Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Showing posts with label Abah. Show all posts
Showing posts with label Abah. Show all posts

Thursday, May 12, 2011

Salam sejahtera.. relakan kami pergi.

Kepok pusara abah dan Ayu selamat di pasang. Nama dan tarikh terakhir hayat mereka tertera di batu nisan itu. Pusara mereka bertanda.

"Abah, barangkali ini khidmat terakhir saya. Esok-esok barangkali saya tidak dapat ke sini lagi. Namun, doa saya untuk abah tidak pernah putus walaupun dari jauh. Abah sentiasa di hati saya

"Abah..barangkali sudah terlambat bagi saya mengucapkan terima kasih kerana menikahkan saya walau ketika itu dalam usia yang sangat muda. Saya pegang kata-kata mak wa, "Suami itu anugerah Allah." Benar, sehingga kini dia menjaga saya dengan baik sekali."

Dahulu, di malam pernikahan saya pernah mencatat sekeping nota ringkas pada abah di dalam hati. Nota yang menyatakan, selain abah..suami adalah lelaki yang mahu saya menangi hatinya. Saya lakukan itu kerana dia anugerah Tuhan yang maha pengasih lagi maha penyayang. Lalu kerana amanah Allah, saya redha sebagai seorang isteri dan ibu kepada anak-anaknya. Kini.. saya hanya tingga dia. Yang entah berapa lama lagi saya dapat bersamanya.

Bertahun-tahun saya merantau di tempat orang mengikut suami , tahukah abah saya tidak putus berbisik kepada Allah yang maha mendengar supaya diberikan kesempatan menjaga saat-saat terakhir hayat abah di usia tua? Tahukah abah betapa rindunya saya pada kenangan lama. Zaman kanak-kanak di kampung halaman yang indah permai.

Benar. Sesungguhnya Allah itu maha mendengar. Dengan kasih sayang, dikembalikannya saya ke kepangkuan abah selama 3 tahun 3 bulan di kampung halaman. Barulah saya sedar, rupa-rupanya kenangan lalu telah berlalu. Hanya indah sebagai kenangan.

Abah..esok saya akan pergi lagi meninggalkan kampung penuh kenangan ini. Kalau dahulu setiap kali saya pergi ke mana-mana serata dunia mengikut suami, abah pasti mengiringinya dengan doa. Abah selalu memberikan harapan. Kata abah,

"Pergi dahulu..nanti abah datang menyusul. InsyaAllah, abah pergi berziarah awak."

Esok-esok ..barangkali kami tidak dapat lagi menziarahi pusara abah di sini. Kami mahu berhijrah sebagaimana hijrah Rasullulah dari Mekah ke Madinah. Kami nekad tinggalkan kaum keluarga, saudara mara, jiran, rakan taulan dan harta benda. Namun mereka selalu dekat di hati kami. Banyak yang Allah tunjukkan.. mereka tidak selalunya ada bersama di saat-saat kami di timpa ujian. Tahulah kami yang hanya Allah yang di sembah, tempat kami memohon pertolongan.

Entah.. adakah Madinah adalah hentian terakhir perjalanan kami? Apakah di situ juga kami akan disemadi? Entah di bumi mana, entah umur berapa, entah bila akan terhentinya perjalanan ini. Lalu, sekali-sekala saya gagal mengawal air mata apabila sekilas pertanyaan melintas dalam dada;

"Siapakah nanti agaknya yang memasang kepok pusara di batu nisan saya? Barangkali pusara itu tiada bertanda dan anak-cucu tidak dapat mengesannya. Barangkali mereka hanya kenal kami pada nama."

Salam sejahtera abah..relakan kami pergi.

Tuesday, May 10, 2011

Monolog di pusara abah..

Damai sahaja kawasan tanah pusara awal-awal pagi ini. Tanah yang diwakafkan oleh nenek moyang kami. Embun di dedaun masih basah, ada di mana-mana. Dahulu, kawasan ini paling takut dilalui. Masa berlalu, diri berubah. Di situ tempat bersemadi jasad orang-orang yang begitu banyak berbudi pada diri ini. Yang memberi bekas di hati.

Pusara abah, letaknya bersebelahan dengan pusara adik perempuan bungsu kami, Ayu . Ayu rupanya yang pergi dahulu. Begitu suratan kitab ketentuan-Nya.

Di sebelah pusara abah adalah pusara pak cik Wahab. Teringat kembali zaman silam di awal persekolahan rendah.. di laman rumah pakcik Wahab tempat kami sepupu-sepupu perempuan berkumpul di atas pokok jambu air. Di atas pokok jambu air itu sentiasa ada kicap manis dan pedas yang di bungkus dalam pelastik, tergantung di celah-celah ranting. Itu bahan pencecah penambah rasa. Kami tidak begitu risau tentang tarikh luput selagi tidak sakit perut!

"Terima kasih pakcik Wahab. Halalkan jambu air itu kerana kami jarang sekali meminta izin terlebih dahulu. Muga itu menjadi amal jariah yang berterusan."

Di sebelah pusara pakcik Wahab adalah kamar indah bersemadinya "cinta hati pertama" saya.. Mak wa. Pohon-pohon jejuang rimbun sekali meneduhi pusaranya.

Pusara Atok abah, sebelah menyebelah dengan pusara mak wa. Atok abah sinonim dengan basikal tuanya. Basikal atok abah antara kesukaan cucu-cucunya.. Basikal yang mudah sekali "dicuri" kerana tidak pernah berkunci. Saat yang paling sesuai adalah semasa Atok Abah dan Mak Wa sedang khusyuk sembahyang dhuha.

"Maafkan kami Atok Abah kerana "meminjam" basikal itu sehari suntuk ke ulu Jementah. Barangkali hari itu, Atok Abah tidak dapat pergi mencari surat khabar tulisan jawi di pekan Jementah."

"Sebelah pengayuh basikal yang hilang itu sebenarnya angkara kami. Bukit yang dituruni agak tinggi bagi kami, sedangkan basikal itu meluncur dengan laju."

"Lalu, sebenarnya.. semua cucu-cucu atok abah tersungkur bersama basikal itu. Sebelah kaki pengayuh basikal itu tercampak jauh. Jatuh, hilang entah ke mana. Hampir senja kami mencarinya.. Atok Abah. Maaf sekali lagi.. basikal Atok abah terpaksa kami tinggalkan secara senyap-senyap di belakang rumah dengan susah payah. Kami sorong basikal itu beramai-ramai dan ikut anak sungai yang lalu di belakang rumah atok abah.. kononnya supaya tiada orang dapat mengesan tayar basikal."


Di hujung sana..adalah pusara Pak Long Dollah, pemilik jambu bol. Jambu bol yang semakin pupus bakanya.

Esok, sepatutnya adalah hari kelahiran abah. Tanggal 11 Mei. Hampir setiap tahun biasanya kami adik-beradik berkumpul dan seperti kebiasaannya, acara makan-makan dijalankan. Kali terakhir, tarikh yang sama kita berkumpul di rumah Ayu.

Ah, itu masa yang berlalu.

Esok, kepok pusara serta batu nisan abah dan Ayu akan di pasang. Sebagai catatan tanda nama di situ. Biar esok-esok anak cucu dapat mengesannya..sebagaimana kami dapat menjejak pusara atok abah dan mak wa.

Al-Fatihah untuk mereka dan kaum muslimin-musliman.

Semuga Allah melapangkan dan menerangkan kubur mereka. Mengampunkan dosa-dosa mereka. Memberi rahmat ke atas roh mereka dan menempatkan mereka di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Wednesday, June 16, 2010

Kelambu


Dahulu, kami lima beradik tidur dalam satu kelambu. Ayu dan Razif masih kecil. Mereka tidur sekelambu dengan emak dan abah.

Jika malam masih awal, dalam kelambu itu kami main pondok-pondok, main doktor-doktor atau main orang sakit. Jika lampu gasoline telah dipadamkan, kami main cerita-cerita. Cerita seram.

Semasa awal remaja, apabila rumah kami sudah mempunyai TV, dalam kelambu itulah kami bersembunyi. Tengok TV sorok-sorok di tengah malam. Kami buka TV perlahan-lahan, lalu masuk ke dalam kelambu. Sambil menyiarap, kami hanya keluarkan dua pasang mata atau kepala dari celah kelambu. Menonton Tv dalam gelap!

Jika tiba-tiba abah terjaga ..

"Siapa pulak yang tidak tutup TV tengah-tengah malam ni?"

Mendengar tapak kaki abah, kami cepat-cepat masukkan kepala dan menutup mata. Tiada siapa yang berani mengaku siapa yang punya angkara. Selalunya, cerita yang tengah kemuncak tidak sempat kami tahu apa sudahnya.

Tetapi, untuk memasang kelambu apabila baru balik dari kenduri atau dari rumah saudara mara di tengah malam hari.. kadang-kadang membawa kepada perbalahan kecil. Walaupun kelambu itu hanya ada empat penjuru, namun untuk menyangkut talinya pada paku di dinding... Malasnya bukan main! Minta ampun!

Jadi, penyelesaianya..emak menyuruh setiap seorang memasang kelambu di penjuru masing-masing [Kak Long, saya, Tuti dan Ratna]. Jika ada yang buat keras kepala pada malam itu.. Alamat penjuru bahagian kelambunya terkulai tidak berpasang sampai ke pagi!

Masih ada lagi kah kelambu hari ini?

Gambar ihsan :

http://danummurik.wordpress.com/2008/01/06/

Monday, June 14, 2010

Seberkas penyapu lidi


Semasa kami kecil, abah selalu mengajar kami adik-beradik dengan menggunakan kata bidalan, peribahasa, perumpaan dan kata-kata pujangga. Umpamanya :

"Masa itu. Emas"

Abah menggunakannya apabila kami adik-beradik bergelak-ketawa serta mengabiskan masa dengan sia-sia. Bersantai-santai tanpa melakukan sebarang perkara yang berfaedah. Lalu, di musim cuti sekolah, sewaktu terluang emak mengajar kami membuat kek, pelbagai kuih dan menjahit cross-stich. Pernah juga emak mengajar perkara asas menjahit baju kurung teluk belanga. Kain gombang melayu Johor.

Menjahit? Tidak masuk di hati saya!

Abah pernah menggunakan falsafah ini kepada kami;

"Hidup ini ibarat pusingan roda. Ingatlah kepada Allah SWT samada kita di bahagian atas atau di bahagian bawah."

Benar. Allah menjadikan setiap kejadian agar kita mengingati-Nya. Supaya kita hampir dengan-Nya. Kebiasaannya kita berkeluh-kesah, merintih sedih dan gundah gulana apabila di uji sedikit oleh yang maha kuasa. Apabila terlepas dari ungkaian kesusahan itu.. kita tidak teringat yang suatu masa dahulu kepada Allah kita pernah mengadu.

Kita percaya bahawa setiap kejadian adalah Qada dan Qadar ketentuan tuhan. Tetapi apabila ia tidak menyebelahi diri, kita menyalahkan keadaan. Menunding situ dan sini. Bukankah Allah maha mengetahui apa yang tidak kita ketahui? Kita tidak tahu apa yang akan terjadi kepada diri kita. Jangankan esok, malam ini malah sebentar lagi pun kita tidak dapat menduga apa yang bakal berlaku kepada diri kita.

Siapa yang berani angkat tangan menyatakan mereka tahu jodoh mereka, di mana berjumpa, tarikh perkahwinan dan adakah ia akan berkekalan? Siapa pula yang tahu bila akhirnya ajal kita, di bumi mana berakahirnya dan berapa ramai yang sembahyang jenazah untuk kita?

Allah yang menentukan setiap kejadian, malam dan siang. Kita adalah hamba-Nya, tiada berkuasa menentukannya. Kita sekadar merancang. Jika tidak dengan izin Allah, sebijak mana sekalipun akal manusia tidak terlaksana seperti yang di rencana. Sudah! Hentikan sahaja acara menunding jari, menyalahkan sesiapa.

Itulah yang tertulis di dalam kitab bagi setiap insan di lauh mahfuz. Termaktub sejak azali.

Abah berpesan lagi;

"Adik-beradik adalah umpana seberkas penyapu lidi. Jika kita tinggal sebatang, bila-bila sahaja kita mudah dipatahkan."

Benar kata abah. Kami tidak akan membiarkan lidi yang satu tersisih lalu patah. Tidak sekali-kali. Biar buruk seberkas lidi itu, jika bersatu ia masih di panggil penyapu.


Gambar ihsan : flickr.com

Sunday, June 6, 2010

Terima kasih abah..


Suami saya terbaca di Facebook Prof Abdullah Hassan, suami puan Ainon Mohamad [Penerbit PTS Publications]. Dia menulis..

Terima kasih Abah!!! Cikgu Haji Roslan.

Sekiranya Tuan-tuan dan Puan-puan berada dalam dewan ini, tentu ramai yang menitiskan air mata mendengar Puan Roza membacakan bab terakhir Travelog Cinta Abadi.Beliau bukan saja pandai mengarang, pandai pula membacakan ceriteranya.

Saya melihat ramai yang mengesat air mata.

Terima kasih Tuan Shohaimi yang datang dengan isteri dan tiga orang tuan puteri jelitanya.

Terima kasih Prof. Muhd. Kamil.

Syabas Puan Rosa@Raudah.

Sesungguhnya inilah sebuah pelancaran buku yang berlainan sekali, sangat menghiburkan, sangat mengesankan.


Subhanallah! Ampunkan saya ya tuhan. Saya benar-benar melihat kuasa Allah. Sesungguhnya Dia maha pengasih, mengetahui apa yang berbisik di hati dan yang terbuku dalam perasaan. Malah yang tidak terlontar dengan kata-kata...

Bersaksikanlah oleh-Mu ya Allah, bahawa jika hari ini saya ditanya.."Maka nikmat mana satu kah yang mahu didustakan?"

Lalu, saya akan berkata:

"Tiada. Tiada langsung limpah kurnia nikmat-Mu yang mahu daku dustakan ya Allah. Ia terbentang di depan mata.. Malah, nikmat-Mu melimpah ruah, tidak tertulis oleh mata pena"

Friday, April 16, 2010

Selamat pagi Malaysia

Juruterbang mengumumkan jangka masa ketibaan sejam sebelum mendarat di lapangan terbang. Kami bersiap-siap, mengemas barang yang dibimbit tangan. Jam di tangan masih menunjukan waktu di United Kingdom. Cepat-cepat kami tukar kepada waktu Malaysia supaya minda kami cepat bertindak, berubah pantas mengikut waktu tempatan!

Selamat pagi Malaysia!

Sementara menunggu bagasi sampai, kami mengemas diri dalam bilik air berhampiran. Menyarung semula sut agar kelihatan seperti orang baru pulang dari luar negara. Saya ikat semula skaf dileher dan sematkan kerosang diatasnya. Ah, menawan! Anak-anak masih meronta-ronta, namun akur apabila melihat saya mula menyinga!

“Pakai setokin dan jaket itu!
Selepas memunggah beg ke atas troli, kami cepat-cepat menuju ke balai ketibaan. Dari jauh kelihatan abah dan emak sedang menunggu. Kami bersalaman dan berpelukan.

Suasana sibuk dan padat dengan manusia, membuatkan kami mengelepar kepanasan. Peluh menitik, merecik ke seluruh badan. Terasa bahang yang membara. Suami sibuk sekali berulangalik menguruskan begasi dan kelihatan dia mula menanggalkan sut dibadannya.

Saya? Masih dengan sut sedondon untuk mempertahankan gaya, walau peluh menyimbah mengalir terasa dari hujung rambut hingga hujung kaki. Anak-anak? Saya biarkan sahaja emak menanggalkan pakaian mereka. Hanya tinggal seluar sekeping tanpa pakaian jenama luar negeri! Pipi mereka merah menyala.

Alhamdulillah! Allah masih meminjamkan sedikit masa lagi kepada saya untuk bertemu mereka. Azrai bagaikan tahu yang abah itu adalah datuknya. Tanpa kekok, dia terus memeluk tengkuk abah. Abah ketawa gembira.

“Azrai! Ini atok”

“Atok-atok.”

Azrai memanggil atoknya dengan perkataan berulang.

Dalam kereta, suami memberitahu kepada saya;

“Yang, pasport saya hilang. Di terminal tadi, masih ada dalam poket sut itu.
Terjatuh agaknya semasa saya menanggalkannya.”

Barangkali dalam kalut-kalau, suami tidak perasaan passportnya keciciran. Kereta kebangaan Malaysia jenama Proton Saga Abah terus meluncur laju tanpa peduli dilema yang sedang kami hadapi.

Kami dibawa oleh abah ke rumah sewa lama di Subang Jaya. Kata abah, menurut adik ipar, rumah itu akan dijual oleh pemilik rumah. Sesak. Wan, Kak Yah sekeluarga, adik-adik kandung dan adik-adik ipar memenuhi rumah teres kecil itu. Ayah tidak dapat datang kerana masalah kesihatan. Perjalanan jauh dari Besut ke Subang Jaya tidak sesuai malah tidak selesa untuknya.

Melihat anak-anak tanpa pakaian, sedangkan saya masih bertahan dengan sut sedondon dibadan, memang benar membuatkan terlopong mulut mereka sebagaimana dijangka. Dari raut wajah mereka bagaikan dapat dibaca. Pasti dalam hati mereka bukannya kagum malah berkata yang maksudnya begini;

“Ya Allah, panas-panas buta masih pakai sut hitam tebal sedondon dengan skaf
tercekik dileher! Sudah buang tabiatkah agaknya?”

Dari Besut, wan membawa bekalan makanan kegemaran untuk anak lelaki sulungnya yang baru pulang dari luar negara. Kerutup daging, nasi dagang serta ikan aye [tongkol]. Enak dan berselera!

Azrai mengemari tapai pulut yang dibungkus dengan daun getah tiga serangkai. Air tangan wan memang menjadi. Tapai itu masak tepat pada masanya. Sesekali saya melarang Azrai yang tidak henti-henti membuka bungkusan tapai satu persatu. Lalu, saya bersuara:

“Azrai, cukup! Nanti sakit gigi”
“Atok-atok, I want some more please [saya hendak lagi] ”

Azrai bagaikan tahu ke mana tempat dia boleh mengadu serta menagih simpati apabila ibubapa tidak dapat diharapkan. Azrai berlari mendapatkan datuknya.

Tapai pulut yang dibungkus dengan daun getah tiga serangkai masih kemas dalam tangan. Masih tidak mahu dilepaskan. Wan dan emak ketawa kecil melihat gelagat Azrai yang cuba berlindung dibelakang atuknya.

“Atok-atok, help me. Help me… please [tolong saya]”

Betapa Azrai kelihatan mengada-ngada sekali. Lebih selesa dengan bahasa pertuturan harian diluar negara hingga tidak menggunakan bahasa ibunda. Bahasa ibunda yang difahami tetapi tidak dapat dituturkan dengan lancar.

Tiba-tiba, saya terkenangkan mak wa.

Wednesday, March 31, 2010

Rindu

Di dalam diam saya merindui gumpalan awan di puncak gunung Ledang. Sayup-sayup dan berbalam-balam melitupi banjaran nya yang panjang. Rindukan pemandangan indah ketika berbaring di atas dangau di tengah sawah. Kehijauan sawahnya memukau.

Ia bagaikan cinta pandangan pertama. Meragut hati dan perasaan. Kenangan cinta itu abadi dalam fikiran. Lansung tidak dapat dilupakan.

Patutlah beberapa tahun yang silam, sekeping poskad dari luar negara menyatakan kerinduannya yang sama. Ya, cantik sekali negara orang tetapi manakan sama kampung sendiri.

Dalam diam, saya teringatkan abah yang pernah meminta saya mendeklimasikan sebuah sajak pada “Hari Guru “ di sekolah. Ketika itu saya tidak langsung mengambilkira siapakah penulis sajaknya. Namun, bait-bait perkataannya amat saya faham. Walau masih kecil, ketika itu saya mampu melafazkannya sepenuh hati. Saya luahkan sepenuh perasaan.

Alangkah indah kampung halaman,
Tanah tempat tumpahnya darahku,
Masih jelas terbayang aman,
Teratak buruk tempat tinggalku.

Masih jelas di depan mata,

Walau jauh telah tiada
Ramah mesra teman sebaya
Menghibur hati dalam derita

Walau kampungku yang semak sunyi
Pohon kelapa tegak merindang
Hanya yang ada murai menyayi
Namun hatiku terpaut sayang

Nukilan : Usman Awang

Tiba-tiba saya merindui bayangan kasih Mak Wa.

Kali terakhir saya melihatnya, Mak Wa kelihatan layu dan lesu. Beliau berubah menjadi gersang serta kering kontang sebagaimana sawah bendang yang pernah diusahakannya. Mak Wa yang ketika zaman kecil saya, kata-katanya kaya dengan kiasan dan falsafah. Mak Wa yang apabila melafazkan perkataan, penuh hikmah.

Zaman dan musim telah jauh berubah. Pasti ia tidak akan kembali. Namun kenangan itu abadi.

Wednesday, January 20, 2010

Selamat Tinggal semua

Seminggu sebelum berangkat, kami telah mencari pakaian panas untuk kegunaan ketika di Scotland nanti. Kata rakan-rakan, September adalah musim luruh. Sejuk. Ia bulan di mana daun-daun bertukar menjadi kemerahan dan daun-daun luruh berguguran. Beberapa bulan sebelum tiba musim sejuk yang panjang.

Mengenangkannya sahaja sudah cukup membuatkan kami kesejukan. Lalu, kami mencuba-cuba pakaian panas yang ada. Terasa panas hingga ke atas kepala, lantas, kami tanggalkan dengan segera. Riang ria.

Ketika berangkat ke lapangan terbang, saya memakai jeans dan sehelai sweater yang agak tebal. Anak-anak juga awal-awal lagi saya sudah ikatkan baju panas di pinggang mereka. Sementara suami memakai sepasang suit. Layaknya untuk orang-orang ke luar negara. Azrai saya kelek di pinggang. Sara dipimpin tangan. Melihat suasana tempat baru, mereka meronta-ronta minta untuk dilepaskan dari kawalan.

Seluruh keluarga, adik beradik, rakan taulan termasuk Kak Dah [pengasuh Sara] sekeluarga menghantar kami di lapangan terbang. Kak Dah membekalkan kami nasi impit dan rendang.

“Makan apabila sampai disana. Sementara belum berjumpa makanan”

Saya mengucapkan terima kasih walaupun terlintas sedikit perasaan untuk menolaknya kerana sudah tidak cukup tangan. Melihat keikhlasan mereka, saya sambut juga dengan hati terdapat sedikit keberatan.

Hampir pukul 11.00 malam, panggilan untuk penerbangan kami diumumkan. Lega! Kerana saya benar-benar kepanasan dan keletihan. Letih sejak beberapa hari kerana mengemas barangan untuk di bawa pergi. Letih menguruskan anak-anak yang sentiasa meronta-ronta untuk dilepaskan. Letih melayan rakan-rakan yang ikhlas menghantar kami hingga ke lapangan terbang.

Sebelum berangkat, kami bersalaman dengan semua yang hadir. Berbagai nasihat yang dibekalkan. Abah mengajarkan beberapa ayat al-Quraan untuk diamalkan semasa di rantau orang.

“Abah, cuba tulis sikit di atas kertas. Saya tak ingat kalau cakap-cakap macam tu”

Lalu, abah menulis ayat-ayat Quraan itu di atas kertas sebagaimana di minta oleh suami.

“Baca Ayat Kursi dan ayat seribu dinar banyak-banyak, Mil,”

Pesan abah berkali-kali. Suami tersenyum. Mengangguk-angguk berkali-kali. Barangkali dia memang tahu dan sudah menghafal ayat itu. Suami memandang saya, perlahan dia bertanya

“Awak tahu baca ayat kursi dan seribu dinar?”

Saya angguk.

“OK. Kalau macam tu tak apa..awak baca. Ingat pesan abah”

Saya angguk.

Masanya telah tiba untuk kami berangkat dan berpisah. Setelah bersalaman dengan semua yang ada, lantas saya memeluk mak. Saya membayangkan kalaulah pemergiaan ini merupakan kali terakhir saya menatap wajah mereka, maka itulah pelukan terakhir saya.

“Mak..Ampunkan segala dosa-dosa saya. Mohon dihalalkan makan dan minum sepanjang mak membesarkan saya. Halalkan air susu ketika mak menyusukan saya. Maafkan, saya masih belum dapat membalas jasa baik mak dan abah. Masih tiada lagi kejayaan yang boleh dibanggakan”

Ingin sekali saya nyatakan begitu. Namun walau sudah berumahtangga, bait-baik perkataan seperti itu hanya tersekat di dalam dada. Terkunci di hati. Ia tidak terlafazkan oleh kata-kata. Kami menangis perlahan sambil berpelukan.

Kemudian, saya di dakap oleh abah. Ada sedu diwajahnya walaupun tanpa air mata. Mata dan wajah abah sayu menatap wajah saya. Saya kira tatapannya seolah-olah adalah tatapannya yang terakhir. Dia memandang wajah saya seolah-olah tidak akan dapat memandang saya lagi.

“Mohon maaf abah. Abah menghantar saya ke luar negara kerana menumpang tuah suami…”

Itu sahaja yang sempat saya lafazkan. Selebihnya disudahkan dengan air mata. Selamat tinggal semua. Sesungguhnya Allah itu benar-benar mengkabulkan permintaan hamba-Nya. Lintasan hati seorang murid kampung yang bercita-cita tinggi untuk ke luar negara. Tetapi tahu kekurangan diri, lalu berdoa agar Allah menemukan jodoh yang dapat membawanya ke sana!

Mahasuci Allah! Yang penuh dengan kelembutan dan kasih sayang.

Friday, October 23, 2009

Ikan besar..

Hari itu pelajar-pelajar baru berkumpul di Dewan Desar kampus Sura Hujung, ITM Dungun. Saya menyarung pakaian baru. Batik cotton kain ela [yang dibelikan oleh mak saudara di pasar payang, Terengganu] berwarna kebiruan potongan kurung Malaysia. Saya rasa amat teruja. Itulah baju kurung baru yang di tempah khas selain daripada keraian hari raya.

Dewan besar penuh sesak dengan pelajar baru. Masing-masing kelihatan sibuk sekali dengan urusan sendiri. Sambil berbaris menunggu giliran untuk mendapatkan hostel kediaman, saya perhatikan terdapat ramai juga pembantu fasilitator yang terdiri daripada pelajar senior.

"Satu hari nanti..saya pasti menjadi sebahagian daripada mereka"
Saya berbisik-bisik di dalam hati. Ramai juga kelihatan pelajar lelaki yang datang dengan fesyen rambut yang terkini dan bergaya tetapi terpaksa di potong pendek rambut mereka!

"Assalamualaikum Siswa siswi sekelian..sila dapatkan baju batik minggu silaturahim di sudut sebelah sana kerana saudara saudari di minta untuk memakainya di sepanjang minggu silaturahim nanti. Pelajar perempuan di minta bertudung dan pelajar lelaki di minta bersongkok"

Suatu pengumumunan kedengaran dilakukan oleh staf yang bertugas. Tiba-tiba sebahagian daripada pelajar yang sedang berbaris di depan saya beredar. Mereka berkejar-kejar untuk mendapatkan tempat di barisan yang paling di hadapan. Saya kehairanan. Terasa mereka masih lagi kebudak-budakan di dalam membuat keputusan.

"Ah..saya hendak selesaikan satu persatu. Dapatkan bilik hostel dahulu.."
Saya masih berbaris namun di dalam barisan yang semakin pendek. Di hadapan saya terdapat seorang pelajar perempuan yang wajahnya pada pandangan mata saya iras-iras wajah pelakon cina yang saya kenal pada ketika itu [ Lai Joo Lian]. Kulitnya putih mulus dan orangnya peramah. Di belakang barisan saya adalah seorang pelajar perempuan yang tinggi lampai. Wajahnya kelihatan cemas dan matanya kelihatan awas. Namun, apabila saya membuka kata, wajah dan perlakuannya bertukar kepada ceria.

"Nama akak..Wati Md Dali dari Masai"
Kami berjabat tangan. Namun, di sudut hati saya tertanya-tanya kenapa agaknya beliau membahasakan dirinya akak? Adakah kerana tubuhnya yang lebih tinggi daripada saya? Atau saya kah yang lebih rendah daripadanya?
"Saya dari Segamat. Ini Nita, jiran sebelah rumah saya"

"Ya Allah..untungnya dapat datang ke tempat yang sama.."

Sebenarnya hati saya juga semakin lega apabila ada kawan baru bertegur sapa. Nita, walaupun jiran sebelah rumah saya, namun sebenarnya kami amat jarang berjumpa. Malah kami tidaklah begitu mesra kerana jarang bergaul sehari-harian. Jadi, dengan adanya Nita di tempat yang sama, maknanya perlakuan saya perlu di jaga! Mana tahu perangai buruk saya akan sampai ke telinga keluarga.

Dari dewan besar kami di minta menghantar barangan ke hostel. Hostel itu dikatakan penempatan sementara di sepanjang minggu silaturahim.

"Awak ditempatkan di hostel mana?

"Hostel A2. Tetapi itu cuma hostel sementara sahaja, abah"

Lalu, kami seluruh keluarga menaiki kereta ke hostel sementara. Mak, Mak Wa dan adik-adik yang turut serta menolong saya membawa barangan keperluan ke bilik.

"Mak Wa..jangan susah-susah, biar saya sahaja yang bawa beg tu.."
Di dalam kudratnya yang tersisa, Mak Wa masih lagi mempunyai keinginan untuk membantu saya. Abah hanya menunggu kami di pengkarangan laman hostel A2 sambil berbual-bual dengan beberapa keluarga yang lain.

Dari jauh, hostel di kampus Sura Hujung itu kelihatannya seperti sebuah kawasan resort yang diperbuat dari binaan papan yang amat menawan. Bangunannya berbentuk kotak segi empat dan ianya mempunyai kawasan lapang di tengah-tengah - tempat menyidai pakaian. Maknanya, setiap bilik berada di dalam keadaan berhadapan kawasan lapang.

Kami dibenarkan untuk makan tengahari bersama keluarga kerana selepas zohor program minggu silaturahim akan bermula. Dari Jementah hingga ke Dungun, saya sentiasa duduk di sebelah Mak Wa. Semasa makan tengahari saya melayan makan dan minumnya. Mak Wa kelihatan tidak berselera. Beliau membisu dan tidak berkata-kata. Saya tahu Mak Wa sedang di landa perasaan pilu.

"Mak Wa janganlah sedih ya. Saya tengah buat persiapan untuk menangkap ikan besar ni! Bukan ikan puyu. Doakan agar saya berjaya!"

Wednesday, September 23, 2009

Satu hari di hari raya

Saya fikir keseronokan berhari raya adalah milik kanak-kanak sahaja. Berbaju dan berkasut baharu. Bagi kami yang serba sederhana ini, baju dan kasut baru hanya diperolehi setahun sekali. Tentulah sambutan hari raya saat yang dinanti-nanti.

Rupa-rupanya tidak.


Semasa remaja perasaan itu masih ada. Ketika di universiti perasaan itu tetap di situ. Ketika di awal tahun berumah tangga dan berada di rumah mak mertua.. terasa rindu mengenangkan keseronokan berhari raya bersama keluarga.

Ketika kecil saya paling suka mengumpul kad raya. Lagi banyak kad yang di terima..lagi suka! Tetapi untuk mendapat kad yang di hajat, pelaburan mestilah di buat. Langkah pertama, kita sendiri yang harus banyak memberi kemudian langkah ke dua, baru kita menerima.


Semasa remaja, saya tidak perlukan langkah pertama kerana keadaan menjadi sebaliknya. Malah, saya amat berhati-hati dengan ucapan :

"Pecah kaca pecah gelas, sudah baca harap balas"

atau

"Psst...Boleh saya datang ke rumah?
Selalunya saya akan mengantung kad-kad yang di terima oleh seluruh keluarga. Namun, jika terdapat nota-nota yang "rahsia" daripada SA (secret admirer) lalu, saya akan menyimpannya sahaja. Salah satu kad yang saya simpan adalah sekeping poskad dari luar negara dengan ucapan:

"Selamat menyambut hari lebaran. Bolehkah saya sekeluarga datang bertandang?"

Yang jauh

XOXOX from UK



Kenapa saya simpan?

Bolehkah saya percaya dengan kata-kata sesaorang yang jauh diperantuan, berhajat untuk datang ke rumah? Bolehkan saya pegang? Kalaulah saya tahu alamat penulisnya, tentu saya akan membalasnya dengan kata-kata :

"Minta maaf kerana saya tiada di rumah"

Saya paling trauma kepada abah yang senonim dengan rotan. Mak pula dengan sindiran. Lagipun, jika mak dan abah tahu mengenainya..habislah! Tidak pasal-pasal saya akan di ugut untuk dikahwinkan !

Namun, selalunya di hari raya rakan taulan saya bebas untuk datang. Tidak mengira lelaki atau perempuan. Mak dan abah akan menerima serta melayan mereka walaupun dari berbagai bangsa. Kadang-kadang ada juga tetamu yang kami langsung tidak mengenali mereka!



Dengan tidak di sangka-sangka, sesaorang yang sudah lama tidak saya temui datang bertandang. Dia datang bersama-sama dengan seluruh keluarga. Ada kakak dan abangnya yang kejayaan akademik mereka sering menjadi sebutan mak dan abah. Kami sering diberitakan tentang kejayaan keluarga tersebut di dalam pelajaran.

Satu kejutan!

Saturday, September 12, 2009

Mereka orang miskin..

Saya pernah menulis di dalam ruang komen tentang topik baju raya :

Di suatu Ramadhan ketika UiTM Johor mengadakan majlis bagi meraikan anak-anak yatim, kami lihat anak-anak itu memakai berbagai saiz pakaian. Bila di tanya pakai baju siapa?

Jawab mereka :

1. baju kakak [anak itu berbaju kebaya]
2. baju arwah ayah [baju melayu dan sampin]
3. baju dan tudung mak [yang berbadan besar]
4. baju tahun lepas [kecil dan singkat]

Lalu terlintas di dalam hati, alangkah baiknya jika baju raya dibelikan untuk anak-anak yatim seperti ini..

Semasa kecil, saya teringat bahawa abah dan mak jika berkesempatan [terutamanya ketika musim hari raya] akan membawa kami menziarahi rumah saudara mara sebelah mak yang kebanyakannya tinggal di kawasan pendalaman. Biasanya abah akan menyewa kereta untuk ke sana.

Kebanyakan mereka tinggal di kawasan yang mana kampungnya amat payah untuk di sebut. Kami adik-beradik akan menyebutnya di dalam keadaan tertahan-tahan menahan tawa dan melafazkan dengan cara berlebih-lebihan.
"Kampung Sepang Loi, kampung Mensodut Pindah, kampung Sermin, kampung Awat, kampung Kuala Paya.."
Kadang-kadang kami akan mengajuk-ajukkan gaya pertuturan mereka. Beralun-alun tonasinya berbagai gaya.

Namun, jika kami ke kampung mereka akan terasa sesuatu yang menyentuh perasaan. Untuk menuju ke kampung mereka sahaja, kami terpaksa melalui jalan tanah merah yang sempit. Di kiri kanan masih kelihatan seperti hutan. Berlopak seperti jalan laluan lori mengangkut kayu balak dari hutan.

Di celah-celah rimbunan pokok itulah terdapatnya rumah-rumah pondok kayu kepunyaan saudara mara sebelah mak. Mereka ceria menyambut kami sekeluarga. Segera menyediakan secerek teh-o panas tanpa gula. Menghidangkan makanan apa yang ada.

Ada yang menghidangkan nasi dengan lauk masak lemak cili padi ikan lais salai. Ada pula nasi dengan lauk pucuk-pucuk kayu sahaja. Namun, kebiasaannya adalah hidangan ubi rebus dengan kelapa parut atau sambal tumis ikan bilis. Pernah sekali kami dihidangkan dengan sejenis kekacang yang dikatakan biji teratai. Tuan rumah beria-ia mengajar kami cara memakannya.

Di dalam ramai-ramai sanak saudara sebelah mak, ada sebuah rumah yang tidak dapat dilupakan. Paling terkesan. Rumah kayu mereka sederhana besarnya berlantaikan buluh. Tingkapnya terbuka. Tiada selak. Penutup tingkap di buka luas bertongkatkan sebatang buluh.

Di dinding rumah mereka terdapat ampaian yang tersidai pakaian. Tiada perabot. Tiada apa-apa.

"Mak..kesiannya rumah mereka"

"Mereka orang miskin dan susah..malah tiada ayah"

"Ooo..patutlah"
Saya melihat anak-anak mereka yang kecil memakai gaun yang tidak sepadan usia. Rasanya gaun itu adalah baju untuk orang dewasa. Lalu, kami terbayang pakaian terpakai yang diberikan oleh saudara mara dari bandar. Kami jahitkan di bahagian lengan dan ikat dengan tali pinggang. Jadilah ia gaun yang bergaya.

Ketika kecil, saya fikir kami adalah tergolong daripada keluarga susah apabila saudara mara menghantar pakaian terpakai mereka. Mula-mula agak malu juga untuk menerimanya. Lama kelamaan, apabila mengenangkan ada orang lain yang lebih susah.. Lalu, kami terima dengan hati yang terbuka dan mula mengagihkannya kepada saudara mara sebelah mak.

Melihat keadaan anak-anak mereka, hati saya pernah berkata-kata:

"Ya Allah, jika dipanjangkan usia, dengan izin-Mu ingin sekali saya berbakti kepada mereka ini. Jika diberikan peluang ingin sekali suatu masa nanti saya melakukan sesuatu untuk membantu anak-anak yatim dari kampung-kampung yang terpinggir..

Wahai tuhan, datangkanlah sesaorang untuk membantu mereka. Bukankanlah pintu hati orang-orang yang berada agar menafkahkan sedikit daripada harta mereka. Harta yang disedekahkan dikatakan tidak akan kehabisan..

Ya Allah. Tunaikanlah segala hajat, makbulkanlah segala permintaan.."
Ketika itu otak kecil saya membuat kesimpulan bahawa ternyata bantuan yang diperlukan oleh mereka bukan tertentu di bulan Ramadhan. Jika saya kaya.. jika saya berada.. jika saya berkemampuan.. saya ingin membantu mereka secara berterusan.

Kata ustaz, sesungguhnya di dalam setiap harta kita ada hak untuk diri, untuk ibubapa, untuk saudara mara yang miskin, untuk anak-anak yatim dan musafir yang terlantar di dalam perjalanan..

Benar. Mengapa tidak kita menunaikan hak mereka dengan berkongsi sedikit nikmat kesenangan yang telah Allah pinjamkan..?

Monday, August 3, 2009

Honeymoon


Saya pernah mendengar orang menyatakan bahawa tingkatan empat adalah musim "Honeymoon" bagi sesetengah pelajar. Penuh dengan kemanisan. Setakat mana yang dikatakan manisnya bulan madu itu tidaklah saya tahu. Tidak terjangkau dek akal fikiran.

Namun, bagi saya semasa di tingkatan empatlah bermulanya segala macam pengalaman baru. Saya mula terfikir-fikir bagaimanakah untuk mencari kenderaan ke sekolah. Bas hanya akan bertolak awal pagi dari pekan Jementah.

"Awak pindah dahulu ke rumah baru kita di pekan Jementah"

"Abah kata rumah itu belum lagi dimasuki eletrik?"

Soalan bermain di dalam fikiran saya apabila mak mencadangkan agar saya berpindah ke rumah murah kami yang belum diduduki di pekan Jementah. Kata mak, abah telah lama membelinya. Bertahun-tahun yang lalu tetapi projek perumahan itu terbengkalai sejak sekian lama.

Rumah murah kami kecil sahaja namun ia sebuah rumah teres batu 'Semi-D' berhampiran dengan pekan. Hanya beberapa meter dari Sekolah Menengah Jementah. Ia terletak di tepi jalan besar. Saya hanya perlu menunggu bas di situ. Lalu, saya bersetuju.

Hanya saya, Tuti dan Ratna berpindah ke rumah baru yang masih kosong itu. Hanya kami bertiga. Tingkatan empat, tingkatan dua dan tingkatan satu. Memandangkan kenderaan adalah isu utama persekolahan, kami akur tanpa bantahan. Abah dan mak juga amat tabah membenarkan anak-anak gadis mereka yang remaja tinggal bersendirian. Berbagai-bagai pesanan yang ditinggalkan.

"Jangan sekali-kali membuka pintu pagar jika dikunjungi oleh orang yang tidak dikenali"

"Jika ada apa-apa masalah, segera beritahu dan meminta bantuan dari jiran-jiran sebelah"

Tiada perabot dan tiada eletrik lagi. Bekalan paip air masih belum memasuki rumah itu tetapi terdapat saluran paip air berhampiran meter air di laman hadapan. Di situlah kami mendapatkan keperluan air untuk minum dan mandi. Kami mengangkutnya bergilir-gilir menggunakan baldi.

Terasa seperti 'Main pondok-pondok' namun disertai dengan tanggungjawab yang besar.

Mak dan abah bekalkan kami sebuah dapur minyak tanah, periuk nasi, kuali kecil dan sedikit bahan bekalan makanan mentah. Sebuah lemet hamparan untuk tidur dan beberapa biji bantal. Sebuah pelita ayan dan beberapa kotak lilin menerangi malam.

Apabila berbaring-baring menghadap siling di dalam kegelapan dan kepanasan malam, kami sering bercerita tentang Ayu, adik perempuan kecil kami yang sering kami rindui. Kami paling suka bercerita tentang bantalnya.

Kami bercerita tentang cerita suka duka di zaman nakal, cerita tentang basikal, pokok, sungai dan segala-galanya. Kadang-kadang kami ketawa dan kadang-kadang kami berduka. Selalunya cerita-cerita kami akan berakhir dengan air mata.

Masing-masing dengan tidak semena-mena akan terdiam di dalam kesunyian malam apabila ada cerita yang tersentuh hati dan perasaan. Ia suatu perasaan kerinduan. Rindu. Perasaan rindu kepada kehidupan zaman kanak-kanak yang lalu. Zaman yang hampir berlalu.

Sekali air bah, pantai berubah.

Kehidupan di rumah , perjalanan dan sekolah baru adalah sebahagian daripada pelajaran yang Allah ajarkan untuk memantapkan pengalaman. Ia merupakan sebuah kitab besar mengenai kehidupan yang helaiannya masih tebal dan belum terbuka. Penuh misteri dan masih rahsia . Jika diizinkan Allah Taala setiap chapter pasti akan dapat di baca. Jika tidak, chapter itu hanya merupakan sebuah kitab yang nipis sahaja. Ia ketentuan tuhan!

Tetapi, isi kandungan dan bacaannya hanyalah dapat di nilai dengan membacanya secara ke belakang. Di selak dengan cara mengamati semula untuk menilai keindahannya. Namun, kehidupan itu tidaklah selalunya indah. Madu yang manis bunyinya oleh sesetangah orang namun ia pahit di telan oleh pihak yang lain ketika melaluinya.

Subhanallah! Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang tidak kita ketahui. Bukalah matahati untuk melihatnya!

Wednesday, July 22, 2009

Radio & TV


Tahun itu, seluruh penduduk kampung Paya Jakas bercahaya! Setiap rumah telah dimasukkan pendawaian eletrik. Masing-masing bercerita tentang Lembaga Letrik Negara [LLN]

Orang yang paling gembira adalah tawkey kedai yang menjual barangan eletrik di pekan Jementah. Entah berapa buah televisyen, peti ais dan mesin basuh yang terjual agaknya!

Hampir keseluruhan penduduk kampung Paya Jakas berkelakuan seperti orang "kaya raya". Apa tidaknya, hari ini lori menghantar televisyen ke rumah A. Esok, masuk pula lori menghantar peti ais ke rumah B. Lusa, ada pula rumah membeli mesin basuh. Sabah hari, ada-ada sahaja barangan yang di hantar ke rumah jiran tetangga.

Kalau dahulu, hanya rumah-rumah tertentu sahaja yang mempunyai televisyen. Itupun menggunakan bateri atau generator. Televisyen hanya akan ditonton pada malam-malam yang mempunyai cerita istemewa contohnya seperti Tayangan Wayang Gambar pada malam Jumaat. Dewi Puspa pada malam sabtu. Pertandingan Bola sepak pada musim perlawanan.

Masa-masa seperti itu, ada diantaranya mengambil sedikit kesempatan dengan mengenakan bayaran masuk. Bukannya mahal - hanya 10 sen untuk satu tayangan. Kami adik-beradik berusaha memperuntukkan duit bayaran masuk untuk menonton Tayangan Wayang gambar.

Sambil menonton, tuan rumah membuat promosi :

"Kerepek ubi pedas, rempeyek, kacang botak...semuanya 10 sen sahaja"
Rumah mereka akan di tutup rapat apabila tayangan bermula. Sesiapa yang ingin menonton tayangan gambar separuh harga, mereka hanya dibenarkan masuk selepas separuh cerita ditayangkan!

Lalu, dengan kedatangan LLN ke rumah penduduk kampung maka berakhirlah era kenaan bayaran untuk menonton TV di rumah orang!

Pada masa cuti semester, abah pulang ke kampung halaman dengan membawa berbagai barangan eletrik keperluan di rumah. Wah! Bertambah lagi cabaran saya untuk menghadapi peperiksaan [SRP] kerana terlalu banyak cerita-cerita yang menarik di TV [RTM1 dan RTM2]

"Malam ini ada cerita Charlie's Angle. Esok, Six Million Dollars Man. Lusa,Bionic women.Wahhhh..best! Best! "

"Habis tu tuisyen macamana..?"

"Tu laaa..apa ikhtiar kita ni.."
Saya paling suka menonton cerita Little House On the Prairie, The Sullivants dan menonton filem dokumentari mengenai tempat-tempat menarik di luar negeri. Saya sering berdoa, berangan-angan dan berbisik-bisik di dalam hati semasa menonton TV.

"Ya Allah, Mudah-mudahan saya diberikan peluang untuk ke luar negeri. Diberikan izin untuk melihat kebesaran dan kehebatan ciptaan-Mu.

Wahai tuhan, jika saya tidak mampu untuk pergi dengan kudrat sendiri..temukanlah jodoh dengan suami yang boleh membawa saya ke sana.

Ya Allah, perkenankanlah.."

Friday, July 17, 2009

Surat dari abah

Tahun itu, rutin harian saya agak ketat sekali. Meneman mak memunggut durian di awal pagi sebelum ke sekolah. Bersekolah Agama di sebelah petang. Tuisyen di sebelah malam. Hujung minggu ke kebun koko bersama mak dan jiran tetangga yang mengambil upah untuk bekerja.

Saya telah pandai membonceng motor kapcai yang abah tinggalkan.

Pulang dari kebun durian, saya akan bergegas berkemas diri untuk ke sekolah. Selalunya di waktu pagi abang Mail [abang kepada Adib] akan menghantar kami hingga ke pengkarangan sekolah dengan kereta jenama Fiat. Pulang sekolah nanti, kami menaiki bas awam.

Kadang-kadang apabila sudah terlalu lewat, saya terpaksa ditinggalkan. Saya akan berlari-lari ke hujung jalan di pinggir kampung untuk menumpang bas dari Ladang Naggapa. Jika tidak, saya akan menanti di tepi jalan besar untuk menaiki bas awam atau bas Felda Sri Ledang yang datang dari arah Muar.

Sukar. Namun, kesukaran mengajar saya erti sabar. Sedikit sebanyak ia membina semangat kental.

Saya sentiasa berdoa agar abah kembali untuk saya menjalani kehidupan seperti dahulu. Suatu hari saya menerima sekeping surat bersampul perang bercop "Lembah Pantai". Tulisan tangannya amat saya kenal.

Kehadapan Anakanda yang dikasihi,

Tujuan ayahanda menulis lembaran ini adalah untuk bertanyakan khabar tentang keadaan keluarga. Mudah-mudahan mereka di dalam keadaan baik-baik sahaja. Untuk pengetahuan, ayahanda berada di dalam keadaan sihat walafiat.

Anakanda,

Di dalam keluarga, ayahanda menganggap anaknda lah harapan semua.....
...................
...................

Akhir kata, belajarlah dengan tekun. Berusaha tangga kejayaan. Ingat! Kita bukan datangnya dari keluarga yang senang. Hanya ilmu pelajaran yang dapat mengubah corak kehidupan sesaorang. Oleh itu, jangan dihampakan harapan ayahnda dan ibunda.

Ayahanda yang jauh,
....................................

Surat itulah yang telah mengubah prespektif saya terhadap abah.

Thursday, July 16, 2009

Abah di mana?


Awal tingkatan 3, abah memberitahu kami bahawa beliau akan berkursus selama dua belas bulan di Maktab Perguruan Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Barulah saya tahu, di dalam diam rupa-rupanya abah belajar secara sambilan.

Katanya, dia menerima tawaran sebagai guru dengan menggunakan sijil darjah enam. Mengambil peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran [SRP] dan seterusnya Sijil Pelajaran Malaysia [SPM] beberapa tahun kemudian.

Sebelum berpergian, abah membawa saya dan mak ke kebunnya pada hujung minggu. Kami melihat bagaimana rutin abah bekerja di kebun koko.

Bermula dengan memetik buah koko dan mengumpulkannya di sebuah pondok kayu di tengah-tengah kebun. Apabila buah telah banyak terkumpul, proses seterusnya adalah mengeluarkan isi. Memasukkan isi koko yang basah ke dalam guni.

Sementara itu, koko yang separuh kering di jemur di pelantar simen bersebelahan pondok. Biji koko yang telah kering di masukkan ke dalam guni yang berasingan. Di angkut ke dalam bonet kereta untuk di jual kepada peraih koko yang berhampiran.

Biji-bijik koko yang basah dicurahkan ke dalam bakul rotan untuk proses penapisan. Dibiarkan ia semalaman. Esok, barulah biji koko tersebut akan dikeluarkan untuk di bawa ke jemuran.

Senyap sunyi. Tiada perbualan. Masing-masing tekun melakukan pekerjaan.

Kami hanya berhenti untuk menjamah nasi bekalan juadah makan tengahari dan solat zohor. Kemudian, kerja diteruskan lagi. Berhenti untuk solat Asar dan berehat untuk minum teh sebentar. Sebelum pulang, abah mencantas beberapa tandan pisang. Hampir senja baru kami beredar pulang.

Jika musim buah, abah akan bekejar pula ke kebun duriannya. Memunggut durian seawal selepas subuh. Rutin kerja kebunnya seperti biasa.

Baru saya faham betapa kuatnya abah bekerja. Saya hanya melihat abah menjalankan rutin pekerjaannya di hujung minggu sahaja. Bagaimana dengan hari-hari biasa? Patutlah saya dapati hampir setiap hari selepas Isyak, abah terlantar kepenatan. Dengkurnya bergemuruh memecah kesunyian malam.

Kadang-kadang saya ternampak kesan-kesan calar , lebam dan bengkak di kaki serta hampir ke seluruh badan abah. Tidak pernah pula dia mengeluh kesakitan. Sesekali sahaja abah meminta saya menyapukan minyak panas di labu betisnya.
"Esok-esok, kalau abah tiada..awak jangan lupa menjenguk kebun. Kebun durian di sini, kebun sawit di sana, kebun cempedak di situ..."
Diam.
"Walaupun abah tiada, adik-adik jangan dilupakan. Jaga kebajikan mereka..."
Diam.
"Belajar. Ilmu Suluh Hidup. Membaca kunci pengetahuan"
Saya hampir pengsan mendengar pesanan!

Monday, June 15, 2009

Terima kasih, Allah.

Bimbang, gentar dan berdebar-debar.

Itulah perasaan semasa memulakan perjalanan ke tanah suci Mekkah. Apatah lagi bersama saya adalah suami, anak-anak lelaki, mak yang semakin uzur, abah yang menghidapi kanser pundi kencing dan adik Ayu yang menghidapi kanser payudara.
Ada alasan, banyak perkara yang saya perlu bimbangkan. Hati! Saya boleh mengunci mulut agar tidak berkata-kata tetapi, tidak untuk hati! Ia sentiasa berbicara. Tanpa henti. Walaupun mata ini telah tertutup namun, 'Hati' masih berjaga.

Terima kasih, Allah.

Kerana sepanjang kami menunaikan umrah,
Dia mengawal kadar kekerapan buang air kecil mak dan abah.
Kerana di dalam kesakitan,
Ayu mampu senyum dan menarik nafas lega,
Kerana di dalam persimpangan,
suami dan anak-anak bahagia menbawa haluan sendiri

Terima kasih, Allah.

Kerana membawa pulang kami kembali ke tanah air ini.
Muga pulang kami membawa erti.
Muga kami menjadi lebih beriman dan bertakwa di sisi-Mu,
Lebih merasa kehinaan diri
Sesungguhnya kami datang dari-Mu, kepada-Mu jua kami akan kembali.

Wednesday, June 10, 2009

Abah, pakailah diapers..


Dari Jementah ke Melaka hanya mengambil masa lebih kurang dua jam sahaja, tetapi hampir setiap hentian kami terpaksa berhenti kerana abah tidak dapat menahan untuk membuang air kecil di sepanjang perjalanan. Ada ketika saya melihat beliau berkerut-kerut menahan kesakitan kerana tiada berjumpa tempat hentian.

“Abah, pakailah diapers. Tidak mengapa, biar ia beralas. Takut-takut kalau abah terlepas.”

Saya mengusik tetapi berwajah tegas. Namun, abah menolaknya. Ia bukan kali pertama abah mengalami keadaan seperti itu. Beberpa bulan sebelumnya, kami telah membawa abah ke Hospital Pakar di Damansara bagi membuat rawatan “chemotheraphy” bagi rawatan kanser pundi kencingnya. Kata doktor yang merawat, abah berada di tahap ke dua. Terdapat juga sedikit bengkak prostat. Namun, itu adalah perkara biasa bagi lelaki yang seusia abah. Sebanyak empat kali rawatan yang telah dijalani kesemuanya. Kini, sakit itu kembali.

Apabila abah ingin mengikut kami pergi menunaikan umrah, hampir setiap malam kami suami isteri bersolat hajat dan bersembahyang istiharah. Kami tidak mahu keadaan penyakit abah merebak dan menjadi penyebab terhalang perjalanan serta menambah kesakitannya.

“Jadi abah hendak pergi umrah?”

“Ya. Umur abah sudah hampir 70 tahun. Kalau ditakdirkan abah mati pun tidak mengapa. Allah telah memberikan kesihatan yang baik selama ini. Cuma beberapa bulan kebelakang ini sahaja yang diuji oleh-Nya. Apa lagi yang abah takuti, kerana rakan-rakan sebaya abah juga ramai yang telah tiada. Mati itu pasti terjadi walau dimana-mana kita pergi.”

Tuesday, June 9, 2009

Ziarah Terakhir

Dari tingkat 21 di sebuah Hotel mewah berhampiran Baitullah.

Subhanallah! Alhamdulillah! Allah Hu Akhbar!

Sebaik sahaja pintu bilik di buka, ingin rasanya saya sujud rebah menyembah Allah yang Esa di atas karpet merah yang lunak lagi empuk itu . Bagaimana mungkin saya dapat melihat kaabah dari tingkap dan posisi itu jika tidak kerana seorang insan yang berhati mulia menjemput kami ke sana.

Saya rasa dimuliakan. Berdiri kerdil di bangunan pencakar langit itu sambil melambai kaabah di celah kepulan awan. Sebelum pergi, kami sempat menumpang mengecap nikmat perasaan orang-orang terhormat dengan mengambil wuduk di bilik air mewah itu. Ah! Tidak termimpi di dalam hidup ini akan dapat ke tingkat 21 di hotel mewah seperti itu!

"Ya Allah, saya amat berbesar hati dengan jemputan dari Encik Azli. Jika tidak kerana jemputan tuan, tidak mungkin kami mampu untuk sampai ke tingkat ini."
Tiada ucapan yang lebih indah dapat diungkapkan. Tiada lukisan yang dapat mengambarkan kemuliaan yang diberikan. Sesungguhnya tiada!

Sambil berjalan pulang, ada air mata berlinangan. Teringat abah, mak dan adik Ayu yang ditinggalkan di hotel dua bintang kami buat seketika. Alangkah seronoknya jika pengalaman itu dapat dikongsikan bersama.

Di dalam diam saya merasakan inilah saat-saat paling manis kami bersama. Jika ditakdirkan saya akan pergi dahulu daripada mereka, pasti ziarah terakhir ini akan di simpan sebagai kenangan paling indah di dalam hidup saya.

"Ya Allah, berikanlah diri ini kesabaran, kekuatan hati dan perasaan. Kekuatan fizikal dan mental."

"Permudahkanlah segala urusan kami untuk menjalani ibadah umrah ini. Ya Allah, bersama-samaku adalah suami, anak-anak lelaki, seorang ibu tua, abah dan adik perempuan yang menghidapi kanser. Tiada daya upayaku menjaga mereka. Aku serahkah semula mereka kepada-Mu, Ya Allah."

"Ku hadapkan wajahku kepada-Mu. Sesungguhnya ibadatku, setiap amalanku dan diriku..Ku serahkan sepenuh hati kepada-Mu."

Monday, May 11, 2009

Tribute untuk Abah




Hari ini adalah hari kelahiran abah.

Terharu malah bersyukur kerana di dalam usia begitu saya masih lagi dapat menatap wajah abah, mencium tangannya dan mendakap dengan pelukan sayang.

Tidak terlintas di hati , bahawa Allah mendengar bisikan hati.

Doa-doa yang pernah dilafazkan ketika hati menahan tangisan berpuluh-puluh tahun yang lampau. Ketika ucapan tidak terluahkan. Ketika diam itu lebih indah.


Hari ini lebih bermakna. Abah di samping saya. Allah makbulkan permohonan untuk berada di sisinya. Ia berlaku di depan mata, saya menyaksikan abah semakin meniti usia tuanya.

Dahulu, penuh giginya. Kini, ia jatuh satu persatu. Dahulu, kuat tenaganya. Kini, segalanya tidak lagi sama. Amat jauh berbeza. Setiap hari selepas solat subuh, tubuh lelaki itu terdampar layu dan lesu .. Dulu, tidak terbayangkan bahawa di dalam waktu seperti itu ia terbaring sendirian .. Merengkuk, berselubung, bergulung dengan selimut di dalam ruang usang.

Di dalam hidup, terdapat dua orang insan lelaki yang ingin sekali saya menangi hatinya. Ia bukan mainan, malah boleh dikatakan ia suatu perjuangan. Hati dan perasaan.

Abah merupakan salah seorang daripadanya. Bagaimana mungkin saya menolaknya. Beliau yang kelihatan garang namun sebenarnya menyembunyikan kasih sayang sejati di dalam diri. Beliau yang sering menunjukkan ketegasan di dalam membuat keputusan, ternyata ia merupakan permata wasiat bekalan untuk anak-anak simpan di hari muka.


Abah tidak pernah memberikan rasa simpati kepada diri nya sendiri. Beliau sangat kuat bekerja dan terus bekerja sehingga mendapat apa yang di cita. Malah abahlah pencetus semangat sepanjang hayat.

Katanya, cita-cita jangan terhenti. Jika tidak mampu berlari, merangkaklah
hingga membawa mati. Teruskan perjuangan apa yang dicitakan selagi hayat di
kandung badan.

Anak-anak tidak pernah dewasa pada pandangan matanya. Dari saat masih berhingus di muka sehinggalah telah berumah tangga, Abah sentiasa menganggap saya masih seperti anak kecil nya. Anak yang sering menyatakan "Abah tidak sayangkan saya.."

Masih terbayang di depan mata, bagaimana abah melambaikan tangan dan melihat saya pergi bagaikan dia tidak akan melihat saya lagi. Bumi Scotland dan Wales,UK bagaikan titik pemisah di antara kami..

Walhal, apabila berkata bahwa saya merindui suaranya, abah sanggup terbang mencari anaknya yang satu ini dari kampus ITM Dungun sehingga lah ke luar negeri.

Biar dekat mahupun jauh, kata nasihatnya tidak pernah putus. Pernah di dalam suatu kejadian, apabila perkataan tidak terlahirkan..surat menjadi penyambung untuk berhubung. Seluruh tubuh, longlai dan lemah, apabila abah menulisnya dengan begitu berhemah.


Apa lagi yang harus saya kata..apabila terbukti di depan mata, kasih sayang dan kerinduan abah kepada anak-anaknya. Tidak terjangkau dek fikiran, tidak terbayang dengan pandangan mata. Anak-anak yang dahulunya tersangat nakal tetapi abah memukul dengan cekal. Ternyata pukulan dan sebatan semalam memberi pesanan mendalam agar anak menjadi seorang insan yang berperasaan.


Abah Oh Abah.

Saya masih di sini. Menanti.
Merindui sebatan semalam yang amat mengesankan. .


Friday, May 8, 2009

Puteri Mandi

Bulan-bulan yang bahagia.

Terdapat pelbagai perubahan di dalam rumah yang ketara. Pada pandangan kami abah telah semakin kaya. Hari demi hari semakin bertambah rezeki.

Dahulu, jika tetamu datang bertandang hamparan tikar mengkuang kami bentangkan. Bila malam tiba, tilam kekabu bersama kelambu di pasang bagi menghilangkan keletihan. Kami tidak sesekali merasa sebarang kekurangan, walaupun sepupu -sepupu sering bertanya kenapa rumah kami kelihatan kosong sahaja.

"Kak Ngah, Abah kita beli kerusi set."

"Ada lagi?"

"Ada. Katil dua tingkat!"
Kami hampir pengsan kerana tidak percaya apa yang berlaku di depan mata. Kepada kawan-kawan di sekolah, saya rasa bagaikan nak pecah dada disebabkan perasaan membuak-buak ingin memberitahu mereka. Mahu rasanya saya membuat pengumuman,
sebagaimana kebanyakan rakan sekelas mengumumkan.

Kadang-kadang rasa cuak pun ada kerana perkara remeh temeh pun mereka hendak kongsikan bersama. [ TV, dapur gas, langsir, alas meja malah cermin mata. Haah..Cermin mata?]

Hati kuat menyuruh menahan agar berita sebegitu tidak perlulah disebarkan. Cukup! Pendamkan perasaan. Nikmatilah perasaan gembira. Biarkan ia bergelodak di dalam dada. Namun, sayangnya..perasaan begitu selalunya ia tidak kekal lama. Suatu hari, terpecah juga ceritanya.
"Haa..kita ada kerusi set dan katil macam tu dah lama.."
Menyesal kerana memberitahu mereka.

Lalu, saya sampaikan pula kepada Mak Wa. Sebagai balasan, Mak Wa ajarkan sejenis kuih kegemaran anak lelakinya.
"Abah awak suka kuih ini. Namanya kuih "Puteri Mandi." Nah, berikan kepadanya."

"Awak tahu kan, kadang-kadang perasaan serta rasa terima kasih tidak dapat diucapkan dengan kata-kata."

"Ada caranya. Lihatlah bagaimana abah awak tunjukkan tanda kasih kepada anak dan isterinya.."