Selepas menghantar Sara ke Play Group, saya akan menyusuri jalan hingga sampai ke pusat bandar [high street] sambil menolak kereta sorong Azrai. Saya hanya mempunyai masa selama dua jam sebelum menjemput Sara pulang.
Saya suka menjamu mata dari sebuah kedai ke sebuah kedai – window shopping. Puas merenung sambil memasang angan-angan yang panjang. Terasa ingin sekali membeli pakaian anak-anak yang comel dan terasa ingin sekali memiliki pinggan mangkuk yang tertera di belakangnya “Made In England”.
Beberapa minggu sebelum hari natal, pekerja play-group meminta ibubapa menyediakan sebarang hadiah untuk anak-anak. Kata mereka Santa Claus akan datang pada masa dan tarikh yang akan ditetapkan untuk diserahkan kepada anak-anak. Bertambahlah semangat untuk saya mencari pekerjaan.
Suatu hari seperti biasa saya menghabiskan masa di High Street sementara menunggu Sara. Di dalam perjalanan pulang, saya memberanikan diri masuk ke dalam sebuah kedai WHATS EVERYONE WANTS lantas bertanya kepada salah seorang pekerja.
“Boleh saya tahu,adakah peluang pekerjaan di sini ?”
“Oh ya.. Berjumpalah dengan pengurus. Ramai pekerja diperlukan menjelang hari natal”
Seorang pengurus wanita barangkali berbangsa Sinkh muncul. Pekerjanya memanggilnya Mrs Pramjit Kaur namun wajahnya sudah bercampur-campur. Belaiu kelihatan peramah dan tersenyum memandang saya yang sedang berdiri berhampiran kereta sorong Azrai. Beliau menyatakan memang memerlukan pekerja terutamanya di hujung minggu.
Namun, saya perlu bekerja selama 8 jam bermula dari 8.30 pagi hingga ke 4.30 petang. Ia termasuk 15 minit rehat pada jam 10.00 pagi, setengah jam rehat pada pukul 12.30 tengahari dan 15 minit pada pukul 2.30 petang. Saya bersetuju. Waktu rehat yang membolehkan saya untuk bersolat.
Uniformnya adalah blouse berwarna putih dan berseluar panjang hitam. Itu dapat saya adakan. Masalahnya adalah Blazer. Ketika itu saya cuma ada £10 di dalam tangan. Wang dapur untuk seminggu yang suami bekalkan. Pakaian apa yang boleh di beli dengan jumlah wang sebanyak itu? Sedangkan sehelai blazer di kedai harganya melebihi £30 ! Saya tidak berkemampuan.
“Ya Allah. Suatu masa dahulu saya pernah mengangankan untuk menyarung sehelai
blazer sebagai pakaian harian. Kini, apabila sampai masanya, saya tidak mampu untuk membelinya”
Lalu, saya menyusuri kedai-kedai kecil di celah-celah High Street. Otak ligat berfikir. Sedang saya mencari-cari, kuasa Allah, saya terpandang sehelai blazer hitam tergantung di tingkap cermin sebuah kedai. Terdapat tanda harga yang tergantung dengan besarnya : £5 sahaja!
Kaki saya pantas sekali masuk ke dalam kedai tersebut. Ia rupanya sebuah kedai barangan terpakai : Oxform Charity shop.
Saya bertanyakan kepada penjaga kedai tentang blazer yang tergantung di cermin utama. Beliau dengan senyum ramah mengambil dan menghulurkan kepada saya. Beliau mencadangkan agar saya mencubanya. Alhamdulillah! Ia sepandan dengan tubuh badan saya.
Di rumah saya menyatakan hasrat hati kepada suami. Beliau membenarkan saya bekerja setelah menyakinkannya bahawa ia hanya pada hujung minggu sahaja. Beliau bersedia untuk menjaga anak-anak.
“Ok. Jika hujung minggu saya tidak ada kuliah tidak mengapa”
Saya menyediakan makanan yang berat untuk suami dan anak-anak sementara di tinggalkan sepanjang hari. Membawa sedikit bekalan makanan. Kemudian dengan pantas berjalan kaki menuju ke kedai.
Hari pertama, saya melepasi tahap ketahanan bekerja bersama penduduk tempatan di bumi Scotland. Belajar memahami sebutan pertuturan bahasa Inggeris mengikut lenggok dan tonasi orang Scotish. Semuanya terasa bagaikan mimpi bahawa saya sudahpun bekerja di sebuah negara yang sangat asing bagi saya.
Saya melihat cara mereka bekerja. Cara berinteraksi. Cuba memahami budaya penduduk tempatan berbelanja, bahasa badan mereka dan gelagat manusia.
“Dan di aantara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi dan
berlainan bahasa dan warna kulitmu. Sesungguhnya pada yang demikian itu
benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang yang mengetahui” [Ar-Rum: ayat 22]
Namun, hari pertama saya sudah gagal mencari tempat untuk bersolat di waktu zohor. Saya hanya dibenarkan berehat selama setengah jam. Puas berpusing-pusing dan berlegar-legar di sekitar stor untuk mencari tempat yang sesuai. Terpaksa beredar apabila di tegur oleh penjaga stor.
Ya Allah. Ampunkanlah segala dosa-dosaku kerana dengan sengaja meninggalkan
solat-Mu. Terimalah qada’ ku..terimalah qada’ solatku”
Hari itu, perasaan saya terbahagi kepada dua. Gembira kerana dapat bekerja dan sebelah lagi gelisah kerana perasaan bersalah meninggalkan solat kerana terpaksa.
No comments:
Post a Comment