Hampir dua puluh tahun yang lalu, Sara Fateha masih lagi merangkak ketika saya melahirkan adiknya, Azrai. Aduhai..ibu muda yang beranak rapat.
Semasa dalam pantang, Sara merangkak-rangkak mendapatkan saya di katil. Dia merengek-renggek meminta dukung. Lalu, saya ketepikan sebentar bayi kecil yang masih merah lantas memberikan perhatian kepadanya. Emak mengambilalih menjaga Azrai.
Selepas pantang, Sara masih juga belum pandai berjalan. Baru bertatih, berjalan jatuh. Perlahan-lahan saya pimpin tangannya, sementara si adik saya tolak dalam stroller. Apabila puas dan penat berjalan, dia mendongak . Mata bulatnya memandang saya. Bahasa isyaratnya mengatakan;
"Mama, Sara sudah penat..""Hendak dukung?" Saya bertanya. Dia faham dan membuat anggukkan.
Kelmarin, saya melihat Rafiki, 2 tahun [anak kecil Ayu dan
adik Ben 10] memanjat kerusi beroda di bilik bacaan. Tempat sandar kerusi itu boleh di tolak ke hadapan dan ke belakang mengikut keselesaan. Bimbang jika kerusi itu terbalik kebelakang, Ayu memujuk anaknya agar turun.
"Rafiki, turun sayang..nanti jatuh."Rafiki mengeleng-gelengkan kepala. Sambil berdiri, semakin kuat sandar kerusi itu ditolaknya.
"Jangan.. Jatuh nanti. Duduk. Duduk ya."
Rafiki mendengar kata. Sambil duduk, dia memandang uminya.
"Rafiki hendak dukung ya?"
Ayu bertanya. Barangkali Rafiki cemburu melihat Addin, anak bungsu Raihan [kakak atas Ayu] yang sebaya dengannya. Masih menyusu badan, berdukung dan berulit sepanjang masa dengan ibunya. Pernah suatu hari secara bergurau, Rafiki mengusik Addin yang sedang asyik menyusu:
"Dah tinggi..nenen. He..he..he"
Rafiki membuat isyarat, sedikit tersenyum dan mengangkat sebelah alis keningnya.
Memohon simpati dari umi.
"Umi tidak kuat, sayang.."
"Umi ku-at. Umi si- hat..."
Patah perkataan yang masih pelat dari bibirnya. Sebentar kemudian, saya melihat mata bundarnya merenung wajah umi.
"Umi, Iki nak ukung. Nak ukung oleh?" [Umi, Rafiki hendak dukung. Hendak dukung, boleh?]
Lalu, Ayu berkesut-kesut pergi ke arah anaknya. Ayu sudah tiada upaya. Hendak bergerak pun perlahan-lahan, sesekali perlu di pimpin tangan. Bagaimana mungkin hendak mendukung anaknya?
Peluklah anak itu Ayu. Dakaplah dia ..