Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Monday, August 30, 2010

Pulang beraya


Saat yang paling seronok apabila berjauhan, tentulah ketika pulang menemui keluarga.

Saya pernah merasai keseronokan itu ketika di universiti, semasa pertama kali berjauhan dengan keluarga. Seronok pulang berhari raya. Seronok membawa pulang suami dan anak-anak ke kampung halaman saya. Seronok apabila pulang dari luar negara.

Dahulu, sepanjang perjalanan pulang keceriaan dinyatakan dengan memutarkan lagu-lagu berunsur kerinduan kepada kampung halaman, kemeriahan hari raya dan sebagainya. Lalu, masa yang berlalu dan usia yang tinggal meminta saya mengubah amalan itu.




"Adakah awak semua mengucap dua kalimah syahadat dan berdoa sebelum berangkat pulang?"

"Adaaaa..."

"Ok. Alhamdulillah. Apakah yang awak buat disepanjang perjalanan pulang?"

Jawapan yang kedengaran adalah pelbagai. Tidur, adalah agenda utama. Mereka tidak menjadikan membaca sebagai amalan biasa.

"Tidur?"

"Zikir, puan...kami berzikir."

"Baik. Alhamdulillah. Jika betul apa yang dikatakan itu. Tetapi jika apa yang dilafazkan itu semata-mata kerana kamu mempersenda-sendakan agama Islam, atau berdusta dalam menyatakan yang bukan menjadi amalan, maka hari ini kamu harus menjadi saksi dan jawablah ketika di hari pembalasan nanti."

Mereka terkedu.

"Ada tak antara kamu yang mendengar walkman atau MP3?

"Adaaaa.."

"Kalau boleh..perdengarkan ayat-ayat al-quran. Bukannya apa..bimbang nanti sekiranya pakcik yang memandu bas itu tekan break serta-merta atau ada kemalangan berlaku...Kalau kita sedang tidur, takut tidak sempat mengucap. Atau kalau kita sedang mendengar muzik atau lagu-lagu, takut nanti ucapan terakhir yang keluar dari mulut kita..."

"Laillah..haillallah"

"Bukan..takut terkeluar perkataan akhir kita adalah " Oh babe!"

Mereka tergelak besar.

Itulah pesanan yang diingatkan kepada anak-anak saya yang bakal pulang untuk beraya di kampung halaman nanti. Barangkali perasaan keibuaan itu terbawa-bawa ke dalam kelas. Ya Allah, berlebih-lebihankah saya?


Sunday, August 29, 2010

Saya tidak pandai..


Seorang pelajar datang berbincang mengenai tugasan yang diberikan. Ia tugasan yang telah dimaklumkan dalam silibus sejak awal semester lagi. Sebanyak 30% tugasan kerja akan diambilkira.

"Puan, saya tidak berapa faham bagaimana mahu mendapatkan artikal seperti yang dikatakan.."

"Bukankah ia jelas tercatat di dalam "scheme of work" yang diberikan kepada semua rakan sekelas? Bukankah kita sama-sama telah ke makmal komputer dan setiap pelajar diajar bagaimana mencari artikal dan journal?"

"Iya ke puan..."

"Kalaupun awak tidak hadir ke kelas, cubalah bertanya kepada kawan-kawan. Jangan esok tarikh untuk menghantar tugasan, hari ini baru kita mahu bertanya. Sudah hampir dua bulan tugasan itu dimaklumkan, kenapa baru sekarang hendak sibuk-sibuk pula.."

"Saya agak lembab sedikit puan.."

Lalu, sebelum kelas berakhir saya teringat kata-kata ustaz yang meminta agar kita menyampaikan kata-kata peringatan dan nasihat walaupun dengan satu ayat. Ya Allah, saya tidak pandai tetapi berikanlah rezeki faham, ilham serta ajarkanlah agar dilancarkan kata-kata. Agar mereka memahami apa yang diperkatakan.

"Adakah kamu semua bersahur di bulan ramadhan ini?"

"Iya puan..kalau tidak nanti lapar."

Tersenyum. gelihati dengan gelagat mereka yang berterus terang.

"Tahukah kamu apakah iktibar yang Allah ingin sampaikan sempena waktu sahur?"

"Ia membezakan antara puasa orang Islam dengan puasa orang bukan Islam."

"Ya. Pernahkah kita diingatkan tentang bangun di satu pertiga malam masih tersisa?"

"Pernah.."

"Kenapa tidak sebelum bersahur, kita ambil air sembahyang dan sembahyang sunat dua rakaat dahulu. Ketika itu berdoalah mohon Allah memudahkan urusan kita. Mengadu kepada Allah tentang kekurangan diri kita, mohon pertolongan dari-Nya."

Mereka diam.

"Sebenarnya kita boleh melakukannya. Bangunlah sembahyang di waktu malam..biar Allah mendengar bisikan hati kita.

Saya mohon keampunan dari tuhan yang menjadikan alam semesta, jika tersalah menyatakan itu kepada mereka.

Thursday, August 19, 2010

Pulanglah...

Pada semester pertama ketika belajar di UiTM [ dahulu ITM Dungun] setiap hari, hati saya meronta-ronta untuk pulang. Anak kampung yang mengelepar kerinduan.

Rindu pada keluarga.
Rindu kepada sepupu.
Rindu kepada kawan-kawan.
Rindu kepada guru.
Rindu kepada kampung halaman.

Malah, ketika menjelang hari raya..bukan lagu-lagu hari raya yang mengundang tangisan. Tetapi lagu Pulanglah...nyanyian Dato Shake



Lagu itu pernah dihadiahkan oleh seorang rakan yang dikenali semasa minggu silaturahim [ceritanya di sini]. Dia menyanyikannya sebelum saya pulang. [Ceritanya di sini.]

Ketika berada di luar negara.. lagu itu juga yang membuatkan sebak di dada. Subhanallah! Bagaimana Allah memberikan ilham dan kelebihan kepada hamba-Nya dengan cara yang pelbagai. Lagu yang biasa-biasa sahaja bagi orang biasa, namun luar biasanya ia mengusik hati hati hamba-Nya yang lain.

Maka, nikmat Allah yang manakah hendak didustakan?

Tuesday, August 17, 2010

Kenangan berbuka puasa


Kenangan berbuka puasa semasa belajar di pengajian luar kampus adalah saat pahit yang manis untuk dikenang. Kami berbuka bersama rakan-rakan seperjuangan. Bukan dengan anak-anak dan suami.

Kuliah berjalan seperti biasa. Bermula pada pukul 6.30 petang, berhenti untuk berbuka dan sembahyang maghrib seterusnya meneruskan kuliah sehingga pukul 10.30 malam.

Masing-masing membeli makanan untuk berbuka secara ala kadar sahaja. Sebungkus nasi dan sebungkus air. Kuih-muih kami makan secara berkongsi. Secubit seorang.

"Ya Allah, tabahkan hati kami. Jadikanlah kami hamba-Mu yang menyerahkan diri kepada-Mu. Mensyukuri nikmat yang dipinjamkan atas kurniaan-Mu. Jadikan rezeki hari ini mendapat barakah-Mu. Esok, biar kami kenangi saat-saat ini ..kerana inilah saatnya diri terasa kerdil namun hampir dengan-Mu."

"Wahai zat yang diriku dalam genggaman-Nya.. Kala diriku hanya mampu merangkak, terasa tuhanku berjalan pantas ke arahku. Ketika diriku hanya mampu berjalan perlahan, terasa tuhan-ku datang secara berlari."

"Wahai tuhan, berikan daku nikmat kesihatan dan kekuatan hati agar daku dapat menghambakan diri kepada-Mu. Agar daku menjadi hamba yang mensyukuri nikmat kurniaan-Mu..."

"Wahai tuhan, perkenankanlah.."

Gambar ihsan:

asz-mylife.blogspot.com/2010_06_01_archive.html

Saturday, August 14, 2010

Jika itu ketentuan-Nya..


Pada awal semester saya hanya melihat dia dari jauh. Malu hendak menegur. Di mata saya, dia seperti seorang yang berjaya. Gaya pakaian dan jalannya memang terserlah..dia bukan orang calang-calang. Skillnya ketika berkomunikasi, hebat sekali!

Pada semester ke dua, saya cuba hampiri dia. Namun, tidak begitu hampir. Masih malu.

Semester ke tiga saya bernekad untuk melontarkan perasaan malu itu. Perasaan hati meledak-ledak apabila mendengar desas-desus rakan sekelas, GPA dia 4.00! Dalan hati menyesali diri,

"Itulah..kalau dahulu lagi berkawan dan menghampiri dia.. sekurang-kurangnya mendapat tempias dia."

Namun, di tahun terakhir.. dia kelihatan berbeza. Gaya rangginya memudar. Dia banyak mendiamkan diri, hanya menjawab jika ditanya. Tiada lagi soalan provokasi, tiada lagi interaksi darinya. Dalam hati ingin tahu, tetapi jika orang tidak bercerita, tidak pula saya mahu bertanya.

Pada akhir semester nyata sekali, dia bukan lagi seperti yang pertama kali saya melihatnya. Kuasa Allah, terdengar rakan bercerita;

"Dia adalah seorang pengurus di bahagian Pengurusan Sumber Manusia. Ditakdirkan tuhan, suaminya meninggal dunia pada semester ke tiga. Tinggalah dia bersama anak-anak yang sedang remaja. Namun, kerana suaminya adalah seorang peniaga persendirian, semua harta benda dan pinjaman bank dibuat atas namanya. Jadi, dialah yang menanggung segala hutang piutang yang ditinggalkan oleh arwah suaminya."

Rakan itu bercerita lagi.

"Setahun kemudian, tempias 11 September, syarikatnya mula membuang pekerja. Dia ditawarkan dengan skim VSS oleh pengurusan tertinggi. Mahu atau tidak, dia terpaksa menerimanya."

"Namun, semakin kuat dia diduga, semakin dekat dia menghampiri yang maha berkuasa. Katanya, apakah kita dikatakan beriman, jika tidak di uji? Sesungguhnya tuhanku maha mengetahui apa yang tidak daku ketahui. Daku reda dan bertawakal kepada yang maha kuasa. Bukankah itu ketentuan-Nya?"

Terkedu.

"Subhanallah, begitu rupanya...betapa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul."

Saya masih tidak mahu bertanya. Ya Allah, biar dia tabah dan sabar dengan ujiannya.

Monday, August 9, 2010

Mengandung lagi?


Seorang kawan yang sedang cuti belajar [Phd] memberitahu yang dia sedang pening-pening dan mual-mual. Sambil ketawa dia berkata;

"Ya Allah, bertahun-tahun sudah tidak menjaga anak kecil. Saya fikir sudah tutup kedai!"

"Yang terakhir tu sekarang darjah berapa?"

"Darjah? Sudah masuk sekolah menengah! Kenapalah masa ini pulak..mengandung lagi."

Dalam masa yang lain, seorang pelajar luar kampus menghantar e-mail kepada saya. Menurut e-mail yang diterima, dia menghadapi masalah keluarga. Tidak pula saya bertanya. Namun, risik-risik dari rakan sekelas saya mendapat tahu dia baru sahaja lepas pantang bersalin. Beranak rapat. Anak yang sulung masih lagi belum pandai berjalan.

Terkenang diri saya beberapa tahun yang lalu. Saya mengandung lagi semasa sedang belajar secara luar kampus ketika anak ke tiga [Amirul] berumur lima tahun. Rasanya bagaikan langit menghempap ke atas kepala saya apabila mengetahui diri positif mengandung.

Bukan saya sahaja, malah beberapa rakan sekelas dan seusia juga mengalami sindrom yang sama. Namun, kami ibu-ibu yang mengandung masih tetap bersemangat meneruskan perjuangan. Memandangkan keadaan kami begitu, lalu kami lebih kerap mendapatkan pandangan pensyarah. Malah, kami memohon tugasan-tugasan tambahan kalau-kalau ia dapat menampung mana-mana yang kurang.

Benar. Fizikal kami yang lemah, kadang-kadang menghadkan pergerakan dan mengurangkan interaksi/komunikasi dua hala. Kami tidak lagi seaktif sebelum itu.

Pernah terjadi, suami menghantar saya ke fakulti tiga minggu selepas bersalin untuk menduduki ujian [assesment test] ke dua. Seterusnya menduduki peperiksaan akhir seminggu selepas itu. Kami [rakan seangkatan] perlahan-lahan menuju ke meja di dalam dewan besar dengan baju sejuk dan setokin tebal. Mengayakan fesyen ibu di dalam pantang.

Seorang rakan yang lain pula yang sudah cukup masa untuk bersalin, masih gagahkan diri menduduki peperiksaan akhir. Katanya, terasa kepala bayi mencari jalan, sudah terasa sengal-sengal di bahagian pinggang. Seluruh pengawas peperiksaan gempar di dalam dewan. Sementara dia menyudahkan soalan peperiksaan, di luar sana.. suami, bidan dan pegawai ambulan sudah sedia menunggu!

Siap soalan terakhir, beliau mengangkat tangan.. Lalu, berlari-larilah pegawai ambulan ke arahnya!

Gambar ihsan :

http://www.i-am-pregnant.com/Pregnancy/calendar/week/7

Thursday, August 5, 2010

Tiada kawan


"Puan, take five..."


"Ok..kita berehat lima minit."


Namun, hanya dua orang sahaja yang keluar dari bilik kuliah bagi melepaskan lelah. Bayangkanlah, dari awal pagi mereka perlu hadir ke kelas seawal pukul 8.00. Kemudian disambung pula dengan kelas ke dua bermula pada pukul 11.15 dan kelas ketiga bermula pada pukul 3.00 petang. Pasti mereka kelelahan.


Sekadar bertanya;

"Ketika waktu rehat di pejabat, apa yang kamu buat?"

"Puan, waktu itulah kami membuat tugasan atau mengulangkaji pelajaran."

"Tidak keluar makan?"


"Kadang-kadang kami rasakan keluar makan itu suatu pembaziran masa. Lebih baik kami makan sekadarnya sambil membuat tugasan kuliah. Di rumah nanti belum pasti kami dapat mengulangkaji."

"Kawan-kawan tidak mengajak kamu keluar?"


"Sesekala sahaja boleh..tetapi kerana kerap sangat menolak, akhirnya kami terpinggir. Kami hampir tiada kawan..."

Tidak sanggup saya meneruskan pertanyaan kerana saya juga melalui apa yang sedang mereka rasakan.

Tuesday, August 3, 2010

Masa berkualiti

Di hujung kuliah pada sabtu lepas, kami berbicara tentang masa dan kesedaran untuk terus belajar. Masa yang ditinggalkan berbanding dengan masa yang ada.

"Masa yang telah kita tinggalkan..telahpun berlalu. Masa yang ada hanyalah pada saat ini sahaja. Kerana esok belum pasti. Jangankan esok, malam ini pun belum tentu. Jangankan malam ini, sebentar lagi pun belum pasti."

Mereka mengangguk bersetuju.

"Puan, masa yang lampau tidak membenarkan kami belajar. Biar usia dikatakan sudah tua, namun kami mahu meneruskannya."


"Benar. Jika kita fikir sekarang umur kita sudah tua untuk belajar. Esok, bulan hadapan atau tahun hadapan.. kita lebih tua lagi daripada usia sekarang."

Diam.

" Jadi, jika mahu lakukan sesuatu..lakukanlah sekarang. Seolah-olah kita akan mati esok hari. Namun, lakukan dengan bersungguh-sungguh seolah-olah kita mahu membina empayar untuk 1000 tahun lagi."

Mereka menganggukkan kepala.

"Apakah kita tiada perasaan apabila mengadaikan hujung minggu untuk meneruskan pengajian? Apakah kita tidak simpati kepada keluarga? Tidak.. Namun, nyatakan dan mohon agar mereka memahami keadaan kita. Jangan sampai kita lemah dan mengalah. Lantas, tidak sampai ke hujungnya."

Mereka mengangguk lagi.

"Tetapi ingat.. jika kita sedang bersama mereka. Layani mereka sepenuhnya.. Apalah sangat masa yang diperlukan jika anak minta di dakap. Apalah sangat masa yang diperlukan jika isteri minta menemani ke pasar malam. Ketika kita bersama mereka, berikan tumpuan sepenuhnya."

Kali ini anggukan kepala mereka terhenti.