Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Friday, June 26, 2009

Warkah Pertama dan terakhir


Pagi itu saya solat subuh setengah hati. Cadangan untuk menyambung tidur tiba-tiba tidak menjadi. Terhenti. Mati!

Hari-hari sebelum itu, perasaan saya sentiasa berkobar-kobar dan hati berdebar-debar. Kini, semangat diri hilang melayang, terbang di awang- awangan.

Masa berlalu terasa berjalan begitu perlahan. Dunia bagaikan senyap sunyi tanpa penghuni. Hanya saya dan bayangan penulis surat itu sahaja. Kalau tidak percaya, menjeritlah! Walau bagaimana bising dan riuh rendah sekalipun, saya tidak perasan.

Tetapi pagi itu suasananya sangat berlainan. Debaran hati berombak kencang. Nyilu terasa di hujung hati, perasaan bagai di hiris-hiris. Mata berpinar-pinar. Terasa mahu tumbang ke lantai!

Resah. Gelisah!

Bagaimana tidak saya berperasaan begitu, surat kiriman yang disalin dari majalah URTV hilang di dalam simpanan. Apa yang ditulis sepenuh perasaan entah terselit di mana. Seingat saya, saya telah menyelitnya di celah-celah buku rampaian. Barangkali buku rampaian Sains, mungkin juga Sejarah atau Geografi. Hati berbelah-bahagi. Kusut masai hati dan perasaan.
Mungkinkah ia di tangan Mak dan abah? Memang itu kesilapan saya. Saya nekad untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Redha.

Saya ternanti-nanti apakah hukuman yang bakal saya terima dari mak dan abah nanti. Saya akur bahawa saya masih lagi di bawah jagaan mereka. Menumpang belas ihsan mereka. Saya bersedia menerima balasannya. Mula bertekad di dalam hati dan berjanji untuk tidak akan mengulanginya lagi.

Hari-hari berlalu begitu sahaja, bagaikan tiada berlaku apa-apa.

Saya mulai selesa dan berfikir bahawa kemungkinan surat kiriman itu memang telah terselit di mana-mana. Tidak mengapa. Ketakutan hilang, saya kembali ceria.
Di suatu pagi minggu, saya melihat abah dan mak duduk di beranda. Di hadapan mereka terdapat seikat surat-surat bersampul berbunga-bunga. Mereka sedang membacanya. Saya mula buat-buat sibuk di dapur.

Beberapa detik kemudian, saat-saat kebenaran pun tiba. Salah seorang adik memberitahu bahawa saya di panggil oleh mereka.

"Mak nak tanya ni.. awak sudah tidak berminat untuk belajar? Kalau tidak berminat, mak dan abah sepakat hendak berhentikan sahaja"
Diam.
"Dah berminggu-minggu mak perhatikan perlakuan awak. Apabila mak menyemak.. baharu mak tahu. Kini, sudah mulai berani meminta teman lelaki menghantar surat ke alamat rumah"
Diam. Sambil otak terfikir-fikir, hati berbisik-bisik dan tertanya-tanya. Bersimpang siur!
"Siapa pula yang memberikan alamat rumah?"
Mak meneruskan khutbahnya. Abah diam dan terus membaca.
"Nampaknya awak sudah ada pilihan hati. Kalau begitu, mari kita cari Tok Kadi. Mak dan abah bersetuju dan bersedia untuk menerima menantu"

Ya Allah. Hancur luluh hati saya. Siapa pula yang mengirim surat-surat itu ke rumah tanpa pengetahuan tuan punya diri? Bagaimana mereka mendapat alamat tersebut? Barangkali ada di antara rakan-rakan rapat yang memandai-mandai menjadi "cerdik pandai". Cerdik pandai yang tidak diundang!

Mungkin ada di antara mereka yang simpati dan ingin cepat-cepat menyudahkan episod ini. Di antara mereka ada yang sudah tidak sabar-sabar melihat saya berkedaan begitu berminggu-minggu lamanya. Pernah terkeluar dari mulut salah seorang daripada mereka menyatakan bahawa saya mengambil masa terlalu panjang untuk membuat keputusan.
"Jika hati sudah berkenaan, mengapa tidak diteruskan..?"
Bunyinya macam bisikan anak syaitan berkepalakan manusia. Ada pula yang berkata,
"Tepuk dada, tanya selera.."
Ya Allah, di mana mereka? Bodohnya diri ini diperbodohkan seperti ini. Terguris hati di sabotaj rakan sendiri. Remuknya perasaan seperti di tikam sembilu. Tajamnya menusuk hati.

Di saat-saat saya berada di dalam kesusahan dan kesedihan, tiada siapa yang datang bertandang untuk menyatakan pembelaan. Saya terkapar-kapar. Menghadapi dan mengharungi situasi begitu sendirian.

11 comments:

  1. Salam Puan Roza.....
    Tersunyum melihat ada entry baru pada pagi ini....tp pembacaan hari ni penuh debaran.....Ya Allah sape laaa yg punya keje sampai tulis surat & pos kat umah....Ngerinyeee.....

    Puan...siapa gerangan penulis surat2 tu?

    ReplyDelete
  2. Alamak... sangat mengharukan pagi Jumaat lah...
    Debaran terhenti seperti ternoktahnya surat yang "hilang"...
    mengerikan sewaktu proses mahkamah Kak Roza tu kan?....

    ReplyDelete
  3. Wahh...kak roza. Buat jadi novel remaja mesti laris dan mendapat sambutan. Macam menyaksikan drama bersiri pun ada ni :)

    ReplyDelete
  4. Moral of the story... jangan sesekali buat sesuatu tanpa pengetahuan ibubapa. Nanti kalau dipanggil mengadap untuk membela diri... tak ke menggeletar kepala lutut! Hehehe...

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum

    Hati berdebar...kembang kuncup,
    tiba-tiba ....ahhhhh bersambung lagi. Tak sabar nak tunggu episod seterusnya......


    (Prof pun tentu suspen......siapa diaaaaa)
    Relax Prof...


    Kak wati

    ReplyDelete
  6. ooo gitu pulak jadinye!
    sape agaknye? tentu takut yg amat mase berdepan ngan emak & ayah mase tu!

    harap bersambung secepatnye!

    kak jose.

    ReplyDelete
  7. Ala..kenapa sad ending je..huhu

    p/s geram je saya kepada pengirim surat tu..smpi ke rumah dia hantar..kan citer telenovela kat sini dah tamat! :)

    ReplyDelete
  8. Salam Roza

    Kesian ya, zaman kita kecil dahulu belum ada guru bimbingan kaunseling, saya pun dahulu menyelesaikan banyak kemelut emosi sendiri tanpa tahu mahu berpaling kepa siapa. Murid sekarang ada kesempatan untuk dibimbing dan didengari oleh guru bimbingan yang memang dilatih untuk membantu mereka.
    Insya ALLAH, saya teruja menggu kedatangan Roza di KK, bagai impian menjadi kenyataan dapat bersua muka dengan Roza.

    ReplyDelete
  9. Seingat saya pada masa tu, Mak memang betul-btul nak kahwinkan Kak Ngah. Kami adik beradik semua kecut perut, takut nanti kami kena kahwin awal jugak..hehehe..

    ReplyDelete
  10. Lamanya 'commercial break'. Bila nak sambung telenovela ni? Wat suspengggg je...

    Nak tergelak pulak baca catatan Lemongrape. Ngeri gak eh kot kena tempias Kak Ngah tu! Ahakss....

    ReplyDelete
  11. Lemongrape tak dapat surat S.A. ke?

    ReplyDelete