Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Monday, February 23, 2009

Rakit Batang Pisang

Ubi rebus. Itulah sajian di musim tengkujuh!

Bila hujan turun mencurah-curah, langit gelap, mendung sepanjang hari - kami mula mencari aktiviti yang boleh menghiburkan hati. Selalunya mak akan membuat ampaian kain di dalam rumah. Di sangkutnya kain berlembar-lembar, umpama khemah. Di balik-baliknya kain-kain itu, agar keringnya serata.

Di situlah kami bermain pondok-pondok. Main jual-jualan.
Musim tengkujuh seperti itu akan berlalu berminggu-minggu lamanya. Dalam kebosanan, kami sering berdoa,"Minta-minta banjir lah hendaknya..boleh kami bermain rakit pisang!"
Rakit pisang selalunya Abang Mie (abang sepupu) yang buatkan. Di tebangnya beberapa batang pisang, di apit dengan kayu alang, lalu di ikat dengan tali sehingga kukuh. Kemudian, Abang Mie akan meletakkan sepupu-sepupu kecil di atasnya. Di harungnya air banjir separas dada. Pusing keliling sekitar rumah Mak Wa.

Paling mencabar apabila Abang Mie membawa rakit pisang ke sawah bendang di Baruh, belakang rumah Mak Ngah Hajar. Kami yang kecil-kecil tidak dibenarkan langsung menaikinya. Terjerit-jerit lah kami keseronokan dari atas bukit melihat Abang Mie menunjukkan kehebatannya berakit menyusur arus deras. Sesekali kelihatan rakit terbalik, lalu Abang Mie terjunam hilang di telan banjir!

Ya Allah! Kalau lah ditakdirkan Abang Mie hilang terus di bawa arus deras ketika itu, mungkin rakit pisang bukan lagi menjadi kenangan manis ketika berakit di musim tengkujuh!

Gambar ihsan : izzati.jomkawin.blogspot

Sunday, February 22, 2009

Ubi Rebus


Mak Wa selalu bercerita kisah-kisah lampau, terutamanya apabila kami begitu berkira atau terlampau memilih makanan yang terhidang.

Katanya " Ini lah makanan ruji masa zaman perang Jepun dulu. Selalunya Mak Wa akan rebus bersama segenggam beras. Di makan bersama nyior muda yang di kukur. Kalau bosan, ubi rebus akan di tumbuk bersama nyoir tadi lalu, di kepal-kepal menjadi bebola"

Mak Wa selalunya merebus ubi kayu dengan agak banyak. Siapa sahaja tetamu yang singgah ke rumah, akan dipelawanya menikmati ubi rebus yang empuk gebu bersama kopi-O panas. Ubi rebus tadi akan di hidang bersama nyoir muda kukur yang dicampurkan dengan sedikit garam dan gula.

Jika tidak habis, Mak Wa akan meracik-racik ubi rebus tadi lalu di jemur di tengah panas. Ubi racik tadi di jemur berhari-hari sehingga kering. Ia kelihatan seperti kerepek. Setelah cukup kering, Mak Wa mengorengnya pula. Proses seterusnya, Mak Wa akan menyira kerepek tadi seperti kuih keria. Manis, garing, lemak dan ranggup!

Hari ini, jarang sekali saya melihat kerepek seperti itu. Atau, ada kah di antara kita tahu bahawa kerepek seumpama itu pernah wujud sebagai kerepek tradisi melayu?


Thursday, February 19, 2009

Durian


Tahun 1977, adalah tahun bonus buat abah. Dia menerima cahaya mata lelaki dan permohonan untuk berpindah sekolah juga telah diluluskan. Abah akhirnya pulang ke kampung halamannya di Kampung Paya Jakas, Jementah. Sebuah kampung kecil di kaki Gunung Ledang.

Kampung tersebut dikelilingi oleh dusun buah-buahan. Terkenal dengan buah duriannya. "Durian Segamat" dikatakan durian terbaik di Johor. Bila tiba musim ini, rata-rata topik perbualan dan hidangan adalah hasil bahan daripada buah itu.
Menu kami :

Pagi - jemput-jemput durian dan buah durian
Tengahari - masak lemak durian muda dengan daun kunyit dan cili tempoyak
Minum petang - pulut durian, santan durian, kuih bingka durian dan buah durian
Malam - Masak gulai tempoyak ikan patin
Malah, pergi lah walau ke rumah sesiapa pun di kampung Paya Jakas pada musim itu, menunya hampir sama.

Jadi, jika kita terhidu sesuatu yang tidak di kenal pasti milik siapa...jangan buat andaian melulu. Kerananya baunya hampir-hampir sama.

Wednesday, February 18, 2009

Roti Canai



Bahan-bahan yang digunakan bukannya mahal. Mudah di dapati. Cuma tepung, air garam, dua camca besar majerin cair dan sedikit gula. Mak masukkan ke dalam besin besar lalu diuli sehingga menjadi doh yang lembut tidak lekat di tangan.

Doh tadi di kepal-kepal sebesar penumbuk lalu disalut dengan majerin. Mak tutup dengan tudung periuk yang besar dan diketepikan. Esok paginya baru proses mencanai bermula.

Mak ambil sebuku doh. Dia lepek-leperkan, di canai-canai, di tarik-tarik di dalam dulang besar. Doh lembut tadi menjadi nipis keputihan. Kemudian mak simpul-simpul seperti sanggul siput. Sebelum di goreng, mak canai-canaikan lagi bersama sedikit minyak masak.

Kami adik beradik akan duduk di sekeliling dulang besar. Sabar menunggu sehingga kesemua roti canai tadi selesai di goreng.

Nikmatnya roti canai hasil tangan mak!

Saturday, February 14, 2009

Askar Melayu

Adik bungsu kami, lelaki, mak dan abah namakan sebagai Rahmat Syah Razif. Panjang nama itu. Ia adalah lambang kepuasan, lambang penantian, lambang kesyukuran. Lahirnya Razif merupakan suatu anugerah, bukti kasih sayang Allah kepada hambaNya. Ia menjawab bisikan doa, jua bisikan hati yang termakbul. Ia suatu rahmat dari Allah.

Sebelum itu, saya pernah bertanya kepada mak, kenapa adik-beradik saya keenam-enamnya perempuan. Kenapa kita tidak mempunyai adik lelaki? Kata mak," Mohon kepada Allah. Dia lebih mengetahui apa yang tidak kita ketahui. Dia yang merancang. Dia yang mengabulkan setiap permohonan."

Lalu, selepas sembahyang, kami adik-beradik berdoa secara berjemaah. Kami lihat cara orang berzikir. Mereka kelihatan khusyuk, menggeleng-gelengkan kepala sambil menyebut," La illa ha ilallah" sebanyak-banyaknya.
"Mari kita mulakan. 1,2,3...La illa ha Illallah..berulang-ulang. Bila dah terlalu lama berzikir, nak berhenti macamana? Kami mula memberikan isyarat untuk berhenti. 1,2,3...berhenti!

Dan kami sambung sedikit lagi..1,2,3.." Nak adik laki-laki, nak adik laki-laki.." berulang-ulang. Isyarat untuk berhenti...1,2,3 berhenti!
Beberapa tahun yang lalu, kehadiran adik lelaki bungsu ini benar-benar membawa kegembiraan kepada kami. Memang dia benar-benar berbeza. Penghibur hati keluarga. Abah lah yang paling ketara keceriaannya.
Bila di tanya tentang cita-cita adik lelaki kami semasa kecil dulu, katanya "Razif nak jadi Askar Melayu."
Lalu, abah dan mak membelikannya baju uniform celoreng bercorak askar di pasar malam. Baju itulah yang dipakai oleh Razif siang dan malam. Dia akan berkawat dari dapur hingga ke serambi rumah bersama sebatang kayu ubi yang diikat dengan tali rapia lalu disandangkan di atas bahu persis senapang.
Askar Tajik! Askar Tajik!
Razif akan berkawat perlahan sambil memberi tabik hormat ke arah kami yang sedang menjamu selera di meja makan. Kami membalas hormat sambil senyum meleret.

Hari ini, Razif begitu sibuk memberi tabik hormat kepada pembesar-pembesar Angkatan Tentera di Raja Malaysia. Kesibukan yang membuatkan mak dan abah kehilangan dia. Tiada wujud cuti hujung minggu apatah lagi cuti tahunan. Amat jarang dia mendapat cuti yang panjang.

Kami adik-beradik kehilangan "Askar Tajik" di ruang meja makan rumah kecil ini, apabila kesemua pulang berkumpul balik kampung. Yang ada hanya lah potret kenangan Razif dengan uniform askar di sekolah tadika dan semasa tamat latihan di Institut Pengajian Tinggi.
"Ya Allah..janganlah kau sibukkan dia dengan segala urusan dunia. Wahai tuhan, sesekali, pulangkan lah dia kepada mak dan abah. Sesekali..mohon dia memberi tabik hormat itu kepada mereka..Razif tentu tahu, mak dan abah merindui anak lelaki kesayangan yang menjadi kebanggaan mereka.."

Wednesday, February 11, 2009

Ben 10

Beberapa objek kecil di pegang kemas. Di atur berbaris-baris sebelah bantal, untuk menghiburkan hati sebelum mata terlelap di buai mimpi. Di siang hari, jangan sesekali di tanya tentang objek-objek ini..ceritanya panjang berjela susah untuk menyuruhnya berhenti.

"Mama, Kimi tak boleh tidur. Kimi nak Umi.."
"Umi di hospital sayang.."
"Mama..lama lagi ke Umi dekat hospital?"

Diam.

"Kesian Umi..lama Kimi tak tidur dengan umi..."

Diam.
Begitulah...renggekan anak sulung Ayu. Latif Hakimi. Baru mencecah usia 5 tahun.

Di dalam kegelapan malam, di dalam dakapan sayang penuh kesayuan terkeluar luahan dari dalaman. Perlahan-lahan terasa ada tumpahan suam di atas lengan. Rupanya, anak sekecil itu pun pandai menyembunyikan perasaan. Kerinduan mendalam terhadap uminya.

"Doakan untuk umi sayang..doakan..Kimi tahu kan, Allah mendengar bisikan kita."

Saturday, February 7, 2009

Kain Songket

Beberapa tahun dahulu, kain songket seperti ini mak jahit sendiri untuk dijadikan baju kurung kepada adik perempuan bungsu kami, Rahayu.

Baju itu di pakai oleh Ayu untuk peragaan sempena Hari Graduan sekolah Tadika Kemas Kampung Paya Jakas, Jementah. Dengan tema,"Gadis Melayu". Wajah Ayu di sapu bedak, bibir diserikan dengan sedikit calitan gincu dan celak hitam pada alis matanya. Rambutnya yang ikal separas bahu di sanggul rapi persis seorang puteri. Di selit secucuk "Sanggul Goyang Bunga Tanjung."

Cikgu Tadika rapikan gaya Ayu dengan selindang serta tas tangan kecil. Aduh! Tambah bergaya seorang gadis melayu.

Malam itu, Ayu kelihatan seperti gadis remaja yang menjadi siulan sang kumbang. Dia melangkah sopan di tengah pentas dengan yakin. Ramai yang tarik nafas lega, puas serta bangga di dalam hati.

"Cantik adik kita kan?...cantik nyek?" kakak-kakak mengiyakan sesama sendiri.

Memang Ayu boleh diharapkan oleh cikgu, mak dan kakak-kakak. Malah di sekolah, dia sering mencuri tumpuan rakan-rakan sebaya. Terdapat seorang rakan sebaya Ayu yang juga sekampung dikenali sebagai "Daud", emaknya bertandang ke rumah kami melapurkan dia sering memuji-muji kelebihan Ayu. Mak tertawa gelihati mendengarnya.

Hari ini, cerita baju songket itu masih menjadi bualan kami adik-beradik. Kerana hanya Ayu sahaja yang merasa memperagakannya ketika di sekolah Tadika.
Baju songket sulaman bunga tabur telah lama hilang. Namun, kenangan itu masih segar.
Hari ini, Ayu masih lagi mampu tersenyum apabila diulangi cerita itu, walaupun kelihatan sedikit hambar.. Susuk tubuhnya yang mulai ditumbuhi ruam, bengkak kemerahan seluruh badan dan muntah kuning yang berpanjangan, mungkin telah memudarkan sedikit keayuan senyuman itu.

Wahai Tuhan yang menyembuhkan, sembuhkanlah.. dan kembalikan semula senyuman itu.

Friday, February 6, 2009

Layang-layang


Ia sejenis permainan yang bermusim. Bila musim itu datang, seluruh kampung akan keluar bermain. Baik tua apa tah lagi budak-budak muda.

Permainan bermusim ini kadang-kadang banyak deskriminasinya. Ia dikatakan ada permainan untuk budak lelaki dan permainan untuk budak perempuan. Layang-layang ini di kategorikan sebagai permainan budak lelaki. Bila tiba musim ini, tiba-tiba kawan-kawan lelaki sebaya kita menjadi begitu maskulin lagi macho. Begitu juga bila tiba musim bermain gasing dan bola baling.

Tidak seperti permainan budak perempuan, ia dikatakan agak "evergreen". Kita ada main pondok-pondok, main jual beli, main buat kuih, main ting-ting, main emak-emak, main skipping dan main zero point. Ia boleh dimain bila-bila masa sahaja walaupun di waktu hujan.

Tetapi apabila habis sahaja musim layang-layang ini, mula lah kelihatan budak lelaki yang kekeringan permainan dan mengecek nak tumpang bermain. Masalahnya budak-budak lelaki ini mereka tidak begitu pandai membawa dialog ketika memainkan peranan di dalam permainan seperti ini. Contohnya, bermain pondok-pondok jadi mak, ayah, kakak, makcik, jiran dan sebagainya.

Budak-budak perempuan akan mengeluarkan dialog seolah-olah seperti skrip drama. Budak lelaki, perlu di ajar apa yang perlu dituturkan. Akhirnya...

"Kita main pengantin-pengantin lah, awak jadi pengantin lelaki."

Lalu, terlerailah maskulin dan macho mereka.


Thursday, February 5, 2009

Mee Siput

Kami sekeluarga tinggal di Kampung Sungai Gatom sehingga saya berumur 10 tahun. Abah menyekolahkan saya di Sekolah Rendah Inggeris Labis. Kami adik beradik pergi ke sekolah itu dengan berjalan kaki.
Sepanjang perjalanan ke sekolah, banyak cabaran yang kami tempuhi. Antaranya kami terpaksa melalui kawasan tempat kuil Hindu yang dikelilingi kebun sireh. Terdapat seorang budak lelaki keturunan India yang sering mengugut kami di situ. Apabila terkena sekali, hari-hari berikutnya kami amat berhati-hati . Jika ternampak kelibat budak itu, kami segera memintas ke kawasan lain yang lebih jauh untuk ke sekolah.
Namun, halangan yang paling mencabar adalah kami terpaksa melintasi rumah Mak Jah, penjual "Mee Siput". Mak Jah menyediakan pelbagai pilihan citarasa untuk mee itu.

Mee Siput dengan sambal kicap, mee siput sira sambal manis, mee siput cicah air
lada, mee siput pedas dan macam-macam pilihan lain. Harganya 10 sen sekeping.

Jika kami membelinya di tengah jalan, bermakna di sekolah nanti kami cuma ada
lagi 10 sen untuk belanja di waktu rehat.

Lalu, kami hanya membeli sekeping dan kami kongsi makan bersama. Terkulat-kulat kerana tidak puas dengan agihan daripada sekeping mee siput tersebut. Namun, itu lah sebenarnya nilai nikmat yang dikecapi. Kesedapan hingga menjilat jari!
Ia tidak akan sama rasanya jika diulangi.

Wednesday, February 4, 2009

Lepat












Sejak kebelakangan ini saya terasa amat rindu kepada Mak Wa. Rindu yang sukar digambarkan.

Semasa kecil saya kerap menahan tangis, terutama apabila abah memukul tanpa sebab yang munasabah pada fikiran saya. Kami adik-beradik langsung tidak di beri peluang bertanya apa tah lagi untuk membela diri. Lalu, saya akan melarikan diri mencari Mak Wa.

Saya akan duduk membisu disebelahnya. Diam sambil memerhatikan sahaja apa yang dilakukan oleh Mak Wa. Saya akan berkeadaan begitu sehingga beberapa waktu. Jawapan yang akan saya berikan apabila di tanya hanya lah mengangguk atau mengeleng kepala.

"Moh, temankan Mak Wa pergi ke dapur. Ada pisang, ada ubi kayu dan ada labu. Awak hendak makan lepat apa?".

Diam.

"Kita buat lepat ubi , ndak tak? Awak parut ubi, Mak Wa pergi cari daun pisang buat bungkus."

Diam.

"Kalau awak rajin, parut lah labu sekali. Kita buat kedua-duanya.."

Diam.

Dan seterusnya..Mak Wa akan terus bercakap walaupun saya tidak akan menjawabnya.

Mak Wa tahu saya sedang menangis di dalam hati. Mak Wa tahu bahawa saya sedang berkecil hati. Namun, dia langsung tidak pernah bertanya tentang perkara itu. Dia akan biarkan sahaja saya berada di dalam keadaan begitu.

Di hujung sebuah rajukan, saya dapat menghasilkan pelbagai jenis lepat!

Monday, February 2, 2009

Tempe

















Ia seperti makanan ruji jiran tetangga di sekitar rumah sewa kami, penduduk kampung Sungai Gatom, Labis. Kami pasti menerima sepinggan lauk setiap hari hasil daripada bahan tersebut dengan resepi yang berbeza.

Ada yang di racik halus lalu di goreng garing, dicampur dengan suhun, ikan bilis, hirisan cili padi, pucuk tauhu, kentang goreng dan sedikit kacang panjang dipanggil "Sambal Goreng ." Ada juga di goreng dengan sambal bersama ikan bilis dan kacang tanah. Kadang-kadang dijadikan ramuan seperti rojak dipanggil "Pecal." Tetapi saya paling suka tempe yang di goreng celup tepung bercampur rempah ratus dipanggil Tempe Mendoan.

Tempe Mendoan itu digoreng untuk hidangan minum petang. Kata Mak, Wak Jannah merebus terlebih dahulu tempe tersebut dengan rebusan santan sehingga santan hampir kering. Kemudian ia dicelup ke dalam tepung beras yang dicampur sedikit jintan manis, ketumbar, hirisan daun kunyit atau sup dan hirisan bawang merah. Garam secukup rasa. Sedikit kapur makan untuk meranggupkannya. Hasilnya...yum-yum. Ia di cicah dengan sambal kicap manis campur cili api.

Ramai juga yang menjadikannya jualan di warung tepi rumah masing-masing. Di jual bersama pisang goreng, sukun goreng, ubi goreng dan ubi ketuk. Namun, kami adik beradik hanya dapat memandangnya dari jauh. Untuk membeli nya adalah di luar kemampuan kami.

Sekali-sekala mak akan membeli tempe segar daripada Wak Jannah. Mak mengorengnya di rumah untuk kami adik beradik. Mak akan membungkus untuk setiap seorang seolah-olah kami membelinya di warung. Kami akan mengambil bungkusan masing-masing dengan perasaan puas hati.

Saat yang paling kami nantikan adalah hari khamis malam Jumaat. Abah selalunya mendapat jemputan kenduri dan akan membawa pulang "Nasi Ambang". Nasi tersebut di bungkus dengan daun ketapang yang besar atau daun pisang.

Apa yang ada di dalamnya?

Ikan masin goreng, serunding kelapa, sayur kacang, ayam masak semur bersama suhun dan juga sambal goreng tempe!