Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Monday, June 14, 2010

Seberkas penyapu lidi


Semasa kami kecil, abah selalu mengajar kami adik-beradik dengan menggunakan kata bidalan, peribahasa, perumpaan dan kata-kata pujangga. Umpamanya :

"Masa itu. Emas"

Abah menggunakannya apabila kami adik-beradik bergelak-ketawa serta mengabiskan masa dengan sia-sia. Bersantai-santai tanpa melakukan sebarang perkara yang berfaedah. Lalu, di musim cuti sekolah, sewaktu terluang emak mengajar kami membuat kek, pelbagai kuih dan menjahit cross-stich. Pernah juga emak mengajar perkara asas menjahit baju kurung teluk belanga. Kain gombang melayu Johor.

Menjahit? Tidak masuk di hati saya!

Abah pernah menggunakan falsafah ini kepada kami;

"Hidup ini ibarat pusingan roda. Ingatlah kepada Allah SWT samada kita di bahagian atas atau di bahagian bawah."

Benar. Allah menjadikan setiap kejadian agar kita mengingati-Nya. Supaya kita hampir dengan-Nya. Kebiasaannya kita berkeluh-kesah, merintih sedih dan gundah gulana apabila di uji sedikit oleh yang maha kuasa. Apabila terlepas dari ungkaian kesusahan itu.. kita tidak teringat yang suatu masa dahulu kepada Allah kita pernah mengadu.

Kita percaya bahawa setiap kejadian adalah Qada dan Qadar ketentuan tuhan. Tetapi apabila ia tidak menyebelahi diri, kita menyalahkan keadaan. Menunding situ dan sini. Bukankah Allah maha mengetahui apa yang tidak kita ketahui? Kita tidak tahu apa yang akan terjadi kepada diri kita. Jangankan esok, malam ini malah sebentar lagi pun kita tidak dapat menduga apa yang bakal berlaku kepada diri kita.

Siapa yang berani angkat tangan menyatakan mereka tahu jodoh mereka, di mana berjumpa, tarikh perkahwinan dan adakah ia akan berkekalan? Siapa pula yang tahu bila akhirnya ajal kita, di bumi mana berakahirnya dan berapa ramai yang sembahyang jenazah untuk kita?

Allah yang menentukan setiap kejadian, malam dan siang. Kita adalah hamba-Nya, tiada berkuasa menentukannya. Kita sekadar merancang. Jika tidak dengan izin Allah, sebijak mana sekalipun akal manusia tidak terlaksana seperti yang di rencana. Sudah! Hentikan sahaja acara menunding jari, menyalahkan sesiapa.

Itulah yang tertulis di dalam kitab bagi setiap insan di lauh mahfuz. Termaktub sejak azali.

Abah berpesan lagi;

"Adik-beradik adalah umpana seberkas penyapu lidi. Jika kita tinggal sebatang, bila-bila sahaja kita mudah dipatahkan."

Benar kata abah. Kami tidak akan membiarkan lidi yang satu tersisih lalu patah. Tidak sekali-kali. Biar buruk seberkas lidi itu, jika bersatu ia masih di panggil penyapu.


Gambar ihsan : flickr.com

5 comments:

  1. Salam,Benar kita semua dalam genggamanNya, tiada berkeupayaan melainkan dengan izinNya...

    ReplyDelete
  2. salam..

    benar dan indah sekali peribahasa melayu..

    adik beradik mmg perlu bersatu..kadang kita rasa itu yang terbaik bagi kita tetapi keluarga tidak melihat begitu..maka dari situlah perlunya permuafakatan.

    Jika ibu bapa terapkan nilai hubungan kekeluargaan yang baik dan mengikut landasan Islam, pasti sesebuah keluarga itu tidak akan berantakan.

    Tegur menegur dan saling membimbing perlu dalam sebuah keluarga. Semoga keluarga kita semua dirahmati Allah swt.

    ReplyDelete
  3. salam,

    akak suka baca tulisan Roza dan suami(boleh akak sebut nama aje). tulisan yang begitu senang dan mudah tapi mempunyai bahasa yang menarik..taniah

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum mamacomel,

    Bahasa terjemahan Al-Quraan juga ringkas, berulang-ulang dan mudah di faham.

    Cubalah. Mari kita hayati baris perkataan didalamnya.

    ReplyDelete
  5. salam kak roza
    saya dh hbis baca travelog cinta abadi..bila kak roza nak tulis sambungan kisah hidup di uni pulak?saya nantikan sambungan hasil karya kak roza

    ReplyDelete