Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Wednesday, December 30, 2009

Anekdot 4

Alhamdulillah!

Jika ada orang berkata bahawa mereka menjalani kehidupan yang serupa setiap hari, di dalam hati saya akan menafikannya. Bagaimana mungkin setiap hari adalah serupa? Ia pasti berlainan setiap detik dan saat. Sekurang-kurangnya makanan yang di makan, orang yang ditemui dan pakaian yang di pakai.

Bagi saya, hampir setiap hari adalah hari-hari yang dinantikan.
"Ya Allah. Bersyukur kepada-Mu kerana masih mengizinkan daku untuk menikmati kehidupan pada hari ini, masih bernafas, menghirup udara segar dan melihat segala kejadian di langit dan di bumi.

"Ya Allah. Muga hari ini akan menjadi lebih baik daripada semalam. Dan esok lebih baik lagi daripada hari ini.

Jika hari ini telah berlalu, saya sering menungu-nunggu apakah episod yang akan berlaku selanjutnya. Pernah juga merasa tidak sabar menunggu hari siang, menunggu habisnya hujung minggu dan menunggu habisnya hujung tahun.

Jika ada orang bertanya apakah saya ingin kembali untuk membetulkan keadaan di masa yang lampau? Memaniskan kenangan pahit, menjernihkan yang keruh dan memutihkan yang hitam? Jawapan saya adalah tidak.

Rupanya kenangan itulah yang terindah untuk di kenang. Pahit getir, derita dan sengsara perasaan ketika mengharunginya. Amat berat. Namun, di dalam proses untuk meleraikan diri dari derita dan sengsara itulah detiknya kita menjadi semakin hampir kepada yang mencipta. Barangkali derita itu di cipta agar kita menangis merintih serta mengadu kepadaNya.

Sebenarnya kesenangan dan kegembiraanlah yang banyak melalaikan saya. Memabukkan! Membuatkan nafsu membuak-buak kepada harta kebendaan. Membuat hati jadi kabur.

Menjadi ibu di dalam usia yang muda, kehidupan di luar negara, kembali dan pergi kembali ke luar negara dan akhirnya mencari hentian untuk mengubah haluan hidup. Adalah episod yang menarik untuk di kenang. Ia manis dan melalaikan.

Bukankah hidup itu indah?


Tuesday, December 22, 2009

Mertua 2

Bagaikan tidak percaya, cerita suami yang menyatakan bahawa ayah adalah seorang bapa dan bekas guru pesara yang garang. Di mata saya, ayah adalah seorang yang amat penyayang. Mengasihi saya dan anak cucunya. Beliaulah yang menghantar anak-anak dan cucu-cucu yang masih bersekolah ketika itu. Pergi dan balik setiap hari.

Selepas menghantar anak cucu ke sekolah, ayah akan menjemput pula wan di rumah untuk ke pasar di Kampung Raja. Sementara wan ke pasar membeli lauk pauk untuk makanan, beliau akan menguruskan berbagai urusan – bil air dan api. Pulang nanti, pasti ayah akan membawa kuih muih dan segala macam makanan kegemaran anak cucunya.

“Roza, pandai makan akok ke dok?

“Makan..Ya Allah, ayah beli apa lagi tu?

“Hok ni namanya Nekbat. Itu kuih Bokong Ubi”

Di masa yang lain

"Roza, makan sup tulang campur perut? Malam nanti ayah pergi cari di Kuala Besut"

Setiap hari berlainan jenis kuih muih yang diperkenalkan. Suami saya pernah bercerita bahawa mereka bukanlah datangnya dari keluarga yang mewah. Tetapi kemewahan mereka dapat saya gambarkan dengan makanan yang ada di atas meja. Subhanallah! Tidak pernah putus juadah yang ada di atasnya. Dari pagi hingga ke senja.


Semasa berada di rumah mertua, saya melihat wan menjahit kain lampin, dan tali barut untuk bakal bayi yang akan dilahirkan nanti. Walhal kandungan saya baru masuk empat bulan sahaja. Apabila melihat wan menjahit bantal dan tilam kekabu, serta merta hati menjadi sayu.

Kuasa Allah, menemukan saya dengan mereka. Semasa kecil saya pernah mengangankan agar mak wa dapat menjahit dan menyediakan bantal kekabu untuk anak-anak saya. Ketika itu saya tidak membayangkan bahawa mak wa akan kehilangan sedikit ingatan dan penglihatan kerana usia. Lalu, Allah mengantikannya dengan emak mertua!

Wan sibuk sekali mencari kain cotton yang sesuai untuk di buat sarung tilam dan bantal untuk bakal cucu dari anak lelaki sulungnya. Sedangkan saya sendiri masih terkapar-kapar tidak tahu apa-apa. Tidak tahu apakah keperluan bayi yang bakal dilahirkan nanti.

“Warna biru, bunga kecil ni Roza suka?”
“Ya Allah wan..suka. Tapi tak usah susah-susah”

Seminggu di rumah mertua, saya terasa dilayan dengan begitu istemewa. Paling terkesan adalah kasih-sayang mereka. Yang tidak berbelah bahagi. Sepanjang seminggu, saya merasakan seperti sebahagian daripada mereka. Walaupun dua belas orang anak-anak wan, namun kasih sayangnya masih melimpah ruah!

“Ya Allah, daku merasai kasih sayang-Mu. Bagaimana lagi untuk daku tidak
bersyukur kepada-Mu?”


Ayah dan wan menghantar saya pulang hingga ke lapangan terbang di Kota Bahru. Sebelum pergi, saya mencium tangan ayah. Terasa ia bagaikan mencium tangan abah. Kemudian, saya mendakap wan dengan penuh kasih sayang. Lama sekali. Sayang untuk melepaskannya pergi. Terasa pelukan wan sama seperti pelukan cinta hati saya yang pertama : mak wa! Perlahan-lahan pelukan itu terpaksa dilepaskan. Kemudian, saya mencium pipinya. Tidak menduga saya mengalirkan air mata.
Hari ini air mata masih lagi mengalir tanpa di paksa-paksa apabila merindui mereka. Rindu sekali! Al-Fatihah untuk wan dan ayah.

Sunday, December 20, 2009

Mertua

Beberapa bulan selepas perkahwinan.

Kehidupan kami sangat bahagia. Saya mengandung anak pertama beberapa bulan selepas diijabkabul. Bulan-bulan pertama agak kekok bagi saya untuk menyesuaikan keadaan hidup berumah tangga.

Jika sebelum ini, segala urusan hanya ditumpukan untuk diri sendiri. Kini, saya mula belajar untuk menyiapkan kelengkapan suami. Membasuh dan mengosok pakaian, menyiapkan sarapan dan makan malamnya.

Suami telah memiliki sebuah kereta yang dibeli dari rakan sekerja. Setiap pagi suami akan menghantar saya ke tempat kerja dan menjemput saya pulang pada pukul 5.30 petang. Meninggalkan saya di rumah dan beliau akan terus pergi mengajar pada sebelah malam di ITM kampus Jalan Othman. Pukul 10.30 malam barulah beliau pulang.

Begitulah aturan yang ditetapkan oleh Allah. Saya redha.

Mak, abah, wan dan ayah ternyata amat gembira apabila mendapat khabar yang saya sedang mengandung. Empat bulan pertama, wan dan ayah memperlawa saya ke rumah mereka. Saya menerima perlawaan mereka walaupun pulang tanpa bersama suami. Ketika itu suami sedang sibuk dengan peperiksaan akhir pelajar universiti. Jadi, beliau membelikan tiket kapal terbang dari Kuala Lumpur ke Kota Bahru – Tiket Kelas Pertama.

Itulah pertama kali saya menaiki pesawat malah bersendirian ke rumah ibu dan bapa mertua. Mahasuci Allah, menemukan jodoh saya dengan keluarga yang menerima saya seperti anak kandung mereka! Impian sebuah perkahwinan sebagaimana yang pernah saya bisikkan kepada-Nya. Bisikan yang meminta agar perkahwinan itu merupakan suatu ikatan di antara ke dua belah keluarga.

Thursday, December 17, 2009

Ijabkabul



Petikan salah sebuah bab yang akan dibukukan:

Akhirnya saat-saat itu muncul jua.

Pelamin perkahwinan kami hanyalah sekeping tabir dari kain satin paduan dua warna, biru tua dan putih. Di belakangnya digantungkan sejambak bunga. Terdapat pentas kecil di depan tabir.

Di atasnya diletakkan sepasang kerusi tempat bersemayam raja sehari. Juga, sebekas pulut kuning yang dicucuk bunga telur. Kiri dan kanan. Itu sahaja.

“Abah minta izin hendak nikahkan awak. Awak setuju?,” lembut abah bertanya.

“Setuju!”

Pantas saya menjawab pertanyaan abah. Kakak sepupu dan mak saudara menjeling lantas mencubit peha saya sambil tersenyum .

“Tak tahu malu langsung!”

Saya membalas senyuman mereka. Bagaimana dapat saya berselindung dan membendung perasaan selepas bertahun-tahun menunggu. Itulah saat bahagia yang dinanti selama ini.

Malam pernikahan itu saya memakai sepasang baju kurung moden gandingan kain satin putih susu dan tampalan kain lace. Bagaikan mimpi dan tidak percaya melihat wajah setelah di solek di cermin muka. Itukah wajah saya?

Majlis pernikahan bermula selepas Maghrib dengan bacaan yasin dan diikuti dengan marhaban. Selepas Isyak, saya akan dinikahkan. Namun Tok Kadi tidak muncul-muncul. Hari kian lewat. Sudah hampir lewat malam. Mak dan Abah mula gelisah melihat ramai sanak-saudara mulai pulang.

Hati mulai risau. Berkali-kali saya berdoa agar segalanya dipermudahkan. Janganlah terjadi sebarang kejadian buruk yang membatalkan hari yang istimewa ini.

"Ya Allah, permudahkanlah. Ya Allah permudahkan majlis ini ya Allah"

Akhirnya hampir jam 11.30 malam barulah tok kadi muncul. Tok Kamal sangat-sangat uzur. Beliau tidak mampu bangun untuk tiba mengikut masanya. Dengan sedikit sisa kekuatan beliau menguatkan diri untuk menikahkan kami.

“Muhd Kamil Ibrahim, aku nikahkan dikau dengan Raudzah bt Roslan. Dengan mas kahwinnya RM22.50 tunai”

“Aku terima nikahnya, Raudzah bt Roslan dengan mas kahwinnya RM22.50 tunai!”

Lalu, tidak semena-mena saya merasa sebak di dada. Air mata yang di tahan-tahan mengalir secara perlahan. Seperti mimpi, dengan terlafaznya barisan ayat tersebut, lalu saya sah menjadi isterinya.

“Ya Allah, suamiku ini adalah satu anugerah untuk ku dari sisi-Mu. Jadikanlah daku seorang isteri dan ibu solehah serta sabar menhadapi karenah. Jadikanlah daku redha dengan jodohku walau di dalam apa jua keadaannya.

“Terima kasih Allah. Budak perempuan hitam yang garang ini akhirnya bertemu jua dengan jodohnya”.

Dari ruang bilik saya memandang wajah mak dan abah. Wajah yang rela hati melepaskan anak perempuannya yang masih muda remaja. Usia 22 tahun ditemukan jodoh dengan pemuda yang telah ditetapkan Allah hasil istiharah. Jauh di sudut hati saya berjanji kepada diri:

“Mak.. abah. Inilah ketentuan Allah. Maafkan saya jika belum dapat membuatkan mak dan abah merasa bangga. Tiada kejayaan yang dapat saya hadiahkan sebagai membalas jasa pengorbanan mak dan abah. Budi kalian belum terbalas.

Wahai tuhan, jangan diambil nyawaku lagi dan juga mereka. Berikanlah daku peluang untuk membanggakan dan membahagiakan hati mereka. Suatu masa, suatu ketika berikanlah daku kejayaan walupun terpaksa merangkak untuk mendapatkannya”

“Wahai tuhan..perkenankanlah”


Malam itu di dalam bahagia hati saya dipenuhi dengan air mata. Terasa beban yang berat terpikul di bahu saya – sebagai isteri, sebagai anak dan sebagai bakal ibu kepada anak-anak – di usia masih muda remaja.

Majlis pernikahan kami bermula pada 29 Julai 1989 dan berakhir pada 30 Julai 1989. Itulah majlis terakhir yang dilangsung oleh Tok Kamal. Beliau pergi buat selama-lamanya.

Wednesday, December 16, 2009

Manuskrip

Assalamualaikum,

Terima kasih kepada semua yang sudi menjadi orang pertama untuk membaca manuskrip Travelog Cinta Abadi: Itu yang tertulis. Terharu dan saya amat menghargainya.

Buat masa ini, saya sedang memperelokkan bahasa dan ayat-ayat pada setiap bab yang pernah dicatatkan di dalam blog hidup itu indah. InsyaAllah, saya akan menghubungi tuan/puan/saudara/saudari yang terpilih via e-mail yang diberikan.

Nantikan..Salam Maal Hijrah.

Monday, December 14, 2009

Satu Anugerah

Saya dipertemukan Allah dengan dirinya. Ditakdirkan berkenal mesra, berpisah sementara dan akhirnya dia menjadi jodoh saya.

Jodoh yang disatukan hasil solat Istiharah. Yang dilakukan bukannya cukup sekali. Malah berkali-kali demi ketetapan hati. Agar hati menjadi sekental besi. Bersedia mengharungi cabaran dan rintangan yang mendatang.

Lalu, Allah menguji kesabaran diri. Ujian yang membuatkan saya gentar lantas berdoa;

"Ya Allah, Inikah dia jodoh ketetapan-Mu yang didatangkan hasil dari istiharahku? Benarkah dia jodoh yang terbaik untuk ku? Jika benar, berikanlah daku sifat yang sabar. Jika benar berikanlah daku di kesempatan yang ada untuk melihat dia berubah. Berubah menjadi apa yang ingin daku inginkan.

Diriku takut sekali ya Allah, jika ajalku sampai terlebih dahulu, tidak dapat lagi daku mendoakannya. Sedangkan dia adalah dia yang seakan redha dengan kejahilannya"

Kenapa sampai saya berdoa begitu?

Selama ini saya dianugerahkan Allah seorang suami yang bertimbang rasa dan istemewa. Banyak sekali nikmat yang dikongsikan bersama. Jika tidak kerana dia..pasti kemuliaan, penghormatan dan kelebihan tidak mungkin saya kecapi. Perbezaan saya dengan dia di dunia ini dirasakan bagai langit dengan bumi.

Ya Allah. Suamiku ini adalah anugerah dari sisi-MU. Yang perlu disyukuri dan diredhai. Namun, apakah daku benar-benar bersedia menerima keadaan seadanya? Rela melihat dia menutup mata dan pergi di dalam keadaan yang tidak rela daku saksikan..?

Wahai tuhan, dari-Mu kami datang. Kepada-Mu jua kami akan dikembalikan.

Salam Maal Hijrah.

Sunday, December 13, 2009

Travelog Cinta Abadi: Itu yang Tertulis [I dan II]

Saya sedang menyiapkan fasa terakhir buku di atas. Saya hentikan Hidup itu Indah.... di sini. Saya tetap akan menulis tetapi berkisar kepada topik baru. Inilah sedikit Kesyukuran yang dipetik dari buku tersebut.

Siapa yang sudi untuk membaca manuskrip Travelog Cinta Abadi: Itu yang Tertulis [I]? Hantarkan e-mel kepada:

raudzah_roslan@yahoo.com

KESYUKURAN

Esok, saya tidak pasti apa yang bakal saya lalui. Besok terlampau panjang. Sejam daripada saat ini pun tidak jelas dan nyata, apatah lagi untuk memikirkan hari esok.

Jika sampai masanya dipanggil pulang, entah sempatkah saya berlari pulang ke pangkuan mereka yang tersayang. Mampukah saya memohon keampunan dan mengucapkan selamat tinggal. Atau mungkinkah hari semalam sudah menjadi saat-saat terakhir bersama mereka.

Mungkinkah sebentar lagi adalah saat terakhir saya menyedut dan menghembus nafas, menghirup udara dan melihat semua yang saya sayangi di hadapan mata. Ajal maut di tangan Dia!

Lalu apa yang telah kita lalui merupakan satu nikmat yang telah dianugerah Allah. Segala-galanya. Tidak kira ia kisah seorang raja atau menteri maupun penyapu jalanan. Kisah seorang ibu ataupun seorang pensyarah. Mereka yang berpendidikan ataupun jauh di hutan belantara.

Dalam keadan biasa, saya seorang insan biasa-biasa yang biasanya dikatakan tiada merit untuk membukukan perjalanan kehidupan. Dalam keadaan yang tidak biasa, setiap catatan manusia biasa boleh menjadi satu ilmu kerana laluan perjalanannya boleh ditafsir atau dilihat melalui pelbagai perspektif.

Barangkali itulah sebabnya bisikan hati terlalu kuat untuk merakamkan kisah semalam yang telah saya miliki. Semalam dan hari-hari sebelumnya yang sudah pasti berlalu bukan kerana perasaan bangga atau riyak tetapi lebih kepada mensyukuri segala nikmat yang diberikan oleh Allah SWT. Barangkali ia boleh menjadi sempadan atau teladan kepada pembaca.

Travelog Cinta Abadi: Itulah yang Tertulis bukanlah sebuah novel khayalan atau imiginasi kreatif. Ia adalah secalit [mungkin tidak sampai pun secalit] warna-warna kehidupan yang telah dialami. Cuma bezanya, dulu ia berlalu tanpa tafsiran nyata tentang hakikat sebenar kehidupan yang telah saya lalui.

Saya bersyukur kisah-kisah semalam yang tercatat di sini dilalui bersama mak, abah, mak wa, tok abah, tok pak, adik-beradik, ipar-duai, rakan taulan, sanak saudara dan ribuan yang lain. Di atas segalanya, suami serta anak-anak mempunyai tempat ingatan yang paling istimewa. Mereka amat bermakna meskipun ia hanya sebahagian daripada tempoh pengkongsian perjalanan kehidupan tersebut.

Kehidupan setiap insan adalah aturan Allah yang telah ditetapkan. Ia bukan milik individu. Malah setiap pemegang watak utama juga tidak berpeluang untuk mengawal lakunannya secara mutlak. Ia bergantung kepada kekuasaanNya.

Lalu saya mohon keizinan ilham dari-Nya agar saya tidak hanya melihat sesuatu kejadian dengan pandangan mata semata-mata. Saya pohon kasih-sayangNya agar saya dapat melihat dengan hati dan perasaan yang terbuka. Saya juga sentiasa memohon agar Allah memberi panduanNya secara jelas dan nyata.

Kenangan cerita diri. Ia benar-benar telah termaktub di dalam buku setiap insan. Ia tertulis sejak azali. Dalam setiap kejadian atau peristiwa, nyata ada bacaan hati dan perasaan yang terbuku ketika itu. Namun tafsiran dan pandangan terhadap peristiwa yang sama nyata berbeza apabila masa berubah. Travelog Cinta Abadi: Itu yang Tertulis meminta saya menoleh ke belakang, mengsyukuri dan menikmati hari ini sambil meniti hari esok.

Saya hadiahkan catatan ini kepada khalayak pembaca. Semoga ia diterima Allah sebagai satu ibadat. Ampunilah saya ya Allah!

Raudzah Roslan
2 Januari 2010

Friday, December 11, 2009

Terbongkar rahsia

Suasana stesyen bas Dungun [AA Restoren] tempat menurunkan penumpang hingar bingar. Saya turun dengan perasaan yang hambar. Cuba mencari kekuatan dan memulihkan perasaan yang bersimpang siur. Antara keletihan dan kegembiraan pulang ke kampus.

Beg besar yang di bawa, saya heret dengan sepenuh tenaga. Saya letakkan di atas bahu jalan. Memerhatikan kiri dan kanan untuk mendapatkan kenderaan ke kampus. Bas pakcik Musa, satu-satunya bas yang dibenarkan untuk ke kampus Sura Hujung, dengan segera penuh. Mereka bersesak-sesak!
Yalah, hampir sebilangan besar penumpang bas ekspress yang datang dari utara, selatan, timur dan barat semuanya sampai serentak.
Tiba-tiba ada sesaorang melambai-lambaikan tangan dari dalam teksi di seberang jalan. Teksi itu pantas menuju ke arah tempat saya menunggu bas di tepi jalan.
"Itu sahaja?"
Katanya sambil senyum apabila melihat beg yang penuh sarat. Ia hampir tidak bergerak apabila di tolak . Dengan susah payah dia mengangkat beg itu masuk ke bonet kereta. Hairan dengan kemunculannya secara tiba-tiba, lalu saya bertanya;

"Abang Kamil tunggu siapa?"

"Roza"

Ya Allah. Saya hampir pengsan mendengarkan jawapannya yang bersahaja. Seumur hidup, saya tidak pernah di layan seperti itu. Sejak dari kecil hinggalah ke usia 18 tahun, saya sentiasa belajar berdiri di atas kaki sendiri.


"Cari dua orang lagi kawan untuk cukup satu teksi"

Dengan segera saya mendapatkannya. Dua orang rakan sama-sama menaiki bas ekspress Johor Bahru-Kuala Terengganu bergerak pantas memasukkan barangan mereka ke dalam teksi. Kedua-duanya tersengeh menampakkan gusi.

Saya sampai di hostel agak awal berbanding dengan rakan sebilik yang lain. Lalu saya mengambil keputusan untuk mengelap lantai dan cermin tingkap di bilik yang mulai berhabuk setelah hampir seminggu di tinggalkan. Setelah selesai, saya mandi. Kemudian bersantai di bilik sambil menikmati Nescafe panas serta pisang salai yang di bawa bekalan dari rumah.


Tiba-tiba, muncul seorang pelajar wanita yang agak senior mengetuk daun pintu bilik saya walaupun ia tidak bertutup. Sengaja saya biarkan pintu itu terbuka luas. Pelajar wanita itu berkulit cerah serta tinggi lampai orangnya. Dia datang ke bilik saya dengan wajah yang sugul.

"Akak cari siapa," sapa saya.

"Ada tak sesiapa yang bernama Roza?" jawab beliau.

"Sayalah Roza!"


Perbualan bersahaja tiba-tiba bertukar nada.

"Awak berkawan dengan kamil?"

"Ya.."

"Saya sudah lama berkawan dengan dia. Sudah beberapa semester. Awak suka dia?"

"Ya. Suka!" jawab saya dengan nada ceria.

Beliau meneruskan cerita sambil mengesat air mata. Saya hanya memasang telinga. Diam.

"Saya tahu dia berkawan rapat dengan beberapa orang perempuan. Pensyarah pun ada.. tetapi saya tidak pasti sejauh mana perhubungan mereka.."

Dia terhenti di situ dan dengan susah payah meneruskan kisahnya.


"Tetapi.. kali ini saya dapati dia betul-betul berubah hati. Cuba mengelakkan diri daripada saya sejak awal semester. Ramai kawan-kawan katakan semuanya berpunca daripada awak!"

Nada suaranya kini mulai meninggi. Renungan matanya memandang ke arah saya. Tajam sekali. Namun, saya hanya diam membisu. Memerhatikannya dengan simpati. Apa yang harus saya katakan? Saya baru sahaja hendak menyambut sebuah persahabatan. Ia masih terlalu awal untuk diikatkan sebagai hubungan yang kekal. Ikatan janji belum lagi dimenterai.

Kami diam beberapa ketika. Masing-masing melayani perasaan sendiri.

"Nak saya buatkan teh atau kopi?"
Semakin kuat tangisannya didengari. Saya mencari-cari sesuatu untuk diberikan kepadanya bagi mengesat air mata.

"Ambil sapu tangan ini. Kesatlah air mata"
Beliau menyambutnya sambil melemparkan senyuman yang tawar. Lalu, saya meneruskan kata-kata setelah melihatnya kelihatan tenang seketika.
Kenapa bersedih? Bukankah jodoh pertemuan itu di tangan tuhan. Kita tiada kuasa menentukannya. Saya sendiri tidak tahu siapakah jodoh saya nanti. Mungkin bukan dia.."

"Jangan main-mainkan hatinya. Saya sayangkan dia.."

Kami diam. Hanya terdengar esakannya yang semakin perlahan. Beliau bangun menuju ke arah pintu sebagai isyarat badan untuk pergi. Saya menghantarnya separuh jalan ke muka pintu utama. Sebelum pergi, saya menyentuh lengannya dan mengemukakan suatu pertanyaan dari lubuk hati;

"Baik. Apa yang harus saya lakukan?"

"Sayangi dia. Jangan lukakan hatinya.."

Thursday, December 10, 2009

Tetamu tidak di undang

Cuti pertengahan semester itu hampir berlalu dan saya sudah tidak sabar-sabar untuk kembali ke kampus ITM Dungun. Saya merindui pantainya yang damai serta udaranya yang segar.

Sehari sebelum pulang, saya berkemas-kemas dengan menyimpan pakaian. Saya membawa serba sedikit bekalan makanan - sebotol kecil Nescafe, sekotak teh uncang, sebekas gula dan setin kecil susu tepung. Biar berat beg yang akan di sandang. Gara-gara untuk menjimatkan kos minum petang!

Sedang saya berkemas, tiba-tiba kedengaran sesaorang memberikan salam. Lantas saya segera pergi menjenguk ke pintu hadapan.

"Assalamualaikum..mak ada?"

"Walalaikum salam..mak dan abah tiada di rumah. Tetapi mak wa adalah.."


Saya mengenali mak saudara yang satu itu walaupun jarang-jarang bertemu dengannya. Paling akhir adalah ketika di hari raya.[click] Mereka datang bertandang seluruh keluarga. Bersama-sama mereka ketika itu adalah anak lelaki sulungnya yang pernah belanja saya dan rakan-rakan di KFC.[click]
Turut hadir adalah adik lelaki abang itu yang sedang belajar di luar negara. Adiknya yang meminta saya memetik jambu bol [click] ketika saya sedang bergayut di atas dahan pokok jambu itu dalam kebun bapanya.
"Masuklah dahulu, sekejap lagi baliklah mak dan abah"

Saya mempersilakan mereka duduk dan bersedia untuk pergi menjerang air di dapur. Kedua pasangan tersebut memandang saya sambil tersenyum.
"Marilah duduk di sini sekejap. Tak payah susah-susah buat air"

Saya akur.

"Boleh makcik tahu..awak sudah ada kawan lelaki?"

"Kawan? Ada.."

"Tapi belum ada ikatan apa-apa lagi kan?"

"Err...er.."

"Macam ni lah..awak kawan lah dengan anak lelaki makcik. Bukannya terus bertunang. Ni kira macam 'pancang-pancang'..booking kata orang sekarang"

Mak saudara itu memandang saya dengan penuh harapan. Saya terkedu. Tergamam seketika dan tidak dapat berkata apa-apa.

"Alah..awak kawan-kawan sahaja lah dulu dengan dia"

Dalam keadaan saya sedang terumbang-ambing dan tidak dapat memberikan jawapan, mak dan abah pulang. Saya menarik nafas lega. Segera bangun untuk bergerak ke dapur namun sempat bertanya:

"Dengan siapa? Anak lelaki yang mana satu?"

"Dengan abang. Abang sudah bekerja sebagai Engineer. Adik dia masih belajar lagi di luar negara.."

Serta-merta darah panas menyirap ke muka. Malah peluh mengalir ke seluruh anggota badan saya. Di keheningan petang yang indah, hati saya gundah!

"Ya Allah, semakin banyak pilihanku. Tetapkanlah yang terbaik untuk diriku di sisi-Mu. Sesungguhnya Kau maha mengetahui apa yang tidak daku ketahui. Pandanglah daku dengan kasih sayang-Mu. Bantulah daku dan berikanlah ilham untukku membuat keputusan"

"Wahai tuhan..perkenankanlah"

Wednesday, December 9, 2009

Suatu panggilan

Cuti semester itu terasa amat panjang sekali. Kehidupan yang ditempuhi sehari-hari terasa berjalan amat perlahan. Perubahan perasaan.

Sepanjang cuti, saya cuba mencuri ruang untuk bercerita kepada mak dan abah. Mengumpulkan segala kekuatan untuk menberitahu mereka. Saya perlu nyatakan sedari awal lagi agar perhubungan itu di dalam pengetahuan dan tiada hati yang terluka.

Namun, di sudut yang lain hati saya sering berbisik-bisik;
"Ah..berkawan biar beribu, berkasih-kasihanlah dahulu dan untuk bersuami nanti pilihlah SATU!"
Memang benar seperti kata-kata ustazah sewaktu di dalam kelas. Bisikan iblis merasuk manusia secara halus. Halusnya ia seolah-olah membenarkan apa yang dilarang oleh-Nya. Mengambarkan perasaan yang terlarang begitu indah di pandangan mata. Ia bisikan yang tidak perlu dilayan. Bisikan-bisikan nafsu jahat seperti itulah nanti yang akan menghumbankan manusia ke jalan kesesatan.
"Nauzubillah..daku mohon perlindungan diri kepada Allah dari bisikan syaitan yang di rejam!"
Suatu petang yang damai, sedang kami berkumpul menikmati hidangan minum petang tiba-tiba terdengar deringan telefon. Ratna segera menyambutnya.

"Kak Ngah..panggilan untuk awak"

"Dari siapa?"

Ratna mengangkat bahu tanda tidak mengenali siapa pemanggilnya. Dia pergi ke dapur mengantikan saya menjaga gorengan pisang yang separuh masak di dalam kuali.

"Hello..siapa ya?"

"Axxxx dari UK [United Kingdom]"

"Subhanallah! Apa awak mimpi telefon saya ni?"

Dan kami bertanya khabar serta bertukar cerita tentang perkembangan semasa. Sungguh tidak menyangka dia akan menghubungi, apatah lagi menelefon dari jauh di perantauan. Jarak yang jauh rupanya tidak menjejaskan persahabatan. Di akhir perbulanan Axxxx berkata;

"Apel di sini tidak semanis jambu bol yang awak petik dulu.."
Diam. Tergamam seketika.

"London Tower di sini tidak seindah jambatan di Jementah.."

"Errr..bye.. Saya kena pergi. Goreng pisang di dalam kuali tu dah hendak hangus...jumpa lagi InsyaAllah"
Panggilan itu mengusarkan hati saya. Semalaman memikirkan maksud kata-kata yang tersurat dan tersirat di dalamnya. Semakin kerap saya beristiharah memohon ketetapan dari-Nya.

"Ya Allah, janganlah daku diuji dengan sesuatu yang tidak sanggup dipikul. Berikanlah yang terbaik untuk ku di sisi-MU. Wahai tuhan..perkenankan lah"

Mulut saya menjadi semakin berat untuk menyatakan hasrat kepada mak. Saya berkira-kira untuk cepat-cepat menyelesaikanya agar hilang segala beban. Namun, itu tidak terjadi. Ujian yang datang semakin mencabar. Ia menjadi semakin kusut masai. Pilihan yang diberikan oleh Allah semakin terbuka lebar.

Deringan telefon menjadi ketakutan kepada saya. Setiap kali berdering saya akan membiarkan sahaja. Selalunya mak yang akan mengangkatnya. Sebelum meletak ganggang, berbagai-bagai soalan yang akan ditanyakan.

"Hello...ya? Reverse charge? Dari mana? Besut? Ok..ok terima"

Hairannya mak bersedia menerima panggilan walaupun terpaksa di bayar bilnya oleh si penerima. Bukan sekali, malah berkali-kali pemanggil itu berani sekali membuat panggilan seperti itu. Bukannya panggilan untuk saya, tetapi untuk mak!

Setiap hari, panggilan misteri untuk mak akan berdering tepat pada masanya. Pukul 6.00 petang. Suatu hari saya menguatkan hati untuk menyambut panggilan itu.

"Hello, Assalamualaikum..siapa bercakap di sana?"

"Abang Kamil"

"Oo..ya?"
Saya semakin memperlahankan suara. Sesekali menutup ganggang telefon dengan sebelah tangan agar tiada orang lain dapat mendengarkan suaranya. Biar hanya saya seorang!
Tiba-tiba suasana sekeliling menjadi gelap gelita, hening, senyap dan sunyi. Yang kedengaran hanyalah suara dan bayangan wajahnya. Saya seperti berada di awang-awangan. Jantung dan hati seolah-olah terbang melayang-layang. Tiba-tiba, mak pantas memintas.
"Reverse charge tu..Dah setengah jam"
Tersentak dengan amaran mak, lantas saya terpaksa meletakkan ganggang. Mak dengan wajahnya yang penuh curiga bertanya;
"Siapa tu? Kawan biasa, teman lelaki atau buah hati?"

"Errrr...abang angkat!"

Tuesday, December 8, 2009

Nota untuk diri

Patah-patah perkataan yang keluar dari bibirnya [abang kamil] pada malam tersebut sebenarnya begitu terkesan di hati. Menyelinap di seluruh perasaan. Ia membuatkan saya berfikir dan harus menyediakan garis panduan. Untuk diri.


"Ya Allah. Sesungguhnya Kau lebih mengetahui apa yang tidak daku ketahui. Lemahnya daku kerana tidak pasti apakah yang bakal terjadi. Jangankan esok, sebentar nanti pun tidak dapat ku duga apa yang akan ku tempuhi.

"Wahai zat yang diriku di dalam kekuasaan dan genggaman-Nya, berikan petunjuk-Mu yang terbaik untuk diriku.

"Wahai tuhan, jika dia bukan jodohku..lontarkan dia jauh dari hatiku. Daku redha dengan ketetapan itu"
Perasaan serba salah melanda diri kerana memegang amanah. Amanah yang diberikan oleh mak dan abah. Sebagai anak, saya seharusnya memberikan sepenuh penumpuan untuk menuntut ilmu pengetahuan. Pelaburan yang di buat bukannya sedikit. Malah kami bukannya berasal dari keluarga yang senang. Seorang pensyarah pengurusan perniagaan pernah bersyarah di dalam kelas, katanya
"Hidup ini merupakan suatu perniagaan. Perlukan perancangan, koordinasi yang betul dan kawalan. Banyak perlaburan yang perlu dilakukan. Setiap keputusan yang di buat adalah kos melepas. Kita perlu membuat satu pilihan dan melepaskan yang lain"

"Di dalam konteks kehidupan, diri kita merupakan suatu perniagaan. Ibubapa adalah pelabur di dalam perniagaan itu yang telah melabur dengan penuh keyakinan dan kepercayaan. Melabur dengan penuh harapan agar pernigaan itu menguntungkan. Apakah kita berusaha menjadikan diri sebagai suatu perniagaan yang menguntungkan para pelabur atau sebaliknya?

Bayangkan berapa banyak yang telah di labur oleh ibubapa kita..sejak bayi. Menyekolahkan sehingga kita berada di universiti. Mereka melabur dengan penuh kasih sayang dan tidak berbelah bagi. Tidak menghiraukan samada perniagaan yang di labur itu untung atau rugi"
Selesai kuliah saya berlari pergi. Ia begitu terkesan di hati. Air mata bercucuran tidak dapat di tahan-tahan. Teresak-esak sendirian di dalam tandas mengenangkan mak dan abah. Ya Allah, apakah yang telah saya lakukan?

Apakah mereka merestui dengan perhubungan ini sewaktu usia masih muda remaja? Ketika waktu penumpuan harus diberikan kepada pelajaran? Di dalam masa yang sama saya teringat pesanan guru beberapa tahun yang lalu apabila saya tersalah melayangkan warkah pertama[click] yang hilang di dalam simpanan.

Minggu itu adalah minggu terakhir kuliah sebelum cuti pertengahan semester. Tidak sabar untuk pulang menemui keluarga sekaligus mendapatkan restu mereka. Jika tidak jawapannya, perhubungan itu haruslah dihentikan serta merta. Sebelum ada hati yang terguris, sebelum ada perasaan tercarik.

Saya harus berani berkata kepadanya bahawa jika itu ketentuan tuhan, jodoh akan mengikat kita. Pergilah walau ke mana ceruk sekalipun, maka ia akan datang kembali mencari jodoh yang telah ditetapkanNya sejak azali. Namun, dia harus mendapatkan restu daripada kedua ibu bapa.

Saya akan katakan lagi bahawa jika jodoh itu membawa ke gerbang perkahwinan, perkahwinan itu sebenarnya adalah ikatan kekeluargaan di antara dua keluarga. Ia akan berterusan dan berpanjangan selagi ada hayat di kandung badan.

Ya, wujudnya saya dengan izin Allah adalah kerana keluarga. Mereka nadi dan kekuatan saya. Sebelum pulang bercuti, saya melayangkan sekeping nota untuk peringatan kepada diri dan dirinya :

Abang Kamil,

Mohonlah restu ibubapa kerana kehidupan yang bakal ditempohi bukannya untuk sehari, seminggu, sebulan atau setahun..biarlah ia untuk seumur hidup.

Monday, December 7, 2009

Apa ada pada nama?

Pertemuan itu merubah kehidupan saya.

Rakan serumah, teman sekelas dan rakan-rakan abang Lu'E mula memperkatakan perhubungan kami berdua. Semuanya gara-gara mereka melihat beberapa peristiwa yang dikatakan menjadi penyebab dan bukti bahawa ada tanda-tanda jalinan persahabatan sedang berlaku.

"Wahh..hari tu abang Lu'E hantar you? Tolong bawa hamper besar lagi"

"Eh..abang Lu'E yang temankan dia ke pasar Dungun. Carikan teksi"

"Emm..nampak you all berdua makan keropok lekor di kafe petang tadi. Mesti ada apa-apa ni"

"Kami nampak awak berdua berdiri lama di sebelah kafe malam tu.."


Saya hanya senyum. Diam. Takut untuk mengiakan sebuah persahabatan kerana ia baharu sahaja bermula. Masih belum terasa apa-apa. Tiada hati yang berdenyut, tiada perasaan yang melayang. Hanya debaran. Debaran kencang apabila dia memandang saya dengan wajahnya yang bersahaja.

Saya paling tidak suka dengan nama samarannya - Lu'E. Kenapa Lu'E?


"Itu nama lagu lah..Brother Louie. Brother Louie..Louie..."
Seorang rakan sehostel menyanyikan lagu Brother Louie beriringan dengan muzik yang sedang di pasang. Iramanya ceria sekali. Menarik hati.

"La..ingatkan apa jenis nama agaknya. Di kampung saya, ada seorang pakcik
kami panggil namanya Atan Luwie"
Tetapi jauh di sudut hati saya tidak akan lagi memanggilnya dengan nama Abang Lu'E. Sebaliknya menggunakan nama yang telah tercatat di dalam buku Lauh Mahfuznya - MUHD KAMIL BIN IBRAHIM. Kata ustazah, insan yang kamil bermakna insan yang sempurna.

Dan topik nama itu akan berlarutan jika ia dibincangkan terutamanya bila waktu lapang di sebelah malam. Selalunya rakan-rakan sebelah menyebelah bilik akan datang berkunjung dengan membawa sekoleh minuman dan makanan untuk di kongsikan bersama. Perceritaan akan menjadi lebih meriah di hujung minggu terutama ketika masing-masing berkumpul setelah pulang dari pasar malam.

Pelajar perempuan berwajah Lai Jo Lian yang saya temui ketika mendaftar adalah rakan sebilik saya. Panggilannya Ina Nurul. Seorang lagi bernama Zura, bercita-cita untuk menjadi seorang peguam yang berkaliber.

Kak wati dari Masai adalah orang pertama yang saya kenali. Banyak ciri-ciri perawakannya yang saya senangi dan kami boleh berkongsi cerita. Beliau sebilik dengan jiran saya dari Jementah yang telah bertukar nama kepada Nita. Nama panggilan di rumahnya? Biarlah menjadi rahsia antara kami berdua.


Apa ada pada nama?

Di kampung saya, rata-rata kawan lama menpunyai nama panggilan manja. Jika nama sebenar mereka Hashimah. Lalu, panggilan manja mereka menjadi Cimah Cimut. Yang bernama Ita akan menjadi Itot. Gelaran seperti itu hanya akan digunakan kepada rakan yang hampir sahaja. Nama akan bertukar beredar mengikut usia.

Nama saya? Mak namakan asalnya bernama Rozana. Dikatakan ia tidak serasi kerana semasa bayi saya berkudis kerapu satu badan [nota: masih adakah yang percaya ia terjadi kerana nama?]. Lalu, seorang imam di masjid kampung Paya Jakas menamakan saya sebagai Raudhah tetapi di tulis sebagai Raudzah.

Mak kata ia nama sebuah taman di syurga. Ia juga sebuah tempat di dalam masjid nabawi berhampiran dengan pusara Rasullulah di Madinah. Hakikat sebenarnya, nama itu adalah ketetapan Allah.

Namun, saya paling tidak suka cara mak wa memanggil saya dengan sebutan Ra Odah. Panggilannya Odah.

"Mak wa..nama saya Raudhah atau Raudzah. Bukan Odah!"
"He..he..nak panggil apa?"
"Raudzah.."

Di rumah, seluruh keluarga memanggil saya sebagai Kak Ngah. Memperkenalkan kepada orang lain sebagai Roza. Tetapi kerana saya agak pelat semasa kecil mereka terikut-ikut dengan panggilan manja yang membahasakan diri saya dengan nama Oca. Di universiti, apabila memperkenalkan diri saya katakan kepada mereka;

"Panggil saya ROZA.."

Saturday, December 5, 2009

Tunggu sekejap..

















Saya kira Han dan Yat turut merasai perubahan diri saya yang agak ketara. Sebenarnya saya malu kepada mereka.

Mungkin perkara yang saya rasakan itu kecil sahaja tetapi kelihatan saya memberat-beratkannya.

Lalu saya mengambil sikap untuk kurang bercakap. Berdiam diri daripada bercerita. Hakikat sebenar, nun jauh di lubuk hati, saya berkomunikasi dengan diri sendiri.

Hampir setiap waktu. Ketika duduk, ketika berjalan malahan ketika berbaring. Monolog hati yang muncul tanpa skrip. Kata diri yang akhirnya bersatu menjadi satu permintaan.

"Ya Allah. Berilah kekuatan kepadaku. Tabahkanlah hati. Jadikanlah perasaan resah ini hanyalah sementara sahaja. Wahai tuhan, perkenankanlah. Perkenankanlah"
Bisikan dan lintasan hati yang berulang-ulang. Akhirnya apabila perasaan mulai tenang, saya membuka bicara kepada Han dan Yat tentang apa yang sedang bergelodak di hati Apa kata mereka?
"Hah.. itu sahaja? Kami tidak percaya dia seorang yang suka mempermainkan perasaan perempuan. Tidak bolehkah berikan dia sedikit ruang untuk dipercayai?" kata Han.

"Ya.. Tidak mungkin dia lelaki macam tu" kata Yat.
Saya lega. Kami memulakan semula kehidupan harian seperti hari-hari sebelumnya. Dengan perasaan dan pandangan yang lebih terbuka. Berjanji untuk menghormati apa sahaja keputusan yang di buat di antara kami. Fleksibal dan tidak berkecil hati.

Suatu hari selepas selesai makan malam, kami terserempak dengan abang Kas dan abang Lu'E. Mereka sedang dalam perjalanan menuju ke kafe. Abang Lu'E berhenti betul-betul di hadapan kami. Memandang saya dan berkata;
"Tunggu sekejap.."
Han dan Yat memberikan isyarat memberikan laluan. Mereka beredar ke arah kafe yang mulai sesak berhampiran. Menuju ke arah kerusi dan meja makan yang belum di huni.
"Tidak sudi berkawan dengan saya?"

"Bukan begitu. Berkawan biar beribu.."

"Maksudnya mengumpul seramai mungkin teman lelaki di keliling pinggang?

"Saya bukannya perempuan seperti itu yang awak maksudkan.."

"Pilihlah satu. Hanya satu"

"Saya cuba"

"Dan awak akan terus mencuba satu persatu?"

"Saya bukan perempuan seperti itu!"

"Kenapa menjauhi saya? Apakah yang menghalang?"
Gugup dan diam.
"Saya belum bersedia. Berikan saya masa"
Kami terus diam. Diam terpaku untuk beberapa ketika. Suasana keliling di sekitar kafe itu tiba-tiba saya rasakan hening dan lenggang. Seluruh remang malam yang masih muda itu menutup pintu hati saya. Gelap pekat!

Lalu, saya memberikan isyarat kepada Han dan Yat mengajak mereka pulang. Perlahan sekali saya mendengar patah-patah perkataan berikut darinya;
"Saya akan menunggu jawapannya. Jika tidak esok, mungkin lusa. Mungkin minggu hadapan. Barangkali bukan sebulan. Atau tahun hadapan..."
Saya berlalu pergi. Diam tidak berkata. Namun, hati kecil berbisik..
"Tunggulah.. Sesungguhnya saya juga sedang menunggu jawapan dari-Nya"

Gambar dan puisi: Ihsan Rush Murad, Miri

Thursday, December 3, 2009

Istiharah 2

Subang corak bunga tanjung itu benar-benar menganggu. Berhari-hari saya mengalami perasaan begitu. Ia suatu perasaan baru yang tidak pernah saya alami sebelum ini.

Subang itu mengingatkan saya tentang asal usul diri. Beberapa tahun lampau, sebatang pokok bunga tanjung berdiri megah berhampiran sekolah papan satu setengah tingkat yang tiada bertingkap. Apabila angin bertiup, biji-biji dan kuntum-kuntum bunga tanjung [click di sini] akan jatuh berterbangan masuk ke dalam kelas.

Harumamnya menusuk kalbu. Dan ingatan itu menusuk perasaan.

Saya dapat merasai perubahan diri. Mula mengubah laluan ke kuliah yang dahulunya jarang saya gunakan. Kerap mengelak perlawaan Han dan Yat untuk singgah di kafe selepas habis kuliah. Saya selesa bersendirian.

Apa yang pasti, saya cuba menjauhi abang Lu'E. Jangankan bertemu, untuk berselisih atau terserempak dengan dirinya pun saya tidak mahu. Ia merupakan suatu rasa yang tidak keruan. Huru-hara hati dan perasaan.

Saya takut. Takut dengan perasaan dan bayangan sendiri. Bimbang jika saya yang beria-ia sedangkan beliau tidak langsung mempunyai perasaan apa-apa. Barangkali bagi beliau pemberian hadiah seumpama itu adalah "biasa-biasa' sahaja. Bagaimana mungkin beliau begitu mudah sekali memberi sedangkan di luar sana beliau dikatakan sudah ada teman perempuan.

Sesekali, saya singgah di bilik Kak Pah. Beliaulah kakak angkat yang kelihatan sebaya. Cuma kami dibezakan dengan sedikit jarak usia. Kak pah agak pendiam, namun penyayang. Apabila berada disisinya seolah-olah saya berada di samping Mak Wa.
"Baringlah. Tutup mata dan jangan berkata apa-apa"
Kak Pah akan mengejutkan saya apabila hari hampir senja. Sebelum pulang, beliau meminta saya menjamah makanan yang telah diambilnya di kafe untuk makan malam. Pesannya;

"Solat isytiharah. Jangan beritahu masalah kita kepada sesiapa. Adukan sahaja kepada-Nya. Dia Maha mendengar. Dia menyimpan rahsia. Pasti ia tidak akan tersebar dengan mudahnya kepada sesiapa"

"Terima kasih. Menyusahkan Kak Pah sahaja.."

Malam itu saya tidur agak awal kerana berusaha untuk bangun solat di tengah malam. Solat istiharah.[CLICK] Ya, saya pernah disarankan oleh Mak Wa dan atok abah ketika membuat pilihan di zaman persekolahan [sekolah berasrama atau sekolah biasa]

"Ya Allah. Saya manusia lemah dan sering terlupa. Alpa ketika senang. Merintih ketika memerlukan-Nya"
Namun, saya hanya tersedar beberapa minit sebelum azan subuh berkumandangan. Di dalam solat istiharah saya berbisik kepada-Nya yang Maha Esa;

"Ya Allah ya Tuhanku. Berikanlah petunjuk-Mu. Jika dia bukan jodoh untukku, jangan biarkan dia hadir mengetuk pintu hati ini. Jangan biarkan hadirnya hanya sekadar singgah sebentar lalu beredar.

"Wahai Tuhan, hati ini hanya satu. Hanya untuk-Mu. Temukanlah daku dengan pasangan yang telah dijodohkan untuk ku. Pasti daku akan patuh kerana mematuhi perintah-Mu"

"Ya Rabbi, ya Hayyum, ya Qayum, Ya Latif.... perkenankanlah".

Tuesday, December 1, 2009

Gubahan Sayur 3

Saya hanya meminta bantuan beberapa rakan yang lembut tangan agar ukiran sayur nanti tiada ketara sangat cacat celanya. Saya tunjukan cara dan mereka melakukannya. Selesai mengukir, giliran mengubah pula perlu dilakukan.

Saya meminta pandangan seorang rakan bernama Intan. Beliau amat berbakat sekali kerana berasal dari keluarga yang berlatarbelakang seni. Keluarga mereka kebanyakannya terlibat dalam bidang senibina.

"Ok ke?"

"Kita bertawakal sahaja kepada Allah. Itu sahaja kemampuan kita"

"Ni kak Radzi bagi upah"

"Eh, Tidak payah. Saya lakukan ikhlas kerana Allah. Ia perkara kecil. Rasanya tidak perlulah kita berkira"



Tengahari itu, Kak Radzilah yang menguruskan penghantaran ke Dewan Besar. Karnival aktiviti pelajar akan dirasmikan pada pukul 3.00 petang. Keputusan Pertandingan gubahan hanya akan diumumkan pada lewat petang.

Saya kepenatan. Selepas solat zohor saya tertidur hinggalah dikejutkan oleh laungan azan Asar. Saya terjaga. Tergerak di hati untuk melihat apa yang dikatakan karnival aktiviti pelajar apabila di pelawa oleh rakan sehostel.

"Ya Allah.. ramainya orang"


Kami melawat dari satu ruang pameran ke satu ruang yang lain. Terpesona mendengar ketukan mesin taip yang dialukan bersama muzik oleh pelajar pengajian kesetiausahan. Kagum dengan kumpulan komander yang mempamerkan peralatan di dalam khemah ala-ala prajurit mereka.


Terhenti lama di ruang pameran pengajian "Hot Cat" [Hotel Catering]. Ia benar-benar panas dengan peralatan set hidangan, perhiasan serta layanan istemewa setaraf hotelnya. Malah saya terleka dengan tunjukcara pelbagai cara lipatan napkin. Rasanya saya banyak belajar daripada pemerhatian tersebut.


Akhirnya saya terpaku di tempat pameran dan jualan barangan perak dari kraftangan Kelantan. Kerja tangannya amat halus dan menawan. Saya membelek-belek kerosang, kemudian gelang tangan hinggalah dari sebesar-besar hinggalah sekecil-kecil subang. Saya terfikir alangkah cantiknya jika saya yang mengayakannya. Tentu menarik dipandang orang.
"Ya Allah, patutlah perempuan dikatakan akan di humban ke neraka hanya kerana perasaan meluap-luap untuk menunjuk-nunjukan perhiasan mereka!"
Tiba-tiba saya mendengar sapaan seseorang dari arah belakang;
"Subang yang itu cantik sekali. Sesuai untuk awak"

"Err.. ya. Tetapi saya cuma hendak tenguk-tenguk sahaja"
Kakak penjaga gerai segera berkata;

"Ambillah dik.. cik abe [abang] kata cantik tu.."

"Err.. saya datang berlenggang dan tidak membawa wang"
Saya merasa amat malu sekali. Bukan sahaja saya tidak membawa wang, jika di bawa dompet sekalipun pasti ia tidak mencukupi!
"Ambillah yang itu. abang belanja," Abang LuE terus mendesak.

"Corak bunga tanjung tu memang paling diminati"
Tawaran dari abang Lu'E berselang seli dengan kata-kata pujukan daripada pengerai hampir-hampir memutar hati saya. Di telinga kiri syaitan membisikkan agar saya menerima tawaran. Di telinga kanan terdengar pesanan mak agar jangan terlalu mudah menerima pemberian orang.
Sedang saya berperang dengan bisikan-bisikan tiba-tiba terdengar pengumuman dari corong pembesar suara;
"Tempat kedua Pertandingan Gubahan.. jatuh kepada Rumah A2! Gubahannya bertemakan Merak Kayangan. Di minta wakil naik ke pentas"
Saya menoleh ke kiri dan ke kanan namun kak Radzi tidak kelihatan.
"Rumah A2.. Hostel A2.. sila wakilnya naik ke pentas"
Spontan kaki saya melangkah pergi. Di atas pentas saya menerima sebuah hamper besar dan sejumlah wang sagu hati.
Petang itu [dengan pertolongan abang Lu'E] seorang rakannya yang mempunyai kereta menghantar kami dan hadiah hamper pulang ke hostel. Sebelum saya dan rakan serumah melangkah masuk ke dalam pagar hostel, saya menerima sesuatu yang tidak di sangka-sangka;
"Abang harap awak suka..."
"Subang bunga Tanjung.. untuk saya?"

Monday, November 30, 2009

Gubahan Sayur 2

Saya membuat isyarat serta satu anggukan untuk meminta kepastian daripada abang Ind. Abang Ind memuncungkan bibirnya menghalakan kepada abang Lu'E. Saya sudah tidak sabar. Saya memerlukan kepastian samada boleh atau tidak.

Jika Ok - alhamdulillah. Jika tidak, saya perlu segera mencari ikhtiar. Itu komitmen saya kepada semua penghuni hostel A2. Saya teringat pesanan ustaz ketika di sekolah, katanya :

"Ciri-ciri orang munafik adalah..apabila bercakap ia bohong, apabila berjanji, ia dusta dan apabila bertengkar ia melampaui batas.."
Saya tidak mahu tergolong daripada golongan itu. Lalu, saya mencekalkan hati untuk bertanya;

"Boleh tolong temankan saya ke pasar esok?"

"Boleh"
Agaknya abang Lu'E mengungkapkan perkataan "Boleh" namun, kerana debaran di hati lebih kuat lagi, lalu ia bagaikan tidak kedengaran.
"Pukul berapa?"

"Awal..8.00 pagi"

"Boleh, boleh..terima kasih"
Esok pagi-pagi lagi saya sudah bersiap sedia. Sekejap-sekejap menjengukkan kepala keluar tingkap dari bilik hostel. Tepat masanya, saya melihat abang Lu'E keluar dari sebuah teksi betul-betul di belakang hostel kami.

Lalu, saya segera keluar. Banyak urusan yang perlu dilakukan - ke pasar, mengukir sayur dan buah, kemudian mengubah dan menghiasnya pula. Bagaimana jika sayur-sayur yang saya perlukan itu tiada? Atau pasar tutup dengan tiba-tiba? Berbagai fikiran bermain di kepala.

"Ke pasar Kuala Dungun pula, pakcik.."
Di dalam teksi itu, kami diam sahaja. Abang Lu'E duduk di tempat duduk hadapan bersebelahan pemandu manakala saya duduk di belakang. Saya membelek-belek senarai barang yang harus di beli sambil berdoa di dalam hati.
"Ya Allah. Minta-minta adalah kesemua bahannya"
Oleh kerana kami semua diam sahaja, saya merasakan ia suatu perjalanan yang panjang. Diam-diam saya memikirkan perkara yang bukan-bukan. Entah-entah abang Lu'E marah kepada saya kerana meminta pertolongannya. Entah-entah beliau pergi kerana terpaksa dan pergi tanpa pengetahuan teman wanitanya..Entah-entah beliau sudah ada temujanji namun terpaksa membatalkannya kerana telah berjanji ingin membantu saya. Entah-entah....Ah! terlalu banyak entah-entah yang terbitnya daripada perasaan bersalah.

"Kenapa dia diam sahaja? Dengar kata macam hebat sangat orangnya.. kenapa sampai saya di beri amaran untuk tidak mendekatinya"
Tidak sedar saya sudahpun sampai di hadapan pasar. Tiba-tiba abang Lu'E bertanya saya:

"Banyak kah barang yang hendak di beli? Adakah ia mengambil masa yang lama?"

"Bagi saya setengah jam, paling lama. Paling cepat dalam masa 15 minit. Boleh?"

"OK. Kalau begitu..pak cik boleh tunggu?"

Pakcik teksi bersetuju untuk menunggu sementara saya terus bergegas pergi. Saya membayangkan bahawa saya akan mengubah sayur-sayur menjadi seekor buruk merak. Jadi, saya perlukan nenas sebiji sebagai tapak, saya perlukan timun yang akan di ukir menjadi kepak dan ekor yang dikembangkan. Sengkuang untuk kepala. Sebungkus cengkih untuk matanya. Lada untuk paruhnya. Tomato akan di ukir untuk gubahan kuntuman bunga mawar yang kudup dan yang mekar. Daun salad, daun bawang. Lidi pencucuk satay. Pisau kecil..ya pisau kecil jangan lupa!

Saya pergi dari satu tempat ke satu tempat dengan pantas sekali. Teringat pesanan abah, MASA ITU EMAS! Abang Lu'E mengikut saya dari belakang. Setiap kali sayur-sayuran penuh di tangan, beliau akan mengambilnya dari saya dan terus di bawa ke teksi. Kemudian, beliau datang kembali mengekori . Wajahnya masih bersahaja dan tenang orangnya. Ramai pakcik-pakcik dan makcik-makcik di pasar menegur saya;

"Eh! bergaduhnye..nak cepak?"
Saya senyum sahaja kepada mereka. Sesekali terfikir, adakah mereka nampak saya dan abang Lu'E kelihatan sedang bergaduh? Perkataan "nak cepak" itu apa pula maknanya? Biar! Biar apa orang lain kata..saya ada urusan kerja dan tengah bekerja!

Tidak sampai setengah jam, segala barang keperluan telah saya perolehi. Kami pulang segera ke hostel tanpa singgah di mana-mana. Sampai di hadapan hostel A2, rakan-rakan serumah segera membantu memunggah masuk barang keperluan.

"Ini duit tambang"

"Tidak mengapa..abang dah bayar"

"Jangan begitu. Tambang juga termasuk di dalam peruntukan"

Masih lagi dengan wajah yang bersahaja, abang Lu'E menyambutnya. Senyumnya membuatkan saya merasa lega. Di dalam teksi saya telah mengarang kata-kata.
"Terima kasih banyak-banyak. Hanya Allah sahaja yang dapat membalasnya.
Saya tidak tahu apakah yang akan terjadi tanpa bantuan abang Lu'E. Lain kali
saya belanja minum kopi.."
Syaitan membisikkan agar saya memberikannya satu jelingan yang paling manja seraya menyatakan patah-patah perkataan dengan nada yang mengetarkan. Membayangkanya sahaja sudah cukup membuatkan saya geli geleman! Masaallah..
"Saya amat terhutang budi pada abang. Terima kasih daun keladi ya bang ..."
Ingin sekali saya katakan begitu. Namun, ia tersumbat di hati. Terkumpul di dalam perasaan. Saya hanya mampu mengucapkan perkataan berikut dengan nada yang keras kejang!

"Terima kasih, ye.."

Friday, November 27, 2009

Gubahan Sayur

Pertengahan semester itu, ITM Dungun menganjurkan karnival selama beberapa hari. Setiap kelab, hostel, fakulti dan berbagai persatuan di minta mempamirkan aktiviti dan kreativiti pelajar.

Entah mengapa, hati saya digerakkan oleh Allah untuk menyertai pertandingan gubahan mewakili Hostel A2. Ketua hostel merasa sangat gembira apabila saya menyatakan persetujuan. Beliau berusaha sepenuh tenaga untuk mengumpulkan sedikit dana untuk perbelanjaan membeli bahan untuk gubahan.


"Awak hendak mengubah apa?"

"Sayur-sayuran"

"Sayur? Kenapa sayur.. "

"Kosnya rendah. Murah. Lagipun bahannya senang di cari.."

Saya menyatakan dengan penuh keyakinan. Sebenarnya saya kasihan melihat ketua hostel [Kak Razi] yang telah berminggu-minggu pening kepala untuk mengajak penghuni hostel mewakili pertandingan yang diwajibkan kepada semua.
"Gubahan sayur pun syukur Alhamdulillah. Tidak menang tidak mengapa. Janji
kita turut serta"
Kak Razi melahirkan kata-kata seolah-olah tidak percaya bahawa setiap penyertaan ada potensi untuk menang. Namun, sebagai tanda bersungguh-sungguh memberikan sokongan, beliau membuat kutipan kewangan untuk dijadikan modal membeli bahan. Modal tersebut diserahkan pula kepada saya.

Tiba-tiba saya menjadi bingung.

"Ya Allah. Dimanakah pasar Dungun tempat untuk membeli sayur ya?

Puas saya mengajak rakan-rakan sehostel, namun mereka semua mempunyai agenda tersendiri yang perlu dihadiri. Puas juga saya berikhtiar mencari rakan-rakan. Han dan Yat juga mempunyai komitmen dengan projek hostelnya.

Lalu, saya nekad untuk mencari abang Ind yang selama ini sedia menghulurkan tangan memberikan pertolongan. Di mana untuk mencari dirinya? Library..ya library.

"Pergi pasar esok pagi? Abang Ind tidak dapat pergi. Ada make up
testlah"


"Make up test? Bukankah hujung minggu tiada
kuliah?"


"Test 1 dulu abang Ind terlepas. Tidak datang sebab tertidur. Tidur mati!"

"Habis tu..ada sesiapa yang boleh tolong saya?"

"Pukul berapa gubahan hendak kena hantar ke Dewan Besar?

"Esok 2.30 petang"

"Ok..nanti abang Ind cari orang. Hari ini pukul 5 petang boleh tunggu di kafe makcik keropok lekor?"

Lalu, petang itu saya menunggu dengan penuh debaran dan harapan. Siapalah gerangannya yang abang Ind minta untuk membantu saya. Tepat masanya abang Ind muncul dengan rakan-rakan sekelasnya. Mereka mengerumuni kami bertiga.

"Esok pagi kami semua kena ambil make up test.."

"La..tidak selesai juga masalah"

" Ind, buat apa demo tok suruh Lu'E? Dio tak dok kelas..Dia bangsa tidak lokek tulung orang" [kenapa awak tidak meminta pertolongan Lu'E? Beliau tiada
kelas. Beliau tidak lokek untuk memberikan pertolongan]


Seorang abang yang pekat loghat kelantannya membuat cadangan. Yang lain setuju. Tiba-tiba kami ternampak abang Lu'E sedang menuju ke arah kedai koperasi. Lalu, salah seorang memanggilnya.

"Wie..ni hah, nok mintok mu tulung. Buleh dok?" [Ada sesaorang hendak
meminta pertolong awak. Bolek ke tidak?]

Mereka menerangkan kepadanya tentang kemuskilan yang dihadapi oleh saya. Saya pandang wajah bersahajanya. Abang Lu'E menundukkan kepala dan menadahkan telinga. Kemudian, beliau mengangkat tangan. Tapak tangannya di genggam longgar, jari telunjuknya bengkuk sambil menutup mulutnya.

Dari bibirnya keluar sepatah perkataan yang tidak begitu jelas kedengaran.

Thursday, November 26, 2009

Sepiring keropok lekor Satu Ringgit

Resah. Gelisah. Saya rasa seperti kucing kehilangan anak.

Sekejap-sekejap saya pergi bertanya kepada makcik keropok lekor, kemudian duduk kembali. Sebentar kemudian, berpura-pura pula mengacau-ngacau Teh-O panas dengan sudu kecil. Letak- kacau. Letak sudu dan kacau kembali. Sesekali meniup-niupnya..entah! Tidak keruan.

"Duduk elok-elok. Sekejap lagi masaklah keropok tu"
Saya tidak berani memandang muka abang Lu'E. Wajah dan suaranya bersahaja. Saya buntu. Saya kelu, malah tidak tahu apakah topik perbualan yang harus saya bualkan. Saya memerhatikan kiri dan kanan, takut-takut mana tahu ada kakak senior yang memberikan amaran tempohari. Saya tidak sanggup untuk menerima amaran demi amaran berkali-kali. Seolah-olah saya tiada maruah diri.
"Tunggu sekejap ya. Biar abang pergi tenguk"

Saya seperti budak perempuan kecil yang masih hingusan, terpaksa akur kepada arahan. Saya melihat barisan masih panjang dan mereka berkerumun mengelilingi makcik keropok lekor. Namun, dari celah-celah orang ramai, saya melihat abang Lu'E membawa sepiring keropok lekor.
"Ini sahaja yang dapat.."
Saya memerihati rupa makanan yang dinamakan keropok lekor itu. Abang Lu'E mungkin tahu dan dapat membaca dari raut wajah bahawa makanan seperti itu agak asing bagi saya. Barangkali keropok itu asalnya panjang dan berlengkar-lengkar. Lalu, ia disebut dengan sebutan dialek tempatan - kepok leko.

Saya melihat beliau mengambil keropok itu dan mencecahnya dengan sos cair yang manis pedas. Lalu, segera dimakannya. Hati saya berbisik;
"Hah? Tidak membaca bismillah...?
Di ambilnya sebatang keropok itu lagi. Kali ini dengan tangan kiri. Lalu, saya menunjukkan isyarat agar makan menggunakan tangan kanan. Secara bersahaja, beliau menukar keropoknya ke tangan kanan pula. Tidak marah malah mendengar kata.

Saya diam tidak terkata. Saya cuba makan dengan tertib. Namun sebenarnya keropok lekor itu tersekat di celah kerongkong. Tidak tertelan oleh tekak saya kerana disebabkan debaran hati seolah-olah di tumbuk bertubi-tubi. Debaran yang berombak-ombak kencang. Kencang sekali!

"Manalah Han dan Yat ni...?"

"Tidak perlu tunggu mereka. Mari kita pergi dahulu"


Saya cepat-cepat menyudahkan minuman. Sementara abang Lu'E mengeluarkan dompetnya untuk membuat bayaran. Dari jauh saya menjeling berapa banyak nota Ringgit yang ada di dalam dompetnya. Jika semasa di minggu orentasi beliau boleh menawarkan biasiswa, pasti banyak duit poketnya.

Saya melihat beliau menyelak-yelak dompetnya. Tiada berapa nampak nota Ringgit yang kelihatan. Hati saya berbisik;
"Alamak! Tidak ada duit ke dia? Habislah kali ini..saya cuma ada seringgit sahaja"
Dan akhirnya beliau meraba-raba lantas menyeluk poket seluar, lalu mengeluarkan sekeping nota Ringgit;

"Hah? Ada seringgit sahaja yang ada pada dia? Serupa macam saya juga. Ya Allah. Miskinnya.."




Wednesday, November 25, 2009

Sepiring keropok lekor

Suatu hari, seperti kebiasaannya selepas selesai kuliah kami singgah di kafe. Petang itu saya telah bernekad untuk merasa salah satu makanan popular di negeri pantai timur iaitu keropok lekor. Saya bawa sekeping duit seringgit dan bercadang membeli bungkus untuk di bawa pulang. Sedang kami menunggu giliran, tiba-tiba sekumpulan pelajar lelaki datang menyerbu. Mereka memotong giliran dan semua keropok lekor yang ada habis di borong oleh mereka.

"Anak boleh tunggu ke? Sekejap sahaja Mak cik pergi goreng lagi keropok lekor itu."

Lalu, kami mengambil tempat duduk di meja berhampiran. Masing-masing melayan perasaan, barangkali kesal dengan perbuatan mereka yang memotong barisan tadi. Tiada apa yang kami bualkan. Sedang kami menunggu, abang Ind datang menghampiri dan abang Lu'E datang menyapa;


"Tengah tunggu apa?"

"Keropok lekor.."

"Makan di sini ke hendak beli untuk di bungkus?"

"Bungkus.."

"Makan disinilah..abang Ind hendak belanja"


Tiba-tiba abang Lu'E memberikan cadangan dan abang Ind terpaksa mengiyakannya. Han, Yat dan abang Ind meminta minuman sejuk, manakala saya dan abang Lu'E meminta minuman panas. Sementara menanti keropok lekor sedang di goreng, abang Ind membawa sepiring pisang goreng.

"Makan goreng pisang dulu. Keropok tu lambat lagi heee..heee..he"

Abang Ind sungguh-sungguh mempelawa kami serta diakhiri dengan tertawa hilaian seperti kudanya. Trademark asli yang dikenali.


"Han dan Yat..minum cepat sikit. Abang Ind hendak tunjukkan sesuatu"

"Saya?"

"Tunggu keropok lekor tu..nanti kami datang semula ke sini....heeee..heee..he"

Lalu, mereka bertiga pergi meninggalkan kami berdua.

Monday, November 23, 2009

Keropok lekor

Hampir setiap petang selepas kuliah, kami bertiga akan singgah di kafe. Han, terutamanya sangat suka membeli kuih muih untuk minum petang. Kadang-kadang Han akan membungkus dan membawa balik untuk dikongsikan bersama rakan-rakan sebilik.

Saya pula amat berkira dengan perkara-pekara "Add value" seperti itu. Duit saku kiriman dari abah cukup-cukup untuk keperluan dan perbelanjaan untuk pelajaran. Buku, fotostate nota, kertas A4, binding assignment dan berbagai keperluan lain memaksa saya betul-betul mengambil kira kos kenaannya. Mak selalu berpesan agar tidak bermewah-mewah. Makan sahaja makanan yang ada walaupun nasi kawah!

Saya amat bersyukur kerana mempunyai rakan yang baik hati dan suka berkongsi. Namun, saya berusaha sedaya upaya untuk tidak mengambil kesempatan ke atasnya.

"Han, saya kena balik ke bilik segera..ada hal. Pergi dulu ya"

"Ok. Nanti saya hantar kuih ke bilik.."

"Tidak payah. Jangan susah-susah"

Lalu, saya bergegas-gegas pulang ke hostel. Seboleh mungkin cuba menjauhkan diri agar tidak termakan budi dengan menerima pelawaan minum petang secara percuma hampir setiap hari.

Di bilik, saya akan menjerang air dan membuat secangkir kopi-O panas di cicah dengan biskut kering. Selalunya saya minum sendirian tetapi kadang-kadang minum secara berjemaah. Apabila ada kelapangan, rakan sebilik dan jiran sebelah bilik akan datang bertandang untuk minum petang sambil bersembang-sembang.

"Semalam akak beli keropok lekor. Buruk benar rupanya...he..he"

"Rasanya macamana? Sedap ke?"

"Sedap..engkau kena cuba rasa semua. Lain negeri lain makanannya"

Suatu hari, seperti kebiasaannya selepas selesai kuliah kami singgah di kafe. Petang itu saya telah bernekad untuk merasa salah satu makanan popular di negeri pantai timur iaitu keropok lekor. Saya bawa sekeping duit seringgit dan bercadang membeli bungkus untuk di bawa pulang. Sedang kami menunggu giliran, tiba-tiba sekumpulan pelajar lelaki datang menyerbu. Mereka memotong giliran dan semua keropok lekor yang ada habis di borong oleh mereka.

"Anak boleh tunggu ke? Sekejap sahaja Mak cik pergi goreng lagi keropok lekor itu."

Saturday, November 21, 2009

Kakak Angkat


Sebelum melangkah ke universiti, saya pernah berjanji kepada diri bahawa suatu hari nanti saya ingin menjadi kebanggaan keluarga terutamanya buat mak, abah dan Mak Wa. Saya ingin melanjutkan pelajaran setinggi mungkin dan kalau boleh di luar negara.

Namun, fenomena yang sedang melanda diri membuatkan saya menjadi takut. Terdapat sedikit "culture shock" terutama apabila berhadapan dengan perubahan mendadak untuk menjadi remaja yang "dewasa". Dikatakan di universiti segala keputusan perlu bertindak sendiri. Berdikari.

Saya perlu menjadi dewasa apabila berhadapan dengan cemuhan orang. Belajar untuk tidak cepat melatah apabila di sergah. Mengenal diri sendiri. Mengimbangi di antara pelajaran dan pergaulan yang tidak lagi di kawal oleh ke dua orang ibubapa. Saya perlu bertindak dan bersikap bijak apabila tekanan perasaan seorang remaja datang melanda.

Mak selalu berpesan agar sentiasa berhati-hati memilih kawan kerana kadang-kadang kawan kita yang paling baik adalah merupakan musuh yang paling ketat. Terutamanya apabila kita sudah tidak lagi sehala. Kawan rapat itulah selalunya yang mengetahui banyak rahsia. Jangan sampai mengharapkan pagar, nanti pagar yang makan padi.

Persepsi orang terhadap kita banyak bergantung kepada siapa yang menjadi rakan-rakan pergaulan kita. Jadi, memang diakui bahawa saya sangat berhati-hati memilih teman sejati.

Suatu hari minggu, bilik saya dikunjungi oleh sesaorang . Saorang kakak yang hanya beberapa semester sahaja senior daripada saya. Masih muda belia. Jika di ukur dengan ketinggian, saya nampak seperti kakaknya.


"Kak Pah dah lama memerhati.. suka tengok awak. Bolehkah kak Pah menjadi kakak angkat?"


Entah kenapalah mesti ada kakak angkat atau adik angkat. Pada pandangan saya jika sekadar perbezaan umur setakad setahun dua, saya menganggapnya sebagai sebaya. Namun, kemungkinan ada baiknya juga jika mempunyai kakak angkat ni..diri terasa lebih muda!

Cuma saya mempunyai pandangan yang berbeza berkenaan kakak angkat kerana saya sangat tidak suka jika terikat. Saya bimbang tindak tanduk yang bakal saya lakukan nanti hanya kerana terpaksa atau ingin menjaga hati serta air mukanya.

Saya pernah mendengar cerita Kak Long Pidah semasa beliau bersekolah berasrama penuh bagaimana fenomena kakak atau adik angkat itu jika tiada had garisannya ia boleh membawa kepada porak puranda. Kadang-kala hubungan mereka menjadi tersangat akrab hingga melebihi kasih sayang keluarga.

"Emmm..boleh beri saya peluang untuk berfikir dahulu. Bolehkah kak Pah menunggu?"

"Tentu sahaja. Kak Pah berbesar hati jika awak sudi menerimanya"

"Tunggulah..kerana saya juga akan sabar menunggu"

Thursday, November 19, 2009

Hidung Tak Mancung

Dua bulan pertama berada di ITM kampus Sura Hujung, perasaan saya masih tidak seimbang. Banyak perkara baru yang saya ingin dan perlu tahu. Ada masanya saya akan bertanya. Namun, selalunya saya hanya berdiam diri, berfikir dan cuba membuat analisa sendiri.

Pernah suatu petang ketika kami bertiga berada di kafe, sekumpulan rakan sekelas abang Lu'E datang menghampiri meja kami. Mereka bercerita;

"Betulkah kata abang Ind awak tidak suka kepada Lu'E?"
Seorang abang menujukan soalan kepada saya. Saya terpinga-pinga kerana jawapannya tidak pernah ada di dalam diri. Saya sendiri tidak tahu bahawa saya pernah berkata begitu. Pada ketika itu - pada hemat saya - mendiamkan diri lebih baik dari berkata tanpa tahu hujung pangkal.


"Lu'E baik hati orangnya. Kami yang bodoh-bodoh ini semuanya di bantu. Dia selalu bagi peluang kami meniru jawapan kertas ujiannya"
Namun setiap kali rakan-rakan abang Lu'E menyatakan sesuatu tentang dirinya, seboleh mungkin saya menguatkan hati dengan berkata:

"Jangan percaya.. jangan percaya dengan cerita yang belum tentu benarnya"
Pada suatu masa yang lain, saya di tegur oleh beberapa orang pelajar senior ketika sedang melintasi hostel siswi. Saya tidak pula ingin mengetahui entah program apa yang diikutinya. Tetapi lagaknya tegas dan berani sekali;

"Saya dengar orang kata awak sedang mengurat abang Lu'E?"
Ya Allah! Siapakah sebenarnya yang membuat plot cerita sehingga saya sendiri keliru. Tidak tahu apakah yang sebenarnya sedang berlaku.


"Dengar sini baik-baik.. abang tu kepunyaan seseorang. Jangan sampai nanti ada orang berkata, hidung tidak mancung, pipi pula tersorong-sorong.."

Bukan itu sahaja - malah di mana-mana - ada sahaja amaran demi amaran yang di sampaikan samada secara terang atau tersembunyi kepada saya. Saya pernah menerima nota yang di kirim oleh sesaorang yang tidak dikenali ketika berada di library. Saya pernah menerima amaran yang terpapar di papan hijau di bilik kuliah. Ia tertulis dengan huruf besar.


PINGGAN TIDAK RETAK
NASI TAK DINGIN
ORANG TIDAK HENDAK
JANGAN PULA KITA TERINGIN-INGIN..

Entah siapalah abang Lu'E itu agaknya. Kalaulah saya boleh menerima pakai data-data yang dikumpulkan.. pasti abang Lu'E itu kalau tidak seorang Cassanova pasti dia adalah seorang Don Juan yang kerjanya asyik mempermainkan perasaan perempuan.

Tetapi amaran yang di terima amat menguris hati dan perasaan. Walaupun nampak pada zahirnya saya seperti tidak peduli, namun sedikit sebanyak ianya memberikan kesan di dalam hati. Untuk mengurangkan sedikit tekanan perasaan, lalu saya kongsikan bersama teman yang agak rapat. Beliau adalah jiran sebelah bilik di hostel.

"Ah! Kalau akak.. kau mengurat betul-betul abang Lu'E tu. Biar padan muka mereka!

Wednesday, November 18, 2009

Cerita orang

Setiap kali selepas habis kuliah, kami bertiga akan ke library. Kami akan menyudahkan kerja-kerja yang diberikan oleh pensyarah seberapa segera yang mungkin. Atau kami akan menyalin mana-mana nota yang tertinggal sewaktu di dalam Lecture Theater.

Saya memang mengakui bahawa agak lambat sedikit untuk menangkap pengajaran yang diajarkan oleh pensyarah di Lecture Theater yang besar itu. Saya sentiasa berusaha untuk duduk di hadapan. Jika terlambat sedikit, maknanya duduk di barisan belakang nanti saya harus membuka seluas-luasnya telinga dan mata.
"Helo, tiga sekawan.."
Tegur seorang abang yang sering kami bertembung di dalam library. Katanya beliau adalah di dalam semester akhir pengajian perakaunan, juga sekelas dengan abang fasilitator 2 dan abang biasiswa.
"Kami semua rapat macam adik-beradik. Eh, boleh abang Ind tanya satu perkara..betul ke awak tidak layan abang Lu'E? [abang biasiswa]
Tiba-tiba pertanyaan itu ditujukan kepada saya.
"Siapa kata..merepeklah abang Ind. Dia.. kenal pun tidak kepada saya"

"Abang kas [abang fasilitator 2] yang kata.."

"Kenapa pula saya nak layan dia?"

"Eh, dia tu susah hendak sukakan perempuan. Perempuan yang suka kepada dia ramai...heee..heee..he"
Abang Ind mengeluarkan kenyataan yang tidak di minta. Selalunya beliau akan menyudahi setiap kenyataannya dengan hilaian tawanya seperti kuda. Bagaimana mungkin orang akan mempercayai setiap tuturkatanya.
"Suka hati dia lah. Asalkan saya tidak termasuk di dalam golongan perempuan yang ramai itu"
Abang Ind banyak membantu kami mengatasi kebuntuan pelajaran dan juga memberikan tips-tips berguna tentang pembelajaran di universiti. Cuma, apabila beliau cuba menyampaikan mesej berkenaan abang Lu'E..saya langsung tidak masuk ke hati!

Suatu hari abang Ind datang ke library bersama-sama abang Lu'E. Mereka terus sahaja duduk di meja berhadapan kami bertiga. Tiba-tiba abang Lu'E bertanya;
"Study apa awak semua?"

"Accounting...susahlah!"
Yat menjawab ikhlas dari hati. Kami semua mengangguk-angguk setuju dengan pengakuan Yat itu.
"Topik yang mana satu?"
Lalu, abang Lu'E mencakar-cakar dan menerangkan kepada kami semua. Bukan itu sahaja, beliau terus ke bilik kertas soalan peperikasaan semester-semester lepas. Mengambil satu dari set soalan sebagai contoh, menerangkan kepada kami tanpa di minta.
"Jelas? Senang sahaja belajar di universiti ini. Banyakkan buat latihan soalan-soalan semester yang lepas. Kalau tidak faham..pergi segera bertanya kepada lecturer"
Beliau bangun lalu bergegas terus ke kelas tanpa sempat kami mengucapkan apa-apa. Abang Ind berlari-lari anak mengejar di belakangnya. Saya terpinga-pinga. Tidak ada sedikit pun tanda-tanda bahawa abang Lu'E menyukai saya.

Benarlah kata orang, cerita orang kita jangan terus percaya sebelum tahu kebenarannya. Jangan mudah terpedaya.

Monday, November 16, 2009

Segalanya pertama kali

Sepanjang semester pertama saya berkawan baik dengan rakan sekelas iaitu Han dan Yat. Kami sering bertiga walau ke mana-mana namun tidak tinggal di dalam hostel yang sama. Han dan Yat berasal dari Kuala Lumpur. Remaja bandar yang segalanya lebih terkini berbanding dengan saya. Diam-diam saya sebenarnya banyak bergantung kepada mereka.

Walaupun Yat adalah anak kelahiran kota raya tetapi saya kira beliau datangnya dari keluarga yang sederhana. Tidak sombong dan saya amat senang sekali dengannya.

Han adalah anak sulung yang berasal dari sebuah keluarga berada. Percakapan, pemakaian malahan peralatan alatulis, fail dan semua benda yang digunakannya dapat mengambarkan kedudukannya. Memang beliau ada gaya. Namun, beliau tidaklah pula menunjuk-nunjuk dengan kekayan yang dimiliki oleh keluarganya.

Pernah suatu ketika, keluarga Han datang melawatnya. Mereka datang dengan sebuah kereta yang besar, gagah dan bergaya. Dengan melihat dari luar tingkapnya sahaja saya dapat membayangkan betapa empuk kerusi kusyen di dalamnya.
"Kenapa nama kereta itu singkat sahaja. BMW?"

Han dan Yat senyum sahaja. Tiba-tiba ibu Han mempelawa.
"Marilah ikut untie dan uncle keluar makan"

"Terima kasihlah untie. Kami sudah makan di kafe tadi"
Saya cuba menolak perlawaan dengan penuh sopan, walaupun di dalam hati teringin sekali menduduki kusyen empuk kereta yang ada di hadapan mata. Ingin sekali. Yat mencubit peha, sakitnya tidak terperi. Bapa Han pula berkata;
"Alah..tidak mengapa. Kita keluar jalan-jalan sahaja"
Akhirnya kami bersetuju.

Pertama kali duduk di dalam kereta sedemikian rupa, menghidu harum wangian dan menghirup udara sejuk dari penyaman udara, hati terkenang kepada kereta Morris Marina abah.[click di sini] Kereta kami tiada penyaman udara. Setiap kali kereta bergerak, tingkapnya sengaja di buka seluas-luasnya. Apabila kereta di pandu laju pasti angin akan masuk ke dalamnya menderu-deru. Jika hujan, cermin tingkap terpaksa dinaikkan. Jadi, pasti kami akan berpeluh-peluh dan cermin tingkap kelihatan meruap-ruap kerana udara terperangkap dari dalam. Namun, itulah kebanggaan kami semua. Banyak jasa kereta itu kepada kami sekeluarga.
"Wah cantiknya tempat ni.."

"Ya..inilah Tanjong Jara Resort. Awak nak makan apa?"
Saya terfikir-fikir apakah makanan yang di jual di dalam resort yang serba mewah seperti itu. Negeri Terengganu adalah tempat ikan, barangkali itulah menjadi sumber bahan makanan utama.
"Keropok ikan"

"He..he..he nanti kita tenguk apa yang ada"
Ibu bapa Han membawa kami ke restoran di dalam resort itu. Terbeliak mata saya melihat makanannya berbaris-baris, bertingkat-tingkat malah berjenis-jenis. Subhanallah! Manusia jenis apakah yang dapat makan kesemuanya!
"Makanlah mana-mana yang awak semua suka. Buffet"
Saya terasa janggal sekali. Terasa seperti seekor ayam kampung yang terlepas masuk ke dalam kelas di Sekolah kebangsaan Paya Jakas.[click di sini] Terpinga-pinga.
"Macamana hendak mulakan ya?"

"Cubalah dengan starter. Prawn cocktail, cream of mushrom atau Tomyam"

Han memberikan cadangan.
"Tomyam sahaja lah.."

Saya membuat keputusan tanpa dapat mengambarkan bagaimanakah rupanya makanan yang dicadangkan. Lalu, mencapai semangkuk kecil tomyam yang diberikan oleh Han. Saya merenung dalam. Mencapai sebatang sudu, menyenduk dan melihat ramuan yang ada. Subhanallah! Ikan, ayam, udang, daging, serai, hirisan bawang serta sayur-sayuran yang beranika rupa terdapat di dalamnya. Semuanya di dalam bekas yang sama! Tidak terfikir bahawa saya diberikan peluang oleh Allah untuk menikmatinya.
"Bismillahirahman nirahhim.."
Saya hirup perlahan tomyam yang suam ke dalam mulut perlahan-lahan dan hati tidak berhenti-henti memuji-muji Allah penuh kesyukuran. Tiba-tiba teringat mak, abah, adik-adik dan Mak Wa. Apakah juadah yang sedang di makan oleh mereka.[click di sini]
"Ya Allah. Selama ini diri ini di ajar makanlah apa yang terhidang di depan mata dengan ala kadar sahaja. Terima kasih Allah. Mudah-mudahan makan ini memberikan berkat dan menambahkan keimanan dan ketakwaanku kepadaMu.

Ya tuhan, berikan kesempatan suatu waktu nanti akan ku kongsikan makanan seperti itu.."
Di dalam diam, air mata jatuh perlahan-lahan. Mencapai sehelai tisu dan mengesatnya tanpa pengetahuan mereka. Hati berbisik sambil merenung ombak pantai Tanjung Jara yang indah permai.
"Jemput makan mak. Jemput makan abah. Jemput makan adik-adik. Jemput makan Mak Wa..."

Saturday, November 14, 2009

Pertemuan Pertama

Malam itu Maxxx dan rakan baik yang dikenali semasa minggu silaturahim menghantar saya ke Sura Gate, Dungun. Perhentian bas terletak di hadapan sebuah restoran. Saya dapati ramai siswa-siswi freshie pulang selepas seminggu mengharungi minggu silaturahim. Suasana hinggar bingar, namun mereka semua nampak ceria untuk bertemu keluarga.

Hari itu saya menyarung seluar berwarna merah samar dan sweater yang dihadiahkan oleh Kak Long Pidah. Saya amat berterima kasih di atas pemberiannya. Perihatin sekali terhadap saya.
"Awak bawa T-shirt lusuh dan baju kemeja abah ke ITM?

"Ya. Itu sahaja yang saya ada"

"Baju kemeja kotak-kotak itu agak baru. Baju abah juga?"

"Tidak..hadiah dari bekas cikgu sekolah"

"Nah. Ambil sweater ini. Masih baru. Baru di pakai sekali"
Tiket bas yang dibelikan oleh Maxxx akan berlepas pada pukul 9.30 malam. Dari Dungun ke Segamat akan memakan masa beberapa jam lamanya. Subuh nanti baru sampai ke destinasi.

Itu adalah pengalaman pertama saya menaiki bas ekspress secara bersendirian. Banyak perkara yang bermain-main di kepala. Sekali-sekala hati berdenyut nyilu kerana kegelisahan. Ia terpancar di wajah. Wajah yang pucat lesi. Kebimbangan yang ketara bagi seorang remaja kampung yang tidak pernah keluar jauh dari daerahnya.
"Bagaimana nanti kalau saya tidak terjaga di Segamat dan bas berlalu pergi terus ke JB?[Johor Bahru]. Cukupkah tambang untuk balik nanti?"
Monolog kepada diri.
"InsyaAllah! Mak, abah dan adik-adik...tunggu. Kita akan bertemu kembali walaupun hanya sehari sahaja kita sempat bertemu muka. Ketahuilah kalian semua, walaupun baru seminggu..rasanya bagaikan telah kehilangan kalian semua bertahun-tahun lamanya. Ya tuhan, saya tidak sanggup menanggung kerinduan begini terhadap keluarga"

Itulah yang berbisik di dalam hati.

Maxxx dan rakan baik hilang entah ke mana. Mereka sibuk menemui rakan-rakan lain yang akan pulang ke pangkuan keluarga. Saya hilang punca. Berdiri sendirian sedang hati bermain-main dengan perasaan.
"Assalamualaikum Raihan. Seorang sahaja?"
Sesaorang menyapa. Suara yang agak biasa. Saya menoleh ke arahnya.
"Ooo..abang fasilitator 2"

"Balik JB. Bandar baru Majidi?"
Saya merasa sangat bersalah kerana selama ini membiarkan sahaja abang fasilitator itu terus "terjun dengan labu-labunya". Beliau tidak langsung curiga bahawa data yang diberikan kerana sekotak rokok[click] dahulu adalah palsu semata-mata! Bersama-sama abang fasilitator 2 adalah "abang pemidato terbaik"[click] atau siswi mengelarkannya "abang biasiswa".

Bergetar jantung hati saya apabila melihat wajah abang biasiswa. Teringat banyak perkara yang tidak betul telah saya lakukan. Wajahnya yang serius mengusarkan. Perasaan "takut-takut" seorang siswi freshie kepada fasilitator masih jelas nyata. Namun, sedikit senyuman daripada abang biasiswa itu menghilangkan gugup saya.
"Errr..itu bukannya nama sebenar saya"

"Tidak mengapa. Cantik nama tu. Saya pun ada nama samaran juga. Kawan-kawan panggil saya Lu'E. Hendak balik ke mana?"
Tiba-tiba abang biasiswa mengambil alih teraju perbualan, membuatkan abang fasilitator 2 senyap terdiam seketika. Diam dan memberikan laluan.
"Segamat"

"Elok-elok di dalam bas. Jangan layan mana-mana lelaki. Ada baju tebal? Bas tu ada air-cond, sejuk nanti..."

Terdiam dengan pesanan yang tidak meminta saya menjawabnya.
"Awak sesuai memakai seluar dan sweater warna itu..pink. Sesuai sekali"

Ya tuhan. Apa yang boleh saya katakan. Tidak pernah seumur hidup ada orang memuji pemakaian saya sedemikian rupa. Inilah seluar panjang yang saya beli bersama seluar panjang hitam untuk menghadiri majlis malam perpisahan[click]. Hasil upah yang terkumpul dari warung Ucu Zainon. Bertahun-tahun saya mengimpikan sehelai seluar baru.
"Terima kasih"
Saya tersenyum, namun hati terasa sayu. Terasa tiada keikhlsan di dalam kata-kata itu. Terasa ia tidak benar-benar bermaksud begitu. Masakan seluar berwarna merah samar hasil jualan murah yang dibeli dengan separuh harga itu telah menambat hatinya. Lagipun, kata-kata yang keluar dari bibirnya amat lancar sekali. Pasti ia adalah cakap-cakap untuk menyukakan hati.

Sambil berjalan menuju ke bas Cepat Express Kuala Terengganu- Johor Baharu, saya berbisik di dalam hati;
"Boleh dipercayai kah lelaki seperti itu. Barangkali lain di mulut lain di hati?"