"Panggil Lily.."
Kami bertentangan mata. Menghulurkan senyuman dan bersalaman apabila dia memilih untuk berdiri di sebelah saya. Tiba-tiba saya membatalkan niat untuk meletakkan jawatan.
Benar, saya terkesima dengan perwatakannya yang bersahaja. Banyak soalan yang terkumpul di kepala yang ingin diajukan kepadannya. Namun, saya simpan dahulu sehingga sesuai pada ketika dan keadaannya.
Mulai hari itu, saya mempunyai sahabat baru. Sahabat yang menambat hati tetapi penuh misteri. Barangkali misterinya tidak akan terungkai dalam masa yang singkat. Ia perlu digali peringkat demi peringkat. Saya teruja.
Suatu ketika kami ditugaskan di tempat yang sama, apabila tiba waktu rehat kami makan di meja yang sama. Seperti biasa, dia masih dengan sepit dan sambal tumis ikan bilisnya. Hati saya meronta-ronta ingin mengorek rahsia latar belakang keluarganya. Saya cuba membuka kata tetapi dari bahasa badan nyata dia tidak selesa.
"Pandai awak makan guna sepit..?"
"Dah biasa.."
"Memang di rumahpun makan pakai sepit..?"
"Ya.."
Ah! Dasar suka menjaga tepi kain orang. Saya terasa begitu, namun tidak pula saya mahu mengalah. Tidak mengapa, esok-esok barangkali misteri itu pasti terungkai jua.
No comments:
Post a Comment