Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Showing posts with label Anak-anak. Show all posts
Showing posts with label Anak-anak. Show all posts

Monday, August 30, 2010

Pulang beraya


Saat yang paling seronok apabila berjauhan, tentulah ketika pulang menemui keluarga.

Saya pernah merasai keseronokan itu ketika di universiti, semasa pertama kali berjauhan dengan keluarga. Seronok pulang berhari raya. Seronok membawa pulang suami dan anak-anak ke kampung halaman saya. Seronok apabila pulang dari luar negara.

Dahulu, sepanjang perjalanan pulang keceriaan dinyatakan dengan memutarkan lagu-lagu berunsur kerinduan kepada kampung halaman, kemeriahan hari raya dan sebagainya. Lalu, masa yang berlalu dan usia yang tinggal meminta saya mengubah amalan itu.




"Adakah awak semua mengucap dua kalimah syahadat dan berdoa sebelum berangkat pulang?"

"Adaaaa..."

"Ok. Alhamdulillah. Apakah yang awak buat disepanjang perjalanan pulang?"

Jawapan yang kedengaran adalah pelbagai. Tidur, adalah agenda utama. Mereka tidak menjadikan membaca sebagai amalan biasa.

"Tidur?"

"Zikir, puan...kami berzikir."

"Baik. Alhamdulillah. Jika betul apa yang dikatakan itu. Tetapi jika apa yang dilafazkan itu semata-mata kerana kamu mempersenda-sendakan agama Islam, atau berdusta dalam menyatakan yang bukan menjadi amalan, maka hari ini kamu harus menjadi saksi dan jawablah ketika di hari pembalasan nanti."

Mereka terkedu.

"Ada tak antara kamu yang mendengar walkman atau MP3?

"Adaaaa.."

"Kalau boleh..perdengarkan ayat-ayat al-quran. Bukannya apa..bimbang nanti sekiranya pakcik yang memandu bas itu tekan break serta-merta atau ada kemalangan berlaku...Kalau kita sedang tidur, takut tidak sempat mengucap. Atau kalau kita sedang mendengar muzik atau lagu-lagu, takut nanti ucapan terakhir yang keluar dari mulut kita..."

"Laillah..haillallah"

"Bukan..takut terkeluar perkataan akhir kita adalah " Oh babe!"

Mereka tergelak besar.

Itulah pesanan yang diingatkan kepada anak-anak saya yang bakal pulang untuk beraya di kampung halaman nanti. Barangkali perasaan keibuaan itu terbawa-bawa ke dalam kelas. Ya Allah, berlebih-lebihankah saya?


Friday, April 16, 2010

Selamat pagi Malaysia

Juruterbang mengumumkan jangka masa ketibaan sejam sebelum mendarat di lapangan terbang. Kami bersiap-siap, mengemas barang yang dibimbit tangan. Jam di tangan masih menunjukan waktu di United Kingdom. Cepat-cepat kami tukar kepada waktu Malaysia supaya minda kami cepat bertindak, berubah pantas mengikut waktu tempatan!

Selamat pagi Malaysia!

Sementara menunggu bagasi sampai, kami mengemas diri dalam bilik air berhampiran. Menyarung semula sut agar kelihatan seperti orang baru pulang dari luar negara. Saya ikat semula skaf dileher dan sematkan kerosang diatasnya. Ah, menawan! Anak-anak masih meronta-ronta, namun akur apabila melihat saya mula menyinga!

“Pakai setokin dan jaket itu!
Selepas memunggah beg ke atas troli, kami cepat-cepat menuju ke balai ketibaan. Dari jauh kelihatan abah dan emak sedang menunggu. Kami bersalaman dan berpelukan.

Suasana sibuk dan padat dengan manusia, membuatkan kami mengelepar kepanasan. Peluh menitik, merecik ke seluruh badan. Terasa bahang yang membara. Suami sibuk sekali berulangalik menguruskan begasi dan kelihatan dia mula menanggalkan sut dibadannya.

Saya? Masih dengan sut sedondon untuk mempertahankan gaya, walau peluh menyimbah mengalir terasa dari hujung rambut hingga hujung kaki. Anak-anak? Saya biarkan sahaja emak menanggalkan pakaian mereka. Hanya tinggal seluar sekeping tanpa pakaian jenama luar negeri! Pipi mereka merah menyala.

Alhamdulillah! Allah masih meminjamkan sedikit masa lagi kepada saya untuk bertemu mereka. Azrai bagaikan tahu yang abah itu adalah datuknya. Tanpa kekok, dia terus memeluk tengkuk abah. Abah ketawa gembira.

“Azrai! Ini atok”

“Atok-atok.”

Azrai memanggil atoknya dengan perkataan berulang.

Dalam kereta, suami memberitahu kepada saya;

“Yang, pasport saya hilang. Di terminal tadi, masih ada dalam poket sut itu.
Terjatuh agaknya semasa saya menanggalkannya.”

Barangkali dalam kalut-kalau, suami tidak perasaan passportnya keciciran. Kereta kebangaan Malaysia jenama Proton Saga Abah terus meluncur laju tanpa peduli dilema yang sedang kami hadapi.

Kami dibawa oleh abah ke rumah sewa lama di Subang Jaya. Kata abah, menurut adik ipar, rumah itu akan dijual oleh pemilik rumah. Sesak. Wan, Kak Yah sekeluarga, adik-adik kandung dan adik-adik ipar memenuhi rumah teres kecil itu. Ayah tidak dapat datang kerana masalah kesihatan. Perjalanan jauh dari Besut ke Subang Jaya tidak sesuai malah tidak selesa untuknya.

Melihat anak-anak tanpa pakaian, sedangkan saya masih bertahan dengan sut sedondon dibadan, memang benar membuatkan terlopong mulut mereka sebagaimana dijangka. Dari raut wajah mereka bagaikan dapat dibaca. Pasti dalam hati mereka bukannya kagum malah berkata yang maksudnya begini;

“Ya Allah, panas-panas buta masih pakai sut hitam tebal sedondon dengan skaf
tercekik dileher! Sudah buang tabiatkah agaknya?”

Dari Besut, wan membawa bekalan makanan kegemaran untuk anak lelaki sulungnya yang baru pulang dari luar negara. Kerutup daging, nasi dagang serta ikan aye [tongkol]. Enak dan berselera!

Azrai mengemari tapai pulut yang dibungkus dengan daun getah tiga serangkai. Air tangan wan memang menjadi. Tapai itu masak tepat pada masanya. Sesekali saya melarang Azrai yang tidak henti-henti membuka bungkusan tapai satu persatu. Lalu, saya bersuara:

“Azrai, cukup! Nanti sakit gigi”
“Atok-atok, I want some more please [saya hendak lagi] ”

Azrai bagaikan tahu ke mana tempat dia boleh mengadu serta menagih simpati apabila ibubapa tidak dapat diharapkan. Azrai berlari mendapatkan datuknya.

Tapai pulut yang dibungkus dengan daun getah tiga serangkai masih kemas dalam tangan. Masih tidak mahu dilepaskan. Wan dan emak ketawa kecil melihat gelagat Azrai yang cuba berlindung dibelakang atuknya.

“Atok-atok, help me. Help me… please [tolong saya]”

Betapa Azrai kelihatan mengada-ngada sekali. Lebih selesa dengan bahasa pertuturan harian diluar negara hingga tidak menggunakan bahasa ibunda. Bahasa ibunda yang difahami tetapi tidak dapat dituturkan dengan lancar.

Tiba-tiba, saya terkenangkan mak wa.

Thursday, April 8, 2010

Pulang

Saya menyediakan sepasang Sut hitam untuk suami. Sara memakai gaun kembang berjahit “Smoking” di dada jenama Laura Ashley. Azrai kelihatan comel sekali dengan dungarees denim jenama Osh Kosh.

Saya memakai pakaian sut berseluar panjang berwarna hitam sedondon warna beg jenama Bally. Saya rapikan lagi dengan mengikat sehelai skarf sutera buatan Italy ditengkuk sebagaimana saya mencadangkannya kepada pelanggan. Brooch mewah berkilau bertatah kristal menambah gaya.

Kami semua menyarung kasut jenama Clarks. Saya menyarung kasut tumit tinggi jenama sama yang dibeli semasa jualan penghabisan stok diakhir musim, potongan 70% . Tingginya satu setengah inci. Terasa ranggi!

Puas! Perasaan saya berbunga-bunga melihat suami dan anak-anak kelihatan segak bergaya. Berbaloi sekali duit gaji, penat jerih bekerja setahun di rantau orang. Melihat gaya, penampilan kami memang selayaknya sebagai keluarga yang pernah menetap di luar negara.

Pasti kaum keluarga berbangga melihat kami sebaik sahaja keluar dari balai ketibaan antarabangsa di lapangan terbang Subang, Malaysia nanti. Pasti mereka memuji dalam hati, jika tidak pun akan terlopong mulut mereka. Oh! Tidak sabar rasanya melihat itu bakal terjadi.

Kami menaiki pesawat pada pukul 2 petang dari Edinburg, Scotland berlepas ke Lapangan Terbang Heatrow di London. Dari London kami akan menaiki pesawat MAS ke Kuala Lumpur pada pukul 9.00 malam. Bermakna kami mempunyai masa 4 jam transit sebelum mendaftar masuk pada pukul 7 malam.

Sebaik sahaja sampai di Heatrow pada pukul 3 petang, seorang rakan yang sedang belajar di London menunggu kami sekeluarga untuk dibawa ke rumah mereka di zon 4. Walaupun kami menolak secara baik, beliau tetap bertegas dengan keputusannya. Lalu, kami menaiki metro [keretapi bawah tanah] ke sana.

“Kami sekeluarga terhutang budi kepada tuan. Kami tidak lupa bagaimana tuan boleh mempelawa kami sekeluarga yang tidak dikenali menumpang bermalam dan menyediakan makanan nasi panas di rumah”

“Ah, perkara kecil sahaja”

“Ya Allah.. Kami sekeluarga tersadai ditengah ribut salji tanpa mengenali sesiapa di Scotland. Memang kerja bodoh! Nasib baik kami berjumpa tuan…”

“Alhamdulillah. Itu bantuan dari Allah, bukan kerana bernasib baik”

Manusia sering mengatakan mereka bernasib baik apabila terlepas dari sebarang bencana. Tetapi bukankah mereka meratap-ratap, merintih-rintih malah merayu-rayu dalam hati kepada Allah yang maha pengasih apabila berada dalam kesusahan serta duka nestapa? Benar, manusia sering terlupa.

“Dan rahsiakanlah perkataanmu atau lahirkanlah; sesungguhnya Dia maha mengetahui segala isi hati. Apakah Allah yang menciptakan itu tidak mengetahui [yang kamu lahirkan dan rahsiakan] dan dia maha halus lagi maha mengetahui?” [Surah Al- Mulk: ayat 13-14]

Beliau suami isteri tidak putus-putus bercerita dengan penuh kesyukuran tentang pertemuan yang tidak di sangka-sangka semasa mereka tersadai di Scotland. Itu peristiwa beberapa bulan yang lalu, kami sudah melupakannya.

Semasa mereka bercerita, kami tidak henti-henti memerhatikan jam di tangan. Dari Heathrow ke rumah mereka mengambil masa satu jam. Bermakna kami harus pergi sebelum pukul 6 petang.

Oleh itu, berbual-bual seperti itu tidak mententeramkan perasaan. Kami berkejar dengan masa. Erti kata lain, kami mesti menepati masa agar tidak terlepas pesawat seperti yang ditetapkan. Kami tidak mahu mengambil resiko. Namun, rakan itu lansung tidak dapat membaca signal bahasa badan yang dilakukan.

"Ya Allah, Tidak sempat ni.." Kami berbisik dalam hati.

Wednesday, April 7, 2010

Pulang Bangau

Seminggu sebelum pulang, ramai rakan-rakan datang bertandang ke rumah untuk mengucapkan selamat jalan. Hari-hari terakhir, rakan-rakan menyediakan makan bermula pada waktu sarapan, tengahari dan makan malam.

Saat-saat kebenaran tiba apabila kontena datang untuk memuatkan barangan yang hendak dibawa balik ke tanah air. Sampai waktunya, rakan-rakan membantu memunggah barang-barang serta kotak-kotak.

Apartment kami kembali kosong seperti mula-mula kami menjejakkan kaki ke situ. Sekosong itu hati saya. Ada antara rakan-rakan yang bertanya tentang perancangan saya apabila balik ke Malaysia.

Kosong! Tiba-tiba saya menjadi buntu apabila ditanya soalan begitu. Paling terkesan di hati apabila seorang kakak bertanya kepada saya apakah yang telah saya lakukan sepanjang saya di sini.

“Sepanjang setahun awak disini apa yang awak perolehi?”

“Er..er..”

“Awak masih muda, malah boleh bertutur dalam bahasa Inggeris. Mengapa tidak mengambil peluang untuk mengikuti kursus-kursus jangka pendek yang disediakan di sini? Sekurang-kurangnya awak memperolehi sijil dari luar negara. Ia mempunyai nilai tambah jika bekerja di Malaysia”

Terjelepuk! Saya langsung tidak terfikir untuk mengikuti kursus seperti itu. Kakak itu meneruskan lagi;

"Tahukah awak, seorang rakan kita, sebaya awak menggunakan masa yang ada dengan mengikuti pengajian perundangan secara sambilan sepanjang suaminya mengikuti pengajian Phd. Dia terus belajar hingga memperolehi Sarjana. Kini, dia menjadi majistret di Malaysia.”
Perlukah saya menjawab dan berkata bahawa saya memerlukan pinggan mangkuk, beg berjenama, pakaian, kasut lebih dari kursus yang ditawarkan? Perlukah saya terangkan bahawa wang gaji yang diterima sama banyaknya dengan wang keluar ketika saya berbelanja.

Perlukah saya katakan bahawa saya kini hanya ingin menjadi surirumah sepenuh masa? Wajarkah saya katakan bahawa saya mengambil iktibar dari cerita Katie MacKenzie? Keterlaluankah saya?

Apakah pulang saya nanti adalah seperti pulang bangau yang kembali bertenggek diatas kerbau. Sesekali terbang apabila terkena kibasan ekor kerbau yang manghalau gigitan agas.
Apakah nanti pandangan orang terhadap saya? Ah! Kenapa saya perlu takut pada pandangan orang? Kita tidak perlu menjadi orang lain kerana kepentingan pandangan semata-mata. Jadilah diri kita, walau dimana berada?

Benarkah? Apakah saya harus menunding jari mencari sebab akibat untuk menghalalkan cara atau memberikan alasan sebagaimana lagu bangau oh bangau?

Bangau Oh bangau
kenapa engkau kurus
Bagaimana aku tidak kurus
ikan tidak mahu timbul…

Jika lain kali jika ada yang bertanya, saya sudah bersedia dengan jawapan. Ya Allah. Sepanjang setahun di sini, saya telah menggunakan masa yang bermanafaat. Hampir sepanjang masa saya dapat mendakap anak. Melihat kerenah mereka, menyuapkan makan, memandikan serta menyalinkan pakaian.

Saya juga dapat menyediakan makanan pagi, tengahari dan malam untuk suami. Hampir setiap hari kami kami dapat duduk makan bersama semeja.

Saya tidak dapat melakukan perkara yang sama ketika di Malaysia. Jika saya bekerja, pagi-pagi lagi saya sudah mendukung anak yang masih tidur untuk dihantar ke rumah pengasuh. Pulang kerja nanti, saya mendukung anak lagi kerana mereka telah tertidur sementara menanti saya pulang.

Saya jarang dapat memandikan mereka pada hari-hari bekerja. Tidak dapat bermain dan bergurau senda sepanjang masa. Lebih menyedihkan lagi apabila sebutan pertama yang keluar dari bibir anak pertama, Sara Fateha adalah perkataan “Umi”. Panggilan untuk pengasuhnya.
Berbulan-bulan saya mengajar Sara agar menyebut dan memanggil panggilan untuk ibu yang melahirkannya. Sara sering mengeleng-gelengkan kepala.
“Mama, ini mama sayang…”.
Namun, panggilan umi lebih lancar dan selesa buatnya. Akhirnya saya akur dan mengalah.
Di Scotland, setiap kali saya menjemput Sara dari Play Group, pasti Sara akan memperkenalkan saya kepada guru dan rakan-rakanya. Saya puas malah berbangga.
Miss Sophie, that is my mum..[Cik Sophie, itu emak saya]”
Al-Bukhari menyebut sebuah hadis daripada Ibnu Abas bahawa baginda nabi Muhammad bersabda :
“Ada dua nikmat yang sering dilupakan oleh orang ramai. Dua nikmat tersebut adalah : nikmat kesihatan dan nikmat waktu luang”.

Saya bersyukur kerana Allah memberikan nikmat waktu lapang, nikmat kesihatan dan nikmat kelapangan dada ketika di luar negara. Lalu, nikmat Allah yang mana satukah hendak saya dustakan?

Monday, April 5, 2010

Selamat Tinggal Dundee

Lalu, dua minggu sebelum berangkat pulang ke Malaysia, saya menghantar surat perletakan jawatan kepada pengurus superstore What Everywant Wants. Beliau bertanya samada saya memerlukan sebarang keperluan.

“Boleh tuliskan saya sekeping surat rujukan majikan?

“Tentu sekali, kami berikan awak surat penghargaan”

Tiba-tiba saya terasa sebak dalam dada apabila seorang demi seorang rakan menyambut tangan dan mendakap serta mengucapkan selamat jalan kepada saya. Tiada jamuan selamat jalan. Tiada jamuan selamat tinggal.

Pengurus besar menghantar saya hingga ke pintu hadapan kedai. Dia mengucapkan sebaris perkataan yang mengesankan. Kesannya sama seperti saya meninggalkan syarikat The Boots Company Pte Ltd di Subang Jaya.
“Semuga berjaya. Kami pasti kehilangan awak”
Hari-hari berikutnya saya menghabiskan masa dengan mengemas barang. Memasukkannya ke dalam kotak berperingkat-peringkat, melebel dan mengikat. Menyusunnya sehingga penuh sebuah bilik tidur. Apartmen kami kelihatan bersepah sekali. Sementara kami sibuk mengemas barang, Sara dan Azrai juga tidak kurang sibuknya. Mereka mengumpul barangan mainan mereka.

Mana-mana jaket dan baju pakaian musim sejuk kami kumpulkan seberkas. Adatnya pelajar di Dundee akan menyimpan dan menghadiahkan kepada pelajar berkeluarga lain yang baru menjejakkan kaki ke situ. Sementara mereka membeli pakaian baru.

Cukup setahun di bumi Scotland, kami sekeluarga sudah tidak sabar untuk pulang menemui keluarga tersayang. Sudah semakin uzurkah Mak Wa. Sihatkah wan dan ayah? Masih sibuk berkebunkah mak dan abah? Sudah membesarkan adik-adik yang ditinggalkan?
“Ya Allah ya tuhanku, janganlah diambil lagi nyawaku. Berikanlah daku kesempatan untuk kembali menemui – bertentang mata serta mendakap mereka!
Masa berlalu pantas. Terasa pantas apabila telah sampai ke hujungnya!

Wednesday, January 27, 2010

Nikmat menanti kepulangan


Segala-galanya indah di Dundee, Scotland.

Apartment kediaman kami berada di tingkat satu. Tingkap utamanya menghadap ke laut. Di seberang laut itu terdapat sebuah pulau di mana terletaknya kelab golf St.Andrew. Terdapat sebuah jambatan yang menghubung di antara Dundee ke St.Andrew dikenali sebagai Tay Bridge. Dari tingkap apartment kami, jambatan dan pulau itu kelihatan jelas sekali.

Hari pertama sampai, apartment itu sibuk sekali dengan para pekerja selenggara universiti. Ada yang menukar tikar getah lantai dengan mengantikannya kepada yang baru. Seorang pekerja perempuan separuh umur datang mengemop lantai dan mencuci tandas serta menghantar bantal dan cadar. Beliau memperkenalkan dirinya sebagai Kathy. Katanya beliau akan datang mengemas dan mencuci pada setiap minggu.

Hari itu kami sekeluarga tertidur pada pukul 5.00 petang waktu tempatan. Jika melihat jam di tangan yang masih tidak ditukarkan waktu Malaysia, masanya telah mencecah tengah malam! Puas tidur, kami sekeluarga terjaga pada pukul 2.00 pagi [10.00 pagi waktu Malaysia]

“Yang, cuba panaskan ketupat rendang yang Kak Dah bekalkan”

Di dapur apartment itu telahpun tersedia periuk, kuali, pinggan mangkuk serta keperluan asas yang lain. Ia kelihatan seperti belum digunakan. Lalu, saya panaskan makanan dengan menggunakan metod double boiling. Kami sekeluarga makan dengan penuh berselera.

Minggu-minggu pertama di Dundee, rasanya seperti pergi berbulan madu bersama keluarga. Ia seperti percutian yang panjang. Segalanya kelihatan sempurna dan cantik belaka. Pemandangannya indah. Udaranya sejuk nyaman. Penduduknya baik dan ramah. Warga tuanya berjalan bertongkat sambil berpimpin tangan sesama pasangan. Kaum lelakinya memberikan laluan dan membuka pintu untuk kaum perempuan.

Sementara menunggu suami pulang dari kuliah, saya dan anak-anak akan menjalankan berbagai aktiviti. Waktu tengahari saya akan membawa anak-anak berkelah di tepi padang berhampiran dengan rumah. Walau cahaya matahari kelihatan terik, namun udaranya yang sejuk bagaikan tidak terasa bahangnya.

Di Dundee, pertama kali tersentuh hati dengan kasih suami. Perasaan dihargai sebagai seorang isteri sejati. Terutamanya apabila melihat suami membawa balik susu dan roti untuk diberikan kepada kami yang sepanjang hari menanti. Lantas, perasaan ingin menjaga keperluan suami dan anak-anak terasa amat jelas. Perasaan itu terasa amat ikhlas.

“Yang, cuba awak rasa susu segar di sini. Lemak”

Kalau dahulu, kepenatan setelah pulang dari kerja menjadikan saya seorang perengus. Merengus di dalam hati. Terutamanya apabila suami meminta mengambilkannya segelas air sedangkan dia sibuk membaca surat khabar di hadapan kaca televisyen! Bukankah kita sama-sama baru balik dan penat bekerja?

Apabila suami terpaksa menghadiri kuliah dari pagi hingga ke petang dan tidak sempat membawa pulang bekalan makanan, beliau menyarankan agar saya keluar membelinya. Letaknya hanya beberapa meter dari apartment kediaman kami.

Lalu, tiga atau empat hari sekali saya menyorong anak-anak ke kedai untuk pergi mencari bahan makanan : susu, telur, sayur , roti dan mentega. Di dalam perjalanan pulang, selalunya saya singgah di kedai menjual ikan. Mencari ikan yang paling murah sekali : mikarel. Ikan goreng adalah makanan kegemaran suami.

Daging halal hanya terdapat di kedai kecil berhampiran musolat di jual oleh peniaga keturunan Pakistan. Kedai itu pula terletak di kawasan bukit yang paling tinggi di Dundee. Jadi, suami akan membelinya apabila pergi menunaikan solat Jumaat di sana. Ia hanya di beli dua minggu sekali.

Mahasuci Allah mengurniakan perasaan unik kepada seorang isteri sepenuh masa. Perasaan kegembiraan serta keseronokan membeli bahan keperluan dapur. Ia samasekali tidak pernah saya rasai ketika di Malaysia.

Setiap petang, saya dan anak-anak akan menunggu kepulangan suami di rumah. Saya siapkan makanan minum petang merangkap makan malam. Setiap hari ada sahaja resepi yang baru dipelajari. Saya amat teruja apabila Kathy meminjamkan buku resepi makanan tradisi rakyat Scotland. Selain suami, Kathy juga akan menjadi panel penilai untuk merasa makanan dari resepi yang baru di cuba!

Saya mandikan anak-anak agar kelihatan segar dan comel di pandang. Keseronokan menjadi isteri dan ibu sepenuh masa amat terasa. Allah memberikan saya rezeki kelapangan masa untuk bersama keluarga. Ya Allah ya Tuhanku, saya bahagia!

Sunday, January 17, 2010

Gangguan Seksual 2

Saya pernah di minta untuk menemankannya melawat rakan yang berjawatan besar dari sebuah syarikat pembekal makanan terkemuka di Malaysia yang terlantar di hospital. Pernah di minta mencatat nota sewaktu temujanji makan tengaharinya di Hotel Hilton dengan CEO dari syarikat percetakan terbesar. Berbagai-bagai cara dia mencuba dan mengajak saya menemainya ke mana-mana sahaja acara lawatan rasminya.
“Bos minta awak ikut dia meeting dengan Syarikat XYZ di Legend Hotel. Dia suruh bawa sekali draf dokumen MOU nanti”
Pesanan dari Setiausaha syarikat yang tidak mampu saya tolak. Pemandu kereta juga seolah-olah bersekongkol dengan majikan.
“Bos minta you duduk di belakang”
Suatu masa dahulu, saya pernah menginginkan suatu pekerjaan yang di lihat sebagai berprestig, menaiki kereta besar serta di bawa oleh pemandu syarikat. Namun, pada saat itu saya merasa sedikit kesal walaupun sedar doa saya dikabulkan permintaannya oleh Allah.
“Ampunkan daku Ya Allah kerana menyesali dengan pemberian-Mu ini. Namun, daku tahu ya tuhan, Kau sedang mengajarku sesuatu”

Pada hemat saya, selalunya mereka bukanlah berbincang sangat tentang urusan perniagaan atau perjanjian persefahaman di antara syarikat. Barangkali, ia lebih merupakan perhubungan seorang rakan perniagaan untuk jangka panjang. Pertemuan santai.

Sebagai seorang isteri dan ibu kepada dua orang anak yang masih kecil, saya merasa sangat tidak selesa. Saya memang mengambil berat tentang apa pandangan orang terhadap saya. Tidak mahu di lihat sebagai seorang isteri dan ibu yang curang. Tidak mahu mengambil kesempatan di atas kepercayaan serta kasih sayang suami yang baik hati.

Berbanding dengan rakan sepejabat yang lain, saya amat bertentangan sekali dengan etika kerja dan values yang ada di dalam diri berbanding mereka. Banyak perkara yang tidak menyenangkan perasaan saya. Tambahan pula, pernah suatu ketika di dalam mesyuarat syarikat beliau memberikan tips kepada sekumpulan Eksekutif dan pengurus pemasaran:

“Di dalam proses untuk mendapatkan tender yang besar-besar, pastikan pelanggan mempunyai mana-mana salah satu kelemahan. Lihat samada mereka itu mata duitan, kaki minum atau kaki perempuan. Berikan pelanggan yang berpotensi itu layanan yang sepatutnya”

Ternyata ia bukan nilai-nilai yang ada pada diri saya. Hampir termuntah dan pengsan saya mendengarnya! Ya Allah, sudahkah diampunkan nasi yang di suap untuk anak-anak suatu masa dahulu lantas menjadi darah daging?

Setahun saya berhadapan dengan majikan yang bersikap sedemikian rupa. Bagi saya, beliau tidak beretika dan tidak bermoral. Malah mengalakkan pekerja melakukan apa sahaja asalkan mereka pasti mendapatkan tender perniagaan dan mencapai target jualan yang telah ditetapkan. Keuntungan syarikat berjuta-juta. Tidak hairanlah saban tahun, paling sedikit bonus yang di terima adalah 3 - 5 bulan.

Apabila saya adukan kepada suami, beliau seakan tidak mahu percaya. Barangkali beliau terpengaruh dengan budi bahasanya. Ternyata beliau memang berjaya mengabui mata suami. Di mata suami, saya seolah-olah melebih-lebihkan cerita.

Malah bukan itu sahaja, majikan saya mula memberi habuan di dalam bentuk hadiah mewah kepada saya dan suami. Beberapa kali beliau memanggil suami ke pejabat di waktu petang sebelum pulang untuk bersembang-sembang dan menunjukkan kemesraan kepadanya. Saya merasakan suami tidak menyebelahi diri ini. Akhirnya saya memberanikan diri untuk merayu kepada majikan secara berdepan:

"Saya merayu..tolong jangan ganggu rumahtangga kami, tuan. Itu sahaja yang saya ada. Anak-anak saya masih kecil lagi"

Tidak mahu terjerat lalu saya mulai menolak untuk pergi ke tempat temujanji majikan bersama pelanggan. Semakin kerap penolakan tersebut, semakin hebat cabaran yang mendatang. Terbaca di dalam terjemahan Al-Quraan, Yusuf a.s berkata:

"Wahai Tuhanku, penjara lebih aku suka daripada memenuhi ajakan mereka kepadaku. Dan jika tidak Engkau hindarkan daripadaku tipu daya mereka, tentu aku akan cenderung untuk [memenuhi keinginan mereka] dan tentulah aku termasuk orang-orang yang bodoh. [Surah Yusuf, ayat 33.]

Kuasa Allah, suami ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana ke luar negara. University Of Dundee, Scotland. Saya sedia berhenti kerja serta dengan rela hati mengikutnya. Bukankah itu yang pernah saya bisikan kepada Allah sewaktu di persekolahan rendah?

Ya Allah, jika daku tidak dapat melanjutkan pelajaran ke luar negara, temukanlah jodohku dengan sesaorang yang mampu membawaku ke situ"

Mahasuci Allah, Dia Maha mengetahui apa yang tidak kita ketahui. Yang suatu masa dahulu hanyalah lintasan hati kecil seorang budak kampung yang tidak pernah terfikir pun bahawa doanya akan dimakbulkan oleh tuhan yang maha pengasih lagi maha penyayang.

Tidak di duga, majikan mengadakan majlis perpisahan untuk saya. Sebelum ini, seluruh staf mengata di belakang bahawa saya adalah anak emas majikan. Ternyata majlis tersebut seolah-olah membenarkan kenyataan. Encik Yasin, Akauntan syarikat datang berbisik secara perlahan seraya bertanya kepada saya;

"Apa yang awak lakukan kepada boss? Selama ini staf datang dan pergi. Tiada satupun jamuan perpisahan diadakan seperti ini"
"Hati. Lakukan sesuatu dari hati, maka ia akan pergi ke hati. Dan lagi.. jangan ambil kesempatan di atas kebaikan sesaorang"


Sengaja saya katakan begitu sebagai menjawab tohmahan rakan-rakan. Petang itu, suami turut di jemput ke pejabat untuk sama-sama meraikannya. Bersama suami adalah Sara yang baharu belajar tidak memakai lampin pakai buang. Setelah bersalaman dengan semua rakan sepejabat, saya membawa suami ke bilik majikan, Pengurus Besar syarikat. Di dalam bilik majikan, saya meminta Sara bersalam serta mencium tangan majikan. Sambil tersenyum bergurau saya berkata

"Pergi salam tangan Atok tu.."

Sara segera pergi menuju ke arahnya. Tiba-tiba;

"Mama...kakak she-sheeee...."

Wednesday, January 13, 2010

Kerana Malu

Tahun ke tiga perkahwinan.

Saya merasa sangat malu dengan syarikat yang menawarkan saya bekerja selepas mengandungkan anak ke dua. Pada pandangan saya, prestasi kerja pasti semakin kelihatan berkurangan kerana hampir setiap tahun saya mengandung. Mana tidaknya, setahun yang lalu saya mengandung, tahun berikutnya ketika anak belumpun cukup setahun saya sudah mengandung lagi!

Tidak hairanlah apabila syarikat mengadakan majlis makan malam tahunan di mana semua peringkat pekerja di seluruh Malaysia berhimpun, ada yang terkejut lantas berkata:

"Hei..bukan kah awak mengandung tahun lepas?”

“Waaaa..Tenguk sini kawan, ini memang suka mengandung punya perempuan..he..he”

“Untung lah..tiap-tiap tahun boleh cuti tiga bulan ..hah..ha..”

Perut saya yang semakin membusung menjadi bahan usikan rakan. Terhiris benar hati di sebalik bibir menguntum senyuman. Biasanya saya tahan dengan lawak bodoh rakan-rakan yang sesekali berjumpa. Namun, ketika mengandungkan anak kedua, saya merasakan gurauan itu agak melampau. Saya terlalu sensitif sekali. Terluka hati!

Lalu, selepas beberapa bulan melahirkan anak ke dua, saya bernekad untuk mencari pekerjaan di tempat baru. Walau di sudut hati memang mengakui bahawa saya gembira dan mulai selesa dengan suasana di tempat kerja yang sediada.


Saa menyatakan keinginan kepada suami. Walaupun tahu suami kesempitan sumber kewangan, namun beliau langsung tidak membantah. Beliau sentiasa positif dengan apa jua keputusan yang di buat oleh saya.
Saya percaya sumber rezeki itu di tangan Allah. Setiap seorang anak Adam telah diberikan jaminan dan menetapkan rezekinya. Apabila Allah menetapkannya, tidak seorang pun dapat menghalang walau bagaimanapun usahanya. Saya percaya penuh dengan kekuasaan-Nya.


“..dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah [dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya], nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar [dari segala perkara yang menyusahkannya]. Serta memberikannya rezeki dari jalanyang tidak terlintas dihatinya. Dan [ingatlah], sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya [ untuk menolong dan menyelamatkannya].

Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu. [Surah At Talaaq: 2-3]

Lalu saya menghantar notis untuk berhenti kerja. Encik Kamal, orang yang bertanggungjawab menawarkan pekerjaan yang juga majikan saya, merasa sangat hairan dan beliau tertanya-tanya. Semasa di dalam Exit interview saya di soal :
You tahu tak, kebanyakan staf di sini bekerja lebih daripada 10 tahun lamanya. Mereka bekerja sampai pencen. Ada apa-apa perkara yang I tidak tahu? Kenapa hendak mencari kerja di tempat lain? I dah rancang career path untuk you. Syarikat ini ada succession plan

“Ya Allah. Terima kasih Encik Kamal kerana memberi peluang kepada saya untuk bekerja di sini. Saya sangat bersyukur. Namun, keselesaan membuatkan saya rasa tidak ada peningkatan diri. Tiada cabaran. Saya ingin mencabar minda dan mencari
pengalaman bekerja di luar sana”

Lalu, Encik Kamal menghormati keputusan yang dibuat. Beliau bersetuju untuk melepaskan saya pergi mencari pengalaman diri. Sebelum pergi mereka mengadakan majlis perpisahan. Sukar untuk dipercayai mengapa keputusan itu saya lakukan tanpa sebab yang kuat.
Bersama hadiah, syarikat menyampaikan sekeping surat penghargaan untuk dijadikan rujukan kepada majikan baru yang akan mengambil saya bekerja.

“Awak seorang pekerja yang bagus dan boleh menjadi aset kepada mana-mana organisasi. Datanglah bekerja semula di sini jika di luar sana tiada syarikat mahu menerima. ”

Kata-kata ketua nombor satu itu amat menyentuh hati. Ia seperti suatu lontaran boomerang yang saya lemparkan lantas ia berpatah balik. Kayu boomerang itu tidak sempat di sambut, lalu ia melantun terkena batang hidung sendiri. Sakit!

Di dalam diam saya mendoakan kesejahteraan kepada seluruh warga syarikat yang telah banyak merubah kehidupan saya. Di dalam kereta semasa perjalanan pulang, saya menoleh seketika ke belakang. Menghayati setiap huruf papan tandanama yang tertera megah di atas bangunan - The Boots Company (Far East) Pte.Ltd Malaysia.


“Selamat tinggal kawan. Biar saya mencari ketentuan tuhan. Entah apakah yang ada di hadapan sana. Dia lebih mengetahui apa yang tidak saya ketahui”

Tuesday, January 12, 2010

Ipar Duai


Sehari selepas bersalin, doktor membenarkan saya pulang. Sehari sebelum umat islam menyambut Aidil Adha. Suami segera menghantar saya pulang berpantang ke rumah mak dan abah di kampung. Beberapa hari kemudian, ayah dan wan datang. Mereka datang dengan menaiki bas ekspress dari Besut ke Segamat. Bersama mereka adalah tiga orang adik-adik perempuan suami yang masih lagi bersekolah rendah.

Semasa kelahiran Sara, wan dan ayah juga datang berziarah beberapa malam. Ketika bayi, kedua-kedua kaki Sara kelihatan beruas-ruas dan pingkar akibat terbelit tali pusat. Dari jauh saya perihatikan, wan mengurut perlahan-lahan cucu perempuan pertama dari anak lelakinya.


"InsyaAlah, boleh lurus kaki ni.."
Jelas sekali wan menyembunyikan resah di hati.

Jika mak sibuk menyediakan makanan di dapur, wan akan menguruskan keperluan bayi yang baru lahir. Begitulah akrabnya hubungan kekeluargaan di antara kami. Malahan apabila berkumpul, kemesraan kami ibarat sebuah keluarga yang besar. Di masa yang lain, jika ipar duai berada di sekitar Segamat atau Melaka, mereka akan bermalam di rumah mak dan abah walaupun tanpa kehadiran kami di kampung.

Ketika melahirkan Azrai, anak sulung kami belum pandai berjalan. Sara masih merangkak dan sering merenggek meminta di dukung ketika saya di dalam pantang. Lalu, mak menjaga Azrai sementara saya memberikan perhatian kepada Sara.

Alhamdulillah, ketika itu rezeki kami semakin bertambah. Suami diberikan kepercayaan memegang jawatan koordinator Program Jarak Jauh. Untuk itu, ada kalanya beliau terpaksa pergi bekerja di luar kawasan selama hampir seminggu.

Saya pula telah mula bekerja. Biasanya kami akan menghantar anak-anak dan meletakkan di bawah penjagaan seorang kakak yang tinggal di rumah kuarters Keretapi Tanah Melayu di Subang Jaya. Suami Kakak tersebut adalah seorang pegawai di sana

Wan amat perihatin terhadap kesulitan kami. Beliau datang untuk menghulurkan bantuan dengan menjaga cucu-cucu yang masih kecil. Walhal, anak-anak yang masih bersekolah dan cucu di Besut juga memerlukannya. Sehari kemudian, wan membawa Azrai untuk dibawa pulang ke Besut. Sebelum bertolak pergi keluar kawasan, suami membelikan tiket kapal terbang untuk mempercepat dan memudahkankan perjalanan wan.

Seminggu kemudian, wan datang semula untuk memulangkan Azrai. Beliau di hantar oleh anak sulung wan, Kak Yah bersama keluarga. Bersama mereka, adalah seorang pengasuh anak yang dicarikan oleh Kak Yah untuk kami.

Mahasuci Allah! Yang menguasi kejadian langit dan bumi. Yang menegakkan gunung, yang meninggikan langit dan menghamparkan bumi di atasnya. Setiap helaian daun yang gugur walaupun di tengah malam yang gelap pekat, diketahui oleh-Nya.

Keluarga mertua serta ipar duai yang berhati mulia adalah nikmat kurniaan Allah kepada hamba-Nya yang tidak terhingga. Lalu, apakah saya tidak lagi melihat kebesaran-Nya?

Sunday, January 10, 2010

Anak lelaki


Tahun ke dua perkahwinan.

Saya melahirkan anak kedua pada tanggal 20 Jun 1991 di sebuah Pusat Rawatan di Kuala Lumpur. Doktor menjangkakan bahawa kami akan memperolehi anak perempuan juga. Entah berapa kali agaknya setiap kali membuat pemeriksaan kesihatan, pasti suami akan meminta agar doktor membuat imbasan-X untuk bayi yang di kandung. Secara bergurau suami menafikan jantina anak kedua kami ;

“Saya rasa doktor salah. Ia bukan bayi perempuan. Kalau saya betul, saya tidak perlu bayar kos rawatan. Boleh doktor?”
Kuasa Allah, yang maha mengetahui segalanya. Dia mengetahui apakah yang di kandung di dalam perut seorang ibu, samada bayi perempuan atau lelaki. Samada terdapat kecacatan atau sempurna akal fikirannya.

Kami dikurniakan seorang bayi lelaki!

Kuasa Allah, serta merta hilang segala kesakitan. Gugur segala beban yang tertanggung di bahu apabila Allah mengurniakan kami zuriat buat penyambung titisan keluarga. Anak lelaki yang bakal mewarisi keturunan.

Semasa berusia 10 tahun, saya pernah mempertikaikan nama yang diberikan kepada satu-satunya anak lelaki abah dan mak. Nama adik lelaki itu pada pendapat saya begitu panjang sekali. Saya pernah berkira-kira bahawa anak-anak saya nanti akan diberi nama sependek mungkin. Cukup dengan panggilan satu nama sahaja.

Namun, hakikatnya nama setiap insan itu ada di dalam genggaman yang menciptanya. Ia sebuah misteri yang manusia sendiri tidak dapat mengungkai. Kadang-kadang sebuah nama itu seakan menjadi fenomena semasa. Nama seperti Sara, Safiq, Aiman atau Daniel, entah berapa ramai agaknya ibubapa yang berkenan dan tergerak hati untuk menamakan anak mereka dengan nama itu.

Setelah berminggu-mingu mencari-cari nama yang sesuai, akhirnya anak lelaki kami namakan sebagai Ahmad Haris Azrai.

Masaallah! Dalam pada saya tidak berkenan dengan nama yang panjang-panjang, Allah menterbalikkan hati saya. Fuh! Panjang sekali nama itu.

Friday, January 8, 2010

Selamat Tinggal kawan

Di celah kegembiraan mempunyai anak dan suami, namun kadang-kadang terselit perasaan cemburu di dalam hati. Cemburu apabila sesekali terserempak dengan rakan sekampus dahulu yang masih bujang berkumpul di pusat membeli belah. Mereka bergembira makan di restoran makanan segera bersama rakan-rakan. Sedangkan saya ketika itu sedang sibuk menyorong kereta tolak anak menuju ke arah pasaraya untuk membeli lampin pakai buangnya.

Sesekala suami membenarkan saya menyertai mereka. Berkumpul bersama mereka, terasa sekali diri jauh lebih dewasa. Terasa seperti setiap ungkapan perkataan yang terkeluar dari bibir mereka seperti kebudak-budakan sahaja. Apabila bercakap sedikit tentang perkara yang remeh temeh sahaja sudah boleh membuatkan mereka tertawa. Pada pandangan mata saya mereka kelihatan mempunyai kebebasan diri dan masing-masing mempunyai gaya tersendiri.

Saya? Setiap sen yang diterima, saya harus mengenepikan sedikit untuk mak dan abah, untuk rumah, untuk anak dan amat sedikit sekali bahagian untuk diri sendiri. Jika teringin sekali pun membeli sesuatu untuk menghadiahkan kepada diri sendiri, saya akan berfikir berkali-kali.

“Ya Allah. Adakah ini suatu keperluan? Adakah ia terlalu penting sehingga saya mesti memilikinya?

“Beli sahaja kalau awak dah suka. Jika tidak, awak langsung tidak akan membelinya”

“Tak apalah .. Saya dah lari bajet untuk bulan ini”

Selalunya suamilah akhirnya yang akan membelikan keperluan itu untuk saya. Terutamanya apabila beliau melihat keadaan saya yang sering teragak-agak untuk membuat keputusan. Saya bahagia dengan kehidupan baru. Walaupun, ada masa-masa tertentu teringin sekali menikmati zaman seperti remaja lain yang sudah bekerja.

Di hujung bulan, sebahagian gaji yang di terima mereka boleh membeli pakaian, alatan kecantikan, beg atau kasut bersama rakan-rakan di gedung-gedung membeli belah. Alangkah seronoknya dapat membeli segala keperluan untuk diri sendiri tanpa memerlukan pendapat sesiapa. Keputusan di dalam tangan kita.

Di kalangan rakan-rakan sekampus dahulu, ada antara mereka yang sedang melanjutkan pengajian di peringkat sarjana muda. Gaya percakapan mereka adalah berkisar dengan pengajian dan cerita kampus sahaja. Sehingga saya terdiam. Lansung tidak sanggup mencelah. Tiada apa yang perlu diceritakan. Terasa diri terlontar jauh dari topik semasa. Kerdil dan tidak berilmu. Dunia saya sudah jauh dari mereka!

Selamat tinggal kawan. Biar saya pergi melalui lorong saya sendiri. Di antara kita sudah tiada persamaan lagi. Saya bukan lagi saya yang dahulu. Allah telah menetapkan saya untuk memikul sebuah amanah terlebih awal berbanding dengan rakan sekelian - sebagai isteri, ibu, anak dan pekerja. Amanah itu samada suka atau tidak ia telah terpahat malah tergantung di atas bahu saya!

Perasaan seorang ibu muda sentiasa berombak-ombak, ada turun naiknya. Seronok apabila melihat keletah anak yang semakin comel. Mengalir perasaan keibuan apabila melihat anak merenggek manja ingin sentiasa di peluk di dalam pangkuan. Kepenatan apabila segala urusan rumahtangga, penjagaan anak dan juga terpaksa bekerja untuk menampung kehidupan berkeluarga. Keletihan malah merasa tertekan terutama apabila terpaksa bekerja sedangkan anak sakit dan ditinggalkan di bawah pengawasan penjaga. Malam, anak menangis serta merenggek sepanjang malam. Esok, masih perlu pergi bekerja.

Itulah saat-saatnya saya paling menyesali diri. Berumahtangga dan menjadi ibu di dalam usia yang muda. Sedangkan rakan-rakan yang lain sedang bebas dan bergembira menikmati dunia remaja. Namun, di dalam gelodak perasaan yang memberontak di dalam hati. Saya harus terus mengharunginya kerana itu adalah pilihan saya. Hidup perlu diteruskan. Saya tidak perlu menoleh ke belakang.

Suatu hari, diri merasa sangat lesu, mual, pening lalat dan muntah-muntah di pagi hari. Saya fikir semuanya berpunca kerana kurang tidur. Sara, hanya akan tidur di atas ribaan. Di dalam posisi saya duduk bersila. Ia memaksa saya berjaga malam. Di dalam kemelut perasaan remaja dan ibu muda, saya dikejutkan dengan satu perkhabaran.

“Ini semua salah awak. Isteri awak positf hamil anak ke dua!”

Seorang doktor berbangsa India menyampaikan berita dengan menepuk dahi sambil menunding jari ke arah suami saya. Hairan bercampur gelihati. Perilaku doktor tersebut seolah-olah menyalahkan suami. Barangkali beliau ingin menunjukkan simpati kerana Sara masih lagi seorang bayi.

Langit bagaikan runtuh di atas kepala saya. Suami memeluk erat bahu untuk menenangkan diri. Di atas pangkuannya Sara merenggek-renggek manja. Baru sahaja 6 bulan usianya. Ini bermakna apabila Sara beradik nanti, usianya baru mencecah setahun dua bulan sahaja. Sudah pandaikan dia berjalan nanti? Atau masih merangkak lagi?

Wednesday, January 6, 2010

Bersediakah aku?

Setahun selepas perkahwinan.

Saya melahirkan anak pertama. Tarikh kelahiran yang diberikan oleh doktor adalah pada tanggal 19 Mei 1990. Sama seperti tarikh lahir ayahnya. Takdir Allah, anak sulung kami dilahirkan dua hari lewat dari tarikh yang dijangkakan di tempat kelahiran saya: Segamat. Kami namakan cahaya mata pertama kami sebagai Sara Fateha.

Semasa di dalam pantang, mak lah yang menjaga saya dengan penuh kasih sayang. Setiap pagi saya telah disiapkan sarapan. Kemudian mak akan memandikan saya dengan air daripada rebusan herba tumbuh-tumbuhan ; serai wangi, bonglai, dan berbagai tumbuhan yang tidak saya kenal. Setelah itu mak akan menyalakan dapur arang. Di situ lah mak menyuruh saya bertangas agar keluar segala darah kotor dari badan.

Lebihan bara dari dapur arang mak akan tenggekkan air rebusan akar kayu. Kemudian mak membakar batu untuk menuam di sekitar perut. Mak juga memanggil mak bidan untuk mengurut seluruh badan. Akhir sekali adalah proses yang menyeksakan pergerakan – bekung membelit pinggang! Saya di paksa 100 hari untuk berpantang.

Ketika itu usia saya baru mencecah 23 tahun. Setiap kali menyorong kereta tolak anak kecil keluar berjalan, pasti ada mata yang memandang. Senyuman yang disulami dengan wajah penuh pertanyaan.
“Ni anak ke adik?
“Anak..”
Saya menjawab dengan perasaan bangga. Ia suatu perasaan kurniaan dari Allah yang sukar digambarkan. Setiap suatu perningkatan yang diketahui oleh anak kecil itu rasanya ingin dikhabarkan kepada semua. Ia mejadi suatu topik perbualan sehari-hari sesama rakan sepejabat. Semua kegembiraan ingin dikongsikan bersama. Kalau boleh, biar diketahui oleh semua. Seluruh pejabat malah jiran tetangga di sekitar Subang Jaya! Barulah saya faham kenapa kakak-kakak yang telah berumahtangga sering bercerita tentang anak-anak mereka.

“Ya Allah, semalam Sara dan mula mengerenglah kak..”

“Hah..nak mula menyaraplah tu. Lepas tu, dia akan merangkak. Nanti, semua benda akan di kutip dan dimasukkannya ke dalam mulut..”

Di siang hari, Sara di jaga oleh suami. Apabila suami pergi mengajar di sebelah malam, Saralah yang menemani sehingga suami pulang. Ia suatu perasaan kegembiran yang sukar digambarkan. Benar! Anak adalah sebagai penghubung, penyeri dan mengeratkan tali kemesraan. Kami akan berbual-bual dan bercakap dengan anak kecil itu seolah-olah dia lah yang membalas setiap percakapan.
"Sara..tenguk apa ayah bawa balik ni.."
"Eee..bestnya. Nak! Nak..terima kasih ayah"

Monday, September 14, 2009

Salam Aidil Fitri


Semasa kecil, saya dapat merasakan bahawa hari raya sangat hampir dan akan menjelang tiba apabila kedengaran lagu-lagu nyanyian Selamat Hari Raya alunan suara Ahmad Jais, Allahyarhamah Saloma, Sharifah Aini ataupun Sanisah Huri.
"Horrey...sudah hendak raya. Dah hendak raya ni..."
Semasa di usia remaja, lagu-lagu raya yang berkumandang seperti ini amat merisaukan hati. Kerana terbayang di kepala kami segala macam jenis perkerjaan rumah yang bakal dilakukan - basuh dan kemudian pasangkan langsir tingkap, buang sawang labah-labah, basuh lantai keliling rumah, cuci lantai di dalam rumah dan mengupas bawang.

Kemudian, jerang air gula dengan daun pandan, goreng kerisik, goreng kacang tanah, kupas sabut kelapa dan anyam ketupat. Pendekata, semakin hampir dengan hari raya ..semakin bertambah senarai kerja.

Namun, segalanya pasti akan hilang di pagi hari lembaran!

Di awal perkahwinan [apabila tiba giliran menyambut hari raya di sebelah keluarga suami] segala urusan persiapan menyambut hari raya diterajui oleh mak mertua. Saya merasa sedikit kelongaran kerana mempunyai ramai ipar duai yang menghulurkan tangan.

Semasa di luar negara, kami menyambutnya dengan ala kadar sahaja. Berkongsi kegembiraan dengan ziarah-menziarahi rakan dan taulan. Di Scotland, saya menyediakan juadah yang mudah terdapat di sana - pasta, pastry, kek Dundee, Shortbread, muffin dan brownis.

Di Wales United Kingdom, beberapa kali saya terpaksa bekerja pada hari raya pertama..namun, juadah telah saya sediakan. Anak-anak dan suami menunggu saya pulang dengan sabar. Rakan taulan yang berkeluarga dan juga adik-adik undergrade yang masih bujang hanya akan datang bertandang setelah saya pulang..

Juadahnya? Pelbagai hidangan yang berlainan..

Di luar negara, masakan tradsional amat payah dan mahal sekali. Jadi, ia hanya merupakan juadah istemewa di pagi raya - sedikit rendang ayam, nasi impit, kuah kacang, pulut dan serunding daging. Semuanya terpaksa di beli di kedai Pakistan yang jaraknya adalah dua setengah jam perjalanan ke Manchester.

Biasanya hidangan raya kami di sana lebih banyak berasaskan bahan tempatan yang mudah dan murah didapati. Dari rakan-rakan, saya mempelajari masakan seperti Lagsane berintikan ikan, macaroni cheese, pasta carbonara, brocolli cheese casarol, apple crumble, bolognese, quice, pelbagai cream sup dan paling banyak makanan yang berasaskan kentang.

Pernah di satu hari raya saya hanya menyediakan kek sahaja. Kenapa? Ada cerita disebaliknya.

Setiap hari raya mengenangkan saya kepada kenangan lama. Suasananya pasti tidak sama. Dahulu dan sekarang.. perasaan saya telah jauh berbeza. Ia beredar dan berubah mengikut usia.
Kini, saya meneruskan tradisi menyambutnya kerana mereka.. Gembira melihat anak-anak ceria...zuriat yang diharapkan bakal mendoakan dan sedekah Al-Fatihah ketika saya tiada.

Tetapi yang pastinya..adakah tahun hadapan saya masih lagi dapat melihat dan mencium dahi mereka? Mengucup tangan dan memohon ampun dari suami tercinta serta mak dan abah?

"Ya Allah, terima kasih dengan segala nikmat yang telah dipinjamkan. Betapa banyaknya kurniaan yang telah di terima.. berapa pula yang telah diberikan? Malunya diri melihat kekurangan diri sendiri berbanding dengan-Mu yang maha pengasih lagi maha penyayang.

"Wahai tuhan, terimalah taubatku jika selama ini diri lalai dengan perintah-Mu, tidak menghargai dengan pemberian-Mu, dan tidak mengucapkan terima kasih kepada-Mu..

"Sesungguhnya ya Allah, akan ku sambut Aidil Fitri pada tahun ini dengan kesyukuran dan membasahkan lidah serta hatiku dengan bertasbih mengingati-Mu.."

SALAM AIDIL FITRI kepada semua blogger dari saya dan keluarga. Mohon maaf jika tersalah kata-kata dek ceteknya penghantaran bahasa.