Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Showing posts with label Atok Abah. Show all posts
Showing posts with label Atok Abah. Show all posts

Tuesday, July 28, 2009

Solat Sunat

Saya masih mencari-cari jawapan kepada persoalan yang ada di dalam kepala : Sekolah berasrama penuh atau sekolah biasa!

Ia bukan soal aliran Sains atau aliran Sastera. Tetapi dimana harus saya meneruskan persekolahan yang terbaik untuk keadaan fitrah diri. Untuk budak kampung yang tidak pernah keluar dari daerah ini. Mampukah nanti saya bersaing dengan budak-budak bandar yang celik pengetahuan? Laratkah saya bercampur dengan orang bijak pandai? Tidakkah nanti saya dilihat sebagai seorang yang jauh sekali ketinggalan?

Saya tiada sesiapa untuk bertanya.

Suatu pagi minggu, saya menziarahi Mak Wa. Keadaan rumahnya senyap sunyi sahaja. Saya mencari dari serambi hadapan hingga ke stor zink simpanan getah sekerap di dapur belakang. Di dapati Mak Wa dan Atok Abah sedang melakukan solat sunat di dalam salah sebuah bilik. Saya menunggu sehingga mereka selesai memberikan salam di tahiyyat terakhir.

Atok Abah tersenyum. Mak Wa bertanya:

"Awak sudah minum? Pergilah buka tudung saji di dapur. Ada ubi rebus dengan nyior"
Saya berjalan beriring dengan Mak Wa, sambil bertanya:
"Mak Wa solat apa pagi-pagi begini?"

"Solat sunat Dhuha. Atok Abah kata elok kita lakukan ketika masih sihat tubuh badan. Ketika Allah memberikan kelapangan sebelum sampai waktu sibuk"

"Ya, dahulu Mak Wa selalu sibuk mencari rezeki.."

"Solah sunat Dhuha memberikan perasaan kelapangan dan memurahkan rezeki"

"Adakah solat sunat yang boleh memberikan kita jawapan kepada dua pilihan?"

"Cuba awak tanyakan kepada Atok Abah"
Lalu, sambil minum kopi pekat kampung dan menjamah ubi rebus, saya bertanya beberapa soalan kepada Atok Abah. Selama ini saya jarang sekali berbincang dengan Atok Abah mengenai persoalan keagamaan walhal saya tahu bahawa Atok Abah adalah seorang imam di Masjid Kampung Paya Jakas.

Semasa kecil saya amat takut kepada Atok Abah kerana sering di kejar dengan tongkat semambu apabila didapati seharian menghilangkan diri bersama basikal tuanya. Seperti abah, Atok Abah juga mempunyai aura yang mengerunkan kepada kanak-kanak yang melihatnya. Tetapi, di hari-hari keraian, kanak-kanak sangat suka kerana sifat dermawannya.

"Awak cuba buat solat sunat Istiharah. Senang sahaja. Dua rakaat."

"Bagaimana?"

"Niat - Sahaja aku solat sunat istiharah dua rakaat tunai kerana Allah taala. Macam kita buat solat subuh. Bezanya tiada doa Qunut. Rakaat pertama, selepas surah fatihah baca surah Al-Kafirun. Rakaat kedua, selepas surah Fatihah baca surah Al-Ikhlas. Semasa sujud yang terakhir berdoalah apa yang terbuku di dalam hati. Mohon bersungguh-sungguh kepada Allah"

"Insya Allah. Saya akan cuba"

"Bagus. Cuba awak lakukan. InsyaAllah kita akan redha apa-apa jua keputusan yang Allah berikan jawapan"

"Bagaimana kita akan tahu itu adalah merupakan suatu jawapan?"

"Apabila hati kita berat ke arah salah satu pilihan.."

Thursday, January 22, 2009

Basikal Tua



Selain daripada bermain di sawah, saya amat suka bermain basikal. Ketika kecil setahu saya, ada basikal lelaki dan ada basikal untuk perempuan. Ia dapat dikenalpasti dari modelnya. Kami paling suka basikal perempuan. Ia ringan, tempat duduk depan dan belakangnya agak kecil serta tidak berpalang.

Saya mula belajar basikal ketika berumur 7 tahun. Di kampung, sepupu-sepupu tidak lokek untuk member tunjuk ajar. Masalahnya : kami sukar untuk mendapatkan basikal apatah lagi jenis basikal perempuan tersebut, jadi ia terpaksa dilakukan secara curi-curi.

Basikal yang senang untuk di curi pakai adalah basikal Atok Abah (bapa kepada abah) kerana ia pasti tersandar di bawah rumah tanpa di mangga. Waktunya adalah di antara pukul 9.00 hingga 10.00 pagi – ketika Atok Abah sedang solat Duha.

Kami sepupu-sepupu akan mengheretnya secara perlahan-lahan. Menolaknya beramai-ramai terus ke kampung Ulu Jementah menuju ke arah anak bukit berhampiran jeram. Dari atas bukit, kami akan sandarkan basikal di sebelah pokok. Lalu, bertenggek beramai-ramai.

Tuti dan Azah ditempatkan dikarier belakang. Ratna dan Aki di atas palang. Saya akan memijak kedua-dua kaki di atas pedal, sebelah tangan memegang handle dan sebelah lagi memegang palang basikal. Manakala Adib di tempat duduk dengan kedua-dua tangannya memegang handle.
Dapat bayangkan? Keadaan kami seolah-olah seperti beberapa ekor anak kera yang bergayut!

Basikal perlahan-lahan bergerak turun dari anak bukit dan burrrrrrrrrr…ia meluncur dengan lajunya. Kami akan lakukan secara berulang-ulang sehingga merasa puas.

Suatu hari, basikal tidak dapat di curi pada waktu Duha. Kami sabar menunggu sehingga waktu zohor. Ia juga tidak berjaya, sehinggalah waktu Asar. Lalu, pasukan kami mengheret beramai-ramai ke destinasi biasa. Tiba-tiba ada cadangan untuk pergi ke atas bukit yang lebih tinggi lagi.
Setuju !!

Dari atas bukit itu, basikal kami meluru laju dan mulai tidak terkawal. Saya dan Adib (sebagai teraju utama) cuba mengawal keadaan, namun gagal. Basikal itu menjunam menuju ke arah sawah, lalu kami semuanya terhumban ke dalam lumpur yang berlopak!
“He..hee..he…best! best!..he..he”

Tanpa disedari, sebelah pedal itu telah tercabut dari basikal. Puas kami mengharung lumpur, namun hingga ke senja kami tidak menjumpainya. Hampir maghrib baru kami sampai di bawah rumah Atok Abah. Tiba-tiba,” Astagfirullah..Ini dia rupanya budak-budak tu!”
Di tangan Tok Abah ada tongkat semambu!

Lalu, kami bertempiaran lari menyelamatkan diri. Basikal Atok Abah yang penuh dengan lumpur, jatuh bergelimpangan begitu sahaja. Ia tidak berakhir begitu sahaja. Pasti di rumah nanti, ada habuan lain yang sedang menunggu!

Indahnya mengingati zaman itu.

Tuesday, January 6, 2009

Lipan Bara



"Tulang ikan..tulang ikan. Allah Hu Akhbar! Bunuh dia..bunuh!

Arwah Atok Apak (bapa kepada mak) mencapai sebatang cangkul lalu membunuh spesis tersebut. Saya melihat, Atok Apak mengoyakkan hujung kaki kain pelikat lusuh yang di pakai lalu mengikat betis kakinya. Berkali-kali saya lihat, dia menyapu air liur dari mulutnya ke ibu jari kaki. Mungkin terkena sedikit gigitan lipan bara.

Sambil menyapu air liur tersebut, mulut dia terkumat-kamit membaca surah Al-Quraan.

"Pergi ambil air masak segelas".

Lalu, saya berlari ke dapur rumah kayu Atok Apak, sederas mungkin. Mencapai cerek yang hitam legam dari dapur kayu yang beralaskan tanah. Airnya masih suam.

Air tadi di baca-baca surah Al-Quraan dan di hembus-hembus. Kemudian dia menyapu sedikit di tempat gigitan dan selebihnya di minum. Entah berapa lama kemudian, saya melihat Atok Apak telah mengayuh basikal ke baruh Kampung Moring untuk pergi menoreh getah.

Seumur hidup, dia amat jarang ke hospital.