Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Saturday, May 28, 2011

Nasi Dagang kasih sayang

Tiga tahun berada di kampus UiTM Dungun, Terengganu tidak banyak mengingatkan saya pada nasi itu - nasi dagang. Saya biasa melihatnya di jual di pasar malam pada setiap hari Khamis. Ada juga sekali-sekala menikmatinya, namun itu berlalu begitu sahaja.

Sehinggalah saya menikmati nasi dagang hasil air tangan emak mertua - Wan Fatimah!

Setiap kali saya dan suami pulang ke kampung halamannya di Besut, Terengganu, sambutannya pasti meriah. Meriah dengan hiruk-pikuk anak-anak saudara yang comel dan montel-montel. Pipi masing-masing tegang, cerah bagaikan bulan penuh! Paling meriah kerana segala jenis makanan serta kuih-muih sentiasa penuh di atas meja. Tidak putus-putus.

Keluarga suami tergolong dalam kategori besar. Adik-beradiknya 12 orang semuanya, dia anak ke 4 dalam keluarga. Anak lelaki sulung dan tinggal di luar kawasan pula. Barangkali keluarga mereka tidak mewah dari segi harta benda tetapi mereka mewah dengan budi bahasa. Mewah juga rezeki jika diukur dari makanan yang terhidang di meja makan mereka.

Di dalam keluarga ini saya mengenali nasi dagang yang di makan dengan ikan aye (ikan tongkol). Wan juga menyediakan gulai ayam. Kuah gulai itu wan ambil sedikit untuk dijadikan gulai udang atau gulai telur rebus. Barulah saya tahu, rupa-rupanya sejenis gulai itu jika di tambah bahan lain, itu menjadi resepi lain.

Pagi-pagi lagi seawal waktu subuh, aroma nasi dagang wan menyelinap di segenap ruang rumah. Kata wan, nasi itu dikukus sebanyak dua kali. Maknanya wan sudahpun bangun barangkali sejak pukul 4 pagi. Sesudah subuh, nasi dagang wan sudah terhidang di meja. Wan agih-agihkan juga ke rumah kak Yah, Kak Ma dan jiran tetangga.

Gulai nasi dagang wan berbeza dari nasi dagang yang saya beli di kebanyakan pasar malam. Sekali suapan sahaja, enakny begitu terasa. Apabila ditanya resepi, wan tergelak suka.

"Resepinya serupa macam orang lain juga, cuma wan masukkan sedikit kelapa bakar tumbuk ke dalam gulai."

"Nasinya pula wan...?"

Saya olok-olok menunjukkan minat, walhal apabila diterangkan oleh wan minda saya segera menyatakan ia kerja renyah! Benar, resepi yang wan berikan sama seperti resepi yang kebanyakannya terdapat di dalam buku resepi di pasaran. Bezanya kerana itu air tangan wan.

Nasi dagang yang dimasak dengan penuh kasih sayang serta perasaan rindu seorang ibu terhadap anaknya yang semakin jauh di mata. Saban tahun, anak-anak semakin jauh apabila mereka telah berumah-tangga. Namun, kasih ibu masih sahaja seperti dahulu. Masih sahaja memandang anak-anak mereka bagaikan mereka masih lagi bayi yang disusui.

Esok paginya, subuh-subuh lagi kami menikmati nasi minyak dan kerutup daging pula. Petang, kami menikmati pulut sotong atau kuih bakar. Lusa, nasi kerabu dan ayam serta ikan percik pula. Seminggu kami pulang, berbagai makanan kegemaran suami disajikan. Adik perempuan suami, Junita Musliha selalu berkata..

"Wah.. Beruntungnya menjadi anak lelaki, setiap kali balik ke rumah, wan pasti menjamu selera mereka. Tapi tidak kisah walau kami menjadi mangsanya..kerana dapat menumpang tuah mereka."

Junita ketawa besar. Barangkali dalam ketawa itu ada benarnya.

Thursday, May 26, 2011

Masakan cina

Dahulu, sewaktu menerima tawaran bekerja di tempat pertama di Subang Jaya, saya berkawan rapat dengan Carol Chong. Dia rakan sepejabat yang membela saya ketika di buli oleh rakan yang lebih senior. Dia sama-sama menemani saya tinggal di pejabat sewaktu rehat.

Setiap hari ibu Carol menghantar sebekas bekalan makanan untuk anak perempuannya ke pejabat. Bekas makanan itu ada empat tingkat semuanya. Tingkat pertama berisi nasi atau bubur, tingkat kedua berisi sup, tingkat ke tiga berisi daging atau ayam dan tingkat terakhir berisi sayur.Setiap kali menikmati makanan tengahari, Carol berpesan :

"Saya makan daging hari ini. Awak jangan pandang"

Namun, dia selalu mempelawa lauk ikan dan sup sayurnya. Katanya itu halal. Saya tersenyum, mengucapkan terima kasih sambil menolak pelawaannya walaupun masakan itu nampak sangat menyelerakan. Sup panas itu berwap-wap.

Ketika bekerja di tempat ke dua, saya bertemu dengan Cyindy dan Tey. Cyindy berkulit sawo matang, nampak seperti perempuan melayu dan Tey adalah nyonya Melaka. Mereka sangat fasih berbahasa melayu. Masing-masing tidak kekok bergaul dan sering keluar makan tengahari dengan rakan sepejabat berbangsa melayu.

Apabila bertanyakan resepi masakan cina, mereka segera mencatatkannya. Kata mereka, asas masakan cina adalah bawang putih yang ditumis. Kemudian di tambah perasa - sos oyster, perasa ayam dan minyak bijan. Api kena kuat dan dimasak dengan cepat. Akhirnya untuk memekatkan masakan, campur sedikit tepung jagung yang dibancuh dengan air.

Di Kuching Sarawak, saya bertemu pula dengan Pearly Jenny dari Miri. Suaminya membuka restoran BBQ steamboat. Apabila membuat kerja-kerja audit di Miri, Pearly beriya-iya mempelawa saya ke restoran suaminya. Katanya sup atau tomyam steamboat mereka menggunakan stok segera "Maggi".

"Ramai orang melayu datang makan di sini. Steamboat kami halal. Semuanya makanan laut dan hanya menggunakan bebola ikan, sotong serta udang."

Benar. Memang ramai melayu yang datang makan di restorannya tanpa silu dan segan. Saya serba salah, mata mencari-cari tanda jaminan "Halal" yang sah. Namun, bagi mengambil hatinya saya minum teh cina sebanyak-banyaknya.

Di Malaysia, barangkali jaminan "Halal" dikawal rapi dan disahkan oleh pihak berkuasa. Tetapi bagaimana pula jika kita makan masakan cina di luar negara? Apakah pertimbangan kita?Apakah wakil agensi pelancungan benar-benar dapat mengesahkan itu adalah pakej makanan halal yang telah disahkan dan dijamin oleh agama?


Tepuk dada, tanya lah selera!

Tuesday, May 24, 2011

Belajarlah walau ke negeri China

Waktu zohor hari itu kami sembahyang berjemaah di Beijing Foreign Studies University, China. Ia hanya sebuah surau kecil yang terletak di hujung bilik-bilik kuliah di tingkat 4.



"Puan, persatuan kami membuat permohonan bersungguh-sungguh kepada pihak pengurusan universiti bagi mendapatkan surau kecil ini." kata salah seorang siswa Tahun satu yang membawa kami ke situ.


Sebelum mengambil wuduk, kami berbual mesra dengan siswi.

"Eh, nampak macam ustazah. Apa yang bakal ustazah buat disini mengambil bahasa mandarin?" kami mengusik apabila melihat penampilan diri gadis-gadis manis Malaysia yang belajar di universiti itu. Bertudung labuh, sopan, menjaga penampilan diri dan jati diri mereka. Mereka tersipu malu.


"Ya Allah.. . Saya memohon jurusan matematik tetapi pihak JPA menghantar saya ke Beijing untuk mempelajari bahasa Cina."


"Itulah ketentuan Allah. Dia lebih mengetahui apa yang tidak kita ketahui. Dalam beratus ribu pelajar Malaysia, kamu dipilih oleh Allah bagi mempelajari bahasa Cina di negeri China. Barangkali ada sesuatu di hadapan sana..."


"Ya puan.."


"Siapa tahu, suatu hari nanti kamu semua inilah yang bakal menterjemahkan tafsir Ibnu Khatir di dalam bahasa cina lalu dibaca oleh beribu-ribu orang cina. Biar mereka tahu bahawa hanya Allah yang menjadikan langit dan bumi serta seluruh alam ini.


"Biar mereka sedar tidak ada untung atau rugi yang dibawa oleh objek-objek yang diukir oleh tangan mereka sendiri. Malah objek itu tidak sedikitpun dapat berbuat apa-apa jika terlanggar atau terjatuh dari tempat persembahan mereka. Perbuatan itu kufur malah diada-adakan sahaja."

"Benar puan..."

"Biar mereka tahu di dalam Quraan ada kisah bagaimana nabi Ibrahim menghancurkan berhala-berhala lalu meletakkan sebilah kapak di tangan patung besar yang disembah oleh kaum yang kufur. Patung itu tidak boleh berkata-kata malah tidak dapat berbuat apa-apa.


"Ya Allah puan.."

"Subhanallah! Besarnya amanah yang Allah berikan ke atas bahu kamu yang kecil comel ini. MasyaAllah! Mulianya kamu di sisi Allah yang bakal menjadi muslimah berjiwa besar bagi menjunjung panji-panji agama-Nya. Berjihad berjuang menegakkan agama Allah yang satu. Mengajak mereka ke jalan yang lurus. Semuga Allah menempatkan kamu sebaris dengan wanita-wanita mulia di zaman Rasulullah junjungan yang mulia"



Mohon maaf, saya bersyarah tanpa diminta. Ia meluncur laju tanpa dirancang. Mereka tunduk diam, merenung lantai. Namun, sekilas pandang ada air murni bertakung di pelipis mata. Sambil mengiringi kami pergi, perlahan-lahan ada yang mengesat hujung mata di bucu tudung labuh mereka.

Monday, May 23, 2011

Ku temui Dia di Beijing

Kertas kerja lawatan akademik ke Bejing digenggam kemas. Puas. Diatasnya ada lampiran surat rasmi dari pejabat Dekan dan pejabat Canselori. Tulisan huruf besar jelas tertera :

"KELULUSAN PERMOHONAN LAWATAN AKADEMIK PELAJAR KE BEIJING, CHINA"



Itu cerita bertahun-tahun dahulu.

Sewaktu saya masih lagi bergelar siswi di peringkat sarjana muda, kertas kerja itu menjadi projek besar bagi rakan sekelas. Kami terpanggil untuk ke sana apabila mempelajari beberapa subjek seperti "Tamadun Islam di China", International Business, Pemasaran antarabangsa dan Global Management. Sebagai ketua projek, kertas kerja itu sering saya bawa ke mana-mana mencari penaja bersama rakan-rakan.

Namun, kuasa Allah mengatasi segala-galanya. Sebulan sebelum berangkat pergi, selembar surat pekeliling universiti membatalkan niat dan usaha kami.

"Semua perjalanan ke negeri China ditangguhkan kerana wabak penyakit SARS."

Hari ini, Dia yang maha kuasa menunaikan permintaan saya. Kali ini, siswa-siswi lain pula yang bertungkus lumus menyediakan kertas kerja itu. Dijemput-Nya dengan keadaan yang lebih bergaya... Saya pergi sebagai pensyarah mereka.

Subhanallah! Maka nikmat Allah yang mana satukah mahu didustakan?

Thursday, May 12, 2011

Salam sejahtera.. relakan kami pergi.

Kepok pusara abah dan Ayu selamat di pasang. Nama dan tarikh terakhir hayat mereka tertera di batu nisan itu. Pusara mereka bertanda.

"Abah, barangkali ini khidmat terakhir saya. Esok-esok barangkali saya tidak dapat ke sini lagi. Namun, doa saya untuk abah tidak pernah putus walaupun dari jauh. Abah sentiasa di hati saya

"Abah..barangkali sudah terlambat bagi saya mengucapkan terima kasih kerana menikahkan saya walau ketika itu dalam usia yang sangat muda. Saya pegang kata-kata mak wa, "Suami itu anugerah Allah." Benar, sehingga kini dia menjaga saya dengan baik sekali."

Dahulu, di malam pernikahan saya pernah mencatat sekeping nota ringkas pada abah di dalam hati. Nota yang menyatakan, selain abah..suami adalah lelaki yang mahu saya menangi hatinya. Saya lakukan itu kerana dia anugerah Tuhan yang maha pengasih lagi maha penyayang. Lalu kerana amanah Allah, saya redha sebagai seorang isteri dan ibu kepada anak-anaknya. Kini.. saya hanya tingga dia. Yang entah berapa lama lagi saya dapat bersamanya.

Bertahun-tahun saya merantau di tempat orang mengikut suami , tahukah abah saya tidak putus berbisik kepada Allah yang maha mendengar supaya diberikan kesempatan menjaga saat-saat terakhir hayat abah di usia tua? Tahukah abah betapa rindunya saya pada kenangan lama. Zaman kanak-kanak di kampung halaman yang indah permai.

Benar. Sesungguhnya Allah itu maha mendengar. Dengan kasih sayang, dikembalikannya saya ke kepangkuan abah selama 3 tahun 3 bulan di kampung halaman. Barulah saya sedar, rupa-rupanya kenangan lalu telah berlalu. Hanya indah sebagai kenangan.

Abah..esok saya akan pergi lagi meninggalkan kampung penuh kenangan ini. Kalau dahulu setiap kali saya pergi ke mana-mana serata dunia mengikut suami, abah pasti mengiringinya dengan doa. Abah selalu memberikan harapan. Kata abah,

"Pergi dahulu..nanti abah datang menyusul. InsyaAllah, abah pergi berziarah awak."

Esok-esok ..barangkali kami tidak dapat lagi menziarahi pusara abah di sini. Kami mahu berhijrah sebagaimana hijrah Rasullulah dari Mekah ke Madinah. Kami nekad tinggalkan kaum keluarga, saudara mara, jiran, rakan taulan dan harta benda. Namun mereka selalu dekat di hati kami. Banyak yang Allah tunjukkan.. mereka tidak selalunya ada bersama di saat-saat kami di timpa ujian. Tahulah kami yang hanya Allah yang di sembah, tempat kami memohon pertolongan.

Entah.. adakah Madinah adalah hentian terakhir perjalanan kami? Apakah di situ juga kami akan disemadi? Entah di bumi mana, entah umur berapa, entah bila akan terhentinya perjalanan ini. Lalu, sekali-sekala saya gagal mengawal air mata apabila sekilas pertanyaan melintas dalam dada;

"Siapakah nanti agaknya yang memasang kepok pusara di batu nisan saya? Barangkali pusara itu tiada bertanda dan anak-cucu tidak dapat mengesannya. Barangkali mereka hanya kenal kami pada nama."

Salam sejahtera abah..relakan kami pergi.

Tuesday, May 10, 2011

Monolog di pusara abah..

Damai sahaja kawasan tanah pusara awal-awal pagi ini. Tanah yang diwakafkan oleh nenek moyang kami. Embun di dedaun masih basah, ada di mana-mana. Dahulu, kawasan ini paling takut dilalui. Masa berlalu, diri berubah. Di situ tempat bersemadi jasad orang-orang yang begitu banyak berbudi pada diri ini. Yang memberi bekas di hati.

Pusara abah, letaknya bersebelahan dengan pusara adik perempuan bungsu kami, Ayu . Ayu rupanya yang pergi dahulu. Begitu suratan kitab ketentuan-Nya.

Di sebelah pusara abah adalah pusara pak cik Wahab. Teringat kembali zaman silam di awal persekolahan rendah.. di laman rumah pakcik Wahab tempat kami sepupu-sepupu perempuan berkumpul di atas pokok jambu air. Di atas pokok jambu air itu sentiasa ada kicap manis dan pedas yang di bungkus dalam pelastik, tergantung di celah-celah ranting. Itu bahan pencecah penambah rasa. Kami tidak begitu risau tentang tarikh luput selagi tidak sakit perut!

"Terima kasih pakcik Wahab. Halalkan jambu air itu kerana kami jarang sekali meminta izin terlebih dahulu. Muga itu menjadi amal jariah yang berterusan."

Di sebelah pusara pakcik Wahab adalah kamar indah bersemadinya "cinta hati pertama" saya.. Mak wa. Pohon-pohon jejuang rimbun sekali meneduhi pusaranya.

Pusara Atok abah, sebelah menyebelah dengan pusara mak wa. Atok abah sinonim dengan basikal tuanya. Basikal atok abah antara kesukaan cucu-cucunya.. Basikal yang mudah sekali "dicuri" kerana tidak pernah berkunci. Saat yang paling sesuai adalah semasa Atok Abah dan Mak Wa sedang khusyuk sembahyang dhuha.

"Maafkan kami Atok Abah kerana "meminjam" basikal itu sehari suntuk ke ulu Jementah. Barangkali hari itu, Atok Abah tidak dapat pergi mencari surat khabar tulisan jawi di pekan Jementah."

"Sebelah pengayuh basikal yang hilang itu sebenarnya angkara kami. Bukit yang dituruni agak tinggi bagi kami, sedangkan basikal itu meluncur dengan laju."

"Lalu, sebenarnya.. semua cucu-cucu atok abah tersungkur bersama basikal itu. Sebelah kaki pengayuh basikal itu tercampak jauh. Jatuh, hilang entah ke mana. Hampir senja kami mencarinya.. Atok Abah. Maaf sekali lagi.. basikal Atok abah terpaksa kami tinggalkan secara senyap-senyap di belakang rumah dengan susah payah. Kami sorong basikal itu beramai-ramai dan ikut anak sungai yang lalu di belakang rumah atok abah.. kononnya supaya tiada orang dapat mengesan tayar basikal."


Di hujung sana..adalah pusara Pak Long Dollah, pemilik jambu bol. Jambu bol yang semakin pupus bakanya.

Esok, sepatutnya adalah hari kelahiran abah. Tanggal 11 Mei. Hampir setiap tahun biasanya kami adik-beradik berkumpul dan seperti kebiasaannya, acara makan-makan dijalankan. Kali terakhir, tarikh yang sama kita berkumpul di rumah Ayu.

Ah, itu masa yang berlalu.

Esok, kepok pusara serta batu nisan abah dan Ayu akan di pasang. Sebagai catatan tanda nama di situ. Biar esok-esok anak cucu dapat mengesannya..sebagaimana kami dapat menjejak pusara atok abah dan mak wa.

Al-Fatihah untuk mereka dan kaum muslimin-musliman.

Semuga Allah melapangkan dan menerangkan kubur mereka. Mengampunkan dosa-dosa mereka. Memberi rahmat ke atas roh mereka dan menempatkan mereka di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Sunday, May 1, 2011

Benar, itu yang tertulis...

Subhanallah! Alhamdulillah! Allah Hu Akhbar!





Terima kasih Allah kerana membuatkan publisher mengambil tindakan segera bagi menukar kaver buku di saat-saat akhir. Mereka memang effektif dan efisyen.




10 markah untuk staff mereka!





Han dan Yatie. Akhirnya Allah menemukan kami bertiga seusai majlis pelancaran buku di PWTC tempohari.