Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Friday, September 24, 2010

Lambaian Kaabah

Petang itu suasananya nyaman dan tenang sekali. Ia bukannya hari giliran kami mengaji.

Seusai sembahyang Asar dan berjogging selama satu jam di sekitar tasik Shah Alam, kami terus pulang ke rumah. Sebelum naik ke tingkat tujuh, suami menjenguk peti surat.

“Alhamdulillah! Surat rasmi dari Tabung Haji.”

Tanpa berlengah daku terus mandi, menyalin pakaian dan masuk ke dapur untuk menyediakan hidangan makan malam. Manakala suami masih sibuk membelek-belek surat rasmi. Berbagai urusan yang perlu dilakukan. Diantaranya adalah pemeriksaan kesihatan, dokumentasi yang diperlukan, keperluan pakaian haji dan kursus haji perdana.

“Yang.. kursus haji perdana ini diadakan di Masjid Shah Alam, kita mesti pergi..lagipun di hujung minggu.”

Kami mendapat tahu ramai jemaah yang lain telah lama mengikuti kursus haji selama berbelas minggu. Sedangkan kami pada ketika itu masih belum mendapat pengesahan untuk pergi. Oleh itu, kami bertekad mengambil peluang untuk menghadiri kursus haji perdana.

Surat tawaran itu terbiar di sudut bilik tidur kami agak lama, sehinggalah suatu hari minggu, suami membuat semakan terperinci. Dari dalam bilik suami berteriak dan bergegas menuju ke arahku yang sedang menyiapkan sarapan di dapur:

“Yang! Yang.. kita jadi tetamu Allah yang istemewa! Kita pergi penerbangan terakhir pada hari Jumaat, wukuf pun hari Jumaat dan balik dari Madinah pun pada hari Jumaat.”

Terkedu hatiku melihat tindakbalas suami. Suami yang suatu masa dahulu pernah mempermain-mainkan niatku, mempersenda-sendakanku dan memperkecil-kecilkan harapanku. Tergambar jelas kegirangan diwajahnya. Hatiku juga melonjak namun, dihalang oleh perasaan ketakutan yang mendalam. Ia umpama menerima berita tarikh kami akan dikorbankan atau tarikh kematian yang telah ditetapkan.

“Ya Allah, ya Tuhanku.. kami takut ya Allah. Kami tidak berilmu. Pimpinlah kami, bantulah kami nanti.”

Benar. Di Mekah dan di Madinah nanti tiada pemandu pelancung yang akan mengiringi. Hampir 45 hari sepanjang di Mekah dan Madinah kami harus berdikari. Walaupun ustaz dan ustazah dari Tabung Haji ada bersama bagi menghulurkan nasihat, tunjuk ajar dan membantu, namun setakad manalah yang mampu dibantu oleh mereka.

“Wahai tuhan..Tiada sesiapa yang dapat kami harapkan selain dari-Mu. Kami sandarkan pengharapan dan belas kasih dari-Mu. Tolonglah kami..bimbinglah kami..kami takut ya Allah. Kami datang atas jemputan-Mu. Semata-mata kerana-Mu”

2 comments:

  1. Salam Puan Roza...adakah ini permulaan kepada cerita travelog Hajjah ?

    ReplyDelete
  2. Assalamulaikum Izan,

    InsyaAllah...

    ReplyDelete