Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Showing posts with label Kerjaya. Show all posts
Showing posts with label Kerjaya. Show all posts

Sunday, January 17, 2010

Gangguan Seksual 2

Saya pernah di minta untuk menemankannya melawat rakan yang berjawatan besar dari sebuah syarikat pembekal makanan terkemuka di Malaysia yang terlantar di hospital. Pernah di minta mencatat nota sewaktu temujanji makan tengaharinya di Hotel Hilton dengan CEO dari syarikat percetakan terbesar. Berbagai-bagai cara dia mencuba dan mengajak saya menemainya ke mana-mana sahaja acara lawatan rasminya.
“Bos minta awak ikut dia meeting dengan Syarikat XYZ di Legend Hotel. Dia suruh bawa sekali draf dokumen MOU nanti”
Pesanan dari Setiausaha syarikat yang tidak mampu saya tolak. Pemandu kereta juga seolah-olah bersekongkol dengan majikan.
“Bos minta you duduk di belakang”
Suatu masa dahulu, saya pernah menginginkan suatu pekerjaan yang di lihat sebagai berprestig, menaiki kereta besar serta di bawa oleh pemandu syarikat. Namun, pada saat itu saya merasa sedikit kesal walaupun sedar doa saya dikabulkan permintaannya oleh Allah.
“Ampunkan daku Ya Allah kerana menyesali dengan pemberian-Mu ini. Namun, daku tahu ya tuhan, Kau sedang mengajarku sesuatu”

Pada hemat saya, selalunya mereka bukanlah berbincang sangat tentang urusan perniagaan atau perjanjian persefahaman di antara syarikat. Barangkali, ia lebih merupakan perhubungan seorang rakan perniagaan untuk jangka panjang. Pertemuan santai.

Sebagai seorang isteri dan ibu kepada dua orang anak yang masih kecil, saya merasa sangat tidak selesa. Saya memang mengambil berat tentang apa pandangan orang terhadap saya. Tidak mahu di lihat sebagai seorang isteri dan ibu yang curang. Tidak mahu mengambil kesempatan di atas kepercayaan serta kasih sayang suami yang baik hati.

Berbanding dengan rakan sepejabat yang lain, saya amat bertentangan sekali dengan etika kerja dan values yang ada di dalam diri berbanding mereka. Banyak perkara yang tidak menyenangkan perasaan saya. Tambahan pula, pernah suatu ketika di dalam mesyuarat syarikat beliau memberikan tips kepada sekumpulan Eksekutif dan pengurus pemasaran:

“Di dalam proses untuk mendapatkan tender yang besar-besar, pastikan pelanggan mempunyai mana-mana salah satu kelemahan. Lihat samada mereka itu mata duitan, kaki minum atau kaki perempuan. Berikan pelanggan yang berpotensi itu layanan yang sepatutnya”

Ternyata ia bukan nilai-nilai yang ada pada diri saya. Hampir termuntah dan pengsan saya mendengarnya! Ya Allah, sudahkah diampunkan nasi yang di suap untuk anak-anak suatu masa dahulu lantas menjadi darah daging?

Setahun saya berhadapan dengan majikan yang bersikap sedemikian rupa. Bagi saya, beliau tidak beretika dan tidak bermoral. Malah mengalakkan pekerja melakukan apa sahaja asalkan mereka pasti mendapatkan tender perniagaan dan mencapai target jualan yang telah ditetapkan. Keuntungan syarikat berjuta-juta. Tidak hairanlah saban tahun, paling sedikit bonus yang di terima adalah 3 - 5 bulan.

Apabila saya adukan kepada suami, beliau seakan tidak mahu percaya. Barangkali beliau terpengaruh dengan budi bahasanya. Ternyata beliau memang berjaya mengabui mata suami. Di mata suami, saya seolah-olah melebih-lebihkan cerita.

Malah bukan itu sahaja, majikan saya mula memberi habuan di dalam bentuk hadiah mewah kepada saya dan suami. Beberapa kali beliau memanggil suami ke pejabat di waktu petang sebelum pulang untuk bersembang-sembang dan menunjukkan kemesraan kepadanya. Saya merasakan suami tidak menyebelahi diri ini. Akhirnya saya memberanikan diri untuk merayu kepada majikan secara berdepan:

"Saya merayu..tolong jangan ganggu rumahtangga kami, tuan. Itu sahaja yang saya ada. Anak-anak saya masih kecil lagi"

Tidak mahu terjerat lalu saya mulai menolak untuk pergi ke tempat temujanji majikan bersama pelanggan. Semakin kerap penolakan tersebut, semakin hebat cabaran yang mendatang. Terbaca di dalam terjemahan Al-Quraan, Yusuf a.s berkata:

"Wahai Tuhanku, penjara lebih aku suka daripada memenuhi ajakan mereka kepadaku. Dan jika tidak Engkau hindarkan daripadaku tipu daya mereka, tentu aku akan cenderung untuk [memenuhi keinginan mereka] dan tentulah aku termasuk orang-orang yang bodoh. [Surah Yusuf, ayat 33.]

Kuasa Allah, suami ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana ke luar negara. University Of Dundee, Scotland. Saya sedia berhenti kerja serta dengan rela hati mengikutnya. Bukankah itu yang pernah saya bisikan kepada Allah sewaktu di persekolahan rendah?

Ya Allah, jika daku tidak dapat melanjutkan pelajaran ke luar negara, temukanlah jodohku dengan sesaorang yang mampu membawaku ke situ"

Mahasuci Allah, Dia Maha mengetahui apa yang tidak kita ketahui. Yang suatu masa dahulu hanyalah lintasan hati kecil seorang budak kampung yang tidak pernah terfikir pun bahawa doanya akan dimakbulkan oleh tuhan yang maha pengasih lagi maha penyayang.

Tidak di duga, majikan mengadakan majlis perpisahan untuk saya. Sebelum ini, seluruh staf mengata di belakang bahawa saya adalah anak emas majikan. Ternyata majlis tersebut seolah-olah membenarkan kenyataan. Encik Yasin, Akauntan syarikat datang berbisik secara perlahan seraya bertanya kepada saya;

"Apa yang awak lakukan kepada boss? Selama ini staf datang dan pergi. Tiada satupun jamuan perpisahan diadakan seperti ini"
"Hati. Lakukan sesuatu dari hati, maka ia akan pergi ke hati. Dan lagi.. jangan ambil kesempatan di atas kebaikan sesaorang"


Sengaja saya katakan begitu sebagai menjawab tohmahan rakan-rakan. Petang itu, suami turut di jemput ke pejabat untuk sama-sama meraikannya. Bersama suami adalah Sara yang baharu belajar tidak memakai lampin pakai buang. Setelah bersalaman dengan semua rakan sepejabat, saya membawa suami ke bilik majikan, Pengurus Besar syarikat. Di dalam bilik majikan, saya meminta Sara bersalam serta mencium tangan majikan. Sambil tersenyum bergurau saya berkata

"Pergi salam tangan Atok tu.."

Sara segera pergi menuju ke arahnya. Tiba-tiba;

"Mama...kakak she-sheeee...."

Friday, January 15, 2010

Gangguan Seksual

Hampir dua bulan saya menikmati hidup sebagai ibu yang dapat bersama anak sepanjang masa. Menjaga dan melayani kerenah kedua-dua orang anak kecil yang sedang nakal, comel dan manja. Ya Allah, saya terasa sangat bahagia.
"Ya Allah, wahai zat yang daku di dalam gengaman-Mu, berikanlah kami rezeki dari punca yang tidak di sangka-sangka. Yang halal, yang barakah. Agar nanti kami tidak lagi meminta-minta daripada-Mu"
Pernah berbisik di dalam hati, jika suami saya berkemampuan serta bergaji besar, ingin rasanya saya terus sahaja tidak pergi bekerja. Ingin rasanya tinggal menjadi suri rumahtangga sepenuh masa.

Namun, kesempitan kewangan membuatkan saya mengambil keputusan untuk bekerja semula. Saya tidak tergamak untuk meminta-minta daripada suami walaupun beliau menghulurkan sedikit wang belanja dapur. Amanah yang di pegang membuatkan saya tidak selesa untuk menggunakannya untuk diri sendiri. Saya sudah biasa mempunyai pendapatan sendiri. Dengan izin suami, saya meminta untuk mencari pekerjaan.

Saya di panggil temuduga oleh Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor (PKENJ). Kami pergi ke Johor Bahru seluruh keluarga. Mak dan abah turut sama menghantar. Mereka menjaga Sara dan Azrai sementara saya di temuduga. Berat hati saya untuk menerima tawaran kerja kerana jawatan itu lokasinya di Johor Baharu. Sedangkan tempat suami bekerja adalah di Petaling Jaya.

Syarikat kedua saya di temuduga di tempat memasang peralatan assesori kereta mewah jenama Ferarri. Namun, jika saya menerima tawaran kerja tersebut, nanti sayalah satu-satunya seorang perempuan sedangkan staf yang lain kesemuanya lelaki.

Akhirnya, saya menerima tawaran kerja di tempat ke tiga iaitu sebuah syarikat multinasional yang mempunyai barangan jenama seperti DUMEX, ICI fertiliser, Marlboro dan produk bayi GERBER. Ia beibu pejabat di Denmark. Salah satu bahagian adalah membekalkan rangkaian mesin untuk percetakan. Di situlah saya ditempatkan.

Dengan pengalaman kerja dan surat rujukan dari syarikat lama, ia suatu pakej yang berpihak serta menyebelahi saya. Hakikatnya, itulah aturan dan ketentuan Allah kepada hamba-Nya.
Gaji yang ditawarkan lebih lumayan daripada tempat lama saya bekerja. Namun, masalahnya saya sering di ganggu oleh majikan.

Gangguan seksual. Beliau sudah berkeluarga, seorang yang berjaya dan di dalam seluruh rangkaian sistem syarikat itu di seluruh dunia. Beliau juga pernah dinobatkan sebagai “The Best Sales Person of the Year”.

Wednesday, January 13, 2010

Kerana Malu

Tahun ke tiga perkahwinan.

Saya merasa sangat malu dengan syarikat yang menawarkan saya bekerja selepas mengandungkan anak ke dua. Pada pandangan saya, prestasi kerja pasti semakin kelihatan berkurangan kerana hampir setiap tahun saya mengandung. Mana tidaknya, setahun yang lalu saya mengandung, tahun berikutnya ketika anak belumpun cukup setahun saya sudah mengandung lagi!

Tidak hairanlah apabila syarikat mengadakan majlis makan malam tahunan di mana semua peringkat pekerja di seluruh Malaysia berhimpun, ada yang terkejut lantas berkata:

"Hei..bukan kah awak mengandung tahun lepas?”

“Waaaa..Tenguk sini kawan, ini memang suka mengandung punya perempuan..he..he”

“Untung lah..tiap-tiap tahun boleh cuti tiga bulan ..hah..ha..”

Perut saya yang semakin membusung menjadi bahan usikan rakan. Terhiris benar hati di sebalik bibir menguntum senyuman. Biasanya saya tahan dengan lawak bodoh rakan-rakan yang sesekali berjumpa. Namun, ketika mengandungkan anak kedua, saya merasakan gurauan itu agak melampau. Saya terlalu sensitif sekali. Terluka hati!

Lalu, selepas beberapa bulan melahirkan anak ke dua, saya bernekad untuk mencari pekerjaan di tempat baru. Walau di sudut hati memang mengakui bahawa saya gembira dan mulai selesa dengan suasana di tempat kerja yang sediada.


Saa menyatakan keinginan kepada suami. Walaupun tahu suami kesempitan sumber kewangan, namun beliau langsung tidak membantah. Beliau sentiasa positif dengan apa jua keputusan yang di buat oleh saya.
Saya percaya sumber rezeki itu di tangan Allah. Setiap seorang anak Adam telah diberikan jaminan dan menetapkan rezekinya. Apabila Allah menetapkannya, tidak seorang pun dapat menghalang walau bagaimanapun usahanya. Saya percaya penuh dengan kekuasaan-Nya.


“..dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah [dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya], nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar [dari segala perkara yang menyusahkannya]. Serta memberikannya rezeki dari jalanyang tidak terlintas dihatinya. Dan [ingatlah], sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya [ untuk menolong dan menyelamatkannya].

Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu. [Surah At Talaaq: 2-3]

Lalu saya menghantar notis untuk berhenti kerja. Encik Kamal, orang yang bertanggungjawab menawarkan pekerjaan yang juga majikan saya, merasa sangat hairan dan beliau tertanya-tanya. Semasa di dalam Exit interview saya di soal :
You tahu tak, kebanyakan staf di sini bekerja lebih daripada 10 tahun lamanya. Mereka bekerja sampai pencen. Ada apa-apa perkara yang I tidak tahu? Kenapa hendak mencari kerja di tempat lain? I dah rancang career path untuk you. Syarikat ini ada succession plan

“Ya Allah. Terima kasih Encik Kamal kerana memberi peluang kepada saya untuk bekerja di sini. Saya sangat bersyukur. Namun, keselesaan membuatkan saya rasa tidak ada peningkatan diri. Tiada cabaran. Saya ingin mencabar minda dan mencari
pengalaman bekerja di luar sana”

Lalu, Encik Kamal menghormati keputusan yang dibuat. Beliau bersetuju untuk melepaskan saya pergi mencari pengalaman diri. Sebelum pergi mereka mengadakan majlis perpisahan. Sukar untuk dipercayai mengapa keputusan itu saya lakukan tanpa sebab yang kuat.
Bersama hadiah, syarikat menyampaikan sekeping surat penghargaan untuk dijadikan rujukan kepada majikan baru yang akan mengambil saya bekerja.

“Awak seorang pekerja yang bagus dan boleh menjadi aset kepada mana-mana organisasi. Datanglah bekerja semula di sini jika di luar sana tiada syarikat mahu menerima. ”

Kata-kata ketua nombor satu itu amat menyentuh hati. Ia seperti suatu lontaran boomerang yang saya lemparkan lantas ia berpatah balik. Kayu boomerang itu tidak sempat di sambut, lalu ia melantun terkena batang hidung sendiri. Sakit!

Di dalam diam saya mendoakan kesejahteraan kepada seluruh warga syarikat yang telah banyak merubah kehidupan saya. Di dalam kereta semasa perjalanan pulang, saya menoleh seketika ke belakang. Menghayati setiap huruf papan tandanama yang tertera megah di atas bangunan - The Boots Company (Far East) Pte.Ltd Malaysia.


“Selamat tinggal kawan. Biar saya mencari ketentuan tuhan. Entah apakah yang ada di hadapan sana. Dia lebih mengetahui apa yang tidak saya ketahui”