Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Wednesday, November 24, 2010

Janji di Jamrahtul Aqabah 2

Dikhemah, jemaah tenang sambil menikmati sarapan mee segera di pagi aidil adha. Pihak muasasah tidak menyediakan sarapan pagi seperti biasa.

Namun, ada antara jemaah yang semalam kelihatan lincah serta petah bercerita, tiba-tiba pagi itu bergolek-golek dengan selimut tebal. Kelihatanya seperti tiada upaya untuk melakukan ibadat melontar.

"Akak rasa tidak sihat. Melontar-melontar ni..kita tidak main. Kita ada bawa anak lelaki. Lepas ini akak mahu ambil MC."

Kami diam dan rapatkan mulut serapat mungkin. Walau hati jahat masih juga degil mengata-ngata. Subhanallah! Ampunkan kami ya Allah. Kami manusia lemah.

Tepat pukul 9.00 pagi, kami berkumpul ditempat yang dijanjikan. Tidak dapat dinafikan, semangat bagaikan hilang melayang. Kami serahkan diri kepada illahi.

Sebelum melangkah pergi, suami berdoa. Doa yang lahir dari lubuk hati. Doa yang belum pernah kami dengari. Doa penyerahan diri, menyerahkan kami kembali kepada Tuhan yang menjadikan.

Allah hu akhbar. Allah hu akhbar. Allah hu akhbar.

Sepanjang perjalanan, rombongan dari negara lain datang secara berpasukan. Mereka bergerak dengan bendera disertai suara laungan yang bergema-gema. Derap tapak-tapak kaki jemaah haji memenuhi setiap ruang terowong muassim memantulkan bunyi yang menambahkan lagi gerun dihati.

Drap! Drap! Drap!!

Subhanallah! Semakin hampir dengan jemaratul Aqabah, kami dapat melihat jemaah dari setiap sudut datang menuju ke arah yang satu. Mereka kelihatan seperti rombongan semut putih atau barangkali beginilah rupanya gambaran manusia yang berpusu-pusu menuju ke padang masyar di hari pengadilan nanti.

Hati semakin kecil, diri merasa kerdil. Namun, tidak dapat dinafikan sepanjang perjalanan Allah memberikan kami ruang. Hampir setiap masa terdapat rongga kosong dihadapan yang memudahkan perjalanan kami. Alhamdullilah!

Semakin hampir dengan jamrahtul aqabah, gema suara dan emosi jemaah semakin menggila. Jemaah berpusu-pusu ke arah bucu, tempat tumpuan yang paling padat. Ada yang dari jauh lagi sudah mula melontar, seolah-olah mereka terpandang syaitan dan iblis yang tergantung di situ.

Kami sudah tidak tahu apa yang bakal terjadi. Membiarkan kaki dibawa oleh arus ketentuan tuhan. Subhanallah! Tiba-tiba arus gerakan manusia membawa kami betul-betul ke arah bucu yang paling padat. Kami berada di situ, di hadapan jamratul itu. Apabila suami menoleh ke belakang, Kak Mie dan Azlina juga ada berhampiran. Kami melontar dengan tenang.

Selesai melontar, kami pantas beredar mencari kawasan lapang. Segera kami lakukan nafal awal - tahalul bagi melepaskan dari pantang larang di dalam ihram kecuali 3 perkara. Kami bertenang melepaskan lelah. Diri bagaikan baru terlepas dari hukuman gantung sampai mati.

Dalam linangan air mata, suami bersuara;

"Yang..Di Mekah, Dia tunjukkan bermacam-macam kekuasaan dan kehebatannya tetapi hari ini adalah kemuncak di atas segalanya. Kalau saya balik ke Malaysia, jika saya tidak takut dan gentar kepada Allah, sayalah sejahat-jahat manusia. Saya manusia dajal!

Subhanallah! Itulah janji suami yang paling tulus pernah disaksikan. Lafaz dari suami yang beberapa tahun dahulu tidak mahu menunaikan haji. Suami yang pernah mempersenda-sendakan hasrat hati. Suami yang lancang mengeluarkan kenyataan yang menyatakan ”kita masih muda, lambat lagi hendak mati”, ”nanti susah hendak buat dosa”.

Subhanallah! Bukankah Allah maha berkuasa atas segalanya? Dia memilih sesiapa dari hamba-Nya yang mahu mendapat petunjuk-Nya. Lalu, ya Allah.. nikmat-Mu yang mana satukah mahu daku dustakan?

Tuesday, November 23, 2010

Janji di Jamrahtul Aqabah

10 Zulhijjah yang mengusarkan.

Kami berkumpul diluar khemah selepas subuh. Berpakat-pakat tentang mondus operandi jamratul Aqabah yang bakal dilalui. Hati gusar dengan keselamatan yang dikatakan tidak terjamin. Berita-berita dari jemaah terdahulu sering mengkhabarkan tentang isu keselamatan, kesesakan dan berita kematian.

Namun, bukankah ajal dan maut ditangan Tuhan? Jika sudah sampai masanya, pasti ia tidak tercepat atau terlambat. Redha. Kematian pasti terjadi.

Suami bertanya samada mahu melakukan lontaran di jamrahtul Aqabah di waktu Dhuha atau sebelah malam seperti yang disarankan oleh tabung haji. Dikatakan jemaah dari negara-negara lain bersesak-sesak menjadikan keselamatan tidak terjamin. Waktu malam adalah waktu yang disarankan.

"Bukankan kita mahukan yang terbaik? Didalam buku tabung haji menyatakan waktu yang paling afdal adalah waktu dhuha. Tetapi jika keselamatan tidak terjamin, kami serahkan keputusan kepada awak."

"Baik. Kita lakukan diwaktu dhuha. Sembahyang dhuha dan sembahyang hajat dahulu, pada pukul 9.00 pagi kita berkumpul di sini."

Keputusan tegas dari suami, sebagai ketua kumpulan. Katanya, tubuh badan kami sihat. Kami boleh membaca tanda arah malah boleh berfikir. Aturan tabung haji adalah yang terbaik untuk keselamatan jemaah secara general. Lalu, kami akur walau dalam masa yang sama hati merasa gerun, gementar dan semakin gusar. Sebelum pulang ke khemah, suami mengajar kami membaca pelan, jika ditakdirkan kami berpisah semasa melakukan lontaran.

"Ya Allah, jika ditakdirkan telah sampai ajal kami ketika melakukan ibadah ini..jadikanlah kematian kami ini sebagai jihad ke jalan-Mu. Jihad untuk mendapatkan haji yang mabrur."

Hati berbisik-bisik kepada Allah yang maha mengetahui.

Monday, November 22, 2010

Dinginnya Muzdalifah


Selepas sembahyang Isyak, kumpulan kami mula berangkat untuk mabit di Mudzalifah. Kami bergerak dengan menaiki bas mengikut kumpulan.

Menurut pendapat yang sahih, Mabit di Muzdalifah adalah kewajiban dari beberapa kewajiban dalam haji karena mengikuti sunnah Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam. Maka orang yang haji tidak dinilai telah melaksanakan kewajiban ini jika dia sembahyang Maghrib dan Isyak di Muzdalifah dengan jama' kemudian meninggalkan Muzdalifah.

Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam tidak memberikan keringanan meninggalkannya melainkan kepada orang-orang yang lemah, seperti kaum wanita, orang-orang tua dan yang seperti mereka, boleh meninggalkan Muzdalifah setelah lewat tengah malam. Sebab Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam memberikan keringanan kepada orang-orang yang lemah dari keluarga beliau dalam hal tersebut.

Sedangkan Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam bermalam di Muzdalifah dan sembahyang subuh di sana dengan membaca zikir, tahlil (la ilaha illallah) dan istighfar (astagfirullah) setelah solatt. Lalu ketika langit telah menguning, beliau bertolak ke Mina. Maka yang paling sempurna bagi orang-orang yang haji adalah meneladani Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam dalam hal tersebut.

Bas menurunkan kami di lapangan luas Muzdalifah. Dinginnya udara, terasa bagaikan diri masih ada lagi tersisa dosa yang belum diampunkan oleh Allah yang maha kuasa. Pakaian panas di dalam telekung [thermal long john] bagaikan tidak dapat menampung kedinginan udara tengah malam. Kami mengutip batu-batu kerikil kecil dalam kegigilan.

Bayangkan..bagaimana pula keadaan jemaah lelaki yang hanya diselimuti oleh dua helai kain bagi menangkis kesejukan?

Kami beristighfar dan berzikir sambil merebahkan diri serta mencari pelindung di celah beg pakaian. Terlelap seketika dan bangun kembali berkali-kali kerana tidak tertahan dengan udara dingin di tengah malam. Subhanallah! Langit luas terbentang, udara dingin mencecah ke tulang hitam..

Di sana sini, jemaah lelaki sudah mula memasang unggun api. Barangkali untuk mendapat sedikit haba bagi memanaskan badan. Jemaah lelaki dan perempuan yang sudah berumur, kelihatan menyedihkan sekali. Mereka diam membisu menahan kesabaran, namun getaran tubuh badan jelas kelihatan yang mereka kesejukan.

"Yang..saya terlupa membawa selimut tebal yang tidak berjahit.."

Bisik suami yang nyata kesejukan. Kami simpati, namun tidak banyak yang boleh dilakukan.

Apabila bas mulai datang menjemput jemaah haji menuju ke Mina, ramai jemaah yang gagah perkasa berasak-asak mendahului jemaah yang lemah lagi tidak berdaya. Mereka mahu segera pergi. Barangkali dinginyn udara Muzdalifah sudah membuatkan hati mereka beku.Lalu, mereka sudah tidak pandai lagi bertolak ansur dengan jemaah yang telah tua, kanak-kanak dan wanita.

"Bersabarlah..InsyaAllah, bas tidak akan meninggalkan kita."

Subhanallah! Apakah ia dingin yang sama seperti yang dialami di zaman Rasulullah?

Saturday, November 20, 2010

Air mata Arafah

9 Zulhijjah yang syahdu.

Sejak sampai di khemah, hati mula terasa sayu. Kami dikumpulkan dalam khemah yang besar. Ruang diberikan hanyalah sebesar tikar sejadah. Dari awal lagi kami sudah pahatkan di dalam hati - " Jangan harapkan keselesaan di sini! "

Masing-masing hanya melayani perasaan sendiri dan cuma tersenyum menganggukkan kepala apabila sesama jemaah bertentangan mata. Suasana tenang sementara menunggu wukuf di Arafah.

Kami segera mengambil wuduk dan sembahyang dhuha. Berdoa agar wuduk itu berpanjangan sehingga selesai waktu wukuf. Kami tidak mahu seboleh mungkin bersesak-sesak di tandas ketika waktu puncak.

Makanan tengahari yang diberikan segera kami makan sebelum masuk waktu zohor. Tanpa bercakap-cakap. Tiada komunikasi. Masing-masing tunduk memandang satu. Ia suatu perasaan yang tidak dapat digambarkan. Seolah-olah diri adalah seorang penjenayah yang sedang menunggu hari perbicaraan. Mengharapkan keampunan Hakim besar yang akan muncul ketika waktu wukuf.

Rakan-rakan sebilik hilang entah di khemah mana. Kami tidak mencari, tapi sekadar sekilas pandangan mata mengerling di ruang yang ada. Alhamdulillah! Itu lebih baik untuk kami. Ada diantara jemaah yang berpakat-pakat dengan rakan sebilik untuk tinggal di khemah yang sama, akhirnya menghabiskan masa dengan berbual-bual kosong sahaja.

Selesai sembahyang zohor dan asar secara berjemaah, kami mendengar khutbah dari corong pembesar suara. Sayu, pilu mendengar serak-serak basah ucapan khatib membaca khutbah barangkali dilinangi dengan air mata.

Kami [suami, saya, kak Mie dan Azlina] keluar dari khemah, mencari kawasan lapang berhampiran. Kami bentangkan tikar, lalu masing-masing bermunajat kepada Allah, tuhan yang menjadikan langit dan bumi serta diantara keduanya. Tuhan yang maha kuasa, yang menguasai alam semesta. Tiada satupun terlepas dari pengetahuannya. Subhanallah!

Saya tidak pandai berdoa. Namun, inilah doa yang paling khusyuk dan panjang pernah dilafazkan.


"Ya Allah, ya Rabbi..Hamba-mu datang dari pelusuk dunia menyambut lambaian-Mu. Kami datang memyambut panggilan-Mu. Tiada sekutu bagi-Mu. Sesungguhnya segala puji dan nikmat dan pemerintahan adalah kepunyaan-Mu. Tiada sekutu bagi-Mu.

"Wahai tuhan, kami datang beribu batu dengan membawa dosa-dosa yang tidak tertanggung oleh kami. Janganlah dicabut nyawa sehingga diampunkan dosa-dosa kami.

"Ya Tuhan yang maha pengasih lagi maha penyayang, ilmu kami cetek, amalan kami kurang.. kami hamba-Mu yang fakir, papa lagi hina.. Ampunkan lah kami atas kekurangan diri kami. Jangalah dihukum kami jika kami tersalah atau terlupa. Janganlah dihukum kami kerana kejahilan diri

"Wahai Tuhan, jadikan lah ibadah haji ini menjadi sempadan kepada perubahan iman, peningkatan amalan, pengorbanan jiwa dan raga sebagai suatu tanda kami bersyukur diatas segala nikmat kurniaan-Mu.

"Wahai Tuhan kami, janganlah dipalingkan hati kami setelah diberikan taufiq dan hidayah ke dalam hati nurani kami. Limpahkanlah cahaya nur-Mu di dalam seluruh kehidupan kami. Tambahkanlah ilmu di dalam dada kami, berikanlah kami rezeki ilham dan faham dari kalam al-Quraan -Mu yang suci.

"Wahai Tuhan yang menghidup dan mematikan, lepaskanlah kami dari siksaan azab kubur-Mu. Lapangkanlah dan terangkan kubur kami. Tenangkanlah hati kami di alam barzah-Mu

"Wahai Tuhan yang menguasai hari pembalasan, bangkitkanlah kami dengan wajah yang putih berseri-seri dan senang hati untuk menemui-Mu. Tunggangilah kami dengan kenderaan yang mulia ke padang mahsyar-Mu. Teduhkanlah kami dibawah lembayung Arsyi-Mu yang Agung sementara menunggu hari perhitungan. Percepatkanlah urusan kami di hari pengadilan. Berikanlah buku amalan di tangan kanan kami, jangan dicampakkan buku amalan di tangan kiri kami

"Wahai Tuhan, janganlah dicampak kami ke neraka-Mu walau sesaat, jangan sampai kami terasa bahang percikannya, jangan sampai kami terdengar raungan penghuni isi neraka, jangan sampai kami terlihat siksaannya

"Ya Rabbi..tetapkanlah kaki kami semasa melintasi titian siratullmustaqim hingga sampai ke seberang dan dapat menghilangkan haus dari air kolam al-kausar. Agar dapat kami berkumpul bersama rombongan kekasih-Mu, Rasulullah S.A.W.

"Ya Allah Tuhanku yang satu, sesungguhnya daku tidak layak masuk ke syurga-Mu. Namun daku takut untuk ke neraka-Mu. Oleh itu, kami mohon kasih sayang dan rahmat-Mu ya Tuhan.. masukkan kami terus ke syurga-Mu tanpa dihisab

"Masukkanlah kami ke syuraga-Mu tanpa di hisab.. tanpa di hisab..tanpa di hisab

"Sesungguhnya kami datang dari-Mu, kepada-Mu juga kami akan dikembalikan. Sesungguhnya Allah, Tuhanku yang layak disembah dan nabi Muhammad itu pesuruh-Mu.

Tiba-tiba hati jadi kosong. Seluruh jiwa raga dan roh bagaikan terbang melayang bersama debu-debu remang lewat senja di padang Arafah yang tenang.

Friday, November 19, 2010

Labaik Allahuma Labaik..

Pagi 8 zulhijjah yang tenang.

Kebiasaannya kami membeli sarapan pagi dari penjual-penjual kecil di tepi jalan. Rata-rata mereka berasal dari pantai timur Malaysia dan selatan Thailand. Barangkali mereka telah bermastautin di bumi mekah.

Pagi itu, kami tidak menjalani amalan rutin. Pulang dari sembahyang subuh di masjidil haram, kami terus ke kantin di aras 2. Sambil menjamah sarapan pagi, kami mengumpul maklumat perjalanan ke Arafah dan Mina.

Pulang ke bilik hotel, kami melelapkan mata sebentar. Setengah jam kemudian kami menyiapkan diri untuk melakukan ibadah haji yang dinanti-nanti. Kami akan di bawa ke Arafah, mabit di Mudzalifah dan kemudian terus ke Mina.

Kami memasukkan dua helai telekung, dua helai jilbab, 2 pasang seluar panjang dan 3 pasang jubah ke dalam beg kecil yang dibekalkan oleh tabung haji. Kami masukkan juga sehelai sejadah.
Ada rakan-rakan berpesan agar membawa segulung tali dan juga penyangkut baju. Kami abaikan pesanan itu.

Kami dipesan agar menunggu di bilik hotel kerana bas akan datang mengambil pada bila-bila masa sahaja. Hari itu, hati kami gundah gulana kerana terpaksa sembahyang zohor dan Asar di bilik sahaja. Kami menunggu lagi sehingga masuk waktu maghrib. Hati berbisik kesal;

"Ya Allah..hari ini kami terlepas tiga waktu sembahyang di depan kaabah. Kami manusia lemah lagi tidak berdaya ya Rabb. Ampunilah kelemahan kami.."

Jemaah menaiki bas mengikut pasukan yang telah diagihkan. Lewat petang itu, kami yang telah berniat dalam ihram bergerak menaiki bas menuju ke Arafah. Kenderaan di jalan raya bersesak-sesak menjadikan pergerakan agak perlahan. Masing-masing membawa jemaah menuju ke arah yang satu. Rata-rata jemaah di dalam bas kami hanya duduk diam diri. Barangkali mereka bertalbiah di dalam hati.






Hambamu datang menyahut panggilanmu, Ya Allah, Hambamu datang menyahut panggilanmu


Hambamu datang menyahut panggilanmu, Tidak ada sekutu bagimu, Hambamu datang menyahut panggilanmu


Sesungguhnya segala pujian


Dan nikmat


Dan pemerintahan adalah kepunyaanmu


Tidak ada sekutu bagimu


Mahasuci Allah! Dari Mekah menuju ke Arafah pada dasarnya bukanlah suatu jarak yang jauh. Di musim umrah, ia boleh sampai dalam tempoh 45 minit. Namun, pada hari itu bas bergerak perlahan-lahan berpusing-pusing mencari tapak perkhemahan, menjadikan perjalanan kami menjadi lebih panjang.

Ada jemaah yang mula marah-marah kepada pemandu bas. Jemaah yang lain masih membisu seribu bahasa.

"Ya Allah..Ampunkan kami. Apakah dikau murka kerana kami tidak bertalbiah? Apakah mereka malu mengeluarkan suara untuk bertalbiah kerana-Mu?"

Hanya kedengaran sangat sedikit suara yang bertalbiah di dalam bas itu. Yang lain masih diam membisu.

Thursday, November 11, 2010

Sila ketuk pintu

Suasana di dalam masjilid haram semakin padat. Jemaah haji dari seluruh pelusuk dunia datang bersesak-sesak. Sebuah demi sebuah bas datang membawa jemaah memenuhi bumi Mekah. Barangkali sudah berjuta umat nabi Muhammad S.A.W yang menyahut lambaian Illahi di tanah Haram ini.

"Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhanmu) dengan berjalan kaki dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh." Surah Al-Hajj, ayat 27.

Ada yang sudah memenuhi ruang dataran di luar masjidil haram, mereka tidur bergelimpangan bersama seluruh keluarga. Berlantaikan mar-mar yang dingin dan berbumbungkan langit luas terbentang. Tiada dinding untuk berlindung, tiada pintu untuk di ketuk. Tiada apa yang mengusarkan mereka. Bukankah mereka datang kerana Allah?

"Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri dan tidak boleh membuat maksiat dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah) dan bertakwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya)." Surah Al-Baqarah, ayat 197.

Barangkali aman tenteram hati mereka berada sehampir mungkin dengan masjidil haram yang tidak putus-putus dikunjungi jemaah. Semakin dekat dengan hari wukuf, bilangan yang berkampung disekitar dataran di luar masjidil haram semakin bertambah. Ada yang qiamulai sepanjang malam, malah ramai juga yang tidur bergelimpangan di sudut-sudut tertentu di dalam masjidil haram.

"Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk" Surah Ali-Imran, ayat 97.

Subhanallah! Lalu, kami merenung diri yang selesa dengan ruang bilik hotel berserta tilam dan bantal empuk sepanjang berada di tanah haram. Pendingin udara serta bilik air yang memenuhi kelengkapan. Maka, nikmat Allah yang mana satukah hendak kami dustakan?

Namun, kerap kali semasa pulang ke bilik antara dua waktu solat, kami melompat bangun mencari pelindung apabila ada sang suami yang datang menyerbu membuka pintu mencari isteri.

Tanpa ketukan. Tanpa amaran. Tanpa salam.

"Haji...minta maaf. Ini bilik jemaah muslimah. Sila ketuk pintu terlebih dahulu.."

Monday, November 8, 2010

Menanti wukuf di Arafah

Beberapa hari lagi kami akan mengerjakan haji.

Ia bermula dengan wukuf di Arafah. Kami dijangka bertolak pada 8 Zulhijjah dan wukuf pada 9 Zulhijjah. Berkali-kali rakan jemaah yang pernah menunaikan haji berpesan;

"Waktu wukuf sangat singkat. Lebih baik makan tengahari sebelum waktu zohor kerana selepas itu kita boleh tumpukan kepada ibadat haji. Doa di waktu wukuf antara yang mustajab. Allah menjanjikan untuk mengampunkan segala dosa."

Sementara yang lain berpesan pula;

"Selepas khutbah haji.. keluarlah dari khemah. Carilah kawasan lapang dan berdoalah. Berdoalah semahu-mahunya. Bawa segala jenis buku yang mengandungi pelbagai doa jika kita tidak pandai berbahasa. Jangan hiraukan rakan sekhemah bersembang-sembang kosong ataupun berehat-rehat sahaja."

Kami tetapkan pesanan itu di dalam hati. Berjanji kepada diri untuk melakukan yang terbaik agar diterima ibadat kami dari hati yang ikhlas suci. Perasaan takut dan tidak sabar bercampur baur.

"Ya Allah ya tuhan kami, ampunkanlah segala dosa-dosa kami. Samada dosa-dosa besar, yang kecil, yang dilakukan secara terang dan tersembunyi. Dosa-dosa yang daku ketahui dan tidak diketahui. Dosa-dosa yang dilakukan oleh penglihatan, pendengaran, percakapan dan lintasan hati jahat kami.

"Ya Allah, janganlah dihukum jika kami tersalah atau terlupa. Sesungguhnya kami datang dari jauh dengan membawa dosa yang tidak tertanggung oleh kami. Kami mohon belas kasih sayang dari rahmat-Mu yang agung.

"Wahai tuhan..perkenankanlah.."

Dari Arafah, kami akan mabit di Muzdalifah bagi mengutip batu-batu. Pada 10 hingga 13 Zulhijjah kami akan bermalam di Mina untuk melakukan lontaran di ketiga-tiga jamraah. Selesai melontar kami akan berangkat ke Mekah bagi mengerjakan tawaf haji sebanyak 7 pusingan. Kemudian melakukan sa'ie dari bukit Safa ke Marwah sebanyak 7 kali berulang alik. Kami akan segera melakukan tahlul bagi membebaskan diri dari pantang larang di dalam ihram.

Jantung masih berdegup kencang. Melihat diri yang serba kekurangan. Muga Allah permudahkan segala urusan dan disudahkan dengan segala kebaikan.

Sunday, November 7, 2010

Allah mendengar..

Sebelum turun dari hotel, kami memulakan langkah dengan berdoa kepada Allah. Memohon agar perjalanan kami dipermudahkan, memohon tempat yang mustajab untuk beribadat dan memohon kekuatan serta mendapat kemanisan beibadat di rumah-Nya.

Biasanya suami yang melafazkan doa di depan pintu lif. Doa kami;

"Ya Allah yang tuhan kami, kami mahu menuju ke rumah-Mu kerana ingin melakukan ibadat semata-mata kerana-Mu. Permudahkanlah segala urusan kami ya Allah. Berikan kami ruang ibadat yang doanya mustajab dan tempatnya aman tenteram agar kami sentiasa khusyuk ketika beribadat kepada-Mu.

"Ya Allah berikanlah kami kekuatan fizikal dan mental sepanjang kami berada di rumah-Mu. Wahai tuhan, sesungguhnya kami datang ke sini semata-mata kerana-Mu. Ikhlas kerana-Mu.

Wahai tuhan perkenankanlah
..."

Kebiasaannya kami membawa botol mineral kosong untuk diisikan air zam-zam semasa di masjidil haram sebagai pembasah tekak . Air tersebut kami masukkan ke dalam beg kecil.

Suatu hari, saya membawa dua botol kosong dan mengisi kedua-duanya. Sebotol saya selitkan disisi beg dan sebotol lagi saya simpan di dalamnya.

"Kenapa bawa sampai dua botol?" suami bertanya.

"Mana tahu kalau ada mana-mana jemaah tua yang kehausan.."

Saya bercakap sambil berjalan masuk ke dalam masjidil haram.

Kami berpecah apabila sampai di dalam masjidil haram. Suami akan terus berada di dataran, tempat yang sehampir mungkin dengan kaabah. Manakala kami bertiga, beredar ke belakang dataran namun bertentangan dengan mutadzam. Beberapa meter dari tempat duduk kami terdapat sebaris paip air zam-zam.

Kami melakukan ibadat tanpa menghiraukan keadaan sekeliling. Dunia seolah-olah sepi dari hiruk pikuk manusia yang ada di masjidil haram. Apapun yang berlaku, tidak kami hiraukan. Benar, kita boleh memahami dan menikmati perasaan khusyuk ketika di masjidil haram.

Ya Allah, biar apa yang berlaku..daku hanya bersama-Mu. Sesungguhnya hanya Allah tuhanku yang satu.”

Sedang saya mengaji al-quraan, tiba-tiba sepasang jemaah barangkali dari India, melintas diantara dua saf. Jemaah lelaki separuh umur itu barangkali baharu selesai membawa ibunya bertawaf. Mereka berdiri betul-betul di hadapan saya, lalu dia terus mencapai botol air zam-zam dari sisi beg sandang. Jemaah lelaki itu bergilir-gilir meneguk air zam-zam dari botol itu bersama ibu tuanya.

Saya, Kak Mei dan Azlina terkejut dengan tindakan mereka yang diluar jangka. Barangkali tidak tertahan dahaga mereka. Sesekali tertanya di hati, tidak nampakkah yang mereka baharu sahaja melintas kawasan paip air zam-zam di dataran berdekatan.

“Haji..halal. Halal

Sambil tersenyum saya membuat isyarat tangan agar botol itu di bawa pergi. Mereka beredar ke arah tempat Sa’ie menuju ke bukit Safa. Kami teruskan ibadat. Sembahyang sunat, mengaji al-quraan dan membaca terjemahan.

Selepas saya selesai sembahyang sunat, peha saya ditepuk dari sebelah kanan. Jemaah wanita disebelah saya menunjuk ke arah perempuan tua yang duduk bersandar di tiang seri. Beliau duduk di antara lebih kurang lima atau enam orang jemaah wanita sebaris dengan saf saya.

Saya memandang ke arah perempuan tua itu. Beliau membuat isyarat dengan menunjukan mahukan minuman. Hairan. Air apa yang diminta olehnya? Bukankan paip air zam-zam terletak betul-betul berhampiran dengannya? Barangkali dia tidak perasaan sebagaimana jemaah lelaki berbangsa India separuh umur bersama ibu tuanya sebentar tadi.

Tiba-tiba saya teringat sesuatu, lalu membuka zip beg sandang. Teringat saya masih ada sebotol air zam-zam yang disimpan di dalamnya. Saya dan Azlina saling berpandangan. Sambil mengeluarkan botol air itu, perlahan saya berbisik;

“Azlina, sesungguhnya Allah maha mendengar. Bagaimana mungkin perempuan tua itu tahu ada sebotol lagi air zam-zam di dalam beg sandang ini?”

Botol air zam-zam itu saya serahkan kepada jemaah disebelah kanan. Botol itu disambut seorang demi seorang dan akhirnya sampai kepada perempuan tua itu. Lalu, terdetik dalam hati;

Barangkali perempuan tua itu tidak boleh berjalan. Ya Allah, mudah-mudahan air zam-zam itu memberi tenaga dan kesihatan yang baik kepadanya agar dia dapat beribadat kepada-Mu.”

Sebotol atau segelas air zam-zam adalah milik Allah. Dia memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dia mendengar bisikan hati.



Tuesday, November 2, 2010

Ada tempat di dataran

Kami bangun seawal 1.30 pagi dan turun menuju ke masjidil haram sekitar 2.00 pagi waktu tempatan. Alhamdulillah! Ia tidak sukar bagi kami kerana di tanah air waktu itu sekitar pukul 6.30 hingga 7 pagi , waktu kami bangun tidur di Malaysia.

Rakan sebilik kebanyakannya masih lena diperaduan. Kami bangun perlahan-lahan bergilir-gilir ke bilik air. Kami mandi dan mengambil air sembahyang. Kami berkemas diri dengan menggunakan suluhan cahaya dari pintu bilik air.

Sebelum turun, kami sembahyang sunat wuduk dan sunat tahajud 2 rakaat. Lalu, bermula lah urusan kami pada hari itu, di masjidil haram.

Suasana sepanjang perjalanan dari hotel ke masjidil haram, dingin dan nyaman. Namun, jemaah yang berulang alik ke masjidil haram masih ramai. Berduyun-duyun pergi dan datang. Suasana meriah. Dini hari bukanlah suatu alasan bagi jemaah untuk beribadat di tanah haram.

Selesai minum air zam-zam sambil berdoa supaya ia menjadi penawar kepada segala penyakit dan menyehatkan tubuh badan agar kami boleh beribadat kepada Allah. Kami terus menuju ke dataran kaabah.

Waktu dini hari seperti itu, lilitan jemaah yang mengerjakan tawaf tidak seramai berbanding di waktu siang. Saya, Kak Mie, Azlina dan suami boleh memilih mana-mana tempat di dataran kaabah. Malahan kami duduk sebaris sehampir mungkin dengan mudtazam.

Masing-masing melakukan aktiviti peribadi. Kami sembahyang sunat sebanyak mungkin. Berselang seli dengan membaca quraan atau terjemahan. Penat duduk, kami berdiri. Penat sembahyang sunat, kami berzikir. Penat berzikir, kami bermunajat. Penat melakukan ibadat. Kami duduk sahaja memandang kaabah.

Subhanallah! Merenungnya sahaja boleh mengalirkan air mata. Air mata yang datang dari hati. Hati yang penuh dengan dosa. Dosa-dosa yang besar dan kecil. Dosa-dosa yang diketahui dan tidak diketahui.Lalu, kami berdoa :

"Ya Allah yang tuhanku, nikmatnya beribadat di depan kaabah-Mu. Wahai Tuhan, berikanlah rezeki kesihatan, kewangan dan kelapangan masa untuk adik-beradik, sanak-saudara dan rakan-taulan.

"Jemputlah mereka ke rumah-Mu, agar dapat mereka merasai seperti apa yang daku rasakan.

"Wahai Tuhan, perkenankanlah.."

Kami pulang selepas subuh, bersarapan dan tidur sebentar. Pergi semula pada waktu duha dan pulang untuk makan tengahari selepas zohor. Berehat seketika dan pergi semula dua jam sebelum Asar. Kami menunggu sehingga Isyak.

Selepas Isyak, diri bagaikan ditampar. Seolah-olah kami baru tersedar dari lamunan yang panjang. Sepanjang hari di masjidil haram, kami bagaikan tidak peduli apa yang terjadi. Terpesona dengan dunia sendiri. Bagaikan di dalam vakum.

Sebelum kami merehatkan diri, seorang rakan sebilik bertanya;

"Ya Allah, kakak melihat awak bertiga keluar sejak awal pagi. Pulang sebentar dan pergi kembali. Selepas Isyak baru pulang ke bilik. Nampak keseronokan beribadat di masjidil haram. Awak semua duduk di mana?"

"Kami duduk di dataran."

"Di dataran kaabah? Adakah tempat jemaah perempuan di dataran?"

"InsyaAllah, ada tempat kita kak.. Dengan izin Allah.

"Nampak jemaah begitu ramai.."

"Esok, marilah ikut kami bersama. InsyaAllah..ada tempat untuk kita."

"Errr.. Tak apalah. Kakak duduk di tingkat 2 sahaja.."