
Bila hujan turun mencurah-curah, langit gelap, mendung sepanjang hari - kami mula mencari aktiviti yang boleh menghiburkan hati. Selalunya mak akan membuat ampaian kain di dalam rumah. Di sangkutnya kain berlembar-lembar, umpama khemah. Di balik-baliknya kain-kain itu, agar keringnya serata.
Di situlah kami bermain pondok-pondok. Main jual-jualan.
Musim tengkujuh seperti itu akan berlalu berminggu-minggu lamanya. Dalam kebosanan, kami sering berdoa,"Minta-minta banjir lah hendaknya..boleh kami bermain rakit pisang!"Rakit pisang selalunya Abang Mie (abang sepupu) yang buatkan. Di tebangnya beberapa batang pisang, di apit dengan kayu alang, lalu di ikat dengan tali sehingga kukuh. Kemudian, Abang Mie akan meletakkan sepupu-sepupu kecil di atasnya. Di harungnya air banjir separas dada. Pusing keliling sekitar rumah Mak Wa.
Paling mencabar apabila Abang Mie membawa rakit pisang ke sawah bendang di Baruh, belakang rumah Mak Ngah Hajar. Kami yang kecil-kecil tidak dibenarkan langsung menaikinya. Terjerit-jerit lah kami keseronokan dari atas bukit melihat Abang Mie menunjukkan kehebatannya berakit menyusur arus deras. Sesekali kelihatan rakit terbalik, lalu Abang Mie terjunam hilang di telan banjir!
Ya Allah! Kalau lah ditakdirkan Abang Mie hilang terus di bawa arus deras ketika itu, mungkin rakit pisang bukan lagi menjadi kenangan manis ketika berakit di musim tengkujuh!
Gambar ihsan : izzati.jomkawin.blogspot