
Suatu petang, suami membawa pulang sepotong kek yang sudah dimakannya separuh. Kata suami itu pemberian rakan sepejabat. Lazat. Lalu dia menyimpan bagi saya merasainya.
Benar, kek keju itu sangat sedap! Rasanya masam manis lemak dan berkrim. Sejak itu nikmat pertama kali menjamah kek itu tidak akan saya lupai.
Beberapa tahun saya berada di Scotland, jarang sekali saya bertemu dengan kek itu. Sehinggalah kami sekeluarga pulang kembali ke tanah air. Saya menemuinya ketika jamuan "potluck" yang di bawa oleh rakan sekerja. Bezanya kek keju itu kerana terasa strawberinya.
Beberapa minggu kemudian, rakan itu membawa kek keju lagi. Kali ini terasa seperti blackberi. Di minggu yang lain, kek kejunya terasa vanila dan coklat pula. Saya teruja! Apabila ditanya, dia tersenyum puas sambil berkata :
"Kek keju itu saya buat sendiri."
Setiap kali dia membawa kek keju itu, saya memuji serta mengkaguminya melampau-lampau. Berbagai cara saya bertanya untuk mengetahui resepi dan cara membuatnya. Tetapi dari bahasa badan, dia bagaikan tidak mahu berkongsi resepi. Negatif."Nantilah..,"
Itu sahaja jaminannya. Saya separuh hampa.
Suatu hujung minggu, ketua unit kami [Dwen Rudeen] mengadakan hari keluarga di Bagan Lalang. Di sana kami mengadakan BBQ. Lalu saya menawarkan diri untuk menyediakan coslaw, salad kentang dan club sandwich. Isteri Dwen, beria-ia benar menambah coslaw dan salad kentang yang dimakan bersama daging salai serta sosej.
"Terasa seperti saya makan coslaw dan salad kentang di Canada.."
Apabila dia bertanya siapa yang membuatnya, semua rakan-rakan menunjuk ke arah saya.
"Ooo, Resepi itu kena denga selera awak ya? Atau barangkali awak rindukan masakan keluarga ?"
Lalu, segera saya catatkan resepi dan cara membuatnya. Resepi yang diajar oleh Kathy, guru masakan dan pembantu rumah kami ketika di Dundee, Scotland. Dia terkedu.
Di minggu yang lain, saya menerima bungkusan dari Dwen. Katanya kiriman dari isterinya. Di serahkan juga sekeping surat yang terselit di kotak bungkusan. Tanpa berlengah, sampul surat itu saya buka.
"Resepi cheese cake!"
Di dalam isi surat itu menerangkan resepi asas kek keju. Untuk mengubah rasanya, kita hanya perlu menukar bahan-bahannya samada strawberi, blueberi, lemon, coklat dan sebagainya. Kalau suka, ramaskan kepingan biskut dan tabur ke dalam adunan vanila. Bakarlah dengan api yang perlahan.
Subhanallah! Benar, orang yang kita tolong, bukan dia yang akan menolong kita. Tetapi Allah datangkan orang lain yang muncul dengan tidak di sangka-sangka.
Lalu, nikmat Allah yang mana satukah hendak didustakan?