tidak pernah langsung memikirkan dimanakah saya akan bermalam selepas selesai majlis perpisahan. Saya sendiri tidak faham mengapa saya tidak ada perasaan. Saya benar-benar menyerahkan diri kepada tuhan. Allah yang Maha Kuasa.

"Awak hendak tidur di rumah siapa nanti?"

"Belum tahu lagi. Susah-susah...kita bermalam sahaja di sekolah"

"Nak tidur di mana?"

"Di dalam kelas"

Ya Allah. Saya sendiri tidak tahu apakah yang akan terjadi. Tetapi saya memang sudah bernekad dan menyerah diri. Saya tidak mahu menyusahkan kawan-kawan. Saya serahkan diri kepada tuhan kerana saya percaya ada jalan yang akan ditunjukkanNya.

"Betul awak hendak tidur di dalam kelas?"

"Ya..kalau terpaksa"

"Yesssss! Saya ikut. Saya ikut"

Kami menjadi sangat teruja. Ada beberapa rakan pada asalnya ingin turut serta dengan 'adventure' yang saya cadangkan. Tetapi di akhir majlis hanya Dilla sahaja yang berani untuk meneruskannya. Mak dan abah langsung tidak tahu menahu tentang perkara itu. Apabila di tanya mahu tidur di mana, saya katakan itu urusan Dilla.

Apabila lampu sekolah mula di tutup satu persatu dan hanya lampu di jalan sahaja yang dibiarkan menyala, kami berjalan pantas menuju ke kelas - 5 Sains 2. Kami rapat-rapatkan meja dan mengalihkan kerusi ke tepi. Lalu, kami berbaring di atasnya.

Beberapa ketika, keadaan menjadi senyap dan sunyi. Sepi! Keadaan kelas agak suram. Hanya terdapat sedikit cahaya lampu jalan yang berbalam-balam masuk ke celah pintu kelas. Saya dan Dilla berbaring sebelah menyebelah berbantalkan lengan. Tiada komunikasi. Sesekala kami bergerak serta berpaling ke kiri dan ke kanan.

Keadaan amat tidak selesa. Tambahan pula nyamuk berkitar-kitar berterbangan di sekitar telinga. Malam itu kami sibuk menampar nyamuk yang bunyinya berdengung-denggung.

Kami tidak dapat tidur. Tiba-tiba Dilla membuat suatu cadangan gila lagi tidak masuk akal yang di sokong oleh rakan yang tidak berakal :

"Jom kita tumpang tidur di Biara [kediaman sister-sister di convent]"

"Jom.. "

Kenangan 2 : Majlis Perpisahan

Salah satu pakaian yang saya bawa bekalan untuk ke universiti nanti adalah sepasang seluar panjang [slack] berwarna merah samar mengikut trend semasa itu dan sepasang seluar hitam. Itu sahaja seluar panjang yang saya ada. Saya membelinya dengan mengumpulkan duit saku sendiri.


Saya letakkan seluar hitam bersebelahan dengan kemeja lengan panjang bercorak kotak-kotak dan belang-belang kepunyaan abah. Memang saya suka memakai kemeja abah terutamanya mana-mana kemeja yang abah tidak lagi padan kerana masalah kebuncitan. Abah hanya membiarkan sahaja saya memakai kemeja yang tidak lagi digunakan.

Melihat seluar hitam, saya kembali mengimbau kenangan semasa majlis perpisahan.

Pada hari terakhir kertas peperiksaan SPM, sebelah malamnya sekolah kami mengadakan majlis perpisahan untuk seluruh pelajar tingkatan 5. Sejak awal tahun lagi tarikhnya telah dimaklumkan kerana ianya merupakan suatu acara tahunan.

Beberapa minggu sebelum itu, kami telah berpakat-pakat dan berbincang tentang tema pakaian apa yang harus di pakai. Ada yang mencadangkan "Fancy dress", Kebaya, Era 60-an , black & white, Red Dragon dan berbagai tema. Tema yang dipilih adalah putih atau hitam.

Untuk mengadakan majlis seperti itu, ketua murid menubuhkan sebuah jawatankuasa dan saya adalah salah seorang daripadanya. Perbincangan demi perbincangan diadakan berbulan-bulan. Saya mendapat tugasan untuk membuat tempahan dan seterusnya menguruskan satay.

"Aja..awak tempah 1000 cucuk satay dengan Mak Misah. Rumah awak dekat dengan rumah dia kan?"
"Cik Ani, Dilla, Yatie..cari tempat bakar satay. Kipas, minyak masak dan serai"
"Jai, Roy, Ann, Hamidah, Ju ...awak kena bergilir-gilir bakar satay"


Saya membuat agihan kerja ala-ala Tai Chi manager.

Untuk menghadiri majlis itu kami terpaksa mencari pakaian berwarna hitam. Sudah tentu putih tidak sesuai memandangkan tugasan kami akan berhadapan dengan bara arang

Kenapalah kena ada tema? Selama ini, saya memakai seluar panjang abah yang telah mak masukkan ke dalam buntilan untuk diagihkan kepada orang lain. Seluar itu saya ikat di pinggang mengunakan lebihan kain perca. Saya tidak kisah apa orang lain kata kerana pakaian itu saya gunakan untuk memanjat sahaja. Lagipun, baju kemaja yang panjang sedia menutup bahagian pinggang. Tiada siapa tahu ada tali pinggang kain perca didalamnya.

Tetapi untuk majlis seperti itu, saya harus berpakaian baru. Untuk itu, berbagai perkara yang saya lakukan sejak awal tahun sehingga akhirnya saya dapat menggumpulkan sedikit wang. Di hujung minggu, saya mengambil upah menjadi pembantu kedai di warung Ucu Zainon.

Warung Ucu Zainon letaknya berhampiran dengan rumah kami. Ia terapit di antara pejabat pos dan balai polis Jementah. Di hujung minggu, warung itu betul-betul menghadap pasar malam. Pilihan tempat yang tepat! Saya membantu mereka mengambil tempahan makanan pelanggan, membersihkan meja dan membasuh pinggan.

Selain dari berniaga warung, mereka juga menjual ayam percik yang enak di pasar malam, tetapi untuk mencadangkan ayam percik itu kepada Jawatankuasa Majlis Perpisahan tidak akan saya lakukan.

Saya teringat Atok Abah berpesan agar tidak mengambil kesempatan demi kepentingan peribadi. Hakikat sebenarnya iblis meronta-ronta dan syaitan merasuk sehebat-hebatnya di dalam diri.

"Cadangkan ayam percik. Kenapa mesti satay? Tidakkah kita mahukan kelainan?"

Namun, saya tidak melayan bisikan syaitan.

Sepanjang saya menjadi pembantu kedai di warung Ucu Zainon, terdapat kata-kata yang tidak sedap di dengar dari pengunjungnya.

"Wah..bila awak mula bekerja di sini? Tidak lulus SPM lah ni..."

"Nanti kalau tidak lulus SPM..kawin dengan abang hendak tak?"


Itulah antara kata-kata yang sering di tuju main-main kepada saya. Senyum sahaja sambil mengelap meja atau memunggut gelas dan pinggan kotor. Walau hati di dalam terluka dengan kata-kata mereka.

"Ya Allah..tabahkan hati. Semuga kata-kata mereka tidak dimakbulkan oleh-Mu. Jadikan hari esok lebih baik dari hari semalam. Ya Allah..temukan jodohku yang lebih baik daripada mereka!"

Upah menjadi pembantu kedai di warung Ucu Zainon cukup untuk saya membeli sepasang seluar hitam dan sepasang seluar berwarna merah samar. Baju hitam? Baju kemeja abah sahaja. Ah! Siapa peduli. Lagipun siapa yang tahu. Hanya Allah.

Saya tenung dan lipat semula seluar panjang berwarna hitam dan masukkan ke dalam beg besar. Seluar berwarna merah samar? Bila pula saya berpeluang untuk memakainya. Saya akan mencari kemeja atau blouse rona warna yang sama. Pasti saya akan memakainya di suatu masa yang istemewa!


Wednesday, October 7, 2009

Kenangan 1 : Di KFC

Semasa menyimpan barang-barang keperluan asrama ke dalam beg, saya terpandang tisu KFC [ Kentucky Fried Chicken] terjatuh dari dalam laci meja di bilik saya. Tisu itu sengaja di simpan sebagai kenangan kerana ada cerita di sebaliknya.

Terpandang tisu itu, saya mengimbau kenangan lama.

Semasa di dalam tingkatan 5, makanan segera seperti KFC adalah merupakan "makanan untuk orang kaya-kaya" sahaja. Ia merupakan sejenis makanan idaman. Bagi kami yang kurang berada, untuk makan di tempat seperti itu hanya dapat dilakukan sekali-sekala. Itupun dengan melakukan sedikit pengorbanan - iaitu mencatu duit saku belanja harian persekolahan.

Caranya adalah dengan menetapkan tarikh keramat di hujung bulan sebagai sasaran. Apabila jumlah yang terkumpul telah mencukupi, barulah kami akan berpakat beramai-ramai ke KFC.

Kedai makanan segera KFC pada ketika itu berada di dalam perjalanan antara Sekolah Menengah Convent ke perhentian bas. Ia terletak di dalam bangunan kompleks membeli belah Segamat Intan (Housemaker Complex) yang bersebelahan dengan balai bomba Segamat.


Suatu petang, kami telah berpakat untuk ke tempat itu selepas waktu persekolahan. Sebaik sahaja loceng sekolah berdering pada pukul 1.30 tengahari kami berjalan secara berlari-lari pergi ke KFC.

Biasanya saya dan Cik Ani akan mendahului rakan-rakan yang lain. Sebagai kumpulan pertama, tugasan kami adalah membuat tempahan meja dan makanan. Kami akan memilih tempat yang paling strategi kerana ketika itu makanan segera akan di hantar secara hidang berserta pisau dan garfu besi. Pekerja pula akan menuntut bayaran di meja pelangan.

Budaya pisau dan garfu adalah terlalu asing untuk kami. Biasa juga bergilir-gilir ketulan ayam goreng kami terpelanting dari pinggan. Malah di meja kamilah bunyi ketukan pisau dan garfu 'tanpa niat dilakukan' kedengaran berdentum-dentam! Mungkin sebab itulah KFC menukar slogan "Fingers lickin' good!" supaya orang Malaysia tidak malu-malu menggunakan tangan.

Tiba-tiba..
"Berdua sahaja makan di KFC?"

Sesaorang yang dikenali menyapa saya ketika di kaunter tempahan. Dia dan seorang rakan mengambil pinggan tambahan untuk di bawa ke meja berhampiran.

"Eerrr..tidak..ada lagi kawan"


"Orderlah. Order sekali untuk kawan..nanti abang bayar"


Saya dan Cik Ani berpandangan. Membeliakkan mata serta tersenyum lebar.

"Betul ke? Halal?"


"Ya..tempah sekali untuk kawan"


Abang itu [ click di sini] berlalu pergi ke arah meja rakannya. Membiarkan kami membuat tempahan. Dengan pantas sekali kami lakukan. Rezeki jangan di tolak, bala jangan di cari!

Sambil menunggu tempahan dan rakan-rakan, kami mencuri pandang kepada abang itu dan rakannya. Kami tahu bahawa mereka juga melakukan perkara yang sama. Apabila kami bertembung pandang, senyuman lebar kami hulurkan.

Beberapa minit kemudian, tempahan makanan serta enam orang rakan-rakan yang lain serentak tiba. Kehadiran mereka menghuru harakan suasana. Riuh rendah sekali. Saya menunjukan isyarat agar mereka memperlahankan suara. Dalam masa yang sama, abang itu kedengaran seperti terbatuk-batuk kecil. Mungkin tersedak agaknya.

Saya melemparkan senyum paling manis dan paling lebar ke arah abang itu dan rakannya.
"Halal...?"

"Huk..huk..[batuk] Yaa...halaalll"

Tuesday, October 6, 2009

Fasa 3 : Medical check-up

Malam yang panjang.

Surat tawaran ke universiti di negeri ulek mayang mengusarkan saya. Ia suatu perasaan yang bercampur aduk. Gembira dengan tawaran melanjutkan pelajaran tetapi sedih untuk meninggalkan kampung halaman.

Masih terkenang bagaimana saya mengisi beberapa borang permohonan di universiti-universiti tempatan berdasarkan kelayakan keputusan SPM beberapa minggu sebelum itu. Buntu. Sambil melihat program yang ditawarkan, kepala ligat memikirkan apakah kerjaya yang paling layak untuk saya.

Seluruh keluarga sebelah abah kebanyakannya bekerja sebagai guru. [cerita hari guru dan guru.] Abang dan kakak sepupu juga memilih kerjaya mereka sebagai seorang guru. Jika saya meminta nasihat serta pandangan, mungkin itulah saranan mereka.

"Guru? Mungkin tidak!"
Semasa kecil, kerjaya itulah yang memikat hati saya. Saya akan berusaha mengumpulkan anak-anak jiran tetangga dan mengajak mereka bermain cikgu-cikgu. Saya mengajar mereka membaca dan mengeja. Kadang-kadang saya mencipta lirik lagu dan memaksa mereka menghafalnya.


Saya berperang di dalam hati. Sebenarnya saya menyukai kerjaya yang membolehkan saya memakai Blazer dan memegang brief case hitam. Atau memakai pakaian berjenama yang sedondon warna [ pakaian, kasut serta tas tangan] seperti yang disarankan di dalam majalah hiburan. Terpengaruh dengan gaya dari cerita-cerita televisyen yang dipaparkan.
"Saya ingin keluar dari kepompong itu! Saya ingin bekerja di syarikat korporat atau menjadi seorang banker. Diploma Perbankan adalah pilihan saya!"
Beberapa minggu sebelum itu, kawan-kawan di sekolah memaklumkan tawaran tempat pengajian. Jai, Raha dan Wati mengikuti kursus persediaan ke luar negara. Masing-masing tidak putus-putus bercerita mengenai pilihan negara yang ingin menawarkan tempat pengajian untuk mereka.

Adib ditawarkan ke universiti tempatan di ibu negara. Dia memilih matrikulasi dan bercadang untuk menjadi seorang doktor gigi. Dilla memilih bidang pengajian tentang pertanian atau penternakan di universiti daerah Serdang. Saya dan Cik Ani memilih bidang perbankan. Cik Ani di Shah Alam, manakala saya di negeri ulek mayang [Dungun,Terengganu]

Kami sama-sama pergi ke hospital Segamat membuat Medical check-up dan membeli peralatan kelengkapan asrama di bandar. Masing-masing berwajah ria. Terasa menjadi orang dewasa.

Tiba-tiba sikap mak dan abah berubah terhadap saya. Mereka juga kelihatan ceria. Tidak membantah apabila saya meminta izin untuk menyertai rakan-rakan membeli kelengkapan malah memberikan saya sejumlah wang untuk digunakan.

Bersama rakan-rakan, terkenang banyak peristiwa yang di kongsi bersama...

(Flash back - Kenangan 1)

Monday, October 5, 2009

Epilog 3

Hidup ini umpama menyudahkan sebuah novel yang entah bila berakhirnya. Setiap hari peristiwa yang dilalui umpama helaian muka surat yang hanya empunya plot novel itu sahaja yang tahu kesudahannya. Dia yang satu - Allah S.W.T

Setiap episod ada cerita suka yang membuat kita tertawa terkadang kita mengalirkan air mata. Namun, kebanyakannya ia sebuah cerita kehidupan yang penuh dengan pengajaran jika kita menghayatinya dengan hati nurani. Mata hati.

Ada juga kejadian yang rupanya hampir serupa dengan jalan cerita kehidupan orang lain. Mirip sekali. Namun, ia berlaku dengan aplikasi yang berbeza dan di tempat yang tidak sama. Begitulah, kerja Allah. Dialah yang maha berkuasa memaniskan titik akhir kejadian yang pahit dan memuramkan episod kejadian pada permulaannya kelihatan seperti mengembirakan. Kesudahannya amat mengesankan.

Tahulah saya, rupanya hidup ini dibahagikan kepada beberapa fasa. Di dalamnya terdapat beberapa episod. Ia seolah-olah sebuah drama yang jalan ceritanya tidak tergambarkan oleh tuan punyi diri ketika kajadian. Maknanya plot ceritanya telah ada tetapi pelakun utama sendiri tidak mampu mentafsirkan sendiri. Dirinya bukan miliknya. Ia umpama boneka tetapi diberikan akal untuk berfikir setiap kejadian. Lantas membuat pilihan di antara kebaikan atau kejahatan.

Kadang-kadang aturan perjalanannya umpama sebuah papan permainan Dam tangga dan ular. Bergerak mengikut hitungan numbor dadu yang dilemparkan. Kadang-kadang ia bergerak pantas meniti anak tangga. Di masa yang lain terpaksa memulakan perjalanan semula apabila dadu yang dilemparkan terkena nombor yang di makan ular!

Fasa 1 adalah ketika di zaman kanak-kanak di mana sawah bendang dan alam semesta adalah merupakan padang permainan. Setiap objek memberikan pengajarannya. Zaman di mana kegembiraan tiada had limitnya. Semuanya mengembirakan.

Usia remaja merupakan Fasa ke 2 di dalam kehidupan. Allah mengajarkan tentang emosi dalaman yang baru diterokai. Bagaimana menguasi diri di dalam setiap kejadian. Akhirnya menyerahkan diri kepada-Nya kembali untuk membuat sesuatu keputusan.

Berjauhan dengan keluarga buat pertama kali kerana melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi merupakan Fasa ke 3 di dalam kehidupan. Mengupas tentang dilema jiwa remaja yang berperang dengan perasaan. Gelodak jiwa yang mengeleggak bercampur dengan harapan ibubapa untuk melihat kejayaan. Antara janji untuk diri dan memegang janji orang.

Fasa 3 banyak di kupas di dalam Fasa 4 apabila terlontar berjauhan di rantau orang. Setiap ruang digunakan untuk mengenangkan perihal diri, bagaimana tindakan diri di Fasa 3 memberikan implikasi besar di Fasa 4. Ia fasa yang sedang menuju ke alam dewasa. Perasaan jiwa muda yang berkeluarga tetapi merasakan persiapan diri serba kekurangan.

Fasa 5 menceritakan episod pertentangan perasaan untuk menempa kerjaya diri dan di dalam masa yang sama terpaksa mengalah demi kebahagian orang yang di sayang. Menyerahkan diri kepada Allah dan merelakan Dia mengaturkan segalanya.

Di dalam fasa yang ke 6, menceritakan bagaimana Allah menjadikan kejadian di Fasa 5 punca modal motivasi besar untuk berubah. Mengutip setiap minit yang ditinggalkan yang masih tersisa di belakang dengan bergerak perlahan-lahan. Langkah semakin dewasa lagi lemah malah tidak berdaya tetapi demi memegang janji yang belum kesampaian lalu, pendakian diteruskan. Ketika itu Allah banyak membantu dengan kasih sayang-Nya.

Akhirnya, Fasa 7 seolah-olah menuju pencarian yang di cari menuju destinasi. Suatu perjalanan yang sunyi sepi namun penuh muasabah diri. Menilai kembali setiap kejadian, mensyukuri nikmat yang dipinjamkan malah menghargai setiap pengajaran yang dilalui. Lalu, nikmat Allah yang mana satukan yang hendak di dustakan?

Pertama Ramadhan
22 Ogos 2009