Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Sunday, March 27, 2011

Puteri Mandi

Sewaktu kecil, abah saya sering berkata,

"Masa itu ibarat emas. Emas bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Kita perlu berusaha untuk mendapatkannya."

Barangkali itu yang membuatkan abah menjadi seorang yang kuat bekerja. Dari pagi hingga ke senja. Malah, dia tidak pernah menjadikan hari minggu sebagai masa rehat. Abah tidak pernah memanjakan diri.

Barangkali itu juga membuatkan dia cepat berang apabila melihat kami bersuka-suka, membuang masa dengan sia-sia sahaja. Bagi abah, setiap orang mempunyai 24 jam waktu yang sama. Yang membezakan sesaorang adalah bagaimana masa yang dimanafaatkan oleh mereka. Abah mahu kami menjadi sepertinya.

Saya seorang anak yang kuat merajuk. Apabila abah mula mengeluarkan suara yang tinggi kepada anak-anaknya, saya akan terus melarikan diri. Mencari mak wa. Mak wa tidak pula membela saya. Malah dia menerangkan kenapa dan mengapa itu berlaku.

"Abah awak pasti tidak marah jika awak tidak melakukan kesalahan. Dia penat. Dia bekerja keras untuk masa hadapan anak-anak. Tidak bolehkah awak memberikan sedikit kegembiraan kepadanya. Buat sesuatu yang dia suka... baca buku, belajar.."

Saya hanya diam tetapi sebenarnya menangis sambil menjawab-jawab di dalam hati. Lalu, mak wak mengajak saya ke dapur kecilnya. Mak wa akan terus bercerita dan bercerita.

"Mari mak wa ajar awak buat kuih puteri mandi. Itu kesukaan abah awak."

Mak wa akan meminta saya mengambil itu dan ini. Buat itu dan ini. Sementara saya terus diam membisu tanpa berminat untuk berkata apa-apa. Benar, diam itu lebih baik kerana di dalam diam kita mampu berfikir secara rasional.

Hari ini, saya sudah tidak pandai merajuk lagi. Waktu itu sudah berlalu. Malah abah juga sudah bertahun-tahun tidak meninggikan suaranya, yang tinggal hanya bisikan perlahan. Bahasa badan yang meraih simpati. Susuk tubuhnya yang dahulu kuat bekerja kini lemah tiada tenaga. Dia terdampar lesu.

"Ca..mari ke sini. Abah mahu peluk awak."

Saya menuju ke sisi katil. Membiarkan abah memeluk saya. Dengan susah payah abah bersuara;

"Sudah sedikit benar kudrat abah yang tersisa. Cuba awak sebutkan 5 perkara sebelum 5 perkara.."

"Masa lapang sebelum sibuk
"Masa senang sebelum susah
"Masa sihat sebelum sakit
"Kaya sebelum miskin
"Hidup sebelum mati..."

Benar. Tiada apa yang kekal abadi. Semuanya akan kembali kepada Allah S.W.T yang menjadikan langit, bumi dan di antara keduanya. Sesungguhnya kita datang dari Allah, kepadanya jua kita akan kembali. Entah bila dan di bumi mana..

Dan pada ketika itu nanti, tiada ibubapa, tiada suami atau isteri, tiada anak-anak, adik-beradik dan rakan taulan yang datang menolong. Sesungguhnya kita akan menghadap Allah satu demi satu. Sendirian.

"Abah.. sepanjang hidup, abah telah menafaatkan masa yang ada. Itu melebihi segunung emas. Sesungguhnya emas itu tidak boleh di bawa pergi..yang tinggal di dunia ini hanya 3 perkara."

Suara saya tersekat.

"Yang tinggal hanyalah amal jariah, anak-anak yang soleh dan solihah serta ilmu yang bermanafaat. Sesungguhnya... abah telah banyak memberikan ilmu yang bermanafaat kepada kami adik-beradik."

Jika boleh saya ingin bisikkan begitu ke telinga abah. Tetapi saya tidak mampu. Ia tersumbat di dalam hati, terperesuk jauh di dalam dada. Ia terkumpul di dalam pelukan abah yang semakin lemah.

Abah,
Sepanjang hidup abah tidak pernah berhenti bekerja. Kini..berehatlah. Kami mendoakan semuga Allah mencucuri rahmat ke atas roh abah sentiasa. Mengampunkan segala dosa. Semuga Allah membina sebuah rumah bagi abah di sisi-Nya di dalam syurga. Semuga kita bertemu lagi di sana.

Al-Fatihah buat abah, Roslan bin Daud.

10 comments:

  1. As salam, Roza,
    Alfatihah buat Allahyarham.
    K.Non kehilangan ayah pd usia 9 thn. Hanya tangisan shj yg mengiringi pemergiannya 40 thn dulu. InsyaAllah, agar kak menjadi anak solehah. Kak juga berdoa agar Roza adik beradik menjd anak2 soleh & solehah.

    ReplyDelete
  2. Salam sejahtera Pn Roza,

    Selamat kembali menulis setelah kehilangan abah dan menghadapi situasi suami dimasukkan ke dalam wad.Abah telah pergi dengan "Husnul Khatimah" dan insyaAllah Puan Roza akan bertemu dengannya di Firdaus .Pertemuan itu akan berlaku dengan Puan Roza dan abah masing-masing dalam lingkungan umur antara 30 -33 tahun, itulah kuasa Allah.Ada gambarnya tak dalam lingkungan umur tersebut?

    hzm

    ReplyDelete
  3. Salam Puan Roza..saya turut bersedih diatas pemergian Pakcik Roslan..dia pergi dengan pemergian yang cukup indah sekali, berapa ramaikah kita mendengar/melihat suasana pemergian yang sebegini,Alhamdulillah semuga Allah SWT merahmati Al Marhum Pakcik Roslan,semuga beliau diberikan kedudukan yang tertinggi bersama para tabii' dan syuhada..Amiiin..Puan sekiranya boleh tulislah buku biografi tentang Al Marhum Pakcik Roslan,sedari muda sampai akhir hayatnya, dia adalah seorang yang amat hebat pada pandangan saya,buku yang boleh memberi nasihat,manfaat dan panduan untuk bakal2 suami dan ayah..Al Fatihah untuk Pakcik Roslan Bin Daud semuga berbahagia disana.ila

    ReplyDelete
  4. lama tunggu entry terbaru kak roza...takziah dari sy..insyaallah berjumpa di syurga

    ReplyDelete
  5. Salam sejahtera,

    Terima kasih kepada semua rakan-rakan bloger. Doa dan kata-kata semangat dari anda semakin memulihkan semangat saya.

    Alhamdulillah, dengan izin Allah, saya kembali menemui semangat yang hilang. Hidup perlu diteruskan.

    ReplyDelete
  6. Salam K.Roza... Takziah di atas kepulangan ayahanda tercinta Cikgu Roslan Daud ke rahmatullah... Moga rohnya dicucuri rahmat... al-Fatihah...

    ReplyDelete
  7. Dia insan terpilih, Allah memilihnya atas segala nikmat yang ada..

    ReplyDelete
  8. Salam Takziah Puan Roza. Semoga Arwah abah puan dirahmatiNYA. Amin. Saya tumpang bersedih. Rindu pula kepada ayahanda saya.

    Al-Fatihah.

    ReplyDelete
  9. salam ocha,

    takziah sekali lagi atas pemergian abah. cik ani bersyukur dapat bertemu abah dan mak semasa aidilfitri yang lepas setelah bertahun-tahun tidak berjumpa.

    teringat kenangan belajar bawa kereta marina hijau pucuk pisang tu dulu dan berborak-borak dengan abah tentang liverpool dan ian rush, our favourite footballer, lebih 20 tahun yang lalu.

    kenangan lalu memang mengusik jiwa...

    moga abah tenang di sana. amin...

    salam untuk mak.

    cik ani.

    ReplyDelete
  10. Salam takziah buat Kak Roza dan keluarga,
    semoga Aruah Abah Kak Roza di tempatkan di syurga yang terbaik..saya juga berharap kak Roza dapatmenghasilkan sebuah buku tentang ayah kak Roza sebagai panduan pada lelaki yg mahu bergelar ayah..

    ms.legolas

    ReplyDelete