Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Wednesday, April 29, 2009

Menanti Hari Esok


Adib memberitahu kami, mereka sudah menontonnya. Ia sedang rancak di tayangkan di Pawagam Chatay, Segamat. Apabila di tanya ceritanya tentang apa? Ternyata, wayang gambar itu tidak melekat di hatinya.

Hanya satu yang Adib ingat [Lagu Tema wayang tersebut]- Menanti Hari Esok. Nyanyian Uji Rashid.

Secara berhemah, saya kempen kepada mak agar memberitahu abah. Saya katakan ceritanya berkisar tentang ketuhanan. Sebenarnya saya hanya membuat tekaan berdasarkan lirik senikata lagu yang Adib alunkan.

Entah apa yang merasuk, tiba-tiba abah termakan jarum halus yang di tusuk. [He..he kekuatan bisikan syaitan!]

Lalu, petang itu abah meminjam kereta Pak Utih Majid. Selepas mandi dan berpakaian cantik, mak hidangkan kami sebantal Roti Bai di cicah air teh untuk minum petang. Kekenyangan dalam kegirangan.

Kereta jenis Moris Marina itu agak sempit, namun berjaya menyumbatkan kami sekeluarga walaupun di dalam keadaan berhimpit-himpit.
"Haa..Awak riba Raihan, Tuti riba Ayu..Ratna duduk di celah tempat duduk. Haa..muat pun. Luas lagi ni. Boleh masukkan dua orang lagi.."
Abah memberikan arahan.

Kami akur walaupun sempit dan sesak tidak tertahan.
"Duduk secara berselisih, berselang-selang. Awak ke depan, Tuti Ke belakang..Luas lagi tu."
Lalu, di dalam keadaan begitu..kereta meluncur laju.

Sebelum wayang bermula, kami semua duduk di warung yang terdapat di bersebelahan Pawagam. Abah menempah satay dan siap-siap mengagihkannya. Kami hanya berjaya menghabiskan seorang lima cucuk satay sahaja kerana sudah kekenyangan penangan Roti Bai!

Keesokan harinya, sepanjang perjalanan ke tempat mengaji kami menyanyikan lagu berkenaan. Riang. Apatah lagi, Uji Rashid adalah penyanyi pujaan!

Lahirnya insan di dunia ini
Yang Maha kuasa menentukan
untung nasibnya menempuh hidup
suka dan duka berganti

La..la..la...( Tidak tahu senikata, tetapi kami masih melagukan mengikut irama)
Semasa corous, seorang daripada kami akan menyanyi dengan suara yang tinggi. Bersungguh-sungguh dan sepenuh hati. Semuanya kami lakukan sambil berjalan. Beriring-iring, secara berkumpulan di sepanjang jalan. Kami melihat ramai pakcik-pakcik, makcik-makcik dan abang-abang tersenyum lebar memandang.

Tidak kami pedulikan.

Belum sempat lagu itu habis, kami telah sampai ke destinasi yang di tuju. Lalu, kami berhenti mengaji Quraan dahulu. Kemudian, kami sambung semula lagu yang terhenti tadi semasa di dalam perjalanan pulang.

Semua yang ada di dunia ini
Hanya pinjaman semata
Bagai mengharap sinar suria
Menanti Hari Esok..
Hati kami sebak apabila sampai kepada penghujung lagu itu. Tiba-tiba seorang pakcik menyapa,"Eh! Tadi masa pergi elok-elok melalak [nota: menyanyi], apa pasal masa balik merabak [nota: menangis] pulak budak-budak ni?"

Apa yang pakcik itu tahu?

Kalau hendak menyanyi, mestilah kita kena lakukan sepenuh perasaan!

8 comments:

  1. Yang yang dikasihi,

    Limit HP sudah melebihi. Awak pergi airport? Minta dengan Sham masanya. Malam tu saya ada ceramah di Melaka. Dia orang bagi hotel. Tolong confirm dengan Sham. Saya ada beli perfume yang harum sangat! He... he...

    Abe

    ReplyDelete
  2. Assalamu'alaikum,

    Maaf menyampuk. :p

    Saya baru menonton VCD Travelog Haji. Semoga Puan Roza, Prof MKI dan keluarga sentiasa dalam rahmat Allah.

    Minggu lalu membuat "marathon" membaca blog ini. Nasib baik belum banyak entri. Bolehlah dihabiskan dalam sehari. Kisah-kisah yang dicoret amat mengesankan.

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum
    Puan,

    Blog puan menarik. Saya minta izin untuk link. Silalah ziarah blog saya. Cuma saya menulis sekali-sekala dan...baru belajar2 menulis dari anak2:).TQ

    ReplyDelete
  4. sporting nyer abah bawak gi tengok wayang. dulu2 abah bawak juga tapi bukan di panggung cuma dinaikkan layar putih dan bersila di padang menonton ramai-ramai. cerita yang masih di ingat waktu tu ialah jejaka perasan lakonan ND lala, salleh yaakob dan heroinnya tak ingat laa pulak nama nyer... hehehe...

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum,

    Selamat datang kepada yang baru bertandang. Maaf, air bujang sahaja.

    Kepada yang sedang mengikuti blog ini..terima kasih diucapkan. Anda semua pencetus semangat kepada saya untuk meluahkan isi hati dan perasaan.

    Saya menulis tiada gaya. Hanya luahan spontan. Maaf, bahasanya tidak seindah kenangan yang saya simpan.

    Ilham, dari Allah ia datang.

    ReplyDelete
  6. Assalamualaikum

    Roza benar-benar mengembalikan nostalgia zaman kanak-kanak akak.(Rasanya semua pembaca yang lain pun rasa begitu).

    Teruskan menulis.

    Kak wati

    ReplyDelete
  7. Assalamualaikum Roza,

    Saya pun terkenang masa zaman awal remaja dulu. Kami pergi menonton wayang panggung Odeon atau Lido di KB. Tayangan sebelah malam. Lepas magrib, kami pergi bersama-sama keluarga. 4 beradik (masa tu) bersama Papa & Mama. Boleh dikatakan semua cerita 'Esok...' arahan Jins kami tonton. Masuk percuma (guna 'pass free') sebab Papa kerja di MPKB.

    ReplyDelete
  8. Assalamualaikum,

    Wah untungnya roshanilawatey.

    Saya juga pernah menonton wayang "free" cerita Bruce Lee semasa di dalam darjah 4. Kami di bawa oleh abang sesusu.

    Syaratnya cuma satu, kita kena masuk bersama dengan anak-anak polis.Ditakdirkan, bapa saudara adalah seorang polis berpangkat Sarjan.

    ReplyDelete