Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Thursday, June 18, 2009

Sa'ie


Kami sampai ke Mekkah pada pukul 10.30 malam. Berkumpul di lobi hotel pada pukul 11.00 malam menuju ke Baitullah untuk melakukan tawaf umrah, Sa'ie dan tahalul.

Semasa bertawaf, mak bersama saya. Ayu dipimpin oleh abah. Anak-anak lelaki bersama suami. Kami membawa haluan sendiri. Berjanji selepas selesai tawaf untuk berkumpul di bukit Safa.


Saya kira, mereka terpaksa menunggu kami agak lama. Saya memimpin tangan mak dan berjalan perlahan-lahan. Jika diikutkan hati mahu sahaja saya berjalan sepantas mungkin, secara berlari-lari.


Dari Safa ke Marwah kami banyak kali berhenti. Menghela nafas, mengelap keringat dan membasahi tekak dengan air zam-zam yang banyak terdapat di sepanjang perjalanan. Sesekali bertanya;

"Mak penat? Kalau penat, kita berhenti dahulu. Nanti, kita sambung lagi."

"Teruskan..mak masih mampu lagi berjalan."

Bersemangat. Namun, jelas kelihatan tercungap-cungap dan pendek-pendek mak bernafas. Saya memerhati dengan simpati. Saya tahu perangai mak. Tidak sekali-kali akan menyerah kalah. Tidak simpati pada diri. Beliau akan berusaha sepenuh tenaga.

"Mak, saya rasa kita harus berhenti di sini."

Semasa kami berhenti, berulang kali terserempak anak-anak lelaki yang telah melalui laluan ini. Itu bermakna kami telah ketinggalan beberapa pusingan.

"Tidak mengapa. Mereka akan tunggu kita."

Saya menenangkan perasaan, apabila mak cepat-cepat ingin meneruskan perjalanan. Saya dan mak jalan berpimpinan tangan perlahan-lahan. Beriringan. Pernah mempelawa untuk menyewa kerusi roda. Mak ketawa sambil menolaknya.

Hampir pukul 2.00 pagi baru selesai Sa'ei kami. Semasa sampai ke penghujung bukit Marwah, suami dan anak-anak lelaki menunggu kami berhampiran tong air zam-zam. Azrai dan Amirul menghulurkan segelas air zam-zam sambil senyum berleretan. Becuk mulut mereka bercerita kepada nenek mereka.


Suami menghulurkan tangan, lalu saya menyambutnya. Kami jalan berpaut tangan. Sementara mak bersama cucu-cucunya. Sampai ke garis penamat di atas bukit Marwah, lalu kami semua bertahalul.

"Eh! Mak di mana?"
Saya cemas, bertanya setelah menunggu mak sekian lama. Kami mencari-cari kerana baru sahaja sebentar tadi dia bersama cucu-cucunya, Amirul dan Azrai. Orang semakin ramai menyebabkan keadaan agak sukar. Saya berdebar-debar kerana sekelip mata sahaja mak terlepas dari pandangan mata saya.

Akhirnya...

"Mak..mak ke mana?"

"Mak dengar suara Kamil, lalu terus ke sana.."

Ternyata. Mak perlu dipimpin sepanjang masa. Kini, saya mulai tahu bahawa mak bukan lagi mak yang dahulu [pengecamannya dahulu kuat sekali.]

"Mak, maafkan saya. Saya tidak akan tinggalkan mak lagi..Tidak sekali-kali."

3 comments:

  1. Salam..
    mengalir air mata kakliza membaca kisah ini..
    terbayangkan mak kakliza yang terlalu ingin ke Mekkah tapi nampaknya kesihatan/keadaannya lebih kurang saperti mak Pn Roza..
    dia begitu mengharapkan kehadiran kakliza akan membantunya..
    begitu juga ngan mak mertua kakliza..begitu bersungguh mahukan kakliza temankan dia untuk ke Mekkah lagi..

    ReplyDelete
  2. Salam Pn Roza....
    Pengalaman pertama mengerjakan Tawaf /Saie umrah dipandu olh mutafif TH mengikut maktab...Akhirnya kami berpecah saya bersama rakan sebilik. Alhamdullillah berkat kursus dan buku yg saya baca kami dpt melakukan dgn sempurna.Terharu melihat pasangan suami isteri yg sebaya dgn mak saya keletihan berhenti rehat seketika. Dlm berjalan balik ke hotel kami jumpa mutafif dgn sepanduk no maktab di belakang tak sampai 5 org yg mengikut.Dlm perjalanan pulang kami berjumpa 2 pasangan suami isteri yg tidak dpt mencari jln pulang ke maktab yg hanya berkaki ayam kerana kasut mereka hilang....

    ReplyDelete
  3. Kak Roza,
    Sayu membaca cerita Kak Roza...saya belum berpeluang ke sana apatah lagi ke sana dengan mak saya. 2 kali mak kesana untuk haji dan umrah, namun tiada kesempatan pergi bersama. Kini beliau telah tiada. Keinginan saya begitu kuat sekali untuk ke sana, namun buat masa ini belum ada rezeki mungkin... InsyaAllah satu hari dimakbulkanNya hendaknya.Doakan ye.

    ReplyDelete