|  Hambamu datang menyahut panggilanmu, Ya Allah, Hambamu datang menyahut panggilanmu
 Hambamu datang menyahut panggilanmu, Tidak ada sekutu bagimu, Hambamu datang menyahut panggilanmu
 Sesungguhnya segala pujian
 Dan nikmat
 Dan pemerintahan adalah kepunyaanmu
 Tidak ada sekutu bagimu
Mahasuci Allah! Dari Mekah menuju ke Arafah pada dasarnya bukanlah suatu jarak yang jauh. Di musim umrah, ia boleh sampai dalam tempoh 45 minit. Namun, pada hari itu bas bergerak perlahan-lahan berpusing-pusing mencari tapak perkhemahan, menjadikan perjalanan kami menjadi lebih panjang.
Ada jemaah yang mula marah-marah kepada pemandu bas. Jemaah yang lain masih membisu seribu bahasa.
"Ya Allah..Ampunkan kami. Apakah dikau murka kerana kami tidak bertalbiah? Apakah mereka malu mengeluarkan suara untuk bertalbiah kerana-Mu?"
Hanya kedengaran sangat sedikit suara yang bertalbiah di dalam bas itu. Yang lain masih diam membisu.
Suasana di dalam masjilid haram semakin padat. Jemaah haji dari seluruh pelusuk dunia datang bersesak-sesak. Sebuah demi sebuah bas datang membawa jemaah memenuhi bumi Mekah. Barangkali sudah berjuta umat nabi Muhammad S.A.W yang menyahut lambaian Illahi di tanah Haram ini.
"Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhanmu) dengan berjalan kaki dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh." Surah Al-Hajj, ayat 27.
Ada yang sudah memenuhi ruang dataran di luar masjidil haram, mereka tidur bergelimpangan bersama seluruh keluarga. Berlantaikan mar-mar yang dingin dan berbumbungkan langit luas terbentang. Tiada dinding untuk berlindung, tiada pintu untuk di ketuk. Tiada apa yang mengusarkan mereka. Bukankah mereka datang kerana Allah?
"Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri dan tidak boleh membuat maksiat dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah) dan bertakwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya)." Surah Al-Baqarah, ayat 197.
Barangkali aman tenteram hati mereka berada sehampir mungkin dengan masjidil haram yang tidak putus-putus dikunjungi jemaah. Semakin dekat dengan hari wukuf, bilangan yang berkampung disekitar dataran di luar masjidil haram semakin bertambah. Ada yang qiamulai sepanjang malam, malah ramai juga yang tidur bergelimpangan di sudut-sudut tertentu di dalam masjidil haram.
"Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk" Surah Ali-Imran, ayat 97. Subhanallah! Lalu, kami merenung diri yang selesa dengan ruang bilik hotel berserta tilam dan bantal empuk sepanjang berada di tanah haram. Pendingin udara serta bilik air yang memenuhi kelengkapan. Maka, nikmat Allah yang mana satukah hendak kami dustakan? Namun, kerap kali semasa pulang ke bilik antara dua waktu solat, kami melompat bangun mencari pelindung apabila ada sang suami yang datang menyerbu membuka pintu mencari isteri. Tanpa ketukan. Tanpa amaran. Tanpa salam. "Haji...minta maaf. Ini bilik jemaah muslimah. Sila ketuk pintu terlebih dahulu.."
 Beberapa hari lagi kami akan mengerjakan haji. Ia bermula dengan wukuf di Arafah. Kami dijangka bertolak pada 8 Zulhijjah dan wukuf pada 9 Zulhijjah. Berkali-kali rakan jemaah yang pernah menunaikan haji berpesan; "Waktu wukuf sangat singkat. Lebih baik makan tengahari sebelum waktu zohor kerana selepas itu kita boleh tumpukan kepada ibadat haji. Doa di waktu wukuf antara yang mustajab. Allah menjanjikan untuk mengampunkan segala dosa." Sementara yang lain berpesan pula; "Selepas khutbah haji.. keluarlah dari khemah. Carilah kawasan lapang dan berdoalah. Berdoalah semahu-mahunya. Bawa segala jenis buku yang mengandungi pelbagai doa jika kita tidak pandai berbahasa. Jangan hiraukan rakan sekhemah bersembang-sembang kosong ataupun berehat-rehat sahaja." Kami tetapkan pesanan itu di dalam hati. Berjanji kepada diri untuk melakukan yang terbaik agar diterima ibadat kami dari hati yang ikhlas suci. Perasaan takut dan tidak sabar bercampur baur. "Ya Allah ya tuhan kami, ampunkanlah segala dosa-dosa kami. Samada dosa-dosa besar, yang kecil, yang dilakukan secara terang dan tersembunyi. Dosa-dosa yang daku ketahui dan tidak diketahui. Dosa-dosa yang dilakukan oleh penglihatan, pendengaran, percakapan dan lintasan hati jahat kami.
"Ya Allah, janganlah dihukum jika kami tersalah atau terlupa. Sesungguhnya kami datang dari jauh dengan membawa dosa yang tidak tertanggung oleh kami. Kami mohon belas kasih sayang dari rahmat-Mu yang agung.
"Wahai tuhan..perkenankanlah.." Dari Arafah, kami akan mabit di Muzdalifah bagi mengutip batu-batu. Pada 10 hingga 13 Zulhijjah kami akan bermalam di Mina untuk melakukan lontaran di ketiga-tiga jamraah. Selesai melontar kami akan berangkat ke Mekah bagi mengerjakan tawaf haji sebanyak 7 pusingan. Kemudian melakukan sa'ie dari bukit Safa ke Marwah sebanyak 7 kali berulang alik. Kami akan segera melakukan tahlul bagi membebaskan diri dari pantang larang di dalam ihram. Jantung masih berdegup kencang. Melihat diri yang serba kekurangan. Muga Allah permudahkan segala urusan dan disudahkan dengan segala kebaikan.
 Sebelum turun dari hotel, kami memulakan langkah dengan berdoa kepada Allah. Memohon agar perjalanan kami dipermudahkan, memohon tempat yang mustajab untuk beribadat dan memohon kekuatan serta mendapat kemanisan beibadat di rumah-Nya. Biasanya suami yang melafazkan doa di depan pintu lif. Doa kami; " Ya Allah yang tuhan kami, kami mahu menuju ke rumah-Mu kerana ingin melakukan ibadat semata-mata kerana-Mu. Permudahkanlah segala urusan kami ya Allah. Berikan kami ruang ibadat yang doanya mustajab dan tempatnya aman tenteram agar kami sentiasa khusyuk ketika beribadat kepada-Mu. "Ya Allah berikanlah kami kekuatan fizikal dan mental sepanjang kami berada di rumah-Mu. Wahai tuhan, sesungguhnya kami datang ke sini semata-mata kerana-Mu. Ikhlas kerana-Mu.
Wahai tuhan perkenankanlah..." Kebiasaannya kami membawa botol mineral kosong untuk diisikan air zam-zam semasa di masjidil haram sebagai pembasah tekak . Air tersebut kami masukkan ke dalam beg kecil. Suatu hari, saya membawa dua botol kosong dan mengisi kedua-duanya. Sebotol saya selitkan disisi beg dan sebotol lagi saya simpan di dalamnya. " Kenapa bawa sampai dua botol?" suami bertanya. " Mana tahu kalau ada mana-mana jemaah tua yang kehausan.." Saya bercakap sambil berjalan masuk ke dalam masjidil haram. Kami berpecah apabila sampai di dalam masjidil haram. Suami akan terus berada di dataran, tempat yang sehampir mungkin dengan kaabah. Manakala kami bertiga, beredar ke belakang dataran namun bertentangan dengan mutadzam. Beberapa meter dari tempat duduk kami terdapat sebaris paip air zam-zam. Kami melakukan ibadat tanpa menghiraukan keadaan sekeliling. Dunia seolah-olah sepi dari hiruk pikuk manusia yang ada di masjidil haram. Apapun yang berlaku, tidak kami hiraukan. Benar, kita boleh memahami dan menikmati perasaan khusyuk ketika di masjidil haram. “ Ya Allah, biar apa yang berlaku..daku hanya bersama-Mu. Sesungguhnya hanya Allah tuhanku yang satu.” Sedang saya mengaji al-quraan, tiba-tiba sepasang jemaah barangkali dari India, melintas diantara dua saf. Jemaah lelaki separuh umur itu barangkali baharu selesai membawa ibunya bertawaf. Mereka berdiri betul-betul di hadapan saya, lalu dia terus mencapai botol air zam-zam dari sisi beg sandang. Jemaah lelaki itu bergilir-gilir meneguk air zam-zam dari botol itu bersama ibu tuanya. Saya, Kak Mei dan Azlina terkejut dengan tindakan mereka yang diluar jangka. Barangkali tidak tertahan dahaga mereka. Sesekali tertanya di hati, tidak nampakkah yang mereka baharu sahaja melintas kawasan paip air zam-zam di dataran berdekatan. “Haji..halal. Halal” Sambil tersenyum saya membuat isyarat tangan agar botol itu di bawa pergi. Mereka beredar ke arah tempat Sa’ie menuju ke bukit Safa. Kami teruskan ibadat. Sembahyang sunat, mengaji al-quraan dan membaca terjemahan. Selepas saya selesai sembahyang sunat, peha saya ditepuk dari sebelah kanan. Jemaah wanita disebelah saya menunjuk ke arah perempuan tua yang duduk bersandar di tiang seri. Beliau duduk di antara lebih kurang lima atau enam orang jemaah wanita sebaris dengan saf saya. Saya memandang ke arah perempuan tua itu. Beliau membuat isyarat dengan menunjukan mahukan minuman. Hairan. Air apa yang diminta olehnya? Bukankan paip air zam-zam terletak betul-betul berhampiran dengannya? Barangkali dia tidak perasaan sebagaimana jemaah lelaki berbangsa India separuh umur bersama ibu tuanya sebentar tadi. Tiba-tiba saya teringat sesuatu, lalu membuka zip beg sandang. Teringat saya masih ada sebotol air zam-zam yang disimpan di dalamnya. Saya dan Azlina saling berpandangan. Sambil mengeluarkan botol air itu, perlahan saya berbisik; “Azlina, sesungguhnya Allah maha mendengar. Bagaimana mungkin perempuan tua itu tahu ada sebotol lagi air zam-zam di dalam beg sandang ini?”Botol air zam-zam itu saya serahkan kepada jemaah disebelah kanan. Botol itu disambut seorang demi seorang dan akhirnya sampai kepada perempuan tua itu. Lalu, terdetik dalam hati; “ Barangkali perempuan tua itu tidak boleh berjalan. Ya Allah, mudah-mudahan air zam-zam itu memberi tenaga dan kesihatan yang baik kepadanya agar dia dapat beribadat kepada-Mu.”
Sebotol atau segelas air zam-zam adalah milik Allah. Dia memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dia mendengar bisikan hati.
 Kami bangun seawal 1.30 pagi dan turun menuju ke masjidil haram sekitar 2.00 pagi waktu tempatan. Alhamdulillah! Ia tidak sukar bagi kami kerana di tanah air waktu itu sekitar pukul 6.30 hingga 7 pagi , waktu kami bangun tidur di Malaysia. Rakan sebilik kebanyakannya masih lena diperaduan. Kami bangun perlahan-lahan bergilir-gilir ke bilik air. Kami mandi dan mengambil air sembahyang. Kami berkemas diri dengan menggunakan suluhan cahaya dari pintu bilik air. Sebelum turun, kami sembahyang sunat wuduk dan sunat tahajud 2 rakaat. Lalu, bermula lah urusan kami pada hari itu, di masjidil haram. Suasana sepanjang perjalanan dari hotel ke masjidil haram, dingin dan nyaman. Namun, jemaah yang berulang alik ke masjidil haram masih ramai. Berduyun-duyun pergi dan datang. Suasana meriah. Dini hari bukanlah suatu alasan bagi jemaah untuk beribadat di tanah haram. Selesai minum air zam-zam sambil berdoa supaya ia menjadi penawar kepada segala penyakit dan menyehatkan tubuh badan agar kami boleh beribadat kepada Allah. Kami terus menuju ke dataran kaabah. Waktu dini hari seperti itu, lilitan jemaah yang mengerjakan tawaf tidak seramai berbanding di waktu siang. Saya, Kak Mie, Azlina dan suami boleh memilih mana-mana tempat di dataran kaabah. Malahan kami duduk sebaris sehampir mungkin dengan mudtazam. Masing-masing melakukan aktiviti peribadi. Kami sembahyang sunat sebanyak mungkin. Berselang seli dengan membaca quraan atau terjemahan. Penat duduk, kami berdiri. Penat sembahyang sunat, kami berzikir. Penat berzikir, kami bermunajat. Penat melakukan ibadat. Kami duduk sahaja memandang kaabah. Subhanallah! Merenungnya sahaja boleh mengalirkan air mata. Air mata yang datang dari hati. Hati yang penuh dengan dosa. Dosa-dosa yang besar dan kecil. Dosa-dosa yang diketahui dan tidak diketahui.Lalu, kami berdoa : "Ya Allah yang tuhanku, nikmatnya beribadat di depan kaabah-Mu. Wahai Tuhan, berikanlah rezeki kesihatan, kewangan dan kelapangan masa untuk adik-beradik, sanak-saudara dan rakan-taulan.
"Jemputlah mereka ke rumah-Mu, agar dapat mereka merasai seperti apa yang daku rasakan.
"Wahai Tuhan, perkenankanlah.."
Kami pulang selepas subuh, bersarapan dan tidur sebentar. Pergi semula pada waktu duha dan pulang untuk makan tengahari selepas zohor. Berehat seketika dan pergi semula dua jam sebelum Asar. Kami menunggu sehingga Isyak.
Selepas Isyak, diri bagaikan ditampar. Seolah-olah kami baru tersedar dari lamunan yang panjang. Sepanjang hari di masjidil haram, kami bagaikan tidak peduli apa yang terjadi. Terpesona dengan dunia sendiri. Bagaikan di dalam vakum. Sebelum kami merehatkan diri, seorang rakan sebilik bertanya; "Ya Allah, kakak melihat awak bertiga keluar sejak awal pagi. Pulang sebentar dan pergi kembali. Selepas Isyak baru pulang ke bilik. Nampak keseronokan beribadat di masjidil haram. Awak semua duduk di mana?"
"Kami duduk di dataran."
"Di dataran kaabah? Adakah tempat jemaah perempuan di dataran?"
"InsyaAllah, ada tempat kita kak.. Dengan izin Allah.
"Nampak jemaah begitu ramai.."
"Esok, marilah ikut kami bersama. InsyaAllah..ada tempat untuk kita."
"Errr.. Tak apalah. Kakak duduk di tingkat 2 sahaja.."
Sepanjang berada di tanah suci, hati kami sentiasa berdebar-debar. Sering dipalu dengan ketakutan. Takut dengan kemurkaan Allah. Kami berdoa belum melangkah dari hotel ke masjidil haram, ke Arafah, Ke Mina dan walau ke mana-mana kami pergi. Doa semuga Allah memelihara mata, telinga dan mulut. Malah yang paling ditakuti adalah bisikan jahat hati kami. Barangkali kita boleh menundukkan pandangan mata, kita boleh pekakkan telinga dan tutup mulut serapat mungkin untuk tidak memberi sebarang komen. Terutamanya ketika berada di dalam bilik penginapan.
Namun, siapakah yang berani memberi jaminan yang bisikan hati jahat kita boleh dikawal? Ia sentiasa berkata-kata walaupun kita melelapkan mata, memekakkan telinga dan membisu seribu bahasa. “Ya Allah..panjang lagi senarai barang yang belum dibeli. Baru dapat 10 barang..” Seorang rakan sebilik baring terlentang, sambil meletakkan tangan kanan di atas dahi. Tangan kirinya memegang senarai panjang nama-nama sanak saudara, cucu cicit dan rakan-taulan yang menyumbang sebelum mereka berangkat ke tanah suci bagi menunaikan fardu haji. Telinga cepat menangkap. Sekilas mata menjeling, hati terus berkata.
“Ya Allah, bukankah kita ke tanah suci untuk beribadat? Mengapa dibebankan dengan urusan yang tidak penting. Barangkali orang yang menyumbang tidak mengharapkan apa-apa balasan.”
Sedetik kemudian perasaan menyesal menyapa, lantas segera memohon keampunan dari yang maha kuasa; “Astagfirullah..apalah yang disibukkan dengan urusan orang?” Jahat betul lintasan hati yang menzahirkan pandangan tanpa suara, tanpa didengar oleh sesiapa. Betapa berat mata memandang, barangkali begitu berat juga bahu yang memikul. Lalu, saya mula bernekad di dalam hati, berjanji kepada diri tidak mahu lagi mencemuh tindakan orang lain. Bukankah cemuhan, mengata mengeji itu sifat buruk yang tidak sepatutnya ada dalam diri seorang islam?
Sia-sia sahaja saya berdoa untuk hidup sebagai seorang islam, menjalankan kehidupan sebagai seorang islam. Namun, perkara sekecil itupun saya tidak dapat mengelaknya. Sedarlah saya betapa lemahnya diri ini, setiap saat perlukan perlindungan illahi.
Hati akan berkata-kata walaupun di mana-mana kita berada. Malahan ketika mahu beribadat menghadap Allah di depan kaabah. Ada sahaja kilasan hati jahat yang melintas. “Allah ya Allah..astagfirullah..astagfirullah..astagfirullah.” Cepat-cepat saya memohon keampunan Allah. Memenuhkan ruang hati dengan memohon keampunannya. Agar hati tidak sibuk lagi untuk mengata-ngata. Di masa yang lain jika terpandang atau terdengar sesuatu yang tidak kena, cepat-cepat doakan mereka.
“Ya Allah ya tuhanku, permudahkanlah urusan mereka. Amankan mereka. Sesungguhnya hamba-Mu datang datang dari jauh ke rumah-Mu semata-mata kerana menyahut seruan-Mu. Sesungguhnya mereka berada di dalam masjidil haram ini, kerana mahu beribadat kerana –Mu.”
Bagaikan tidak percaya kadang-kadang jemaah bertengkar di hadapan kaabah. Semuanya angkara sikap jemaah yang datang untuk beribadat kepada Allah tetapi tidak beradab. Ada antara mereka yang datang kemudian dan suka duduk di antara dua saf, lalu menghalang jemaah lain yang sedang sujud sembahyang.
Mengapa kita perlu marah-marah di rumah Allah? Tidak takutkah kita berbuat onar dimuka bumi kepunyaan Allah? Tidak gentarkah kita dengan kekuasaan dan kemurkaan Allah yang maha kuasa?
Benar Allah berfirman dalam al-quraan; Hampir sahaja langit itu pecah dari sebelah atasnya dan para malaikat bertasbih dengan memuji Rab (Tuhan) mereka dan memohonkan keampunan bagi orang yang di bumi. Ingatlah, sesungguhnya Allah, Dia adalah al-Ghafur (Maha Pengampun), lagi al-Rahim (Maha Mengasihani). Surah Asy-Syurah, ayat 5.
Subhanallah! Sedangkan malaikat yang taat dan hanya bertasbih memuji tuhannya, mendoakan serta memohon keampunan Allah bagi penduduk di dunia. Alangkah angkuhnya kita sebagai manusia jika tidak mendoakan sesama kita. Doakan untuk mereka. Doakan yang terbaik untuk mereka.
Semasa di Mekah, kami tidur seawal jam 9.00 malam. Ia saranan yang amat bermakna agar kami dapat bangun malam bagi melakukan qiamulai di masjidil haram.
"Tidur awal dan tidak perlulah berbual-bual. Niat dan mohon kepada Allah untuk dikejutkan bangun malam."
Alhamdulillah! Apabila terjaga, benar..jam menunjukkan pukul 1.30 pagi. Lalu, kami segera bangun. Mengambil giliran mandi, mengambil air sembahyang dan bersiap sedia untuk qiamulai di masjidil haram.
Sementara menunggu Kak Mie dan Azlina bersiap, saya lakukan sembahyang sunat tahajud. Sebelum turun dari hotel, kami pastikan tiada anak rambut terkeluar dari celah telekung. Kami pastikan bersarung tangan hingga ke pergelangan tangan. Dan kami pastikan kaki bersetokin. Apabila melihat diri dicermin, pakaian kami hanya menampakkan muka dan ke dua tapak tangan.
"Jaga aurat... " Itulah pesanan ustazah sejak dari sekolah rendah. Lalu ustazah membacakan sebaris ayat;
"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah Al-Ahzab : Ayat 59)[4]
Namun, kami benar-benar mahu memahami maknanya apabila mendapat jemputan istemewa dari Allah ke rumah-Nya. Kami berjumpa ayat ini ;
"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada
suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." (Surah An Nur : Ayat 31)[3]
Di tanah suci, kami melihat ramai jemaah wanita yang benar-benar mengambil berat tentang aurat. Telekung labuh melepasi dada, bersarung tangan hingga ke pergelangan lengan dan bersetokin hampir setiap masa. Selama 46 hari sepanjang berada di tanah suci, itulah pakaian mereka.
"Ya Allah, apakah pulang ke tanah air nanti kami mahu kembali menjadi seperti dahulu? Apakah kami rela aurat diperaga seperti dahulu? Apakah ucapan taubat itu hanya semata-mata untuk ke rumah-Mu?"
"Wahai tuhanku..jangan biarkan kami mengalah lantas berpatah balik ke belakang. Jadikan ibadat ini sebagai sempadan. Jadikanlah pakaian ini membawa kebaikan.
"Ya Allah ya tuhanku.. Sesungguhnya inilah pakaianku sebagaimana yang disarankan oleh kitab-Mu. Jadikanlah ia sebagai tanda daku mensyukuri nikmat kurniaan-Mu."
"Wahai zat yang diriku didalam genggaman-Nya. Terimalah taubatku..tingkatkan makamku disisi-Mu.."
Aurat? Apakah ia tidak memberi kesan setelah pulang?
Semasa menunaikan haji di tanah suci, ramai ustaz dan uztazah berpesan agar para jemaah menjaga mata, telinga dan lidah. Akal singkat saya memikirkan barangkali kerana keadaan cuaca di sana menyebabkan penyakit mudah terkena bahagian deria tersebut. Rupa-rupanya, ketiga-tiga deria itu perlu dijaga seawal di kompleks Kelana Jaya lagi. Bagaimana mata tidak memandang lantas terdengar suara sumbang lalu bagaikan mahu menjawabnya dengan lidah. Ia terjadi apabila terdapat beberapa jemaah yang cuba memotong barisan. Pegawai bertugas cuba menenangkan keadaan. " Assalamulaikum Haji..sila masuk barisan. InsyaAllah, semua dapat tempat."
Perkara seperti itu berulang lagi dimana-mana. Di lapangan Jedah, di Mudzalifah, di Arafah, di Mina dan di Madinah. Kesimpulannya..ia boleh berlaku dimana-mana di depan mata. Semasa tiba di Mekah, kami ditempatkan seramai sembilan orang sebilik dengan latar belakang yang berbeza. Bayangkan keadaan bilik apabila semuanya berkumpul. Bayangkan jika ada diantaranya yang mahu berkongsi kegembiraan apabila pulang dengan membawa barang belian. Bayangkan apabila mereka mula bercerita. Bayangkan, bayangkan dan bayangkan.
Di masjidil haram, terdapat ribuan manusia dari berbagai mazhab dan bangsa, pasti berbagai ragamnya.
Semasa di Arafah dan di Mina kami dikumpulkan hampir 40-50 orang jemaah dalam satu khemah. Ruang setiap jemaah hanyalah sebesar tikar sejadah. Di situlah tempat sembahyang, tempat makan dan tidur. "Ya Allah ya tuhanku, lindungi penglihatan kami, pendengaran dan lidah kami agar tidak terpandang perkara yang buruk. Agar tidak terdengar cerita yang buruk. Agar tidak menzahirkan ucapan yang buruk.
"Ya Allah, peliharalah mata kami, pendengaran kami dan lidah kami. Lebih-lebih lagi jagalah hati kami. Jangan sampai ia mengata-ngata di dalam hati."
Lalu, jika mata terlihat sesuatu yang tidak mahu dilihat dan bimbang jika ia turun ke hati, seorang ustazah berpesan.. "Tundukkan pandangan. Segera lah capai dan membaca al-quraan. Atau berzikir. Ketika di masjidil haram, kenapa mahu memerhatikan orang? Sembahyang sunat sebanyak-banyaknya. Bukankah kita ke tanah suci kerana mahu beribadat kepada Allah?" Ustazah berpesan lagi; "Seboleh mungkin jangan berbicara tentang perkara yang sia-sia. Bawa al-quraan kecil setiap masa. Bacalah walau dimana-mana. Ketika di masjid, di dalam bilik, di dalam bas mahupun khemah." Akhir sekali ustazah berpesan; "Paling mudah..berzikirlah. Biar lidah kita sentiasa basah menyebut dan memuji-muji Allah. Biar zikir itu didengar memenuhi gegendang telinga dan bergema-gema dalam dada. Biar zikir menjadi pakaian kita.." Lalu, saya panjatkan doa. Subhanallah! Wahai zat yang diriku dalam genggaman-Nya. Jadikan lidah dan hatiku sentiasa berzikir memuji kekuasaan-Mu, keesaan-Mu dan kasih sayang-Mu.. Biar bangkitku dari tidur dalam keadaan menyebut nama-Mu wahai tuhanku yang satu.
Kami terpanggil untuk berkongsi tips-tips yang disampaikan oleh sanak- saudara dan rakan-taulan sebelum menunaikan fardu haji ke tanah suci pada tahun 2006. Yang lebih mahu dikongsikan lagi adalah tips-tips melalui pengalaman peribadi. Pengalaman sendiri. Ia lebih mudah dijelaskan kerana itulah yang kami lalui. Kami tidak tahu apa yang dilalui oleh jemaah yang lain, walaupun kami pergi menunaikan haji dalam musim yang sama. Bernafas dan memijak kaki di bumi yang sama. Jangankan jemaah dari maktab lain, pengalaman rakan sebilik juga pasti berbeza. Barangkali, jika kita berdiri di tempat yang sama, dalam waktu yang sama dan melihat kejadian yang sama. Anaslisa malah telahan kita dijadikan Allah menzahirkan sesuatu yang berbeza. Begitulah ajiaibnya kejadian Allah S.W.T Selama 45 hari berada di sana, kami membaca, kami memerihati, kami menganalisa dan akhirnya mencanaikan setiap kejadian sebagai ilmu Allah. Setiap hari kami belajar sesuatu, namun ada perkara lain pula yang kami tidak tahu. Begitulah kejadian manusia, setiap hari Allah ciptakan peristiwa yang berbeza. Apa yang mahu kami sampaikan adalah suatu perkongsian ilmu. Yang baik itu datang dari-Nya, yang tidak elok itu pilihan manusia agar ia menjadi iktibar kepada semua yang mahu mengambil iktibar darinya. Kami mahu sampaikan apa yang ada dalam dada. Pandanglah alam ini..pandanglah dengan pandangan mata hati.
|