Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Monday, February 28, 2011

Sambal tumis ikan bilis 3 : Bungkusan

Beberapa kali kami ditugaskan di tempat yang sama. Setiap kali waktu makan, saya cuba bertanya soalan-soalan yang berkaitan dengan latar belakangnya. Namun, seperti biasa dia bijak mengelak. Dia tahu apa yang perlu di beritahu dan apa pula yang perlu di simpan.

Akhirnya saya mula mengalah. Mula menyedari lantas menghormati hak rahsia peribadi sesaorang. Biarlah..tiada gunanya maklumat itu bagi saya. Saya mula menerima dia seadanya. Barangkali saya bukan orang yang dipercayainya untuk dia berkongsi cerita.

Saya sudah tidak lagi mengambil kisah untuk mengetahui kisah peribadinya walaupun rakan-rakan yang berminat meminta-minta untuk saya mengorek rahsia. Saya mengambil sikap memekakkan telinga dan menutup mulut serapat-rapatnya. Sehinggalah pada suatu hari, sekolah akan mengadakan majlis "Ramah Tamah Aidil Fitri". Lily membuat suatu permintaan tehadap saya:

"Bolehkah awak temankan untuk mengambil satu barang dari kakak angkat saya?"

"Sudah tentu..InsyaAllah, boleh."

Saya bersetuju walaupun hati tertanya-tanya apakah bentuk barang itu. Saya fikir, Lily sudah menerima dan mula mempercayai saya. Petang itu, sewaktu rehat kami tidak pergi ke kantin seperti biasa. Tiada sambal tumis ikan bilis.
Saya menemani Lily pergi ke pintu pagar utama di hadapan sekolah Menengah Jementah. Seorang perempuan muda bertenggek di atas motor tersenyum memandang kami. Dia lantas menghulurkan suatu bungkusan.

"Ok Liliy..akak pergi dulu. Cubalah..entah muat entahkan tidak.."

Lily menyambut bungkusan itu. Wajahnya sedikit cemas namun dia hulurkan senyuman. Saya mengekori Lily dari belakang apabila dia bergegas pergi. Sampai di suatu sudut terlindung, Lily membuka bungkusan itu. Kami melihat bungkusan dengan hati berdebar-debar..

"Harap-harap ia muat.."

Saturday, February 26, 2011

Sambal tumis ikan bilis 2 : Sepit

"Lily Chong Siew Meng?"

"Panggil Lily.."

Kami bertentangan mata. Menghulurkan senyuman dan bersalaman apabila dia memilih untuk berdiri di sebelah saya. Tiba-tiba saya membatalkan niat untuk meletakkan jawatan.

Benar, saya terkesima dengan perwatakannya yang bersahaja. Banyak soalan yang terkumpul di kepala yang ingin diajukan kepadannya. Namun, saya simpan dahulu sehingga sesuai pada ketika dan keadaannya.

Mulai hari itu, saya mempunyai sahabat baru. Sahabat yang menambat hati tetapi penuh misteri. Barangkali misterinya tidak akan terungkai dalam masa yang singkat. Ia perlu digali peringkat demi peringkat. Saya teruja.

Suatu ketika kami ditugaskan di tempat yang sama, apabila tiba waktu rehat kami makan di meja yang sama. Seperti biasa, dia masih dengan sepit dan sambal tumis ikan bilisnya. Hati saya meronta-ronta ingin mengorek rahsia latar belakang keluarganya. Saya cuba membuka kata tetapi dari bahasa badan nyata dia tidak selesa.

"Pandai awak makan guna sepit..?"

"Dah biasa.."

"Memang di rumahpun makan pakai sepit..?"

"Ya.."

Ah! Dasar suka menjaga tepi kain orang. Saya terasa begitu, namun tidak pula saya mahu mengalah. Tidak mengapa, esok-esok barangkali misteri itu pasti terungkai jua.

Wednesday, February 23, 2011

Sambal tumis ikan bilis 1

Dari jauh saya melihat dia berjalan beriring-iringan dengan pelajar-pelajar perempuan berbangsa cina. Dari bahasa badan, nyata sekali mereka menerimanya walaupun dia kelihatan berbeza. Dia langsung tidak kekok bersama mereka.

"Budak perempuan melayu itu berkawan rapat dengan kumpulan pelajar perempuan cina?"

Kami melahirkan perasaan hairan. Benar, gaya dan tingkahlakunya benar-benar seperti anak cina. Malah dia fasih berbahasa cina bagaikan itu bahasa ibundanya.

"Barangkali dia bersekolah cina, sebab itu dia tidak terus masuk ke tingkatan satu. Kena masuk kelas peralihan."

Kami masih berteka-teki namun tidak pula mahu bertanya. Memang saya gemar menjadi pemerhati. Saya memerhatikannya hampir setiap hari. Dari mula dia turun bas hingga dia masuk ke dalam kelas. Sewaktu rehat dan semasa waktu pulang. Entah apa yang istemewa.. tetapi saya memang asyik memerhatikannya.

Sewaktu rehat, saya melihat dia langsung tidak bergaul dengan pelajar melayu. Dia sanggup pula berhimpit-himpit dengan rakan-rakan cinanya di meja makan. Dia makan menggunakan sepit samada mee kari, mee goreng atau pun nasi lemak!

Yang lebih menarik, apa juga yang dimakan semuanya dicecah sambal tumis ikan bilis. Termasuklah goreng pisang, tauhu goreng atau goreng keledek.

"Sah, dia memang budak melayu yang tidak mahu berkawan dengan orang melayu!" Kami membuat tuduhan melulu.

Suatu hari guru displin membuat ucapan di dalam perhimpunan, katanya dia telahpun membuat pemilihan pelajar-pelajar untuk dilantik sebagai pengawas sekolah. Dia meminta nama-nama pelajar yang disebut supaya naik ke pentas. Salah satunya adalah nama saya.

Saya naik ke pentas dengan perasaan berat kerana tidak mahu memegang jawatan dan tidak mahu mengalas tanggungjawab. Saya berfkir-fikir bagaimanakah cara untuk memberitahu cikgu bagi menolak jawatan itu. Tiba-tiba cikgu memanggil sebuah nama, lalu pelajar itu naik ke pentas.

"Lily Choong Siew Meng.. "

Saya terpegun. Dia adalah pelajar yang sering menarik perhatian saya.


Gambar ihsan :Blogresipi.com