Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Tuesday, March 29, 2011

Ikan percik

Julai 1985.
Petang Jumaat itu kami sekeluarga berangkat ke Dungun, Terengganu dengan kereta Morris Marina. Percutian wajib keluarga. Abah arahkan semua adik-beradik menghantar saya - Ratna, An, Ayu dan Razif. Selain dari saya dan mak wa. Kami berasak-asak duduk di kerusi belakang kereta.


Saya meninggalkan kampung halaman dengan perasaan yang berbagai. Itu pengalaman pertama saya berjauhan dengan keluarga.

Saya tidak sanggup meninggalkan keluarga, namun apakah pilihan yang saya ada? Sampai bila saya mahu berada di bawah ketiak mereka? Mahu atau tidak, hidup perlu diteruskan. Kata abah, "Ilmu suluh hidup dan kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya."

Sepanjang perjalanan, Mak wa sentiasa di sisi saya. Keadaan mak wa bukan lagi seperti waktu saya kecil dahulu. Usia telah mengubah segalanya. Dia asyik membilang kenderaan yang berselisih dengan kereta kami. Sesekali mak wa membuat laporan tanpa di minta.

"Ada 139 kereta, 21 van dan 10 lori..."

Jauh sungguh perjalanan yang di tempuh. Hampir tengah malam baru sampai. Abah mengambil keputusan menumpang bermalam di Jabur, rumah kakak jiran sebelah rumah. Barangkali juga kerana kami sekeluarga tidak mampu menyewa hotel atau abah memang tidak biasa.

Esoknya kami menyambung perjalanan ke Institut Teknologi MARA [ITM] Dungun. Setelah selesai pendaftaran pelajar di Dewan Sri Sura ITM Dungun, kami dibenarkan makan tengahari bersama keluarga. Petang itu sesi minggu silaturahim akan bermula.

Abah membawa kami menyusuri pantai dan akhirnya menuju ke Kuala Dungun. Kami mencari gerai makan penduduk tempatan. Benar, abah berhenti di sebuah gerai yang sedang membakar ikan di atas dapur arang. Aromanya memecah selera.

"Ikan percik..?"

Saya pernah melihat Ucu Enon menjual ayam percik di pasar malam. Ikan? Itu pertama kali saya melihat ikan bakar di percik dengan kuah santan pekat berwarna putih. Emak mengambil dua ekor ikan itu dan kami kongsi makan beramai-ramai. Menjamahnya secubit demi secubit. Sedapnya bukan kepalang!


"Ini kawasan ikan. Sedap, makan ikan segar."

Semasa di ITM, saya pernah tersedu apabila melihat setiap seorang pelajar mendapat seekor ikan bagi makan tengahari dan makan malam. Bayangkan, seekor ikan cencaru goreng bagi saya saorang!

Subhanallah! Maka nikmat Allah yang mana satukah mahu didustakan?

Saya terkenang , jika emak mengulai atau mengoreng ikan bagi kami sekeluarga, jumlahnya paling banyak hanya tiga atau empat ekor sahaja. Hari ini, seekor ikan percik mampu di makan bagi saya seorang. Namun, nikmatnya tidak sama seperti ikan percik yang di cubit beramai-ramai sewaktu pertama kali kami makan bersama keluarga.

Hari ini, kami adik-beradik barangkali menikmati ikan percik bersama keluarga sendiri. Ikan itu masih lagi ikan yang sama, namun rasanya mulai berbeza.

Sunday, March 27, 2011

Puteri Mandi

Sewaktu kecil, abah saya sering berkata,

"Masa itu ibarat emas. Emas bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Kita perlu berusaha untuk mendapatkannya."

Barangkali itu yang membuatkan abah menjadi seorang yang kuat bekerja. Dari pagi hingga ke senja. Malah, dia tidak pernah menjadikan hari minggu sebagai masa rehat. Abah tidak pernah memanjakan diri.

Barangkali itu juga membuatkan dia cepat berang apabila melihat kami bersuka-suka, membuang masa dengan sia-sia sahaja. Bagi abah, setiap orang mempunyai 24 jam waktu yang sama. Yang membezakan sesaorang adalah bagaimana masa yang dimanafaatkan oleh mereka. Abah mahu kami menjadi sepertinya.

Saya seorang anak yang kuat merajuk. Apabila abah mula mengeluarkan suara yang tinggi kepada anak-anaknya, saya akan terus melarikan diri. Mencari mak wa. Mak wa tidak pula membela saya. Malah dia menerangkan kenapa dan mengapa itu berlaku.

"Abah awak pasti tidak marah jika awak tidak melakukan kesalahan. Dia penat. Dia bekerja keras untuk masa hadapan anak-anak. Tidak bolehkah awak memberikan sedikit kegembiraan kepadanya. Buat sesuatu yang dia suka... baca buku, belajar.."

Saya hanya diam tetapi sebenarnya menangis sambil menjawab-jawab di dalam hati. Lalu, mak wak mengajak saya ke dapur kecilnya. Mak wa akan terus bercerita dan bercerita.

"Mari mak wa ajar awak buat kuih puteri mandi. Itu kesukaan abah awak."

Mak wa akan meminta saya mengambil itu dan ini. Buat itu dan ini. Sementara saya terus diam membisu tanpa berminat untuk berkata apa-apa. Benar, diam itu lebih baik kerana di dalam diam kita mampu berfikir secara rasional.

Hari ini, saya sudah tidak pandai merajuk lagi. Waktu itu sudah berlalu. Malah abah juga sudah bertahun-tahun tidak meninggikan suaranya, yang tinggal hanya bisikan perlahan. Bahasa badan yang meraih simpati. Susuk tubuhnya yang dahulu kuat bekerja kini lemah tiada tenaga. Dia terdampar lesu.

"Ca..mari ke sini. Abah mahu peluk awak."

Saya menuju ke sisi katil. Membiarkan abah memeluk saya. Dengan susah payah abah bersuara;

"Sudah sedikit benar kudrat abah yang tersisa. Cuba awak sebutkan 5 perkara sebelum 5 perkara.."

"Masa lapang sebelum sibuk
"Masa senang sebelum susah
"Masa sihat sebelum sakit
"Kaya sebelum miskin
"Hidup sebelum mati..."

Benar. Tiada apa yang kekal abadi. Semuanya akan kembali kepada Allah S.W.T yang menjadikan langit, bumi dan di antara keduanya. Sesungguhnya kita datang dari Allah, kepadanya jua kita akan kembali. Entah bila dan di bumi mana..

Dan pada ketika itu nanti, tiada ibubapa, tiada suami atau isteri, tiada anak-anak, adik-beradik dan rakan taulan yang datang menolong. Sesungguhnya kita akan menghadap Allah satu demi satu. Sendirian.

"Abah.. sepanjang hidup, abah telah menafaatkan masa yang ada. Itu melebihi segunung emas. Sesungguhnya emas itu tidak boleh di bawa pergi..yang tinggal di dunia ini hanya 3 perkara."

Suara saya tersekat.

"Yang tinggal hanyalah amal jariah, anak-anak yang soleh dan solihah serta ilmu yang bermanafaat. Sesungguhnya... abah telah banyak memberikan ilmu yang bermanafaat kepada kami adik-beradik."

Jika boleh saya ingin bisikkan begitu ke telinga abah. Tetapi saya tidak mampu. Ia tersumbat di dalam hati, terperesuk jauh di dalam dada. Ia terkumpul di dalam pelukan abah yang semakin lemah.

Abah,
Sepanjang hidup abah tidak pernah berhenti bekerja. Kini..berehatlah. Kami mendoakan semuga Allah mencucuri rahmat ke atas roh abah sentiasa. Mengampunkan segala dosa. Semuga Allah membina sebuah rumah bagi abah di sisi-Nya di dalam syurga. Semuga kita bertemu lagi di sana.

Al-Fatihah buat abah, Roslan bin Daud.

Wednesday, March 16, 2011

Keropok lekor kuantan 3

Berita dari Anna muncul hanya setahun sekali, itupun kerana titipan kad sempena raya penganti diri. Namun, tidak pula disertakan alamatnya yang terkini. Saya buntu.

Sekali lagi saya nekad melupai Anna. Namun, kad raya yang terakhirnya saya balas dan poskan ke alamat terakhir yang saya ketahui. Saya catatkan nombor telefon rumah kami di Jementah. Saya memberitahunya tarikh cuti pertengahan semester dan perkembangan terkini maklumat diri.

Kali ini saya memang tidak mengharapkan apa-apa berita darinya lagi. Apatah lagi menerima panggilan telefon kerana pada ketika itu ada panggilan telefon yang lebih istemewa lagi terpaut di hati.

Ketika di cuti pertengahan semester, tahun akhir pengajiandi ITM saya menerima satu panggilan. Emak yang menyambut panggilan itu, katanya dari sesaorang yang bernama Anna. Antara percaya dengan tidak, saya menyambut telefon itu. Emak meneruskan melipat kain di sisi meja telefon, sambil memasang telinga. Saya gugup malah tidak selesa.

"Anna?"

"Ya, Anna buat panggilan dari Kuantan. Awak belajar di ITM Dungun sekarang? Tengah cuti semester?"

"Er, ya..ya cuti. Esok saya harus pulang ke Dungun."

"Bolehlah kita berjumpa di Kuantan. Bersebelahan stesyen bas ada benteng gerai makan menghadap sungai. Pukul tiga petang.."

Hati saya berdegup kencang. Dalam masa yang sama mata saya mengerling ke arah emak. Mata emak mencorong tajam. Cepat-cepat saya berpaling. Tali gangang telefon terbelit, telefon terhempas ke lantai. Talian terputus.

Esoknya saya mengambil tiket bas Segamat-Kuantan yang dijangka sampai pada pukul 2.30 petang. Dari Kuantan saya mengambil tiket bas Kuantan-Dungun pada pukul 4.00 petang. Saya berkira-kira dan peruntukan masa, jika benar Anna ingin bertemu.

Sampai di Kuantan, saya segera menuju ke benteng, arah deretan gerai di pinggir sungai. Saya memilih gerai yang paling bersih, mengambil tempat duduk, lalu menempah minuman. Mata mencari-cari perempuan muda bernama Anna, yang tidak pernah langsung bertemu muka.

Sambil minum, mata saya tertumpu ke arah makcik gerai yang sedang memotong keropok lekor yang besar. Di potongnya keropok itu nipis-nipis, lalu dimasukkan ke dalam kuali besar yang panas. Ia berbeza sekali dengan keropok lekor di Dungun. Resah minum sendirian, saya menempah pula sepiring "keropok lekor Kuantan."

Begitulah. Jika tidak diizinkan Tuhan, hasrat hati tidak mungkin kesampaian.

Sepuluh tahun kemudian, semasa emak mengirim bungkusan kepada kami sekeluarga di United Kingdom, dititipnya sekali poskad dari Anna. Poskad yang tidak bertulis alamat si pengirim. Saya, yang sentiasa nekad untuk melupakannya, namun masih juga mengirimkan gambar keluarga di luar negara. Menggunakan alamatnya yang lama..

Keropok lekor Kuantan dan setem bercop "Pekan, Pahang" , ia kenangan manis dari Anna. Nama itu datang dan pergi. Namun, ia berbekas di hati.

Sunday, March 13, 2011

Keropok lekor kuantan 2 : surat lusuh

Hati saya terluka. Anna langsung tidak membalas surat-surat yang diutuskan kepadanya. Walaupun hanya sekeping poskad dengan sebaris ayat. Akhirnya saya belajar untuk melupakan Anna.

Saya hampir dapat melupakan dia, apabila kami sekeluarga berpindah rumah ke pekan Jementah. Jadual perjalanan berulang-alik dari Jementah ke Segamat setiap hari semasa di tingkatan empat menyebabkan masa saya padat.

Sehingga pada suatu hari, saya melawat mak wa [nenek] di kampung Paya Jakas. Sebelum pulang, saya mengintai-intai rumah lama kami yang letakkan bersebelahan dengan rumah mak wa. Di celah pintu berhampiran lantai, saya ternampak sekeping surat. Barangkali surat itu sudah lama terselit di situ. Surat yang hampir lusuh. Tulisan tangannya sudah kembang, namun hati saya melonjak girang. Setemnya dari Pahang!
Ia surat dari Anna!

Di dalam surat itu, Anna memohon maaf kerana tidak membalas semua surat-surat yang dikirimkan kepadanya. Panjang kandungan isi surat itu sehingga saya mengalirkan air mata. Katanya, dia terpaksa berkahwin dalam usia yang muda. Dalam tempoh beberapa bulan lagi dia bakal menimang cahaya mata yang pertama. Saya terkedu!

Katanya di dalam surat itu..

"Jika bayi itu seorang perempuan.. saya mahu masukkan nama awak ke dalamnya.."

Hari itu dalam perjalanan pulang ke rumah, saya singgah sebentar membeli poskad di pejabat pos Jementah. Saya catatkan pesanan ringkas dan alamat rumah baru di Jementah, lalu poskan segera kepada Anna.

Berminggu-minggu lamanya saya menanti balasan poskad itu. Anna hilang lagi!


Gambar ihsan : komidiputar16.com

Friday, March 11, 2011

Keropok lekor kuantan 1: kasut roda

EF 24, Kampung Ketapang Hilir,
Pekan, Pahang.

Menemui saudari yang jauh di mata tetapi dekat di hati. Semuga berada di dalam keadaan sihat walafiat hendaknya.

Begitulah barisan ayat yang ditulis oleh sahabat pena saya yang tinggal jauh di Pekan, Pahang. Saya menerimanya seawal darjah enam. Dikatakan dia menemui nama saya di dalam majalah Utusan Pelajar, ruangan hasrat hari jadi. Saya impikan "Kasut roda" di hari jadi saya yang ke dua belas. Sebabnya ketika menonton televisyen di rumah jiran, saya melihat bagaimana salah seorang pelakun Charlie's Angels mengejar penjahat dengan menggunakan kasut roda. Pelakun itu kelihatan hebat!

Impian saya tersiar di dalam majalah itu sedangkan kasut roda hanya tinggal impian. Tetapi Allah menemukan saya dengan sahabat pena yang nama singkatannya "Anna." Ketika itu barangkali saya belajar menulis surat kiriman kerana Anna. Belajar membeli setem di van pos bergerak juga kerana Anna.

Anna seorang yang matang jika dinilai melalui penulisannya. Saya fikir begitu. Dia banyak menggunakan bunga-bunga bahasa yang indah. Membaca suratnya seperti membaca cerpen yang mencengkam perasaan. Saya kagum, terbuai dan tenggelam dengan penulisannya. Suatu hari emak menyerahkan saya sepucuk surat dari Anna dengan amaran;

"Sudah, jangan berutus surat lagi! Macam surat orang tengah bercinta.."

Emak memang perihatin dan cepat menangkap perubahan tingkahlaku kami. Walaupun telah diberi amaran namun saya berdegil. Secara senyap-senyap kami masih meneruskan persahabatan kerana ada banyak tanda-tanya di dalam kepala saya. Bagi saya kemunculan Anna sangat istemewa. Dia bagaikan sebuah projek misteri yang mahu menyampaikan suatu rahsia besar melalui surat berangkai. Kami berutus surat sehingga ke tingkatan tiga.

Tiba-tiba, suatu hari saya menerima nota ringkas dari Anna. Katanya;

"Tumpukanlah sepenuh perhatian awak kepada SRP."

Dan sepanjang tahun itu Anna tidak menghubungi saya lagi. Entah berapa pucuk surat dilayangkan kepadanya, namun tiada berbalas. Saya terpinga-pinga. Anna hilang tanpa khabar berita.

Saturday, March 5, 2011

Daun selasih 1

"Nasi lemak buah bidara, sayang selasih hamba lurutkan
Tingga emak tinggal saudara, kerana kasih hamba turut kan.."

Semasa zaman remaja, daun selasih (basil) hanya dikenali melalui sebutan. Entah bagaimanakah rupanya tidak pula saya peduli. Saya mengenali biji selasih pula, apabila membeli air sirap bungkus dari gerai di tepi jalan. Kami mengelarnya "air sirap telur katak."

Semasa di dalam tingkatan satu, terdapat seorang pelajar berbadan kecil molek sering mendekati saya. Kami sama-sama pengawas tetapi berlainan kelas. Setiap kali perjumpaan pengawas bersama guru displin, pasti dia duduk di sebelah saya. Ketika saya makan di kantin bersama Lily, pasti dia mahu turut serta.

Orangnya ceria. Terlalu peramah tidak bertempat, kata rakan-rakan saya . Setiap tuturkatanya pasti disertainya dengan lawak jenaka. Satu-satu perangainya yang tidak disenangi oleh semua orang adalah sikapnya yang suka menyampuk cakap orang. Saya tumpang merasa cuak dengannya.

Suatu hari, cikgu bercadang membawa kami melawat kuala Lumpur dengan mengadakan kerjasama bersama persatuan perdagangan sekolah. Tujuannya adalah untuk mendedahkan kami pelajar-pelajar kampung kepada dunia luar. Kerana kebanyakan daripada kami langsung tidak dapat membayangkan apabila cikgu menceritakan tentang transaksi bank, motivasi kenapa perlu ke universiti dan ibu negara Malaysia. Antara tempat yang ingin kami lawati adalah Universiti Malaya, Bank Negara, Masjid Negara, Muzium negara, Tugu Negara termasuklah Gua Batu Cave!

Saya mencadangkan agar rombongan kami pergi ke A&W bagi menikmati burger (klik sini). Entah bagaimanakah rupanya dan rasanya burger itu.. saya sendiri tidak pernah mengetahuinya. Rakan-rakan serombongan teruja.

"Cikgu, apa kata kalau kita ke A&W. Kita makan burrr..ger. Kak Long saya kata sedap rasanya!"

Dipendekkan cerita, cikgu menetapkan hari untuk acara lawatan ke Kuala Lumpur.(klik sini) Beberapa pelajar yang berminat memberikan nama mereka. Termasuk kawan saya yang kecil molek itu. Beberapa hari sebelum ke Kuala Lumpur, kami tidak habis-habis seronok bercerita bagaimanakah agaknya rupa Kuala Lumpur itu. Kami mula berpakat-pakat mencari rakan yang akan duduk sebelah-menyebelah semasa di dalam bas. Kami bercerita sesama sendiri. Tiba-tiba rakan saya itu menyampuk;

"Saya pun pergi ke Kuala Lumpur. He..he..he Kuala itu mesti penuh dengan lumpur, macam di kampung saya di Tanah Banjir, Tebing Tinggi. Lebih-lebih lagi selepas banjir. Hah, ada sesiapa yang mahu duduk di sebelah saya?"

Saya, Lily dan beberapa rakan yang lain diam. Kami cuba mengalihkan kepada topik lain. Tetapi rakan itu masih terus membuat tawaran.

"Saya akan bawa bekal makanan. Ayam masak rendang daun selasih dan air sirap daun selasih. Saya bawa dua bungkusan. Cepat..cepat...siapa mahu duduk sebelah saya? He..he..he Cepat sebelum terlambat, nanti menyesal."

Rakan itu menawarkan diri, namun tiada siapa yang peduli. Dia semakin menjengkelkan hati kami. Tiba-tiba dia menujukan soalan kepada saya;

"Awak duduk dengan siapa?"

"Lily.."

"Ooo, kalau Lily duduk dengan orang lain nanti, saya duduk di sebelah awak."

Berani dia membuat kenyataan begitu. Susah-susah saya memujuk Lily agar duduk di sebelah saya. Jangankan mahu berkawan.. nama penuhnya pun saya sendiri tidak mahu ambil tahu!


Gambar ihsan: Belindo.com
Nota : Sebahagian daripada bab : Daun selasih [ Buku travelog masakan]

Tuesday, March 1, 2011

Sambal tumis ikan bilis 4 : Rahsia

"Bolehkah awak bawa pulang bungkusan ini? Petang Jumaat nanti saya mahu tumpang tidur di rumah awak. Esoknya, kita sama-sama pergi ke majlis Ramah Tamah Aidil Fitri.."

"Er..ok."

Gugup. Tidak pernah saya bayangkan orang yang menarik perhatian selama ini mahu menumpang tidur di rumah kami. Rumah kami bukanlah besar. Malah kami adik-beradik tidur sebilik. Tetapi tidak pula sanggup saya menyatakan tidak di atas permintaan-nya.

Pulang ke rumah, saya menyatakan hasrat Lily kepada emak. Emak tidak membantah. Saya meminta emak mengajar saya masak sambal tumis ikan bilis. Emak mulakan dengan merebus cili kering sehingga lembut. Kemudian mengajar cara mengiling dengan menggunakan batu giling. Lada yang sudah di giling emak naikkan ke atas dapur dan dimasukkan sedikit minyak masak. Emak biarkan lada separuh masak.

Begitulah setiap kali emak mengiling lada, pasti dia mengiling lebih untuk kegunaan masakan yang lain. Barangkali kerana kami belum memiliki peti sejuk pada ketika itu.

"Lada yang separuh masak, tahan sampai esok. Kalau buat sambal tumis ikan bilis nanti, tidaklah ia rasa seperti lada yang tidak masak."

Petang Jumaat, Lily mengikut saya pulang ke rumah di kampung Paya Jakas. Kami menumpang bas sekolah Ladang Naggapa. Geli betul hatinya melihat keadaan bas itu. Dia mengusik dan mengutuk saya menaiki bas itu. Saya turut menahan tawa, akur dan menerimanya dengan hati yang terbuka.

Malam itu, emak sediakan makan malam yang agak istemewa bagi kami sekeluarga. Emak masak lemak putih kobis, ikan masin, telur dadar dan sambal tumis ikan bilis. Biasanya hidangan makan malam kami hanya satu lauk sahaja. Saya melihat Lily makan dengan penuh selera. Dia menggunkan tangannya! Kekok..kekok sekali!

Saya mengajak Lily mengemas meja dan membasuh pinggan. Lily membantu saya dengan senang hati. Sedang kami membasuh pinggan, tiba-tiba Lily membuka cerita;

"Untung awak dapat tinggal serumah dengan ibubapa kandung. Seronok dapat rasa suasana macam ini..ada adik-beradik. Hidup sebagai seorang Islam."

Saya tersentuh lantas berpaling kepadanya. Dia tekun memandang pinggan yang dibilasnya. Tanpa menoleh, Lily meneruskan kisah peribadinya.

"Saya tinggal dengan pasangan cina yang tidak mempunyai anak. Bapa angkat saya seorang polis di Kebun Baru, Tangkak. Emak angkat kata ibu kandung saya orang melayu dari Kuala Krai, Jeli dan bapa saya seorang benggali. Saya diserahkan kepada emak angkat cina sejak bayi.."

Saya diam tidak menyampuk kata-katanya.

"Semasa kecil saya tidak kisah dengan keadaan itu. Tetapi sekarang saya mula terasa. Terutamanya apabila kami bertiga berjalan beriringan atau makan di restoran cina. Banyak mata tertumpu kepada saya."

Saya masih diam.

"Pernah suatu hari emak angkat saya sebak apabila saya tidak mahu keluar dari kereta untuk makan di kedai cina bersama mereka. Lalu, dia bungkuskan dan makan bersama saya di dalam kereta. Saya serba salah."

Lily sambung lagi.

"Emak angkat saya kata, dia sayangkan saya seperti anak kandungnya sendiri. Perasaan itu masih sama dan tidak berubah semenjak saya masih bayi.."

Saya tidak sanggup mendengar cerita Lily selanjutnya. Lalu, saya alihkan tumpuan untuk mengetahui apa yang terkandung di dalam bungkusan itu. Lily masuk ke dalam bilik, sebentar kemudian dia keluar.

"Wah, cantiknya awak pakai baju kurung cekak musang. Betul-betul macam orang melayu.."

Baju itu sedikit singkat dan nampak pergelangan lengannya. Namun, Lily tetap gembira. Dia berpusing-pusing berpuas hati dengan baju kurung itu.

"Kakak angkat saya pinjamkan baju ini. Kalau saya buat tempahan baju nanti, saya buat labuh sedikit."

"Emak angkat tidak sedih kalau dia melihat awak pakai baju melayu ini?"

Lily sebak. Barangkali hati nuraninya bergelodak. Separuh hatinya ingin mencari cahaya kebenaran din illahi, mencari tuhan. Separuh lagi penuh simpati terhadap emak angkat yang menatangnya penuh kasih semenjak bayi.

Saya mengenali Lily sehingga tingkatan tiga. Kami terpisah apabila saya bertukar ke Sekolah Menengah Cannosian Convent, Segamat semasa di tingkatan empat. Namun, setiap kali bas melintasi sekolah Menengah Jementah, mata saya tercari-cari. Mencari Lily.

Ia cerita lama, bertahun-tahun sudah berlalu. Namun, sehingga kini setiap kali saya melintasi sekolah menengah Jementah dan balai polis Kebun Baru...mata saya masih mencari.

Mencari Lily...