Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Friday, October 22, 2010

Aurat?

Semasa di Mekah, kami tidur seawal jam 9.00 malam. Ia saranan yang amat bermakna agar kami dapat bangun malam bagi melakukan qiamulai di masjidil haram.

"Tidur awal dan tidak perlulah berbual-bual. Niat dan mohon kepada Allah untuk dikejutkan bangun malam."

Alhamdulillah! Apabila terjaga, benar..jam menunjukkan pukul 1.30 pagi. Lalu, kami segera bangun. Mengambil giliran mandi, mengambil air sembahyang dan bersiap sedia untuk qiamulai di masjidil haram.

Sementara menunggu Kak Mie dan Azlina bersiap, saya lakukan sembahyang sunat tahajud. Sebelum turun dari hotel, kami pastikan tiada anak rambut terkeluar dari celah telekung. Kami pastikan bersarung tangan hingga ke pergelangan tangan. Dan kami pastikan kaki bersetokin. Apabila melihat diri dicermin, pakaian kami hanya menampakkan muka dan ke dua tapak tangan.

"Jaga aurat... "

Itulah pesanan ustazah sejak dari sekolah rendah. Lalu ustazah membacakan sebaris ayat;

"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah Al-Ahzab : Ayat 59)[4]

Namun, kami benar-benar mahu memahami maknanya apabila mendapat jemputan istemewa dari Allah ke rumah-Nya. Kami berjumpa ayat ini ;

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada

suami mereka atau
bapa mereka atau
bapa mertua mereka atau
anak-anak mereka, atau
anak-anak tiri mereka atau
saudara-saudara mereka atau
anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau
anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau
perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau
orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan
kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." (Surah An Nur : Ayat 31)[3]

Di tanah suci, kami melihat ramai jemaah wanita yang benar-benar mengambil berat tentang aurat. Telekung labuh melepasi dada, bersarung tangan hingga ke pergelangan lengan dan bersetokin hampir setiap masa. Selama 46 hari sepanjang berada di tanah suci, itulah pakaian mereka.

"Ya Allah, apakah pulang ke tanah air nanti kami mahu kembali menjadi seperti dahulu? Apakah kami rela aurat diperaga seperti dahulu? Apakah ucapan taubat itu hanya semata-mata untuk ke rumah-Mu?"

"Wahai tuhanku..jangan biarkan kami mengalah lantas berpatah balik ke belakang. Jadikan ibadat ini sebagai sempadan. Jadikanlah pakaian ini membawa kebaikan.

"Ya Allah ya tuhanku.. Sesungguhnya inilah pakaianku sebagaimana yang disarankan oleh kitab-Mu. Jadikanlah ia sebagai tanda daku mensyukuri nikmat kurniaan-Mu."

"Wahai zat yang diriku didalam genggaman-Nya. Terimalah taubatku..tingkatkan makamku disisi-Mu.."

Aurat? Apakah ia tidak memberi kesan setelah pulang?

Thursday, October 21, 2010

Jaga mata, telinga dan lidah..

Semasa menunaikan haji di tanah suci, ramai ustaz dan uztazah berpesan agar para jemaah menjaga mata, telinga dan lidah. Akal singkat saya memikirkan barangkali kerana keadaan cuaca di sana menyebabkan penyakit mudah terkena bahagian deria tersebut.

Rupa-rupanya, ketiga-tiga deria itu perlu dijaga seawal di kompleks Kelana Jaya lagi.

Bagaimana mata tidak memandang lantas terdengar suara sumbang lalu bagaikan mahu menjawabnya dengan lidah. Ia terjadi apabila terdapat beberapa jemaah yang cuba memotong barisan. Pegawai bertugas cuba menenangkan keadaan.

" Assalamulaikum Haji..sila masuk barisan. InsyaAllah, semua dapat tempat."

Perkara seperti itu berulang lagi dimana-mana. Di lapangan Jedah, di Mudzalifah, di Arafah, di Mina dan di Madinah. Kesimpulannya..ia boleh berlaku dimana-mana di depan mata.

Semasa tiba di Mekah, kami ditempatkan seramai sembilan orang sebilik dengan latar belakang yang berbeza. Bayangkan keadaan bilik apabila semuanya berkumpul. Bayangkan jika ada diantaranya yang mahu berkongsi kegembiraan apabila pulang dengan membawa barang belian. Bayangkan apabila mereka mula bercerita. Bayangkan, bayangkan dan bayangkan.

Di masjidil haram, terdapat ribuan manusia dari berbagai mazhab dan bangsa, pasti berbagai ragamnya.

Semasa di Arafah dan di Mina kami dikumpulkan hampir 40-50 orang jemaah dalam satu khemah. Ruang setiap jemaah hanyalah sebesar tikar sejadah. Di situlah tempat sembahyang, tempat makan dan tidur.

"Ya Allah ya tuhanku, lindungi penglihatan kami, pendengaran dan lidah kami agar tidak terpandang perkara yang buruk. Agar tidak terdengar cerita yang buruk. Agar tidak menzahirkan ucapan yang buruk.

"Ya Allah, peliharalah mata kami, pendengaran kami dan lidah kami. Lebih-lebih lagi jagalah hati kami. Jangan sampai ia mengata-ngata di dalam hati."

Lalu, jika mata terlihat sesuatu yang tidak mahu dilihat dan bimbang jika ia turun ke hati, seorang ustazah berpesan..

"Tundukkan pandangan. Segera lah capai dan membaca al-quraan. Atau berzikir. Ketika di masjidil haram, kenapa mahu memerhatikan orang? Sembahyang sunat sebanyak-banyaknya. Bukankah kita ke tanah suci kerana mahu beribadat kepada Allah?"

Ustazah berpesan lagi;

"Seboleh mungkin jangan berbicara tentang perkara yang sia-sia. Bawa al-quraan kecil setiap masa. Bacalah walau dimana-mana. Ketika di masjid, di dalam bilik, di dalam bas mahupun khemah."

Akhir sekali ustazah berpesan;

"Paling mudah..berzikirlah. Biar lidah kita sentiasa basah menyebut dan memuji-muji Allah. Biar zikir itu didengar memenuhi gegendang telinga dan bergema-gema dalam dada. Biar zikir menjadi pakaian kita.."

Lalu, saya panjatkan doa.

Subhanallah! Wahai zat yang diriku dalam genggaman-Nya. Jadikan lidah dan hatiku sentiasa berzikir memuji kekuasaan-Mu, keesaan-Mu dan kasih sayang-Mu.. Biar bangkitku dari tidur dalam keadaan menyebut nama-Mu wahai tuhanku yang satu.

Tuesday, October 19, 2010

Sampaikan walau satu ayat..

Kami terpanggil untuk berkongsi tips-tips yang disampaikan oleh sanak- saudara dan rakan-taulan sebelum menunaikan fardu haji ke tanah suci pada tahun 2006. Yang lebih mahu dikongsikan lagi adalah tips-tips melalui pengalaman peribadi.

Pengalaman sendiri.

Ia lebih mudah dijelaskan kerana itulah yang kami lalui. Kami tidak tahu apa yang dilalui oleh jemaah yang lain, walaupun kami pergi menunaikan haji dalam musim yang sama. Bernafas dan memijak kaki di bumi yang sama.

Jangankan jemaah dari maktab lain, pengalaman rakan sebilik juga pasti berbeza. Barangkali, jika kita berdiri di tempat yang sama, dalam waktu yang sama dan melihat kejadian yang sama. Anaslisa malah telahan kita dijadikan Allah menzahirkan sesuatu yang berbeza.

Begitulah ajiaibnya kejadian Allah S.W.T

Selama 45 hari berada di sana, kami membaca, kami memerihati, kami menganalisa dan akhirnya mencanaikan setiap kejadian sebagai ilmu Allah. Setiap hari kami belajar sesuatu, namun ada perkara lain pula yang kami tidak tahu.

Begitulah kejadian manusia, setiap hari Allah ciptakan peristiwa yang berbeza. Apa yang mahu kami sampaikan adalah suatu perkongsian ilmu. Yang baik itu datang dari-Nya, yang tidak elok itu pilihan manusia agar ia menjadi iktibar kepada semua yang mahu mengambil iktibar darinya.

Kami mahu sampaikan apa yang ada dalam dada. Pandanglah alam ini..pandanglah dengan pandangan mata hati.

Monday, October 18, 2010

Shopping

Sebelum berangkat, kami sering dipesan agar saling bermaafan sesama insan. Kata mereka jika ada sesiapa yang melukakan hati kita selama ini, maafkan mereka. Jika kita pula yang pernah melukakan hati mereka, mohon maaf dari mereka.

"Memohon maaf sahajalah, mana tahu jika ada hati yang telah terguris. Barangkali mereka tidak memberitahu kita.."

Apabila saya memohon kemaafan dari rakan-rakan sepejabat, mereka hairan. Barangkali mereka tidak terfikir kami mahu menunaikan haji ketika belum sampai usia bersara.

"Awak mahu ke mana?"

"Menunaikan haji pada hujung tahun ini.."

"Ooo, patutlah..kami telah menunaikan umrah pada tahun lepas. Mahu pergi haji kena minta maaf dari semua orang ya?"

"Emm, mana tahu.. jika kami pergi ke tanah suci tidak akan kembali."

"Hei, jangan cakap macam tu! Tak baik."

"Nyawa itu di tangan Allah. Saya mahu begitu. Jika boleh ketika saya sedang sujud, tunduk rebah di hadapan kaabah atau ketika di Raudhah. Ramai jemaah yang akan sembahyang jenazah ke atas kita."

Di masa yang lain, rakan yang telah menunaikan haji kelihatan teruja. Dia lantas menarik tangan dan berbisik secara perlahan.

"Sebelum pergi nanti, beritahu bila tarikhnya. I nak beritahu you dimana boleh shopping barangan branded yang suka dipakai oleh mak-mak arab. I sudah jumpa tempatnya.."

"Errr.."


"Bukan mudah, berhari-hari kami mencarinya. Memang ada klass tempat tu.."

Pulang ke rumah saya masih terfikir-fikir, apakah barangan berjenama yang dimaksudkan oleh kawan berkenaan. Sambil melepaskan keluhan panjang, hati teringat pesanan suami agar jangan masukkan langsung agenda shopping ke dalam hati.

"Yang, kita ke tanah suci hanya untuk beribadat kepada Allah. Jangan sampai shopping itu mengganggu lantas menjadi penyebab mengapa kita tidak beribadat di hadapan kaabah. Bukankah 100,000 bersembahyang di masjidil haram itu lebih baik dari 1 jika bersembahyang di bilik hotel yang penuh sesak."

Terniang-niang pesanan ikhlas suami. Benar, jauh-jauh kita datang dengan cara bertahun-tahun mengumpulkan dana, kenapa pula mengambil tindakan yang tidak cerdik? Mahu berbelanja? Bukankah barang di Malaysia kualitinya jauh lebih baik jika mahu di buat perbandingan?

Kami terbayang sanak-saudara dan rakan-rakan yang membawa pulang cenderahati berguni-guni banyaknya apabila pulang dari tanah suci. Namun, gelang mekah yang dihadiahkan kepada anak-anak perempuan, hayatnya hanya setengah hari. Mudah patah dan pecah berkecai. Mainan unta, tahannya hanya seminggu. Jubahnya besar dan panjang berjela. Kami memakainya hanya beberapa kali sahaja.

Ya Allah, entah berapa panjang senarai nama yang menyumbang kepada mereka? Entah berapa lama pula mereka mengambil masa mencari dan menganggarkan cenderahati yang sesuai untuk nama yang tersenarai. Pasti sedikit sebanyak, ia memberikan tekanan.

"Ah, pemberian mereka ikhlas kenapa perlu dipertikai?"

Seboleh mungkin kami mahu ubah tradisi. Pemberian yang diberikan orang dalam bentuk kewangan akan kami laburkan untuk tujuan beribadat kepada Allah. Kami mahu belikan al-quraan dan wakafkan di masjidil haram agar pahala sesiapa jua yang membaca kitab Allah itu juga melimpah kepada penyumbang . Kami mahu doakan kesejahteraan agar mereka juga dijemput sebagai tetamu Allah. Merasakan getaran degup jantung sebagaimana yang kami rasakan.

Kami mahu sedekahkan pemberiaan mereka kepada peminta sedekah atau kami belikan gula-gula sakit tekak bagi memberikan sedikit kelegaan kepada jemaah yang batuk, sedang beribadat di dalam masjidil haram. Atau akan kami belikan sedikit juadah bagi mereka yang berbuka puasa. Atau paling kurang, mengagih-agihkan tisu bagi mengelap peluh yang melimpah ruah sewaktu melakukan ibadat bawah terik mentari di dataran kaabah.

Apa lagi yang mahu kami lakukan, ya Allah? Ya, pemberiaan sumbangan itu juga akan kami gunakan untuk tambang teksi atau van untuk kami berulang-alik ke Tana'im atau Ja'ranah bagi menunaikan umrah. Atau tambang teksi dari hotel ke masjidil haram atau ketika tidak mampu berjalan pulang.

Kesemua ganjaran dan kemudahan bagi beribadat kerana Allah itu, kami mohon Allah limpahkan juga rahmat kepada mereka. Mereka yang menyumbang ikhlas, barangkali tidak mengharapkan cenderahati dibawa pulang untuk mereka.

Jika ada lebihan sumbangan, akan kami belikan kurma terbaik atau buah tin dan sedikit kekacang untuk dibawa pulang. Jika ada beberapa naskah al-quran akan kami berikan kepada sesiapa sahaja yang datang berziarah tanpa berkira berapa sumbangan yang diberikan oleh mereka. Jika al-quraan kecil itu sudah kehabisan, kami akan katakan kepada mereka;

"Ini sahaja yang tinggal. Jamahlah sedikit buah kurma dan air zam-zam. Semuga Allah memberikan kesihatan yang baik agar kita dapat melakukan ibadat semata-mata kerana-Nya."

Melihat senario bershopping masyarakat Malaysia ketika di tanah suci, menambahkan ketakutan hati kami. Lantas, kami memanjatkan doa ke hadrat illahi;

"Ya Allah. Jangan sampai shopping mengubahkan niat hati kami yang selama ini bertahun-tahun merayu belas untuk menjadi tetamu-Mu. Jangan sampai shopping melekakan kami, menjadikan pandangan mata kami indah apabila melihat perhiasan dunia.

Sesungguhnya ya Allah, kami mahu ke rumah-Mu untuk beribadat semata-mata kerana-Mu.


Saturday, October 16, 2010

Rakan sebilik

Setiap kali menyemak semula beg-beg yang sudah di simpan, hati tertanya-tanya;

"Siapakah rakan sebilik kita sepanjang berada di Mekah dan di Madinah nanti?"

Apa yang pasti kami sudah tahu yang akan duduk sebilik dengan kakak dan adik ipar. Perasaan takut dan gementar. Banyak sekali cerita yang di dengar tentang hubungan suami isteri, anak dengan ibu dan ipar duai. Ada cerita hubungan yang semakin akrab ketika di sana. Malahan ada pula cerita sebaliknya.

Beberapa hari sebelum berangkat ke tanah suci, Kak Mie dan Azlina telahpun sampai di rumah kami. Semasa berkumpul dan bersantai selepas minum petang, kami berbincang;

"Kak Mie dan Azlina, sampai di tanah suci nanti.. jika ada yang tidak kena dengan saya, tolong beritahu. Jangan di simpan dalam hati atau pendamkan perasaan. Kita akan duduk sebilik dan tinggal bersama di tanah suci selama hampir 45 hari."

"Betul.. Na pun fikir begitu. Jika ada perkara yang kecil-kecil..tidak perlulah berkecil hati."

Begitulah. Kami berpakat-pakat seia sekata sesama ipar duai. Doa kami kepada Allah agar perhubangan kami akrab, jangan ada sengketa dan jangan ada hati yang terluka.

"Ya Allah ya tuhan ku, berikan kami rakan sebilik yang sesuai. Yang saling bertolak ansur, saling hormat menghormati sesama kami dan perasaan kasih sayang. Peliharalah hubungan kami agar jangan bersengketa, jangan berkecil hati dan jangan berburuk sangka. Jalinkanlah kemesraan di antara kami ya Allah.

Sesungguhnya kami datang ke rumah-Mu semata-mata kerana-Mu. Kami hadapkan wajah kami kepada-Mu. Sesungguhnya hidup dan ibadat kami lakukan ikhlas kerana mahu bersyukur kepada-Mu."

"Wahai tuhan..perkenankan lah.."

Benar. Kami bimbang jika hubungan kami ipar duai bakal berkecai. Bimbang jika ada hati yang terguris, ada perasaan yang terluka. Kami tidak mahu begitu.

Ada juga rakan yang bercerita tentang rakan sebilik yang tidak mahu berkompromi tentang perkara yang remeh temeh seperti pemasangan pendingin udara, penggunaan bilik air di bilik dan ruang menyimpan beg.

Benar. Ramai jemaah terdahulu bercerita, jika pergi dengan muasasah khabarnya rakan sebilik melebihi 5 orang. Selagi boleh dimasukkan katil ke dalam bilik, diatur-atur bersilang pukang boleh memuatkan sehingga 9 orang. Suasananya sempit dan sesak.

Ruang menyimpan beg adalah di bawah katil sendiri. Jika ada yang membeli belah secara berlebihan sehingga terpaksa menambah beg, kemungkinan ia menimbulkan ketidakselesaan kepada rakan sebilik.

Rakan lain pula menceritakan keadaan yang lebih kritikal di dalam khemah semasa di Arafah dan di Mina.

"Jika pergi dengan muasasah, ruang tempat kita tidur dan bersembahyang adalah sebesar tikar sembahyang sahaja. Dalam khemah itu hampir 40-50 orang jemah dihimpunkan. Beg kecil kita itulah menjadi bantal."

Kami dapat bayangkan ketidakselesaan dalam khemah di Mina nanti. Ah, jika kami tidak selesa, begitulah juga yang dirasakan oleh rakan sebilik atau sekhemah.

Jadi, kenapa perlu bergaduh dengan ruang yang kecil? Lalu, kami tambahkan doa ke hadrat Allah;

"Ya Allah, jadikanlah kami tergolong dari hamba-Mu yang sabar, yang redha dan berserah diri kepada-Mu. Janganlah kami diuji dengan sesuatu yang tidak dapat kami pikul.

Wahai tuhanku, jagalah pandangan mataku, pendengaranku, lidahku dan bisikan jahat hatiku."

Gambar ihsan:

http://inijalanku.files.wordpress.com/2008/12/wanita-di-arafah.jpg?w=468&h=351

Friday, October 15, 2010

Ajarlah mereka..

Semakin hampir dengan hari untuk berangkat, semakin ramai yang datang memberikan tips peribadi. Ia tidak tercatat dalam mana-mana kitab.

"Barangkali..tiap-tiap catatan pengalaman sesaorang berbeza. Tidak semestinya apa yang kami nyatakan ini, akan terjadi.."

Seorang rakan karib memulakan cerita. Pengalamannya menemani ibu mertuanya yang uzur dan juga sebilik dengan beberapa ibu tua yang lain.

"Kalau boleh.. eloknya yang menemani ibu atau ibu mertua adalah anak perempuan. Ia perkara penting, terutama untuk menguruskan mereka di dalam bilik dan juga di khemah semasa di Mina."

Kami mendengar, walaupun tiada kepentingan diri kerana tidak membawa orang tua bersama.

"Yang kritikal sekali..adalah pengunaan tandas ketika di hotel.."

Kami terus memasang telinga.

"Kebanyakan orang-orang tua terutamanya yang berasal dari kampung, tidak berapa pandai menggunakan tandas duduk. Mereka bimbang, punggung terperesuk ke dalam mangkuk tandas. Akibatnya, mereka membuang sahaja di atas lantai.."

Dia teruskan lagi.

"Setiap kali mahu ke bilik air, saya terpaksa menjirus sebanyak-banyak air.. Lebih tragis lagi, ada yang membuang air besar di dalam tub mandi."

"Ya?"

Kami seolah-olah tidak percaya dengan ceritanya.

"Ya Allah, beberapa rakan yang lain juga mengalami peristiwa yang sama. Kebanyakan mereka adalah orang tua yang datang bersama suami atau anak lelaki. Sebab itulah kalau ada rakan-rakan yang bertanya samada elok anak lelaki atau anak perempuan menemankan ibunya, saya galakkan anak atau menantu perempuan."

Tambahnya lagi.

"Lagipun..semasa di Madinah, laluan jemaah lelaki dan perempuan diasingkan. Agak payah bagi lelaki untuk membawa ibu mereka ke masjid nabawi. Apatahlagi untuk masuk bersembahyang sunat ke dalam Raudhah. Tambahan pula di Raudhah selalunya ada masa-masa tertentu ditetapkan..Kalau mereka berkerusi roda, perlu ada orang perempuan yang menolaknya."

"Ooo..Di Masjidil haram, anak lelaki atau suami boleh menolak mereka?"

"Ya. Tiada masalah."

Sekali lagi cerita tandas. Peringatan buat anak-anak.. ajarlah ibu kita. Berdoalah sentiasa kepada Allah agar ada insan yang ada belas ihsan menjaga mereka ketika kita tidak mampu menjaganya.


Wednesday, October 13, 2010

Tenang di Madinah

Beberapa rakan yang telah menunaikan haji bercerita tentang pengalaman mereka ketika di Madinah. Kumpulan pertama pergi pada penerbangan awal dan kumpulan kedua pergi dalam pernerbangan terakhir.
Kedua-dua kumpulan menceritakan perasaan mereka ketika berada di tempat yang sama. Samada awal atau akhir mereka menceritakan perkara yang tidak jauh bezanya.

Saya mendengar setiap butir perbualan dengan penuh debaran. Penuh pengamatan.

Kata mereka,

"Madinah adalah tempat yang tenang. Aman berbanding dengan Mekah"

"Benar. Namun berhati-hati dengan keadaan tersebut kerana kita boleh terlalai, lantas melakukan amalan sambil lewa sahaja. Ambil mudah."

Hairan dengan kenyataan tersebut, lalu saya bertanya;

"Tidak selesakah kita dengan keadaan yang aman? Mengapa ada yang melakukan ibadat sambil lewa? Bukankan kita pergi ke tanah suci kerana mahu beribadat? Masa yang diperuntukan hanyalah dalam masa lapan hari sahaja bukan?

Mereka menyambung lagi.

"Kami dapati di masjid nabawi banyak ruang. Kami boleh ke masjid selepas waktu azan kerana sembahyang jemaah dilakukan hampir 20-30 minit kemudian. Lagipun kebanyakan hotel para jemaah Malaysia adalah berdekatan. Jadi ramai jemaah tidak pergi awal ke masjid nabawi. Mereka selesa sembahyang di saf belakang."

Saya terkedu. Lantas, segera berdoa dalam hati.

"Ya Allah, janganlah jadikan kami seperti mereka. Kami mahu yang terbaik. Kami mahu di saf hadapan."

Mereka bercerita lagi;

"Kami yang datang awal dan terus masuk ke Madinah, terkejut dengan kesesakan jemaah yang berasak-asak mahu bersembahyang di dataran kaabah."

Yang lain pula bercerita;

"Kami dari penerbangan akhir yang terus masuk ke Mekah, sudah biasa berasak-asak dan melihat kaabah tersergam indah di depan mata. Tiba-tiba terasa kosong pula di masjid nabawi. Ia terlalu tenang sekali."

"Benar. Ada yang sudah berpuas hati setakad bersembahyang di pengkarangan luar masjid nabawi sedangkan banyak lagi ruang di dalam. Lebih tragis lagi, ada yang bersembahyang di bilik hotel sahaja."

Akhirnya, kami membuat kesimpulan dan bernekad untuk tidak terikut-ikut dengan keadaan yang tenang.

"Kita ke tanah suci menziarahi makan nabi, barangkali inilah sekali seumur hidup. Bukan setahun kita mengumpulkan wang untuk datang. Bukan sekali kita panjatkan doa dan merayu kepada Allah taala agar menjemput kita sebagai tetamu-Nya. Takkan lah kita hanya melakukan secara sambil lewa sahaja."

"Benar. Barangkali duit boleh di cari. Tetapi, usia dan tenaga? Setiap tahun kita bukan semakin muda serta bertenaga."


Kami tunduk bertafakur. Merenung diri, bimbang jika kami juga tergolong dari kalangan yang rugi.