Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Monday, October 4, 2010

Travelog Cinta Abadi : suatu perjalanan


Saya mencatat Travelog Cinta Abadi: suatu pejalanan, dengan perasaan penuh kerinduan. Rindu pada masa yang berlalu. Rindukan rakan sekampus dan teman sebilik yang entah kemana menghilang.

Subhanallah! Kuasa Allah mengatasi segalanya. Saya ditemukan Tuhan yang maha pengasih lagi maha penyayang, Tuhan yang mendengar rintihan dan bisikan dengan salah seorang rakan.

Saya temui rakan ini melalui alam maya. Apabila menghubungi, nada suaranya masih seperti dahulu. Ceria. Beliau adalah pembaca manuskrip ke 2.


Komen ke 2


Travelog Cinta Abadi: Suatu Perjalanan [TCASP] mempunyai ratusan watak segar dan hidup. Di antaranya terselit Yatie dan Han. Hampir 45 bab awal sama ada disebut atau tidak, kedua-duanya berada sangat hampir dengan watak utama yang menjadi bahan penceritaan.

Yatie adalah saya!

Benar, Roza adalah seorang sahabat biasa-biasa yang rapat. Saya tidak tahu beliau berbakat besar, boleh menulis dan menghasilkan karya yang cukup luar biasa sehingga berjaya mengheret saya leka membaca TCASP sehingga ke nokhtah terakhir. Ia tidak perlu dipaksa-paksa. Malah ia meluncur laju daripada satu bab ke bab yang lain.

Bahasanya mudah, tidak sukar untuk menghadamkannya malah langsung tidak membebankan fikiran khalayak pembaca. Anehnya, tiba-tiba sahaja saya tersedar yang cerita mudah dan biasa-biasa itu mempunyai maksud tersirat yang sangat signifikan. Saya fikir, ia cerita Roza tetapi ada dalam setiap mereka yang membaca buku ini.

TCASP menjadikan saya begitu terkesima kerana Roza mampu menjadikan perjalanan hidupnya sebagai sesuatu yang sangat istimewa. Beliau begitu menghargai setiap saat yang dilaluinya sehingga mampu mengimbas dan mengingati apa jua yang berlaku dan mengambil ikhtibar bagi setiap detik tersebut sama ada ia pahit, masam atau manis.

Sebagai pembaca, saya seolah-olah sentiasa berada di tempat beliau dengan merasai setiap getarnya dan menyaksikan keindahan alam – misalnya – musim luruh yang digambarkannya. Malah saya ternampak-nampak sekumpulan biri-biri sedang meragut rumput pada musim luruh yang dingin.

Sejuknya menyerap ke dalam hati dan perasaan!

Buku ini merupakan anugerah buat semua terutamanya kaum wanita yang mahu melihat diri sendiri secara santai tetapi penuh makna. Tahniah Roza, TCASP berjaya mendokumentasikan kisah suka duka seorang gadis biasa kepada wanita luar biasa tanpa sedar!

Friday, October 1, 2010

Takut

Akhirnya, kami bulatkan hati menyerahkan diri kepada Allah. Berdoa sambil membayangkan setiap pergerakan yang bakal kami lalui bermula dari rumah.

Kami bayangkan pergerakan dari rumah ke Tabung Haji di Kelana Jaya, memohon agar Allah memudahkan segala urusan. Kami bayangkan pula urusan dari KLIA ke imegresen Jeddah. Dari Jeddah ke kota Mekkah. Dari Hotel ke masjidil haram.

“Ya Allah, dekatkanlah kami dengan masjidil haram. Kami ingin sentiasa berada di sana. Janganlah jadikan jauh itu halangan untuk kami berulang-alik melakukan ibadat di masjidil haram. Kami ingin sentiasa di depan kaabah-mu ya Allah. Kami ingin berada berhampiran mu’tazam. Kami ingin sujud di hijir Ismail..”

Membayangkannya sahaja sudah cukup membuatkan air mata kami mengalir.

Benar. Kami tidak dapat membayangkan apakah bakal berlaku di sana nanti. Bukan kami sahaja yang berada di situ, malah berjuta-juta umat Muhammad yang datangnya dari jauh dan dekat. Semuanya dengan niat yang satu – menunaikan rukun islam yang ke lima kerana perintah Allah.

“Ya Allah, jika rukun yang ke lima itu hanya sekali seumur hidup perluku lakukan.. Jadikan haji ku nanti haji yang mabrur. Barangkali itulah haji pertama dan terakhirku..”

Kami bayangkan waktu wukuf di arafah, Mudzalifah dan beberapa hari bermalam di Mina. Kami mohon sungguh-sungguh agar Allah sentiasa membantu dan memberikan ilham kepada kami. Jangan sampai kami terlupa rukun haji, terlanggar pantang larang dalam ihram dan jangan sampai kami menjadi lemah dan malas sepanjang berada di tanah haram.

“Yang, ingat ..kita ke sana semata-mata untuk beribadat kepada Allah. Bukan mahu membeli belah. Jangan sampai awak terleka sehingga mengambil keputusan untuk sembahyang di bilik hotel sahaja.”

Suami berpesan lagi.

“Fadilat sembahyang di masjidil haram adalah 100,000. Bodoh kalau kita memilih sembahyang di hotel yang fadilatnya sama sahaja jika kita sembahyang di Malaysia.”

Mulut suamiku memang celupar. Sedap betul dia berpesan, entah-entah Allah menterbalikkan segalanya. Sebagaimana yang dikatakan oleh orang ramai ia sebagai balasan tuhan! Benarkah begitu?

“Ya Allah, kami takut. Jadikan ketakutan kami sebagai pemangkin untuk kami bersungguh-sungguh melakukan ibadat haji ini kerana –Mu. Jangan sampai kami malas, lemah, sakit dan tidur sahaja. Sesungguhnya kami menyahut lambaian haji ini semata-mata kerana-Mu.”

Takut. Itulah gambaran perasaan insan yang fakir lagi jahil yang sering ditakut-takutkan dengan pembalasan dari tuhan!

Thursday, September 30, 2010

Kami takut ya Allah!

Semakin hampir tarikh keberangkatan kami ke tanah suci, semakin kuat goncangan ketakutan hati. Segala yan dibuat terasa tidak kena. Semakin banyak tips yang diajarkan oleh rakan-rakan, semakin terasa kebimbangan.
“Ya Allah, apa yang kami tahu? Apa yang kami tahu?”

Saban hari, fikiran kami semakin buntu. Dengan izin Allah, semakin kerap kami terjaga di tengah malam. Ia sebagai suatu persiapan dan juga memberikan kami peluang bermunajad kepada Allah. Dari luar bilik terdengar suara suami seolah-olah bercakap-cakap dengan sesaorang. Sekejap kuat, sekejap perlahan. Bercakap hampir dua jam.
Ya. Kami suami isteri benar-benar ketakutan.

Emak dan abah sering berpesan agar kami membiasakan bangun seawal pukul 2 pagi. Kata mereka, banyak urusan ibadat yang boleh dilakukan di Baitullah sebelum masuk waktu sembahyang subuh.

“ Bangunlah seawal jam 2 pagi dan terus ke dataran kaabah. Terus lakukan tawaf sebanyak tujuh pusingan. Niatkan tawaf sunat. Ia lebih afdal daripada sembahyag sunat Tahyatul Masjid.”

Kami semakin gusar.

“Kadang-kadang kami melakukan umrah. Selepas memakai kain ihram, kami menaiki van atau teksi ke Tana’im atau Ja’rannah untuk berniat umrah. Kemudian terus bertawaf tujuh pusingan di masjidil haram. Jangan bimbang jika terbatal wuduk semasa bertawaf, ambil semula wuduk. Kemudian kita hanya perlu sambung sahaja pusingan yang tertinggal.

Abah sambung lagi.

“Sebaik sahaja selesai tujuh pusingan kaabah, kami sembahyang sunat tawaf di belakang makam nabi Ibrahin dan minum air zam-zam. Kemudian kami lakukan sa’ie dari bukit Safa’ ke Marwah ulang-alik sebanyak tujuh kali. Kemudian kita tahalul bagi membebaskan diri dari larangan dalam ihram. Itu sahaja proses umrah.”

Tahlul? Semakin gundah gulana hati kami. Perkataan-perkataan arab seperti itu kadang-kalanya menakutkan kami yang tidak memahami bahasa arab. Lalu, kami dapatkan beberapa naskah buku panduan haji dan umrah dari kedai-kedai buku.

“Oh, itu makna tahlul rupanya..”

Semakin banyak yang kami baca dan semakin banyak yang kami dengar dari rakan-rakan serta sanak saudara, ia semakin mendebarkan. Ia bukan seperti menyiapkan diri untuk menghadapi ujian peperiksaan.

Monday, September 27, 2010

Bukan sekadar lambaian kaabah


Alhamdulillah! Allah mengurniakan kami rakan-rakan yang berhati mulia. Ada diantaranya yang datang berjumpa semata-mata untuk menerangkan proses haji dan berkongsi pengalaman mereka semasa menunaikan haji dahulu. Selain bekalan ilmu, mereka menghulurkan serba sedikit pakaian dalam ihram dan juga sejumlah wang.


“Ya Allah, hanya pada-Mu kuserahkan segalanya. Wahai tuhan, limpahkan kurniaan mu di atas budibaik mereka.”


Ada juga rakan-rakan yang menceritakan pengalaman dan cabaran tinggal sebilik beramai-ramai. Ada yang bercerita tentang cuaca, tentang makanan dan tentang perangai manusia dari berbagai bangsa di sana. Lalu. Setiap malam kami tambahkan doa kepada tuhan yang menjadikan.


“Ya Rabbi ya Karim, kami pergi secara muasassah. Janganlah jadikan segala kesulitan sebagai halangan untuk kami beribadat kepada-Mu. Berikanlah kami sefahaman dengan rakan sebilik, sesuaikan kami dengan cuaca serta makanan di sana. Jangan sampai kami terlalu berkira wahai tuhan. Berikanlah kami kesabaran..”


Apabila ada yang bercerita tentang segala balasan yang diterima akibat celupar mulut mereka, lalu semakin kuat kami berdoa;


“Ya Allah, Ya Latif.. Jagalah penglihatan kami, pendengaran kami, dan tutur kata kami. Dan lebih-lebih lagi jagalah bisikan jahat hati kami. Wahai tuhan, janganlah sampai kami ditimpa balasan hanya disebabkan oleh kejahilan dan juga kelalain.
“Wahai tuhan..perkenankanlah.”


Benar. Haji bukan sekadar lambaian kaabah. Malah ia lebih dari itu. Ia lambaian hati, perasaan dan seluruh pengabadiaan. Ia lambaian Illahi.

Friday, September 24, 2010

Lambaian Kaabah

Petang itu suasananya nyaman dan tenang sekali. Ia bukannya hari giliran kami mengaji.

Seusai sembahyang Asar dan berjogging selama satu jam di sekitar tasik Shah Alam, kami terus pulang ke rumah. Sebelum naik ke tingkat tujuh, suami menjenguk peti surat.

“Alhamdulillah! Surat rasmi dari Tabung Haji.”

Tanpa berlengah daku terus mandi, menyalin pakaian dan masuk ke dapur untuk menyediakan hidangan makan malam. Manakala suami masih sibuk membelek-belek surat rasmi. Berbagai urusan yang perlu dilakukan. Diantaranya adalah pemeriksaan kesihatan, dokumentasi yang diperlukan, keperluan pakaian haji dan kursus haji perdana.

“Yang.. kursus haji perdana ini diadakan di Masjid Shah Alam, kita mesti pergi..lagipun di hujung minggu.”

Kami mendapat tahu ramai jemaah yang lain telah lama mengikuti kursus haji selama berbelas minggu. Sedangkan kami pada ketika itu masih belum mendapat pengesahan untuk pergi. Oleh itu, kami bertekad mengambil peluang untuk menghadiri kursus haji perdana.

Surat tawaran itu terbiar di sudut bilik tidur kami agak lama, sehinggalah suatu hari minggu, suami membuat semakan terperinci. Dari dalam bilik suami berteriak dan bergegas menuju ke arahku yang sedang menyiapkan sarapan di dapur:

“Yang! Yang.. kita jadi tetamu Allah yang istemewa! Kita pergi penerbangan terakhir pada hari Jumaat, wukuf pun hari Jumaat dan balik dari Madinah pun pada hari Jumaat.”

Terkedu hatiku melihat tindakbalas suami. Suami yang suatu masa dahulu pernah mempermain-mainkan niatku, mempersenda-sendakanku dan memperkecil-kecilkan harapanku. Tergambar jelas kegirangan diwajahnya. Hatiku juga melonjak namun, dihalang oleh perasaan ketakutan yang mendalam. Ia umpama menerima berita tarikh kami akan dikorbankan atau tarikh kematian yang telah ditetapkan.

“Ya Allah, ya Tuhanku.. kami takut ya Allah. Kami tidak berilmu. Pimpinlah kami, bantulah kami nanti.”

Benar. Di Mekah dan di Madinah nanti tiada pemandu pelancung yang akan mengiringi. Hampir 45 hari sepanjang di Mekah dan Madinah kami harus berdikari. Walaupun ustaz dan ustazah dari Tabung Haji ada bersama bagi menghulurkan nasihat, tunjuk ajar dan membantu, namun setakad manalah yang mampu dibantu oleh mereka.

“Wahai tuhan..Tiada sesiapa yang dapat kami harapkan selain dari-Mu. Kami sandarkan pengharapan dan belas kasih dari-Mu. Tolonglah kami..bimbinglah kami..kami takut ya Allah. Kami datang atas jemputan-Mu. Semata-mata kerana-Mu”

Wednesday, September 22, 2010

Travelog Cinta Abadi: Suatu perjalanan..


Sekadar memetik petikan komen pembaca manuskrip TCA: Suatu perjalanan.

"Ya Allah, jika pepohon segenap alam menjadi pena dan seluruh lautan di dunia menjadi dakwatnya..masih tidak mampu untukku mencatatkan segala nikmat serta ilmu-Mu yang dilimpah kurniakan kepada diriku.."

"Wahai Tuhanku.. daku akur dan ampunkan segala kekurangan diriku..."

Komen Pertama

Roza memang pandai bercerita. Ia kelihatan lebih mudah dan berkesan di hati kerana ia merupakan kisah kehidupan sebenar yang dilalui oleh semua orang. Travelog Cinta Abadi: Suatu Perjalanan sangat-sangat berbeza dengan Travelog Cinta Abadi: Hari yang Berlalu.

Pertama, khalayak pembaca sangat bersimpati dengan Roza melalui kisah-kisah remaja beliau melalui travelog yang pertama. Ia melambangkan dunia awal manusia yang tidak ternoda dengan hawa nafsu yang melampau. Dunia kanak-kanak adalah saat yang indah untuk dikenangkan tetapi ia lebih bermakna jika ia dikaitkan dengan kebesaran Allah SWT.

Kedua, saya menjangkakan para pembaca akan mula melihat kehidupan sebenar seorang manusia melalui travelog yang kedua. Gelombang perasaan remaja yang ditakluki perasaannya nyata memberi kesan kepada perjalanan kehidupan seterusnya. Roza berkahwin muda dan membawa bersama cabaran sebagai seorang isteri, ibu dan anak.

Saya ketawa, tersedu malah ada ketikanya geram dan menyampah apabila membaca catatan-catatan yang disampaikan melalui Travelog Cinta Abadi: Suatu Perjalanan. Unsur-unsur geram dan menyampah inilah yang membezakan dengan siri yang terdahulu.

Bila saya menamatkan helaian terakhir – akhirnya – para pembaca mula menyedari yang mereka membaca kisah mereka sendiri melalui perjalanan kehidupan Roza. Kesemuanya terkandung dalam sebuah buku yang sangat bermanfaat.

[Pembaca Manuskrip Travelog Cinta abadi: Suatu Perjalanan]


Gambar ihsan : Karl Taylor photography UK

Wednesday, September 15, 2010

Kolumnis majalah : Sekali Air Bah...


Salam aidil Fitri.

Seminggu sebelum berhari raya, kami suami isteri dilamar oleh sebuah majalah untuk mengisi ruang didalamnya. Tanpa halangan, suami bersetuju.

Tetapi saya.. masih seperti dahulu. Masih takut untuk membuat keputusan segera. Masih beristiharah bagi mendapat petunjuk tuhan yang maha kuasa. Akhirnya, saya cuba mengetuk key board dan melahirkan suara dalaman perasaan remaja kampung yang berkahwin dalam usia yang muda.

Lalu, saya menemui jawapan bagaimana Allah yang maha kuasa menjaga remaja kampung itu dalam perjalanan yang terpelihara. Mengajar erti kehidupan dalam mengharungi liku-liku hidup di kota ketika sudah bergelar isteri di usia remaja.

Sekali air bah.. segalanya berubah. Walau bagaimana dibaiki sekalipun, struktur muka buminya pasti sudah tidak sama. Apa yang berlaku pasti tidak berbalik seperti yang asal. Serupa tetapi tidak sama.

Nanti... saya mulakannya dengan epilog indah falsafah mak wa.