Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Monday, July 4, 2011

Teh tarik

Saya teringat perkataan "mengeteh" selalu digunakan oleh orang tua-tua. Mereka mengeteh di kedai kopi kepunyaan taukey keturunan cina. Harmoninya kehidupan, kerana berbagai bangsa boleh minum kopi dalam satu cawan. Cawan yang sama.

Dalam hati tertanya-tanya, apalah sedapnya "mengeteh" di kedai taukey cina? Apakah di rumah sudah tidak enak lagi aroma tehnya ?


Benar, teh tarik di kedai kopi lebih enak rasanya berbanding di rumah. Kenapa? Kerana buihnya, rasa lemak manis dan aromanya. Puas saya mencuba "tarik" teh susu buatan sendiri tetapi tidak pernah menjadi.


Suatu hari di musim sejuk, saya pulang kerja agak awal sekitar pukul 2 petang. Tidak seperti biasa sekitar pukul 3. Dari tempat kerja saya terus menjemput Sara dan Azrai pulang dari sekolah sekitar pukul 3.30. Maghrib sekitar 3.45 petang.


Hari itu, bermakna saya harus menunggu di simpang sekolah hampir 1.30 jam. Saya berjalan perlahan-lahan di deretan kedai, sesekali masuk ke dalamnya untuk mendapatkan haba panas. Musim sejuk yang melampau.

Masa dirasakan berjalan sangat perlahan. Tiba-tiba , saya ditegur oleh seseorang.

"Sister, tunggu siapa?"

"Saya menunggu anak pulang dari sekolah."

"Tunggu anak? Eh, sekarang baru pukul 2.30 petang. Mari ke rumah kami"


Seorang kenalan dari pakistan mempelawa. Anak perempuannya sekelas dengan Sara. Suaminya sedang menjalani pengajian di peringkat PhD. Satu universiti dengan suami.


Cuaca musim sejuk disertai angin bukanlah masanya untuk saya menolak perlawaan seseorang yang mulia sepertinya. Sejuknya menusuk ke tulang hitam, sejuk bukan kepalang. Benar, rumah kenalan itu letaknya beberapa blok dari kawasan sekolah. Saya dipelawa masuk. Dikuatkannya ganggang pemanas di ruang tamu rumahnya.

"Duduk sebentar..saya buatkan awak teh kashmir"

Saya teruja. Sebentar kemudian terhidu aroma teh memenuhi rongga hidung saya yang tadinya hampir tersumbat kerana kesejukan. Aroma manis lemak yang memikat. Tidak sedar, kaki saya melangkah menuju ke dapur.

"Maaf, saya ke dapur. Jangan susah-susah..awak buat apa tu?"

"Oh, teh kashmir. Kami orang-orang pakistan merebus daun teh sehingga kembang di dalam periuk. Kemudian kami masukkan sedikit gula dan susu ke dalamnya. Matikan api agar susu tidak pecah lemak"


Kenalan itu menunjukkan air rebusan teh yang sedang mengeleggak. Dia menunjukkan cara memasukkan gula dan susu ke dalam air rebusan itu. Serta merta rebusan teh menjadi seperti teh susu. Lalu, dicurahkan air itu sedikit ke dalam koleh besar. Diambilnya satu koleh lagi dan di tarik-tarik. Ah, teh tarik!

"Kita minum di dapur sahaja" saya mencadangkan.


Rumah mereka sunyi sahaja kerana menurut kenalan itu ke tiga-tiga anak mereka berada di sekolah. Di meja dapur rumah kenalan itu terdapat seperti adunan roti nan yang sudah dikepal-kepal. Di atas tungku dapur ada kari dhal bercampur carrot yang terjerang. Di dalam dulang ada ketulan kecil kentang lecek seperti pegedel.


Saya menjadi si kaki sibuk bertanya apa itu, apa ini. Bagaimana membuat itu dan ini. Tidak sedar jam hampir menunjukan pukul 3.30 petang. Tiba-tiba suami kenalan itu muncul memberi salam. Disambutnya suami dengan teh tarik yang panas meruap. Si suami bersuara,


"Sister, awak tunggu di sini. Saya pergi ke sekolah mengambil anak-anak. Jangan bimbang saya akan membawa suami dan anak-anak awak datang ke sini. Ke rumah kami. Awak semua mesti makan di sini"

Saya terkedu. Tidak sempat menolak, kerana dia yang membuat keputusan. Sementara suami kenalan itu pergi, isterinya pantas membakar roti nan di dalam ketuhar. Ketulan kentang di celup telur dan di goreng. Seperti pegedel!

Sambil itu, diambilnya kuali leper yang dimasukkan sedikit minyak. Ditumisnya bawang besar yang dibelah empat dan lada kering. Bahan goreng tadi dicurahkan bersama minyak kedalam kuah dhal. Aroma kuah dhal meruap-ruap.


Benar dalam masa lima belas minit, suami dan anak-anak muncul bersama anak-anak mereka. Selepas anak-anak di minta mencuci tangan dan muka, kami dipersilakan makan. Ia benar-benar menyelerakan. Sambil menghadap hidangan kami bertukar-tukar cerita tentang budaya. Kenalan tersebut menyatakan mereka ada membawa video tentang budaya mereka dan mempelawa kami menontonnya.

"It's ok brother.." suami menolak.


Kami sembahyang maghrib di rumah kenalan pakistan itu. Selepas sembahyang, kami dijamu pula dengan ladhu. Sejenis manisan. Kekenyangan, kami meminta izin untuk pulang. Namun, mereka mengajak kami naik ke bahagian atas rumah mereka.

"Brother, it's okey. Come we'll show you.."

Rupa-rupanya mereka mahu menunjukkan adat istiadat perkahwinan mereka. Setiap kali kami menyatakan, "It's ok brother.." ditukarnnya video lain pula. Akhirnya kami terpaksa menolak keras.

"Thank you brother.. we have to go."

Barulah kami dilepaskan pergi. Begitulah jadinya jika tidak faham bahasa.

13 comments:

  1. Menariknya catatan puan mengenai makanan/minuman dan pertukaran budaya di luar negara.Terima kasih. Harap dapat baca lagi catatan seumpama ini.

    Jhan

    ReplyDelete
  2. Salam Kakak,

    Kelakar pula...nak ditolak serba salah, tapi kalau tak ditolak, disuruhnya tidur di situ sahaja...ramah betul. Saya pernah kenal dengan seorang wanita Kirgistan, tetapi hanya berkesempatan berbual tentang kisah sedihnya...tunangnya mati syahid melawan orang Rusia...begitu juga ahli keluarganya...

    ReplyDelete
  3. Orang Melayu tinggi budi bahasanya, juga kiasannya. Mungkin dengan masyarakat luar mereka perlukan bahasa yang lebih terus terang.

    ReplyDelete
  4. Salam sejahtera,

    Begitulah..Allah jadikan manusia berbagai bangsa dan bahasa agar kita saling mengenal. Bukankah itu tanda-tanda kebesaran Allah?

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum Pn. Roza,

    Teruja membaca entri puan , penuh dengan resipi yang hebat tapi kelihatan mudah untuk disediakan.
    Apa kata puan keluarkan buku resipi pulak seperti apa yang puan tulis dalam blog ini. Tidak sabar saya mahu membelinya....

    Nikmat Allah manakah yang engkau dustakan ....

    ReplyDelete
  6. a nice piece of sweet memory
    - robizah

    ReplyDelete
  7. Salam sejahtera Pn Roza, tiba2 saya teringin nak minum teh tarik dalam cuaca yg mendung & sejuk di kuala lipis hari ini..:-)

    ReplyDelete
  8. Salam sejahtera Pn Roza,

    Teringat saya pada teh Arab yang berharga RM10.00 dalam teko kecil molek di sebuah restoren di Jalan Bukit Bintang

    hzm

    ReplyDelete
  9. assalamu'alaikum, Pn. Roza dan pengunjung blog ini..
    ini kali pertama saya membaca dan meng'comment' entri Pn.Roza.. seronok saya membaca kisah2 Pn.Roza di blog ini..
    saya membaca entri ini dengan penuh minat, sehinggalah ke ayat akhirnya, saya tergelak sendiri, kerana saya juga pernah berurusan dengan orang dari negara2 sebegini..benar, kadang-kadang mereka tidak memahami bahasa kiasan kita dan akhirnya pelbagai andaian boleh muncul..
    saya berpendapat, ada benarnya kata-kata saudara/i Min Aina Ila Aina, bahawa kita mungkin perlu lebih terus terang dalam mengatakan sesuatu dengan orang dr negara luar (selain rumpun melayu yg tinggi budi bahasa)..
    ^_~ selamat maju jaya, Pn.Roza..terus menulis ye...

    ReplyDelete
  10. hmm they 'stew' their tea instead of 'brew' it

    ReplyDelete
  11. salam kak roza..lucu ayat yg last tu..agaknya depa silap paham ye..ingat semuanya ok..hehe..

    p/s: buku tavelog yg baru ni saya baca sekejap je khatam..ada sambungannya tak?

    ReplyDelete
  12. assalammualaikum

    sungguh menyeronokkan

    bagi saya ikatan seislam lebih dirasakan bila berada dinegara asing

    dan ikatan persahabatan akan lebih mudah terjalin disana

    rindu keadaan itu

    ReplyDelete