Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Saturday, March 5, 2011

Daun selasih 1

"Nasi lemak buah bidara, sayang selasih hamba lurutkan
Tingga emak tinggal saudara, kerana kasih hamba turut kan.."

Semasa zaman remaja, daun selasih (basil) hanya dikenali melalui sebutan. Entah bagaimanakah rupanya tidak pula saya peduli. Saya mengenali biji selasih pula, apabila membeli air sirap bungkus dari gerai di tepi jalan. Kami mengelarnya "air sirap telur katak."

Semasa di dalam tingkatan satu, terdapat seorang pelajar berbadan kecil molek sering mendekati saya. Kami sama-sama pengawas tetapi berlainan kelas. Setiap kali perjumpaan pengawas bersama guru displin, pasti dia duduk di sebelah saya. Ketika saya makan di kantin bersama Lily, pasti dia mahu turut serta.

Orangnya ceria. Terlalu peramah tidak bertempat, kata rakan-rakan saya . Setiap tuturkatanya pasti disertainya dengan lawak jenaka. Satu-satu perangainya yang tidak disenangi oleh semua orang adalah sikapnya yang suka menyampuk cakap orang. Saya tumpang merasa cuak dengannya.

Suatu hari, cikgu bercadang membawa kami melawat kuala Lumpur dengan mengadakan kerjasama bersama persatuan perdagangan sekolah. Tujuannya adalah untuk mendedahkan kami pelajar-pelajar kampung kepada dunia luar. Kerana kebanyakan daripada kami langsung tidak dapat membayangkan apabila cikgu menceritakan tentang transaksi bank, motivasi kenapa perlu ke universiti dan ibu negara Malaysia. Antara tempat yang ingin kami lawati adalah Universiti Malaya, Bank Negara, Masjid Negara, Muzium negara, Tugu Negara termasuklah Gua Batu Cave!

Saya mencadangkan agar rombongan kami pergi ke A&W bagi menikmati burger (klik sini). Entah bagaimanakah rupanya dan rasanya burger itu.. saya sendiri tidak pernah mengetahuinya. Rakan-rakan serombongan teruja.

"Cikgu, apa kata kalau kita ke A&W. Kita makan burrr..ger. Kak Long saya kata sedap rasanya!"

Dipendekkan cerita, cikgu menetapkan hari untuk acara lawatan ke Kuala Lumpur.(klik sini) Beberapa pelajar yang berminat memberikan nama mereka. Termasuk kawan saya yang kecil molek itu. Beberapa hari sebelum ke Kuala Lumpur, kami tidak habis-habis seronok bercerita bagaimanakah agaknya rupa Kuala Lumpur itu. Kami mula berpakat-pakat mencari rakan yang akan duduk sebelah-menyebelah semasa di dalam bas. Kami bercerita sesama sendiri. Tiba-tiba rakan saya itu menyampuk;

"Saya pun pergi ke Kuala Lumpur. He..he..he Kuala itu mesti penuh dengan lumpur, macam di kampung saya di Tanah Banjir, Tebing Tinggi. Lebih-lebih lagi selepas banjir. Hah, ada sesiapa yang mahu duduk di sebelah saya?"

Saya, Lily dan beberapa rakan yang lain diam. Kami cuba mengalihkan kepada topik lain. Tetapi rakan itu masih terus membuat tawaran.

"Saya akan bawa bekal makanan. Ayam masak rendang daun selasih dan air sirap daun selasih. Saya bawa dua bungkusan. Cepat..cepat...siapa mahu duduk sebelah saya? He..he..he Cepat sebelum terlambat, nanti menyesal."

Rakan itu menawarkan diri, namun tiada siapa yang peduli. Dia semakin menjengkelkan hati kami. Tiba-tiba dia menujukan soalan kepada saya;

"Awak duduk dengan siapa?"

"Lily.."

"Ooo, kalau Lily duduk dengan orang lain nanti, saya duduk di sebelah awak."

Berani dia membuat kenyataan begitu. Susah-susah saya memujuk Lily agar duduk di sebelah saya. Jangankan mahu berkawan.. nama penuhnya pun saya sendiri tidak mahu ambil tahu!


Gambar ihsan: Belindo.com
Nota : Sebahagian daripada bab : Daun selasih [ Buku travelog masakan]

7 comments:

  1. Salam Sejahtera Pn Roza,

    Manusia dicipta oleh Allah berbeza sikap dan perangai dan pelajar berbadan kecil molek tu saya doakan perangai dan sikapnya positif bila sudah menjadi orang dewasa.......

    hzm

    ReplyDelete
  2. funny. funny. sian budak tu.. die nak berkawan dengan gadis fofular kat sekolah la kak roza :)

    Sue

    ReplyDelete
  3. Salam sejahtera,

    Membaca kisah2 ug puan tulis sebenarnya harus dinilai dgn mata hati...Sikap kita di masa lalu dan sekarang adalah 2 kisah berbeza tetapi memberi makna yg panjang kenapa kita ditemukan dgn orang tertentu.Pembaca tidak boleh membuat rumusan cepat tanpa membaca kisah2 terdahulu...takut2 pembaca akan terjebak kepada fitnah bersangka buruk.Apa pun Puan Roza memang menulis dari hatinya kerana dalam tulisannya ada watak2 manusia yg universal sifatnya.KITA ADALAH KEHIDUPAN ITU DAN KEHIDUPAN BUKANLAH PENTAS LAKUNAN.Kerana itu ...blog ini memang harus di baca di mulai dgn BACALAH DGN NAMA TUHANMU YANG MAHA MENGETAHUI.Walahualam.

    ReplyDelete
  4. Salam Puan Roza...

    Sejak saya mula membaca "Trevelog Cinta Abadi" saya sangat teruja membaca blog Puan. Hampir 3 bulan saya menjadi pengikut setia blog Puan. Sangat best dan berkesan dihati saya. Amat mengagumi peribadi puan.

    ReplyDelete
  5. Salam sejahtera,

    Lihatlah alam ini. Pandanglah dengan pandangan mata hati. Sesungguhnya tidak Allah jadikan sesuatu itu tanpa ada gunanya.

    Dia maha mengetahui apa yang tidak kita ketahui.

    ReplyDelete
  6. Assalamualaikum kak Roza
    Ingatan kak roza ttg kisah lampau mmg kuat betul. Kagum saya. Bila saya cuba ingatkan kembali kisah saya masa kecil dulu... rasanya tak sebanyak kak roza. Pelupa agaknya saya ni...

    ReplyDelete
  7. Yuk Merapat Best Betting Online Hanya Di AREATOTO
    Dalam 1 Userid Dapat Bermain Semua Permainan
    Yang Ada :
    TARUHAN BOLA - LIVE CASINO - SABUNG AYAM - TOGEL ONLINE ( Tanpa Batas Invest )
    Sekedar Nonton Bola ,
    Jika Tidak Pasang Taruhan , Mana Seru , Pasangkan Taruhan Anda Di areatoto
    Minimal Deposit Rp 20.000 Dan Withdraw Rp.50.000
    Proses Deposit Dan Withdraw ( EXPRES ) Super Cepat
    Anda Akan Di Layani Dengan Customer Service Yang Ramah
    Website Online 24Jam/Setiap Hariny

    ReplyDelete