Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Monday, August 22, 2011

Kami pasti merinduinya..

Kelmarin teratak kecil kami di tingkat 12, kondo kemuncak kembali meriah. Ruang yang dulunya kosong kini kembali terisi. Di isi dengan penghuni. Amirul dan Sofea kembali mengenang ketika mereka tinggal di situ.


"Dulu masa mama dan ayah pergi Mekah, Sofea menangis di sini. Nenek dan atok bawa Sofea mandi kolam di bawah sana setiap petang," Sofea menunjukkan sudut bilik tempat dia menangis.

"Amirul tidur dengan abang Ngah di bilik itu. Esoknya atok bawa abang pergi ujian bertulis untuk masuk MRSM.."


Itu suatu masa dahulu. Mereka ingat-ingat lupa. Logik akal.. Sofea baru berusia 4 tahun ketika itu dan Amirul berusia 9 tahun. Sepanjang kami berpindah ke Segamat, kondo itu di sewa dan dihuni oleh sebuah keluarga Arab. Mereka berada di malaysia kerana melanjutkan pengajian di peringkat Phd.


"Mama, lepas Asar di surau nanti..Amirul mahu ke tingkat 10, mencari Azim. Kawan sekolah seksyen 9..boleh?"

Saya mengangguk.

"Balik segera jika Azim tiada. Kita mahu berbuka puasa dan sembahyang Maghrib di masjid."

Begitulah.. jika saya menyusuri kaki gunung ledang mencari sawah bendang, mencari guru, mencari kawan dan menjejak kenangan zaman silam. Barangkali itu juga yang terbuku di dalam benak fikiran anak-anak.. Kenangan zaman kecil mereka di kondo kemuncak itu bagaikan baru semalam berlalu. Banyak kenangan mereka di situ.

Petang itu tiba-tiba muncul sesaorang yang tidak di sangka-sangka..

"Ustaz Hafizi...! Wah, sejak bakal menjadi ayah tubuh ustaz berisi sekali!"


Ustaz Hafizi tersenyum ceria. Jelas kemerah-merahan pipi ustaz yang semakin berisi itu menahan malu.


"Saya tidak boleh lupa ketika mengajar Prof dan Kak Roza mengaji sebelum menunaikan haji dahulu.. Dan di bilik depan itulah tempat tidur saya. Ah! Saya masih budak-budak lagi ketika itu..baru 19 tahun. Maaf, jika saya ada salah dan silap."

Ustaz Hafizi merendah diri. Pertemuan singkat itu tidak berakhir di situ. Ustaz Hafizi memberitahu kami Ramadhan tahun ini dia menjadi imam terawih di Masjid USJ2. Kami bernekad untuk pergi ke masjid itu.


Subhanallah! Ya Allah..alunan bacaan surah yang baca oleh ustaz Hafizi pada malam itu mendayu-dayu. Masih seperti dahulu.. Bacaan yang sudah lama di rindui. Ya Allah, kalau boleh diputar masa dan boleh di tahan-tahan..mahu sahaja saya mendengarkan bacaan itu sepanjang malam. Mahu sahaja saya nyatakan;


"Ustaz Hafizi..teruskan bacaan. Jangan dihentikan.."

Kalau boleh, mahu sahaja kami rakamkan di dalam hati dan perasaan agar esok tidak perlu terindu-rindu. Namun, semasa ustaz Hafizi mengakhirinya dengan salam, jauh di sudut hati kami tahu yang mula pasti akan berakhir.

"Wahai Tuhan, Berkatilah diri dan keluarga ustaz Hafizi. Tempatkan dia dikalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh ya Allah. Temukan kami dengannya di syurga-Mu."

Dalam perjalanan pulang.. sayup-sayup dan masih terdengar-dengar alunan bacaan itu. Ya Tuhan..kami pasti merinduinya. Merindui alunan suara itu.

9 comments:

  1. pn roza

    saya yakin ustaz jugak akan merindui puan & keluarga nanti.

    ReplyDelete
    Replies
  2. Salam sejahtera,

    Barangkali sebab itu dia muncul pada petang itu..

    ReplyDelete
  3. Salam sejahtera Pn Roza,

    Di Madinah nanti puan akan mendengar alunan bacaan yang lebih mendayu-dayu lagi.

    hzm

    ReplyDelete
  4. Assalam puan Raudzah,

    Tempat jatoh lagi di kenang, ini kan pula rumah kediaman sendiri. Apa lagi dengan bacaan suara ustaz yang mendayu dayu. Saya faham maksud puan.

    Barangkali ada baik nya di buat rakaman ustaz Hafizi membaca Al Quran, bagi di main nanti di Madinah walaupun di sana imam imam nya mengalun dengan suara yang lebih gemersik seperti Sudais dan yang lain lain. Allahu Akbar!

    Harap ustaz Hafizi tak berkecil dengan catatan di blog ini. Tiap tiap seseorang ada keistimewaan nya.

    Semoga keluarga puan dan ustaz Hafizi di rahmati Allah. Amin

    AJ

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum Kak Roza, dahulu semasa saya pergi ke rumah kak roza di Shah Alam naik komuter tu ke kondo tu kah? Saya buka puasa minum air zam-zam. Saya solat di bilik Sara. Prof ada sebut, Prof ingatkan saya gemuk!

    Azma

    ReplyDelete
  6. Salam sejahtera Azma,

    Ya, itulah dia..

    ReplyDelete
  7. Assalam..

    Allahurobbi!!

    Orang-orang yang beriman dan dadanya dipenuhi hidayahNya akan sentiasa kasih dan rindu pada ayat-ayat Allah. Itulah yang sebenarnya. Rasa rindu yang tidak akan pernah pudar.. sehingga ke hembusan nafas yang terakhir. InsyaAllah, semoga Allah mengizinkan rasa itu kekal begitu buat kita semua... Ameen Ya Robb.

    ReplyDelete