Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Sunday, April 26, 2009

Saturday Night Fever


Apabila kak Long Pidah pulang bercuti pertengahan persekolahan, saya suka mendengar dia bercerita. Cerita tentang keseronokan tinggal di sekolah berasrama penuh.
"Semasa prep, kami akan duduk berbincang tentang mata pelajaran yang tidak difahami ketika cikgu mengajar. Jika ada di antara mereka yang tahu, mereka akan berkongsi ilmu."
Saya hanya tekun mendengar.
"Malam minggu, kadang-kadang cikgu akan menayangkan tayangan gambar bertajuk "Saturday Night Fever." Minggu-minggu berikutnya ramai pelajar lelaki akan berlagak gaya ala-ala John Travolta. Pelajar perempuan berpakaian ala-ala Olivia"
Terkelip-kelip biji mata kerana tidak dapat membayangkan apa yang cuba Kak Long Pidah sampaikan. Lagi pun di rumah kami bukannya ada apa-apa.

Televisyen? Radio?
Emmm...Eletrik pun tidak ada...

Kakak sulung saya itu, berbagai perkara yang dialaminya. Berbagai pengalaman yang di timba bersama rakan-rakan seasrama. Dia kelihatan amat berbangga dengan Sekolah Menengah Sains Keluang.

Dia akan bercerita tentang makanan, pakaian dan ragam guru serta rakan taulan. Pernah suatu hari dia memberitahu saya pengalaman pertamanya makan "Burger A&W" dan minum air "Root Beer".

Puas dia melakar di atas kertas, namun saya masih tidak dapat mengambarkannya.

"Nampak macam tayar mengereng je Kak Long.."

"Tidak..Ia bulat leper. Macam kuih keria."

"Ooo..keria"

"Root Beer tu rasanya macam air sarsi..Kalau kita campur ais krim, ia berbuih-buih di panggil " Root Beer Float"

"Na'u zubillah..saya tidak mahu teguk air kencing syaitan!"
Lantas, saya merenung diri. Apa yang ada di sekolah kampung ini. Hanya sekolah papan setengah tingkat dan sebatang pohon bunga tanjung yang harumannya menusuk hati dan perasaan. Tiada cerita menarik yang dapat saya kongsikan.
"Apakah kamu hai orang Musyrik yang lebih beruntung ataukah orang-orang yang beribadat di waktu malam dengan sujud dan berdiri, sedang ia takut dengan azab akhirat dan mengharapkan rahmat Tuhannya.."

Katakanlah," Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?"

"Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran."
(Surah Az-Zumar : Ayat 9

Di dalam diam, saya menyimpan impian.

4 comments:

  1. Assalamualaikum

    Teringat ketika akak mendengar cerita Kak Long
    (kaka sepupu) yang duduk di asrama di SIGS JB.
    Teringin sesangat nak bersekolah di situ. Dapatlah juga merasa, itupun apabila naik form 4 aliran sains. Memang seronok rupanya. Nyaris!
    dapat juga merasa, kalau tak kempunan terus.

    Apa cerita seterusnya Roza...


    Kak wati

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum wrt wbt Roza.
    Saya hanya merasa duduk asrama bila sambung belajar di ITM Sabah. Bukan tiada peluang tetapi tak sanggup berjauhan dengan aruah nenek. Tapi, Allah mengatur saya akhirnya belajar berdikari bila sambung belajar di ITM. Ingat lagi betapa tersiksanya jiwa raga berjauhan begitu; tambahan pula telefon, internet dan tambang murah Air Asia belum muncul lagi ketika itu. Seronok juga mengharungi kehidupan asrama ketika itu, bergaul dengan pelbagai lapisan pelajar. Sambunglah kisah Roza, seronok mengikuti sequelnya...

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum,

    Saya sedang menanda kertas-kertas jawapan peperiksaan akhir pelajar..

    Banyak yang ingin dikongsikan..terima kasih kepada semua yang melawat blog ini.

    Ia cerita pergolakan hati seorang anak kampung pada ketika peristiwa terjadi.

    Kini, dia menoleh ke belakang. Melihat kesan yang ditinggalkan. Betapa banyak Allah memberi nikmat sehingga terpahat di hati sanubari.

    Doa yang dibisikkan oleh anak kampung itu, semuanya di jawab oleh-Nya.

    ReplyDelete
  4. Roza,

    Terima kasih kerana menulis sesuatu yang indah untuk dikenang semasa usia kita remaja dulu.

    Masa filem Saturday Night Fever tengah 'hot' dulu, ramai classmate / schoolmate berjalan macam John Travolta... seluar bell-bottom serta kasut Johnson.

    Selamat memeriksa kertas jawapan pelajar. Anak bungsu saya di UiTM, 6hb Mei ni baru habis exam.

    Kak Hanila.

    ReplyDelete