Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Saturday, July 16, 2011

Hijrah

Kehidupan ini adalah suatu perjalanan. Sepanjang perjalanan itu kita mengutip pelbagai pengalaman. Pengalaman yang tidak ternilai harganya. Dari ilmu yang pelbagai. Ilmu yang disampaikan oleh Allah yang maha kuasa dengan pelbagai cara. Ilmu alam semesta.

Sepanjang perjalanan itu saya temui banyak hentian. Ada gunung yang perlu di daki, ada lembah yang perlu dituruni, ada denai, ada lebuhraya, ada lencongan yang merbahaya, ada hutan belantara malah, hiruk pikuk bandaraya dan ada daerah yang sunyi.

Akhirnya ..saya bakal berhijrah ke daerah ini dan saya mahu hentikan perjalanan ini. Saya mahu ia terhenti di sini. Saya mengharapkan destini terakhir perjalanan ini.. benar-benar di sini!

Saya sudah mula terasa penat ya Allah. Barangkali benar kata orang.. itu faktor usia. Usia yang sudah tidak semakin muda. Kudrat yang ada tinggal tersisa. Saban hari lelahnya kian terasa.

Ya Allah.. titik permulaan yang ditinggalkan semakin jauh kerana garis penamat semakin dekat. Ia bagaikan dekat sekali. Seakan hampir di ulu hati..

Wahai Tuhan..izinkan saya berhenti seketika, menghela nafas..melepas lelah. Izinkan saya memulihkan semangat yang ada, mengutip iktibar dan bermuhasabah diri. Esok...saya mahu bangkit membina semangat baru, meninggalkan sesuatu yang boleh di ambil iktibar dan memperbaiki diri.

Esok..entah masih bernafaskah saya? Masih mengerlipkah mata..dan mampu bergerakkah tubuh anggota? Kerana esok saya masih mahu sujud bersyukur sebagaimana hari ini dan semalam.

Esok..saya mengharapkan agar hijrah itu lebih bererti dari semalam. Jika dahulu hijrah itu dilakukan kerana ilmu..esok saya mahu lakukan hijrah itu semata-mata kerana-Mu.

Wahai Tuhan..redhakan daku, limpahkan kasih sayang dan Rahmat-Mu. Temukan daku pada suatu pertemuan bagi sebuah pencarian. Mencari diri di dalam diri ini. wahai Tuhan..perkenankanlah..

8 comments:

  1. Assalam Roza,
    semoga Allah temukan pencarian yg abadi.

    ReplyDelete
  2. Salam Sejahtera Pn Roza,

    Harap tidak menjadi kesalahan dari blog suami puan , saya 'paste'kan petikan-petikan tertentu dari Kata Pengantar oleh Prof. Dr Hatta Azad Khan mengulas Travelog Kehidupan Abadi
    KEDEWASAAN


    Roza mempunyai pengalaman yang panjang dan pemerhatian yang tajam. Pengalaman itulah yang mahu dikongsinya bersama pembaca. Dia adalah pemerhati kepada berbagai budaya kehidupan yang berbeza dari berbagai bangsa dan sempadan negara. Di samping belajar, mendidik dan menganalisis diri sendiri, segala pengalaman itu dirakam untuk suatu perkongsian yang ikhlas dan murni.

    Roza juga merasakan dirinya turut terhimpit dalam keadaan yang hampir sama. Dia turut terperangkap dalam dunia kerjaya dan sentiasa harus memilih antara menjadi suri-rumah sepenuh masa membesarkan anak-anak dan menjaga makan-pakai suami atau kenaikan pangkat dan gaji lumayan.

    Dua kali dia berhenti kerja kerana mengikut suami berangkat ke luar negara menyambung pengajian dan waktu mahu pulang ke tanah air setelah suami mendapat gelar doktor (PhD). Dia pernah mencapai status orang korporat yang berjaya dan mengetuai sebuah cawangan di peringkat negeri, pernah juga menjadi jurujual dan kemudian eksekutif di bahagian khidmat pelanggan sewaktu di luar negara.

    Bagaimana seorang isteri yang menangis dalam diam atau melinangkan airmata sendirian bila ditinggalkan suami pada saat-saat yang paling diperlukan. Menjadi isteri seorang calon tajaan pengajian peringkat Phd di luar negara bukanlah suatu dunia yang mewah, tambah lagi apabila seluruh dunia menghadapi kegawatan ekonomi.

    Roza tidak pernah mahu menjadi seorang jaguh atau seorang wirawati. Secara sedar dia mengganggap dirinya sebagai insan yang tidak mustahak dan rakaman pengalamannya adalah kisah biasa-biasa yang dilalui oleh seorang yang juga biasa-biasa. Tapi yang biasa-biasa itulah menjadi menarik dan luarbiasa sehingga kita ketawa dan menitiskan airmata sambil tertanya-tanya akan peranan dan kehadiran diri kita di dalamnya.

    Allah sentiasa hadir dengan segala kebesaran, kekuasaan dan kebijaksanaanNya melimpahkan rahmat kepada hambaNya yang sedar, taat dan bersyukur. Bacalah dengan minda yang terbuka!

    Prof. Dr Hatta Azad Khan
    Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik
    UiTM Kampus Puncak Perdana Shah Alam, Selangor.


    Jelas sekali warna-warni perjalanan hidup puan mengkagumkan saya.Jika tersirat dalam hati puan untuk disemadikan di Madinah Munawarah ,semoga Allah SWT kabulkannya

    hzm

    ReplyDelete
  3. Salam Puan Roza,
    Amin...makbulkanlah setiap doa Puan Roza Ya Allah...walaupun muhasabah untuk puan sendiri...namun ianya amat menikam kejantung saya dan mengalir airmata tidak semena2...setiap hari selepas membaca blog Prof pasti saya akan klik link puan...menanti coretan terbaru.Semakin hampir penghijrahan puan dan prof...semakin sebak menghuni didada...terbit rasa kasihsayang walaupun hanya bertemu di alam maya.Mudah2an kita bertemu di Madinah nanti.Insyallah...Amin...

    ReplyDelete
  4. As Salam.

    Puan Roza,

    Subhanallah. Alhamdulillah. Allahuakbar.
    Hanya mampu menistiskan air mata gembira, terharu & keinsafan. Ya Allah semoga engkau kurniakan aku & keluargaku kekuatan untuk mencari keredhaan sehingga ke akhir hayat kami dan Rahmatilah orang-orang yang sentiasa memberi panduan, ajaran & inspirasi kepada kami sepanjang perjalanan kami mencari RedhaMu. Ameen...

    P/s Pernah bertemu Prof dan bersalam dengan Puan 2x semasa di JB dan Puan & Prof pernah ke rumah saya. Alhamdulillah. Kenangan yang indah yang akan sentiasa saya abadikan. Alhamdulillah.

    ReplyDelete
  5. Salam Kak Roza,

    Saya berjuang untuk mendapat rahmat Allah kerana saya jauh dari rahmatNya selama lebih 13 tahun. Saya dapati kehidupan menuju jalan Allah banyak dugaan sedangkan Allah berfirman bahawa hidup di dunia ini tidak lain hanyalah sehari. Tetapi dunia menarik dan memanggil sehingga kadangkala rebah jua di pintu nafsu, dunia lalu tersenyum, syaitan bersorak gembira. Doakan saya Kak Roza agar saya mendapat redha dan rahmat Allah. Saya ingin hijrah saya tidak tersasar dan selamat hingga ke penghujung.

    ReplyDelete
  6. salam puan...


    amin......

    semoga kita masih ada ruang untuk bersua muka sebelum puan berangkat ke madinah....

    selamat datang ke bukit keluang, besut...

    ReplyDelete
  7. Salam,

    Saya telah kehilangan suami tersayang, saya tercari2 cahaya untuk bangkit bagi terus hidup untuk hari mendatang. Apabila terbaca catatan Prof dan Puan Roza saya rasa semangat saya pulih dan hidup perlu diteruskan dan percaya tuhan masih sayangkan saya. Dengan dugaan ini saya lebih mengenali diri disisi Allah.

    Saya menerima Qada & qadar tuhan seadanya. Lebih2 lagi setelah saya mengunjungi Mekah dan Madinah...

    Catatan Puan Roza & Prof selepas ini akan mengubat rindu saya pada Madinah.

    ReplyDelete
  8. Salam Puan Roza,
    Kalau boleh setiap hari inginkan coretan dari puan sebagaimana setiap hari membaca entri prof.Teruja menanti TKA-Kedewasaan.Hanya beberapa jam sahaja saya menamatkan bacaan TIA,bila Travelog masakan akan menyusul?Tidak sabar menanti resepi cekodok ike Wan dll.<3<3<3

    ReplyDelete