Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Monday, July 19, 2010

Bila sudah sampai masanya..


Hari ini saya menerima berita kematian seorang rakan seusia saya [Raden Galoh]. Hanya dua hari lagi sepatutnya dia menyambut ulangtahun kelahirannya : 21 Julai 1967.

Perkenalan yang bermula dari blog, membawa kepada pertemuan pertama sewaktu festival Buku Antarabangsa di PWTC, dua tahun yang lalu. Dia menghadiahkan saya dan suami senaskah buku hasil tulisanya : "Bagaimana dia berperang dengan penyakit kanser."

Orangnya ceria, bersemangat tinggi dan tawaduk. Tiada perkataan lain yang keluar selain dari memuji-muji kebesaran Allah subhanawatala. Beberapa hari yang lepas, SMS di hantar bertanyakan khabar.. apabila teringatkan dia. Namun, tidak berbalas.

Begitulah..bila sudah sampai masanya.

Bertahun-tahun yang lalu, seorang rakan seperjuangan [PLK] yang duduk dibangku sebelah saya asyik bercerita tentang kerinduannya untuk bersama suami dan anak-anak. Kami yang bosan dengan semangatnya yang mula meluntur, lantas mencabar;

"Berhenti sahajalah. Tidak perlu teruskan pengajian."

"Ya Allah, entah apa agaknya yang manusia cari.. tidak pernah puas dengan hidup ini. Dahulu, sudah elok-elok bersama anak-anak dan suami..saya mengada-ngada untuk belajar lagi."

Lalu, kami menjawab;

"Perasaan ingin menyambung pengajian itupun gerakan hati dari tuhan yang menjadikan. Terimalah sebaiknya. Dia maha mengetahui apa yang tidak kita ketahui.."

Suatu hari, rakan itu agak lewat hadir ke kelas. Selalunya dialah antara yang paling awal datang dan duduk di barisan paling hadapan. Kami resah dengan keadaan, lalu menghantar SMS kepadanya. Namun, tiada jawapan.

Keesokan harinya, kami menerima berita yang kereta kancilnya terhumban dalam taliair di tepi jalan. Dikatakan dia baru sahaja menghantar anak-anak kecil ke rumah ibubapa di kampung berhampiran.

Begitulah..bila sudah sampai masanya.

Bahagian kita entah bagaimana pula keadaannya?

6 comments:

  1. Salam Puan Roza,
    Saya baru sahaja pulang dari menziarah, apabila saya sampai, jenazah baru sahaja sampai dari hospital. Agak lama juga saya menunggu, sehingga selesai jenazah dimandikan dan dikapankan, tapi tidak dapat menunggu lama kerana perlu pulang semula ke pejabat. Apabila saya bertolak pulang, sudah ramai orang datang, saudara-mara, sahabat handai, rakan persekolahan, rakan sekerja dan ramai juga teman-teman blogger ... suasana hari redup sahaja sepanjang masa diikuti hujan renyai semasa Imam membacakan tazkirah dan doa sebelum solat jenazah dimulakan.
    Al-Fatihah buat Allayarhamah Dalilah Tamrin. Semoga roh beliau tenang di 'sana'. Amin

    ReplyDelete
  2. salam pn roza,

    salam takziah dan semuga dicucuri rahmat atas almarhumah..AL FATIHAH

    ReplyDelete
  3. Salam Pn. Roza,

    Alfatihah. Saya mula mengetahui tentang allahyarhamah melalui blog Roza dan kagum dengan semangatnya yang tinggi menghadapi ujian Allah... Semoga rohnya dicucuri rahmat...

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum

    Al Fatihah...semuga Allah mencucuri Rahmat ke atas rohnya.




    Kak wati

    ReplyDelete
  5. Al Fatihah..semoga rohnya dicucuri rahmat...beliau pergi sebulan slps sahabat saya pergi dengan sebab2 yg sama...sungguh terasa...

    ReplyDelete
  6. Assalamualaikum,

    Tiada apapun yang kekal abadi.

    Hanya Allah, tuhan yang menjadikan langit dan bumi serta seluruh kehidupan alam.

    ReplyDelete