
Hari-hari sebelum itu, perasaan saya sentiasa berkobar-kobar dan hati berdebar-debar. Kini, semangat diri hilang melayang, terbang di awang- awangan.
Masa berlalu terasa berjalan begitu perlahan. Dunia bagaikan senyap sunyi tanpa penghuni. Hanya saya dan bayangan penulis surat itu sahaja. Kalau tidak percaya, menjeritlah! Walau bagaimana bising dan riuh rendah sekalipun, saya tidak perasan.
Tetapi pagi itu suasananya sangat berlainan. Debaran hati berombak kencang. Nyilu terasa di hujung hati, perasaan bagai di hiris-hiris. Mata berpinar-pinar. Terasa mahu tumbang ke lantai!
Resah. Gelisah!
Hari-hari berlalu begitu sahaja, bagaikan tiada berlaku apa-apa.
Saya mulai selesa dan berfikir bahawa kemungkinan surat kiriman itu memang telah terselit di mana-mana. Tidak mengapa. Ketakutan hilang, saya kembali ceria.
Beberapa detik kemudian, saat-saat kebenaran pun tiba. Salah seorang adik memberitahu bahawa saya di panggil oleh mereka.
"Mak nak tanya ni.. awak sudah tidak berminat untuk belajar? Kalau tidak berminat, mak dan abah sepakat hendak berhentikan sahaja"Diam.
"Dah berminggu-minggu mak perhatikan perlakuan awak. Apabila mak menyemak.. baharu mak tahu. Kini, sudah mulai berani meminta teman lelaki menghantar surat ke alamat rumah"
"Siapa pula yang memberikan alamat rumah?"Mak meneruskan khutbahnya. Abah diam dan terus membaca.
"Nampaknya awak sudah ada pilihan hati. Kalau begitu, mari kita cari Tok Kadi. Mak dan abah bersetuju dan bersedia untuk menerima menantu"
Mungkin ada di antara mereka yang simpati dan ingin cepat-cepat menyudahkan episod ini. Di antara mereka ada yang sudah tidak sabar-sabar melihat saya berkedaan begitu berminggu-minggu lamanya. Pernah terkeluar dari mulut salah seorang daripada mereka menyatakan bahawa saya mengambil masa terlalu panjang untuk membuat keputusan.
"Jika hati sudah berkenaan, mengapa tidak diteruskan..?"Bunyinya macam bisikan anak syaitan berkepalakan manusia. Ada pula yang berkata,
"Tepuk dada, tanya selera.."Ya Allah, di mana mereka? Bodohnya diri ini diperbodohkan seperti ini. Terguris hati di sabotaj rakan sendiri. Remuknya perasaan seperti di tikam sembilu. Tajamnya menusuk hati.
Di saat-saat saya berada di dalam kesusahan dan kesedihan, tiada siapa yang datang bertandang untuk menyatakan pembelaan. Saya terkapar-kapar. Menghadapi dan mengharungi situasi begitu sendirian.