Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Monday, June 28, 2010

Yang mana satu..?


Subhanallah! Ya Allah..saya terbaca surah ini.

Dan Tuhanmu menciptakan apa yang dirancangkan berlakunya dan Dialah juga yang memilih (satu-satu dari makhlukNya untuk sesuatu tugas atau keutamaan dan kemuliaan); tidaklah layak dan tidaklah berhak bagi sesiapapun memilih (selain dari pilihan Allah). Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah keadaanNya dari apa yang mereka sekutukan denganNya. [Surah Al-Qasas. Ayat 068.]

Dan ini...

Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika malaikat berkata: Wahai Mariam! Sesungguhnya Allah telah memilihmu dan mensucikanmu dan telah memilihmu (beroleh kemuliaan) melebihi perempuan-perempuan seluruh alam (yang sezaman denganmu). [Surah Ali'Imran. Ayat 042.]

Namun, hakikat sebahagian manusia biasa..

Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak Syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya).

Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua: Ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui. [Surah AlBaqarah. Ayat 102.]

Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah. Kitab Suci itulah hidayat petunjuk Allah; Allah memberi hidayat petunjuk dengan Al-Quran itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi hidayat petunjuk kepadanya. [Surah AzZumar. Ayat 023. ]
Lalu...

Dan (ingatkanlah) perihal hari orang-orang yang zalim menggigit kedua-dua tangannya (marahkan dirinya sendiri) sambil berkata: Alangkah baiknya kalau aku (di dunia dahulu) mengambil jalan yang benar bersama-sama Rasul? (27) Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si dia itu menjadi sahabat karib! (28) Sesungguhnya dia telah menyesatkan daku dari jalan peringatan (Al-Quran) setelah ia disampaikan kepadaku dan adalah Syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia (yang menjadikan dia sahabat karibnya). (29) [Al-Furqan ]

Thursday, June 24, 2010

Travelog Cinta Abadi : Di sebalik pengembaraan ini..


Alhamdulillah!

Saya sedang menyudahkah fasa-fasa terakhir Travelog Cinta Abadi : Di sebalik pengembaraan ini.. Ia merupakan kisah realiti suatu pengembaraan yang telah ditentukan ketetapannya oleh tuhan. Allah yang maha berkuasa.

Sesekala, tolehlah ke belakang melihat masa yang berlalu...[klick sini] dan [klick sini.]

Sesungguhnya Allah telah menetapkan dalam diri setiap insan suatu perjalanan dan pengembaraan yang penuh dengan suka duka, ada ranjau, ada duri dan ada yang mencuit hati. Terkadang dalam perjalanan itu kita menemui dua simpang. Lalu, simpang yang di pilih rupa-rupanya tersesat jalan. Lantas kita berpatah balik ke pangkal bagi meneruskan perjalanan yang lurus lagi betul. Pengembaraan itu perlu diteruskan.

Terkadang ketika terasa lelah, lalu berhenti sebentar di perhentian. Sambil menghirup secangkir kopi pahit tanpa gula, kita terkesima mendengar cerita orang. Oh! Begitu rupanya kisah dia..
"Terima kasih ya Allah, nasibku lebih baik berbanding dia."

Begitulah kitab yang diciptakan oleh Dia yang empunya dunia yang bakal binasa. Tiada suatu pun bakal kekal. Semuanya pasti berakhir. Kitab kita atau kitab sesiapa pun dia, tidak kira samada dia mempunyai kuasa, yang pernah mengambil nyawa, yang glamour malah yang mengemis lagi miskin hina.. adalah ketentuan-Nya. Ia bukan pilihan. Kitab itu telah termaktub sejak azali lagi, terletak di suatu tempat yang mulia bernama Lauh Mahfuz. Lalu, sebenarnya kisah kita atau kisah dia, itu adalah milik mereka yang mahu mengambil iktibar darinya. Subhanallah!


Surah Al-Alaq

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), (1) Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; (2) Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah; (3) Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan; (4) Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. (5) Ingatlah! Sesungguhnya jenis manusia tetap melampaui batas (yang sepatutnya atau yang sewajibnya), (6) Dengan sebab dia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya. (7) (Ingatlah) sesungguhnya kepada Tuhanmulah tempat kembali (untuk menerima balasan). (8)

Friday, June 18, 2010

Dia terlupa?


Barangkali dia terlupa.

Suatu masa dahulu kawannya itu beria-ia mempelawa untuk mengajar kerana simpati dengan keadaannya. Karipap biasa yang di buat olehnya tidak berapa menjadi. Kawan itu menawarkan diri untuk menunjukajar membuat karipap belang. Karipap belang yang jarang-jarang diketahui orang. Sekali pandang bagaikan kulit kuda belang. Warisan nenek moyang yang sudi di kongsi oleh kawannya.

"Senang sahaja buat karipap belang ini. Mari saya ajarkan bagaimana caranya.."

"Bolehkah saya mempelawa adik saya turut sama?"

"Tentu sekali. Silalah bawa dia bersama."

Dan kawan itu bersungguh-sungguh mempelajarinya. Gembira sekali kerana dia dan adiknya terang hati. Sebentar sahaja karipap belangnya bagaikan buatan seorang profesional. Lalu, dia berkata kepada kawan yang mengajarnya;

"Kakak saya pandai melebel dan memasarkannya. Bolehkah saya meminta dia membantu kita? Dalam lebel itu saya mahu masukkan jenama kita."

"Oh ya! Tentu sekali. Silalah jika itu dapat memasarkan karipap belang kita.."

Setahun berlalu. Tiada jualan apatah lagi hasil keuntungan dari jualan karipap belang. Kawan yang diajarnya menghilang. Tiba-tiba, suatu hari, kawan itu terdengar berita tergempar. Kisah karipap belang yang meletup di pasaran heboh diperkatakan orang di surat khabar dan dikaca TV.

Kawan itu terkedu melihat kawannya sedang di wawancara. Tambah terharu apabila mendengar kenyataan dari mulut kawan yang suatu masa dahulu pernah belajar karipap belang darinya. Kata kawan itu:

"Karipap belang ini adalah resepi peribadi. Kami adik-beradik yang bertahun-tahun membuat kajian bagi membuatnya. Maaf, ini resepi rahsia."

Barangkali dia terlupa?

"Dan apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, dia segera berdoa kepada Tuhannya dengan keadaan rujuk kembali bertaubat kepadaNya; kemudian apabila Allah memberikannya sesuatu nikmat (sebagai kurnia) daripadaNya, lupalah dia akan segala bahaya yang menyebabkannya merayu kepada Allah sebelum itu dan dia pula menjadikan sekutu-sekutu bagi Allah, untuk menyesatkan dirinya (dan orang lain) dari jalan Allah. Katakanlah (kepadanya): Bersenang-senanglah engkau dengan kekufuranmu itu bagi sementara, sesungguhnya engkau dari penduduk Neraka.

Surah AzZumar. Ayat 008.

Wednesday, June 16, 2010

Kelambu


Dahulu, kami lima beradik tidur dalam satu kelambu. Ayu dan Razif masih kecil. Mereka tidur sekelambu dengan emak dan abah.

Jika malam masih awal, dalam kelambu itu kami main pondok-pondok, main doktor-doktor atau main orang sakit. Jika lampu gasoline telah dipadamkan, kami main cerita-cerita. Cerita seram.

Semasa awal remaja, apabila rumah kami sudah mempunyai TV, dalam kelambu itulah kami bersembunyi. Tengok TV sorok-sorok di tengah malam. Kami buka TV perlahan-lahan, lalu masuk ke dalam kelambu. Sambil menyiarap, kami hanya keluarkan dua pasang mata atau kepala dari celah kelambu. Menonton Tv dalam gelap!

Jika tiba-tiba abah terjaga ..

"Siapa pulak yang tidak tutup TV tengah-tengah malam ni?"

Mendengar tapak kaki abah, kami cepat-cepat masukkan kepala dan menutup mata. Tiada siapa yang berani mengaku siapa yang punya angkara. Selalunya, cerita yang tengah kemuncak tidak sempat kami tahu apa sudahnya.

Tetapi, untuk memasang kelambu apabila baru balik dari kenduri atau dari rumah saudara mara di tengah malam hari.. kadang-kadang membawa kepada perbalahan kecil. Walaupun kelambu itu hanya ada empat penjuru, namun untuk menyangkut talinya pada paku di dinding... Malasnya bukan main! Minta ampun!

Jadi, penyelesaianya..emak menyuruh setiap seorang memasang kelambu di penjuru masing-masing [Kak Long, saya, Tuti dan Ratna]. Jika ada yang buat keras kepala pada malam itu.. Alamat penjuru bahagian kelambunya terkulai tidak berpasang sampai ke pagi!

Masih ada lagi kah kelambu hari ini?

Gambar ihsan :

http://danummurik.wordpress.com/2008/01/06/

Monday, June 14, 2010

Seberkas penyapu lidi


Semasa kami kecil, abah selalu mengajar kami adik-beradik dengan menggunakan kata bidalan, peribahasa, perumpaan dan kata-kata pujangga. Umpamanya :

"Masa itu. Emas"

Abah menggunakannya apabila kami adik-beradik bergelak-ketawa serta mengabiskan masa dengan sia-sia. Bersantai-santai tanpa melakukan sebarang perkara yang berfaedah. Lalu, di musim cuti sekolah, sewaktu terluang emak mengajar kami membuat kek, pelbagai kuih dan menjahit cross-stich. Pernah juga emak mengajar perkara asas menjahit baju kurung teluk belanga. Kain gombang melayu Johor.

Menjahit? Tidak masuk di hati saya!

Abah pernah menggunakan falsafah ini kepada kami;

"Hidup ini ibarat pusingan roda. Ingatlah kepada Allah SWT samada kita di bahagian atas atau di bahagian bawah."

Benar. Allah menjadikan setiap kejadian agar kita mengingati-Nya. Supaya kita hampir dengan-Nya. Kebiasaannya kita berkeluh-kesah, merintih sedih dan gundah gulana apabila di uji sedikit oleh yang maha kuasa. Apabila terlepas dari ungkaian kesusahan itu.. kita tidak teringat yang suatu masa dahulu kepada Allah kita pernah mengadu.

Kita percaya bahawa setiap kejadian adalah Qada dan Qadar ketentuan tuhan. Tetapi apabila ia tidak menyebelahi diri, kita menyalahkan keadaan. Menunding situ dan sini. Bukankah Allah maha mengetahui apa yang tidak kita ketahui? Kita tidak tahu apa yang akan terjadi kepada diri kita. Jangankan esok, malam ini malah sebentar lagi pun kita tidak dapat menduga apa yang bakal berlaku kepada diri kita.

Siapa yang berani angkat tangan menyatakan mereka tahu jodoh mereka, di mana berjumpa, tarikh perkahwinan dan adakah ia akan berkekalan? Siapa pula yang tahu bila akhirnya ajal kita, di bumi mana berakahirnya dan berapa ramai yang sembahyang jenazah untuk kita?

Allah yang menentukan setiap kejadian, malam dan siang. Kita adalah hamba-Nya, tiada berkuasa menentukannya. Kita sekadar merancang. Jika tidak dengan izin Allah, sebijak mana sekalipun akal manusia tidak terlaksana seperti yang di rencana. Sudah! Hentikan sahaja acara menunding jari, menyalahkan sesiapa.

Itulah yang tertulis di dalam kitab bagi setiap insan di lauh mahfuz. Termaktub sejak azali.

Abah berpesan lagi;

"Adik-beradik adalah umpana seberkas penyapu lidi. Jika kita tinggal sebatang, bila-bila sahaja kita mudah dipatahkan."

Benar kata abah. Kami tidak akan membiarkan lidi yang satu tersisih lalu patah. Tidak sekali-kali. Biar buruk seberkas lidi itu, jika bersatu ia masih di panggil penyapu.


Gambar ihsan : flickr.com

Saturday, June 12, 2010

Saat bersama

Tidak ada saat yang lebih indah berbanding saat-saat berkumpul bersama adik-beradik. Ketika musim cuti sekolah serentak dengan musim cuti semester. Terasa rumah kecil kami sesak sekali.

Namun, kami bahagia.

Dahulu, kami enam beradik saudara perempuan sering berkumpul dalam sebuah bilik. Apabila Kak Long, saya, Tuti dan Ratna meningkat remaja..An dan Ayu terkeluar dari senarai. Aroninya senang sahaja kerana mereka masih budak sekolah. Sekolah rendah.

Jika mereka meminta alasan kenapa mereka diketepikan, kami menjawab:

"Sebab awak berdua masih belum memakai baju dalam.."

Jika mereka merenggek meminta juga, kami kenakan syarat. Apa dia syaratnya?

"Bawa Razif [satu-satunya adik lelaki..bungsu] ke bilik..kami ada satu projek pelik. Tutup mata dia apabila bawa ke sini."

Biasanya Razif yang tegas tidak akan menerima cadangan kami, dia menolak mentah-mentah jika diminta oleh An dan Ayu. Namun, kerana hendak sangat mereka diterima ke dalam kumpulan remaja..An dan Ayu akan menggunakan pelbagai tektik memujuknya.

Dasar kakak-kakak kaki buli! [psst..sekali-sekala sahaja...he..hee]

Berjaya! Lalu, An dan Ayu memimpin Razif ke bilik dengan ditutup kedua matanya. Kami [saya, Tuti dan Ratna] akan menjalankan "projek pelik" dengan kadar segera. Pantas! Lima minit kemudian, Razif kami lepaskan keluar dari bilik dan dibenarkan membuka matanya. Sebentar kemudian ..kami terkekek-kekek mendengar Razif menjerit, menangis memekik-mekik.

"Aaaaargh! Emakkkkkk! Dia orang pakaikan Azif baju dalammmmm! Uwa...uwa..!"

An dan Ayu pasti jadi mangsa. Terjerit-jerit ketakutan di kejar oleh Razif sekeliling rumah. Kakak-kakak? Seperti biasa.."Satu lagi Projek pelik yang berjaya!"

Thursday, June 10, 2010

Hendak dukung?

Hampir dua puluh tahun yang lalu, Sara Fateha masih lagi merangkak ketika saya melahirkan adiknya, Azrai. Aduhai..ibu muda yang beranak rapat.

Semasa dalam pantang, Sara merangkak-rangkak mendapatkan saya di katil. Dia merengek-renggek meminta dukung. Lalu, saya ketepikan sebentar bayi kecil yang masih merah lantas memberikan perhatian kepadanya. Emak mengambilalih menjaga Azrai.

Selepas pantang, Sara masih juga belum pandai berjalan. Baru bertatih, berjalan jatuh. Perlahan-lahan saya pimpin tangannya, sementara si adik saya tolak dalam stroller. Apabila puas dan penat berjalan, dia mendongak . Mata bulatnya memandang saya. Bahasa isyaratnya mengatakan;

"Mama, Sara sudah penat.."

"Hendak dukung?" Saya bertanya. Dia faham dan membuat anggukkan.

Kelmarin, saya melihat Rafiki, 2 tahun [anak kecil Ayu dan adik Ben 10] memanjat kerusi beroda di bilik bacaan. Tempat sandar kerusi itu boleh di tolak ke hadapan dan ke belakang mengikut keselesaan. Bimbang jika kerusi itu terbalik kebelakang, Ayu memujuk anaknya agar turun.

"Rafiki, turun sayang..nanti jatuh."

Rafiki mengeleng-gelengkan kepala. Sambil berdiri, semakin kuat sandar kerusi itu ditolaknya.

"Jangan.. Jatuh nanti. Duduk. Duduk ya."

Rafiki mendengar kata. Sambil duduk, dia memandang uminya.

"Rafiki hendak dukung ya?"

Ayu bertanya. Barangkali Rafiki cemburu melihat Addin, anak bungsu Raihan [kakak atas Ayu] yang sebaya dengannya. Masih menyusu badan, berdukung dan berulit sepanjang masa dengan ibunya. Pernah suatu hari secara bergurau, Rafiki mengusik Addin yang sedang asyik menyusu:

"Dah tinggi..nenen. He..he..he"

Rafiki membuat isyarat, sedikit tersenyum dan mengangkat sebelah alis keningnya. Memohon simpati dari umi.

"Umi tidak kuat, sayang.."

"Umi ku-at. Umi si- hat..."

Patah perkataan yang masih pelat dari bibirnya. Sebentar kemudian, saya melihat mata bundarnya merenung wajah umi.

"Umi, Iki nak ukung. Nak ukung oleh?" [Umi, Rafiki hendak dukung. Hendak dukung, boleh?]

Lalu, Ayu berkesut-kesut pergi ke arah anaknya. Ayu sudah tiada upaya. Hendak bergerak pun perlahan-lahan, sesekali perlu di pimpin tangan. Bagaimana mungkin hendak mendukung anaknya?

Peluklah anak itu Ayu. Dakaplah dia ..


Wednesday, June 9, 2010

Dia kawan?

Hati-hati..Nampak ulas isi manggis yang putih bersih? Percikan getahnya kalau terkena baju, kesannya payah hendak hilang. Ia akan terpalit di situ. Ia berbekas.

Ada pepatah menyatakan :

"Kawan ketawa mudah dicari..kawan menangis? Barangkali payah sekali."

Namun, Allah menghantar seorang kawan kepada kita untuk menjadi pengajaran, menimba pengalaman dan untuk kita fikir-fikirkan. Apa pun..jangan sesekali menangis di hadapan mereka. Tahanlah perasaan itu sedaya upaya. Takut-takut, kawan yang paling baik itu nanti menjadi musuh yang paling ketat.

Kenapa begitu?

Bimbang..cerita semalan, ketika kita dalam tangisan yang sedang dilanda perasaan gundah gulana menjadi senjata ketika dia menjadi musuh kita. Musuh dalam selimut. Kita fikir dia kawan karib kita. Rupa-rupanya..kawan karib dia, bukan diri kita.

Menangislah dan mengadulah kepada Allah. Ketika kita sujud, tunduk rebah..berceritalah segala keresahan, gundah gulana..kepada Dia yang maha kuasa.

Allah tidak pernah bergosip. Malah Dia membantu kala kita buntu. Mengurai segala kusut masai. Sandarkan segalanya kepada Dia. Allah adalah rakan, teman dan kawan yang tidak pernah menikam kawan dari belakang..

Sunday, June 6, 2010

Terima kasih abah..


Suami saya terbaca di Facebook Prof Abdullah Hassan, suami puan Ainon Mohamad [Penerbit PTS Publications]. Dia menulis..

Terima kasih Abah!!! Cikgu Haji Roslan.

Sekiranya Tuan-tuan dan Puan-puan berada dalam dewan ini, tentu ramai yang menitiskan air mata mendengar Puan Roza membacakan bab terakhir Travelog Cinta Abadi.Beliau bukan saja pandai mengarang, pandai pula membacakan ceriteranya.

Saya melihat ramai yang mengesat air mata.

Terima kasih Tuan Shohaimi yang datang dengan isteri dan tiga orang tuan puteri jelitanya.

Terima kasih Prof. Muhd. Kamil.

Syabas Puan Rosa@Raudah.

Sesungguhnya inilah sebuah pelancaran buku yang berlainan sekali, sangat menghiburkan, sangat mengesankan.


Subhanallah! Ampunkan saya ya tuhan. Saya benar-benar melihat kuasa Allah. Sesungguhnya Dia maha pengasih, mengetahui apa yang berbisik di hati dan yang terbuku dalam perasaan. Malah yang tidak terlontar dengan kata-kata...

Bersaksikanlah oleh-Mu ya Allah, bahawa jika hari ini saya ditanya.."Maka nikmat mana satu kah yang mahu didustakan?"

Lalu, saya akan berkata:

"Tiada. Tiada langsung limpah kurnia nikmat-Mu yang mahu daku dustakan ya Allah. Ia terbentang di depan mata.. Malah, nikmat-Mu melimpah ruah, tidak tertulis oleh mata pena"

Wednesday, June 2, 2010

Ros..


Ketika kecil dahulu, apabila ada orang bertanya bunga apa yang paling saya suka. Saya katakan :

"Saya suka bunga ros.."

"Ros apa?"

"Ros...Lan!"

Ketika zaman remaja, saya gemar menggunakan nama samaran. Asalnya nama samaran saya adalah Raudhah D' Raudzah. Tetapi, perasaan hati menyatakan bunyinya tidak sedap. Tidak komersial. Tidak glamour. Lalu, saya tukar kepada Roda D' Roza. Atau Rozz.

Ketika di universiti, saya singkatkan panggilan nama samaran sebagai Roza. Ia berterusan sehingga saya bekerja. Namun, ketika di luar negara..mereka memanggil nama abah sebagai panggilan untuk saya;

"Miss Roslan.."

Lalu, jika ditanya apakah makna "Roslan" itu.. Saya katakan kepada mereka, ia adalah "a land of roses" atau "rose's land". Ada logiknya, barangkali begitu.

Dan, hingga kini saya masih lagi tidak tahu apakah judul lagu untuk senikata di bawah ini. Ia adalah nyanyian saudara Sohaimi Mior Hassan.

Ros,


Maka di sini aku terlantar kesakitan,

Sampai bila aku mampu menahan,

Tubuhku lesu,

Terkulai layu,

Kerinduan...

Gambar ihsan blog:http://markonahjambu.blogspot.com/2010/05/travelog-cinta-abadi-masa-yang-berlalu.html