Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Showing posts with label Mak Wa. Show all posts
Showing posts with label Mak Wa. Show all posts

Wednesday, September 15, 2010

Kolumnis majalah : Sekali Air Bah...


Salam aidil Fitri.

Seminggu sebelum berhari raya, kami suami isteri dilamar oleh sebuah majalah untuk mengisi ruang didalamnya. Tanpa halangan, suami bersetuju.

Tetapi saya.. masih seperti dahulu. Masih takut untuk membuat keputusan segera. Masih beristiharah bagi mendapat petunjuk tuhan yang maha kuasa. Akhirnya, saya cuba mengetuk key board dan melahirkan suara dalaman perasaan remaja kampung yang berkahwin dalam usia yang muda.

Lalu, saya menemui jawapan bagaimana Allah yang maha kuasa menjaga remaja kampung itu dalam perjalanan yang terpelihara. Mengajar erti kehidupan dalam mengharungi liku-liku hidup di kota ketika sudah bergelar isteri di usia remaja.

Sekali air bah.. segalanya berubah. Walau bagaimana dibaiki sekalipun, struktur muka buminya pasti sudah tidak sama. Apa yang berlaku pasti tidak berbalik seperti yang asal. Serupa tetapi tidak sama.

Nanti... saya mulakannya dengan epilog indah falsafah mak wa.

Tuesday, April 27, 2010

Itukah mak wa?

Entri untuk topik ini tidak dapat saya siarkan.

Ia terlalu menyentuh hati dan perasaan. Jika dapat diputarkan masa, ingin rasanya agar ia tidak berlaku. Namun, itulah ketentuan Allah yang maha kuasa.

Berikut adalah secebis petikan dalam Travelog Cinta Abadi : Suatu perjalanan.

Di hospital, kami mencari wad yang dimaksudkan. Mencari mak wa. Dari jauh kelihatan seorang perempuan tua, terlantar lemah lesu tidak bermaya. Tidak mungkin itu mak wa.

“Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu Ia menjadikan kamu kuat. Setelah itu Ia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Ia menciptakan apa yang dikehendakiNya, dan Dia lah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa. [55] Surah Ar-Rum

Thursday, April 22, 2010

Susur laluan kenangan


Dari Jementah ke Muar, kami melintas Kampung Paya Jakas. Dari dalam kereta saya menoleh ke kiri jalan, memerhatikan sekolah lama.

Sekolah papan satu setengah tingkat sudah tiada! Bangunan itu sudah rebah menyembah bumi. Disitulah saya pernah menendang ala-ala teakwando seorang budak lelaki ketua samseng yang akhirnya menjadi pengikut saya.

Pokok bunga tanjung juga sudah tiada lagi. Namun, harumannya yang menusuk kalbu masih tetap berbekas di hati.

Yang masih ada hanyalah banjaran gunung ledang, masih gagah berdiri megah dicelah kepulan awan. Saya menghela nafas panjang-panjang. Rindu terubat.

Jalan besar sepanjang laluan dari Jementah ke Tangkak, masih lagi seperti dahulu. Jalan yang pernah kami lalui ketika masih kecil-kecil dahulu, apabila mak wa dan atok abah membawa kami ke kampung Liang Batu semasa cuti sekolah. Nama kampung kami dan kampung itu tidak tercatat di dalam peta.

Ada dua jalan ke Kampung Liang Batu. Pertamanya, melalui Jalan Kundang Ulu. Dari pekan kecil Kundang kami menyeberangi sungai Muar dengan menaiki sampan dipanggil "kotak" terus ke kampung Liang Batu.

Jika musim tengkujuh, apabila air sungai Muar melimpah ruah, kami lalui jalan ke dua iaitu melalui Bukit Kepong dan Lenga. Dari Bukit Kepong bas akan mencicirkan kami disimpang Kampung Liang Batu dan ia meneruskan perjalanan ke Pagoh terus ke Bandar Muar.

Untuk ke Hospital Muar, kami masih juga terpaksa melalaui jalan Tangkak. Jalannya yang sempit, tidak rata dan bengkang-bengkok masih lagi jalan yang dahulu. Selekohnya yang tajam berhampiran air terjun gunung ledang masih lagi disitu. Ada sudut-sudut selekoh tajam yang penghadang tepi jalannya kelihatan telah dirempuh kenderaan beratus-ratus kali, juga tetap di situ. Masa yang berlalu rupanya tidak mengubah sedikitpun keadaan sekitarnya.

Barangkali masyarakat disitu telah biasa dengan jalan seperti itu. Mereka tiada banyak kerenah. Atau, mereka tidak pandai mengadu apatah lagi meminta-minta jalan yang lebih baik kepada wakil-wakil rakyat mereka. Atau, mereka tidak diberikan borang maklumbalas pelanggan sebab itulah wakil-wakil rakyat berpendapat bahawa tiada apa yang tidak kena.

Saya pernah mendengar cerita dari Pak Uda, yang jalan itu akan dibina dengan laluan yang baru. Namun, seingat saya, janji jalan baru itu hanya kedengaran semasa kempen pilihan raya. Ia cerita lama, bertahun-tahun dahulu.

Tahun-tahun berikutnya, jalan itu masih lagi seperti itu.

Tuesday, April 20, 2010

Rindu

Kami bermalam di Subang Jaya selama dua hari sahaja. Cuti tanpa rekod selama seminggu yang diberikan oleh universiti kepada suami seolah-olah tidak mencukupi.

Suami menempah tiket kapalterbang ke Kota Bahru. Kami sekeluarga hanya boleh berada tiga malam sahaja di situ. Benar-benar mengejar masa yang ada.


Tiga hari di Besut, ketara kesihatan ayah yang jelas tidak sihat. Begitu juga dengan wan. Ya Allah! Ubat-ubatan yang doktor bekalkan kepada mereka hampir sebakul banyaknya. Namun, demi untuk melihat anak-anak membesar serta menyara persekolahan mereka, ubat-ubatan itulah menjadi iktiar penyambung nyawa! Dengan izin Allah jua, mereka masih dipinjamkan usia.


Azrai kelihatan begitu manja sekali dengan tok ki [ayah]. Setiap kali apabila dimarahi kerana berkelakuan nakal, Azrai tahu di mana dia mendapat perlindungan. Azrai terus memeluk tok kinya. Lalu, ayah menegur saya :

“Jangan marah-marah anak. Ayah kasihan melihat Azrai”

Jadi? Bagaimana mungkin saya percaya kepada cerita suami bahawa pernah suatu masa dahulu ayah seorang yang amat garang sekali! Berhadapan dengan cucu, Allah menterbalik serta telah melembutkan hatinya.

Kami menghabiskan masa di Besut dengan menjamu selera. Wan tidak putus-putus memasak masakan dan kuih muih kegemaran anak lelakinya. Ah! Jangkamasa dua belas bulan sahaja telah membuatkan kami mengidam makanan tempatan setengah gila!

Sebelum pulang, ayah membeli seekor ikan bawal putih yang besar. Saya tahu, pasti ayah mahu dimasakkan ikan masak masam manis yang menjadi kegemarannya. Atau barangkali ayah tahu, hanya itu sahaja masakan ikan terbaik yang saya tahu! Saya memasaknya dengan penuh kasih dan sayang.

Dari Besut kami menaiki bas express ke Segamat Johor.

Orang pertama yang ingin saya temui adalah cinta hati pertama saya : mak wa!
Hampir dua hari di rumah emak dan abah. Namun, saya masih belum dapat berjumpa dengan mak wa kerana dia pergi berziarah ke rumah Pak Uda Haris [abang kepada abah] di Liang Batu, Muar.
Suami tinggalkan saya serta anak-anak di Segamat sementara menguruskan urusan pekerjaan di kampus Shah Alam.

Suatu petang saya menerima panggilan telefon dengan dua berita yang berbeza. Pertama, menerima makluman bahawa suami bersedia menerima arahan untuk ditukarkan di ITM kampus Samarahan, Kuching, Sarawak.

“Yang, barang dari Scotland tidak perlu dibuka. Kita hantar terus ke Kuching,
Sarawak”

“Tetapi, bagaimana dengan Silver plate Queen Anne saya?”

“Nanti kita cerita”

Kedua, mak wa tidak dapat pulang ke Jementah kerana sakit perut memulas-mulas selepas menikmati makanan tengahari. Dia ditahan wad di hospital Muar. Kata doktor yang merawat, salah satu kemungkinan puncanya adalah kerana ulam-ulaman kegemaran mak wa iaitu jering tanam. Barangkali itu hanya penyebab. Hanya yang maha kuasa Allah sahaja mengetahui sebab akibatnya.

Mahu rasanya saya terbang pergi menemui mak wa, namun saya harus segera pergi semula meninggalkan keluarga. Masih lagi di dalam negara, tetapi kami harus terbang pergi ke bumi kenyalang!

Saya meminta tangguh sehari kepada suami untuk pergi melawat mak wa yang terlantar di hospital. Memang, abah dan emak tahu akrabnya hubungan saya dengan mak wa. Mereka menghantar saya dan anak-anak. Jika saya tidak pergi, barangkali tiada langsung peluang saya menemuinya. Barangkali itulah saat-saat terakhir saya dapat menatap wajah mak wa.

Rindu. Rindu yang memuncak dalam hati.

Wednesday, March 31, 2010

Rindu

Di dalam diam saya merindui gumpalan awan di puncak gunung Ledang. Sayup-sayup dan berbalam-balam melitupi banjaran nya yang panjang. Rindukan pemandangan indah ketika berbaring di atas dangau di tengah sawah. Kehijauan sawahnya memukau.

Ia bagaikan cinta pandangan pertama. Meragut hati dan perasaan. Kenangan cinta itu abadi dalam fikiran. Lansung tidak dapat dilupakan.

Patutlah beberapa tahun yang silam, sekeping poskad dari luar negara menyatakan kerinduannya yang sama. Ya, cantik sekali negara orang tetapi manakan sama kampung sendiri.

Dalam diam, saya teringatkan abah yang pernah meminta saya mendeklimasikan sebuah sajak pada “Hari Guru “ di sekolah. Ketika itu saya tidak langsung mengambilkira siapakah penulis sajaknya. Namun, bait-bait perkataannya amat saya faham. Walau masih kecil, ketika itu saya mampu melafazkannya sepenuh hati. Saya luahkan sepenuh perasaan.

Alangkah indah kampung halaman,
Tanah tempat tumpahnya darahku,
Masih jelas terbayang aman,
Teratak buruk tempat tinggalku.

Masih jelas di depan mata,

Walau jauh telah tiada
Ramah mesra teman sebaya
Menghibur hati dalam derita

Walau kampungku yang semak sunyi
Pohon kelapa tegak merindang
Hanya yang ada murai menyayi
Namun hatiku terpaut sayang

Nukilan : Usman Awang

Tiba-tiba saya merindui bayangan kasih Mak Wa.

Kali terakhir saya melihatnya, Mak Wa kelihatan layu dan lesu. Beliau berubah menjadi gersang serta kering kontang sebagaimana sawah bendang yang pernah diusahakannya. Mak Wa yang ketika zaman kecil saya, kata-katanya kaya dengan kiasan dan falsafah. Mak Wa yang apabila melafazkan perkataan, penuh hikmah.

Zaman dan musim telah jauh berubah. Pasti ia tidak akan kembali. Namun kenangan itu abadi.

Friday, March 12, 2010

Kisah pencuci tandas.

Kathy adalah pencuci rumah di apartment universiti. Setiap hari rabu, dia datang ke kediaman kami mengikut jadual. Tepat jam 8.00 pagi dia sudah berada dimuka pintu.
Tanpa bercakap-cakap, dia memulakan kerjanya. Penuh dedikasi. Dicucinya ruang satu-persatu. Peralatan dan pakaiannya lengkap, menepati ciri-ciri kerjaya sebagai pencuci rumah.

Biasanya, jika saya dikehendaki bekerja pada hujung minggu, saya diberikan cuti pada pertengahan minggu. Saya memilih pada hari rabu.

Kenapa saya memilih pada hari itu? Kerana saya menghormati Kathy. Memandang dan melihat perawakannya, mengingatkan saya kepada mak wa.

Mak wa, cinta hati pertama saya yang kuat bekerja di sawah bendang sewaktu saya kecil. Dia juga membuat bantal dan tilam sendiri untuk anak-cucunya. Pembentung sungai disebelah rumah kami tidak pernah tersumbat serta tersekat dengan timbunan daun-daun kering kerana mak wa rajin membersihkannya.

Anak cucu tidak pernah kelaparan kerana dibawah tudung saji rumahnya pasti ada terhidang makanan. Datanglah walau waktu mana sekalipun, pasti dia akan menyajikan sesuatu. Paling tidak, ubi rebus atau telur dari sangkak dibawah rumah direbusnya untuk menjamu tetamu.

Mak wa adalah seorang yang berjiwa kental, pembakar semangat dan pencetus motivasi. Dalam nada suara yang perlahan, penuh gaya kekampungan, namum sindirannya sinis sekali. Patah perkataan yang dilafazkan berkias-kias susah difahami oleh otak kecil kami.

Saya rindukan kata-kata hikmah yang penuh dengan motivasi diri dari bibirnya. Di Scotland, saya temui bayangan mak wa dalam diri Kathy.

Kathy membiarkan sahaja saya memerhatikan dia bekerja. Penuh penumpuan serta penuh dedikasi. Saya pernah bertanya tentang diri dan kerjayanya. Kathy becerita:

Dia telah mula bekerja sebagai seorang pencuci tandas ketika berusia 16 tahun. Tidak berpelajaran tinggi. Sekolah kampungnya jauh dipendalaman berhampiran dengan tempat tinggalnya di banjaran tanah tinggi [Highlander].

“Awak pernah mendengar cerita mengenai raksaksa di tengah tasik Loch Ness?

“Ya. Dalam gambar, cantik sekali tasik itu”

“Itulah tempat tinggal sanak saudara serta keluarga saya.”

Thursday, January 28, 2010

Kek Dundee

Dahulu Mak Wa, Wan dan mak adalah pakar rujuk masakan ketika di Malaysia. Kathy adalah panel penilai masakan saya di Dundee.

Setiap minggu saya tidak sabar menunggu kehadirannya. Biasanya beliau akan menyiapkan kerja mengemop lantai, mencuci bilik air, menukar cadar, vakum karpet dan mengelap tingkap. Beliau tidak akan bercakap-cakap sehinggalah selesai segala pekerjan.

“Hari ini saya mencuba resepi Apple crumble dan puff pastry”
Sambil tersenyum beliau menarik kerusi dan duduk dengan tertib. Perlahan-lahan beliau menjamah masakan yang saya hidangkan. Hati saya pasti berdebar-debar setiap kali mendengar komen yang keluar dari mulutnya. Biasanya ucapan yang keluar adalah terlalu telus dan tulus. Dan saya akan membetulkan serta menghidangkannya sekali lagi untuk di uji rasa.

“Deria rasa adalah anugerah tuhan kepada manusia. Deria itulah menentukan samada makanan itu sedap atau tidak. Namun, cara kita menghias dan menghidangkannya juga perlu diambilkira. Ia suatu seni untuk menambat selera”
Barulah saya faham kenapa daging panggang [beef steak] perlu kelihatan cantik di pandang apabila menghidangkannya selain daripada perlu menjaga rasanya.

Beliau juga sering melahirkan rasa kesalnya terhadap generasi muda yang sangat sukakan makanan segera. Pada pandangan beliau, masakan tradisi adalah budaya sesuatu bangsa yang unik dan ia akan membezakannya dengan bangsa yang lain. Ia perlu di pelihara.

Beliau juga menyatakan keperluan menjaga tertib dan protokol ketika di meja makan. Katanya rakyat britain pasti akan kehilangan jatidiri jika membenarkan budaya makan sambil berjalan.
Dari beliaulah saya belajar melakukan beberapa pekerjaan di dalam suatu masa terutamanya ketika menyediakan makanan untuk keluarga. Beliau adalah guru pengurusan rumah tangga ketika di luar negara. Saya bersyukur kepada Allah kerana mentadirkan untuk bertemu dengannya.

Di antara pelajaran yang tidak saya lupakan adalah bagaimana beliau mengajar saya menyediakan hidangan yang kelihatan istemewa kepada keluarga tanpa memerlukan masa yang panjang. Resepi ayam panggang.
“Perap ayam pada sebelah malam dan simpan di dalam tempat pembeku. Keesokannya, biarkan pada suhu bilik. Sementara menunggu ayam di panggang, rebuskan kentang, sediakan sayur. Sayur hanya perlu di celur apabila sampai waktu makan”
Beliau juga mengajarkan pelbagai jenis sup krim yang boleh diubah-ubah mengikut sayuran yang digunakan.

“Asasnya adalah sama. Bezanya cuma sayuran sahaja. Jika awak masukkan cendawan, lalu ia menjadi sup cendawan. Jika brokoli, ia menjadi sup brokoli"
Katanya lagi, jangan bazirkan haba panas dari ketuhar atau plate panas yang digunakan untuk memasak makanan. Lalu, ia mengajar saya sejenis kek yang hanya perlu dicairkan bahan-bahannya di atas dapur setelah api plate panas di padamkan. Resepi Boiled fruit cake.

“Ketuhar memerlukan tenaga yang banyak ketika kita menggunakanya. Jadi, rancanglah beberapa jenis kek untuk di bakar bagi sesuatu masa. Barangkali awak boleh membuat dua atau tiga biji kek untuk sekali bakar”
Suatu yang paling terkesan di hati apabila beliau menghadiahkan saya resepi istemewa keluarganya. Ia adalah sejenis kek tradisi orang-orang Scotish. Katanya ia amat popular ketika zaman datuk neneknya. Suatu masa dahulu, kek itu menjadi suatu kebanggaan masyarakat tempatan. Ia pasti terhidang di atas meja ketika sesuatu perayaan keluarga. Resepi kek Dundee.

Saya melihat beliau bercerita dengan penuh semangat dan perasaan bangga. Namun, di akhir cerita saya nampak kesedihan terpapar jelas di wajahnya.

“Tiada siapa lagi yang mahu peduli masakan tradisi. Tidak seperti zaman dahulu. Zaman datuk dan nenek saya”
Serta merta saya teringatkan Mak Wa dengan wajik, dodol, lempuk durian dan halwa maskatnya. Mak Wa juga pernah mengacau isi manggis dan cempedak menjadi lempuk. Keledek dan labu menjadi sejenis kuih kacau. Tidak pernah terfikir di hati untuk menyambung resepi tradisi itu. Entah, jika ditakdirkan saya pulang ke tanah air tercinta, sempatkah saya berjumpa dengan Mak Wa? Sempatkan saya mempelajari kuih tradisi itu darinya?

Friday, October 23, 2009

Ikan besar 2


"Mak Wa janganlah bersedih ya. Saya tengah buat persiapan untuk menangkap ikan besar ni! Bukan ikan puyu. Doakan agar saya berjaya!"
Mak Wa tergelak kecil dan mencubit peha saya. Selepas makan mak, abah dan adik-adik bersalam serta memeluk erat tubuh saya. Saya melihat wajah penuh harapan dari mak dan abah. Saya menatap wajah adik-adik yang masih kecil dan tidak mengerti.


Akhirnya saya memeluk erat, kemas dengan penuh kasih sayang terhadap Mak Wa. Hingga kini, ia masih hangat terasa. Di dalam pelukan itu ada getaran, ada debaran dan ada gelodak rasa yang tidak tergambarkan oleh kata-kata. Kalau boleh saya lafazkan, akan saya laungkan kepada dunia bahawa Mak Wa adalah cinta hati pertama saya! Kasih sayangnya tidak akan ditemui di mana-mana dan tiada ternilai harganya!

"Ya Allah. Panjangkanlah usia Mak Wa agar dapat kami bertemu kembali suatu masa nanti. Jangan jadikan perpisahan ini adalah perpisahan terakhir kami.."

Lama sekali pelukan itu. Sukar untuk dilepaskan. Terasa ada titisan air hangat tumpah perlahan membasahi bahu. Air mata kasih seorang nenek tua. Nenek yang memberi kekuatan kepada seluruh jiwa raga saya..

Di saat perpisahan saya tidak dapat menahan perasaan apabila melihat keluarga berangkat pergi meninggalkan saya. Air mata hampir jatuh membasahi pipi. Namun, saya kuatkan hati.

Dari jauh saya melihat kereta Morris Marina abah bergerak perlahan-lahan. Mak Wa menjengukkan kepala dan hampir separuh badannya keluar dari tingkap kereta. Lagaknya seperti seorang kanak-kanak di bawah usia. Abah dan mak kelihatan cemas dan mak menarik tangan Mak Wa dengan pantas.

Saya melambai-lambaikan tangan dengan isyarat kumitan dari bibir tanpa suara yang hanya Mak Wa sahaja memahaminya.

"Ikan besar....."

Ikan besar..

Hari itu pelajar-pelajar baru berkumpul di Dewan Desar kampus Sura Hujung, ITM Dungun. Saya menyarung pakaian baru. Batik cotton kain ela [yang dibelikan oleh mak saudara di pasar payang, Terengganu] berwarna kebiruan potongan kurung Malaysia. Saya rasa amat teruja. Itulah baju kurung baru yang di tempah khas selain daripada keraian hari raya.

Dewan besar penuh sesak dengan pelajar baru. Masing-masing kelihatan sibuk sekali dengan urusan sendiri. Sambil berbaris menunggu giliran untuk mendapatkan hostel kediaman, saya perhatikan terdapat ramai juga pembantu fasilitator yang terdiri daripada pelajar senior.

"Satu hari nanti..saya pasti menjadi sebahagian daripada mereka"
Saya berbisik-bisik di dalam hati. Ramai juga kelihatan pelajar lelaki yang datang dengan fesyen rambut yang terkini dan bergaya tetapi terpaksa di potong pendek rambut mereka!

"Assalamualaikum Siswa siswi sekelian..sila dapatkan baju batik minggu silaturahim di sudut sebelah sana kerana saudara saudari di minta untuk memakainya di sepanjang minggu silaturahim nanti. Pelajar perempuan di minta bertudung dan pelajar lelaki di minta bersongkok"

Suatu pengumumunan kedengaran dilakukan oleh staf yang bertugas. Tiba-tiba sebahagian daripada pelajar yang sedang berbaris di depan saya beredar. Mereka berkejar-kejar untuk mendapatkan tempat di barisan yang paling di hadapan. Saya kehairanan. Terasa mereka masih lagi kebudak-budakan di dalam membuat keputusan.

"Ah..saya hendak selesaikan satu persatu. Dapatkan bilik hostel dahulu.."
Saya masih berbaris namun di dalam barisan yang semakin pendek. Di hadapan saya terdapat seorang pelajar perempuan yang wajahnya pada pandangan mata saya iras-iras wajah pelakon cina yang saya kenal pada ketika itu [ Lai Joo Lian]. Kulitnya putih mulus dan orangnya peramah. Di belakang barisan saya adalah seorang pelajar perempuan yang tinggi lampai. Wajahnya kelihatan cemas dan matanya kelihatan awas. Namun, apabila saya membuka kata, wajah dan perlakuannya bertukar kepada ceria.

"Nama akak..Wati Md Dali dari Masai"
Kami berjabat tangan. Namun, di sudut hati saya tertanya-tanya kenapa agaknya beliau membahasakan dirinya akak? Adakah kerana tubuhnya yang lebih tinggi daripada saya? Atau saya kah yang lebih rendah daripadanya?
"Saya dari Segamat. Ini Nita, jiran sebelah rumah saya"

"Ya Allah..untungnya dapat datang ke tempat yang sama.."

Sebenarnya hati saya juga semakin lega apabila ada kawan baru bertegur sapa. Nita, walaupun jiran sebelah rumah saya, namun sebenarnya kami amat jarang berjumpa. Malah kami tidaklah begitu mesra kerana jarang bergaul sehari-harian. Jadi, dengan adanya Nita di tempat yang sama, maknanya perlakuan saya perlu di jaga! Mana tahu perangai buruk saya akan sampai ke telinga keluarga.

Dari dewan besar kami di minta menghantar barangan ke hostel. Hostel itu dikatakan penempatan sementara di sepanjang minggu silaturahim.

"Awak ditempatkan di hostel mana?

"Hostel A2. Tetapi itu cuma hostel sementara sahaja, abah"

Lalu, kami seluruh keluarga menaiki kereta ke hostel sementara. Mak, Mak Wa dan adik-adik yang turut serta menolong saya membawa barangan keperluan ke bilik.

"Mak Wa..jangan susah-susah, biar saya sahaja yang bawa beg tu.."
Di dalam kudratnya yang tersisa, Mak Wa masih lagi mempunyai keinginan untuk membantu saya. Abah hanya menunggu kami di pengkarangan laman hostel A2 sambil berbual-bual dengan beberapa keluarga yang lain.

Dari jauh, hostel di kampus Sura Hujung itu kelihatannya seperti sebuah kawasan resort yang diperbuat dari binaan papan yang amat menawan. Bangunannya berbentuk kotak segi empat dan ianya mempunyai kawasan lapang di tengah-tengah - tempat menyidai pakaian. Maknanya, setiap bilik berada di dalam keadaan berhadapan kawasan lapang.

Kami dibenarkan untuk makan tengahari bersama keluarga kerana selepas zohor program minggu silaturahim akan bermula. Dari Jementah hingga ke Dungun, saya sentiasa duduk di sebelah Mak Wa. Semasa makan tengahari saya melayan makan dan minumnya. Mak Wa kelihatan tidak berselera. Beliau membisu dan tidak berkata-kata. Saya tahu Mak Wa sedang di landa perasaan pilu.

"Mak Wa janganlah sedih ya. Saya tengah buat persiapan untuk menangkap ikan besar ni! Bukan ikan puyu. Doakan agar saya berjaya!"

Monday, October 19, 2009

Bersama Mak Wa

Beberapa hari sebelum berangkat pergi ke UiTM Dungun (dulu ITM), Mak Wa telah bermalam berhari-hari lamanya di rumah saya. Setiap hari Mak Wa bertanya bilakah harinya saya akan berangkat pergi.

Saban hari saya melihat keuzuran pada diri Mak Wa. Mak Wa semakin tua. Beliaulah yang menemani saya mengemas barangan keperluan ke asrama. Dengan bantal kekabu dan lemet kegemarannya, Mak Wa berbaring-baring di dalam bilik saya.

"Mak Wa tidak dapat menolong awak mengemas baju. Mak Wa sudah tidak berguna lagi"

"Tidak apa. Mak Wa baring-baring sahaja"

Itulah kata-kata yang sering keluar dari mulutnya. Saya melihat kekesalan di wajahnya. Jelas sekali apabila Mak Wa berada di dalam posisi berbaring mengereng begitu, dia kelihatan lemah dan tidak berdaya lagi.

Barangkali itulah yang terbuku di dalam hatinya kerana selama ini Mak Wa adalah seorang yang kuat bekerja dan melakukannya dengan sepenuh hati. [cerita sawah padi di sini]
"Pukul berapa esok awak akan pergi?"

"Abah kata selepas solat Jumaat"

Diam.

"Awak belajarlah pandai-pandai. Kalau hendak tangkap ikan besar, umpan dan kapal pun kena besar"
Saya tergelak. Terasa geli hati. Lucu sekali.

"Apa Mak Wa cakap ni?"

"Ya lah, awak dah besar sekarang. Kalau hendak dapat pasangan yang bijak pandai, kita pun kena pandai"

"Saya belum fikir hendak kawinlah Mak Wa.."

"Eh, jodoh pertemuan di tangan tuhan"

"Muda lagi lah Mak Wa..saya hendak belajar tinggi hingga ke luar negeri"

"Jodoh tiba tidak tercepat dan tidak terlambat"

"Mak Wa...kalau mak tahu, mati saya nanti!

Diam.

Esoknya pagi-pagi lagi Mak Wa telah masuk ke dalam kereta. Beliau duduk di tempat duduk belakang dengan bekalan pakaian yang dimasukkannya ke dalam beg pelastik sahaja. Apabila matahari mulai meninggi, kami cemas. Puas di pujuk, namun Mak Wa berkeras hendak menunggu di dalam kereta.
"Mak Wa, masih awal pagi lagi. Abah kata kita pergi selepas solat
Jumaat. Pukul tiga petang nanti
"
Itulah perubahan di dalam diri Mak Wa. Perangai yang paling ketara adalah beliau sering sahaja hendak mengikut anak-anaknya pergi berjalan dengan bekereta. Namun, kadang kala Mak Wa terpaksa ditinggalkan jika sesuatu urusan itu [urusan rasmi] perlu dilakukan dengan cepat dan pantas.

Mak Wa masih berkeras. Beliau masih tidak berganjak. Lagaknya seperti budak-budak.

"Mak Wa..mari kita masuk dahulu. Kita mandi dan pakai baju baru"

"Mak Wa sejuk, rasa macam hendak demam"

"Oo..tidak apa. Mari kita mandi dengan air panas. Lepas mandi nanti kita
makan tengahari"

"Awak jangan tinggalkan Mak Wa ya"

"Tidak.."

"Betul? "

"Ya..Mak Wa tahukan, saya sayang kan Mak Wa...?

Diam. Di dalam kesukaran saya teruskan pujukan. Jika dahulu Mak Wa lah yang memujuk kini tiba pula giliran saya.

"Mak Wa mesti ikut saya. Kita pergi ke Dungun bersama-sama.."

Saya mengenggam erat tangan Mak Wa, memberikan keyakinan kepadanya. Saya merenung sayu ke wajahnya. Tanpa disedari ada air mata basah di pipi. Wajah Mak Wa yang redup dan pelipis matanya yang berkeriput kelihatan merenung jauh mengenangkan masa yang silam. Mak Wa berjaya saya bawa keluar dari kereta perlahan-lahan.

Rupa-rupanya usia telah mengubah segalanya.

Wednesday, September 30, 2009

Jering tanam

Jika ada yang bertanya tentang khasiat dan keenakan masakan "jering tanam", jawapan saya : tanyalah kepada Mak Wa.

Kenapa? Kerana pada hemat saya inilah ulam paling hancing kegemaran Mak Wa! Mak Wa akan ketawa apabila saya memberi komen terbuka terhadap ulam kegemarannya.

"Cukup lah makan jering tanam tu Mak Wa..hancing bilik air rumah kita"

"Cuci bilik air itu acap-acap..haaa hilanglah bau hancing tu!"

"Tidak hilang...lekat!"
Mak Wa akan diam dan tersenggut-senggut ketawa.

Jering tanam adalah sejenis ulam kegemaran orang tua di mukim Jementah. Ia merupakan jering tua yang keras. Dikatakan jika jering itu di tanam di dalam tanah ia bertambah lemak dan enak.

Kata mak Wa," Kurang sikit bau haringnya!"


Mereka tidak memakannya mentah-mentah seperti jering muda yang lembut serta ranggup. Jering tanam selalunya dimasukkan ke dalam gulai masakan - daging atau ikan. Atau di hiris halus dan dimasak sambal cili api ikan bilis.

Sejak kami berpindah ke pekan Jementah, Mak Wa sering datang bermalam. Berhari-hari. Mak Wa akan meminta sepupu di Paya Jakas untuk menghantarnya ke rumah kami.


"Mak Wa ini sudah tidak berguna lagi"

"Tidak apa..Mak Wa baring-baring sahaja"

Mak Wa akan membawa sebiji bantal kekabunya. Berbaring mengereng. Sebelah kakinya memanggung sebiji bantal kekabu yang kecil yang diletakkan di antara peha dan perutnya.

Sambil berbaring di ruang tengah rumah beliau memerhatikan kami memasak di dapur. Sesekali Mak Wa menyampuk dan memberikan arahan kerja atau petua-petua masakan. Selalunya Mak Wa datang bertandang apabila teringin memakan makanan idaman. Di minta kami memasaknya.

"Gulai ikan patin tu..santannya biar pekat sikit. Guna kelapa tua"

"Baikkk.."

"Belimbing buluh tu masukkan ke dalam gulai kemudian
sekali. Setelah awak tutup api"

"Habis tu buah cepu ni hendak masuk
waktu bila?"

"Heii..kalau dah masukkan buah cepu, tidak payahlah
masukkan belimbing buluh. Nanti berlawan pula rasanya"

Riuh rendah bunyinya.

"Jering tua tu jangan lupa di rebus empuk-empuk dahulu.
Kemudian baru di masukkan ke dalam masakan gulai tu"

"Mak Wa..hancing bau bilik air kita..."

Nota :

Saya begitu fobia dengan bau hancing akibat makan jering. Sebab itulah menu masakan jering tua tidak pernah ada di dalam kepala.

Thursday, September 10, 2009

Kacau dodol

Kalau ditanya apakah aktiviti yang paling indah semasa kecil selain daripada majlis kenduri kendara dan majlis perkahwinan..jawapan saya adalah upacara mengacau dodol.

Kenapa tidak? Kerana ia adalah merupakan aktiviti keluarga paling harmoni dan memerlukan tahap kerjasama tinggi yang pernah saya saksikan.

Dari atas pokok manggis saya memerhatikan seluruh saudara mara [Mak Ngah, Mak Teh, Ucu Edah, Mak dan bapa-bapa saudara] bekerja diketuai oleh Mak Wa. Ia bukanlah suatu urusan pekerjaan yang mudah. Sebab itu saya memanggilnya sebagai suatu upacara kekeluargaan. Biasanya ia dilakukan disekitar rumah Mak Ngah di baruh.

Saya perhatikan persediaan telah dibuat berhari-hari sebelum upacara mengacau dodol dilakukan. Ia proses kerja yang memakan masa agak panjang. Kelapa yang tidak terlalu muda dan tidak terlalu tua dikait, dikumpulkan dan dikupas sabutnya. Kemudian ia diparut dan diperah santannya. Semuanya dilakukan secara berkumpulan.

Beras pulut yang telah direndam semalaman dikisar menggunakan batu kisar. Lalu terhasillah tepung beras pulut yang halus mulus. Di ayak dan mana-mana yang masih kasar terus di kisar.

Saya perhatikan kerja mengacau santan, tepung dan gula melaka dilakukan oleh bapa-bapa saudara. Secara bergilir-gilir. Kesemua bahan di kacau di dalam kawah yang besar di laman rumah. Menggunakan tungku kayu. Di bawah khemah atau bangsal.

Lama betul menunggu baru adunan itu bertukar warna. Selalunya proses itu berlalu hingga ke petang. Kami selalunya akan bermain-main disekitar yang berhampiran. Hanya untuk satu sebab...menunggu saat di minta untuk merasa garam gula dan saat dodol mulai memekat.
"Haa..sudah mula mengeleggak. Cuba panggil budak-budak tu.. biar mereka merasa garam gulanya, lemak manisnya"
Kami akan buat-buat tidak mendengar dan pura-pura terus bermain walaupun sebenarnya mata kami tidak henti-henti menjeling. Kami buka corong telinga besar-besar dengan memasang telinga. Seolah-olah bukanlah tujuan kami bermain di sekitar orang mengacau dodol itu hanya semata-mata untuk merasa..

Lagipun, kenapa pula kanak-kanak yang dibiarkan merasa? Pelik juga. Dan pada hari tersebut..kami di beri lesen besar untuk tidak berpuasa.

Saya tidak pasti berapakan umur saya ketika itu sehingga bapa-bapa dan mak-mak saudara membenarkan kami merasa dodol yang baru memekat membuak-buak mendidih di dalam kawah. Rasanya mungkin belum bersekolah atau di awal persekolahan sekolah rendah.
"Pergi ambil daun pisang. Basuh dulu. Kemudian pergi panggil kawan-kawan.."

Bila tiba saat itu, semua aktiviti sepupu-sepupu akan terhenti. Saya akan melompat turun dari pokok manggis dan tersenggeh-senggeh menghulur daun pisang yang telah di basuh.

Tetapi apabila telah mula belajar berpuasa, bapa saudara memasukkan juga ke atas daun pisang dengan amaran :
"Hah..jangan pula awak makan sorok-sorok. Simpan. Berbuka nanti baru boleh rasa. Ingat ya? Allah nampak apa yang kita lakukan walaupun tidak diketahui oleh orang lain"

"Yaaaa....ingaaaaaaat"

Kami menjawab dengan keadaan lemah semangat.

Kini, mak-mak dan bapa-bapa saudara saya semuanya telah semakin tua dan tidak bertenaga. Malahan, dodol dengan mudah boleh didapati di Melaka atau di mana-mana pada bila-bila masa.

Semuanya telah menghilang. Ketika saya berada di usia mereka, upacara mengacau dodol seperti itu tidak pernah saya bayangkan untuk melakukannya. Ia tidak mungkin akan terjadi. Tidak akan menjadi realiti. Jika berkeras untuk meneruskannya pun... anak-anak tidak akan mengerti.

Biarlah ia terpahat di dalam hati. Tersimpan di dalam perasaan. Aktiviti seumpama itu kini hanya tinggal kenangan.

Kenangan indah yang tidak dapat dilupakan.


Monday, September 7, 2009

Berhijrah

Kami sekeluarga berpindah rumah secara rasmi dari kampung Paya Jakas ke kawasan perumahan di pekan Jementah pada pertengahan Ramadhan. Ruang bahagian dapur dan bahagian beranda telah dipecahkan untuk menambah sedikit keluasan.

Kami merasa sedikit nikmat kesenangan hidup. Kemudahan yang Allah telah tetapkan. Kedai, klinik, sekolah dan rumah yang berhampiran tepi jalan besar memudahkan untuk mendapatkan perkhidmatan kemudahan kenderaan awam.

Letih berkemas di tambah dengan keadaan berpuasa amat mencabar keimanan. Tetapi mak sering mengingatkan kami bahawa sabar itu adalah merupakan sebahagian daripada iman.


"Sambil berkemas tu..zikir di dalam hati. Sebutlah mana-mana nama Allah di dalam Asmahul Husna...Ya Alllah..Ya Latif..Ya Hayum..Ya Qayum.."

Tidak banyak barangan yang di bawa. Yang banyak hanyalah kain-kain baju sahaja. Lalu, kami buntilkan kesemuanya di dalam sehelai selimut besar. Ia seolah-olah seperti bekalan putera raja yang berkelana dari kampung ke kampung pada zaman dahulu kala!

Baju tersebut kebanyakannya adalah hasil pemberian orang. Kadang-kadang jika ada sepupu atau saudara mara dari bandar menghantar baju terpakai pun kami adik-beradik tidak pernah menolaknya. Mak akan mengecilkan bahagian lengan atau pinggang agar ia sesuai dengan keadaan fizikal kami.



"Terima sahaja. Janganlah malu. Berikan pahala kepada mereka yang menderma. Mereka ikhlas"
Untuk baju raya, Mak akan menjahit baju kurung Johor [Teluk belanga] dengan kain gombang ombak beralun. Kain itu seperti kain batik atau kain pelikat yang hanya dijahit di bahagian tepi sahaja. Apabila hendak memakainya kami akan menggunakan jari jemari untuk mengalunkanya seperti lipatan kipas di bahagian tepi.

Kemudian kain itu kami ikat dengan lebihan perca yang digunakan sebagai tali pinggang. Sebab itulah baju-baju kurung kami boleh di pakai oleh turun temurun.

Kainnya akan dipakai selagi hayat. Rasanya kain tersebut begitu banyak sekali mendapat pahala jika hendak diambil kira. Kerana selepas ia diturunkan kepada adik-adik yang lain, tarafnya pula akan menjadi pengalas untuk pinggan basah. Kemudian selepas beberapa lama..ia menjadi kain buruk pula. Kain-kain buruk itu akan digunakan sehinggalah ia mereput dan tidak berguna lagi.

Sebab itulah kami menjadi hairan apabila Allahyarham P.Ramlee menyanyikan lalu "Tudung periuk pandai menari" di mana senikatanya berbunyi :

"kain yang buruk berikan kami..

buat menyapu..buat menyapu si air mata..."

Kami geli geleman mendengarnya kerana membayangkan kain buruk di rumah kami.

Sepanjang kami berkemas, Mak Wa menemani kami. Tergambar ada kesayuaan diwajahnya. Kerana mulai saat itu akan hilanglah bunyi riuh rendah hiruk pikuk suara adik-beradik kami yang seramai tujuk beradik.

"Berhijrahlah. Mungkin itu lebih baik untuk kita kerana Allah lebih mengetahui apa yang tidak kita ketahui. Berhijrah kepada perkara yang lebih baik"
Diam. Kemudian Mak Wa sambung lagi.


"Jika kita hendak memulakan sesuatu yang baik..mulakanlah sekarang. Jadikan hari ini lebih baik dari semalam. Esok lebih baik dari hari ini"
Mak Wa benar-benar sayu.

Sedangkan hati kami meronta-ronta kegembiraan untuk menikmati sedikit perasaan 'kesenangan' dengan segala perkhidmatan dan kemudahan di pekan. Nikmat berkumpul semula bersama keluarga!

Wednesday, July 29, 2009

Istiharah


Saya semakin hampir dengan Mak Wa dan Atok Abah. Ada perasaan jatuh kasih kepada mereka. Ada perasaan bahawa masa yang tinggal hanya sedikit sahaja lagi untuk bersama-sama mereka.

Mak Wa sudah bersara dari sebarang pekerjaan terutama di sawah bendang. Ia suatu keputusan yang muktamad. Namun, petang-petang hari selepas waktu Asar beliau akan memerun [membakar] pelepah-pelepah kelapa yang jatuh bergelimpangan di tepi jalan.

Atau, beliau akan mengharung anak sungai bersebelahan diantara rumahnya dan abah dengan membuang dedaun yang jatuh dan dahan kayu yang menghalang aliran air mengalir melalui pembetung. Kata Mak Wa:

"Kalau dedaun ini tersangkut di kawasan kita, aliran airnya akan tersekat dan tidak dapat mengalir hingga ke hujung kampung sana. Apa salahnya kita memudahkan aliran.."

"Eeii..Mak Wa tidak takut kah kalau-kalau ada ular air?"

"Hish! Minta selisih malaikat 44!"
Mak Wa lakukan dengan sukarela.

Hampir setiap malam, Mak Wa dan Atok Abah akan datang bertandang ke rumah kami untuk menonton TV terutama siaran Berita. Atau Tayangan Wayang Gambar Melayu di hujung minggu. Mak Wa akan datang bersama selimut kegemarannya. Kami akan membentangkan lemet [ sejenis tilam kekabu nipis seperti 'TOTO'] dan menyediakannya sebiji bantal. Kipas angin duduk akan dihalakan kepada mereka. Tiupannya sepoi-sepoi bahasa. Mak Wa akan tertidur daripada cerita bermula sehinggalah tayangan selesai.

Bagaimana tidak Mak Wa terlena kerana kami adik-beradik akan memicit-micit labu betis Mak Wa perlahan-lahan sambil menonton TV cerita kegemaran!

Namun, jika terdapat cerita atau tayangan yang menarik hati kami tetapi mendapat tentangan untuk menonton daripada mak, kami adik-beradik yang akan berusaha memujuk mereka berdua datang. Caranya, kami akan memberikan sinopsis cerita yang boleh mengecurkan air liur mereka! [Atau..sebenarnya mungkin kerana mereka kasihan melihat kami beria-ia melakukan pujukan] . Ia merupakan suatu kelebihan kepada kami kerana rumah datuk dan nenek tinggal berhampiran!

Dahulu, kamilah yang banyak menumpang harap kepada mereka terutamaya apabila malam gelap gelita. Lampu gasoline merekalah yang memberikan cahaya menyinari rumah kami.

Tiba-tiba Atok Abah bertanya :

"Bagaimana keputusan persekolahan awak? Hendak bersekolah di Segamat atau sekolah berasrama penuh?"

Entah! Selepas solat sunat istiharah hati saya merasa berat untuk meninggalkan rumah. Perasaan jatuh kasih kepada keluarga. Perasaan sayu untuk meninggalkan Atok Abah dan Mak Wa. Takut yang tidak berpatutan! Takut kepada perubahan. Mentaliti kolot anak kampung yang sudah sebati di dalam diri.
"Esok-esok jika awak ingin menemui jodoh tetapi mempunyai dua pilihan, lakukan solat sunat istiharah. InsyaAllah! Allah temukan jodoh yang sekupu. Jodoh yang telah tertulis di dalam buku setiap insan"

"Bukankah 'Jodoh pertemuan, Ajal dan Maut di tangan tuhan?"

"Ya..untuk jodoh kita boleh lakukan ia untuk ketetapan hati. Agar setiap keputusan yang di buat kita tidak akan menyesal nanti apa tah lagi bersedih. Redha dengan ketetapan daripada Dia yang Maha Kuasa"

Saya pegang kata-kata Atok Abah.
"Ya Allah. Jika jodoh saya sudah menghampiri nanti, janganlah saya terpaksa membuat banyak pilihan. Temukan sahaja jodoh yang paling serasi dengan saya. Yang bersedia menerima saya seadanya. Mengahwini dan menerima bukan kerana saya semata-mata tetapi sudi menerima apa jua keadaan keluarga. Moga jodoh saya nanti menyayangi mak dan abah sebagaimana saya menyayangi mereka. Moga jodoh saya mengambil berat kebajikan mak dan abah sebagimana saya ingin menjaga kebajikan mereka.

"Biar nanti perkahwinan itu bukan sahaja menyatukan dua hati malah menjalin kan ukhwah antara keluarga. Bagai isi dengan kuku.

"Ya Allah. Yang paling penting..temukanlah jodoh yang sudi menerima saya sebagai sahabat, kekasih dan isteri. Yang saling kasih mengasihi sehingga akhir hayat nanti. Samada saya atau dia yang sakit atau dipanggil oleh-Mu dahulu, kami akan saling setia sehingga akhirnya kami menemui-Mu - di Firdaus yang satu.

"Ya Allah. Jika ditakdirkan jodoh saya terlebih dahulu memasuki syurga-Mu dan menemui jodohnya 'Si Bidadari bermata jeli'.. Berikan lah saya peluang ya tuhan, melihat kelibat dan menatap wajahnya walau barang seketika dari kejauhan. Sekadar di pinggiran. Cukuplah untuk saya tahu dia telah berada di situ..

Tuesday, July 28, 2009

Solat Sunat

Saya masih mencari-cari jawapan kepada persoalan yang ada di dalam kepala : Sekolah berasrama penuh atau sekolah biasa!

Ia bukan soal aliran Sains atau aliran Sastera. Tetapi dimana harus saya meneruskan persekolahan yang terbaik untuk keadaan fitrah diri. Untuk budak kampung yang tidak pernah keluar dari daerah ini. Mampukah nanti saya bersaing dengan budak-budak bandar yang celik pengetahuan? Laratkah saya bercampur dengan orang bijak pandai? Tidakkah nanti saya dilihat sebagai seorang yang jauh sekali ketinggalan?

Saya tiada sesiapa untuk bertanya.

Suatu pagi minggu, saya menziarahi Mak Wa. Keadaan rumahnya senyap sunyi sahaja. Saya mencari dari serambi hadapan hingga ke stor zink simpanan getah sekerap di dapur belakang. Di dapati Mak Wa dan Atok Abah sedang melakukan solat sunat di dalam salah sebuah bilik. Saya menunggu sehingga mereka selesai memberikan salam di tahiyyat terakhir.

Atok Abah tersenyum. Mak Wa bertanya:

"Awak sudah minum? Pergilah buka tudung saji di dapur. Ada ubi rebus dengan nyior"
Saya berjalan beriring dengan Mak Wa, sambil bertanya:
"Mak Wa solat apa pagi-pagi begini?"

"Solat sunat Dhuha. Atok Abah kata elok kita lakukan ketika masih sihat tubuh badan. Ketika Allah memberikan kelapangan sebelum sampai waktu sibuk"

"Ya, dahulu Mak Wa selalu sibuk mencari rezeki.."

"Solah sunat Dhuha memberikan perasaan kelapangan dan memurahkan rezeki"

"Adakah solat sunat yang boleh memberikan kita jawapan kepada dua pilihan?"

"Cuba awak tanyakan kepada Atok Abah"
Lalu, sambil minum kopi pekat kampung dan menjamah ubi rebus, saya bertanya beberapa soalan kepada Atok Abah. Selama ini saya jarang sekali berbincang dengan Atok Abah mengenai persoalan keagamaan walhal saya tahu bahawa Atok Abah adalah seorang imam di Masjid Kampung Paya Jakas.

Semasa kecil saya amat takut kepada Atok Abah kerana sering di kejar dengan tongkat semambu apabila didapati seharian menghilangkan diri bersama basikal tuanya. Seperti abah, Atok Abah juga mempunyai aura yang mengerunkan kepada kanak-kanak yang melihatnya. Tetapi, di hari-hari keraian, kanak-kanak sangat suka kerana sifat dermawannya.

"Awak cuba buat solat sunat Istiharah. Senang sahaja. Dua rakaat."

"Bagaimana?"

"Niat - Sahaja aku solat sunat istiharah dua rakaat tunai kerana Allah taala. Macam kita buat solat subuh. Bezanya tiada doa Qunut. Rakaat pertama, selepas surah fatihah baca surah Al-Kafirun. Rakaat kedua, selepas surah Fatihah baca surah Al-Ikhlas. Semasa sujud yang terakhir berdoalah apa yang terbuku di dalam hati. Mohon bersungguh-sungguh kepada Allah"

"Insya Allah. Saya akan cuba"

"Bagus. Cuba awak lakukan. InsyaAllah kita akan redha apa-apa jua keputusan yang Allah berikan jawapan"

"Bagaimana kita akan tahu itu adalah merupakan suatu jawapan?"

"Apabila hati kita berat ke arah salah satu pilihan.."

Friday, July 24, 2009

Pilihan 2


Saya mula mencari Mak Wa. Pasti ia berada di tempat biasa - Baruh!

Bertahun-tahun saya telah membelakanginya. Sibuk dengan persekolahan sehingga saya tidak memperuntukkan masa bersama Mak Wa. Terasa sangat kehilangannya. Mak Wa menyepi entah di mana?

Silap saya. Saya yang tidak pergi mencari. Bertahun-tahun ia berlalu, saya biarkan kesempatan itu pergi. Masa yang hilang itu tidak akan berulang! Jadi, kesempatan yang ada saya harus menghayatinya..

Saya mencari Mak Wa di sawah bendang. Subhanallah! Sawah itu telah menghilang!

Ia seperti padang jarak..semak samunnya tinggi. Air sawah tiada lagi. Kering kontang! Saya mencari-cari anak sungai tempat saya bermandi-manda. Saya membayangkan air sungainya yang jernih deras mengalir dari kaki Gunung Ledang masih lagi separas dada.

"Ya Allah. Hanya tinggal di paras buku lali..? Saya kah yang semakin tinggi atau air sungai itu kah yang semakin berkurangan?"
Jerangau di tengah sawah menunggu masa untuk rebah. Peparit kecil di sebelah batas tempat kami menangkap berudu dan ikan puyu juga telah terkambus. Kemanakah pergi semuanaya?
"Ya Allah! Cepatnya masa berlalu. Ia pergi tanpa disedari"

Saya mencari lagi. Mak Wa tiada di rumah Mak Ngah. Barangkali di rumah Mak Uteh. Tidak! Akhirnya ke rumah Ucu Edah. Saya dapati Mak Wa berbaring mengereng memeluk bantal kecil dengan kelesuan. Ada tasbih di tangan kanan.

"Mak Wa sakit?"


"Tidak. Baring-baring sahaja.."


"Jarang sekali Mak Wa begini"


Saya terus duduk di sisi Mak Wa. Memicit dan mengusap lembut labu betisnya. Di dalam posisi begitu, kelihatan jelas sekali raut wajahnya sudah semakin tua dan tubuhnya uzur. Lalu, saya pura-pura bertanya;
"Mak Wa sudah tidak bersawah lagi?"

"Tidak ada sesuatu pun yang kekal di dunia ini. Allah pinjamkan nikmat itu hanya sementara. Sampai masanya pasti segalanya kembali kepada-Nya jua."
"Tetapi Mak Wa ada pilihan. Saya boleh tolong Mak Wa isikan kekabu untuk dijadikan bantal sebagai jualan"
"Hidup ini adalah ketentuan tuhan. Bukan pilihan. Allah telah menetapkan takdir, qada dan qadar setiap insan. Jadi, kenapa kita hendak menafikannya? Kenapa kita berkeras menolaknya? Allah menjadikan sesuatu kejadian dengan rahsia yang tersimpan untuk kita fikirkan. Dia lebih mengetahui apa yang tidak kita ketahui. Redha dan bersyukur dengan ketetapan-Nya"

Saya terdiam. Berfikir mendalam tentang pilihan. Hidup ini bukan pilihan! Jauh di sudut hati saya berkata, selama ini Mak Wa telah begitu kuat berusaha. Bekerja keras berhempas pulas membanting tulang empat keratnya.
"Sudah sampai masanya. Berehatlah Mak Wa. Berehatlah."

Saya melihat berombak-ombak dada Mak Wa. Basah pipinya. Ada kenangan yang dikenangkan.

Friday, May 22, 2009

Pipit Sawah

Rajuk yang berpanjangan.

Saya nekad dan kuatkan hati untuk tidak mahu bertemu dengan Mak Wa. Terserempak pun saya tidak mahu.

Begitu juga dengan mak. Saya tidak boleh terima kenyataan bahawa beliau ada perkara penting yang perlu dibereskan. Saya mengharapkan agar mereka menangguhkan sahaja kerana itu. Tetapi ia tidak pula jadi begitu.

Marah. Kesal. Hilang kepercayaan.

Saya tidak peduli jika mak terasa kerana mulai jarang berbual-bual lagi dengannya. Hati melayan bisikan dan hasutan syaitan. Melawan mereka secara diam.
"Mak dan Mak Wa. Saya tidak mahu lagi berkongsi cerita dengan mereka."

Masa terus berlalu. Saya tidak lagi bersikap seperti dahulu. Kehilangan kawan dan keseorangan. Saya lebih banyak berkurung di dalam bilik sendirian. Melayani perasaan. Kompleks jiwa anak remaja. Monolog diri sering berperang sambil membisikan;
"Sampai bilakah ia akan terus begini?
"Ah..biarkan ! Selagi tidak hilang sakit di hati."
Sikap bodoh sombong berterusan. Saya seperti semakin tidak mengenali diri sendiri. Membuat keputusan secara melulu. Melepaskan kata mengikut perasaan. Biar mereka terguris! Biar hati tercalar..Siapa yang peduli!

Tetapi, lama kelamaan saya sakit sendirian kerana tiada siapa pun yang melayan. Malahan saya tahu bahawa mereka buat-buat tidak ambil tahu. Saya hampir mengalah, namun masih melayan hasutan syaitan.
"Abah tidak sayangkan saya. Kini Mak dan Mak Wa pula."

Itulah yang sering bermain-main di kepala.

Namun, dari kejauhan apabila ada kesempatan saya mengintai memerhatikan Mak Wa yang terbakar kulitnya sendirian menghalau pipit sawah di bendang. Pipit sawah yang tidak tahu erti jemu. Walau di halau berkali-kali, ia tetap kembali.
"Tidak! Tidak mungkin saya menjadi seperti pipit sawah itu. Tidak sekali-kali!"
Kerinduan untuk kembali seperti dahulu sesekali hadir tetapi hati masih berdegil!
"Ya Allah, sakitnya perasaan apabila tiada seorang pun yang melayan. Bodohnya diri berkelakuan seperti ini. Merajuk tiada seorangpun yang memujuk."

"Wahai tuhan, jadikan lah hari ini lebih baik dari semalam. Jadikan lah hari esok lebih baik dari hari ini."

"Ya Allah, hanya pada-Mu tempat mengadu. Jadikan lah diri ini seorang hamba yang baik disisi-Mu"

Wednesday, May 20, 2009

Jambu Biji



Hari demi hari. Minggu demi minggu berlalu pergi. Tanpa di sedari.

Musim cuti persekolahan yang panjang rasanya amat menyeksakan. Bagaimana tidak, kerana orang yang paling disayangi telah melukai hati. Sukar untuk mengambarkan bagaimana hendak melalui hari-hari yang mendatang.

Lukanya dalam. Hirisannya tajam. Menusuk kalbu.

"Sudahlah abah tidak sayangkan saya.. Kini Mak dan Mak Wa pula."

Hati menangis, merintih sendirian.

Masih teringat lagi pada hari yang panas terik itu, saya berlari pulang meninggalkan Mak Wa mengetam padi di tengah bendang. Hati terluka.

Entah kenapa, tiba-tiba hati terasa hiba. Tidak semena-mena air mata mencurah deras tidak tertahan. Terisak-isak di tepi semak, sendirian. Lalu, saya melayani perasaan.

Menangis sepuas hati. Sekejap kuat, sekejap berhenti.

Bimbang di lihat orang, saya memanjat sebatang pokok jambu biji di tepi denai. Sempadan tanah Mak Ngah Hajar dan Pak Long Dollah. Dari kejauhan saya dapat perhatikan sawah bendang yang terbentang, Gunung Ledang di celah kepulan awan dan sungai yang jernih mengalir lesu menenangkan perasaan.

Sambil menangis, tangan mencapai biji-biji jambu. Entah berapa biji yang di makan, tidak pula saya perasan. Tiba-tiba, ada sesaorang menyapa :
"Tidak elok makan jambu biji terlalu banyak. Kalau bijinya tidak hadam, nanti ia tumbuh di dalam."

Budak lelaki itu berkata, sambil menunjuk perutnya.
"Aaa..Budak MRSM Kuantan itu..anak Pak Long Dollah." Bisik hati saya, namun..

"Apa awak peduli..Perut saya, suka hati saya.."

"Makan sambil menangis pun tidak elok juga. Jangan menangis lama-lama, nanti bengkak mata."

Saya kehairanan. Bagaimana saya tidak perasaan budak lelaki MRSM itu boleh berada di situ. Entah berapa lama agaknya dia memerhatikan gelagat saya menangis dan meraung-raung sendirian. Kebodohan yang ketara!
"Boleh kah awak tidak masuk campur hal orang lain..?"

"Saya cuma memberitahu sahaja."

"Ok. Pokok jambu biji ini abah awak yang punya ke?

Tidak berjawab.

Dia terus berlalu. Pergi tanpa menoleh ke belakang. Meninggalkan saya sendirian di atas pokok jambu biji dengan diselubungi perasaan kesal dan malu yang mendalam.

Malunya bukan kepalang! Teramat malu!

Saturday, May 16, 2009

Mengetam Padi


Hari terakhir di sekolah rendah.

Cikgu mengadakan hari penyampaian Hadiah dan Anugerah Kecemerlangan Pelajaran. Ibu bapa murid daripada darjah 1 hingga ke darjah 6 semua di jemput datang.

Saya menunggu kehadiran Mak dan Mak Wa untuk menyaksikan anugerah yang cikgu berikan kepada saya. Puas menunggu, namun bayangan tidak juga kunjung tiba. Hampa.

Hadiah pelajaran yang saya rangkul pada hari itu akan menjadi lebih bermakna dengan kehadiran mereka. Ia hadiah untuk mereka.

Saya bergegas pulang selepas bersalaman dengan cikgu-cikgu sekolah. Memohon ampun dan maaf di pinta daripada mereka. Sayangnya..tanpa air mata. Entah kenapa kerasnya hati seperti mati. Kematu seperti batu. Kental seperti besi.

Hati lebih sayu apabila Mak dan Mak Wa tiada di situ. Mereka guru saya nombor satu!

Mak Wa tiada di rumah. Saya terus mencarinya ke baruh. Pasti beliau ke sawah. Pasti beliau berada di jerangau di tengah bendang menampi padi. Atau menghalau pipit-pipit sawah yang tidak tahu mengalah. Mencari dan terus mencari.

Dari jauh, kelihatan Mak Wa berada nun sayup di tengah sawah. Di bawah bahang terik mentari.

"Kenapa Mak Wa tidak datang? Saya menunggu."

Mak Wa diam dan terus mengetam.

"Hari ini adalah hari terakhir saya di sekolah. Cikgu bagi hadiah."

Diam. Beberapa ketika Mak Wa berkata;

"Kadang-kadang di dalam hidup ini kita terpaksa membuat pilihan. Pilih satu di antara dua.. Jadi, apa tindakan kita?"

"Tetapi, Mak Wa dah janji.."

"Ya, jika di izin Allah. Tetapi ada perkara yang lebih penting lagi. Menghalau Pipit sawah. Musim mengetam padi. Jika kita tidak lakukan hari ini, esok-esok belum tahu lagi padi bunting ini masih berada di sini. Entah-entah di serang belalang.. "

Saya tidak menunggu lagi. Berlari dan terus belari. Berkecil hati.

"Tetapi, Mak Wa dan janjiiii !!!

Saya menjerit sekuat hati. Mengejutkan pipit-pipit sawah, lantas bertempiaran berterbangan pergi.

Hati terluka.

"Oh begitu rupanya .. Pilihan ke dua!"


Wednesday, May 13, 2009

Bingkisan kasih

Selain Mak dan Mak Wa (nenek), Wan juga merupakan ibu kepada saya. Umpama ibu kandung. Betapa tidak, dengan restunya saya diijabkabulkan bersama anak lelaki pertama kesayangannya.

Perkahwinan di usia remaja.


Wanlah yang menunjuk ajar saya masakan kegemaran anak lelakinya itu. Namun, bagaimana mungkin saya dapat menyamai air tangan ibu yang murni? Tangan yang telah menyuapi sejak dari bayi.

Bagaimana mungkin masakan yang terjelma hasil dari kasih ibu dapat di tandingi. Alangkah jauhnya perbezaan jika masakan isteri hendak dibandingkan.

Kelazatannya abadi. Rasanya tidak terperi.
Nikmatnya menusuk hati.

Saya akui.. saya di panah kerinduan terhadap Wan ketika ini. Rindu dendam yang amat mendalam. Rindu yang menghiris perasaan. Rindu kasih sayangnya. Teramat sukar digambarkan.

Dua belas orang anak telah dikandungnya. Berkahwin ketika usia teramat muda. Seumur hidupnya hanyalah untuk mereka. Wan insan istimewa. Ketabahannya luar biasa. Lalu, di hari persandingan kami, beliau mengungkap pesanan :

"Tidak mengapa berkahwin muda kerana Wan pun begitu juga. Cuma Wan hendak berpesan agar Roza kena banyak bersabar. Menjadi seorang isteri dan ibu muda bukannya mudah seperti yang disangka."
Saya benar-benar mendengar.


"Hidup berumahtangga tidak seperti sewaktu zaman bercinta. Ia penuh dengan pancaroba. Ada suka, ada duka. Hadapilah bersama. Cinta yang abadi hanyalah cinta kepada-Nya. Mohonlah daripada-Nya agar sentiasa mencintai dia.. Jangan jemu mencintai dia. Jangan berputus asa. Wan memohon agar Roza banyak-banyak mendoakan dia sebagaimana Wan juga berdoa untuknya."

Terus mendengar.

"Walaupun dia telah berumahtangga, dia masih lagi anak Wan. Seperti baru semalam, Wan merasakan dia masih merengek meminta dimanjakan. Daripada dua belas anak-anak Wan semua, dia ternyata berbeza. Bantulah dia."

Saya diam tidak terkata. Suara tersekat. Tersumbat di dada. Tersimpul mati di dalam hati. Hanya Allah yang mengerti.

Kalau boleh saya luahkan..

"Wan, apakah yang boleh saya bantu dirinya? Apalah yang saya ada? Saya tidak memiliki apa-apa. Jika kecantikan yang dia lihat, sebenarnya saya ini banyak yang cacat. Jawatan tinggi, kepintaran malah harta benda jauh sekali. Saya hanya ingin melihat dia berjaya. Saya hanya ingin hidup bahagia disampingnya. "

"Wahai Tuhan. Mohon agar dia memandang saya. Dengan pandangan yang murni, setulus hati.

Saya akan katakan lagi.


"Biarlah dia berlari, biar dia terbang tinggi. Saya relakan. Saya pasti akan mencari jejaknya dari belakang. Walau terpaksa berhinsut, berpapah mencari arah.. meraba-raba mencarinya."

"Perbezaan kami.. Bagaikan langit dengan bumi. Itu saya tahu, itu juga saya sedari. Namun, Allah yang telah menemukan. Allah yang telah menjodohkan kami."

"Dialah pilihan dari tangisan Istiharah. Pasrah. Ternyata pilihan bukan kerana naluri tetapi menurut mata hati. Lalu, mengapa saya harus menyangkal kerana Dia yang Maha Mengetahui segalanya. Apa yang ada di langit, yang ada di bumi dan di antara keduanya."

Saya hampir menyesal kerana tidak berpeluang meluahkan perasaan kepada Wan. Hidup saya di ajar agar mendengar. Ternyata saya amat sayang sekali kepadanya. Bukan sekadar ibu mertua.

Lalu, jika jasad Wan masih ada.. itulah yang ingin saya nyatakan perasaan terhadap anak lelaki kesayangannya.

Namun, biarkan ia begitu. Biarkanlah..

Al-Fatihah untuk ibu mertua saya - Hajah Wan Fatimah.