Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Sunday, August 30, 2009

Musim jemur tepung

Semasa saya kecil-kecil dahulu, apabila melihat mak mula menjemur tepungdan gula.. sepantas kilat hati terlintas lantas bertanya kepada mak :
"Mak, sudah hendak raya ke?"

"Tidak.Lambat lagi"

"Bila mak hendak menggunakan tepung dan gula ni?"

"Dua minggu lagi.."

Lalu, kami adik beradik tersenyum-senyum. Tandanya hari raya semakin mengampiri. Apabila remaja, mak pula akan mengarahkan kami.
"Cepat jemur tepung dan gula untuk buat kuih raya. Ada dua minggu lagi"
Lalu, kami menjemur berdulang-dulang tepung dan gula dengan berat hati. Maknanya, seminggu dari sekarang mak akan mengadun doh pelbagai jenis biskut dengan pelbagai nama. Pelik-pelik bunyinya : batang buruk, samprit, pawajis, tat kurma, tat teratai, makmur, beroda, kacang mazola, buah rotan...Kamilah yang bakal menyudahkannya.

Proses menggelek, mencetak, menggentel, membakar..itulah yang merapatkan kami. Banyak petua-petua yang diturunkannya.

Kini, keadaan berlainan sekali. Saya lebih suka membancuh adunan kek atau muffin, lalu, memasukkannya ke dalam ketuhar. Prosesnya pantas.














Dari kejauhan anak-anak menelefon dan meninggalkan pesanan:
"Ma, nanti beli Almond London jenis macam tahun lepas ya. Coklatnya terasa..."
Saya semakin kehilangan haruman aroma biskut sempena raya. Dulang-dulang untuk menjemur tepung pun saya tidak pernah ada..

Thursday, August 27, 2009

Setitis Air Mata

Ketika kecil, berkali-kali di marah mak atau sesekali di libas oleh abah dengan sebatang rotan padu pada betis yang sama..Apabila ia berakhir, saya akan berbisik di dalam hati :


"Sudah? Itu sahaja..?"

Lalu, saya akan berlari ke tempat lain. Kadang-kadang tertahan-tahan geli hati menahan tawa sendirian.


Esoknya, apabila bosan saya dan sepupu-sepupu [rakan sepermainan] akan mencari ikhtiar mencari perkara menghibur lara. Pernah, balingan batu kerikil dijadikan taruhan untuk dilontarkan ke atas bumbung zink rumah Atok Abah ketika orang sedang berdengkur merehatkan diri selepas zohor. Baru tiga kali balingan, sudah ada yang menjenguk ke tingkap. Menjengilkan mata dan memberikan amaran. Lalu, kami bertempiar lari sambil tertanya-tanya di dalam hati :



"Alah, dengan budak-budak pun hendak marah..?"

Zaman kanak-kanak adalah musim yang penuh dengan sebatan. Ketika remaja dihujani dengan sindiran. Apabila menjelang dewasa di asak dengan kritikan..Namun, tiada setitik pun air mata yang tumpah.


"Ya Allah, kerasnya hati. Kematu bagaikan batu!"




Suatu hari, apabila Allah membuka pintu hati dan dengan kasih sayang-Nya memberikan sedikit hidayah, tidak semena-mena air mata tumpah di atas sejadah. Kadang-kadang ia mengalir dengan tidak semena-mena walaupun ketika sedang memandu kereta. Ia akan lebih kerap terjadi apabila bersendiri.

Hati akan jadi lebih tersentuh apabila mula memahami bait-bait makna perkataan di dalam sembahyang. Doa Iftitah


Allah Maha Besar dan segala puji bagi Allah dengan banyaknya.


Maha suci Allah sepanjang pagi dan petang.


Aku hadapkan wajahku bagi Tuhan yang mencipta langit dan bumi,


dengan suasana lurus dan berserah diri dan aku bukan dari golongan orang
musyrik.


Sesungguhnya solatku, Ibadatku, hidupku, matiku adalah untuk Allah Tuhan
sekelian alam.


Tidak ada sekutu bagiNya dan kepadaku diperintahkan untuk tidak menyekutukan
bagiNya dan aku dari golongan orang Islam.


Setitis air mata yang tumpah, tidak lagi kerana sesiapa. Tetapi ketakutan mengingati kejahilan serta kealpaan semalam dan menunggu esok yang entah bila tibanya.


"Wahai zat yang daku di dalam kekuasaan-Nya, adakah daku diterima disisi-Mu?"



Monday, August 24, 2009

Makna sehelai tudung


Dahulu, tudung berwarna putih bersih itu saya sarungkan ke kepala hanya ketika menghadiri sekolah agama. Bila pulang, tudung itu saya lipat sekemas mungkin dan simpan di dalam beg. Esoknya, saya ulangi perkara yang sama.

Di sekolah pagi, tudung putih bersih itu saya sarungkan ke kepala hanya ketika mempelajari mata pelajaran Pendidikan Islam. Bila tamat masa yang diperuntukan, tudung itu saya lipat. Ianya suatu proses yang berulang-ulang.

Biar bagaimana tajam sekalipun sindiran ustazah, sekelumit pun hati tidak tercuit.

Semasa di institusi pengajian tinggi, saya menghampiri rakan-rakan yang bertudung. Ada sesuatu yang di cari tetapi masih ada sesuatu yang menghantui diri. Tudung..datang dan pergi.

Sesekala belajar lebih kerap untuk memakainya..berbagai fesyen mengikut arus semasa, nipis dan berbagai warna. Yang pasti..ia mesti kelihatan anggun dan bergaya.

Namun, di rumah sekalipun berkumpul dengan ipar duai ia terabai begitu sahaja. Bertahun-tahun ia begitu..tanpa rasa bersalah tanpa rasa berdosa, tanpa perasaan malu.

Ya Allah, kerasnya hati dan jahilnya diri ini.

Sehinggalah apabila Allah membuka pintu hati. Ia seolah-olah Allah melontarkan pertanyaan kepada diri,"Apakah maknanya sehelai tudung ini?"

Saturday, August 22, 2009

Anekdot 2

Sebelum memulakan kelas, saya sering mengingatkan kepada diri sendiri.
"Selawat dan salam kepada junjungan besar kita, Rasulullah SAW serta keluarga dan sahabat-sahabatnya.

"Marilah kita sedekahkan surah Al-Fatihah ini kepada kedua ibu bapa yang telah membesarkan kita dengan penuh kasih sayangnya dari kita bayi sehinggalah kita berada di usia ini [samaada mereka masih hidup ataupun yang telah tiada],

Sedekahkan juga kepada guru-guru yang telah mengajarkan ilmu dari kita tidak tahu membaca sehinggalah kita berada di universiti ini,

Kepada seluruh warga UiTM yang telah banyak membantu kita di sepanjang pengajian,

Kepada kaum muslimin dan muslimat

dan untuk roh diri kita sendiri...Al- Fatihah!

Dan saya memulakan pengajaran. Lalu, di masa yang lain seorang pelajar datang ke bilik saya dengan sayu pilu semata-mata untuk menyatakan :

"Maafkan saya kerana menyangkakan bahawa puan adalah seorang ustazah pada mulanya..hanya kerana melihat cara dan pakaian puan. Ia amat berbeza sekali apabila membaca cerita dari blog puan ketika remaja"

Dengan kasih sayang, saya ceritakan kepadanya:

"Saya telah melalui banyak hentian. Di setiap hentian itu banyak sekali cabaran dan lencongan yang cuba membengkokkan diri dari melalui jalan yang lurus. Namun, apabila saya terleka..Allah kembali mengingatkan diri saya bahawa hentian itu cuma transit sementara. Perjalanan perlu diteruskan.

Di sepanjang hentian, banyak sekali nikmat dan kasih sayang Allah yang saya kecapi. Adakalanya saya ego, angkuh dan membangga diri. Bila jatuh tersungkur saya kembali sedar diri.

Adakalanya saya berjalan, jarang sekali saya berlari. Namun, sebenarnya saya lebih banyak merangkak dan sesekali bertatih-tatih berjalan jatuh. Ketika itulah saya rasakan Allah memimpin di sepanjang perjalanan.

Bertahun-tahun saya merangkak mencari destinasi. Arah tujuan yang tidak keruan. Dalam pencarian itulah saya mengenal diri bahawa saya tidak memiliki diri ini. Nikmat yang dikecapi adalah pinjaman semata-mata. Akan kembali kepada yang menjadikan apabila sampai masanya.

Saya telah berjalan hampir di seluruh pelusuk dunia dengan bergaya. Melihat kebesaran dan keindahan bumi Allah yang Maha berkuasa. Lalu terasa kerdilnya diri ini di sisi-Nya.

Jadi, di suatu sepertiga pagi yang hening saya berbisik kepada-Nya,"Ya Allah! Janganlah ambil nyawaku selagi tidak terhapus dan diampunkan dosa-dosaku. Aku ingin kembali di dalam keadaan fitrahku yang bersih putih. Jemputlah daku ke rumah-Mu ketika ada rezeki kesihatan, rezeki kewangan dan rezeki kelapangan. Jemputlah daku! Jemputlah daku! Jemputlah daku!

Ketika muda sebelum tua,
ketika sihat sebelum sakit,
ketika lapang sebelum sibuk,
ketika senang sebelum susah
ketika hidup sebelum mati..

Lalu, Allah kabulkan permintaan saya.

Banyak perkara yang saya fikir Allah akan membayar secara tunai kepada saya ketika berada di rumah-Nya. namun, Allah tidak begitu. Malah, dia banyak memberi tunjuk ajar, melimpahkan kasih sayang dan menunjukkan kebesaran-Nya yang tidak terucapkan oleh kata-kata.

Ya Allah. Salahkah saya untuk memberikan satu tanda lambang kesyukuran kepada-Nya dengan sesuatu yang berat untuk dilakukan oleh diri ini selama ini.

Yang paling saya takuti..iaitu memakai pakaian seperti ini"




Pelajar itu berdiri meminta diri untuk pergi. Sebelum beredar dia memeluk saya. Di dalam pelukan itu terasa ada sedu, riak kecil yang berombak-ombak. Di kelopak mata, ada takungan air di dalamnya. Sambil senyum, saya nyatakan kepadanya:

"Saya sudah redha jika nanti satu persatu rakan-rakan saya akan beredar pergi menjauhkan diri. Saya sedar.. banyak implikasi hanya kerana pakaian ini..

Marhaban Ya Ramadhan.

Thursday, August 20, 2009

Simply the Best!

Sesuatu yang nampak kecil, bodoh dan remeh kadang-kadang ianya memberikan impak yang besar di dalam kehidupan seharian kita. Malah ajaibnya kerana perkara yang sekecil itu membawa kepada warna perubahan baru. Jika dahulu kita tidak dipedulikan tetapi hanya dengan satu kejadian ia menjadikan 'turning point' di dalam kehidupan.

Allah Maha kuasa di atas segalanya. Dia maha mengetahui sekalipun sehelai daun yang gugur di malam yang gelap gelita. Dia pencipta!

Kami masih teringat akan tepukan hangat dan bergemuruh itu. Tidak tergambarkan oleh perasaan, kegembiraan yang kami rasakan.

Minggu baru bermula. Pagi Isnin itu bas awam bergerak agak perlahan kerana ada pembaikian lopak air kecil di tengah jalan. Jadi, pada pagi itu pelajar-pelajar yang datang dari Jementah sampai ke sekolah agak lewat.

Semasa saya sampai di pengkarangan sekolah, pelajar-pelajar telah usai dari perhimpunan. Masing-masing sedang menuju ke kelas. Saya berlari-lari anak ke tempat perhimpunan. Namun, barisan kelas saya telah pun beredar.

Hairan! Semasa saya menuju ke arah tempat perhimpunan itu, ramai pelajar-pelajar junior tersenyum melambai-lambaikan tangan ke arah saya. Terpinga-pinga. Namun, lagak sebagai seorang selebriti saya balas lambaian mereka sambil menghulur senyuman mesra tanpa tahu apakah maksud lambaian itu.

"Kenapa dengan tiba-tiba mereka seolah-olah mengenali diri saya? Ada hal? Ada kes lagi?"

Terdetik di dalam hati.

Sepanjang saya memanjat tangga menuju ke kelas, hati tertanya-tanya. Kenapa, kenapa dan kenapa? Terserempak pula dengan seseorang yang sedang menuruni tangga, dia menyapa memanggil nama saya. Hairan?

"Bila pula budak itu tahu nama saya?"
Pagi itu, saya berjalan perlahan-lahan menuju ke kelas. Riuh rendah kedengaran rakan-rakan sedang sibuk bercerita. Mengulas sesuatu peristiwa penting dengan penuh suka cita.
"Assalamualaikum..Hi! Morning everybody.."

"Haaaaa..itu dia!"
Rakan-rakan menyerbu ke arah saya. Semuanya berebut-rebut bercerita tidak berbutir hujung dan pangkalnya. Salah seorang daripada mereka menghulurkan sekotak coklat, berbentuk butir-butir bebola bersalut emas. Saya semakin bingung!
"Helo..helo..kawan, satu-satu okey! Seorang-seorang..Tolong.. Saya tidak faham."
Mereka mula bercerita di dalam keadaan tenang. Satu persatu. Rupa-rupanya baru saya tahu, salah seorang VIP yang hadir pada hari itu adalah merupakan tetamu besar dari Rome, Italy iaitu Mother Natelia. Sister Dorothy Sta Maria, Guru besar kami pada ketika itu menyampaikan salam. Beliau menyatakan perasaan bangga dan kagum dengan cara kelas kami membuat persembahan. Coklat Ferrero Rocher tanda penghargaan!

"Muhibbah. Tampak perpaduan. Patriotik dan ada jati diri"
Lebih membanggakan lagi kerana ianya di puji oleh Mother Natelia. Walaupun tidak memahami bahasa [kami satu-satunya membuat persembahan di dalam bahasa melayu] namun, dia terpegun dengan persembahan tradisional Malaysia.
"Itulah..awak lambat sangat sampai. Sister panggil nama awak. Bergema-gema satu sekolah. Ada muzik mengalunkan lagu Tina Turner - You're simply the best!"

"Betul ke? Ruginya saya..."

Saya sedikit terkilan kerana terlepas acara yang sepatutnya menjadi kenangan seumur hidup.
"Jadi..coklat ini kita bahagikan kepada sesiapa yang mengambil bahagian sahajalah ye..?" Saya menguji mereka yang tidak mengambil bahagian.

"Hoi..oii! Mana aci! Sister Dorothy cakap..coklat itu untuk kelas ini. Semua orang kena bagi..bagi kena adil. Sama rata"

Mungkin itulah yang dikatakan oleh simpulan bahasa yang sering disebut-sebut orang di dalam bahasa kiasan sebagai ' Muka tembok'.

Wednesday, August 19, 2009

It's show time!

Mula-mulanya kelas kami tidak berminat untuk menyertainya. Bagaimana mungkin terjadi kerana kebanyakan kami masih lagi mempunyai perasaan rendah diri. Lagi pun memang patut di panggil kelas ke dua kerana sikap individu di dalam kelas itu. Acuh tak acuh!

"Ada dua hari lagi. Cikgu hendak kenal pasti samada kelas ini akan mengambil bahagian di dalam persembahan atau tidak?"
Diam. Tiada siapa pun bersuara. Membisu seribu bahasa.

"It's compulsory. All class must take a part. No excuse!"

Cikgu membuat keputusan sendiri. Memandang kami dengan penuh jaki lantas berlalu pergi.

"Ok kelas. Macamana ni? Ada sebarang cadangan dari sesiapa untuk persembahan kelas kita?"

"Hendak persembahkan apa? Kelas lain semuanya dah mulakan latihan beberapa minggu lamanya. Tidak perlulah kita menghabiskan masa dan tenaga. Tarik diri sahaja lah!"

"Itu pendapat orang kelas kedua. Ada pendapat lain?"

"Sekarang ni seluruh sekolah sedang memerhatikan kelas kita. Mereka menunggu masa sahaja untuk mentertawakannya"

"Betul tu..mereka kata kelas kita pasif. Negatif. Tidak mahu participate"

"Jadi? Kita nak diamkan sahaja? Membenarkan semua tanggapan tidak betul mereka?"

"Kita bukan macam itu!"

"Ok..mari kita sama-sama buktikan. Kita buat satu kejutan!"

"Yeeaaaaah...Ok!"
Tiba-tiba seluruh kelas sepakat untuk mengambil bahagian. Tiada kira siapa, tidak mengira bangsa. Namun, ada juga seorang dua yang keras kepala. Mereka inilah yang paling banyak cakapnya.
"Yang tidak mahu mengambil bahagian..tolong diam"

Kami dapati hampir seluruh kelas di sekolah itu diwajibkan untuk menyediakan persembahan. Cuma enam persembahan terbaik sahaja yang akan terpilih untuk membuat persembahan di hari kemuncaknya. Tingkatan empat sahaja mempunyai lima kelas kesemuanya. Layakkah kelas kami sampai ke pusingan terakhir? Itu bukan soalnya, yang penting penyertaan.

Saya tidak ingat persembahan itu untuk sempena hari apa. Tetapi apa yang pasti, sekolah akan mengadakan karnival terbuka untuk orang awam selama seminggu.

Kelas kami sepakat untuk mengadakan persembahan dikir barat moden. Kami mulakan dengan rentak tradisional [Ewa bule], kemudian rentak blues [bues gang -apo nak di kato], lagu girls guide, rentak lagu kuda hitam, Que shera shera.....dan disudahi dengan All lang shine.

Kami berlatih dengan tekun sekali. Berhari-hari. Jika cikgu terpaksa menghadirkan diri untuk mesyuarat, kelas kami mengambil kesempatan untuk melakukan latihan. Anehnya, walaupun kami berlatar belakang dari sekolah berbeza dan berlainan bangsa, namun kami kelihatan seia dan sekata.

Peliknya sekolah itu, setiap kelas merahsiakan persembahan mereka, sehinggalah apabila tiba masa rehearsal. Persembahan kelas kami dijadualkan paling akhir sekali. Jadi kami terpaksa menunggu berpuluh-puluh persembahan yang kelihatanya agak sama. Streotype. Semua rata-rata mengadakan persembahan tarian, pentomin, kior dan Grammy Awards. Yang paling banyak dipersembahkan adalah miming lagu Michael Jackson - Thriller, Billy Jean dan Beat it!

Kami hampir lemah semangat. Apabila sampai giliran kelas kami, semua pelajar hampir tidak kelihatan. Mereka telah pulang ke kelas masing-masing. Mereka langsung tidak menunjukkan minat. Tiba-tiba penganjur memberikan cadangan kepada kami agar tidak perlu membuat persembahan. Namun, kata mereka persembahan kami akan dimasukkan terus pada hari kemuncak sahaja. Kami berbincang sebentar. Setuju!

Pada hari yang di tunggu-tunggu, pentas disediakan di ruang lapang di antara bangunan. Seperti yang dijangkakan, persembahan kami dijadualkan paling kemudian. Namun, kami telah menjangka dan sudah bersedia.

"Kita adalah yang terbaik di sekolah kita dahulu. Cemerlang!"
Kami memberikan semangat sesama sendiri. Kelas kami memakai kemeja-T lengan panjang berwarna putih bersama track bottom sahaja. Tiba-tiba seorang rakan mengeluarkan kain batek dari dalam bekas beg pelastiknya. Meminta kami melilitnya di pinggang. masing-masing. Seorang lagi mengeluarkan reben merah , meminta kami melilit di kepala. Seorang lagi mengeluarkan kompang. Seorang lagi mengeluarkan ceper [tutup botol air gas yang di cucuk dengan kawat besi]. Bunyinya gemercing.

"It's show time! We're the best. Let's us begin!"
Kami berlari keluar. Tunduk hormat. Mengeluarkan reben merah lalu mengikatnya di kepala. Dengan satu jeritan yang serentak penuh bersemangat, kami jerit "Hahhhh!!!'. Kaki kanan kami hentak kuat ke bumi. Kemudian kaki menyilang dan kami duduk seorang demi seorang. Lalu terdengar mendayu-dayu alunan suara penyanyi utama..
"Ala ewaaaa...ewa buleeee...ewa bule teraju tigooooo"
Diikuti oleh rakan yang lain dengan satu suara yang lantang. Semangatnya luar biasa. Gerakan kami adalah campuran dikir barat dari kelantan dan endang dari negeri sembilan. Kami bertepuk, kami berpusing, kami berikan tumbukan ke hadapan dan ke belakang. Kami bangun serentak, kami bersilat..dan akhirnya kami duduk kembali menyanyikan lagu dengan nada sayu..
"Sayonara..sayonara sampai berjumpa pula.."
Kami dapati seluruh pelajar sekolah datang berpusu-pusu. Mengerumuni disetiap penjuru. Sehingga menghalang pandangan di tempat duduk khas guru-guru dan VIP. Ada yang berlari-lari ke tingkat satu dan dua untuk melihat persembahan kami dari atas. Keadaan seperti tidak terkawal, sehingga pengawas-pengawas hanya membiarkan sahaja. Beberapa ketika mereka kelihatan terpaku tidak berkata-kata.

Di akhir persembahan, kami melihat seluruh pelajar sekolah berdiri bertepuk tangan. Bunyinya bagaikan guruh bergemuruh. Bergemuruh sekali!

Alhamdulillah! Terima kasih Allah.


Monday, August 17, 2009

Epilog Cinta dari Bromley

Beberapa bulan di sekolah convent, saya semakin mesra dengan persekitaran mereka. Berbicara dan berfikir cara mereka. Saya mulai berkawan dengan semua orang. Tiada memilih aliran - Sains atau sastera.

Dari pelajar sastera saya mendengar mereka berbincang tentang sayembara, novel, sajak dan puisi. Mereka mengupas penulisan sastera atau sesebuah puisi secara terperinci. Dari mereka lah saya mengenal tulisan penulis yang terkenal seperti A. Samad Said, Shahnon Ahmad, Tongkat Waren dan beberapa karyawan lagi.

Saya paling suka membaca novel karya Khatijah Hashim. Terharu menghabiskan sebuah antologi cerpen yang salah satunya bertajuk 'Nasinya Tumpah' hasil tulisan Fatimah Busu.

Ya Allah! Di dalam usia belasan, tiba-tiba sahaja saya gemar mendengar puisi. Boleh mengalirkan air mata apabila mendengar alunan suara lagu-lagu cinta di kesunyian malam yang gelap gelita. Tersedu-sedan mendengar alunan kata-kata romantis yang diucapkan oleh juruhebah radio yang membaca rintihan dan keluhan pengirimnya.

Suatu hari, saya mendengar sebuah lagu yang sedang berkumandang dari salah sebuah gerai semasa di stesyen bas Segamat untuk pulang ke rumah. Lagu itu pada hemat saya amat menusuk kalbu. Bunyinya ;



Berhelai-helai surat, terbiar di depan ku
Tak dapat aku utuskan

ku ramas semua
dan ku buangkan jauh..
dari pandangan.

Lalu, aku kesal
ku kumpul semula
Tak dapat ku nyatakan apa yang ku rasa
Jika engkau tahu
di dalam hati ku
.....la..la...la......

(Lagu ciptaan : M. Nasir)

Dan saya menangis di sepanjang perjalanan.

Saya tidak pernah hendak ambil tahu siapakah penyanyinya atau kumpulannya. Sehinggalah tiba masanya saya amat gila dengan lagu itu - Sekuntum mawar merah, sebuah puisi.. Terbeliak mata seperti tidak percaya melihat rupa penyanyi lagu yang digilai. Mulai hari itu saya bertekad tidak lagi mahu mengetahui bagaimana rupa sebarang penyanyi.

Suara tidak mengambarkan rupa!

Peliknya, pada usia itu saya akan sanggup menahan lapar dahaga dengan mengumpulkan duit belanja hanya untuk membeli kaset cetak rompak lagu kesukaan di pasar malam. Bila pulang, saya akan memasangnya kuat-kuat secara berulang-ulang di radio kaset yang abah belikan.

Saya dan Tuti agak ekstreme sekali. Kami akan menghafal senikata mengiringi penyanyi itu sambil seluruh anggota badan tergeliat-geliat mengikut rentak. Lagak kami seperti budak tidak pernah bersekolah. Bukan sekolah biasa tetapi sekolah agama.

Malah jika lagu itu dinyanyikan oleh Anita Sarawak, maka kami akan menjuih-juihkan bibir secara berlebihan. Keterlaluan!
Di cel..lah.. keh.. daa.. mai iyan..

berrr.. tiup han gin se po hoi...
Suara manja Noreen Nor lunak mengalun menambat hati. Bagaimana si penyanyi meliuk-liuk dan tergedik-gedik, begitulah gediknya kami. Saling tidak tumpah. Malah lebih lagi!

Suatu hari minggu, kami sedang benar-benar menghayati sebuah lagu [click on ] 'Epilog cinta dari Bromley" oleh Sohaimi Mior Hassan. Kami menghayati baris-baris perkataan dengan sepenuh perasaan. Mengajuk-ajuk perlakuan penyanyi kesukaan. Tubuh badan saya tersentak-sentak sambil memegang bekas bedak. Tuti pula kelihatan terlonta-lonta dengan sebatang kayu mop di tangannya.

Entah mengapa tiba-tiba, Ratna beberapa kali memberi isyarat kepada kami supaya berhenti. Namun, tidak kami peduli. Jari telunjuknya menunjuk-nunjuk ke arah dapur. Kami hanya membeliakkan mata ke arahnya. Lalu, jari telunjuk kami menunjuk menembak ke arahnya pula ala-ala koboi dengan pistul. Mungkin itu gaya yang diinginikannya. Tiada masalah, boleh sahaja!

Jari Ratna menunjuk-nunjuk lagi. Kali ini, kami benar-benar panas hati!

Tidak nampakkah dia keadaan kami yang sedang berada di dalam tahap emosi yang tinggi? Tidak tahukan dia bahawa penghayatan emosi seperti itu bukannya datang selalu? Jika kami penyanyi professional pasti kami tidak mahu di ganggu! Jika dia seorang 'Manager' pasti sudah di buang kerja!

Saya dan Tuti sepakat terus menghayati sambil membuat gerakan sepenuh hati dan perasaan selaras dengan tingginya nada lagu yang di bawa.

Kami berada ke tahap perasaan yang menggila sambil berpegangan tangan membuat satu gerakan yang boleh kami katakan "The top performance of the year!" Darah mengalir meresap ke tangkai jantung hati dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Kami meratap, kami menghiba. Tergigil-gigil sambil memejam mata. Lagaknya tak ubah seperti lotong terkena lada!
Untuk mengakhirinya kami cuba sudahi dengan suatu kejutan..memberikan tekanan suara yang tinggi sambil memusing badan ke belakang.

Tiba-tiba..

Kami dapati beberapa orang pekerja keturunan cina sedang terbeliak biji mata. Terlopong mulut sampai ke dada! Terpaku seperti orang terjumpa hantu!

Oops! Kerana naik 'Syeikh' kami terlupa pada ketika itu bahagian dapur rumah teres kami sedang di dalam pembinaan. Tingkapnya telah ternganga dan bila-bila masa sahaja orang boleh menjenguk ke dalamnya.

"Ya Allah! Bila pula mereka pulang.. Rasanya baru sekejap sahaja tadi mereka pergi untuk berhenti makan tengahari.."

Saturday, August 15, 2009

Pen Pals


Poskad dari United Kingdom pencetus perasaan. Hati meledak-ledak untuk pergi ke luar negara. Tetapi melihat diri yang serba kekurangan, rasanya hasrat hati amat payah untuk dikecapi.

Ia bagaikan angan-angan yang di pasang oleh Si Mat Jenin. Apakah nanti saya juga akan jatuh bergelimpangan bersama angan-angan?

Perasaan rendah diri menyelinap di seluruh perasaan kerana kekurangan diri di dalam komunikasi dan penulisan - Bahasa Inggeris! Namun, ia merupakan suatu megnet berkuasa besar yang mencabar agar diri menguasai bahasa itu sepenuh hati.

Saya membayangkan bagaimana jika poskad yang di terima itu tertera nama pengirim berserta alamat, apakah saya akan membalasnya?

Saya cemburu dan kagum apabila mendengar rakan-rakan dari sekolah convent dan juga kakak sendiri, Kak Long Pidah pandai berbicara di dalam bahasa itu dengan selamba. Seolah-olah itu bahasa keduanya. Tiada masaalah. Ayat-ayat dan patah perkataan yang di tulis di dalam karangan juga amat cantik sekali. Berbunga-bunga bahasa.

"Nak tahu caranya? Awak cari lah pen pals dari luar negara"

"Bagaimana?"

"Sebagai permulaan..tulis surat kepada alamat ini"
Ia merupakan alamat sebuah program rancangan terbitan Walt Disney. Terdapat sebuah slot yang menceritakan rakan-rakan yang berada di serata dunia. Di akhir rancangan terdapat alamat sekiranya ada yang berminat untuk berkenalan dengan rakan-rakan di luar negara. Lalu, saya mencuba.

Beberapa minggu menanti, akhirnya saya menerima beberapa pucuk surat rakan-rakan yang ingin berkenalan dari beberapa negara.

Federica Botarelli dari Italy.
Jessica dari Santa Barbara, California, US.
Monica Ian O'cconor dari Ireland.

Saya juga menerima surat yang bernama Ahmed Eusoff Al-Tehrani dari Iran tetapi di halang keras oleh mak dan abah. Mereka takut kalau-kalau saya akan jatuh hati kepada pemuda yang berfahaman aliran mazhab yang berlainan. Iya ke? Bagi saya ketika itu tidak masuk akal sama sekali. Bagaimana mungkin kami boleh bertemu dengan jarak sejauh itu?

Dengan pen pals lah bagaimana bermulanya saya belajar memberanikan diri menulis ayat yang panjang di dalam bahasa Inggeris. Barulah saya rajin menggunakan kamus Dwi-Bahasa. Kemudian belajar meminjam novel-novel Inggeris dari perpustakaan sekolah.

Daripada kawan-kawan sekelas pula saya mulai mengenali novel-novel seperti ini. Antara novel yang saya gemari adalah seperti "My Sweet Audriena, Flowers in the Attic, Yesterdays Torn, Gone with the Winds, Endless Love..."

Banyak sekali ayat-ayat dari novel itu digunakan di dalam persuratan dengan rakan-rakan saya di luar negara..Banyak juga ia membantu kefahaman di dalam karangan. Namun, banyak juga yang cikgu tandakan dengan dakwat merah! Kerana ayat-ayatnya tiada kena mengena atau salah penggunaannya. Tiada kesinambungan!

Alhamdulillah! Terima kasih Allah kerana memberikan saya rezeki ilham. Memudahkan segalan urusan. Wahai tuhan, sudahkanlah ia dengan segala kebaikan.

Amin.

Thursday, August 13, 2009

Greetings from London!

Poskad itu rupa-rupanya telah lama berada di dalam peti surat yang tergantung di luar pagar. Entah berapa lama ia tersadai di situ tidak langsung saya sedar.

Ia terkumpul bersama pamplet jualan murah yang di hantar oleh jurujual dari rumah ke rumah. Terjumpa apabila mak meminta agar membuangkan kesemua kertas-kertas yang datang tidak di undang. Apabila mak sesekali datang bertandang.

Greetings From London!

Terdapat beberapa gambar di depan poskad itu. Bas merah dua tingkat, pondok telefon berwarna merah, London Tower Bridge dan Askar di Raja yang bertopi berbulu tinggi hampir menutup mata.

Tulisan di belakangnya hampir pudar. Pasti ia telah berhari-hari di panah terik mentari. Berhujan berpanas sehingga tulisan tidak jelas kelihatan. Saya tertanya-tanya siapa gerangan yang menghantarnya.

Namun, poskad itu saya simpan di dalam diari. Semakin kuat saya berdoa di dalam hati agar suatu hari nanti Allah mengizinkan saya pergi.

Saya sering memasang angan-angan. Agar suatu hari nanti dapat melihat sendiri semua tempat yang ada di dalam poskad itu. Menjejakkan kaki, menghirup udara dan menyentuh bangunan yang ada didalamnya. Jika tidak dengan kudrat sendiri, minta-minta dapatlah pergi bersama suami.

Beberapa bulan berlalu, saya menerima sepucuk poskad lagi dari luar negeri! Di depannya terdapat sebaris perkataan nama sebuah pekan di Wales, United Kingdom tertulis:

LLANFAIRPWLLGWYNGYLLGOGERYCHWRNDROBWILL
ANTYSILIOGOGOGOCH

Ya Allah! Bagaimana hendak menyebut nama pekan seperti itu? Saya kira itu antara nama tempat paling panjang di dalam dunia yang baru saya tahu.

Tulisan tangan di tulis dengan kecil sekali di belakang poskad. Ia hampir pudar dan amat sukar untuk di baca. Barangkali ada perkara yang hendak di cerita. Menyembunyikan identiti? Penulisnya kelihatan begitu berhati-hati sekali.

Apa kaitannya poskad dari London dan kemudian dari Wales pula? Adakah ia datangnya dari orang yang sama? Saya cuba meneka-neka. Pengirimnya pasti mengenali diri ini. Namun, kenapa tiada tanda pengenalan diri. Sebuah lagi naskah misteri!

Bezanya kini saya lebih tenang berbanding dengan beberapa tahun dahulu, apabila pertama kali menerima warkah pertama. Apatah lagi tiada kaca dan gelas yang pecah. Tiada nota yang menyatakan supaya ianya perlu di balas. Jelas. Ia lebih merupakan suatu nota kenyataan. Tidak meminta balasan.

Lagipun, saya sudah serik! Trauma rentetan peristiwa dari warkah pertama menjadikan saya lebih berhati-hati. [ warkah pertama 2, warkah pertama 3, warkah pertama dan terakhir, Dimanakah warkah pertama?] Lebih-lebih lagi ia melibatkan soal hati!

Saya tidak lagi benar-benar peduli siapa pengirimnya. Atau bagaimana intipati isi kandungan notanya. Perasaan saya agak bersahaja. Hanya sesekali sahaja terlintas di hati - apakah yang ingin disembunyikan oleh peribadi diri pengirim poskad ini?

Tiada nama. Tiada alamat disertakan. Yang jelas kelihatan hanyalah beberapa patah perkataan yang tertera :

Thinking of you...

XoXoX
London, England

Wednesday, August 12, 2009

Hoki


Minggu itu latihan sukan diadakan. Semua pelajar diwajibkan hadir hampir setiap petang. Memandangkan sekolah convent tiada padang, kami berkongsi padang berhadapan Sekolah Tinggi di seberang jalan.

Saya bukanlah seorang anti- sukan. Semasa sekolah rendah, saya sering mewakili daerah untuk acara lompat jauh, bola jaring dan lari berganti-ganti 100 meter dan 200 meter.

Di sekolah itu, hanya sekali-sekala sahaja dapat menghadirinya. Ianya disebabkan oleh faktor tempat tinggal yang nun jauh di Jementah dan kami hanya akan sampai ke rumah apabila hari hampir menjelang senja.

Walaupun mereka kata "It's compulsory" dengan telor yang tersendiri, namun saya masih tetap tidak dapat memenuhinya setiap hari.

Saya patut berterima kasih kepada sekolah itu kerana banyak memperkenalkan penggunaan perkataan baru. Hampir setiap hari saya catitkan ke dalam diari. Siap dengan ayat-ayatnya sekali. Serta tonasi. Hari semalam perkataan - 'Sophisticated. Hari ini perkataan 'Oo..Goodness me. It's sound great! Marvellous" dan esok..pasti saya menunggu perkataan itu.


Selalunya apabila pelajar-pelajar convent berkumpul membuat latihan di padang ,begitu ramai pelajar-pelajar lelaki dari Sekolah Tinggi datang memerhati. Mereka berkerumun di tepi padang, juga memakai pakaian sukan untuk latihan. Kadang-kadang mereka berada di tepian Taman Bunga, Bukit Hampar bersebelahan padang.

Ada juga sesetengah pelajar lelaki yang telah mulai tumbuh kumis-kumis halus mencuba skil 'ayat-ayat' mereka. Bertegur sapa. Ada yang melayan dan ada ramai juga yang Bo-layan. Masa yang paling kemuncak ramai adalah apabila pelajar convent membuat latihan bermain hoki.

Namun, satu arahan yang paling kami tidak faham adalah apabila diadakan perlawanan Hoki yang melibatkan kerabat di Raja, Sekolah Menengah Cannosian Convent di minta untuk tidak menghadirinya. Malahan pernah ada arahan sekolah itu dicutikan!

Bila pulang, kadang-kadang kami jalan beriring-iring pergi dengan pelajar Sekolah Tinggi. Sambil berjalan pulang ke Stesyen Bas Segamat ada-ada sahaja yang dibisikkan [gossip] oleh rakan-rakan kami yang memerhati pelajar lelaki dari Sekolah Tinggi.

"Yang baju biru tu..jangan sesekali di tegur"
"Kenapa?"
"Nanti dia akan berkempen tidak berhenti-henti supaya kita pergi membeli di kedai kain bapanya!"

Sambung rakan lagi.

"Dia akan berkata bahawa suatu hari nanti dia akan mengambilalih perniagaan bapanya. Dia akan menjadi mengedar textile yang terkenal di seluruh Malaysia. Adik beradiknya akan menjadi pengurus di setiap negeri. Dia bercita-cita juga untuk mempunyai gedungnya sendiri ! He..he letih kita mendengarnya nanti"

"Waaah...Besarnya harapan dia. Mudah-mudahan Allah makbulkan dan tiada menghairankan jika ia terjadi.." . Saya kagum di dalam hati.

Rakan yang lain berbisik-bisik lagi.

"Yang handsome kening bercantum tu..awak kena berhati-hati. Dia begini, begini dan begini..."
Mendengar sahaja. Tidak boleh di sampuk-sampuk. Persisnya lelaki kening bercantum itu jahat sekali! Jangan cuba di hampiri. Amaran yang tegas lagi jelas! Tiada kompromi.

Yang itu...yang ini, yang besar, yang tinggi...bosan! Satupun tidak masuk ke dalam hati! Langsung tidak memberikan faedah kepada diri. Hairan ya? Bagaimana mereka mendapatkan berita atau memang telah tertakdir bahawa bakat itu telah ada sejak azali? Betul juga, jika tiada spesis seperti itu..majalah hiburan tidak akan laku!

Tetapi apabila pelajar lelaki hansome yang keningnya bercantum itu datang menegur kami, tiba-tiba rakan yang kaki gosip tadi tersipu-sipu terus melayan. Entah bila agaknya dia meninggalkan saya berjalan sendirian.

Macam itulah agaknya kata peribahasa - "Lebih sudu dari pinggan"

Tuesday, August 11, 2009

Kera Trojan

Cerita yang tidak benar dengan mudahnya akan tersebar.

Entah mengapa orang dengan sewenang-wenang sahaja boleh mempercayainya. Seorang demi seorang rakan satu bas mulai menjauhkan diri dari saya. Jahat betul rupanya persepsi orang terhadap diri ini.

Mereka tidak sekali-kali menyatakannya. Tetapi saya mulai mempelajari gelagat perlakuan manusia dengan cara melihat bahasa badan dan mimik muka mereka. Cukup dengan pandangan. Sinis sekali. Tiada ucapan diperlukan.

Memang pada mulanya agak janggal juga. Bagaimanakah mereka yang tidak mengenali saya boleh menerima sesuatu berita tanpa usul periksa. Tidak masuk akal. Tetapi gosip seperti ini paling digemari. Mereka boleh bercerita dan menokok tambah asam garamnya.

Sebenarnya ada diantara mereka yang tidak tahu bahawa sayalah orang yang dimaksudkanya. Paling kelakar apabila ada seorang rakan sekolah bercerita beria-ia dengan kawan-kawannya di depan saya. Cara penceritaannya penuh perasaan. Saya yang ada di hadapan mata mereka memasang telinga dan pura-pura bertanya..

"Hish..hish..dahsyat betul. Budak mana tu?"

"Entah..kata orang dia budak Jementah"

"Dahsyat. Memang dahsyat budak Jementah tu.."
Saya paling terasa apabila rakan yang rapat dengan saya juga percaya dengan tohmahan itu. Ingatkan rakan inilah yang akan menceritakan perkara yang sebenar. Tersasar! Tidak tahu dengan siapa harus saya terangkan. Di mana hendak dimulakan.

Hampir beberapa minggu terasa diri di pulau. Sedih dan sebak.

Rasanya seperti seekor kera yang di simbah cat di atas kepalanya. Lalu, kera tersebut dinamakan kera Trojan. Kerana peliknya rupa si kera itu, lalu rakan-rakannya melarikan diri. Tidak mahu berkawan. Tinggallah si kera seekor sendirian lantas menghilangkan diri keluar dari hutan. Eh! betul ke ada perumpamaan seperti kera Trojan? Atau macam kera sumbang?

Namun, saya cepat menerima segala kejadian sebagai suatu tauladan. Terlajak perahu boleh di undur, terlajak kata...Itulah padahnya!

Setiap kejadian sebenarnya mengajar kita agar berfikir sebelum berkata-kata dan merenung akan akibatnya. Jangan melakukan sebarang perkara sesuka hati. Muasabah diri.

Ikut hati, mati!
Ikut rasa, binasa!

Mulai hari itu saya belajar agar bercakap apabila perlu sahaja. Jangan menggunakannya untuk perkara yang sia-sia.

Ya Allah ya tuhanku. Ampunkanlah segala dosa-dosa yang telah dilakukan samada secara terang atau yang tersembunyi. Yang dilafazkan atau yang berbisik di dalam hati.

Ampunkanlah segala dosa, samada yang besar atau yang kecil. Yang disengajakan atau yang tidak disengajakan.

Sesungguhnya Ya Allah. Daku jahil di dalam kejahilanku. Daku fakir di dalam kefakiranku. Lemah lagi tidak berdaya. Hanya pada-Mu ku berserah. Tempat ku memohon pertolongan.

Ampunkanlah..ampunkanlah.

Monday, August 10, 2009

Bas Sekolah 2

Pagi Isnin , saya bernekad untuk menaiki bas sekolah itu. Tetapi di halang oleh tuan punya bas. Saya katakan kepadanya bahawa permit bayaran bulanan saya masih ada sehingga hujung bulan. Hari ini dan esok.

Tuan punya bas berkeras dan tidak mahu juga membenarkan. Lalu, saya toleh ke belakang lantas memberitahu rakan-rakan di dalam bas dengan kuat dan bersahaja.

"Saya bayar tambang bas ini secara bulanan tetapi tiada tempat duduk diperuntukkan. Saya terpaksa berdiri hampir setiap hari. Bulan ini saya masih ada lagi dua hari untuk menaiki bas ini. Tetapi awak semua lihat...saya dihalang"

Kemudian saya terus turun dari bas tersebut dan menaiki bas awam untuk ke sekolah. Saya melihat kelibat rakan-rakan satu bas memandang saya pergi dengan perasaan belas. Saya tidak peduli biar apa yang mereka fikirkan kerana bagi saya yang penting kita menegakkan kebenaran. Lagi pun, tuan punya bas yang terlebih dahulu memalukan saya di depan mereka.

Sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan merana.. Akibatnya setiap pagi, berpeluh-peluh saya berjalan dari Stesyen Bas Segamat menuju ke sekolah.

Suatu pagi semasa duduk di kerusi paling hadapan di dalam bas awam, seorang pelajar lelaki berbangsa xxxx datang kepada saya membawa helaian kertas yang telah penuh ditandatangani. Siapa yang menandatangannya tidak begitu saya peduli. Saya cuma bertanya :

"Ini untuk apa?"

"Persetujuan untuk memohon bas awam membawa pelajar dari Jementah terus ke sekolah-sekolah"

"Hingga ke Sekolah Menengah Seg Hwa?"

"Ya"
Sekolah Menengah Seg Hwa adalah sekolah yang paling akhir di dalam siri perjalanan bas sekolah pelajar-pelajar dari pekan Jementah. Sekolah Menengah Cannosian Convent terletak di antaranya. Kedua terakhir. Saya bersyukur bercampur lega.

"Bila perjalanan bas awam akan bermula?"

"Awal bulan hadapan"

Alhamdulillah Hi Rabbil'alamin! Allah memudahkan segala urusan. Kami mempunyai pilihan yang lebih baik dari yang sebelumnya. Bulan-bulan pertama yang berjaya!

Suatu pagi yang tidak di sangka-sangka, saya di panggil oleh pejabat pentadbiran untuk berjumpa dengan Penolong Guru Besar, Hal Ehwal Murid. Beliau memberitahu bahawa terdapat dakwaan daripada seorang pengusaha bas yang menyatakan saya melarikan diri dari membayar tambang bas bulanan. Terkejut!

Allah membantu saya kerana bukti kad bulanan masih berada di dalam tangan. Lalu, saya tunjukkan kepada cikgu untuk di buat salinan pedua. Setelah cikgu mengambil keterangan, tiada tindakan yang dikenakan terhadap saya.

Beberapa hari kemudian, mak pula memberitahu saya perkara yang sama. Penjelasan yang sama saya berikan. Tiada apa yang ditakuti. Tiada apa yang hendak disembunyi. Semuanya mempunyai bukti.

Berani kerana benar!

Beberapa bulan kemudian saya mendapat perkhabaran bahawa terdapat pelajar yang membuat bantahan tentang penyelewengan bayaran tambang bulanan yang dilakukan oleh tuan punya bas sekolah itu. Entahkan betul entahkan tidak, mereka dikatakan menulis surat kepada bahagian pengangkutan. Membuat bantahan secara beramai-ramai dengan menurunkan tandatangan [?]. Dimaklumkan permit tuan punya bas sekolah telah dibekukan.

Saya tidak berani untuk mengesahkan khabar-khabar angin sedemikian rupa. Sukar juga untuk di percaya sumber penyampaiannya. Mungkin juga saya adalah penerima berita yang entah ke berapa puluh orang agaknya.

Kenapa saya katakan begitu? Kerana di hujung cerita saya mendapat tahu bahawa perancang operasi atau 'Mastermind' yang licik itu rupa-rupanya orang itu adalah saya...

Astagfirullah! Tiada siapa yang mengetahui kejadian yang ghaib di langit dan di bumi melainkan Allah. Ampunkan saya Allah.

Friday, August 7, 2009

Bas Sekolah

Betulkah tingkatan empat musim 'Honeymoon?' Entah! Rasanya serba serbi pada tahun itu bermasaalah. Ada sahaja yang tidak kena kepada diri saya.

Terdapat dua pilihan menaiki bas untuk ke sekolah. Jika menaiki bas awam, ia akan berhenti setakad di stesyen bas dan kami terpaksa berjalan kaki lebih kurang 800 meter untuk ke sekolah.

Pilihan kedua adalah bas yang di bayar khas secara bulanan yang menghantar kami terus ke pengkarangan sekolah. Samada cuti atau kami hanya menaiki untuk perjalanan satu hala kerana ada latihan selepas waktu persekolahan, bayarannya tetap sama. Bayaran perlu dilunaskan terlebih dahulu.

Saya memilih pilihan ke dua.

Namun, setiap pagi tempat duduk bas yang dinaiki sentiasa penuh. Saya terpaksa berdiri dari pekan Jementah hingga ke sekolah. Hanya sekali sekala sahaja saya berjaya mendapat tempat duduk. Itupun kerana saya 'bercuti solat ' untuk seminggu. Minggu-minggu berikutnya saya terpaksa berdiri lagi. Pulang dari sekolah juga mengalami keadaan yang serupa.

Suatu hari saya menyatakan perasaan ketidakpuasan hati kepada tuan punya bas. Hari itu adalah hari Jumaat. Hanya sekolah convent sahaja yang bersekolah di daerah Segamat. Saya amat berhati-hati untuk berkata-kata untuk menjaga air muka. Memilih perkataan yang paling lembut dan halus lagi bersopan untuk digunakan.

Saya katakan sepatutnya bagi yang membayar secara bulanan diperuntukkan tempat duduk untuk mereka. Ini kerana saya dapati mereka yang mendapat tempat duduk membayar tambang setiap hari.

Perjalanan dari Jementah ke Segamat dengan berhenti-henti mengambil penumpang mengambil masa satu jam. Ia perjalanan yang menyeksakan kerana tuan punya bas mengambil penumpang dan memenuhkan basnya selagi boleh di isi. Kami yang terpaksa berdiri sejak dari awal lagi semakin lama semakin terperesuk ke dalam. Sesak dan melemaskan!

Lagipun hampir setiap minggu di sebelah petang terdapat kegiatan kokurikulum yang perlu dihadiri. Jadi saya mohon cadangan diskaun untuk setiap perjalanan sehala.

Entah apa sebabnya tuan punya bas melenting tidak semena-mena. Dia meninggikan suara.
"Haiya! Lu ingat ini bas bapak lu punya ka? Mana boleh itu macam. Mau kasi wa bangkrap ka?"

"Kalau begitu, bulan ini adalah bulan terakhir saya menaiki bas ini"

"Ooi..lu sudah bayar tambang ka ooi ?"

"Mestilah sudah bayar, pada awal bulan. Kad pas bulanan ini jadi bukti. Sekarang hanya tinggal dua hari lagi"

Perbincangan yang pada mulanya harmoni tiba-tiba menjadi tegang. Tuan punya bas benar-benar meradang! Rakan satu bas semuanya diam tunduk memandang ke bawah atau buat endah tidak endah. Pasti mereka kecut perut mendengarnya!
"Nanti wa beritahu lu punya mak dengan lu punya cikgu.. Lu mau ka?"

Alhamdulillah. Ketetapan tuhan, bas telahpun sampai di pengkarangan sekolah. Masih berkeras dan tidak mahu beralah. Saya turun dari bas. Menjawab lantang tanpa menoleh ke belakang.
"Pergilah beritahu mereka kalau awak berani. Bangkraplah awak punya bas tidak lama lagi!

"Oooi! Oii! Kurang ajar itu budak!

Wednesday, August 5, 2009

Canossian Convent 2


Pagi-pagi lagi saya terpaksa bangun. Jerang air untuk mandian dan sarapan. Sambil bersiap untuk ke sekolah saya menanak nasi. Sambal tumis ikan bilis sudah saya sediakan disebelah malam.

Kadang-kadang saya hanya mengoreng telur mata kerbau atau telur dadar. Paling tidak hanya ikan bilis campur gorengan bawang. Saya tidak begitu berkira sangat asalkan ada membawa bekalan ke sekolah. Selebihnya ditinggalkan untuk Tuti dan Ratna bagi mengalas perut sebelum mereka ke sekolah.

Balik dari sekolah sebelah tengahari nanti, pasti ada masakan yang mak bekalkan atau di masak oleh Tuti dan Ratna.

Pada mulanya saya tidaklah begitu cerewet untuk membeli makanan di kantin sekolah. Tetapi apabila saya dapati tawkey kantin bukannya seorang muslim, tekak saya tiba-tiba sahaja tidak mahu menerima makanan yang disediakan oleh mereka. Saya fikir hanya saya seorang sahaja yang berperasaan begitu, rupa-rupanya ada beberapa rakan sekelas yang mengalami perasaan serupa.

Seperti saya, rupa-rupanya mereka juga makan bekalan secara sembunyi-sembunyi. Malu! Takut dikatakan sebagai seorang yang daif dan tidak mampu! Atau budak kampung yang kolot. Semuanya hanya diketahui apabila kami terserempak sesama sendiri semasa sedang mencari tempat untuk makan bekalan di celah-celah rimbunan pokok bunga-bungaan.
"Ya Allah! Awak pun bawa bekal! He..he cuba menyorok ye?"

"Lauk apa hari ini?"

"Sambal goreng tempe. Awak?"
"Telur dadar.."
Lalu, kami duduk bersama menghabiskan bekalan yang di bawa dengan perasaan yang hina dina. Tiada kata-kata. Kadang-kadang kami berbincang bagaimana hendak menarik perhatian sekolah itu kerana kami benar-benar terasa seperti pelajar kelas ke dua. Kumpulan kami sering diasingkan dengan penggunaan perkataan "We all" dan "You all" atau "sekolah ini" dan "sekolah kamu."

Seboleh mungkin, seluruh kelas kami cuba menunjukkan bahawa kami adalah sebahagian daripada pelajar Canossian Convent. Kadang-kadang kami tertanya kenapa tidak digunakan perkataan yang sama. Kampung sangatkah kami pada hemat mereka? Hampir setengah tahun kehadiran kami seolah-olah masih belum di terima.

Mungkin mereka tidak berniat begitu tetapi perasaan kami terasa seperti itu.

Namun, kami amat berterima kasih kepada guru-guru yang ditugaskan untuk mengajar di kelas kami. Kepada merekalah tempat kami mencurahkan perasaan dan masalah. Mereka melayan kami seperti kawan.

Di dalam keterasingan, rupanya masih ada yang sayang.

Tuesday, August 4, 2009

Canossian Convent

Kali pertama mendengar dan menyebutnya, hati bergetar. Terasa semacam suatu ketakutan. Kata orang sekolah itu tidak menuturkan bahasa ibunda. Bahasa Inggeris adalah bahasa penyampaian di dalam semua mata pelajaran. Kesemuanya pelajar perempuan!

Saya mulai terasa amat kecil sekali. Rata-rata pelajar melayu di sekolah itu masih memakai uniform gaun biru aqua sekolah menengah walaupun telah berada di tingkatan empat. Hanya kami sekolah-sekolah dari kampung yang memakai baju kurung secara tetap.

Hari pertama, kami dikumpulkan di ruang legar kantin sekolah. Sekolah itu kelihatan begitu 'compact' sekali. Tiada padang. Halaman hadapan sekolah menghadap sebuah gereja yang besar. Di mana-mana terdapat gambaran patung perempuan yang sedang memeluk anaknya.

Kami berbaris sambil mendengar pembahagian untuk agihan kelas. Cikgu memanggil nama dan memasukan kami di dalam suatu barisan untuk membentuk kumpulan kelas. Bermula dengan kelas yang tertinggi. Di dapati kesemua pelajarnya terdiri daripada pelajar asal sekolah itu. Kami terus menunggu.

"Ok. Now for the 4 Science 2 group.."
Setelah beberapa lama menunggu, baru terdengar nama saya di sebut. Di masukkan ke dalam kumpulan Kelas 4 Sains 2. Setelah dikumpulkan, kami di bawa ke dalam kelas oleh pengawas sekolah. Kelas itu berada di tingkat satu, betul-betul di atas kantin sekolah.

Tersentak besar apabila terpandangkan sebuah lambang salib di letakkan di dinding berhampiran dengan papan hijau. Maknanya, setiap kali kami memandang ke hadapan pasti objek itu dengan jelas akan kelihatan.

Di dalam kelas kami mulai berkenalan dan bersalaman di antara satu sama lain. Dari situ barulah saya tahu bahawa kami kebanyakan datangnya dari sekolah-sekolah kampung. Semua dikumpulkan di dalam kelas itu.

"Awak dari sekolah mana?"

"Sekolah Menengah Batu Anam"

"Awak pula?"

"Labis"

"Awak?"

"Tenang Stesyen"

"Cha'ah"

"Saya dari Sekolah Menengah Jementah"

Rata-rata saya bertanya kebanyakannya adalah antara pelajar terbaik dari sekolah-sekolah mereka. Mereka juga seperti saya, terpaksa berpindah ke sekolah baru kerana di sekolah kampung kami masih belum ada kelas aliran sains diajarkan.
"Kenapa kita semua berkumpul di kelas ini? Tidak layakkah di antara kita memasuki 4 Sains 1?"

Tiba-tiba perasaan diskriminasi menyapa di hati kerana keputusan SRP rakan-rakan baru saya didapati agak cemerlang juga. Mereka juga seperti saya, tertanya-tanya. Lalu, di dalam diam-diam saya pergi berjumpa guru penolong kanan untuk bertanya bagaimanakah kriteria pemilihan kelas di buat. Saya bernekad hanya untuk bertanya semata-mata. Bukannya membantah dengan keputusan pihak sekolah.

Sebelum pergi saya berfikir sebentar patah-patah ayat dan susunan perkataan yang akan dituturkan. Ah! Kenapa perlu bimbang kerana itu bukanlah bahasa semasa saya dilahirkan. Ramai bangsa asing yang bertutur di dalam bahasa itu tanpa nahu yang betul. Tetapi mereka menyuarakannya dengan yakin sekali. Tiada siapa yang peduli.

Saya cuba bertutur di dalam bahasa Inggeris yang pelat. Rasa seperti tersekat-sekat. Lidah saya bagaikan melekat di atas lelangit. Tergeliat!
"Excuse me sir..I just wonder, how do you select the criteria for the 4 science 1?"

"Those with an excellence result"

"What do you think about this result? It's look excellence to me...Could you please at least consider.."

Lancang! Dalam terangkak-rangkak terasa memang lancang serta tidak tahu di untung. Bebal !

Hari pertama persekolahan saya telah menyalakan sebatang mancis dan dengan tiada perasaan belas telah mencampakkannya ke dalam seberkas jerami padi kering di tengah kedamaian sawah. Pasti ia akan terbakar walaupun baranya tidak kelihatan. Seperti api di dalam sekam.

"Oh..In our school's policy, we'll given our own student [convent] a first priority!"

Monday, August 3, 2009

Honeymoon


Saya pernah mendengar orang menyatakan bahawa tingkatan empat adalah musim "Honeymoon" bagi sesetengah pelajar. Penuh dengan kemanisan. Setakat mana yang dikatakan manisnya bulan madu itu tidaklah saya tahu. Tidak terjangkau dek akal fikiran.

Namun, bagi saya semasa di tingkatan empatlah bermulanya segala macam pengalaman baru. Saya mula terfikir-fikir bagaimanakah untuk mencari kenderaan ke sekolah. Bas hanya akan bertolak awal pagi dari pekan Jementah.

"Awak pindah dahulu ke rumah baru kita di pekan Jementah"

"Abah kata rumah itu belum lagi dimasuki eletrik?"

Soalan bermain di dalam fikiran saya apabila mak mencadangkan agar saya berpindah ke rumah murah kami yang belum diduduki di pekan Jementah. Kata mak, abah telah lama membelinya. Bertahun-tahun yang lalu tetapi projek perumahan itu terbengkalai sejak sekian lama.

Rumah murah kami kecil sahaja namun ia sebuah rumah teres batu 'Semi-D' berhampiran dengan pekan. Hanya beberapa meter dari Sekolah Menengah Jementah. Ia terletak di tepi jalan besar. Saya hanya perlu menunggu bas di situ. Lalu, saya bersetuju.

Hanya saya, Tuti dan Ratna berpindah ke rumah baru yang masih kosong itu. Hanya kami bertiga. Tingkatan empat, tingkatan dua dan tingkatan satu. Memandangkan kenderaan adalah isu utama persekolahan, kami akur tanpa bantahan. Abah dan mak juga amat tabah membenarkan anak-anak gadis mereka yang remaja tinggal bersendirian. Berbagai-bagai pesanan yang ditinggalkan.

"Jangan sekali-kali membuka pintu pagar jika dikunjungi oleh orang yang tidak dikenali"

"Jika ada apa-apa masalah, segera beritahu dan meminta bantuan dari jiran-jiran sebelah"

Tiada perabot dan tiada eletrik lagi. Bekalan paip air masih belum memasuki rumah itu tetapi terdapat saluran paip air berhampiran meter air di laman hadapan. Di situlah kami mendapatkan keperluan air untuk minum dan mandi. Kami mengangkutnya bergilir-gilir menggunakan baldi.

Terasa seperti 'Main pondok-pondok' namun disertai dengan tanggungjawab yang besar.

Mak dan abah bekalkan kami sebuah dapur minyak tanah, periuk nasi, kuali kecil dan sedikit bahan bekalan makanan mentah. Sebuah lemet hamparan untuk tidur dan beberapa biji bantal. Sebuah pelita ayan dan beberapa kotak lilin menerangi malam.

Apabila berbaring-baring menghadap siling di dalam kegelapan dan kepanasan malam, kami sering bercerita tentang Ayu, adik perempuan kecil kami yang sering kami rindui. Kami paling suka bercerita tentang bantalnya.

Kami bercerita tentang cerita suka duka di zaman nakal, cerita tentang basikal, pokok, sungai dan segala-galanya. Kadang-kadang kami ketawa dan kadang-kadang kami berduka. Selalunya cerita-cerita kami akan berakhir dengan air mata.

Masing-masing dengan tidak semena-mena akan terdiam di dalam kesunyian malam apabila ada cerita yang tersentuh hati dan perasaan. Ia suatu perasaan kerinduan. Rindu. Perasaan rindu kepada kehidupan zaman kanak-kanak yang lalu. Zaman yang hampir berlalu.

Sekali air bah, pantai berubah.

Kehidupan di rumah , perjalanan dan sekolah baru adalah sebahagian daripada pelajaran yang Allah ajarkan untuk memantapkan pengalaman. Ia merupakan sebuah kitab besar mengenai kehidupan yang helaiannya masih tebal dan belum terbuka. Penuh misteri dan masih rahsia . Jika diizinkan Allah Taala setiap chapter pasti akan dapat di baca. Jika tidak, chapter itu hanya merupakan sebuah kitab yang nipis sahaja. Ia ketentuan tuhan!

Tetapi, isi kandungan dan bacaannya hanyalah dapat di nilai dengan membacanya secara ke belakang. Di selak dengan cara mengamati semula untuk menilai keindahannya. Namun, kehidupan itu tidaklah selalunya indah. Madu yang manis bunyinya oleh sesetangah orang namun ia pahit di telan oleh pihak yang lain ketika melaluinya.

Subhanallah! Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang tidak kita ketahui. Bukalah matahati untuk melihatnya!

Saturday, August 1, 2009

Sangkak Ayam


Sudah lama saya memerhatikan perlakuan Mak Wa dengan anak-anak ayamnya yang baru menetas. Saya melihat Mak Wa menggunakan bekas anyaman daripada buluh yang kami panggil "Sangkak". Penggunaannya pelbagai.

Semasa ibu ayam sedang mengeram, sangkak digunakan sebagai tempat ia mengeramkan telur sehinggalah menetas. Ketika itu, sangkak tersebut akan dimasukan jerami sabut kelapa dan kain-kain buruk sebagai alas. Corong yang terbuka dihalakan ke atas.

Setelah anak-anak ayam menetas, corong terbuka sangkak akan diterbalikkan menghala pula ke bawah sebagai sangkar kepada ibu dan anak-anak ayam yang baru menetas. Anak-anak ayam akan dilepaskan apabila bulu kepaknya mulai tumbuh di badan. Bertempiaranlah anak-anak ayam sambil mengepak-gepakkan sayap di badan.

Saya mulai terfikir, suatu masa nanti pasti suasana seperti itu bakal terjadi. Umpama anak-anak ayam yang dilepaskan. Apakah mereka telah cukup persiapan? Tiada musang atau anjingkah yang sedang mengintip? Berjayakan anak-anak ayam itu nanti melintasi jalan untuk pergi ke seberang?

Ya. Tingkatan empat, saya bakal bersekolah di Sekolah Menengah Canossian Convent di Segamat. Apakah saya akan selamat di sana nanti? Dengar kata bahasa penghantar bukan bahasa ibunda. Tidakkah nanti tergeliat lidah saya? Tidakkah nanti saya seperti beruk mendapat bunga?

Saya harus menjadi seperti 'Sangkak ayam' yang boleh digunakan untuk pelbagai keadaan. Semuga Allah sentiasa bersama kerana itulah pilihan saya!

Foto ihsan : serunaifaqir72.fotopages.com