
Katalog ARGOS telah hancur saya belek. Setiap helaian yang diselak pasti akan terhenti di situ untuk beberapa waktu. Ia disertai dengan angan-angan yang panjang. Apatah lagi semasa melihat set hidangan di rumah kawan ketika jemputan hari natal.
Impian keduniaan merawang-rawang di benak fikiran saya!
Melampaunya angan-angan itu kerana ia menganggu kekhusyukan sehingga dalam sembahyang. Menjadi igauan ketika tidur malam. Bermain-main dalam mimpi. Benarlah, harta perhiasaan dunia itu adalah khayalan dan mainan yang digemari oleh syaitan.
Namun, saya tidak dapat mengungkaikan diri darinya! Ia mencengkam malah terbenam di dalam hati. Tertusuk malah terperesuk di dalam jiwa.
“Yang, saya mesti dapatkan set hidangan jenama Queen Anne. Saya mahukan bekas yang boleh dipanaskan, bersumbu di bawahnya”
“Di Malaysia tidak ada?”
“Kak Ida kata ada, tetapi harganya mahal melampau! Berganda-ganda! Boleh?”
Akhirnya suami akur dengan kemahuan saya. Setiap bulan wang gaji dikumpulkan semata-mata ingin mendapatkan barangan idaman. Setiap paun sterling yang disimpan akan dikira berkali-kali sehingga ia benar-benar mencukupi. Apabila sampai masanya saya menyuarakan kepada suami;
“Yang, duit saya sudah mencukupi”
“Okey, awak tahu dimanakah orang-orang Malaysia berbelanja untuk barang-barang seperti yang awak mahukan?”
“ARGOS!”
Saya menjawab dengan pantas.
“Tidak. Kasut jenama Clarks terdapat di Blackburn. Pinggan mangkuk di Stock–On-Trend. Silverware seperti yang awak mahukan itu terdapat di BonnyPack, Glassgow”
Terlopong mulut mendengarnya. Tidak diduga rupa-rupanya suami lebih berpengetahuan daripada saya.
“Hari Isnin minggu hadapan adalah Bank Holiday [cuti]. Jom kita ke BonnyPack”
Malam itu saya tidur sambil tersenyum lebar sehingga terbawa-bawa ke dalam mimpi. Sukar mengambarkan bagaimana riang rianya diri apabila tercapai hajat di hati.
Di tempat saya bekerja, terdapat banyak perkataan bahasa tempatan yang saya pelajari antaranya adalah “wee sacks”. “Wee” bermakna kecil. “Broli” mengantikan “umbrella” untuk payung. “Bonnie” bermaksud cantik. Jadi “Bonnie packs” bermaksud peg barangan yang cantik.
Dari Dundee ke Glassgow memakan masa hampir satu setengah jam. Kerana terlalu seronok, perjalanan yang panjang tidak begitu terasa.
Petang itu di BonnyPack saya menyorong troli yang penuh berisi. Hajat utama untuk membeli silverware jenama Queen Anne, namun apabila ternampak bekas kaserol jenama PYREX tidak disedari saya memasukkannya ke dalam troli. Dan lagi..dan lagi..dan lagi.
Masallah! Lima ratus pound sterling yang di bawa hanya berbaki beberapa keping nota sahaja. Namun, hati belum lagi puas dan puas. Bisikan iblis terus sahaja berbisik dan berbisik.
“Masih banyak lagi barangan keperluan yang perlu di beli. Corning Ware, periuk kuali tidak melekat, itu dan ini dan sana dan sini…Tidak belikan satu untuk kaum keluarga di Malaysia?”
Bisikan syaitan secara halus dan berkesan.
“Ah! Daku berlinding diri kepada Allah dari gangguan syaitan yang di rejam!”
Lalu, syaitan bagaikan lari lintang pukang. Namun, hanya untuk seketika.
Suatu hari bisikan syaitan kembali menghantui ketika saya sedang bekerja di hujung minggu. Syaitan menarik tumpuan saya melirik ke arah beg tangan, kasut dan pakaian yang dipakai oleh pelanggan. Sehingga hati menjadi berkenan:
“Wah, cantiknya beg yang disandang. Saya mesti dapatkan beg jenama BALLY seperti itu. Pasti orang tahu yang itu jenama mahal dan terkenal. Di Malaysia, tidak ramai yang mampu memakainya”
Begitulah, saban hari saya dirasuk oleh nafsu ciptaan sendiri. Membiarkan syaitan dan iblis berbisik-bisik menampakkan cantik perhiasaan dunia. Membenarkan hati membina riyak dalam dada.
Ya Allah! Saya menjadi hamba yang hina kerana mahu memenuhi runtunan nafsu kebendaan dan perhiasan dunia! Yang pasti, budak kampung ini, suatu masa dahulu cukup sekadar berpuas hati dengan apa yang abah dan emak belikan, kini menjadi perempuan kebendaan!