Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Showing posts with label Muasabah Diri. Show all posts
Showing posts with label Muasabah Diri. Show all posts

Sunday, August 28, 2011

Pulanglah..

Dahulu, setiap kali di rantau orang saya paling terkesan dengan lagu "Pulanglah" Nyayian Dato' Shake. Bukannya lagu "Dendang perantau" Nyanyian P.Ramlee.

Namun pada Ramadhan tahun lepas, ketika hari terakhir di dalam kelas saya sengaja bertanya kepada pelajar tentang kedua-dua lagu tersebut. Selingan bagi menghilang mengantuk ketika pelajar kehilangan mood lantaran hari-hari terakhir untuk pulang ke pangkuan keluarga bagi menyambut hari raya.

"Dendang Perantau..nyanyian P.Ramlee."

"Emm..sebenarnya kamu kenal ke tidak Dato'Shake tu?"

Mereka tersenyum-senyum sambil mengeleng-gelengkan kepala. Memang patutpun begitu kerana penyanyi itu popular pada era saya bukan mereka.

"Baik..selalunya apabila kamu pulang apa yang kamu buat di atas keretapi, kereta atau bas?"

"Tidur!"

Serentak mereka menjawab. Saya pula tergelak kecil mendengar pengakuan ikhlas dari mereka. Saya pasang umpan.

"Sebelum tidur..kamu buat apa ya?"

"Berborak-borak atau Dengar MP3 puan.."

"Ooo..Dengar lagu raya?"

"He..he..Taklah..lagu Justin Bieber, bertajuk "Baby"

Umpan itu mengena.

"Ya Allah.. Kenapa tidak sebelum menaiki kenderaan kamu mengucap dua kalimah syahadah. Jemu mendengar lagu, berzikir pula sebelum tidur."

Mereka membulatkan mata, sambil memasang telinga untuk mendengar tazkirah saya di dalam kelas seperti kebiasaannya.

"Mana tahu..entah-entah semasa kamu melelapkan mata untuk tidur sambil mendengar lagu "Baby" tu.. pakcik driver tekan brek kecemasan.. apa yang terkeluar dari mulut kita?"

"Ya Allah! Atau Allah Hu Akhbar..."

Mereka seperti tahu apa jawapan yang saya mahukan. Tetapi bukan itu tersirat dalam hati saya.

"Bukan..Takut-takut nanti ditakdirkan Allah sampai ajal kamu kerana kemalangan.. Apabila ibubapa kamu bertanya orang yang duduk di sebelah kamu, apakah ucapan terakhir yang terlafaz dari bibir... Ungkapannya adalah " Oh baby! "

Mereka tergelak besar. Barangkali mereka tidak akan tergelak begitu jika perkara itu benar-benar berlaku.

Buat rakan-rakan yang dikenali secara nyata atau di alam maya dan pelajar-pelajar yang saya sayangi ...Salam Aidil Fitri. Mohon maaf jika selama ini ucapan saya agak kasar dan ada yang terguris hati. Saya tidak berniat begitu.

Thursday, August 11, 2011

Syarahan terakhir

Pagi ini suasana kampus desa pingitan aman damai. Sana sini kabus masih menyelubungi kehijauan pepohon. Udaranya segar amat!
Saya melangkah ke Dewan kuliah yang terletak di puncak bukit dengan penuh debaran. Hati terdetik;

"Apakah siswa siswi sudah bangun dan memenuhi dewan kuliah ini? Ah! mengapa perlu gusar. Tugas kita hanya menyampai. Samada mereka diberi taufiq dan hidayah, serahkan segalanya kepada Allah.."

Saya berjanji kepada diri tidak kuasa lagi melakukan serangan berani mati! Biarkan luncai terjun dengan labu-labunya! Biarkan..biarkan.

Namun, sebaik sahaja pintu utama Dewan kuliah di kuak... Subhanallah! Siswa siswi memenuhi setiap ruang tempat duduk. Saya terkedu. Para siswa berpakaian kemas, berkemeja malah ada memakai tali leher. Siswi hampir 90% menutup aurat. Mereka bertudung.

"Alhamdulillah! Terima kasih Allah," saya berbisik di dalam hati.

Syarahan terakhir pada pagi ini kami sudahi dengan bacaan fatihah serta terjemahannya;


"Anak-anak ku..Bersyukurlah dengan nikmat yang telah Allah limpah kurniakan kepada kita. Jadilah hamba-Nya yang semakin dekat dan tunduk kepada Dia yang maha kuasa. Nanti jika kamu berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat Diploma.. hadiahkan senaskah al-Quraan berserta terjemahaan untuk diri sendiri. Bacalah terjemahannya seperti kamu membaca buku cerita setiap hari. Kelak kamu mengerti bahawa Allah itulah sahaja yang patut di sembah, tempat kita memohon pertolongan."

Mereka diam.


"Al-Quraan itu penawar hati. Bacalah terjemahannya.. Kelak kamu akan tahu bahawa Allah itu maha pemurah lagi maha mengasihani. Dia sentaiasa memberi walau tidak di pinta. Lihatlah di dalam diri. Setiap kerdipan mata, setiap hembusan nafas dan pergerakan anggota badan yang dipinjamkan.. tidak terbalas dengan amalan kita yang sedikit, dengan ilmu kita yang cetek. Oleh itu.. jadilah hamba-Nya yang bersyukur.. Nikmat Allah yang mana satukah lagi mahu kita dustakan?"


Pagi tadi pelajar siswi beratur panjang untuk bersalam. Mereka mendakap erat. Setiap seorang ada getaran. Wajah tulus mereka seolah-olah berjanji untuk berubah. Dalam diam saya berdoa agar mereka berubah kerana Allah. Agar tidak dipaling hati mereka setelah diberi taufiq dan hidayah-Nya..


Usai di Dewan kuliah, saya bergegas pula ke kelas pengurusan sumber manusia di tingkat satu. Seorang pensyarah muda belia tersenyum menunggu di dalam kelas itu. Subhanallah! Jika dia tidak memperkenalkan diri.. pasti saya fikir dia salah seorang siswi. Kelas itu kami sudahi dengan kesimpulan;


"Di dalam proses pemilihan pekerja di mana-mana organisasi, jika satu jawatan yang ditawarkan..dalam seramai-ramai yang memohon pekerjaan hanya yang terbaik terpilih. Jadilah kita insan yang terpilih itu. Sebagaimana Allah berfirmah di dalam surah al-Waqiah, hanya sedikit sahaja golongan terpilih di akhir zaman.. Jadilah kita yang sedikit itu."

Mereka mengangguk perlahan.


"Pandanglah setiap apa yang kita pelajari dengan pandangan mata hati. Lihat bagaimana Allah membuat misal perbandingan di dunia. Setiap tahun majikan di dalam organisasi memberikan latihan kepada pekerja agar mereka meningkatkan potensi diri dan produktiviti. Prestasi kerja mereka akan dinilai... Yang cemerlang menerima anugerah.


"Jadi dalam konteks bulan Ramadhan, setiap tahun Allah memberi kita peluang untuk latihan bangun solat malam. Kita mampu bangun untuk makan sahur selama sebulan, mengapa tidak kita mengambil peluang untuk berlatih solat malam? Kita di latih berpuasa setiap hari di bulan Ramadhan, mengapa tidak kita melatih diri untuk puasa hari Isnin dan Khamis? Bukankah kita mahu menjadi yang cemerlang?"


Ah! Barangkali saranan saya kepada mereka agak melampau. Namun, dari riak wajah saya fikir mereka mampu berfikir. Dalam perjalanan pulang, masih terniang-niang gema suara saya yang semakin lemah, sayu bercampur sebak memohon keampunan Allah.


"Wahai Tuhanku.. bersaksilah oleh-Mu bahawa hari ini telah daku sampaikan risalah dari wasiat terakhir kekasih-Mu Rasulullah SAW menyatakan bahawa mereka yang di akhir zaman nanti lebih mengerti. Benar, hari ini.. terlepaslah sudah tanggungjawabku ya Allah terhadap mereka..


"Sesungguhnya daku manusia lemah lagi tidak berdaya..."

Friday, August 5, 2011

Sampaikan salam..

Pagi semalam dewan kuliah yang boleh memuatkan 200 pelajar kelihatan lengang sahaja. Majoriti hanya siswi yang hadir.

Selepas sepuluh minit menunggu, 5 orang siswa pula muncul. Minggu ini kuliah sudah masuk hampir minggu ke 10.

Kehadiran siswa siswi program Mengubah destini anak bangsa amat daif sekali.

"Siswa siswi yang hadir..sila lihat kiri dan kanan. Tolong telefon rakan sekelas yang belum hadir. Sampaikan salam saya.. beritahu mereka saya menunggu. Minta mereka datang ke dewan kuliah ini sekarang!"


Saya hairan bagaimana pelajar yang tidak begitu bagus keputusan peperiksaan SPM, diberi peluang belajar tetapi tidak tahu bersyukur. Apabila diberikan peluang itu, mereka cuai. Kebanyakan mereka lebih suka berlengkar, membuang masa di dalam hostel.

"Beritahu rakan kamu tidak rasa bersalahkah sedangkan ibubapa fikir anak-anak mereka sekarang sedang pergi kuliah"

Siswa siswi yang hadir mula menelefon rakan sekelas mereka seorang demi seorang. Ada yang melaporkan telefon rakan mereka tidak diangkat. Sepanjang mengajar di unversiti ini, jarang sekali saya menghadapi situasi begini. Barangkali pelajar peringkat pra diploma pendekatannya harus berbeza. Mereka juga pra matang. Peluang belajar disia-siakan.

"Baik. Pelajar tutorial kelas saya tolong angkat tangan."

Daripada 32 orang, hanya lima orang mengangkat tangan. Lalu saya membuat bancian, jika setiap kelas ada 30 orang di darab dengan 6 kelas.. jumlah keseluruhan sepatutnya mencecah 200 orang pelajar. Kehadiran pagi itu sangat daif!

"Baik..pelajar tutorial kelas J mari ikut saya ke kolej kediaman.. kita kejutkan rakan-rakan yang masih tidur dan cuai itu."

Mereka terkejut dengan keputusan saya yang agak drastik. Memang, saya tidak pernah melakukan perkara seumpama itu. Tidak pernah. Namun, hari itu saya nekad. Mereka perlu dikejutkan.

Lalu, saya memandu kereta diiringi pelajar siswi menuju ke kolej kediaman. Kami mengetuk pintu-pintu bilik siswi yang sedang leka, lena dan lalai menjalankan amanah mereka. Mereka sepatutnya berada di dewan kuliah tetapi mengambil keputusan untuk berbaring sahaja di bilik hostel. Pelik! Bukankah mereka juga yang beria-iya memohon untuk belajar dengan mendapatkan sokongan ketua kampung, pegawai daerah, kadi dan juga pak menteri?

"Bangun! Bangun! Pergi kelas sekarang...!"

Mereka membuka pintu, terpisat-pisat mengosok mata. Ada juga yang masih terbaring tanpa rasa bersalah. Kipas angin berpusing kuat.

"Kenapa kamu masih di sini? Bukankah kamu tahu pagi ini ada kuliah? Tidak tahukah kamu telah membazirkan duit universiti? Membazirkan elektrik. Kamu guna kipas di bilik sedangkan sepatutnya kamu ada aircond di dewan kuliah. Bangun! Pergi kuliah sekarang"

Saya rasa seperti memarahi Sara atau Azrai, anak sendiri.. Ah! Sifat semulajadi "emak-emak" muncul mendadak. Bukan di buat-buat.

Pagi itu hampir satu jam kami menunggu mereka yang dikejutkan ke Dewan kuliah. Mereka masuk pasukan demi pasukan. Baik siswa atau siswi mereka muncul dengan wajah terkejut, kusut masai dan tidak bersedia. Barangkali mereka tidak menduga dengan tindakan "gila" saya.

"Dengar sini baik-baik.. kamu sebenarnya memang tidak layak untuk belajar di universiti jika di ukur dengan keputusan SPM. Tetapi Allah memberi kamu peluang itu. Diberikan pula duit saku sebanyak RM400 sebulan.. Sedangkan siswa siswi pengajian Diploma yang keputusan SPM mereka ada A.. tidak mendapat ganjaran itu. Di setengah-setengah kampus, mereka duduk di luar. Harus menaiki bas untuk datang kuliah. Tidak tahu bersyukurkah kamu? "

Saya sambung lagi.

"Tidakkah kamu telah membazirkan masa? Mengabaikan peluang yang ada? Memang benar Allah berfirman dalam surah Ar-Asr yang bermaksud," Demi masa..sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman.."

"Jika kamu tidak berminat untuk belajar..esok hari Jumaat, kemas baju. Balik lah kampung dan jangan datang lagi. Tidurlah puas-puas di rumah."

Saya berleter panjang. Bersesuaian dengan topik sarahan pagi itu " Time Management" saya menyentuh tentang orang-orang yang gagal memanafaatkan masa sedangkan setiap manusia diberikan Allah sehari semalam 24 jam setiap seorang.

Ah! Barangkali masa telah mengubah saya. Saya mula menjadi seperti orang tua.. yang saya benci dahulu.

Monday, August 1, 2011

Semakin dekat..

"Alhamdulillah..bersyukur kita kepada Allah kerana dipinjamkan sehari lagi bagi kita menghela nafas, mengerdipkan mata dan mengerakkan tubuh anggota. Diberikan kesempatan kita bersama orang tersayang.. Kerana esok tiada siapa yang tahu. Jangankan esok.. malam inipun kita tidak dapat mengetahui apakah yang akan terjadi. Jangankan malam ini..sebentar nanti pun kita tidak tahu apakah yang akan berlaku."

Tiba-tiba terpacul keluar barisan ayat yang diilhamkan oleh Allah bagi dikongsikan bersama dalam satu majlis persatuan wanita.

"Sehari lagi Allah pinjamkan nyawa kepada kita bermakna titk permulaan dari tarikh kelahiran yang ditinggalkan semakin jauh. Masa yang tersisa semakin singkat. Mari kita merenung diri.. sudah bersiapkah kita untuk menemui-Nya?"


Hati jadi sayu dan terkedu apabila pengerusi majlis bertanya tentang biodata diri sebelum perkongsian pengalaman dimulakan.

"Boleh kami tahu latarbelakang diri dan apakah kekuatan puan dalam memberi ceramah ini?"
Saya menyoal diri," Ya Allah..kenapa daku di sini?"

"Er..saya bukan siapa-siapa. Orang biasa-biasa. Tiada pangkat, tiada darjat. Kudrat inipun hanya Allah pinjamkan sementara sahaja.. Maaf, jika puan fikir majlis ini tiada manafaatnya dan mengambil masa.. puan boleh batalkan sahaja."

Saya sedar diri. Hampir satu jam menunggu kehadiran peserta lain membuatkan jawatankuasa tertinggi resah gelisah. Mereka menyandar hampa. Sesekali SMS telefon bimbit berbalas jawab. Laptop uzur saya semakin ketara uzurnya. Terkelip-kelip dan bila-bila masa sahaja kehabisan bateri. Namun, melihat rakan saya yang tiada kena mengena dengan persatuan itu berusaha keras menyediakan AV sistem, mencari wayar penyambung.. saya rasa bersalah, lalu berserah diri kepada Allah.


"Puan.. technician tiada di pagi minggu ini.. Tak ada laptop dan LCD pun tidak mengapalah..puan cakap sahaja apa yang mahu disampaikan. Kami mahu segera pulang ke rumah untuk memasak"



Begitulah yang diucapkan oleh salah seorang ahli majlis tertinggi persatuan wanita itu. Barangkali tinggi darjat dan pangkatnya. Saya kasihan melihat rakan yang berusaha keras mahu majlis itu direalisasikan, berubah wajahnya.

Saya mohon keampunan dan kekuatan dari Allah. Sedar, itu sebahagian dari ujian. Barangkali agak keras juga ucapan saya kali ini apabila menceritakan sedikit pengalaman berpesatuan.


"Puan-puan yang saya muliakan..Tahukah puan bahawa wajah-wajah yang hadir di sini adalah insan terpilih. Di pilih oleh Allah. Pernahkah puan terfikir kenapa setiap seminar, majlis dan program persatuan hanya muka-muka sama sahaja yang menghadirinya? Hanya segelintir.. Jadi benarlah Allah berfirman, di akhirat nanti wajah orang beriman dapat di lihat. Wajah mereka bertanda dan bercahaya. Sedangkan di dunia pun telah ditunjukkan perumpamaannya.."

Saya melihat mereka yang mulanya tidak menunjukkan minat, tiba-tiba mengambil perhatian.

"Ya Allah, kenapa puan-puan berada di sini? Sedangkan di rumah puan ada amanah yang telah dipertanggungjawabkan oleh Allah..sebagai isteri, ibu, anak kepada ibubapa dan barangkali juga sebagai nenek kepada cucu.."

Saya sambung lagi.

"Jadi..apa perlu puan di sini? Apa tujuan puan di sini? Bukankah kita di cipta Allah sebagai khalifah di muka bumi agar menyembah dan beribadat kepada Dia yang maha kuasa? Jadi.. jika puan terpilih menjawat jawatan tertinggi, dengan pangkat, darjat dan kuasa..apakah itu dapat mendekatkan diri kita kepada Allah yang mencipta? Menjadikan setiap urusan yang dilakukan tidak lain melainkan sebagai suatu ibadah ikhlas kerana Allah dan semakin tunduk rebah menyembah-Nya?"

Semakin celupar mulut saya.

"Hebat sangatkah kita? Dan ingatlah suatu hari nanti kita pasti akan menemui-Nya. Allah akan bertanya tentang tanggungjawab yang di sandang oleh kita. Barangkali..orang bawahan yang tiada pangkat serta darjat itu lebih mulia di sisi Allah berbanding dengan kita. Jika apa yang mereka lakukan ikhlas...serta gentar dengan kemurkaan Allah."

Bicara saya mula mengendur.

"Jadi...lakukan sesuatu itu ikhlas kerana Allah bukan kerana mereka. Kerana amanah Allah kepada kita.."

Astaghfirullah! Maafkan saya kerana terkasar bahasa. Saya memang sentiasa mengelak diri untuk di panggil berbicara. Barangkali Allah lebih mengetahui apa yang tidak saya ketahui apabila saya menyoal diri," Ya Allah..kenapa daku di sini?"

Wednesday, July 27, 2011

Ramadhan terakhir..

Semalam kelas subjek pengurusan sumber manusia dimulakan agak lewat beberapa minit. Ada beberapa pelajar yang tidak datang tepat pada waktunya sedangkan mereka tahu hari itu adalah hari pembentangan kerja berkumpulan.

"Tahukah kamu adalah bakal pemimpin di masa akan datang? Kamu berpotensi menjadi pengurus, menjadi ketua jabatan. Kita harus menjadi model atau mentor kepada pekerja. Mereka melihat kita..."



Saya mulakan khutbah di pagi hari. Barangkali mereka baru balik dari cuti pertengahan semester. Barangkali mereka sudah terlupa. Biar saya mengingatkan mereka.

" Dalam konteks pelajaran pengurusan sumber manusia, kita antara pengubal polisi dan pengamalnya dalam aktiviti organisasi.. Kalau kita mahu staf datang tepat pada waktunya, kita juga harus begitu. Di dalam Islam..waktu menjadi keutamaaan."



Lalu mereka diingatkan dengan surah Al-Asr yang bermaksud "Demi masa, Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali mereka yang beriman dan beramal saleh...



Sepuluh minit kemudian muncul beberapa pelajar lelaki membawa dua pelastik besar bungkusan nasi lemak dan sebekas air. Subhanallah!

"Puan..maaf lamat sikit. Kami pergi ambil nasi lemak.. Mahu makan-makan bersama sebelum puan berhijrah ke Madinah. Minggu depan dah berpuasa..takut tidak sempat."

Subhanallah! Saya terkedu. Lalu saya nyatakan rasa terharu sambil mengingatkan diri sendiri.

"Ya Allah..kalau kamu mahu membuat kebaikan, kadangkala perlu juga dikhabarkan. Jangan sampai ia membawa perspeksi yang bertentangan kerana mereka tidak tahu. Kadangkala apa yang tersirat tidak sama apa yang tersurat..Bergurau bagi kita, menunjuk-nunjuk dikata orang.."

Mereka akur lalu memohon maaf kerana "kejutan" yang dilakukan.



Sepeluh minit terakhir, saya akhirkan kelas. Sengaja memberi laluan agar pelajar dapat mengagihkan nasi lemak dan teh-O kepada sesama mereka. Sambi mereka bergembira dengan nasik lemak mereka, saya akhiri kuliah dengan mengucapkan selamat menyambut Ramadhan.

"Wahai anak-anakku..jadikan Ramadhan pada tahun ini paling bermakna. Jadikan ia lebih baik dari tahun yang lalu. Kalau dahulu ada yang tidak menutup aurat..inilah masanya untuk kita berubah kepada yang lebih baik."

"Barangkali ibubapa kita tidak menyuruh kita menutup aurat..tetapi kita disuruh oleh Allah, disampaikan oleh Rasulullah malah disebut di dalam al-Quraan. Mudah-mudahan kita tidak lagi menggunkakan alasan tidak sampai seru..."

Mereka diam.

"Jadikan Ramadhan kali ini yang bermakna buat kita..yang terakhir. Siapa disini yang berani angkat tangan menyatakan mereka pasti menemui Ramadhan pada tahun hadapan?"

Mereka mengeleng-geleng perlahan.

"Baik..mulakan tahun ini, setiap kali kita bangun untuk sahur..ambil wuduk dahulu. Kita belajar bangun sahur untuk belajar solat malam.."

Wallahu alam. Ya Allah, tugasku hanya menyampai..samada mereka diberi hidayah dan terbuka hati, daku serahkan mereka kembali kepada-Mu. Tiada daya upaya ku..

Friday, July 22, 2011

Kicau murai semakin merdu..

Sepanjang minggu ini suasana kampus desa pingitan ini tenang sahaja. Kampus desa yang sering menjadi gurauan siswa-siswi.

"Puan, kampus tempat jin bertendang..he..he.."

Sambil senyum sinis saya membalas.

"Ya.. tempat jin yang memakai jeans. Jeans yang secara terang menonjolkan punggung-punggung anak-anak gadis manis Malaysia. Anak-anak manis itu pelajar saya..."

Mereka tersenyum sipu. Malu-malu. Tanpa sedar mereka jua terkikil manja sambil berbisik-bisik sesama sendiri seolah-olah mentertawakan diri sendiri.

"Wahai anak-anak ku.. Siapa di sini yang berani angkat tangan menyatakan jeans itu sebahagian dari pakaian perempuan Islam? Siapa yang ada di dewan besar ini tergamak menunaikan solat dengan jeans ketat yang di pakai berpasangan dengan T-shirt yang saya tahu saiz bra mereka.."

Bertambah kuat mereka tertawa. Saya provok mereka lagi sebelum memulakan sesi pengajaran.

"Ya..Alhamdulillah, saya tahu kamu semua bertudung walaupun memakai jeans dan T-shirt itu. Tetapi boleh di bawa sembahyangkah pakaian seperti itu? Benchmark atau tanda aras pakaian perempuan islam adalah ia boleh di bawa sembahyang... tanpa perlu memakai telekung."

Mereka mula diam. Tunduk memandang meja. Saya teruskan lagi...

"Ada tak di antara kamu faham makna aurat? Mahu saya terangkan...?"

Lalu saya berkongsi maklumat yang di baca mengenai aurat perempuan Islam. Dalil yang menunjukkan bahawasanya seluruh tubuh wanita adalah aurat kecuali wajah dan dua telapak tangan ialah dari HR Abu Daud yang mencatat sabda Rasulullah kepada Asma’ binti Abu Bakar,

“Wahai Asma’ sesungguhnya seorang wanita itu apabila telah baligh (haidh) maka tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini, seraya menunjukkan wajah dan telapak tangannya.”

Lima minit tazkirah sebelum memulakan sesi pengajaran adalah saat paling indah untuk di kenang. Itulah saatnya saya melihat wajah manis anak-anak perempuan pelajar saya berfikir seketika. Barangkali mereka juga seperti saya suatu masa dahulu...liat untuk mendengar ceramah agama, apatahlagi berkampung di pusat Islam. Atau barangkali mereka tidak tahu lantaran memakainya secara ikut-ikutan. Pernah seorang pelajar perempuan berkunjung ke bilik saya sambil mengesat air mata;


"Puan..bagaimana saya mahu mengaji al-quraan, bersembahyang apatah lagi bertudung..kerana ibu saya sendiri tidak melakukannya?"


Jadi, biarlah saya menjadi ibu mereka. Biar dewan kuliah ini menjadi gelanggang bagi saya menyampaikan sesuatu. Sampaikan walaupun satu ayat. Mudah-mudahan ia bermanafaat.


Sepanjang seminggu cuti semester ini tiada kelibat gadis-gadis manis berjeans ketat yang memalingkan muka mereka apabila berselisih dengan pensyarah. Pensyarah yang berkira sangat dengan cara pemakaian mereka.


Biarlah begitu...Pagi ini saya mahu menikmati suasana damai kampus tanpa hiruk-pikuk serta sakit mata dan bersedih hati melihat cara pemakaian mereka. Saya mahu menikmati kicauan murai yang sibuk mematuk jambu-jambu air yang sedang masak ranum. Kerana esok, barangkali suasana seperti ini telah menjadi kenangan.

Benar..kicau murai kedengaran semakin merdu.

Saturday, July 16, 2011

Hijrah

Kehidupan ini adalah suatu perjalanan. Sepanjang perjalanan itu kita mengutip pelbagai pengalaman. Pengalaman yang tidak ternilai harganya. Dari ilmu yang pelbagai. Ilmu yang disampaikan oleh Allah yang maha kuasa dengan pelbagai cara. Ilmu alam semesta.

Sepanjang perjalanan itu saya temui banyak hentian. Ada gunung yang perlu di daki, ada lembah yang perlu dituruni, ada denai, ada lebuhraya, ada lencongan yang merbahaya, ada hutan belantara malah, hiruk pikuk bandaraya dan ada daerah yang sunyi.

Akhirnya ..saya bakal berhijrah ke daerah ini dan saya mahu hentikan perjalanan ini. Saya mahu ia terhenti di sini. Saya mengharapkan destini terakhir perjalanan ini.. benar-benar di sini!

Saya sudah mula terasa penat ya Allah. Barangkali benar kata orang.. itu faktor usia. Usia yang sudah tidak semakin muda. Kudrat yang ada tinggal tersisa. Saban hari lelahnya kian terasa.

Ya Allah.. titik permulaan yang ditinggalkan semakin jauh kerana garis penamat semakin dekat. Ia bagaikan dekat sekali. Seakan hampir di ulu hati..

Wahai Tuhan..izinkan saya berhenti seketika, menghela nafas..melepas lelah. Izinkan saya memulihkan semangat yang ada, mengutip iktibar dan bermuhasabah diri. Esok...saya mahu bangkit membina semangat baru, meninggalkan sesuatu yang boleh di ambil iktibar dan memperbaiki diri.

Esok..entah masih bernafaskah saya? Masih mengerlipkah mata..dan mampu bergerakkah tubuh anggota? Kerana esok saya masih mahu sujud bersyukur sebagaimana hari ini dan semalam.

Esok..saya mengharapkan agar hijrah itu lebih bererti dari semalam. Jika dahulu hijrah itu dilakukan kerana ilmu..esok saya mahu lakukan hijrah itu semata-mata kerana-Mu.

Wahai Tuhan..redhakan daku, limpahkan kasih sayang dan Rahmat-Mu. Temukan daku pada suatu pertemuan bagi sebuah pencarian. Mencari diri di dalam diri ini. wahai Tuhan..perkenankanlah..

Tuesday, May 24, 2011

Belajarlah walau ke negeri China

Waktu zohor hari itu kami sembahyang berjemaah di Beijing Foreign Studies University, China. Ia hanya sebuah surau kecil yang terletak di hujung bilik-bilik kuliah di tingkat 4.



"Puan, persatuan kami membuat permohonan bersungguh-sungguh kepada pihak pengurusan universiti bagi mendapatkan surau kecil ini." kata salah seorang siswa Tahun satu yang membawa kami ke situ.


Sebelum mengambil wuduk, kami berbual mesra dengan siswi.

"Eh, nampak macam ustazah. Apa yang bakal ustazah buat disini mengambil bahasa mandarin?" kami mengusik apabila melihat penampilan diri gadis-gadis manis Malaysia yang belajar di universiti itu. Bertudung labuh, sopan, menjaga penampilan diri dan jati diri mereka. Mereka tersipu malu.


"Ya Allah.. . Saya memohon jurusan matematik tetapi pihak JPA menghantar saya ke Beijing untuk mempelajari bahasa Cina."


"Itulah ketentuan Allah. Dia lebih mengetahui apa yang tidak kita ketahui. Dalam beratus ribu pelajar Malaysia, kamu dipilih oleh Allah bagi mempelajari bahasa Cina di negeri China. Barangkali ada sesuatu di hadapan sana..."


"Ya puan.."


"Siapa tahu, suatu hari nanti kamu semua inilah yang bakal menterjemahkan tafsir Ibnu Khatir di dalam bahasa cina lalu dibaca oleh beribu-ribu orang cina. Biar mereka tahu bahawa hanya Allah yang menjadikan langit dan bumi serta seluruh alam ini.


"Biar mereka sedar tidak ada untung atau rugi yang dibawa oleh objek-objek yang diukir oleh tangan mereka sendiri. Malah objek itu tidak sedikitpun dapat berbuat apa-apa jika terlanggar atau terjatuh dari tempat persembahan mereka. Perbuatan itu kufur malah diada-adakan sahaja."

"Benar puan..."

"Biar mereka tahu di dalam Quraan ada kisah bagaimana nabi Ibrahim menghancurkan berhala-berhala lalu meletakkan sebilah kapak di tangan patung besar yang disembah oleh kaum yang kufur. Patung itu tidak boleh berkata-kata malah tidak dapat berbuat apa-apa.


"Ya Allah puan.."

"Subhanallah! Besarnya amanah yang Allah berikan ke atas bahu kamu yang kecil comel ini. MasyaAllah! Mulianya kamu di sisi Allah yang bakal menjadi muslimah berjiwa besar bagi menjunjung panji-panji agama-Nya. Berjihad berjuang menegakkan agama Allah yang satu. Mengajak mereka ke jalan yang lurus. Semuga Allah menempatkan kamu sebaris dengan wanita-wanita mulia di zaman Rasulullah junjungan yang mulia"



Mohon maaf, saya bersyarah tanpa diminta. Ia meluncur laju tanpa dirancang. Mereka tunduk diam, merenung lantai. Namun, sekilas pandang ada air murni bertakung di pelipis mata. Sambil mengiringi kami pergi, perlahan-lahan ada yang mengesat hujung mata di bucu tudung labuh mereka.

Monday, May 23, 2011

Ku temui Dia di Beijing

Kertas kerja lawatan akademik ke Bejing digenggam kemas. Puas. Diatasnya ada lampiran surat rasmi dari pejabat Dekan dan pejabat Canselori. Tulisan huruf besar jelas tertera :

"KELULUSAN PERMOHONAN LAWATAN AKADEMIK PELAJAR KE BEIJING, CHINA"



Itu cerita bertahun-tahun dahulu.

Sewaktu saya masih lagi bergelar siswi di peringkat sarjana muda, kertas kerja itu menjadi projek besar bagi rakan sekelas. Kami terpanggil untuk ke sana apabila mempelajari beberapa subjek seperti "Tamadun Islam di China", International Business, Pemasaran antarabangsa dan Global Management. Sebagai ketua projek, kertas kerja itu sering saya bawa ke mana-mana mencari penaja bersama rakan-rakan.

Namun, kuasa Allah mengatasi segala-galanya. Sebulan sebelum berangkat pergi, selembar surat pekeliling universiti membatalkan niat dan usaha kami.

"Semua perjalanan ke negeri China ditangguhkan kerana wabak penyakit SARS."

Hari ini, Dia yang maha kuasa menunaikan permintaan saya. Kali ini, siswa-siswi lain pula yang bertungkus lumus menyediakan kertas kerja itu. Dijemput-Nya dengan keadaan yang lebih bergaya... Saya pergi sebagai pensyarah mereka.

Subhanallah! Maka nikmat Allah yang mana satukah mahu didustakan?

Sunday, May 1, 2011

Benar, itu yang tertulis...

Subhanallah! Alhamdulillah! Allah Hu Akhbar!





Terima kasih Allah kerana membuatkan publisher mengambil tindakan segera bagi menukar kaver buku di saat-saat akhir. Mereka memang effektif dan efisyen.




10 markah untuk staff mereka!





Han dan Yatie. Akhirnya Allah menemukan kami bertiga seusai majlis pelancaran buku di PWTC tempohari.






Thursday, April 28, 2011

Ada dua buku kaver serupa?

Saya menerima komen dari salah seorang bloger yang mengunjungi blog "Hidup itu indah..kenangan cerita diri."
Pandangan itu sangat saya hargai dan menerimanya dengan hati yang terbuka.

Katanya:

Salam Pn. Roza,

Masa saya baca entry pada 21 April lepas (click entry), melihat cover buku TIAIYT, saya cuba mengingat cover latar belakang buku yang sama yang pernah saya nampak dan baca sebelum ini. maaf jika Pn Roza pernah nampak atau juga baca buku yang sama..

bukunya ialah
http://kembarabuku.blogspot.com/2011/02/ya-allah-aku-tak-ingin-sendiri-karya.html

Saya menjangkakan Pn Roza akan menerimanya sebagai "itu yang tertulis.."

Emmm... Benar. Kalau itulah kavernya, barangkali editor terlepas pandang. Mereka banyak kerja agaknya. Ya Allah, itu termasuk dalam kes plagiarism jugakah? Saya mohon keampunan Allah kerana kekilafan diri.

P/s Mohon maaf banyak-banyak ya tuan Borhan Sodiq..


Thursday, April 21, 2011

Travelog Impian Abadi : Itu yang tertulis..

Alhamdulillah. Suami saya ramai kenalan yang baik hati. Namun, ada yang benar-benar tulusnya sampai ke hati. Mahu tahu siapa orangnya? Klik kenalan di sini.

Tidak terfikir pula buku ke 2 Travelog Impian Abadi : Itu yang tertulis, sudi dilancarkan oleh kenalan itu di Pesta Buku Antarabangsa 2011 PWTC.

Tarikh : 30 April 2011 (Sabtu)
Masa : 2.00 - 3.00 petang.
Tempat : Bilik Seminar Johor, PWTC

Sebagaimana saya tidak menduga saudara Sohaimi Meor Hassan sudi melancarkan buku pertama Travelog Cinta Abadi : Masa yang berlalu.

Nota :

Beberapa bulan yang lalu, kami diminta oleh publisher untuk mencadangkan cover buku.. Lalu, kaver di bawah kami paparkan. Terima kasih kepada pembaca blog dan FB kerana sudi menurunkan undi ke atas cadangan cover buku berikut. Namun, ITU YANG TERTULIS. Kavernya jadi seperti di atas.



Wednesday, April 20, 2011

Itu yang tertulis..

Dua hari lepas semasa sedang menjadi panel pembentangan projek akhir pelajar, seorang pegawai dari pejabat pendaftar UiTM Shah Alam menelefon. Katanya ia berkaitan dengan permohonan bersara awal. Saya berjanji menelefonnya kembali setelah usai pembentangan pelajar.

Selepas zohor, saya memnghubungi pegawai berkenan. Beliau bertanya berbagai soalan dengan bersopan. Antara perbualan telefon kami;

"Benarkah puan mahu bersara awal? Bukankah puan baru sahaja disahkan jawatan sebagai pensyarah?"

"Mahasuci Allah! Itulah yang tertulis...dalam kitab yang Allah sediakan bagi saya di loh mahfuz. Bukankah Allah lebih tahu apa yang tidak kita ketahui..?

"Benar. Dapat berhijrah ke Madinah itupun suatu anugerah puan."

"Alhamdulillah! Kami diberikan peluang menjadi jiran kekasih Allah di dunia dan mudah-mudahan begitu juga di akhirat. Doakan kami dapat bermastautin di sana dan disemadikan di sana.."

Beliau terdiam. Namun beberapa soalan diteruskan.

"Bagaimana dengan harta-benda puan di sini.."

"Ikhlas saya katakan..segala barang kesayangan yang dipinjamkan oleh Allah telah diambil-Nya kembali. Ia tenggelam bersama banjir besar Segamat baru-baru ini puan..."

"Abah puan bagaimana? Saya dengar dia tidak sihat.."

"Abah? Semalam cukup sebulan arwah abah kembali ke rahmatullah.."

"Innalillah...maafkan saya kerana tidak tahu. Adik puan..Ayu?"

"Ayu? Jumaat lepas, 15 April 2011 dia selamat dikebumikan..."

"Puan..maafkan saya. Maafkan saya.."

Begitulah ketentuan Allah dan itulah yang tertulis. Ia telah tersedia sejak azali. Tiada suatupun harta dunia yang kekal. Hanya cinta Allah yang abadi... Barangkali ada sesuatu yang lebih baik di sana nanti. Hanya Allah yang maha mengetahui.

"Ya Allah..sesungguhnya hijrah ini kami lakukan semata-mata kerana-Mu. Muga kami semakin tunduk, semakin sujud dan semakin dekat dengan-Mu. Muga kami menjadi hamba yang tahu bersyukur dengan nikmat kurniaan-Mu..."

"Bersaksikanlah oleh-Mu wahai Tuhan..Sesungguhnya kami mengaku tidak manusia dan jin diciptakan melainkan untuk menyembah dan beribadat kepada-Mu. Dan kami mengaku Rasulullah itu pesuruh-Mu"

"Sesungguhnya dari Allah kami datang, kepada-Nya jua kami akan dikembalikan..

Tuesday, December 21, 2010

Yang terindah..


Saya pernah di tanya,"Puan, apakah aktiviti puan pada hari ini?"

Jawapannya.

"Saya tidak pasti. Malah untuk jangkamasa sejam daripada sekarang pun saya tidak tahu apakah yang bakal berlaku.

Apatah lagi esok hari. Apakah masih ada kesempatan untuk saya mengucapkan ucapan sayang dan berlari pulang ke pangkuan mereka apabila ditakdirkan Allah untuk mengambil nyawa.

Mungkin sebentar lagi adalah saat terakhir saya menghela nafas,menghirup udara dan melihat semua yang saya sayangi tersenyum tertawa.

Lalu, bisikan hati lebih kuat malah lebih baik andai diceritakan apa yang saya miliki pada hari semalam. Yang pasti telah berlaku.

Yang terindah.

Agar saya dapat merakamkannya. Agar mereka mengetahuinya bahawa di dalam kejadian itulah mereka merupakan sebahagian daripada warna-warni kehidupan saya.

Itulah aturan Allah. Keizinan ilham yang di minta dari-Nya, agar saya tidak hanya melihat sesuatu kejadian dengan mata. Pandanglah alam ini. Pandanglah dengan mata hati.

Kenangan cerita diri.. Ia benar-benar telah termaktub di dalam buku setiap insan, tertulis sejak azali.

Blog ini meminta saya menoleh ke belakang, mensyukuri dan menikmati hari ini sambil meniti hari esok..

Friday, December 17, 2010

Tak kenal maka tak cinta..

Saya pernah membuat catatan berikut semasa semester baru bermula:

Suatu hari saya tercari-cari kelas. Hari pertama di bangunan baru. Belum biasa.

Apabila sampai di tingkat dua bangunan, saya kuak daun pintu..Wah! sudah ramai pelajar di dalamnya. Saya berbisik di dalam hati;

"Bagus! Sikap positif di awal semester.."

Belumpun sempat saya meletakkan beg di atas meja, seorang pelajar menyapa:

"Ustazah, ini kelas kursus Perniagaan Antarabangsa [ International Business]."

"Oh, saya tersalah kelas atau awak semua tersalah tafsir melihat penampilan saya?"

"Maaf puan, kami ingatkan puan seorang ustazah tadi.."

"Tidak mengapa..ustazah ini suatu masa dahulu tidak pernah faham makna sehelai tudung [click]. Dia pernah memakai sut korporat sedondon warna tas tangan dan kasut berjenama. Dia pernah bekerja di luar negara.."

Saya mulakan kelas dengan anekdot 2[click].... Lalu, terlopong mulut mereka. Begitulah manusia boleh keliru dengan penampilan sesaorang apabila melihatnya pertama kali. Membuat telahan yang samasekali berbeza. Orang boleh jatuh hati malah ada yang membenci. Kata orang, " Tak kenal maka tak cinta..."

Monday, December 6, 2010

Doa buat kekasih abadi..

Para shalihin mengajar untuk berdoa ketika menjelang perubahan tahun. Berikut adalah doa akhir tahun dan awal tahun yang lafaznya cukup terkenal serta banyak terdapat di dalam buku-buku doa.

Doa Akhir Tahun

Doa ini disarankan membacanya tiga kali saat menjelang akhir tahun baru Islam, dilakukan sesudah asar atau sebelum maghrib pada 29 atau 30 Dzulhijah. Doa ini mengajak kita memohon ampunan dari Allah Swt. atas perbuatan-perbuatan yang dilarang oleh-Nya sepanjang tahun yang lalu. Sekiranya sepanjang tahun itu ada perbuatan-perbuatan yang diredhai oleh Allah Swt yang dikerjakan, maka mohonlah agar amal soleh tersebut diterima oleh-Nya.

Bermaksud:

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Semoga Allah melimpahkan rahmat dan keselamatan kepada junjungan kami Nabi Muhammad SAW,beserta para keluarga dan sahabatnya. Ya Allah, segala yang telah ku kerjakan selama tahun ini dari apa yang menjadi larangan-Mu, sedang kami belum bertaubat, padahal Engkau tidak melupakannya dan Engkau bersabar (dengan kasih sayang-Mu), yang sesungguhnya Engkau berkuasa memberikan siksa untuk saya, dan Engkau telah mengajak saya untuk bertaubat sesudah melakukan maksiat. Karena itu ya Allah, saya mohon ampunan-Mu dan berilah ampunan kepada saya dengan kemurahan-Mu.

Segala apa yang telah saya kerjakan, selama tahun ini, berupa amal perbuatan yang Engkau ridhai dan Engkau janjikan akan membalasnya dengan pahala, saya mohon kepada-Mu, wahai Dzat Yang Maha Pemurah, wahai Dzat Yang Mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan, semoga berkenan menerima amal kami dan semoga Engkau tidak memutuskan harapan kami kepada-Mu, wahai Dzat Yang Maha Pemurah.
Dan semoga Allah memberikan rahmat dan kesejahteraan atas penghulu kami Muhammad, Nabi yang Ummi dan ke atas keluarga dan sahabatnya.

Doa Awal Tahun

Doa ini disarankan membacanya tiga kali ketika memasuki 1 Muharam. Dilakukan selepas maghrib atau pun sesudahnya. Doa ini mengajak Mu'min memohon kepada Allah Swt. dengan berikrar meningkatkan amal kebajikan dan ketaqwaan.

Bermaksud:

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Semoga Allah senantiasa melimpahkan rahmat dan keselamatan kepada junjungan kami Nabi Muhammad SAW, beserta keluarga dan sahabatnya.

Ya Allah Engkaulah Yang Abadi, Dahulu, lagi Awal. Dan hanya kepada anugerah-Mu yang Agung dan Kedermawanan-Mu tempat bergantung.
Dan ini tahun baru benar-benar telah datang. Kami memohon kepada-Mu perlindungan dalam tahun ini dari (godaan) setan, kekasih-kekasihnya dan bala tentaranya. Dan kami memohon pertolongan untuk mengalahkan hawa nafsu amarah yang mengajak pada kejahatan,agar kami sibuk melakukan amal yang dapat mendekatkan diri kami kepada-Mu wahai Dzat yang memiliki Keagungan dan Kemuliaan. Semoga Allah senantiasa melimpahkan rahmat dan keselamatan kepada junjungan kami Nabi Muhammad SAW, Nabi yang ummi dan ke atas para keluarga dan sahabatnya.


Wallah hu alam.

Tuesday, October 19, 2010

Sampaikan walau satu ayat..

Kami terpanggil untuk berkongsi tips-tips yang disampaikan oleh sanak- saudara dan rakan-taulan sebelum menunaikan fardu haji ke tanah suci pada tahun 2006. Yang lebih mahu dikongsikan lagi adalah tips-tips melalui pengalaman peribadi.

Pengalaman sendiri.

Ia lebih mudah dijelaskan kerana itulah yang kami lalui. Kami tidak tahu apa yang dilalui oleh jemaah yang lain, walaupun kami pergi menunaikan haji dalam musim yang sama. Bernafas dan memijak kaki di bumi yang sama.

Jangankan jemaah dari maktab lain, pengalaman rakan sebilik juga pasti berbeza. Barangkali, jika kita berdiri di tempat yang sama, dalam waktu yang sama dan melihat kejadian yang sama. Anaslisa malah telahan kita dijadikan Allah menzahirkan sesuatu yang berbeza.

Begitulah ajiaibnya kejadian Allah S.W.T

Selama 45 hari berada di sana, kami membaca, kami memerihati, kami menganalisa dan akhirnya mencanaikan setiap kejadian sebagai ilmu Allah. Setiap hari kami belajar sesuatu, namun ada perkara lain pula yang kami tidak tahu.

Begitulah kejadian manusia, setiap hari Allah ciptakan peristiwa yang berbeza. Apa yang mahu kami sampaikan adalah suatu perkongsian ilmu. Yang baik itu datang dari-Nya, yang tidak elok itu pilihan manusia agar ia menjadi iktibar kepada semua yang mahu mengambil iktibar darinya.

Kami mahu sampaikan apa yang ada dalam dada. Pandanglah alam ini..pandanglah dengan pandangan mata hati.

Monday, October 4, 2010

Travelog Cinta Abadi : suatu perjalanan


Saya mencatat Travelog Cinta Abadi: suatu pejalanan, dengan perasaan penuh kerinduan. Rindu pada masa yang berlalu. Rindukan rakan sekampus dan teman sebilik yang entah kemana menghilang.

Subhanallah! Kuasa Allah mengatasi segalanya. Saya ditemukan Tuhan yang maha pengasih lagi maha penyayang, Tuhan yang mendengar rintihan dan bisikan dengan salah seorang rakan.

Saya temui rakan ini melalui alam maya. Apabila menghubungi, nada suaranya masih seperti dahulu. Ceria. Beliau adalah pembaca manuskrip ke 2.


Komen ke 2


Travelog Cinta Abadi: Suatu Perjalanan [TCASP] mempunyai ratusan watak segar dan hidup. Di antaranya terselit Yatie dan Han. Hampir 45 bab awal sama ada disebut atau tidak, kedua-duanya berada sangat hampir dengan watak utama yang menjadi bahan penceritaan.

Yatie adalah saya!

Benar, Roza adalah seorang sahabat biasa-biasa yang rapat. Saya tidak tahu beliau berbakat besar, boleh menulis dan menghasilkan karya yang cukup luar biasa sehingga berjaya mengheret saya leka membaca TCASP sehingga ke nokhtah terakhir. Ia tidak perlu dipaksa-paksa. Malah ia meluncur laju daripada satu bab ke bab yang lain.

Bahasanya mudah, tidak sukar untuk menghadamkannya malah langsung tidak membebankan fikiran khalayak pembaca. Anehnya, tiba-tiba sahaja saya tersedar yang cerita mudah dan biasa-biasa itu mempunyai maksud tersirat yang sangat signifikan. Saya fikir, ia cerita Roza tetapi ada dalam setiap mereka yang membaca buku ini.

TCASP menjadikan saya begitu terkesima kerana Roza mampu menjadikan perjalanan hidupnya sebagai sesuatu yang sangat istimewa. Beliau begitu menghargai setiap saat yang dilaluinya sehingga mampu mengimbas dan mengingati apa jua yang berlaku dan mengambil ikhtibar bagi setiap detik tersebut sama ada ia pahit, masam atau manis.

Sebagai pembaca, saya seolah-olah sentiasa berada di tempat beliau dengan merasai setiap getarnya dan menyaksikan keindahan alam – misalnya – musim luruh yang digambarkannya. Malah saya ternampak-nampak sekumpulan biri-biri sedang meragut rumput pada musim luruh yang dingin.

Sejuknya menyerap ke dalam hati dan perasaan!

Buku ini merupakan anugerah buat semua terutamanya kaum wanita yang mahu melihat diri sendiri secara santai tetapi penuh makna. Tahniah Roza, TCASP berjaya mendokumentasikan kisah suka duka seorang gadis biasa kepada wanita luar biasa tanpa sedar!

Wednesday, September 22, 2010

Travelog Cinta Abadi: Suatu perjalanan..


Sekadar memetik petikan komen pembaca manuskrip TCA: Suatu perjalanan.

"Ya Allah, jika pepohon segenap alam menjadi pena dan seluruh lautan di dunia menjadi dakwatnya..masih tidak mampu untukku mencatatkan segala nikmat serta ilmu-Mu yang dilimpah kurniakan kepada diriku.."

"Wahai Tuhanku.. daku akur dan ampunkan segala kekurangan diriku..."

Komen Pertama

Roza memang pandai bercerita. Ia kelihatan lebih mudah dan berkesan di hati kerana ia merupakan kisah kehidupan sebenar yang dilalui oleh semua orang. Travelog Cinta Abadi: Suatu Perjalanan sangat-sangat berbeza dengan Travelog Cinta Abadi: Hari yang Berlalu.

Pertama, khalayak pembaca sangat bersimpati dengan Roza melalui kisah-kisah remaja beliau melalui travelog yang pertama. Ia melambangkan dunia awal manusia yang tidak ternoda dengan hawa nafsu yang melampau. Dunia kanak-kanak adalah saat yang indah untuk dikenangkan tetapi ia lebih bermakna jika ia dikaitkan dengan kebesaran Allah SWT.

Kedua, saya menjangkakan para pembaca akan mula melihat kehidupan sebenar seorang manusia melalui travelog yang kedua. Gelombang perasaan remaja yang ditakluki perasaannya nyata memberi kesan kepada perjalanan kehidupan seterusnya. Roza berkahwin muda dan membawa bersama cabaran sebagai seorang isteri, ibu dan anak.

Saya ketawa, tersedu malah ada ketikanya geram dan menyampah apabila membaca catatan-catatan yang disampaikan melalui Travelog Cinta Abadi: Suatu Perjalanan. Unsur-unsur geram dan menyampah inilah yang membezakan dengan siri yang terdahulu.

Bila saya menamatkan helaian terakhir – akhirnya – para pembaca mula menyedari yang mereka membaca kisah mereka sendiri melalui perjalanan kehidupan Roza. Kesemuanya terkandung dalam sebuah buku yang sangat bermanfaat.

[Pembaca Manuskrip Travelog Cinta abadi: Suatu Perjalanan]


Gambar ihsan : Karl Taylor photography UK

Thursday, August 5, 2010

Tiada kawan


"Puan, take five..."


"Ok..kita berehat lima minit."


Namun, hanya dua orang sahaja yang keluar dari bilik kuliah bagi melepaskan lelah. Bayangkanlah, dari awal pagi mereka perlu hadir ke kelas seawal pukul 8.00. Kemudian disambung pula dengan kelas ke dua bermula pada pukul 11.15 dan kelas ketiga bermula pada pukul 3.00 petang. Pasti mereka kelelahan.


Sekadar bertanya;

"Ketika waktu rehat di pejabat, apa yang kamu buat?"

"Puan, waktu itulah kami membuat tugasan atau mengulangkaji pelajaran."

"Tidak keluar makan?"


"Kadang-kadang kami rasakan keluar makan itu suatu pembaziran masa. Lebih baik kami makan sekadarnya sambil membuat tugasan kuliah. Di rumah nanti belum pasti kami dapat mengulangkaji."

"Kawan-kawan tidak mengajak kamu keluar?"


"Sesekala sahaja boleh..tetapi kerana kerap sangat menolak, akhirnya kami terpinggir. Kami hampir tiada kawan..."

Tidak sanggup saya meneruskan pertanyaan kerana saya juga melalui apa yang sedang mereka rasakan.