Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Wednesday, July 29, 2009

Istiharah


Saya semakin hampir dengan Mak Wa dan Atok Abah. Ada perasaan jatuh kasih kepada mereka. Ada perasaan bahawa masa yang tinggal hanya sedikit sahaja lagi untuk bersama-sama mereka.

Mak Wa sudah bersara dari sebarang pekerjaan terutama di sawah bendang. Ia suatu keputusan yang muktamad. Namun, petang-petang hari selepas waktu Asar beliau akan memerun [membakar] pelepah-pelepah kelapa yang jatuh bergelimpangan di tepi jalan.

Atau, beliau akan mengharung anak sungai bersebelahan diantara rumahnya dan abah dengan membuang dedaun yang jatuh dan dahan kayu yang menghalang aliran air mengalir melalui pembetung. Kata Mak Wa:

"Kalau dedaun ini tersangkut di kawasan kita, aliran airnya akan tersekat dan tidak dapat mengalir hingga ke hujung kampung sana. Apa salahnya kita memudahkan aliran.."

"Eeii..Mak Wa tidak takut kah kalau-kalau ada ular air?"

"Hish! Minta selisih malaikat 44!"
Mak Wa lakukan dengan sukarela.

Hampir setiap malam, Mak Wa dan Atok Abah akan datang bertandang ke rumah kami untuk menonton TV terutama siaran Berita. Atau Tayangan Wayang Gambar Melayu di hujung minggu. Mak Wa akan datang bersama selimut kegemarannya. Kami akan membentangkan lemet [ sejenis tilam kekabu nipis seperti 'TOTO'] dan menyediakannya sebiji bantal. Kipas angin duduk akan dihalakan kepada mereka. Tiupannya sepoi-sepoi bahasa. Mak Wa akan tertidur daripada cerita bermula sehinggalah tayangan selesai.

Bagaimana tidak Mak Wa terlena kerana kami adik-beradik akan memicit-micit labu betis Mak Wa perlahan-lahan sambil menonton TV cerita kegemaran!

Namun, jika terdapat cerita atau tayangan yang menarik hati kami tetapi mendapat tentangan untuk menonton daripada mak, kami adik-beradik yang akan berusaha memujuk mereka berdua datang. Caranya, kami akan memberikan sinopsis cerita yang boleh mengecurkan air liur mereka! [Atau..sebenarnya mungkin kerana mereka kasihan melihat kami beria-ia melakukan pujukan] . Ia merupakan suatu kelebihan kepada kami kerana rumah datuk dan nenek tinggal berhampiran!

Dahulu, kamilah yang banyak menumpang harap kepada mereka terutamaya apabila malam gelap gelita. Lampu gasoline merekalah yang memberikan cahaya menyinari rumah kami.

Tiba-tiba Atok Abah bertanya :

"Bagaimana keputusan persekolahan awak? Hendak bersekolah di Segamat atau sekolah berasrama penuh?"

Entah! Selepas solat sunat istiharah hati saya merasa berat untuk meninggalkan rumah. Perasaan jatuh kasih kepada keluarga. Perasaan sayu untuk meninggalkan Atok Abah dan Mak Wa. Takut yang tidak berpatutan! Takut kepada perubahan. Mentaliti kolot anak kampung yang sudah sebati di dalam diri.
"Esok-esok jika awak ingin menemui jodoh tetapi mempunyai dua pilihan, lakukan solat sunat istiharah. InsyaAllah! Allah temukan jodoh yang sekupu. Jodoh yang telah tertulis di dalam buku setiap insan"

"Bukankah 'Jodoh pertemuan, Ajal dan Maut di tangan tuhan?"

"Ya..untuk jodoh kita boleh lakukan ia untuk ketetapan hati. Agar setiap keputusan yang di buat kita tidak akan menyesal nanti apa tah lagi bersedih. Redha dengan ketetapan daripada Dia yang Maha Kuasa"

Saya pegang kata-kata Atok Abah.
"Ya Allah. Jika jodoh saya sudah menghampiri nanti, janganlah saya terpaksa membuat banyak pilihan. Temukan sahaja jodoh yang paling serasi dengan saya. Yang bersedia menerima saya seadanya. Mengahwini dan menerima bukan kerana saya semata-mata tetapi sudi menerima apa jua keadaan keluarga. Moga jodoh saya nanti menyayangi mak dan abah sebagaimana saya menyayangi mereka. Moga jodoh saya mengambil berat kebajikan mak dan abah sebagimana saya ingin menjaga kebajikan mereka.

"Biar nanti perkahwinan itu bukan sahaja menyatukan dua hati malah menjalin kan ukhwah antara keluarga. Bagai isi dengan kuku.

"Ya Allah. Yang paling penting..temukanlah jodoh yang sudi menerima saya sebagai sahabat, kekasih dan isteri. Yang saling kasih mengasihi sehingga akhir hayat nanti. Samada saya atau dia yang sakit atau dipanggil oleh-Mu dahulu, kami akan saling setia sehingga akhirnya kami menemui-Mu - di Firdaus yang satu.

"Ya Allah. Jika ditakdirkan jodoh saya terlebih dahulu memasuki syurga-Mu dan menemui jodohnya 'Si Bidadari bermata jeli'.. Berikan lah saya peluang ya tuhan, melihat kelibat dan menatap wajahnya walau barang seketika dari kejauhan. Sekadar di pinggiran. Cukuplah untuk saya tahu dia telah berada di situ..

Tuesday, July 28, 2009

Solat Sunat

Saya masih mencari-cari jawapan kepada persoalan yang ada di dalam kepala : Sekolah berasrama penuh atau sekolah biasa!

Ia bukan soal aliran Sains atau aliran Sastera. Tetapi dimana harus saya meneruskan persekolahan yang terbaik untuk keadaan fitrah diri. Untuk budak kampung yang tidak pernah keluar dari daerah ini. Mampukah nanti saya bersaing dengan budak-budak bandar yang celik pengetahuan? Laratkah saya bercampur dengan orang bijak pandai? Tidakkah nanti saya dilihat sebagai seorang yang jauh sekali ketinggalan?

Saya tiada sesiapa untuk bertanya.

Suatu pagi minggu, saya menziarahi Mak Wa. Keadaan rumahnya senyap sunyi sahaja. Saya mencari dari serambi hadapan hingga ke stor zink simpanan getah sekerap di dapur belakang. Di dapati Mak Wa dan Atok Abah sedang melakukan solat sunat di dalam salah sebuah bilik. Saya menunggu sehingga mereka selesai memberikan salam di tahiyyat terakhir.

Atok Abah tersenyum. Mak Wa bertanya:

"Awak sudah minum? Pergilah buka tudung saji di dapur. Ada ubi rebus dengan nyior"
Saya berjalan beriring dengan Mak Wa, sambil bertanya:
"Mak Wa solat apa pagi-pagi begini?"

"Solat sunat Dhuha. Atok Abah kata elok kita lakukan ketika masih sihat tubuh badan. Ketika Allah memberikan kelapangan sebelum sampai waktu sibuk"

"Ya, dahulu Mak Wa selalu sibuk mencari rezeki.."

"Solah sunat Dhuha memberikan perasaan kelapangan dan memurahkan rezeki"

"Adakah solat sunat yang boleh memberikan kita jawapan kepada dua pilihan?"

"Cuba awak tanyakan kepada Atok Abah"
Lalu, sambil minum kopi pekat kampung dan menjamah ubi rebus, saya bertanya beberapa soalan kepada Atok Abah. Selama ini saya jarang sekali berbincang dengan Atok Abah mengenai persoalan keagamaan walhal saya tahu bahawa Atok Abah adalah seorang imam di Masjid Kampung Paya Jakas.

Semasa kecil saya amat takut kepada Atok Abah kerana sering di kejar dengan tongkat semambu apabila didapati seharian menghilangkan diri bersama basikal tuanya. Seperti abah, Atok Abah juga mempunyai aura yang mengerunkan kepada kanak-kanak yang melihatnya. Tetapi, di hari-hari keraian, kanak-kanak sangat suka kerana sifat dermawannya.

"Awak cuba buat solat sunat Istiharah. Senang sahaja. Dua rakaat."

"Bagaimana?"

"Niat - Sahaja aku solat sunat istiharah dua rakaat tunai kerana Allah taala. Macam kita buat solat subuh. Bezanya tiada doa Qunut. Rakaat pertama, selepas surah fatihah baca surah Al-Kafirun. Rakaat kedua, selepas surah Fatihah baca surah Al-Ikhlas. Semasa sujud yang terakhir berdoalah apa yang terbuku di dalam hati. Mohon bersungguh-sungguh kepada Allah"

"Insya Allah. Saya akan cuba"

"Bagus. Cuba awak lakukan. InsyaAllah kita akan redha apa-apa jua keputusan yang Allah berikan jawapan"

"Bagaimana kita akan tahu itu adalah merupakan suatu jawapan?"

"Apabila hati kita berat ke arah salah satu pilihan.."

Sunday, July 26, 2009

Pokok Jambu Air


Hidup saya begitu senonim dengan pokok-pokok. Saya bahagia apabila berhampiran dengannya. Ia merupakan suatu remedi atau terapi kepada saya. Mententeramkan jiwa ketika gelisah, tempat menangis ketika terluka dan bergembira kerana menikmati rezeki kurniaan Allah dari buah-buahnya.

Dari atas pokok itu lah berputar segala urat saraf dan ilham datang menjelma dari yang maha kuasa.

Sewaktu usia remaja, saya amat berhati-hati sekali agar tiada orang melihat saya sedang memanjat atau berada di atas pokok. Mak berpesan berkali-kali agar menjaga adab kelakuan dan kesantunan. Tidak manis bagi anak perempuan remaja memanjat-manjat, ketawa mengilai-ngilai dan bercakap kuat-kuat. Apa tah lagi jika terdapat orang-orang yang lebih tua dan kaum lelaki berhampiran.

Petang itu, saya masih mencari-cari jawapan kepada persoalan samada harus memohon ke sekolah berasrama atau bersekolah di sekolah biasa sahaja. Jawapannya harus segera!

Di dalam keadaan fikiran yang berserabut, saya mencari pokok. Pokok kegemaran saya adalah sebatang pokok Jambu Air di sempadan tanah Mak Ngah dan Pakcik Wahab. Saya merenung pokok itu. Putik-putik buah jambunya agak lebat tetapi ia belum boleh di makan kerana masih terlalu kelat. Namun, saya rindu untuk memanjat pokok itu.

Lalu, saya menoleh ke kiri dan ke kanan, dengan harapan agar tiada sesiapa yang memandang. Apabila keadaan selamat, saya terus memanjat secepat kilat!

Bahagia! Bahagia! Saya menghela nafas lega.

Saya memanjat terus ke pucuk yang tertinggi sekali. Dari atas pokok itu, saya melihat panorama yang cantik sekali. Keindahan semulajadi ciptaan Allah. Subhanallah! Bukit bukau berbalam-balam. Gunung Ledang di celah kepulan awan. Sawah padi yang terbiar ditumbuhi semak belukar. Sungai yang semakin hampir kering kontang!

Dari kejauhan saya melihat rumah-rumah papan yang telah dirobohkan. Kata anak-anak mereka yang bekerja jauh di ibu kota, rumah papan yang di huni oleh ibubapa di kampung sudah tidak sesuai lagi dengan kehadiran gemerlapan cahaya neon yang menyinari.

Lagi pun dinding-dinding papan dan tiang telah reput di mamah anai-anai. Kata anak-anak mereka lagi, kenapa perlu dipertahankan rumah tradisi? Ia bukan trend zaman kini. Serambi, tempayan bergayungkan tempurung, anak tangga kayu, beluti, tiang seri..kini hampir tiada lagi.

"Cuba bertanya kepada guru kaunseling. Mereka sepatutnya mengetahui banyak maklumat mengenai kerjaya. Fikirkan apa arah tujuan kerjaya kita. Kemudian, pilihlah samada kita hendak mengikuti aliran Sains atau aliran Sastera"

Sesaorang bercakap dengan nada yang agak kuat di bawah pokok jambu. Ia ada bersangkut paut dengan persoalan di dalam kepala saya. Adakah itu secara kebetulan? Atau, Allah yang menetapkan setiap kejadian?

"Alamak! Dengan siapa Adib bercakap agaknya ya? Abang itu seperti pernah saya temui. Tetapi terlupa, di mana?"

Saya berbisik di dalam hati. Namun, saya diamkan diri agar tiada sesiapa yang mengetahui bahawa saya berada di atas sana. Dari atas pokok itu, kelibat tuan punya badan tidak begitu jelas kelihatan.

Berbanding dengan Adib, saya begitu terbatas untuk bercakap dengan lelaki. Saya tidak mempunyai abang sepertinya, tidak tahu bersembang malah untuk berjumpa dengan guru lelaki pun saya memerlukan rakan-rakan untuk menemani.

Kelu lidah untuk berkata. Hilang punca. Tiada bicara.

Saya mematikan diri. Tidak bergerak-gerak. Seboleh mungkin cuba menahan batuk untuk menjaga reputasi diri sebagai anak perempuan remaja [saya tidak suka orang mengelar diri sebagai anak dara ketika itu] yang berhemah tinggi.

"Ooo..kelihatan seperti abang kepada budak MRSM Kuantan yang terjumpa semasa kenduri kerana masuk universiti tu.."

Hati seperti mahu bertanya tetapi malu. Malu yang tidak bertempat. Benar kata pepatah,"Malu bertanya, sesat jalan...

Friday, July 24, 2009

Pilihan 2


Saya mula mencari Mak Wa. Pasti ia berada di tempat biasa - Baruh!

Bertahun-tahun saya telah membelakanginya. Sibuk dengan persekolahan sehingga saya tidak memperuntukkan masa bersama Mak Wa. Terasa sangat kehilangannya. Mak Wa menyepi entah di mana?

Silap saya. Saya yang tidak pergi mencari. Bertahun-tahun ia berlalu, saya biarkan kesempatan itu pergi. Masa yang hilang itu tidak akan berulang! Jadi, kesempatan yang ada saya harus menghayatinya..

Saya mencari Mak Wa di sawah bendang. Subhanallah! Sawah itu telah menghilang!

Ia seperti padang jarak..semak samunnya tinggi. Air sawah tiada lagi. Kering kontang! Saya mencari-cari anak sungai tempat saya bermandi-manda. Saya membayangkan air sungainya yang jernih deras mengalir dari kaki Gunung Ledang masih lagi separas dada.

"Ya Allah. Hanya tinggal di paras buku lali..? Saya kah yang semakin tinggi atau air sungai itu kah yang semakin berkurangan?"
Jerangau di tengah sawah menunggu masa untuk rebah. Peparit kecil di sebelah batas tempat kami menangkap berudu dan ikan puyu juga telah terkambus. Kemanakah pergi semuanaya?
"Ya Allah! Cepatnya masa berlalu. Ia pergi tanpa disedari"

Saya mencari lagi. Mak Wa tiada di rumah Mak Ngah. Barangkali di rumah Mak Uteh. Tidak! Akhirnya ke rumah Ucu Edah. Saya dapati Mak Wa berbaring mengereng memeluk bantal kecil dengan kelesuan. Ada tasbih di tangan kanan.

"Mak Wa sakit?"


"Tidak. Baring-baring sahaja.."


"Jarang sekali Mak Wa begini"


Saya terus duduk di sisi Mak Wa. Memicit dan mengusap lembut labu betisnya. Di dalam posisi begitu, kelihatan jelas sekali raut wajahnya sudah semakin tua dan tubuhnya uzur. Lalu, saya pura-pura bertanya;
"Mak Wa sudah tidak bersawah lagi?"

"Tidak ada sesuatu pun yang kekal di dunia ini. Allah pinjamkan nikmat itu hanya sementara. Sampai masanya pasti segalanya kembali kepada-Nya jua."
"Tetapi Mak Wa ada pilihan. Saya boleh tolong Mak Wa isikan kekabu untuk dijadikan bantal sebagai jualan"
"Hidup ini adalah ketentuan tuhan. Bukan pilihan. Allah telah menetapkan takdir, qada dan qadar setiap insan. Jadi, kenapa kita hendak menafikannya? Kenapa kita berkeras menolaknya? Allah menjadikan sesuatu kejadian dengan rahsia yang tersimpan untuk kita fikirkan. Dia lebih mengetahui apa yang tidak kita ketahui. Redha dan bersyukur dengan ketetapan-Nya"

Saya terdiam. Berfikir mendalam tentang pilihan. Hidup ini bukan pilihan! Jauh di sudut hati saya berkata, selama ini Mak Wa telah begitu kuat berusaha. Bekerja keras berhempas pulas membanting tulang empat keratnya.
"Sudah sampai masanya. Berehatlah Mak Wa. Berehatlah."

Saya melihat berombak-ombak dada Mak Wa. Basah pipinya. Ada kenangan yang dikenangkan.

Thursday, July 23, 2009

Pilihan

Keputusan peperiksaan Rendah Pelajaran [SRP] diumumkan. Ia perlu diambil di pejabat pentadbiran sekolah. Beberapa orang cikgu yang saya kenali berkumpul di perkarangan pejabat itu. Mereka tersenyum memandang kepada saya dan mengucapkan tahniah.

Apabila keputusan peperiksaan di terima, saya seperti tidak percaya dengan keputusannya. Di dalam hati ingin rasanya menjerit sepenuh hati. Saya terus berlari menyembunyikan diri di belakang tembok sekolah. Menghayati setiap baris tulisan yang tertera di atas sekeping kertas. Tidak sedar air mata mengalir deras mengiringi kegembiraan.

Alhamdulillahi Rabbil a'lamin!

Hari itu saya meminjam basikal Atok Abah. Tidak sabar rasanya ingin mengkhabarkan keputusan peperiksaan kepada mak dan abah. Terasa kayuhan basikal seperti tidak berputar!
"Mak, ini keputusan peperiksaan saya"

Saya melihat mak tersenyum sambil mengalirkan air mata. Tiada kata-kata yang terkeluar dari kedua bibirnya. Tiada! Hanya sedikit sedu yang kedengaran. Ia seperti tertahan-tahan.

"Mak tiada harta benda untuk dihadiahkan..ambil ni, sebilah cincin belah rotan. Tanda mata dan kesyukuran dari mak."

"Mak simpanlah..saya tidak perlukan ia. Saya perlukan mak lebih dari segala-galanya. Senyuman dan air mata mak adalah hadiah termahal buat saya"

Saya ingin katakan seperti itu. Tetapi ia tidaklah semudah itu. Saya cuma menolak dan menyatakan agar mak menyimpannya sahaja. Saya tahu, hanya itulah sahaja perhiasan mak yang ada ditubuhnya.

Saya tunjukkan lagi beberapa borang untuk kemasukan ke sekolah berasrama penuh kepada mak. Terdapat beberapa pilihan sekolah - Sekolah Menengah Sains, Sekolah Menengah Teknik dan MRSM. Jauh di sudut hati saya benar-benar ingin bersekolah di sana. Bertambah lebat air mata mak keluar mencurah-curah dari kelopak matanya.
"Mak telah kehilangan seorang anak perempuan yang sedang membesar.. Mak tidak dapat melihat Kak Long Pidah membesar di depan mata. Kini..mak akan kehilangan awak pula"
Saya keliru!

Berbelah bahagi di antara dua pilihan. Di telan mati mak, diluahkan mata bapa!

"Ya Allah, bantulah saya. Tetapkan hati untuk saya membuat pilihan yang terbaik seperti yang telah disuratkan di dalam buku yang tertulis - Loh Mahfuz. Apa jua keputusannya saya tidak akan menyesal apa tah lagi bersedih. Saya redha!

Wahai tuhan, perkenankan lah!"

Wednesday, July 22, 2009

Radio & TV


Tahun itu, seluruh penduduk kampung Paya Jakas bercahaya! Setiap rumah telah dimasukkan pendawaian eletrik. Masing-masing bercerita tentang Lembaga Letrik Negara [LLN]

Orang yang paling gembira adalah tawkey kedai yang menjual barangan eletrik di pekan Jementah. Entah berapa buah televisyen, peti ais dan mesin basuh yang terjual agaknya!

Hampir keseluruhan penduduk kampung Paya Jakas berkelakuan seperti orang "kaya raya". Apa tidaknya, hari ini lori menghantar televisyen ke rumah A. Esok, masuk pula lori menghantar peti ais ke rumah B. Lusa, ada pula rumah membeli mesin basuh. Sabah hari, ada-ada sahaja barangan yang di hantar ke rumah jiran tetangga.

Kalau dahulu, hanya rumah-rumah tertentu sahaja yang mempunyai televisyen. Itupun menggunakan bateri atau generator. Televisyen hanya akan ditonton pada malam-malam yang mempunyai cerita istemewa contohnya seperti Tayangan Wayang Gambar pada malam Jumaat. Dewi Puspa pada malam sabtu. Pertandingan Bola sepak pada musim perlawanan.

Masa-masa seperti itu, ada diantaranya mengambil sedikit kesempatan dengan mengenakan bayaran masuk. Bukannya mahal - hanya 10 sen untuk satu tayangan. Kami adik-beradik berusaha memperuntukkan duit bayaran masuk untuk menonton Tayangan Wayang gambar.

Sambil menonton, tuan rumah membuat promosi :

"Kerepek ubi pedas, rempeyek, kacang botak...semuanya 10 sen sahaja"
Rumah mereka akan di tutup rapat apabila tayangan bermula. Sesiapa yang ingin menonton tayangan gambar separuh harga, mereka hanya dibenarkan masuk selepas separuh cerita ditayangkan!

Lalu, dengan kedatangan LLN ke rumah penduduk kampung maka berakhirlah era kenaan bayaran untuk menonton TV di rumah orang!

Pada masa cuti semester, abah pulang ke kampung halaman dengan membawa berbagai barangan eletrik keperluan di rumah. Wah! Bertambah lagi cabaran saya untuk menghadapi peperiksaan [SRP] kerana terlalu banyak cerita-cerita yang menarik di TV [RTM1 dan RTM2]

"Malam ini ada cerita Charlie's Angle. Esok, Six Million Dollars Man. Lusa,Bionic women.Wahhhh..best! Best! "

"Habis tu tuisyen macamana..?"

"Tu laaa..apa ikhtiar kita ni.."
Saya paling suka menonton cerita Little House On the Prairie, The Sullivants dan menonton filem dokumentari mengenai tempat-tempat menarik di luar negeri. Saya sering berdoa, berangan-angan dan berbisik-bisik di dalam hati semasa menonton TV.

"Ya Allah, Mudah-mudahan saya diberikan peluang untuk ke luar negeri. Diberikan izin untuk melihat kebesaran dan kehebatan ciptaan-Mu.

Wahai tuhan, jika saya tidak mampu untuk pergi dengan kudrat sendiri..temukanlah jodoh dengan suami yang boleh membawa saya ke sana.

Ya Allah, perkenankanlah.."

Monday, July 20, 2009

Kebun

Pagi-pagi lagi Makcik A, B dan C telah berkumpul di situ. Terasa malu kepada mereka kerana tetetapan janji dan masa. Jauh di dalam hati saya berjanji untuk datang tepat pada masa atau sampai lebih awal daripada mereka.

Kalau dahulu, mereka akan menumpang kereta 'Morris Marina' abah untuk ke kebun koko di kawasan berhampiran Kampung Sengkang. Kini, mereka pergi dengan berbasikal. Sedangkan saya menunggang motor kapcai. Bagaimana mungkin, mereka boleh mendahului saya!

Sikap! Hendak seribu daya, Tidak hendak seribu dalih! Itulah..abah pernah menyebut kata pepatah Arab,"Masa itu ibarat pedang, jika kita tidak memotong ia tetap akan memotong kita!"
Saya malu dengan diri sendiri.

Sebaik sahaja mak dan saya sampai di kebun, mereka menunggu-nunggu arahan kami. Mak pula memandang saya. Wah! Saya rupanya yang perlu mengambil alih tugas sebagai memangku jawatan pengurus di kebun abah! Mereka mengiktiraf saya sebagai ketua untuk menerima arahan kerja.

"Baiklah! Makcik A petik koko di lorong sini, Makcik B di lorong sana, Makcik C di lorong situ, Mak di lorong timur, saya di lorong barat....Pukul 12 tengahari nanti kita berkumpul di pondok. Boleh?"

Mereka tidak membantah. Mungkin mereka menerima tugasan dan mematuhi arahan tugas daripada saya kerana menghormati arahan sebagai seorang ketua, bukannya kerana usia. Terkedu dan terharu. Saya tahu, jawatan yang di pangku bukannya untuk menunjukkan kuasa tetapi ia lebih besar maknanya. Ia merupakan satu tanggungjawab dan amanah. Amanah abah!

Saya tahu, mereka pula bukannya datang dari keluarga yang senang. Untuk upah sekecil itupun mereka sanggup datang. Lagipun, mengambil upah memetik koko dan mengeluarkan isinya bukanlah suatu pilihan kerjaya yang menarik bagi sesetengah orang. Ia hanya cukup untuk keperluan orang-orang kampung seperti saya dan mereka. Namun, kami bersyukur di atas nikmat rezeki yang dikeluarkan oleh Allah.

Sambil saya memetik buah-buah koko, hati teringat-ingat kerja-kerja sekolah dan mata pelajaran yang memerlukan latihan. Lalu, saya melakukan kerja memetik dengan cepat-cepat. Mencuri masa sebelum sampai waktu untuk berkumpul di pondok seperti yang dijanjikan.

Sepanjang masa, perasaan takut dan berdebar-debar sentiasa menghantui. Terasa-rasa ada sesaorang mengekori dan memerhati dari celah-celah rimbunan pepohon di kebun itu. Apabila ia terjadi, saya cepat-cepat memanjat sebatang pokok yang paling tinggi. Mencari-cari kalau-kalau ternampak mak atau makcik-makcik yang sedang bekerja. Sesekali melaung ke udara. Lega sekali apabila ternampak kelibat mereka.

Di atas pokok itulah, saya mengulangkaji pelajaran. Membaca dan menghafal nota-nota kecil atau melakukan latihan soalan-soalan peperiksaan tahun-tahun lepas. Kadang-kadang, terasa ada air mengalir perlahan di pipi. Ia keluar tanpa sedar...

"Mahasuci Allah! Yang mengajar ilmu dari sudut yang pelbagai. Jadikanlah pokok ini sebagai saksi bahawa saya ingin pergi jauh dari tempat ini. Menuntut ilmu, memanjat gedung tinggi. Saya tidak mahu terus-terusan seperti ini, Ya Allah.

Jadikanlah esok lebih baik daripada hari ini. Hari ini lebih baik daripada semalam.

Namun, setelah mencapai cita-cita murni..kembalikan saya semula ke kampung yang daif ini. Di dalam keadaan saya masih bertenaga dan berupaya untuk menabur bakti kepada pribumi"

Wahai tuhan, perkenankanlah."

Friday, July 17, 2009

Surat dari abah

Tahun itu, rutin harian saya agak ketat sekali. Meneman mak memunggut durian di awal pagi sebelum ke sekolah. Bersekolah Agama di sebelah petang. Tuisyen di sebelah malam. Hujung minggu ke kebun koko bersama mak dan jiran tetangga yang mengambil upah untuk bekerja.

Saya telah pandai membonceng motor kapcai yang abah tinggalkan.

Pulang dari kebun durian, saya akan bergegas berkemas diri untuk ke sekolah. Selalunya di waktu pagi abang Mail [abang kepada Adib] akan menghantar kami hingga ke pengkarangan sekolah dengan kereta jenama Fiat. Pulang sekolah nanti, kami menaiki bas awam.

Kadang-kadang apabila sudah terlalu lewat, saya terpaksa ditinggalkan. Saya akan berlari-lari ke hujung jalan di pinggir kampung untuk menumpang bas dari Ladang Naggapa. Jika tidak, saya akan menanti di tepi jalan besar untuk menaiki bas awam atau bas Felda Sri Ledang yang datang dari arah Muar.

Sukar. Namun, kesukaran mengajar saya erti sabar. Sedikit sebanyak ia membina semangat kental.

Saya sentiasa berdoa agar abah kembali untuk saya menjalani kehidupan seperti dahulu. Suatu hari saya menerima sekeping surat bersampul perang bercop "Lembah Pantai". Tulisan tangannya amat saya kenal.

Kehadapan Anakanda yang dikasihi,

Tujuan ayahanda menulis lembaran ini adalah untuk bertanyakan khabar tentang keadaan keluarga. Mudah-mudahan mereka di dalam keadaan baik-baik sahaja. Untuk pengetahuan, ayahanda berada di dalam keadaan sihat walafiat.

Anakanda,

Di dalam keluarga, ayahanda menganggap anaknda lah harapan semua.....
...................
...................

Akhir kata, belajarlah dengan tekun. Berusaha tangga kejayaan. Ingat! Kita bukan datangnya dari keluarga yang senang. Hanya ilmu pelajaran yang dapat mengubah corak kehidupan sesaorang. Oleh itu, jangan dihampakan harapan ayahnda dan ibunda.

Ayahanda yang jauh,
....................................

Surat itulah yang telah mengubah prespektif saya terhadap abah.

Thursday, July 16, 2009

Abah di mana?


Awal tingkatan 3, abah memberitahu kami bahawa beliau akan berkursus selama dua belas bulan di Maktab Perguruan Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Barulah saya tahu, di dalam diam rupa-rupanya abah belajar secara sambilan.

Katanya, dia menerima tawaran sebagai guru dengan menggunakan sijil darjah enam. Mengambil peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran [SRP] dan seterusnya Sijil Pelajaran Malaysia [SPM] beberapa tahun kemudian.

Sebelum berpergian, abah membawa saya dan mak ke kebunnya pada hujung minggu. Kami melihat bagaimana rutin abah bekerja di kebun koko.

Bermula dengan memetik buah koko dan mengumpulkannya di sebuah pondok kayu di tengah-tengah kebun. Apabila buah telah banyak terkumpul, proses seterusnya adalah mengeluarkan isi. Memasukkan isi koko yang basah ke dalam guni.

Sementara itu, koko yang separuh kering di jemur di pelantar simen bersebelahan pondok. Biji koko yang telah kering di masukkan ke dalam guni yang berasingan. Di angkut ke dalam bonet kereta untuk di jual kepada peraih koko yang berhampiran.

Biji-bijik koko yang basah dicurahkan ke dalam bakul rotan untuk proses penapisan. Dibiarkan ia semalaman. Esok, barulah biji koko tersebut akan dikeluarkan untuk di bawa ke jemuran.

Senyap sunyi. Tiada perbualan. Masing-masing tekun melakukan pekerjaan.

Kami hanya berhenti untuk menjamah nasi bekalan juadah makan tengahari dan solat zohor. Kemudian, kerja diteruskan lagi. Berhenti untuk solat Asar dan berehat untuk minum teh sebentar. Sebelum pulang, abah mencantas beberapa tandan pisang. Hampir senja baru kami beredar pulang.

Jika musim buah, abah akan bekejar pula ke kebun duriannya. Memunggut durian seawal selepas subuh. Rutin kerja kebunnya seperti biasa.

Baru saya faham betapa kuatnya abah bekerja. Saya hanya melihat abah menjalankan rutin pekerjaannya di hujung minggu sahaja. Bagaimana dengan hari-hari biasa? Patutlah saya dapati hampir setiap hari selepas Isyak, abah terlantar kepenatan. Dengkurnya bergemuruh memecah kesunyian malam.

Kadang-kadang saya ternampak kesan-kesan calar , lebam dan bengkak di kaki serta hampir ke seluruh badan abah. Tidak pernah pula dia mengeluh kesakitan. Sesekali sahaja abah meminta saya menyapukan minyak panas di labu betisnya.
"Esok-esok, kalau abah tiada..awak jangan lupa menjenguk kebun. Kebun durian di sini, kebun sawit di sana, kebun cempedak di situ..."
Diam.
"Walaupun abah tiada, adik-adik jangan dilupakan. Jaga kebajikan mereka..."
Diam.
"Belajar. Ilmu Suluh Hidup. Membaca kunci pengetahuan"
Saya hampir pengsan mendengar pesanan!

Tuesday, July 14, 2009

Kenduri

Jika di jemput menghadiri kenduri di kampung, orang perempuan akan masuk ke dalam rumah melalui pintu dapur. Memberi salam dan bersalaman dengan semua orang. Samada yang kita kenali ataupun tidak.

Kami berbalas senyuman. Kebanyakannya akan menghentikan seketika apa jua pekerjaan yang sedang dilakukan untuk menyambut salam.
"Baru sampai..?"

"Ya.."

"Anak siapa ni?"

"Anak Pak Andak Roslan"

"Oooo. Dah ada anak dara..."
Lalu, gadis-gadis remaja akan ditugaskan mengelap pinggan, mengatur gelas ke dalam dulang, memasukan kuih muih di dalam piring hidangan. Lauk pauk akan dikawal oleh mereka yang lebih veteran.

Saya melihat bagaimana kenduri seperti itu dapat merapatkan hubungan persaudaraan. Kerana selalunya semasa kenduri seperti ituah kami berpeluang untuk bertemu dengan sepupu, mengenali dua pupu atau tiga pupu...

Namun, sesuatu yang peliknya di kampung itu kerana hampir sekampung dianggapnya saudara. Jadi, saya tidak memikirkan sangat nama pangkat dan panggilan mereka.

Di dalam kenduri kendara seperti itu kadang kalanya orang yang berpangkat Mak Andak atau Mak Ngah atau Mak Lang terdapat lebih daripada seorang. Apabila diperkenalkan, salasilah keluarga akan disusul yang datangnya dari keluarga si polan anak si polan..

Selalunya kami akan duduk berkumpul dengan sepupu yang paling rapat. Itulah saatnya yang paling gembira apabila berkumpul dengan saudara mara. Berbagai perkara menjadi bahan cerita. Sedang kami leka bertukar cerita, tiba-tiba muncul sesaorang yang kehadirannya amat 'jarang-jarang' kelihatan.
"Assalamualaikum"
Budak MRSM kuantan. Di dalam perbualan baru saya tahu bahawa kenduri kesyukuran tersebut adalah untuk abangnya yang akan melanjukkan pelajaran ke universiti tempatan. Kakak sulungnya juga telah berada di sebuah universiti di ibu negara.

Dia tidak kekok untuk duduk bersama pupu-pupu perempuan di bahagian dapur. Bersahaja dan tenang.

"Awak nanti hendak masuk ke universiti mana?"
"Saya ingin melanjutkan pelajaran ke luar negara. Di MRSM, pelajar berpeluang untuk pergi ke sana sebelum keluar keputusan periksa"
"Sekarang ini awak berada di dalam tingkatan berapa?
"Tingkatan empat.."

Sedang kami berbual-bual, tiba-tiba muncul abangnya. Berkulit cerah dan berkaca mata. Dia tersenyum ke arah kami. Semua sepupu perempuan berpaling dan tersenyum lebar memandang ke arahnya. Tiba-tiba, salah seorang daripada kami berbisik perlahan sesama mereka.

"Handsome la ..he..he"

"Ish! Perlahan sikit! Tak malu..nanti dia dengar"

"Pakai cermin mata..macam orang pandai-pandai"

"Ish! Diam..nanti dia perasan..."

Monday, July 13, 2009

Tetamu


"Assalamualaikum.."

"Waalaikumus sallam..Mak, ada orang datang"
Mak akan meminta saya agar mempersilakan tetamu masuk. Beliau bergegas ke dalam bilik dan terus menukar pakaian. Mak selalu berpesan, tetamu harus di layan dengan penuh keistemewaan. Mereka membawa rahmat kepada kita sekeluarga. Petua mak,

"Senyum. Berikan salam dan bertanyakan khabar. Jika orang lebih tua, apabila kita bersalam hendaklah mencium tangannya"

Sambil menyambut tetamu di beranda rumah, mak memberi isyarat dengan mulutnya agar saya menjerang air di dapur. Mak juga berpesan agar jangan menghidangkan tetamu hanya dengan "air bujang". Lalu, otak saya bergerak dengan pantas.

Tepung gandum, ikan bilis, bawang besar, hirisan daun bawang dan segelas air garam.

Sesekali mak menjenguk ke dapur bertanyakan minuman untuk tetamu dan juadah sampingan. Banyak sungguh pesanan. Susunkan piring dan cawan di dalam dulang. Pastikan cawan-cawan tidak sumpik di bibirnya. Hidangkan juadah bersama semangkuk air basuh tangan. Sisipkan tuala tangan.

Apabila telah siap barulah hidangan di bawa kepada tetamu di beranda hadapan. Berjalanlah dengan sopan. Duduk melutut apabila menghidang. Mak meminta saya menuangkan air ke dalam cawan. Satu persatu. Tertib dan teratur. Akhir sekali mempelawa tetamu menjamah hidangan.
"Jemput minum makcik"

"Makcik? Ini Mak Long Lijah isteri kepada Pak Long Dollah"

"Ooo..jemput minum Mak Long"

Saya tidak harus berada di situ mendengar perbualan mak bersama tetamunya. Kadang-kadang, semasa saya sedang menghidang kepada tetamu, adik-adik yang kecil datang menyerbu. Mak hanya memberikan isyarat dengan satu pandangan tajam menerusi mata dan muka kepada mereka. Hairannya mereka mengerti isyarat yang diberi, lalu berlari pergi.
"Anak awak nombor berapa tu Cik Rukiah?"

"Nombor dua.."

"Ooo..awak dah ada anak dara. Bawalah dia ke kenduri kesyukuran di rumah nanti. Anak lelaki sulung saya akan melanjutkan pelajaran ke universiti"

Saya cukup tidak mengemari perkataan itu. Apa tah lagi mereka membicarakan tentang saya!

Friday, July 10, 2009

Misteri Surat Wangi


Sudah beberapa minggu saya melihat dia tersenggeh-senggeh di hentian bas itu. Menyeringai. Kelihatan jelas seluruh giginya, menonjolkan tulang pipinya. Susuk tubuhnya sasa, berkulit gelap dan mempunyai potongan rambut ala komando.

Saya dan Adib tidak senang dengan kehadirannya.

Entah mengapa, setiap kali kami pulang dari sekolah, walaupun selewat mana.. dia tetap ada. Menunggu dan tersenggeh-senggeh di hentian bas itu. Saya kira ada sesuatu yang tidak kena pada dirinya. Kami selalunya akan buat-buat tidak melihatnya namun memerhati melalui ekor mata.

Suatu hari, pelajar tersebut datang mendekati.

"Halo.. Saya sudah lama memerhati saudari. Tidak ingat pada saya?"
"Siapa ya?"
"Saya yang letak surat di bawah meja semasa saudari tingkatan satu"
"Surat yang mana satu?"
"Yang ada tulis "Pecah kaca, pecah gelas tu.."
"Ooooo.."
"Masa itu saya di dalam tingkatan lima."
"Sekarang?"
"Saya mengulang..ambil SPM semula "
"Oooo.."
Selama ini hati saya kuat menuduh Jxxxxx yang menulis surat wangi itu. Semakin banyak cabaran dan dugaan yang saya terima, semakin sakit hati saya terhadapnya. Namun, ternyata ia adalah tuduhan melulu. Saya bersalah kerana mempunyai perasaan syak wasangka tanpa usul periksa.

Saya sudah melupakannya. Merasa amat lega kerana mulai saat itu terungkailah misteri surat wangi. Di dalam hati saya berjanji untuk meleraikan diri dari Jxxxxx. Jauh di sudut hati saya bertekad kepada diri,"

"Ya Allah, Jika saya diberi pilihan untuk memilih calon suami, jangan jodohkan diri ini dengan seorang yang pendiam seperti itu. Temukan saya dengan sesaorang yang boleh berkomunikasi, berdiskusi dan saling faham memahami. Saya tidak akan boleh hidup dengan sesaorang yang berkarakter seperti ini"

Mulai hari itu, saya dan Adib berusaha mencari basikal untuk berulang alik ke sekolah. Ataupun kami menyeludup dan menumpang bas sekolah dari Ladang Naggappa. Kami akan menyelinap masuk secara sembunyi-sembunyi sehingga pemandu bas pun tidak menyedari !

Thursday, July 9, 2009

Tuisyen 2

Jxxxxx memang seorang pelajar yang pandai. Rakan-rakan sering meminta dia menunjuk ajar. Kelihatan dia memberitahu mereka satu persatu tanpa jemu.

Saya dapati dia seorang yang agak pendiam. Tidak banyak ayat yang keluar dari mulutnya. Hanya menjawab apabila ada yang bertanya. Jika rakan-rakan lain bergelak ketawa, saya jarang sekali mendengar suara yang mengeletek hatinya.

"Boleh saya duduk di sebelah awak?"

"Boleh. sila..sila. Jika sudi. Tiada sesiapa yang duduk di sebelah saya"

Seorang pelajar comel yang merenggek kepada rakan-rakan kerana tidak mahu memakai uniform pandu puteri semasa hari sukan tempohari, tersenyum meminta izin untuk duduk di sebelah saya. Rakan-rakannya yang lain juga ada berhampiran. Tetapi mereka berminat untuk duduk di meja bahagian belakang.

Barangkali Jxxxxx mengambarkan saya sebagai seorang budak perempuan "Gedik" yang tidak mempunyai adab sopan dan tiada perasaan malu untuk meninggalkan nota serta bertanyakan tentang surat wangi yang sehingga saat itu masih menjadi misteri.

Barangkali juga dia memang tidak berminat untuk mengambil tahu. Atau dia sememangnya tidak tahu bahawa saya adalah pelajar perempuan yang pernah suatu masa dahulu semeja denganya. Cuma berada di lain-lain masa dan ketika.

Sebabnya..sepanjang kami berada di dalam kelas Tuisyen yang sama, langsung tidak pernah bertegur sapa. Peristiwa itu berlalu begitu sahaja. Kalau pun ada sedikit lintasan hati ingin bertanya tentang surat wangi itu atau perasaan ingin tahu bahawa benarkah dia yang duduk di meja itu.. cepat-cepat saya lupakan.

Memang! Saya cuba sedaya upaya untuk melupakan Trajedi Warkah Pertama yang tidak akan luput dari ingatan. Cukuplah! Allah telah banyak memberi saya pengajaran.

Di dalam diam, saya sudah memaafkan.

Namun, kadang-kadang terlintas di hati saya mungkinkah dia orangnya yang menulis surat wangi itu? Namun, jika di lihat dari personaliti, tidak mungkin sama sekali! Bukan.

Jadi siapa orangnya?


Wednesday, July 8, 2009

Tuisyen


Ketika di dalam Tingkatan Dua saya bersekolah di sebelah pagi. Pulang dari sekolah, saya menyambung persekolahan Sekolah Agama di sebelah petang. Saya menyudahkan kerja-kerja sekolah di sebelah malam.


Suatu hari, saya menerima perkhabaran bahawa abah mendaftarkan nama saya ke kelas Tuisyen Mathametik. Kelas diadakan pada sebelah malam. Tuisyen tersebut diperuntukkan untuk pelajar tingkatan 3 yang akan menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP). Kelas diadakan di bangunan sekolah Kebangsaan Paya Jakas. Ia sebahagian daripada aktiviti kemasyarakatan.


Tenaga pengajarnya adalah bekas guru yang pernah mengajar saya, Cikgu Mohd Amin [Al-Fatihah untuknya]. Tiba -tiba sahaja saya teringat kisah "Mak tiri" semasa cikgu itu menjadi guru darjah enam saya. Saya tersenyum sendirian apabila mengingatinya.

Selepas maghrib, abah menghantar saya ke tempat Tuisyen untuk pendaftaran. Tidak membantah, saya akur sahaja. Di dalam kelas kelihatan pelajar tingkatan 3 begitu ramai sekali. Pelajar Tingkatan 2, hanya saya seorang sahaja. Abah letakkan saya di kerusi paling hadapan.
Diam. Saya langsung tidak berani menoleh ke belakang.

Sebelum kelas dimulakan, cikgu memanggil nama seorang demi seorang untuk berkenalan.

"Juliana"
"Saya cikgu."
"Norzila"
"Ya cikgu..."
"Mohd Rozi"
"Yup!
"Ravi Shankar"
"Ada"
"Jxxxxx"
"Saya.."

Tiba-tiba cikgu menyebut nama sesaorang yang begitu biasa kedengaran. Dia ada di belakang. Begitu berhampiran!

Sunday, July 5, 2009

Pandu puteri


Tingkatan 2.

Sekali air bah, pantai berubah. Saya terbaca kata-kata ," Sesuatu bangsa itu tidak akan berubah, jika mereka sendiri tidak mengubahnya.

Perkara pertama yang dikenalpasti adalah penampilan diri. Saya tidak mahu menjadi "Feminine" seperti dahulu lagi. Lalu, rambut panjang yang dulunya sering diikat tinggi, kini di potong ala-ala 'Lady D'. Senang dan ringkas.

Jika ada rakan-rakan ingin bertanyakan sesuatu perkara atau ingin mendengar pendapat, saya akan menjawab sejujurnya. Tiada berlapik-lapik.

"Perkara sebenarnya adalah begini.. Ya, tulisan ini memang buruk!"

Suatu hari semasa Hari Sukan di sekolah, suatu peristiwa berlaku. Ketika saya di dalam tandas perempuan, terdapat sekumpulan pelajar perkumpulan pandu puteri sedang menenangkan seorang rakan mereka.

"Eeii..Tak hendak pakai lah! Ketat! Nampak.."

Pelajar perempuan tersebut kelihatan bertubuh sedikit gempal tetapi comel, merenggek-rengek untuk tidak memakai uniform itu. Mencari keyakinan diri. Namun, rakan-rakan lain yang telah sedia memakai uniform beria-ia mengatakan ia OK malah tidak mengapa.

"Tidak lah. Nampak Ok. Orang tidak perasan..pakai sahaja. Ok kan? kan..?"

Dia berkata sambil mengenyit-genyit mata. Rakan-rakan yang lain mengangguk mengiakanya. Lalu, pelajar comel tersebut mencapai uniform dan menyalinnya. Bila keluar, dia terjerit-jerit lagi. Merenggek-renggek. Manja.

"Eeeeeeeiiii...ketat! Nampak! Nampak laa.."

Saya lemas dengan kerenah rakan-rakannya yang jelas sekali berpura-pura. Pelajar comel kelihatan hampir-hampir menangis. Tetapi rakan-rakan tetap tidak berganjak daripada pendirian mereka. Tiba-tiba, pelajar comel itu bertanya kepada saya,

"Awak rasa uniform ini nampak ketat atau tidak di tubuh saya?"

"Awak hendakkan jawapan yang jujur atau tipu?"

"Jujur."

"Ya. Baju itu ketat sekali terutama di bahagian dada. Nampak menonjol yang ketara. Jika tidak selesa, awak tidak perlu memakainya"

Rakan-rakannya terlopong mulut dan membulatkan mata ke arah saya. Nampak jelas mereka terkejut dengan jawapan yang diberikan. Saya memandang mereka. Sambil berjalan keluar dari tandas, dengan selamba saya berkata;

"Bila berkawan biar jujur. Bercakap perkara yang benar. Jangan menipu kawan sendiri!"

Thursday, July 2, 2009

Kawan


Lama saya bertafakur, muasabah diri.


Merenung setiap kejadian, menilai hikmah pemberian tuhan. Tidak mungkin saya diuji sebegini, jika ketahanan tidak sekental ini. Allah maha mengetahui. Dia hanya memberi sedikit dugaan sekadar kemampuan hamba-Nya.
Jadi kenapa perlu saya mengeluh?
Kawan ketawa ramai sekali, kawan menangis hampir tiada! Saya mulai bersendirian, meninggalkan kawan-kawan. Saya bebas tanpa mereka. Hati mulai bertanya,"Mengapa saya perlukan mereka, sedangkan saya ada Dia?" Dia yang di sembah, tempat saya memohon pertolongan.


Saya bebas untuk bergaul dengan sesiapa sahaja tidak terikat dengan kumpulan mereka. Cukup! Cukup sekali!

Serik!

Saban hari kelihatan cikgu perdagangan itu memerhatikan dan mengambil berat terhadap saya. Mungkin dia simpati, merasa belas kasihan dan takut terjejas pelajaran. Sedangkan saya tiada perasaan apa-apa. Selamba.


Saya menjadi lebih matang. Tidak lagi mudah terpesona dengan kata-kata berbunga. Apa tah lagi jika sekadarkan baris perkataan ini :


Pecah kaca, pecah gelas

Sudah baca, harap balas.

Atau, jika ada yang berani meninggalkan nota "Berani mati" dengan mengakhiri ungkapan seperti ini ...


P/s I love you (jangan beritau orang lain tau)

Apa tidaknya, "Kata-kata romantis" yang disalin dari Majalah URTV, menyebabkan saya mulai terasa kata-kata di atas .. "Tiada langsung tahap loya."

Wednesday, July 1, 2009

Di mana warkah pertama?

Suatu hari saya di panggil oleh seorang guru lelaki ketika waktu rehat persekolahan. Beliau adalah guru mata pelajaran Perdagangan. Orangnya segak, tampan menawan. Beliau adalah bekas seorang pramugara di sebuah syarikat penerbangan.

Beliau baharu sahaja bertugas di Sekolah Menengah Jementah. Seorang yang bersemangat tinggi dan berdedikasi. Beliau memang patut di puji.

Hari itu beliau meminta saya berjumpa dengannya di bilik rehat guru. Beliau juga meminta saya membawa seorang rakan yang paling dipercayai untuk menemani. Hati tertanya-tanya.

Memang diakui matapelajaran perdagangan adalah antara subjek yang paling saya gemari. Tetapi banyak juga yang perlu saya fahami. Mungkinkah saya gagal pada ujian pada kali ini? Ah! Jika ia terjadi, sudah dapat saya bayangkan habuan yang akan saya terima dari mak dan abah nanti.
"Itulah..kalau hidup asyik berangan-angan. Di lamun perasaan. Muda-muda, sudah pandai nak bercinta!"
Pedih sekali kalau mak berkata-kata. Sakitnya melebihi libasan sebatang rotan padu. Lukanya pasti dalam. Tertusuk hati dan perasaan.

Susah untuk saya memilih rakan yang paling saya percayai. Kerana warkah pertama telah banyak mengajar saya agar memilih kawan dengan lebih berhati-hati. Jangan cepat terpengaruh dengan kata-kata manis dan kemesraan mereka. Di dalam mabuk persona kemanisan segelas madu, tidak sedar ada racun didalamnya. Di dalam diam, belati di tusuk dari belakang.

Petang itu, di dalam Bilik Rehat Guru terdapat beberapa orang guru yang sedang bersembang. Kami memberi salam, menunduk hormat menumpang lalu serta melemparkan senyuman ke arah mereka. Mereka menjawab salam, membalas senyuman. Kemudian, acara sembang-sembang mereka teruskan.

Cikgu mempersilakan saya duduk. Penuh tertib. Ada keresahan diwajahnya.
"Saya minta maaf jika apa yang saya katakan ini akan menyinggung perasaan. Tetapi saya perlu berterus-terang kerana tidak mahu awak dibiarkan berperasaan begitu terus-terusan."
Cikgu membuka kata-kata. Saya dan rakan berbalas pandangan. Kehairanan. Hati mula berkata-kata, apakah yang telah terjadi? Apakah yang telah saya lakukan?

Cikgu menyambung lagi.

"Cikgu tahu perasaan dan gelora hati remaja. Ia adalah perkara biasa. Tetapi perlu diingat bahawa awak masih bersekolah lagi. Tumpuan awak sekarang seharusnya kepada pelajaran. Besar harapan ibubapa, mereka ingin melihat awak berjaya."

Diam. Tiada reaksi.

"Saya tahu awak ada potensi untuk berjaya. Saya melihat awak sebagai pelajar yang mampu berdikari dan mempunyai karekter tersendiri. Ada sesuatu di dalam diri awak yang perlu di cari."

Tunduk dan diam. Otak ligat mencari-cari.

"Saya harap awak faham. Awak tidak bertepuk sebelah tangan. Tetapi bukan saya orangnya. Harap awak simpan perasaan itu untuk "Mr Right" yang telah disediakan oleh Allah kepada awak.

Insya Allah! Dia pasti datang pada suatu masa apabila sampai masanya. Jangan membazir tenaga dengan mencurah hati kepada sesiapa tanpa mengenali hati budi mereka. Jangan sewenang-wenangnya memberi dan mencurah perasaan hati."


Saya mulai faham. Ya Allah! Inilah rupanya jawapan kepada "Warkah pertama" yang hilang. Saya yakin ia memang terselit di dalam buku rampaian. Mati saya sekali ini! Terasa darah hangat tersimbah ke muka! Di dalam hati, beristighfar tidak berhenti-henti,
"Astagfirulllah Alazim! Aku manusia lalai dan lemah
sekali!"
Apakah reaksi yang harus saya beri? Menolak dan menidakkannya? Menafikan bermati-matian bahawa cikgu telah tersalah sangka bahawa surat itu sebenarnya bukan ditujukan kepadanya? Jika saya berkata begitu, apakah nanti saya akan memalukannya? Atau perlukan saya berdiam diri? Menerima dan berserah kepada Allah.

"Saya harap awak terima dengan hati terbuka bahawa hubungan ini tidak akan terjadi. Ia tidak perlu diteruskan kerana saya adalah tunangan orang"

Cikgu mengakhiri kata-kata. Saya terkesan dengan peringatan cikgu. Bersyukur dengan ketentuan tuhan dan mengambil iktibar dengan kata-kata nasihatnya. Sedikitpun tidak terguris atau berkecil hati. Malah terasa Allah memberikan peringatan dan pelajaran.

Di dalam minda saya memberikan semangat, memulihkan diri. Berulang-ulang kali berbisik di dalam hati,"Cukuplah sekali. Jangan ulangi perbuatan bodoh seperti ini!". Tiba-tiba Allah memberi kekuatan untuk saya berkata-kata.

"Terima kasih cikgu. Saya akan simpan kata-kata itu."